Friday, 30 November 2018

MCA KELUAR BN?


Kesian ada, simpati ada dan nak ketawa pun dengan nasib yang menimpa UMNO serta BN sejak di bawah kepimpinan Zahid Hamidi sekarang ini.


Kedudukan beliau sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN nampaknya langsung tidak dihormati oleh rakan komponennya sendiri iaitu MCA.


Dalam perhimpunan agung MCA yang akan diadakan hujung minggu ini, buat pertama kali parti itu tidak mengundang Zahid Hamidi selaku Pengerusi BN untuk memberikan ucapan perasmian sebagaimana lazimnya.


Sebagai gantinya, ucapan pembukaan perhimpunan agung MCA tahun ini akan disampaikan oleh Liow Tiong Lai, bekas Presiden MCA yang perhimpunan agung kali ini merupakan kehadiran terakhir baginya sebelum menyerahkan jawatan itu kepada penggantinya, Wee Ka Siong.


Lebih daripada itu, MCA juga tidak mengundang wakil UMNO untuk hadir dalam perhimpunan yang diadakannya pada tahun ini.


Turut tidak diberikan undangan ialah MIC, satu lagi rakan komponen yang ada dalam BN.


Yang nyata, langkah ini memperlihatkan MCA benar-benar menunjukkan penentangannya terhadap hubungan kerjasama antara UMNO dengan Pas.


Jika sebelum ini parti itu hanya bersuara menentang kerjasama itu,  kini ia secara terbuka membuktikannya dengan tidak memperdulikan lagi kedudukan Pengerusi BN yang juga merupakan Presiden UMNO.


Apa jadi dengan MCA selepas ini?


Adakah ia akan terus kekal bersama BN atau ini tanda-tanda ia akan meninggalkan gabungan itu? (ShahbudinHusin 30/11/2018)

ELOK JUGA JIKA DIDEDAHKAN SEGALA-GALANYA.....


Ada dua isu pokok yang perlu diberikan perhatian dalam isu kononnya ada komplot mahu menjatuhkan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.


Pertama, pendedahan Ketua Pembangkang di DUN Perak, Shaarani Mohamad berkenaan perkara tersebut.


Kedua, pengakuan Exco Perak sendiri, Asmuni Awi bahawa beliau pernah ditawarkan jawatan Menteri Besar jika setuju bersama-sama menjayakan komplot itu.


Selain Shaarani perlu mendedahkan perkara itu, sama ada berkenaan siapa Adun-Adun dan Exco yang didakwa terlibat atau kemungkinan wujudnya pemberian habuan, Asmuni juga bertanggungjawab memberitahu mereka yang menawarkannya jawatan ketua kerajaan negeri itu.


Tentunya dalam hal ini ramai yang ingin tahu mengapa Asmuni yang ditawarkan jawatan Menteri Besar itu?


Mengapa tidak pemimpin lain atau terdapat jugakah pemimpin lain yang turut diberikan tawaran yang sama?


Jika ada, pemimpin terbabit juga perlu tampil dengan segera.


Dan sekiranya wujud tawaran yang berbentuk wang tunai atau habuan-habuan lain, maka ia perlu dilaporkan kepada PDRM atau SPRM untuk diambil tindakan yang sewajarnya.


Tidak guna, tak kira siapa pun mahu terus bercakap mengenai isu ini jika tiada keberanian untuk mendedahkan perkara yang sebenarnya secara terbuka.


Kalau sudah berani bercakap mengenainya, mengapa perlu takut untuk berterus-terang?


Lebih-lebih lagi Menteri Besar Perak sendiri dalam kenyataan yang menyifatkan suatu kesalahan jika Shaarani menyorokkan perkara itu, ia sebenarnya adalah cabaran kepada beliau untuk mendedahkan dan memberitahu perkara yang sebenarnya.


Malulah kalau tak berani menyahut cabaran itu? (ShahbudinHusin 30/11/2018)

Thursday, 29 November 2018

LANGKAH KERAJAAN YANG WAJAR DAN TEPAT


Berikutan kekacauan dan hampir tercetusnya rusuhan di sebuah kuil di Subang Jaya yang pada asasnya berpunca daripada soal berkaitan tanah, Tun Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan peraturan baru bagi pembinaan rumah ibadat pada masa depan.


Peraturan baru yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri ialah pembinaan rumah ibadat mesti mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan atau PBT dan tidak boleh lagi dibina di atas tanah yang bukan milik mereka.


Sebagaimana janji Tun Mahathir dua hari lalu yang memberi jaminan insiden seperti di Subang Jaya tidak akan berulang lagi pada masa akan datang, peraturan baru ini bukan saja tepat dan wajar, malah mampu memenuhi janjinya itu.


Banyak isu berkaitan rumah ibadah khususnya kuil ialah kerana ia selalunya dibina sesuka hati di merata-tempat, meskipun tidak dinafikan terdapat juga yang dibina di tanah persendirian dan mematuhi semua peraturan yang diperlukan.

Dalam kebanyakan kes, bukan saja kelulusan PBT jarang diambil kira, siapa pemilik tanah untuk mendirikan kuil juga kerapkali tidak dipedulikan.


Asal saja ada tanah kosong yang berdekatan dengan penempatan mereka, selalunya di situlah dibina kuil bagi tujuan untuk beribadah.


Memang tujuan beribadah itu baik, tapi apabila tidak mengikut saluran undang-undang, bahkan dibina di tanah orang atau pihak lain, di akhirnya nanti ia pasti akan menimbulkan masalah apabila pemilik sebenar mahu menggunakan tanah tersebut.


Dalam hal ini, rumah ibadat orang Islam seperti surau dan masjid pun selalu memenuhi peraturan undang-undang seperti memperolehi kebenaran PBT dan pejabat agama terlebih dahulu, malah hampir tidak pernah ia dibina di atas tanah yang tidak ketahuan siapa pemiliknya.


Selalunya masjid dan surau sama ada akan dibina di atas tanah kerajaan dengan mengemukakan permohonan terlebih dahulu atau di atas tanah yang diwakafkan.


Sebab itu, isu perebutan atau pergaduhan berkaitan tanah hampir tidak pernah berlaku melibatkan pembinaan masjid atau surau.


Makanya, jika masjid dan surau pun boleh mematuhi peraturan dan pembinaannya sedaya upaya cuba dilakukan dengan memenuhi semua peruntukan undang-undang, tiada sebab penganut agama lain tidak boleh turut sama melakukannya.


Jika peraturan dan undang-undang sentiasa dipatuhi, pasti tidak akan timbul apa-apa masalah di kemudian hari nanti. (ShahbudinHusin 29/11/2018)

Wednesday, 28 November 2018

KESIMPULANNYA, PEMAJU YANG SALAH TAPI POLIS YANG TIDAK CUKUP TEGAS LEBIH MENAMBAHKAN LAGI MASALAH


Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berhubung kekacauan di sebuah kuil di Subang Jaya, jelas yang menjadi punca segala-galanya  adalah pihak pemaju yang memiliki tanah tapak kuil tersebut.


Dalam usaha untuk mengambil alih tanah milik mereka yang dijadikan tapak kuil, pemaju didapati telah melakukannya dengan cara yang bertentangan dengan undang-undang.


Meskipun telah ada persetujuan bahawa proses itu mahu dilakukan dengan baik dan aman pada 26 November bermula jam 7.00 pagi, malah ia sudah pun dimaklumkan kepada pihak polis untuk membantu mengawal keadaan, tetapi pihak pemaju didapati telah mengupah sekumpulan samseng Melayu untuk memasuki secara ceroboh dan mengawal kawasan kuil seawal kira-kira jam 2.00 pagi iaitu sebelum ketibaan pihak polis.


Peguam pemaju didapati telah membayar wang sebanyak RM150 ribu kepada ketua kumpulan samseng tersebut, tetapi 50 samseng yang menceroboh dan memasuki kuil hanya dibayar antara RM150 hingga RM300 sahaja setiap seorang.


Dengan itu, bayaran kepada 50 samseng yang diarahkan menceroboh dan memasuki kuil itu adalah antara RM7,500 hingga RM15,000, sedangkan wang yang dibayar kepada ketua kumpulan yang berurusan dengan peguam ialah sebanyak RM150 ribu.


Dalam erti kata lain, upah kepada 50 samseng itu hanya sekitar 10 peratus saja daripada bayaran RM150 ribu yang diterima oleh ketua kumpulan itu.


Aduhhh...malangnya nasib Melayu, sudahlah dibayar upah untuk menceroboh tempat ibadah agama yang berbeza yang tidak sepatutnya dilakukan kerana ia tentu saja akan menimbulkan konflik kaum dan agama, lebih malang lagi upah yang diterima adalah seciput cuma berbanding laba berganda yang diraih oleh sang ketua.


Dalam pada itu, meskipun urusan mengupah 50 samseng itu adalah dilakukan oleh peguam pemaju, adalah hampir pasti dan diyakini ia merupakan arahan atau kehendak pihak pemaju sebagai tuan punya tanah di mana terletaknya kuil tersebut.


Muhyiddin dalam sidang akhbarnya juga membayangkan perkara yang sama dengan tidak menolak kemungkinan duit itu datangnya daripada pemaju yang disalurkan kepada peguam terbabit.


Ini kerana peguam biasanya adalah pihak yang hanya menurut arahan dan dibayar atas sesuatu arahan serta agak mustahil ada mana-mana peguam sedia mengeluarkan wang sendiri bagi sesuatu perkara yang mereka tiada kepentingan sama sekali.


Maka, mahu tidak mahu, pemajulah yang bersalah dan harus dipersalahkan dalam hal ini.


(Di penghujung artikel turut disertakan kenyataan media penuh oleh Muhyiddin untuk kita lebih memahami insiden kekacauan yang terjadi)


Kenapa mereka tidak mahu mengikut cara yang betul untuk mengambil alih tanah itu sebagaimana yang sudah dipersetujui akan dilakukan bermula jam 7.00 pagi serta dengan bantuan pihak polis?


Mengapa perlu mengupah kumpulan samseng dan bertindak dengan cara yang bertentangan dengan undang-undang?


Lebih buruk, akibat daripada tindakan yang melanggar undang-undang itu telah menyebabkan tercetusnya rusuhan yang melibatkan banyak kecederaan dan kenderaan dibakar serta nyaris-nyaris meletusnya suatu kekacauan yang melibatkan kaum dan agama di negara kita.


Disebabkannya jugalah telah berlaku di mana seorang anggota bomba Melayu cedera parah dan sehingga kini masih lagi tidak sedarkan diri.


Bagaimana jika kekacauan itu berakhir dengan rusuhan kaum yang tidak terkawal sudahnya?


Untuk itu, tindakan undang-undang yang sekeras-keras harus diambil kepada sesiapa juga yang terlibat sehingga tercetusnya pergaduhan dan kekacauan tersebut.


Berkaitan hal ini, perkara yang turut sama menyumbang kepada kejadian rusuhan berlarutan sehingga dua tiga hari ialah ketidaktegasan pihak polis dalam bertindak ketika di awal kejadian.


Sepatutnya pihak polis perlu tegas dan tidak berlengah-lengah dalam bertindak bagi membendung kejadian daripada menjadi lebih parah kerana ini adalah kejadian jenayah dan perlanggaran terhadap undang-undang.


Alasan pihak polis sebagaimana kenyataan Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun bahawa mereka tidak boleh meredakan rusuhan dengan menembak air kerana kuil adalah kawasan rumah ibadat, sebenarnya tidak masuk akal sama sekali.


Apakah pihak polis lupa bahawa ketika era kebangkitan reformasi dahulu semburan air banyak dilakukan di kawasan Masjid Jamek dan juga Masjid Kampung Baru?


Apa bezanya masjid dengan kuil?


Apa yang diminta bukanlah untuk polis bertindak secara keterlaluan atau keras, tetapi cukup sekadar mematuhi SOP sedia ada dalam menangani sesuatu kekacauan, jenayah dan juga rusuhan.


Lebih-lebih lagi jika kekacauan yang boleh disemarakkan dengan api perkauman dan agama, pihak polis tidak boleh berkompromi sama sekali kerana bahayanya terlalu besar untuk dibiarkan berlarutan, apa lagi sehingga dua atau tiga hari lamanya.


Yang tidak kurang pentingnya, insiden di Subang Jaya ini seharusnya menjadi pengajaran kepada Ketua Polis Negara agar selepas ini mesti menampakkan kepimpinan yang lebih tegas dan berani dalam menegakkan undang-undang negara. (ShahbudinHusin 28/11/2018)



DI BAWAH ADALAH KENYATAAN MEDIA YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN MENTERI DALAM NEGERI BERKAITAN ISU PERGADUHAN TERSEBUT.


1. Isu pergaduhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya pada 26 November 2018 telah mendapat perhatian rakyat. Pelbagai telahan telah dibuat berhubung insiden ini terutamanya mengenai penglibatan sekumpulan lelaki Melayu yang menceroboh kuil penganut agama Hindu dan menimbulkan kekecohan di tempat kejadian.


2. Kerajaan memandang serius insiden ini yang telah mewujudkan keresahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita.


3. Saya ingin menjelaskan bahawa berdasarkan siasatan polis, insiden ini tiada kaitan sama sekali dengan isu perkauman. Kejadian ini berlaku berpunca daripada pertikaian antara pihak pemaju One City Development Sdn Bhd dan ahli jawatankuasa kuil mengenai hak milik tanah tapak kuil tersebut.


4. Sebagai penyelesaian kepada pertikaian ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 Mac 2014 telah merekodkan penghakiman persetujuan bahawa kuil tersebut akan dipindahkan ke satu lokasi baharu yang disedikan oleh pihak pemaju dan tapak asal kuil diserahkan kepada syarikat pemaju yang merupakan pemilik tanah.

       

5. Namun demikian, penghakiman persetujuan ini tidak dapat dilaksanakan kerana terdapat pihak penganut agama Hindu yang membantah penghakiman tersebut.


6. Berdasarkan siasatan pihak polis, terdapat dua kumpulan penganut agama Hindu dalam kes ini yang mana satu daripadanya bersetuju untuk berpindah dan satu kumpulan lagi tidak bersetuju.


7. Setelah beberapa siri rundingan antara pihak-pihak ini gagal mencapai kata sepakat, pihak pemaju telah merancang untuk melaksanakan perintah mahkamah dengan mengambilalih tapak kuil tersebut sepertimana perintah mahkamah.


8. Beberapa cubaan telah dibuat oleh pihak pemaju untuk mengambilalih tapak kuil tersebut tetapi gagal disebabkan bantahan daripada kumpulan penganut agama Hindu dan kekecohan yang berlaku di tapak kuil.


9. Susulan itu, pihak pemaju sekali lagi merancang untuk mengambilalih tapak kuil yang dijadualkan bermula pada jam 7.00 pagi 26 November 2018. Perbincangan mengenainya telah diadakan di antara pihak pemaju dan ahli jawatankuasa kuil. Pihak polis juga telah dimaklumkan mengenai rancangan ini dan bersedia untuk mengawal ketenteraman di sekitar kawasan kuil tersebut.


10. Namun demikian, pihak yang dikaitkan dengan syarikat pemaju telah tidak mematuhi proses pengambilalihan tapak kuil sepertimana yang dirancang mengikut peruntukan undang-undang. Siasatan pihak polis mendapati peguam kepada syarikat pemaju telah mengupah sekumpulan lelaki Melayu untuk menceroboh kuil tersebut dan mengawal kawasan kuil sebelum ketibaan pihak pemaju dan polis pada pagi 26 November 2018.

     

 11. Berdasarkan siasatan polis, sejumlah RM150,000 telah diserahkan kepada ketua kumpulan ini untuk melakukan kerja menceroboh, mengambilalih dan mengawal kuil. Seramai lebih kurang 50 orang telah diupah untuk melakukan kerja ini yang setiap setiap seorang daripada mereka menerima bayaran antara RM150 hingga RM300.


12. Tindakan menceroboh yang amat tidak bertanggungjawab dan menyalahi undang-undang ini telah menimbulkan kemarahan penganut agama Hindu yang berada di kawasan kejadian sehingga menimbulkan kekecohan, pergaduhan dan kerosakan harta benda.


13. Saya amat kesal dengan tindakan gopoh dan cuai yang diambil oleh pihak yang dikaitkan dengan syarikat pemaju yang jelas melanggar undang-undang. Sekiranya tindakan gopoh dan cuai ini tidak diambil, saya percaya insiden pergaduhan di antara kumpulan lelaki Melayu dan penganut agama Hindu di Kuil Sri Maha Mariamman tidak berlaku.


14. Susulan insiden ini, pihak polis telah menahan 21 orang individu untuk membantu siasatan. Pihak polis masih menjalankan siasatan untuk mengenalpasti individu-individu lain yang terbabit di dalam insiden ini, termasuk kejadian rusuhan yang melibatkan sekumpulan kaum India pada malam 27 November 2018. Insiden kedua ini telah menyebabkan kecederaan kepada seorang anggota bomba dan seorang anggota polis selain kerosakan harta benda milik awam dan persendirian.


15. Saya telah diberikan taklimat terperinci oleh Ketua Polis Negara mengenai kedua-dua insiden ini dan saya percaya pihak polis akan dapat melengkapkan siasatan dalam masa terdekat serta membawa mereka yang terbabit dalam perbuatan jenayah ini ke muka pengadilan secepat mungkin.

     

16. Saya ingin menegaskan bahawa insiden pergaduhan di Kuil Sri Maha Mariamman tiada kaitan sama sekali dengan isu perkauman. Masyarakat pelbagai kaum di Malaysia telah hidup secara aman dan harmoni sejak sekian lama. Tidak mungkin kerana satu kejadian terpencil yang membabitkan pertikaian antara jawatankuasa kuil dan pihak pemaju dijadikan sebab untuk mengeruhkan hubungan kaum dan agama di negara kita.


17. Saya menggesa pihak-pihak yang terlibat di dalam isu pertikaian hak milik tanah tapak Kuil Sri Maha Mariamman supaya menyelesaikan pertikaian tersebut secara baik menurut saluran undang-undang. Jangan ada mana-mana pihak yang cuba memanipulasi isu ini untuk mencetuskan ketegangan kaum.


18. Saya telah mengarahkan pihak polis supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang berhubung insiden ini. Ini termasuk mereka yang membuat kenyataan berbaur perkauman yang bersifat provokatif, menyebarkan berita palsu yang berunsur fitnah dan hasutan serta menganjurkan perhimpunan-perhimpunan untuk membakar sentimen kaum.


19. Sebagai pihak yang dipertanggungjawabkan untuk memelihara keselamatan dan keamanan negara, Kementerian Dalam Negeri dan Polis DiRaja Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang menjejaskan ketenteraman awam. Tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil demi memelihara keselamatan dan keamanan negara.



KEMENTERIAN DALAM NEGERI 

PUTRAJAYA.

28 NOVEMBER 2018.   

ELOKLAH DIBATALKAN TERUS....


UMNO dan Pas kini dilaporkan sedang memikirkan semula penyertaan mereka dalam himpunan 8 Disember depan yang pada awalnya diadakan untuk membantah ratifikasi ICERD oleh kerajaan.


Perkembangan terbaru ini dikatakan berikutan berlakunya kekacauan di sebuah kuil di Subang Jaya yang berlaku sejak dua hari lalu dan masih lagi dalam kawalan ketat pihak polis sehingga sekarang ini.


Dilaporkan juga Pas akan mengadakan mesyuaratnya malam ini untuk membincangkan perkara itu, manakala UMNO setakat ini menyerahkan perkara itu kepada penganjur.


Sebetulnya, sebagaimana dalam beberapa tulisan yang pernah dimuatkan dalam blog ini dan bersekali dengan pandangan mereka yang waras, sebaik saja kabinet sudah membuat keputusan tidak akan menandatangani ICERD, adalah lebih baik UMNO dan Pas tidak lagi meneruskan perhimpunan 8 Disember tersebut.


Ia sudah tidak memberi makna apa-apa lagi, walaupun dengan alasan untuk meluahkan kesyukuran dan berterima kasih kepada kerajaan.


Tidak pernah orang meluahkan rasa syukur atau mahu mengucapkan terima kasih dengan cara mengadakan perhimpunan di tempat terbuka.


Kalau mahu beryukur dan berterima kasih, lebih-lebih lagi UMNO dan Pas adalah parti Melayu dan Islam,  seharusnya mereka mengadakan majlis kesyukuran di surau-surau dan masjid sambil bersedekah makanan kepada fakir miskin.


Benda sudah selesai, nak berhimpun dan menjerit-jerit untuk apa lagi?


Malah, lebih memalukan andainya perhimpunan 8 Disember nanti tidak mendapat sambutan seperti yang diharap-harapkan kerana tentu saja ketika ini tidak ramai lagi penyokong kedua-dua parti yang bersemangat seperti sebelum kabinet membuat keputusan tidak akan meratifikasikan ICERD.


Tidakkah nanti, jika kehadiran yang datang hanya kecil saja jumlahnya, UMNO dan Pas juga yang malu akhirnya?


Maka, langkah UMNO dan Pas mahu memikirkan semula penyertaan dalam perhimpunan 8 Disember nanti dan adalah tepat dan sebaik-baik keputusan jika terus dimuktamadkan dengan membatalkannya sama sekali.


Tiada apa-apa lagi yang nak diperjuangkan berkenaan dengan ICERD ketika ini berikutan keputusan kerajaan itu.


Lagi pula, kalau sekadar mahu menjadikannya sebagai isu politik, tarikh pilihanraya umum pun lambat lagi iaitu ada kira-kira empat tahun setengah lagi.


Jadi, belajarlah bersabar dan bertenang-tenang dulu. (ShahbudinHusin 28/11/2018)

Tuesday, 27 November 2018

SEMUA KENA BERTENANG - INI KEJADIAN JENAYAH, TIADA KAITAN DENGAN ISU KAUM ATAU AGAMA


KENYATAAN AKHBAR YAB PERDANA MENTERI BERKENAAN KEJADIAN DI KUIL SRI MAHA MARIAMMAN


1. Saya mengikuti perkembangan yang berlaku melibatkan kejadian rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ25, Subang Jaya pada hari Isnin, 26hb November 2018.


2. Saya juga telah dimaklumkan oleh pihak polis akan perkembangan terkini siasatan ke atas kejadian ini.


3. Amat jelas dari siasatan awal bahawa kejadian pertama yang berlaku mempunyai unsur jenayah. Begitu juga kejadian susulan yang melibatkan kerosakan harta benda serta kecederaan kepada anggota polis.


4. Tidak timbul sama sekali isu perkauman mahupun isu berkaitan agama walaupun ianya berkaitan perpindahan kuil.


5. Kerana ianya berkaitan jenayah pihak polis telah diarah untuk mengambil tindakan lanjut bagi menangani serta mengawal situasi ini dengan segera.


6. Kerajaan juga kesal dengan tindakan yang tidak bertanggungjawab penjenayah yang menimbulkan kekacauan di kawasan kuil dan yang telah mencederakan anggota pasukan keselamatan serta anggota penyelamat di dalam rusuhan ini.


7. Penjenayah-penjenayah yang terlibat cuba melakukan rusuhan serta mencederakan anggota keselamatan dan penyelamat termasuk kerosakan harta benda awam akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang yang sedia ada.


8. Bagi dalang jika ada di sebalik kejadian ini mereka juga tidak akan terlepas daripada menerima hukuman yang sewajarnya.


9. Kerajaan juga ingin menasihati orang ramai agar tidak mendengar khabar angin serta tidak menyebarkan mesej yang tidak bertanggungjawab menerusi mana-mana media.


10. Sekali lagi saya tegaskan kejadian ini adalah insiden jenayah dan tidak ada kaitan sama sekali dengan unsur-unsur lain.


PEJABAT PERDANA MENTERI

PUTRAJAYA

27 NOVEMBER 2018

TIGA WANITA YANG WAJAR DIBERI PENGHARGAAN


Sebagaimana dilaporkan media, di sebalik terdedahnya arahan yang dibuat oleh Najib Razak untuk meminda laporan audit 1MDB yang jelas ianya adalah satu bentuk salah laku dan pengkhianatan kepada negara, segala-galanya bermula dengan hati berani seorang wanita.


Nama wanita berkenaan ialah Saadatul Nafisah yang ketika berlakunya kejadian arahan meminda laporan audit itu berjawatan sebagai Pengarah Sektor Audit Kerajaan di Jabatan Audit Negara.


Meskipun setelah pindaan sebagaimana yang telah diarahkan oleh Najib itu telah disempurnakan dan beliau kemudian diarah untuk memusnahkan salinan asal tersebut, Saadatul Nafisah yang peranannya menjalankan kerja-kerja audit serta menyediakan laporan audit 1MDB, telah memilih menjadi berani dengan menidakkan arahan yang diberi kepadanya itu.


Beliau sebaliknya menyimpan satu salinan asal yang belum dipinda itu dalam simpanannya.


Apabila bersara kemudiannya, beliau menyerahkan salinan asal tersebut kepada pengganti yang mengambil alih jawatannya iaitu Nor Salwani.


Nor Salwani terus menyimpan salinan itu sehinggalah selepas itu beliau menyerahkannya kepada Dr. Madinah Mohamad yang dilantik menjadi Ketua Audit Negara yang baru menggantikan Ambring Buang pada 23 Februari 2017.


Walaupun memiliki salinan asal yang tidak dipinda itu, Dr. Madinah sedar beliau tidak mungkin dapat berbuat apa-apa pada waktu itu kerana pentadbiran kerajaan masih dikuasai oleh Najib dan mereka yang sedia bersekongkol dengannya.


Hanya apabila BN tumbang pada 9 Mei lalu dan teraju kerajaan bertukar tangan, barulah Dr. Madinah memaklumkan kepada PAC bahawa laporan audit yang dibentangkan kepada badan itu adalah laporan yang sudah diubahsuai.


Pada 23 November lalu, Dr. Madinah juga telah membentangkan laporannya kepada Kabinet berkaitan rentetan peristiwa pengubahsuaian laporan audit 1MDB itu serta mendedahkan mereka yang terlibat bersama menjayakan arahan salah laku Najib itu.


Bermakna, tanpa keberanian ketiga-tiga wanita di atas, segala salah laku, penyelewengan dan pengkhianatan Najib tidak mungkin akan tersedah kepada pengetahuan kita semua.


Tanpa jiwa berani dan hati cekal mereka juga, segala-galanya mungkin akan terus tersembunyi daripada pengetahuan rakyat sehingga ke hari ini.


Yang lebih menarik, Dr. Madinah adalah merupakan isteri kepada Ketua UMNO Bahagian Kepong, Rizuan Abd Hamid yang pernah berucap berdegar-degar di Perhimpunan Agung UMNO menyatakan kesediaan untuk mati mempertahankan Najib.


Ternyata dalam hal ini, isteri Rizuan sendiri tidak sanggup mati bersama-sama suaminya untuk membela serta melindungi Najib yang terbukti melakukan salah laku.


Maka, ketiga-tiga wanita ini sepatutnya diberikan penghargaan dan pengiktirafan yang sewajarnya atas sumbangan mereka membongkar satu lagi penyelewengan di peringkat tertinggi kerajaan yang diketuai oleh Najib. (ShahbudinHusin 27/11/2018)

Monday, 26 November 2018

WAYANG KULIT NAJIB DI SEBALIK ARAHAN PINDA LAPORAN AUDIT 1MDB


Walaupun tidak disebut dalam bentuk pengakuan yang jelas, tetapi nyata boleh difahami oleh sesiapa saja bahawa Najib Razak secara tidak langsung mengakui beliau telah mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan audit 1MDB.


Berhubung pendedahan Ketua Audit Negara, Dr. Madinah Mohamad bahawa Najib melalui Ketua Setiausaha Sulitnya ketika itu, Shukry Salleh yang mengarahkan pindaan itu, peguam Shafee Abdullah berkata, maklumat yang dikeluarkan daripada laporan audit itu bukanlah perkara yang baru.


Maklumat yang dikeluarkan itu, salah satunya ialah mengenai kehadiran Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.


Najib dalam kenyataannya kemudian juga menegaskan, maklumat berkaitan kehadiran Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB yang dikeluarkan daripada laporan audit itu sama sekali bukan perkara baru.


Kata beliau, maklumat tersebut sudah pun disebut dan dilaporkan sejak tahun 2015 lagi.


Sehubungan itu, beliau menafikan tindakan mengeluarkan maklumat itu sebagai percubaan untuk menutup sesuatu berkaitan skandal 1MDB.


Tetapi, jika ia bukan maklumat baru dan tidak pula sebagai percubaan menutup skandal 1MDB, mengapa ia diarah dipadamkan daripada laporan audit itu?


Bukankah maklumat itu sepatutnya dibiarkan saja ada dalam laporan audit?


Sudahlah begitu, selepas maklumat tersebut dikeluarkan, laporan audit itu kemudiannya diletakkan pula di bawah Akta Rahsia Rasmi atau OSA.


Makna kata, setelah pindaan dibuat dengan membuang maklumat mengenai kehadiran Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB, laporan audit itu akhirnya tidak boleh dibaca oleh sesiapa akhirnya kerana telah diletakkan di bawah OSA.


Jadi, untuk apa diarahkan pindaan jika akhirnya ia diletakkan di bawah OSA?


Kebiasaannya, oleh kerana tidak ada pindaanlah maka barulah logik laporan audit itu diletakkan di bawah OSA.


Ehh..apa Najib buat ni?


Sebenarnya, di sinilah terletaknya wayang kulit yang cuba Najib pentaskan untuk menyelamatkan dirinya dan melindungi Jho Low dalam skandal 1MDB.


Najib memang mahu pada akhirnya laporan audit itu didedahkan kepada umum untuk membuktikan beliau bersih dan tidak melindungi apa-apa atau sesiapa dalam skandal 1MDB yang menjadi perbualan di seluruh dunia.


Tetapi, sementara beliau mengarahkan Kementerian Kewangan membayar hutang-hutang 1MDB dan menyelesaikan beberapa perkara lainnya, laporan audit itu perlu diOSAkan terlebih dahulu.


Ia bagi memberi ruang agar beban hutang 1MDB dapat dikurangkan secara perlahan-lahan, sambil dalam waktu yang sama beliau berusaha memenangi PRU14 yang lalu.


Perkara pokok yang penting bagi Najib untuk menutup "kurap dan pekung"  1MDB ialah BN menang PRU14.


Apabila dalam tempoh beberapa tahun selepas PRU14 dan dalam keadaan BN kekal berkuasa serta beban hutang 1MDB juga berjaya dikurangkan, maka pada ketika itulah Najib akan tampil menunjukkan keikhlasannya dengan melepaskan laporan audit yang diOSAkannya itu untuk bebas dibaca oleh rakyat seluruhnya.


Sudah tentu laporan audit yang sudah dilepaskan daripada OSA dan boleh dibaca oleh rakyat itu tidak ada langsung menampakkan apa-apa yang sumbing atau sumbang sama ada berkaitan Najib sendiri atau campurtangan Jho Low dalam urusniaga 1MDB kerana segala-galanya telah pun dipadamkan.


Tambahan lagi ketika itu BN telah pun diberi mandat untuk berkuasa dan Najib masih lagi merupakan Perdana Menteri.


Najib akhirnya dapat membuktikan tiada apa-apa skandal dalam 1MDB, malah dengan sikap telus yang ditunjukkannya, dirinya juga akan ternampak suci bersih bersamanya.


Malangnya, semua wayang kulit Najib itu tidak menjadi kenyataan sebagaimana cuba dirancang apabila BN kalah PRU14 dan beliau sendiri tersingkir sebagai Perdana Menteri.


Bahkan dengan perkara itu terdedah sekarang ini, Najib dan beberapa pegawai kerajaan lain yang tunduk kepada arahannya itu bukan saja akan disiasat satu persatu, malah tidak mustahil turut dihukum secara bersama atas perbuatan yang jelas suatu pengkhianatan kepada negara. (ShahbudinHusin 26/11/2018)

BUKAN TOLAK ICERD, TAPI TOLAK TUN MAHATHIR....


Mengikut hukum akal yang waras, apabila kerajaan sudah membuat keputusan tidak akan menandatangani ICERD, sepatutnya isu tersebut sudah pun menemui titik penamatnya.


UMNO dan Pas yang sebelum ini merancang untuk mengadakan perhimpunan pada 8 Disember sebagai bantahan terhadap ICERD juga sudah boleh membatalkan rancangan mereka dan menumpukan kepada kerja-kerja lain yang lebih bermanfaat untuk parti masing-masing.


Tetapi, meskipun setelah kerajaan membuat keputusan itu, UMNO dan Pas terus juga mahu berhimpun pada 8 Disember nanti.


Selain kedua-dua parti memberi alasan mahu terus berhimpun sebagai tanda untuk mengucapkan terima kasih dan bersyukur, persoalan-persoalan berbentuk andaian turut dimainkan untuk menghalalkan mereka meneruskan perhimpunan tersebut.


Antara persoalan berbentuk andaian yang terus dilontarkan ialah belum tentu Pakatan Harapan tidak akan menandatangani ICERD pada masa depan, kenyataan Tun Mahathir Mohamad mengenai ICERD tidak boleh dipercayai, kerajaan mungkin menandatangani ICERD di masa akan datang dengan cara yang lain dan berbagai hujah yang lain lagi.


Untuk itu, kata UMNO dan Pas, tiada jaminan sebenarnya ICERD yang ditolak hari ini tidak akan ditandatangani pada masa akan datang.


Maka, tambah UMNO dan Pas lagi, perhimpunan pada 8 Disember ini mesti dan wajib diteruskan sebagaimana yang dirancang.


Selain itu, pelbagai kongres dan wacana berkaitan ICERD juga terus diadakan untuk menghangatkan suasana, manakala pemimpin UMNO dan Pas pula menjelajah ke seluruh negara mengajak penyokong masing-masing agar tetap turun beramai-ramai ke ibu kota pada 8 Disember nanti.


Apakah makna semua ini?


Kedegilan UMNO dan Pas untuk terus berhimpun pada 8 Disember depan tidak lain memperlihatkan niat sebenar kedua-dua parti itu bahawa ICERD bukanlah sasaran yang sebenarnya yang mahu mereka diperjuangkan, tetapi yang dimatlamatkan ialah untuk mengajak rakyat menolak kepimpinan Tun Mahathir.


ICERD hanyalah alasan untuk membakar serta meniup semangat rakyat agar menolak Tun Mahathir, malah kalau boleh, menjatuhkannya terus.


UMNO masih terasa sakitnya kehilangan kuasa, manakala Pas semakin geram kerana tak pernah kesampaian hajatnya untuk memperolehi kuasa, ditambah lagi Tun Mahathir yang dihina dan dicerca dengan pelbagai gelaran sebelum PRU14 lalu, kini sudah pun berjaya menjadi Perdana Menteri akhirnya.


Bersekali dengan puluhan kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh Zahid Hamidi dan Najib Razak, kepuasan UMNO yang disokong oleh Pas hanya akan tercapai apabila mereka berjaya mengoncang dan menjatuhkan Tun Mahathir.


Dalam hal ini, UMNO dan Pas jelas tidak boleh bersabar menunggu tempoh PRU15 untuk bersaing kembali dengan Pakatan Harapan merebut kuasa melalui cara yang sah.


Ini kerana PRU15 dianggap terlalu lama untuk ditunggu dan ketika itu Zahid Hamidi dan Najib mungkin sudah berada di dalam penjara atas sabitan berhubung kesalahan yang telah mereka lakukan.


Hanya dengan Tun Mahathir berjaya disingkirkan di mana barangkali selepas itu sebuah kerajaan campuran yang baru akan dibentuk atau setidak-tidaknya hadir seorang Perdana Menteri baru yang boleh dilembutkan hatinya, maka barulah dilihat ada kemungkinan kes-kes mahkamah yang dihadapi itu boleh digugurka atau kesalahan diampunkan.


Sebab itu, kerajaan perlu segera bertindak tegas dalam hal ini. Jangan biarkan sentimen kaum dan agama terus dimain dan dibakar oleh UMNO dan Pas yang tidak sukar difahami ada agenda lain di sebalik ICERD yang sedang mereka mainkan.


Percayalah, jika perhimpunan 8 Disember nanti tidak pantas ditangani dengan tegas oleh kerajaan, UMNO dan Pas akan terus bermaharajalela memainkan sentimen kaum dan agama untuk kepentingan politik bagi mencapai agenda besar mereka iaitu menolak Tun Mahathir.


Apabila sekali ia sudah dibiarkan bermula, mungkin sudah terlewat untuk menghentikannya. (ShahbudinHusin 26/11/2018)

Sunday, 25 November 2018

DARIPADA PEMBOHONG KEPADA PENGKHIANAT, APAKAH INI DIRESTUI ZAHID HAMIDI?


Perghhh....makin dahsyat Utusan sekarang ini!


Meskipun akhbar itu masih dimiliki UMNO dan berada di bawah kawalan Zahid Hamidi selaku Presidennya, tetapi serangannya kepada bekas Perdana Menteri, Najib Razak yang kini sudah hilang kuasa nampaknya bukan kepalang dan seolah-olah tiada simpati sama sekali.


Sebelum ini selepas interbiu dengan Al-Jazeera di mana Najib mengatakan beliau tidak pasti sumber sebenar wang RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadinya, Utusan dengan keras menuduh bekas Perdana Menteri itu sebagai pembohong.


Kata akhbar itu, rakyat dan ahli UMNO seolah-olah tertipu apabila Najib selama ini mengatakan dana berbilion ringgit yang diterimanya itu adalah derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi.


“Tidak masuk akal Najib tak tahu sumber wang sebesar itu setelah pendedahan demi pendedahan yang menjurus bahawa wang itu datangnya daripada Tanore Finance yang dimiliki oleh Jho Low,” bidas Utusan lagi.


Terbaru ini dengan pendedahan oleh Ketua Audit Negara bahawa Najib telah mengarahkan pindaan terhadap laporan asal audit 1MDB dengan mengeluarkan beberapa fakta, antaranya berkaitan kehadiran Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah syarikat pelaburan itu, Utusan sekali lagi melakukan serangannya.


Kali ini Utusan menganggap Najib sebagai pengkhianat negara berikutan tindakannya mengarahkan pindaan kepada laporan audit itu.


Daripada pembohong, kini pengkhianat negara - sangat mengejutkan jika yang melabel demikian kepada Najib ialah akhbar milik UMNO sendiri di mana ketika Najib menjadi Perdana Menteri sebelum ini, sudah tentu banyak bantuan telah dihulurkan oleh beliau kepada akhbar berkenaan.


Kenapa Utusan begitu keras menyerang Najib sedangkan akhbar berkenaan adalah milik UMNO dan Zahid Hamidi yang kini menjadi Presiden UMNO serta mengawal akhbar itu juga adalah kawan baik kepada Najib sendiri?


Apakah Utusan tidak mengenang budi?


Bolehkah dipercayai tindakan Utusan ini?


Adakah Utusan mahu mengambil hati rakyat Malaysia yang sudah menolak UMNO atau langkah terbaru akhbar itu memang direstui oleh Zahid Hamidi sebagai isyarat agar Najib tidak terlalu banyak membuka mulut dan sebaiknya hanya duduk diam-diam menanti kesnya dibicarakan di mahkamah?


Adakah Zahid Hamidi sebenarnya berasa semakin lemas dan rimas kerana Najib tidak mahu duduk diam serta kekerapannya terus bersuara  telah membayangi dan menenggelamkan kedudukannya sebagai Presiden UMNO? (ShahbudinHusin 25/11/2018)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...