Sunday, 30 June 2013

Yang Salah Ialah Siapa Yang Lantik Azeez Rahim Pengerusi Tabung Haji


Perlantikan Azeez Rahim, Ahli Parlimen Baling dan Pengerusi Kelab Putra 1Malaysia sebagai Pengerusi Tabung Haji yang baru menjadi isu dan pertikaian kebanyakan orang dalam sehari dua ini. Banyak pihak dalam UMNO turut meluahkan rasa kurang senang dengan perlantikan itu, manakala yang mengenali Azeez pula ada yang tersenyum dan ada pula yang menggelengkan kepala sebaik mendengar berita itu.

Azeez yang juga dikenali sebagai Azeez Putra, Azeez Gaza dan macam-macam gelaran lagi adalah seorang aktivis UMNO yang rajin dan gigih. Bermula dengan mengetuai Biro Putra Pemuda UMNO Malaysia, kemudian menang sebagai Ahli MT UMNO dan menerajui Kelab Putra 1Malaysia pula, beliau bukan saja aktif dalam mendekati mat rempit tetapi juga aktif menghulurkan bantuan bila saja ada mala petaka menimpa.

Melalui Kelab Putra yang diterajuinya, beliau menjelajah ke seluruh dunia menghulurkan bantuan seperti di Indonesia, Thailand, Jepun dan banyak negara lain. Beliau juga membawa rombongan membawa makanan dan ubat-ubatan ke Gaza dan Palestin dalam misi kemanusiaannya.

Di dalam negara, beliau aktif menghulurkan bantuan. Asal saja ada kejadian buruk seperti banjir, tanah runtuh atau apa saja, kelibatnya pasti ada. Di Baling, kawasan di mana beliau berpolitik juga, sumbangannya diketahui dan dirasai oleh ramai orang.

Dalam politik UMNO pula, beliau dikenali sebagai orang yang rajin mencium tangan pemimpin dan membuatkan kehadirannya disedari. Ketika Pak Lah menjadi Perdana Menteri, beliau mempunyai hubungan yang rapat sehingga boleh bercakap melalui telefon. Di era Najib pula, hubungannya dengan keluarga Perdana Menteri lebih intim dan kemas. Dalam beberapa pilihanraya kecil, terutamanya pilihanraya kecil Ulu Selangor beberapa tahun dulu, beliau memainkan peranan menyelesaikan masalah peneroka Felda Sungai Buaya sehingga akhirnya calon BN Kamalanathan berjaya menewaskan calon PKR, Zaid Ibrahim.

Kerana hubungannya yang rapat dengan Perdana Menteri, dalam menjalankan misi kemanusiaannya melalui Kelab Putra ke perbagai negara, beliau dilihat agak mudah memperolehi bantuan dan sumbangan. Ketika berbual pula, pujiannya mengenai Perdana Menteri jarang terpisah dari bibirnya.

Dalam pilihanraya lalu, beliau menang di Baling menewaskan calon Pas, Najmi Ahmad walaupun ramai yang menjangkakan beliau akan tewas kerana calon Pas itu merupakan tokoh agama yang agak dikenali umum. Sementara perwatakan, perangai, latar belakang malah ijazahnya juga dipertikaikan, Azeez akhirnya berjaya menyumbang satu kerusi daripada 133 yang dimenangi oleh BN.

Selepas kemenangannya yang mengejutkan itu, ada juga yang meramalkan Najib akan melantiknya sebagai timbalan menteri kerana hubungannya yang rapat dengan Perdana Menteri.

Memang ramai yang mempertikaikan perlantikan Azeez sebagai Pengerusi Tabung Haji. Perlantikannya dilihat tidak sesuai dengan kedudukan Tabung Haji sebagai GLC yang besar, kukuh dan berkait rapat pula dengan rukun Islam kelima. Ramai yang melihat Tabung Haji lebih sesuai dipengerusikan oleh individu lain seperti bekas menteri atau bekas pegawai kanan kerajaan mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran dan pengurusan. Atau setidak-tidaknya bukanlah di kalangan mereka yang dipertikaikan banyak sisi kehidupannya.

Beberapa pemimpin UMNO pula mencadangkan agar perlantikan pengetusi GLC dibuat berdasarkan kelayakan dan track record seseorang dan tidak semata-mata sekadar mengisi kekosongan atau kerana ingin memberi ganjaran kepada seseorang kerana GLC seperti Tabung Haji berkait rapat dengan perniagaan, keuntungan serta ibadah, maka seseorang penerajunya mestilah seseorang yang berintergeriti tinggi dan tidak diperkatakan karektornya.

Sebelum ini bekas menteri, Syed Hamid Albar pernah diberi surat perlantikan sebagai Pengerusi Tabung Haji sebaik Najib menjadi Perdana Menteri tetapi kemudian dipujuk agar menolak dan memulangkan surat perlantikan itu berikutan adanya bantahan daripada pihak tertentu yang tidak menyukai Syed Hamid. Beliau kemudian diberikan jawatan Pengerusi SPAD atau Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

Isunya apakah Azeez lebih berintergeriti di mata Najib berbanding Syed Hamid Albar?

Dalam hal ini, ramai yang melihat perlantikan Azeez adalah permulaan kepada pendekatan Najib memberi ganjaran kepada Ahli-Ahli Parlimen BN yang diketepikan dalam pemberian jawatan kabinet selepas pilihanraya lalu. Sebelum ini Ahli Parlimen Mersing, Dr Latif Ahmad turut dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad dan khabarnya beberapa Ahli Parlimen lain akan mendapat berita gembira yang sama tidak berapa lama lagi, tambahan pula banyak GLC mempunyai kekosongan ketika ini.

Pemberian itu mungkin sebagai ganjaran dari sikap murah hati Perdana Menteri tetapi ramai juga yang melihat ianya sebagai pendekatan Najib untuk memastikan Ahli-Ahli Parlimen BN ini tidak berpaling tadah daripadanya jika berlaku sesuatu di Parlimen nanti.

Walaupun Azeez dilihat oleh banyak pihak tidak layak atau kurang sesuai menjadi Pengerusi Tabung Haji, mungkin kerana peribadinya, mungkin kerana karektornya, mungkin kerana pengalaman dan pengetahuannya dalam dunia korporat tidak mencukupi atau mungkin kerana 1001 sebab yang lain tetapi tidak menjadi kesalahan jika beliau melobi atau berhajat untuk menduduki kerusi itu.

Sebagai ahli politik, tambahan pula kini sudah menjadi Ahli Parlimen, Azeez mungkin mempunyai keinginan untuk meningkatkan taraf sosialnya di mata umum. Sama ada beliau melobi untuk mendapatkan jawatan itu atau kerana Najib memberinya sebagai suatu anugerah tanpa diminta, Azeez sebenarnya tidak boleh dipersalahkan dalam hal ini. Tidak salah beliau meminta atau menawarkan diri.

Yang perlu dipersalahkan ialah Najib yang melantiknya. Najib seharusnya tahu bahawa beliau sekarang menguruskan sebuah kerajaan dan pemberian sesuatu jawatan, sama ada menteri, timbalan menteri atau pengerusi GLC mestilah berasaskan kelayakan dan kebolehan seseorang itu. Perlantikan tidak boleh dibuat secara tangkap muat atau kerana seseorang penyokong setia atau juga kerana seseorang itu kerap mencium tangannya ketika bersalam.

Tidak semestinya semua kawan, penyokong setia dan mereka yang mencium tangan perlu diberikan jawatan dalam kerajaan kerana mereka ini boleh diberikan ganjaran dalam bentuk lain yang tidak menjejaskan prestasi atau kewibawaan kerajaan yang sedang dipimpinnya.

Pelantikan yang silap dan menjadi pertikaian umum akhirnya akan menjejaskan nama Perdana Menteri juga. (SH 30/06/2013)

Saturday, 29 June 2013

Apabila Idris Harun Terasa Dirinya Harun Idris


Isu Jonker Walk terus menggegar Ketua Menteri Melaka, Idris Harun yang sebelum ini menjadi bahan sindiran kerana mahu mempatenkan resepi asam pedas terbaik negeri itu melalui hasil suatu pertandingan bagi memeliharanya sebagai suatu produk warisan negeri yang perlu dipertahankan.

Idris yang baru sebulan lebih menjadi Ketua Menteri menggantikan Ali Rustam sebelum ini dilaporkan mahu menutup Jonker Walk, kawasan perniagaan barangan seperti cenderamata, t shirt dan sebagainya yang mirip seperti kawasan perniagaan Petaling Street untuk mengurangkan masalah kesesakan di negeri itu. Berikutan adanya bantahan atas tindakan itu, Menteri Pelancongan, Nazri Aziz ikut masuk campur dan kemudian dijelaskan bahawa ianya hanya melibatkan pembukaan jalan di kawasan perniagaan itu kerana adanya rungutan orang awam berkenaan kesesakan lalu lintas yang teruk. Kononnya pula, ia hanya percubaan selama empat minggu sahaja dan akan dikembalikan seperti biasa selepas itu.

Dalam masa yang sama, tindakan yang dibuat oleh Idris itu dikecam oleh pelbagai pihak terutama DAP sebagai amalan politik balas dendam terhadap masyarakat Cina berikutan keputusan pilihanraya lalu yang menyaksikan komuniti itu menolak BN.

Sementara tindakan Idris itu terus dibantah, terdapat pula pihak lain termasuk bolgger pro UMNO yang memuji tindakan Idris itu sebagai suatu pengajaran kepada pengundi Cina yang majoritinya tidak menyokong BN. Idris dalam masa yang sama dilihat pemimpin yang berjiwa Melayu yang tinggi atas tindakannya itu kerana majoritinya peniaga di aitu adalah orang Cina dan peniaga Melayu didakwa tidak mendapat manfaat yang besar daripadanya.

Berikutan isu itu terus dimainkan, Idris kemudiannya membuat keputusan yang lain pula dalam mesyuarat Exco Kerajaan Melaka iaitu membuka laluan untuk kenderaan dan di ketika yang sama membuka juga kawasan perniagaan Jonker Walk sebagai suatu keputusan menang-menang kepada para peniaga dan juga kepada para pengguna jalanraya. Namun keputusan ini menyebabkan beliau dikecam juga kerana dianggap tidak tegas dan ibarat menjilat ludahnya kembali.

Bagaimanapun tindakan beliau itu tidak juga meredakan keadaan. Selain peniaga-peniaga, menteri yang menjaga pelancongan negara, Nazri Aziz sekali lagi bersuara membantah. Beliau berkata, pembukaan serentak laluan untuk kenderaan dan kebenaran untuk berniaga sebenarnya lebih menyebabkan kesesakan. Lagi pula, kata Nazri, dengan membenarkan kenderaan lalu lalang di kawasan itu, ia tidak akan dikenali lagi sebagai Jonker Walk, sebaliknya sudah menjadi Jonker Drive.

Demi kepentingan pelancongan dan oleh kerana produk Jonker Walk lebih bernilai tinggi berbanding asam pedas dari segi menggamit kehadiran pelancong ke negeri itu, Nazri juga berjanji akan mengembalikan kawasan itu sebagaimana kedudukan asalnya dalam masa terdekat ini. Terlihat seperti Nazri amat tidak bersetuju dengan Idris dalam isu Jonker Walk ini. Dalam masa yang sama, MCA juga merayu kepada Idris agar menarik balik pembukaan jalan untuk kenderaan itu dan menjadikan kawasan perniagaan Jonker Walk sebagaimana ia diwujudkan dulu.

Isu Jonker Walk seperti mendatangkan malang kepada Idris. Beliau mungkin berniat baik dan mahu menunjukkan jiwa Melayunya yang tinggi sepertimana bekas Menteri Besar Selangor, Harun Idris yang memang terkenal sebagai pemimpin berjiwa Melayu yang tinggi dengan mewujudkan perkampungan Melayu seperti Kampung Baru dan Kampung Pandan di tengah-tengah Kuala Lumpur. Kebetulan pula nama keduanya hanya terbalik nama bapa sahaja.

Tetapi Idris harus menyedari bahawa beliau hidup dalam era 1Malaysia di mana kepimpinan negara termasuk Najib amat berhati-hati dalam perkara-perkara yang melibatkan kaum Cina kerana tidak mahu terus kehilangan sokongan daripada masyarakat itu. Tindakan Idris dalam isu Jonker Walk boleh saja ditafsirkan beliau tidak mempunyai semangat seperti Najib, malah dianggap mengamalkan gaya politik balas dendam.

Lebih-lebih lagi dalam rekodnya menjadi pemimpin, bermula daripada menjadi Exco Pemuda UMNO, sekejap sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan Pengerusi Syarikat Perumahan Negara, jiwa dan perjuangan Melayunya tidak tergambar langsung di mata umum walaupun dalam ucapannya suatu ketika dulu, beliau pernah juga memperkenalkan dirinya secara bergurau dengan menyebut, "nama saya Idris Harun, kalau diterbalikkan jadi Harun Idris."

Terlihat ada kecenderungan untuk menjadi popular dan gah seperti Harun Idris, bekas Menteri Besar Selangor itu, walaupun karektor dan wibawanya jauh berbeza. Isu Jonker Walk ini menjadikan beliau lagi jauh berbeza. Tindakannya bukan saja menjadi kecaman ramai, malah tidak dipersetujui oleh seorang menteri kabinet, Nazri Aziz yang jauh lebih senior dan mempunyai hubungan yang lebih rapat dengan Najib.

Dalam mengurus sebuah kerajaan negeri seperti Melaka, kalau pun tidak mahu berguru dengan Rahim Tamby Chik yang juga pernah memimpin negeri itu, Idris seharusnya banyak belajar daripada pendahulunya, Ali Rustam yang dikenali sebagai antara Ketua Menteri Melaka yang hebat, tenang dan disukai ramai serta mempunyai keghairahan yang tinggi memajukan negeri itu. Walaupun kalah di Bukit Katil dan tidak memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan, beliau terus bekerja dan berjumpa dengan rakyat seperti biasa.

Jika idea Idris mengenai asam pedas mengundang ketawa dan Jonker Walk pula meletakkannya ke lembah pertikaian ramai, cabaran di hadapannya jauh lebih besar lagi. Sekiranya berterusan begini, kedudukannya di Melaka tentunya bakal mengundang rasa tidak senang di hati Perdana Menteri dan hayatnya di Melaka mungkin hanya sepenggal saja. (SH 29/06/2013).



Friday, 28 June 2013

Akhirnya Demokrasi Dalam UMNO Mahu Dibuka Rantai Di Kakinya


Setelah riuh-rendah dengan kemunculan berbondong-bondong pengampu, pembodek dan tukang kipas yang mahu menyelamatkan karier politik Najib dengan mencadangkan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan, malah dikekalkan secara percuma kepada penyandang sedia ada, tiba-tiba Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor menyatakan kedua-dua jawatan itu boleh dipertandingkan.

Kata Ku Nan lagi, semua jawatan tertinggi parti terbuka untuk ditandingi dan sesiapa saja yang mahu bertanding, boleh mendaftarkan diri untuk berbuat demikian, sesuai dengan peraturan baru yang diperkenalkan oleh UMNO. Katanya lagi, semua jawatan dalam UMNO akan ada pertandingan kali ini.

Sebelum ini, sebaik keputusan terburuk yang dicapai oleh BN dalam pilihanraya lalu, ramai pemimpin UMNO tampil menyarankan agar kedua-dua jawatan tertinggi dalam UMNO itu tidak dipertandingkan atas alasan menjaga perpaduan, selain menganggap gandingan Najib dan Muhyiddin sudah merupakan gabungan yang terbaik untuk parti.

Selain UMNO Negeri Sembilan dan Sabah yang menjadikan tiadanya pertandingan itu sebagai resolusi, sebahagian besar pemimpin UMNO turut menyokong cadangan itu. Malah Ku Nan sendiri sebelum ini dilaporkan bersetuju tiadanya pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO atas alasan UMNO mengamalkan demokrasi terpimpin dan bukannya demokrasi sebenar.

Dua bekas Perdana Menteri, Mahathir dan Pak Lah juga dilaporkan bersetuju agar tiada pertandingan bagi kedua-dua jawatan tertinggi itu.

Walaupun demikian, di peringkat akar umbi rata-ratanya mahukan pertandingan diadakan kerana berasakan transformasi politik yang diperkenalkan Najib dengan meminda peraturan pertandingan haruslah dibuktikan bukan sekadar dengan kata-kata tetapi dengan keberanian melalui tindakan juga. Lagi pula 146,500 orang yang digegak-gempitakan sebagai perwakilan yang boleh memilih pucuk pimpinan UMNO kali ini berbanding hanya 2,500 sebelum ini, turut tidak sabar untuk memainkan peranan mereka.

Dalam pada itu, kalangan akar umbi juga berpandapat, tiada apa yang perlu dibimbangkan dengan pertandingan kali ini mendatangkan kesan kepada perpaduan kerana pilihanraya baru saja berakhir dan pilihanraya seterusnya hanya akan diadakan lima tahun lagi iaitu pada 2018. Dan jika pun mahu dielakkan pertandingan untuk menghadapi pilihanraya, ia sepatutnya pertandingan pada 2016 nanti.

Untuk pemilihan pucuk pimpinan kali ini, ramai yang berpendapat biarlah sesiapa saja mahu menawarkan diri untuk mencabar Najib, sama ada Muhyiddin atau Tengku Razaleigh. Biarlah demokrasi disuburkan kembali dan keputusan pilihanraya lalu diadili oleh UMNO pula sama ada mereka masih mahu mengekalkan Najib atau sebaliknya bagi menghadapi pilihanraya yang seterusnya nanti.

Kenyataan Ku Nan yang secara tiba-tiba memberi lampu hijau kepada pertandingan dalam UMNO, terutamanya dua jawatan tertingginya, ternyata disambut baik dan membuktikan kecenderungan untuk membuka semula ruang demokrasi dalam UMNO yang selama ini diikat dan dirantai kakinya.

UMNO kali terakhir menyaksikan pertandingan bagi jawatan Presiden UMNO ialah pada 1987 bilamana Tengku Razaleigh mencabar Mahathir. Walaupun Mahathir menang dengan 43 undi tetapi demokrasi dalam UMNO selepas itu bagaikan diikat dan dipasung kakinya melalui pelbagai peraturan dan kekangan yang diperkenalkan oleh beliau terutamanya sistem kouta pencalonan.

Tetapi apabila Najib mengambil alih kepimpinan parti dan negara, beliau telah membuang semua peraturan tidak demokratik itu kerana menyedari pelbagai peraturan dan kekangan itu telah menyebabkan orang-orang Melayu semakin menjauhi UMNO.

Bagaimanapun apabila PRU 13 menghasilkan keputusan terburuk dalam sejarah BN dengan hanya kemenangan 133 kerusi dan hilang undi popular, kebarangkalian kedudukan Najib dicabar juga tinggi kerana beliau dianggap pemimpin yang paling gagal sepanjang kewujudan UMNO. Lantas, untuk mempertahankan Najib, muncul kembali cadangan agar tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sedangkan transformasi politik UMNO telah diperkenalkan sebelum itu.

Lalu UMNO kembali menjadi bahan cecehan ramai dan transformasi Najib dianggap palsu. Transformasi yang bertujuan menjadikan parti lebih demokratik dan inklusif, rupa-rupanya lebih cenderung melahirkan pembodek, pengampu dan tukang kipas semata-mata.

Di sisi yang lain, keadaan ini menjadikan UMNO makin dijauhi terutamanya oleh generasi muda yang sarat dengan idealisme serta ghairah kepada persaingan. Mereka melihat UMNO bukan lagi wadah untuk perjuangan dan memupuk bakat kepimpinan, sebaliknya lebih merupakan parti untuk kelompok elit tertentu sahaja.

Setelah demokrasi dirantai kakinya selama 26 tahun ini dalam UMNO, ia akan terus memberi kesan kepada penerimaan orang-orang Melayu dan meraih sokongan dalam pilihanraya akan datang. UMNO dengan demokrasi yang diikat kakinya hanya akan kekal menjadi parti kampungan dan menerima sokongan dari desa pedalaman saja tetapi akan terus disisih oleh generasi muda, Melayu bandar dan separa bandar.

Barangkali atas kesedaran ini dan harapan yang tinggi agar UMNO dan BN mendapat sokongan yang lebih baik dalam PRU 14 nanti, maka Ku Nan cuba membuka ikatan yang memasung kaki demokrasi dalam UMNO selama ini. Kini disedarinya jika demokrasi tidak dihidupkan kembali, kemungkinan UMNO akan mati kerana terus ditolak oleh orang-orang Melayu adalah lebih tinggi lagi. (SH 28/06/2013)




Thursday, 27 June 2013

Apa Lagi Alasan Pengerusi SPR Selepas Ini?


Jawapan Shahidan Kassim di Parlimen mengenai dakwat kekal yang sebenarnya hanya menggunakan pewarna makanan benar-benar memeranjatkan semua pihak. Ia seperti pukulan maut untuk SPR. Setelah SPR bertegang urat mempertahankan isu dakwat kekal yang banyak dipertikaikan sebelum ini, tetapi dengan jawapan Shahidan ini, kita rakyat Malaysia seperti diperbodohkan mengenai dakwat kekal itu.

Malah ramai yang mengeluh, ini rupanya bentuk Malaysia tanahairku setelah 56 tahun merdeka.

Penggunaan dakwat kekal yang didapati tidak kekal dalam pilihanraya lalu menjadi isu besar kepada rakyat. Setelah rakyat yang mengundi mendapati ia tidak kekal sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh SPR, ramai yang bising mengenainya. Ramai yang membuat laporan polis mengenainya demi untuk mempertahankan proses demokrasi, termasuk seorang anggota tentera yang kemudian dikenakan tindakan di peringkat jabatan atas perbuatan yang sebenarnya berniat murni itu.

SPR pula begitu pantas mempertahankan kekekalan dakwat itu setiap kali ia dibangkitkan. Kononnya ia sudah diuji dan ketidakkekalannya adalah kerana ia tidak digoncang sebelum diguna. Kononnya kalau digoncang betul-betul, ia akan tahan lama. Petugas yang mencalit dakwat diletakkan kesalahan kenapa dakwat itu mudah luntur.

Kemudian apabila ia terus dipertikaikan, SPR memberi jawapan lain pula. Kononnya bahan kimia yang digunakan iaitu nitrat perak dalam dakwat itu terpaksa dikurangkan atas nasihat Kementerian Kesihatan. Seorang timbalan menteri yang juga Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan, turut bercakap dengan hujah yang sama.

Namun kemudian SPR dimalukan pula apabila Menteri Kesihatan berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan laporan mengenai pengurangan nitrat perak dalam dakwat itu.

Apabila is terus dipertikaikan, SPR lalu menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat mengenai perkara itu untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Agak menghairankan, mereka yang menyediakan dakwat kekal itu, mereka juga yang mengujinya, mereka juga yang mempertahankannya tetapi akhirnya kerana tekanan rakyat, menubuhkan jawatankuasa pula.

Namun untuk mengaku kesilapan, jauh sekali. Rakyat pula terus keliru

Sementara rakyat di bawah terus bercakap mengenai dakwat kekal yang tidak kekal ini dan mempertikaikan kewibawaan SPR, isu ini sering saja tenggelam timbul. Tetapi rakyat hairan dengan jawapan dolak-dalik dan tidak konsisten SPR mengenai isu ini. SPR seolah-olah memberi jawapan ikut sedap mulut saja dan bukan berdasarkan fakta sebenar.

Dalam ertikata lain, jawapan SPR seperti hujah politik seorang Ketua UMNO Cawangan saja layaknya.

Dengan jawapan Shahidan di Parlimen bahawa tiada bahan kimia digunakan dalam dalwat kekal itu, sebaliknya hanya pewarna makanan saja, Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR sepatutnya menghantukkan kepala masing-masing ke dinding jika mereka faham erti wibawa dan integeriti. Ini benar-benar memeranjatkan dan jelas bahawa pelbagai jawapan yang diberi selama ini bohong belaka. Ahmad Maslan pun turut menjadi pemimpin yang berbohong kepada rakyat.

Sudahlah hanya pewarna makanan yang digunakan, kos pembelian dakwat kekal yang menececah RM7.1 juta turut menjadi isu. Kalau hanya dakwat yang menggunakan pewarna makanan, bagaimana boleh harganya mencecah semahal itu?

SPR kini tidak boleh berdolak-dalik lagi. Jawapan Shahidan di Parlimen lebih dipercayai berbanding pelbagai hujah SPR di sidang media. Kewibawaan SPR sebagai pengendali pilihanraya yang bebas dan adil sudah berakhir. Rakyat berhak mempertikaikan pelbagai isu mengenai pengendalian pilihanraya oleh SPR memandangkan untuk menguruskan hal yang begitu mudah seperti dakwat kekal pun, mereka tidak mampu melakukannya dengan baik.

Rakyat juga hairan kenapa dakwat kekal di negara kita menjadi begitu kalut sedangkan penggunaannya di India dan Bangladesh tidak pernah timbul masalah dan sudah digunakan sejak puluhan tahun lamanya. Jika susah sangat, import saja dakwat yang sama yang digunakan di kedua-dua negara itu!

Dalam hal ini, memang tiada alasan lagi untuk Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR mempertahankan diri mereka. Sudah sampai masanya mereka secara sukarela mengundurkan diri dan meletakkan jawatan. Tidak perlulah berdolak-dalik lagi mengatakan perlantikan mereka atas perkenan Yang Dipertuan Agong dan memaksa berundur kononnya mempertikaikan peranan dan perlantikan baginda itu.

Terus mempertahankan benang basah hanya mengeruhkan lagi keadaan. Letak jawatan dan biar orang lain yang lebih berwibawa memimpin SPR. Memandanfkan pilihanraya kecil Kual Besut akan diadakan tidak lama lagi, sebaiknya mereka mengundurkan diri sebelum pilihanraya itu berlangsung.

Ternampak sekarang, dengan pelbagai kemelut ini, merekalah yang sebenarnya sedang mencemar nama baik Yang Dipertuan Agong, sistem demokrasi dan Raja Berperlembagaan di negara ini dengan jawapan dan hujah yang entah apa-apa dan ikut sedap mulut saja mengenai dakwat kekal yang dipertaikaikan oleh seluruh rakyat Malaysia. (SH 27/06/2013)

Wednesday, 26 June 2013

Syed Hamid Nak Tembak Ghani Atau Najib?


Dengan tidak semena-mena, malah dari celahan kabus jerebu, tiba-tiba Syed Hamid Albar bersuara mengenai tindakan bekas MB Johor, Ghani Othman yang bertanding dan kalah di Gelang Patah melawan tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang yang disifatkannya telah memalukan UMNO Johor.

Menurut bekas menteri itu, sepatutnya biar orang lain saja yang bertanding di Gelang Patah itu kerana kekalahan Ghani itu telah menyebabkan UMNO Johor ditimpa malunya.

Tindakan Syed Hamid menyerang Ghani secara tiba-tiba ini menimbulkan banyak persoalan sebenarnya. Kenapa setelah Ghani kalah baru beliau bersuara sedangkan sebelum pilihanraya dulu, suaranya hilang entah ke mana? Sebagai salah seorang pemimpin UMNO Johor, sepatutnya beliau bersuara mengenai perkara ini sebelum pemilihan calon dulu lagi dan bukannya sekarang?

Selain itu, sebagai seorang bekas menteri dan Ahli MT UMNO, Syed Hamid juga sepatutnya tahu bahawa pemilihan calon di peringkat Parlimen bukannya diputuskan oleh Ghani secara individu tetapi kata akhirnya ditangan Najib selaku Pengerusi BN.

Walaupun Syed Hamid adalah anak singa UMNO iaitu Syed Jaafar Albar yang terkenal kerana garang dan tegasnya sebagai pemimpin tetapi dalam UMNO sepanjang menjadi pemimpin dan menteri, Syed Hamid hampir tidak mewarisi semangat bapanya. Beliau, malah lebih dikenali sebagai singa jinak dalam UMNO kerana sifatnya yang mudah akur dan mengalah.

Tetapi bila tiba-tiba suaranya kedengaran nyaring setelah pencen ini, pelbagai persoalan dan tanda-tanya timbul.

Dalam soal Ghani bertanding di Gelang Patah, sebelum pilihanraya lagi sudah kedengaran suara-suara simpati terhadap bekas MB Johor itu berikutan pemilihannya oleh pucuk pimpinan sebagai calon BN untuk menentang Lim Kit Siang di Gelang Patah. Ini kerana walaupun kerusi itu dimenangi oleh calon BN dari MCA pada pilihanraya 2008 tetapi memandangkan arus penolakan pengundi Cina yang begitu kuat terhadap BN, ramai yang menjangkakan Ghani akan kecundang.

Namun dikhabarkan pucuk pimpinan berfikiran lain. Mereka merasakan dengan kedudukan Ghani sebagai MB Johor ketika itu, beliau dilihat mampu mengalahkan Lim Kit Siang dan seterusnya menjatuhkan moral politik DAP serta PR yang ketika itu begitu bersemangat mahu menawan Putrajaya.

Ghani pula, jika beliau boleh memilih, sudah tentu beliau mahu terus kekal bertanding di peringkat DUN dan kekal sebagai MB Johor. Atau kalau mahu dipindahkan juga bertanding di Parlimen, tentulah pilihannya adalah di Ledang di mana beliau menjadi Ketua UMNO Bahagian di situ sejak dulu lagi. Lagi pula beliau juga pernah menjadi Ahli Parlimen Ledang sebelum ini.

Mustahil sebenarnya Ghani secara sukarela menawarkan diri bertanding bukan di kawasan di mana politiknya bertapak kerana tindakan itu hanya umpama menempah maut saja, lebih-lebih lagi jika lawannya ialah tokoh seperti Lim Kit Siang.

Jika beliau bertanding di Ledang di mana beliau menjadi Ketua UMNO Bahagian dan mengenali semua pengundinya, daripada pengemis sehinggalah kaki pukul, sudah tentu memperolehi kemenangan menjadi lebih mudah jadinya.

Dalam hal ini, tidak diragukan lagi sebenarnya tindakan Ghani bertanding di Gelang Patah adalah pengorbanannyan untuk memastikan kelestarian UMNO dan BN di Johor, selain memperlihatkan sifat akurnya terhadap kehendak pucuk pimpinan, terutamanya Najib.

Walaupun pengorbanan Ghani itu sudah dibalas dengan perlantikannya sebagai Pengerusi Sime Darby, tetapi menyalahkan beliau seorang diri atas keputusan bertanding di Gelang Patah dan kemudiannya kalah, adalah suatu tindakan yang tidak masuk akal.

Kesalahan sepatutnya ditujukan kepada Najib selaku Pengerusi BN yang memutuskan Ghani sebagai calon di situ. Jika keputusan meletakkan Ghani di Gelang Patah itu sebagai suatu kesilapan yang akhirnya memalukan UMNO Johor, kesilapan itu seharusnya dipikul oleh Najib yang tidak bijaksana dalam menilai percaturan berdasarkan suasana politik semasa ketika itu.

Jadi, tembakan Syed Hamid terhadap orang yang memalukan UMNO Johor ini sebenarnya ditujukan kepapada siapa? Ghani Othman atau Najib Razak? Apakah tembakan itu ada kena-mengena dengan pemilihan UMNO hujung tahun ini? (SH 26/06/2013)


Tuesday, 25 June 2013

Apa Salahnya Anwar Angkat Sumpah Dan Minum Semeja Dengan Najib?


Tindakan Anwar dan 88 Ahli Parlimen PR yang lain hadir mengangkat sumpah di Parlimen semalam menjadi isu besar terbaru untuk menyerang beliau dan pakatan pembangkang yang diketuainya. Ini kerana majlis angkat sumpah itu berlangsung di ketika yang sama berlakunya juga protes berterusan terhadap keputusan pilihanraya sehingga ada yang sanggup tidur dalam khemah dan baring di jalanraya menuju ke Bangunan Parlimen.

Anwar sebelum itu mengadakan roadshow Blackout 505 di seluruh negara mempertikaikan SPR dan pada 22 Jun lalu adalah kemuncak perhimpunan aman yang diadakan di Padang Merbok. Ia kemudian diikuti dengan sekumpulan anak muda berkhemah di Padang Merbok serta melakukan protes bantahan di laluan menuju ke Parlimen.

Anwar lantas dituduh mengamalkan sikap talam dua muka dan politik dua wajah. Di ketika beliau menyeru pengikutnya agar terus membantah keputusan pilihanraya dan mempertikai kewibawaan SPR, di ketika yang sama juga beliau mengiktiraf keputusan pilihanraya dengan hadir mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen. Dalam hal ini tidak saja Anwar yang dituduh menganiaya penyokong sendiri, malah kesemua 88 Ahli Parlimen PR lainnya ditaksir bersubahat sama.

Kemudian tersebar pula gambar-gambar Anwar duduk minum semeja dengan Najib dan Muhyiddin dalam keadaan riang dan gelak ketawa seolah-olah tiada permusuhan antara mereka. Gambar Anwar bergambar bersama Najib dan Speaker serta lain-lain Ahli Parlimen juga disebarkan untuk memberi bukti kononnya Anwar menerima keputusan pilihanraya walaupun di masa yang sama mengajak penyokongnya membantah keputusan itu.

Penulis blog dan pengendali laman sosial pro UMNO melihat isu ini sebagai hidangan terlazat untuk menyerang dan mempertikai Anwar serta Pakatan Rakyat. Mereka memainkan isu ini semahu-mahunya untuk menggoncang keimanan politik anak-anak muda yang condong menyokong perjuangan PR seolah-olah mereka hanya alat dan dipermain-mainkan oleh Anwar dan Ahli-Ahli Parlimen PR yang lain.

Ternampak ramai juga penyokong pro pembangkang yang mula goyah dengan isu ini dan merasakan ada kebenarannya. Ada yang terasa hati, terguris perasaan dan tersentap jiwa melihat aksi dan gelagat Anwar itu. Ada pula yang berkata, kalau pun mahu bergembira dan bersenyum ketawa dengan Najib dan Muhyiddin, ia tidak seharusnya dilakukan di ketika penyokongnya sanggup mengorbankan jiwa berbaring di jalanraya dan mungkin pula dihumban ke penjara.

Kehadiran Anwar dan lain-lain Ahli Parlimen PR mengangkat sumpah sebenarnya sudah pun dijelaskan oleh banyak pihak, termasuk Anwar sendiri. Jika tidak hadir dan enggan mengangkat sumpah, risiko yang mendatang sebenarnya lebih tinggi. Oleh kerana pembukaan penggal pertama Parlimen ini akan dilakukan oleh Yang Dipertuan Agong, keengganan mengangkat sumpah boleh juga ditafsir sebagai tidak menghormati baginda dan derhaka kepada sistem Raja Berperlembagaan.

Memang ramai yang mahu mencabar Anwar dan Ahli-Ahli Parlimen PR yang lain supaya jangan mengangkat sumpah jika benar tidak setuju dengan keputusan pilihanraya. Ia hanyalah suatu bentuk provokasi yang bertujuan menghumban mereka ke lembah serangan yang lebih teruk lagi. Jika semua Ahli Parlimen PR tidak hadir dan memulaukan majlis angkat sumpah, serangannya tentu lebih teruk lagi. Kaitan dengan penderhakaan kepada Yang Dipertuan Agong akan dikaitkan sama.

Dalam hal ini kehadiran mengangkat sumpah adalah keputusan terbaik untuk mengelakkan serangan lebih buruk. Lagi pula dalam mempertikaikan peranan SPR, petisyen bantahan keputusan pilihanraya di beberapa kawasan tetap juga berjalan dan prosesnya tidak terganggu sama-sekali.

Ada pula yang berpendapat kenapa Anwar dan lain-lain Ahli Parlimen PR tidak memulaukan terus majlis angkat sumpah ini jika benar ingin membantah? Tindakan ini juga berisiko tinggi. Walaupun selepas majlis angkat sumpah semalam, Ahli-Ahli Parlimen masih mempunyai masa enam bulan untuk berbuat demikian tetapi ia bergantung pula kepada adanya hal-hal mustahak yang tidak boleh dielakkan sebagai alasannya.

Tetapi tindakan ini juga boleh dianggap tidak menghormati, malah mempersenda Yang Dipertuan Agong yang bakal merasmikan pembukaan Parlimen itu. Mereka yang tidak mengangkat sumpah tidak boleh hadir di majlis pembukaan yang akan dilakukan oleh Yang Dipertuan Agong. Jika ini berlaku, tentulah serangan dan kecaman terhadap Ahli Parlimen PR ini lebih dahsyat lagi.

Ada pula kelompok lain berkata, jika benar mahu membantah, kenapa tidak dipulaukan terus Parlimen sehingga tempoh enam bulan supaya pilihanraya kecil semula boleh diadakan? Memang benar jika selepas tempoh enam bulan tidak mengangkat sumpah, kedudukan Ahli Parlimen seseorang itu akan terlucut tetapi tidak semestinya perlu diadakan pilihanraya semula.

Jika kes itu dibawa ke mahkamah dan pihak mahkamah kemudian mendapati tindakan tidak mengangkat sumpah itu sesuatu yang sengaja dan tidak disebabkan hal-hal yang terlalu mustahak, dan akhirnya memberi kemenangan kepada calon yang kalah dan tidak mengadakan pilihanraya kecil semula, akhirnya semua 89 kerusi PR ini akan dimenangi secara percuma oleh BN. Tentulah tak pasal-pasal BN menang 100% di kesemua 222 kerusi Parlimen.

Dalam masa yang sama, peraturan pilihanraya juga menetapkan mereka yang sengaja meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen tidak boleh bertanding semula untuk tempoh 5 tahun. Ini bermakna, jika pun dengan terus tidak mengangkat sumpah dan pilihanraya kecil diadakan semula, Anwar, Haji Hadi, Lim Kit Siang, Nurul Izzah dan lain-lainnya tidak boleh dicalonkan untuk bertanding semula.

Tentulah lagi haru jadinya dalam PR. Siapa yang nak jadi calon dan jika apa pun calonnya, tentulah mereka tidak sama dengan wibawa Anwar, Haji Hadi, Lim Kit Siang dan Nurul Izzah.

Mengenai duduk minum semeja dengan Najib dan Muhyiddin serta majlis bergambar kemudiannya, ia sememamgnya sudah dirancang sedemikian rupa sebaik majlis angkat sumpah berakhir dan dari segi protokol memanglah tempat duduk Anwar sebagai Ketua Pembangkang bersama dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Begitu juga dengan majlis bergambar, memanglah juga tempat Ketua Pembangkang bersama Perdana Menteri mengapit kedudukan Speaker.

Jika Anwar memulaukan majlis itu, beliau akan dilihat tidak tahu bersosial dan tidak menghormati adab di majlis rasmi. Pemulauannya pasti akan mengundang kecaman yang lain pula.

Lagi pula tidak ada salahnya Anwar duduk semeja dan bergelak ketawa sambil minum-minum di Parlimen kerana mereka bukan bermusuh secara peribadi. Mereka hanya bermusuh dari segi dasar, hujah dan pendekatan untuk mentadbir negara. Mereka bukan seperti dua ahli gusti yang tidak boleh bertemu langsung dan jika bertemu pula asyik mahu bertumbuk dan bergasak. Anwar dan Najib juga bukanlah seperti dua beradik yang berebut harta pusaka yang tidak boleh bertemu serta duduk semeja langsung.

Soal berbeza pendapat dengan Najib dan BN adalah soal lain dan begitu juga usaha menekan SPR dan untuk memastikan pengendalian pilihanraya oleh SPR betul-betul bebas dan adil, adalah juga soal lain. Ia tidak harus dibakulkan sekali dengan kehadiran di majlis angkat sumpah dan kemudian duduk minum semeja dengan Najib. Politik ialah pergaduhan berhujah dan mempertahankan prinsip. Duduk minum semeja dan bergambar asal tidak rebah prinsip perjuangan dan mengalah hujah tanpa sebab, tidaklah ada salah dan cacat-celanya.

Sementara penyokong Anwar dan PR diminta bersikap matang untuk menilai permainan ini, mereka yang membesar-besarkan isu ini juga sebenarnya tidak matang dalam memahami erti politik dan demokrasi dalam ertikata yang sebenar-benarnya. (SH 25/06/2013)

Monday, 24 June 2013

Di Luar Jerebu, Di Dalam Parlimen Pun Jerebu Juga!!


Majlis pembukaan dan angkat sumpah Ahli-Ahli Parlimen hari ini berlangsung dalam suasana yang berbeza dengan sebelumnya. Selain kawalan ketat pihak polis di sekitar Bangunan Parlimen untuk mengelak sebarang kemungkinan yang tidak baik, di laluan ke Parlimen pula berlaku tunjuk perasaan dan protes oleh anak-anak muda yang dihalau oleh DBKL daripada Padang Merbok pada 4.30 pagi tadi.

Tunjuk perasaan secara aman di laluan utama ke Bangunan Parlimen itu bukan saja membawa poster yang mengktitik dan mempertikai SPR dan pimpinannya tetapi kemudiannya diikuti dengan aksi berbaring di atas jalanraya oleh beberapa orang penunjuk perasaan itu.

Sebelum ini, pada Sabtu telah berlaku perhimpunan aman di Padang Merbok yang kemudian diikuti dengan tindakan sekumpulan anak-anak muda bermalam di dalam khemah di padang itu bagi meneruskan bantahan mereka terhadap SPR. Pada mulanya mereka merancang untuk melakukan protes dan tinggal di dalam khemah itu sehingga majlis angkat sumpah dan ada sebahagiannya yang lebih cekal mahu berbuat demikian sehingga Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletakkan jawatan.

Bagaimanapun penunjuk perasaan itu hanya dapat bermalam di Padang Merbok tidak sampai dua malam apabila pada 4.30 awal pagi tadi, khemah-khemah mereka dirobohkan oleh DBKL dan dipaksa meninggalkan tempat awam itu. Mereka kemudiannya bagaimanapun meneruskan tunjuk perasaan di laluan utama menuju Parlimen pula.

Cuaca berjerebu tebal ternyata tidak menghalang kira-kira 200 penunjuk perasaan ini meneruskan bantahan dan meluahkan perasaan mereka. Beberapa orang daripada mereka kemudiannya ditangkap polis dan dibawa ke lokap polis di Jinjang. Mungkin mereka disimpan di situ untuk beberapa hari setelah tahanan reman diperolehi nanti.

Apa pun ini merupakan suatu episod yang pertama kali berlaku di mana majlis pembukaan dan angkat sumpah diselubungi dengan pelbagai kejadian sejak beberapa hari yang lalu. Sudahlah pemandangan gelap kerana diliputi jerebu, keceriaan majlis di Parliman pagi ini juga menjadi suram dengan aksi tunjuk perasaan dan adanya kawalan ketat oleh pihak polis itu. Sudahlah pedih mata dan paru-paru dimasuki asap jerebu, ada hati yang turut pedih dibuatnya juga.

Ini tentunya boleh membawa berbagai persepsi dan perbezaan pandangan mengikut penilaian masing-masing.

Selain jerebu di luar Parlimen, di dalam bangunan Parlimen juga suasana persidangan menampakkan kecenderungan akan muncul jerebu yang lebih tebal lagi. Dengan BN hanya mempunyai kelebihan sebanyak 23 kerusi berbanding PR, persidangan sudah mula menampakkan suasana yang panas dan mendebarkan.

Dalam pemilihan Speaker, suasana kekecohan sudah mula berlaku. Sebelum ini Anwar sudah memberi amaran agar pemilihan Speaker dilakukan secara undi sulit berikutan mereka akan mencalonkan seorang bekas hakim, Abdul Kadir Sulaiman untuk jawatan itu. Sementara ternampak Najib bersedia memenuhi tuntutan undi sulit itu tetapi apa yang berlaku dalam kertas undi diperlukan pula seseorang Ahli Parlimen itu menulis nama penuhnya juga.

Logiknya undi sulit apa kalau diperlukan meletakkan nama?

Dua wakil PR, Mahfuz Omar dan Gobind Deo lantas mengemukakan bantahan kerana mendakwa ianya melanggar peraturan tetapi ditolak mentah-mentah. Tenampak bahawa Najib masih takut untuk melakukan undi sulit yang benar-benar sulit sepertimana yang difahami oleh semua orang. Mendakwa undi sulit tetapi perlu menulis nama, bukanlah sulit sebenarnya. Budah sekolah tak lulus UPSR pun tahu kaedah itu bukan sulit.

Jika undi sebegitulah yang mahu dilakukan, lebih baik guna undi angkat tangan saja. Tak ada berbeza apa-apa pun.

Tetapi itulah yang dilakukan di Parlimen pagi ini. Seperti yang diduga tentulah calon Spekaer BN, Pandikar Amin Haji Mulia menang dengan 133 kerusi menewaskan lawannya yang mendapat 89 undi.

Cara pemilihan ini menampakkan Najib masih meragui kesetiaan Ahli-Ahli Parlimen BN. Beliau seperti dibayangi ketakutan akan kemungkinan adanya Ahli Parlimen ini yang belot dan menikamnya dari belakang. Tersebarnya berita bahawa sekumpulan Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak mengadakan perjumpaan dengan Tengku Razaleigh untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap layanan Putrajaya rupa-rupanya menimbulkan ketakutan yang bukan kepalang kepada Najib.

Dengan Sabah dan Sarawak menyumbang 1/3 daripada kemenangan BN tetapi hanya diperuntukkan 20 jawatan menteri dan timbalan menteri sebenarnya menimbulkan ketakutan bahawa kemungkinan Ahli Parlimen yang lain melakukan protes dan memihak kepada usaha undi tidak percaya terhadapnya. Inilah yang ditakuti Najib. Setelah menang pilihanraya, beliau kini bimbang disingkirkan melalui undi tidak percaya pula.

Disebabkan ketakutan itulah, maka pemilihan Speakar pun dilakukan secara sulit yang tidak sulit. Oleh kerana pada hari pertama lagi pun sudah berlaku kejadian seperti ini, adalah dijangkakan sidang Parlimen kali ini akan terus panas dengan pertikaman lidah, tuduh-menuduh, serang-menyerang hujah dan pelbagai aksi panas yang lain. Cara pemilihan Speaker yang dipertikaikan itu akan meleret kepada perdebatan dalam perkara-perkara yang lain selepas ini.

Walaupun mungkin dalam beberapa hari lagi jerebu mula beransur hilang, tetapi jerebu di dalam Parlimen akan terus berpanjangan setiap kali persidangan berlangsung. (SH 24/06/2013)


Sunday, 23 June 2013

Apa Kata Jika Pimpinan SPR Berkorban Untuk Kebaikan Negara Pula?


Perhimpunan aman di Padang Merbok sudah pun berakhir dengan aman dan tanpa sebarang kejadian buruk. Tetapi masih ada sekumpulan pendemonstrasi yang mahu terus kekal di Padang Merbok. Ada yang mahu berkhemah sehingga hari Isnin iaitu hari pembukaan sessi Parlimen baru yang akan dilakukan oleh Yang Dipertuan Agong manakala yang lainnya pula mahu berkhemah sehingga Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletakkan jawatan. Antara yang mahu berkhemah sehingga kedua pimpinan tertinggi SPR itu berundur ialah Tian Chua, Ahli Parlimen Batu.

Sehingga ini dilaporkan hampir 50 khemah-khemah kecil didirikan di kawasan Padang Merbok itu. Jumlahnya mungkin bertambah dengan penyertaan kumpulan anak-anak muda yang lain pula. Tetapi mereka yang berkhemah itu mungkin juga berhadapan dengan tindakan keras pihak berkuasa seperti DBKL dan polis atas kesanggupan berkhemah itu. Mungkin mereka bakal diangkut ke lokap polis atau khemah dirobohkan di tengah-tengah malam.

Walau apa pun risikonya, ternampak bahawa anak-anak muda berhati waja ini sedia menghadapi apa saja. Melihat kesediaan mereka jni, ternampak bahawa ia sudah mirip demonstasi yang berlaku di beberapa negara Arab sebelum ini di mana ada yang sanggup tidur di jalanraya sehinggalah tuntutan mereka dipenuhi.

Jika dilihat dan diamati, matlamat perhimpunan aman ini bukanlah untuk menggulingkan kerajaan atau memaksa Najib berundur sebagai Perdana Menteri. Anwar dan PR seperti sudah dapat menerima hakikat bahawa BN telah menang pilihanraya yang lalu. Sasaran mereka hanyalah SPR yang didakwa menjalankan pilihanraya secara tidak adil dan penuh muslihat.

Yang dipertikaikan ialah dakwat kekal yang tidak kekal, pembersihan daftar pengundi, kewujudan pengundi hantu, persempadanan kawasan pilihanraya yang tidak adil, karektor Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR yang didakwa sombong, mirip kepada UMNO dan sebagainya. Atas semua itu, mereka mahu Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletakkan jawatan.

Anwar, Mat Sabu dan semua pimpinan PR serta NGO yang terlibat dalam perhimpunan itu mensasarkan SPR sebagai serangan mereka. Serangan terhadap Najib dan kerajaan BN tidak lagi kedengaran. Mereka hanya mahukan pimpinan SPR ditukar dengan orang lain. Itu saja. Tidak terdengar ada tuntutan yang mahu Najib berundur atau meletak jawatan kerana menjadi Perdana Menteri yang tidak sah.

Mereka hanya mahukan ada perubahan dalam SPR dalam menghadapi pilihanraya lima tahun lagi. Sasaran Anwar dan PR kini ialah PRU 14.

Kebarangkalian perhimpunan ini berterusan untuk tempoh beberapa lama sehingga pimpinan SPR tidak ditukar adalah tinggi. Mengenali karektor Tian Chua, Chegu Bard, NGO SMM, Adam Adli dan beberapa pihak yang berhati waja dalam perkara-perkara seperti ini, tidak mustahil perkhemahan di Padang Merbok ini bakak berlangsung untuk suatu tempoh yang agak lama lagi.

Jika dihalau dari Padang Merbok, mereka mungkin berkhemah dan berhimpun di tempat lain pula. Mungkin di Putraraya atau di depan pejabat SPR pula selepas ini. Maknanya, selagi Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR tidak ditukar, beberapa perhimpunan aman akan terus berlaku. Suasana negara juga akan terlibat tidak elok. Media dan masyarakat luar akan memerhati kita dengan pandangan yang serong terutama apabila ia disiar berulang-ulang kali di CNN, Al Jazeera dan sebagainya.

Selagi ada perhimpunan aman ini, Najib dan pimpinan kerajaan juga jadi pening kepala. Banyak kerja yang tergendala dan banyak pula perkara lain yang perlu difikirkan selain daripada memajukan megara.

Demi untuk keamanan negara dan jalan tengah menyelesaikan kemelut ini, adalah amat terpuji jika Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR secara sukarela meletakkan jawatan dan memberi ruang kepada kerajaan melantik orang baru mengetuai badan itu. Tidak perlulah Aziz Yusof dan Wan Ahmad terus berdegil dengan pelbagai kenyataan yang seolah-olah mahu terus kekal di kedudukan sekarang. Tidak perlu juga mereka memberi kenyataan yang seolah-olah mereka lebih UMNO daripada pemimpin UMNO sendiri kerana ia ia hanya memburukkan lagi nama parti itu. Tidak perlu juga menyatakan bahawa perlantikan mereka atas perkenan Yang Dipertuan Agong, semua orang tahu hal itu.

Semua kenyataan mereka itu hanya menyusahkan Najib dan kerajaan. Tindakan mereka terus kekal di kerusi empuk SPR itu juga mula menyusahkan Najib ketika ini. Najib pula mungkin serba-salah untuk memecat atau memaksa mereka berundur.

Anwar dan PR juga sudah dapat menerima hakikat keputusan pilihanraya lalu dan sekarang ini menjadikan sasaran mereka yang seterusnya ialah PRU 14. Biarlah dalam tempoh lima tahun ini Anwar dan PR terus berjuang untuk mencapai cita-citanya manakala Najib dan kerajaan pula dibiarkan meneruskan agenda pembangunan negara yang dirancang.

Jadi, apa kata sebagai jalan tengah untuk keamanan dan kebaikan negara, Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR secara sukarela meletakkan jawatan dan berundur daripada jawatan mereka sekarang sebagai suatu pengorbanan paling tinggi untuk negara? Berhentilah menyusahkan Najib dan kerajaan dan fikirkan kebaikan untuk negara pula.

Hanya itu jalan terbaik memulihkan keadaan sekarang ini. Semoga Aziz Yusof dan Wan Ahmad terbuka hatinya menjelang Isnin ini. (SH 23/06/2013)

Friday, 21 June 2013

Berapa Lama Lagikah Kerajaan Najib Boleh Bertahan?


Esok, 22 Jun akan berlangsungnya kemuncak perhimpunan Blackout 505 di Padang Merbok, Kuala Lumpur. Sejauh mana berjaya atau gagalnya perhimpunan itu menghimpunkan seramai mungkin rakyat membantah keputusan pilihanraya lalu, masih lagi menjadi misteri. Jika dinilai berdasarkan beberapa perhimpunan peringkat negeri yang boleh dianggap berjaya sebelum ini, kita tentunya boleh menjangkakan limpahan kehadiran di Padang Merbok itu walaupun pihak polis tetap menganggapnya sebagai perhimpunan haram.

Selain mengisytiharkan ianya haram, pihak polis juga dilaporkan akan meminta bantuan tentera untuk mengawal keadaan pada hari perhimpunan itu nanti. Sedikit-sebanyak ini mungkin menimbulkan rasa gementar di kalangan sesetengah rakyat untuk turut menyertainya.

Walaupun PR dan NGO yang terlibat dengan perhimpunan itu sedang bekerja keras memastikan ia benar-benar berjaya dan mampu meninggalkan impak yang diharapkan, sejauh mana ia benar-benar berjaya hanya dapat ditentukan pada hari perhimpunan itu berlangsung saja.

Perhimpunan aman ini walaupun sasaran dan tuntutan yang dimahukan oleh PR lebih kepada ditujukan kepada SPR tetapi kesannya tetap kepada kerajaan. Seluruh dunia akan memerhati keadaan negara kita berikutan perhimpunan itu nanti. Kehadiran yang ramai dalam perhimpunan esok akan menimbulkan persepsi bahawa kerajaan pimpinan Najib sedang ditolak oleh rakyat manakala jika berlaku unsur-unsur keganasan atau kecederaan pula, kerajaan akan dikecam kerana tidak menjaga keselamatan dan bertindak keras terjadap peserta perhimpunan.

Kehadiran yang ramai dalam perhimpunan esok juga akan memberi kesan kepada Parlimen yang bakal dirasmikan pembukaannya pada Isnin, 24 Jun nanti dan diikuti dengan permulaan sessi Parlimen pada hari berikutnya. Apatah lagi seperti yang dilaporkan, peserta perhimpunan juga akan berkampung di sekitar Bangunan Parlimen sehingga majlis perasmian pembukaannya oleh Yang Dipertuan Agong itu berlangsung.

Dalam keadaan itu, tidak dapat tidak, kerajaan pimpinan Najib akan dilihat semakin goyah serta lemah. Lalu, persoalan yang timbul, berapa lamakah Najib mampu bertahan jika perhimpunan seperti itu berterusan?

Di Parlimen dengan BN hanya mempunyai jumlah kerusi sebanyak 133 berbanding PR 89, ditambah wujudnya elemen tidak puas hati di kalangan sejumlah Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak terhadap Najib di mana mereka yang terbabit dilaporkan telah mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh Hamzah untuk meluahkan perasaan mereka itu, apa yang bermain di fikiran rakyat ialah apakah sessi Parlimen nanti akan memberikan jawapannya?

Apakah mungkin Ku Li dan PR dapat mencapai kata sepakat untuk membentuk sebuah kerajaan yang baru?

Walaupun sukar meramalkan apa yang bakal berlaku, sama ada undi tidak percaya kepada Najib bakal berlaku atau sebaliknya, tetapi yang pastinya ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Setidak-tidaknya sessi Parlimen yang bermula Isnin ini tetap mendatangkan debaran buat Najib.

Dalam masa yang sama jika Anwar dan PR terus menekan kerajaan dengan beberapa siri perhimpunan aman lagi di seluruh negara, ia akan menyebabkan kerajaan terus lemah dan mungkin pula memaksa Najib mengalah kepada beberapa tuntutan yang diminta oleh Anwar dan PR. Ini kerana jika keadaan terus tidak aman, kerajaannya makin dilihat lemah sementara persepsi dunia makin memburuk terhadap negara, Najib barangkali tiada pilihan selain mengalah dan sedia berunding.

Senario ini kerapkali berlaku di beberapa negara lain sebelum ini di mana akibat tuntutan di jalan-jalanraya oleh penunjuk perasaan secara berterusan, kerajaan negara terbabit akhirnya tunduk dan sedia berunding. Mungkin akhirnya sama ada pilihanraya semula diadakan atau hanya pilihanraya semula di kawasan-kawasan yang dipertikaikan saja. Atau mungkin juga Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR terpaksa berundur akhirnya. Apa pun pilihan Najib, beliau tentunya akan mengutamakan keamanan negara walaupun akan dilihat seperti tunduk kepada tuntutan Anwar. Jika berkeras dan melawan pula, Anwar dipercayai akan terus dengan pelbagai siri perhimpunan yang memang menjadi kelebihannya.

Dan sekiranya beberapa perbicaraan mengenai petisyen bantahan pilihanraya berlangsung pula kemudiannya, semua itu akan turut memberi kesan kepadanya. Sekali lagi, kerajaan pimpinan Najib akan menjadi tidak stabil terutama jika beberapa petisyen memihak kepada pembangkang.

Menjelang hujung tahun pula, UMNO akan mengadakan pemilihan pucuk pimpinannya. Walaupun terdapat kecenderungan untuk mengelak pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, terlihat juga arus yang mahu pertandingan menjadi terbuka sebagai bukti demokrasi masih wujud serta transformasi politik yang dijanjikan Najib bukan sekadar cakap-cakap tepi jalan saja.

Muhyiddin yang diharapkan oleh sebahagian ahli dan pemimpin UMNO untuk mencabar Najib, masih lagi mengambil sikap tunggu dan lihat. Beliau berkata, akan memutuskan perkara itu di suatu masa yang sesuai nanti. Terlihat seperti ada keinginan untuk mencuba bertanding. Begitu juga dengan Ku Li, sudah banyak dilaporkan di pelbagai medan penulisan bahawa beliau akan turut mencabar Najib kali ini.

Ini menjadikan sekirang-kurangnya tiga hambatan sedang menanti Najib iaitu serangan dan perhimpunan yang berterusan daripada Anwar dan PR yang boleh menyebabkan kerajaan terus lemah dan akhirnya mengalah demi keamanan dan kestabilan negara, kemungkinan berlakunya undi tidak percaya di Parlimen dan yang terakhirnya ialah kedudukannya sebagai Presiden UMNO akan dicabar dalam pemilihan parti.

Dengan ini, sukar meramalkan kedudukan Najib sebenarnya. Sejauh mana beliau mampu bertahan masih menjadi perbualan ramai. Dalam masa yang sama, Anwar dan PR juga masih mempunyai pilihan lain iaitu meneruskan momentum sokongan rakyat yang diterimanya dalam PRU 13 lalu sehingga ke PRU 14 jika ditakdirkan Najib terus juga kekal. Ia akan diadakan melalui pelbagai siri perhimpunan aman lainnya untuk menekan kerajaan sambil berterusan menuntut pilihanraya yang adil dan bersih dengan tujuan meningkatkan lagi sokongan rakyat terhadapnya.

Sebab itu, Tian Chua berkata, walaupun rakyat seperti tidak boleh menunggu tetapi Anwar sebenarnya boleh menunggu lima tahun lagi. (SH 21/06/2013)



Thursday, 20 June 2013

KJ Perlu Tanding Timbalan Presiden UMNO


Ketua Pemuda UMNO yang baru dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dilaporkan akan mengumumkan dalam masa terdekat ini jawatan yang bakal ditandinginya dalam pemilihan parti hujung tahun ini. Dalam masa yang sama, beliau juga berkata tiada masalah baginya jika jawatan Ketua Pemuda UMNO mahu dipertandingkan, malah mengalu-alukan sesiapa jua yang berhasrat mahu mencabarnya.

Walaupun secara umumnya ramai ahli Pemuda UMNO masih mahu KJ memimpin pergerakan itu, terutamanya setelah beliau dilantik sebagai menteri tetapi berdasarkan realiti dan cabaran UMNO masa kini serta keperluan untuk survival masa depan parti itu, sebenarnya adalah perlu KJ melangkah lebih jauh dari itu. Beliau perlu melepaskan jawatan Ketua Pemuda yang baru sepenggal dipegangnya itu dan bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pula.

Tidak kira sama ada kedudukan Najib sebagai Presiden UMNO akan dicabar oleh Muhyiddin atau Tengku Razaleigh atau pun sama ada Muhyiddin mahu mengekalkan jawatan timbalan presidennya sekarang, namun KJ perlu menunjukkan keberaniannya untuk bertanding jawatan nombor dua itu.

Beliau perlu bertanding untuk menunjukkan bahawa beliau adalah pemimpin pelapis yang paling sesuai mewarisi kepimpinan parti dan negara dalam tempoh yang terdekat ini. Ia juga untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa UMNO sedia berubah dan bergerak selari dengan keperluan semasa. Jika dilihat struktur kepimpinan parti yang ada sekarang, ia tidak menggambarkan pemegang jawatan nombor dua sebagai pemimpin pelapis. Ini kerana Muhyiddin yang menjadi orang nombor dua sekarang telah berumur 64 tahun lebih berusia daripada Najib yang berusia 59 tahun.

Di kalangan Naib Presiden pula, pemenang undi tertinggi bagi jawatan itu ialah Zahid Hamid yang juga lebih berusia 3 tahun berbanding Najib. Dua lagi Naib Presiden pula iaitu Hishammuddin dan Shafie Afdal seperti tidak cukup kualiti untuk menjadi pemimpin tertinggi parti dan negara berikutan pelbagai isu dan kelemahan yang sudah terpamer semasa memegang jawatan menteri lagi.

Di kalangan ahli UMNO dan rakyat biasa, kebergantungan mereka kepada Hishammuddin dan Shafie sebagai bakal pemimpin masa depan lebih menipis berbanding Zahid. Zahid lebih diterima dan mempunyai ramai penyokong. Masalahnya beliau lebih tua daripada Presiden. Begitu juga dengan Muhyiddin, beliau ada wibawa dan ketegasannya yang tersendiri tapi beliau juga lebih berusia daripada Presiden.

Orang yang menjadi timbalan seharusnya mempunyai perwatakan sebagai pengganti atau pemimpin pelapis. UMNO akan kelihatan sempurna jika pemimpin nombor duanya kelihatan ada wibawa dan diharapkan sebagai tokoh pengganti. Ia seperti UMNO ketika dipimpin oleh Mahathir dengan timbalannya Musa Hitam atau ketika Mahathir bersama Anwar sebagai timbalannya.

UMNO dalam dua era itu diterima baik oleh rakyat kerana rakyat melihat UMNO sebagai parti yang progresif dan menyediakan pelapisnya jika sesuatu berlaku kepada orang nombor satunya.

Di kalangan menteri-menteri kabinet yang ada, jika mahu dianggap sebagai pelapis dalam ertikata yang sebenarnya, tidak diragui lagi KJ adalah orangnya. Beliau berpendidikan, tegas, berani serta bijak. Perlantikannya sebagai menteri menyerlahkan lagi kebolehan serta bakat kepimpinannya dan kerana kelebihan itu juga kerajaan telah melantknya sebagai jurucakap kerajaan di peringkat antarabangsa.

Ketegasan dan keseriusannya untuk menyelesaikan beberapa isu yang berkaitan dengan kementeriannya mengundang pujian kepadanya. Rakyat pelbagai kaum ternampak menerimanya dengan baik sekarang ini walaupun masa lalunya mempunyai titik-titik hitam yang mungkin boleh mencacatkan kelancaran perjalanan karier politiknya. Namun sudah ramai yang boleh menerimanya sekarang dan menganggap apa yang dilakukannya dulu hanyalah sebagai gejala biasa kerakusan seorang anak muda yang terpana dengan kemilau kuasa.

Lagi pula, dengan Pas yang mempunyai pemimpin pelapis yang berwibawa seperti Husam Musa dan Nasharuddin Tantawi manakala PKR pula dengan Azmin Ali, Nurul Izzah dan Rafizi Ramli, UMNO sebenarnya tiada pilihan lain selain meletakkan KJ di kedudukan nombor dua dalam pemilihan parti hujung tahun ini jika mahu UMNO terus diterima dengan baik oleh rakyat.

Sekiranya UMNO gagal meletakkan pemimpin muda yang berwibawa dan digambarkan sebagai pemimpin pelapis yang sebenarnya, dibimbangi UMNO akan terus kehilangan sokongan rakyat terutama daripada generasi muda dan mereka yang celik komputer yang dijangka akan menjadi jumlah pengundi terbesar dalam pilihanraya lima tahun lagi.

Walaupun KJ baru berusia 37 tahun, sebenarnya usia itu sangat sesuai untuk beliau mula dilatih sebagai pemimpin pelapis untuk akhirnya muncul sebagai pemimpin sebenar dalam tempoh 5 atau 10 tahun akan datang. Ramai pemimpin dunia yang hebat sama ada di AS, Britain dan sebagainya muncul ketika mereka berusia awal 40an. Tidak kira sama ada Presiden UMNO dan Perdana Menteri selepas ini adalah Najib, Muhyiddin atau Tengku Razaleigh, tetapi KJ paling sesuai diletakkan di lapisan kedua untuk menggambarkan progresifnya UMNO sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan rakyat.

Bagi jawatan Presiden UMNO, perlu seseorang yang berwibawa, berpengalaman dan boleh diterima ramai untuk memegang jawatan itu. Oleh yang demikian, walaupun Muhyiddin dan Tengku Razaleigh yang disebut-sebut bakal bertanding jawatan Presiden UMNO lebih berusia daripada Najib tetapi ia tidak menjadi masalah dan rakyat boleh menerimanya. Yang penting mereka ada pengalaman, kewibawaan dan kebolehan. Tetapi untuk menjadi orang nombor dua atau timbalan kepada mereka itu, ia bukan saja perlu seorang yang berwibawa dan karismatik, ia mestilah juga lebih muda.

Jika tidak, UMNO bukan saja dilihat tidak progresif bahkan akan ketinggalan dalam merebut sokongan rakyat berbanding PAS dan PKR dalam PRU 14 nanti. (SH 20/06/2013)




Wednesday, 19 June 2013

Pendirian Mahathir Mengenai Kedudukan Najib Masih Diragui


Walaupun Mahathir dilihat menyokong agar pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak diadakan bagi mengelakkan perpecahan dalam UMNO, namun pendirian bekas Perdana Menteri itu masih lagi diragui. Kenyataan beliau tidak mendapat respon yang menggalakkan daripada pemimpin UMNO sendiri.

Kedinginan respon itu bukan saja disebabkan pemimpin UMNO sedar bahawa kehendak akar umbi adalah sebaliknya tetapi juga kerana mereka masih lagi ragu-ragu dengan kekukuhan kenyataan Mahathir itu.

Ada pemimpin UMNO yang hanya menganggap kenyataan Mahathir itu sekadar untuk menguji apa sebenarnya kehendak pemimpin bawahan dan akar umbi terhadap pertandingan jawatan tertinggi UMNO dan ada pula yang melihatnya sebagai kenyataannya untuk masa ini saja.

Mahathir, kata beberapa bekas pemimpin UMNO, bukan tidak biasa berubah-ubah pendiriannya sebelum ini.

Lagi pula, kata pemimpin UMNO yang lain, kenyataan Mahathir yang menyokong agar tiada pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO kali ini agar berlapik dengan Mahathir masih menyebut mengenai demokrasi yang sepatutnya membenarkan pertandingan dan kemungkinan pertandingan menyebabkan perpecahan serta pihak yang kalah menubuhkan parti baru.

Ini bermakna, kata pemimpin itu lagi, jika Mahathir dapat diyakinkan bahawa pertandingan tidak menyebabkan perpecahan yang serius, jauh sekali menyebabkan pihak yang kalah menubuhkan parti baru, malah semata-mata bertujuan menyuburkan demokrasi dan menyelamatkan kedudukan UMNO dalam PRU 14 nanti, pendiriannya tentu saja boleh berubah.

Pertandingan UMNO masih lama lagi dan macam-macam boleh berlaku dalam tempoh beberapa bulan ini, tidak mustahil pendirian Mahathir juga berubah, kata pemimpin itu lagi.

Selain itu, intipati dan maksud pertemuan Najib dengan Mahathir selama dua jam sekembalinya dari Jakarta kelmarin, masih lagi menimbulkan tanda-tanda. Ia dilihat bukan pertemuan biasa dan tentunya berlaku perbincangan yang serius dalam tempoh dua jam itu.

Ramai juga yang percaya, perbincangan keduanya bukan hanya mengenai kedudukan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden saja tetapi melangkaui banyak isu yang lain. Tambahan selepas pertemuan dan dalam perjalanan menghantar Najib ke keretanya, wajah Najib dilihat tidak begitu ceria berbanding Mahathir yang tampak lebih berseri dan tersenyum.

Najib dilihat tergesa-gesa mahu mengadakan pertemuan dengan Mahathir dan hasilnya pula seperti tidak menggembirakannya.

Dalam pada itu, hanya sehari selepas pertemuan itu, Mahathir juga sudah menunjukkan beliau berbeza pendapat dengan Najib. Jika Najib sebelum ini berkata kerajaan tidak akan mengawal internet dan melesenkan portal berita seperti di Singapura, Mahathir dalam sebuah forum semalam telah berkata sebaliknya.

Beliau secara terus-terang menyesal mewujudkan kekebasan internet yang diilhamkannya melalui MSC atau Multimedia Super Coridor sehingga kebebasan itu meninggalkan kesan yang huruk kepada sokongan rakyat terhadap UMNO dan kerajaan.

Kini saya terpaksa berfikir dua kali mengenainya, kata Mahathir lagi.

Sebelum ini mengenai kekuatan UMNO, Mahathir dan Najib juga berbeza. Sementara Najib berbangga dengan pencapaian UMNO yang menang 88 kerusi Parlimen berbanding 79 pada 2008, Mahathir pula menyifatkan orang Melayu menyokong UMNO kerana takut dengan Anwar yang bersekongkol dengan DAP akan mendatangkan bahaya yang lebih besar kepada masa depan mereka jika PR berjaya menubuhkan kerajaan dan bukannya kerana kekuatan parti itu lagi.

Meskipun Tengku Adnan juga mengatakan UMNO mengamalkan demokrasi terpimpin dan selesa tiadanya pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden, hakikatnya kehendak di peringkat akar umbi amat berbeza. Setelah 26 tahun tiada pertandingan Presiden UMNO, ramai yang mahu melihatnya menjadi kenyataan kali ini, tambahan pula pilihanraya sudah berakhir dan tiada apa yang perlu dibimbangkan mengenai perpecahan lagi.

Ramai yang percaya pertandingan kali ini tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada perpaduan UMNO kerana yang sepatutnya dibimbangi ialah pemilihan pada 2016 nanti yang lebih hampir dengan ketibaan pilihanraya pada 2018. (SH 19/06/2013)

Tuesday, 18 June 2013

Mahathir Masih Fikir Ahli UMNO Bodoh-Bodoh Belaka


Tindakan Mahathir menyokong agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti hujung tahun ini, tidaklah begitu memeranjatkan. Mahathir nampak selesa dengan Najib kerana Perdana Menteri dilihat tidak menyekat kebebasannya, malah kadang-kadang akur dengan kehendaknya. Malah, selain anak-anaknya yang lain mempunyai kebebasan penuh untuk meneruskan perniagaan terutama dengan Petronas, seorang lagi anaknya juga sudah dijadikan Menteri Besar Kedah oleh Najib.

Dengan semua keselesaan itu, semua orang boleh memahami kenapa Mahathir menyokong agar tiada pertandingan. Tikus yang sudah berada dalam tong beras, mustahil merasakan kehidupan lain lebih baik. Sebagai bekas Perdana Menteri yang berasa dirinya masih berpengaruh, Mahathir hanya mahu dihargai dan diberi kebebasan untuk bercakap apa saja. Sesiapa yang menyekat kebebasannya itu akan dilawannya, bahkan akan cuba dijatuhkannya.

Ini berbeza dengan era Pak Lah dulu. Bukan saja projek-projeknya dibatalkan dan musuh politiknya, Anwar dibebaskan tetapi Mahathir juga tidak dipakai lagi. Pak Lah ada penasihat-penasihatnya sendiri. Kemudian apabila beliau cuba bersuara, dia juga cuba disekat. Maka, tidak menghairankan beliau menyerang dan berkempen menjatuhkan Pak Lah ketika itu.

Namun dalam Mahathir menyokong agar tiada pertandingan ini, hujah yang diberikannya agak dangkal dan tersasar. Beliau melahirkan kebimbangan jika pertandingan kedua-dua jawatan yang kini disandang oleh Najib dan Muhyiddin itu menjadi kenyataan, ia akan menyebabkan perpecahan dalam UMNO dan di kalangan orang-orang Melayu.

"Mengikut amalan demokrasi kita patut ada pertandingan tetapi orang Malaysia tidak begitu faham amalan demokrasi sebenar. Kalau kalah, mereka akan tarik diri (keluar parti) dan tubuhkan parti lain dan ini akan menyebabkan UMNO dan orang Melayu berpecah lagi.

"Sehubungan itu saya sokong ada pertandingan tetapi bukan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden," katanya lagi.

Mahathir juga mengimbas kemenangan tipisnya sebanyak 43 undi ditangan Tengku Razaleigh pada 1987 yang kemudian menyebabkab munculnya parti Semangat 46 untuk menjustifikasikan apa yang dicakapkannya itu sebagai benar lagi benar dan tiada yang benar melainkan yang benar belaka.

Dalam hal ini, amatlah malang kerana Mahathir seolah-olah menganggap orang-orang Melayu dan ahli UMNO masih bodoh semuanya sehingga tidak dapat memahami erti demokrasi yang sebenar walaupun sudah 56 tahun mencapai kemerdekaan. Apakah benar semua orang masih tidak faham erti demokrasi? Benarkah juga orang Melayu atau ahli UMNO, bila kalah bertanding, lalu merajuk dan menubuhkan parti lain?

Elok diingatkan Mahathir bahawa orang Melayu sudah maju dan berfikiran terbuka, bukan saja dalam pendidikan, perniagaan dan pemikiran, malah dalam memahami demokrasi juga. Tokoh-tokoh Melayu yang berjaya tentunya beliau lebih mengetahui bilangan dan kejayaannya.

Mengimbas peristiwa pertandingan 1987 sebagai hujah ulangan dalam banyak percakapan politiknya menunjukkan Mahathir masih dibayangi oleh rasa bersalahnya atas kejadian itu. Penubuhan Semangat 46 bukanlah kerana kecewanya Tengku Razaleigh kerana kalah dalam pertandingan itu. Ia ditubuhkan untuk menghidupkan semula UMNO lama yang telah diharamkan dan digantikan dengan UMNO Baru.

Dalam UMNO Baru yang ditubuhkan oleh Mahathir, beliau telah menghalang orang-orang tertentu yang tidak sebulu dengannya daripada menyertai parti itu. Tengku Razaleigh dan Team B yang menentang Mahathir langsung tidak dibenarkan menyertai UMNO Baru tajaan Mahathir itu. UMNO Baru ketika itu hanya dianggotai oleh mereka yang sedia menyokong dan mengangguk saja.

Tidaklah benar orang yang kalah bertanding cenderung merajuk dan menubuhkan parti baru, melainkan mereka dihalang dan disekat. Semangat 46 pasti tidak wujud jika selepas UMNO diharamkan, semua orang dibenarkan kembali menyertai UMNO yang dihidupkan kembali itu. Namun itu tidak berlaku.

Tetapi sebenarnya itulah tujuan Mahathir, UMNO sengaja dimatikan dan diganti dengan UMNO Baru yang hanya eksklusif kepada penyokong-penyokongnya saja. Lalu selamatlah beliau dari terus dicabar. Tambahan pula bila diwujudkan kouta pencalonan tertentu kepada sesiapa yang berhasrat mencabarnya, tercapailah hasrat beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

Hakikatnya, kecenderungan pihak yang kalah menubuhkan parti baru bukan disebabkan mereka tidak memahami demokrasi tetapi kerana pihak yang menang terlalu takut dengan demokrasi. Demokrasi cuba disemaikan dengan unsur-unsur autokrasi dan kuku besi. Lihat saja ketika Sulaiman Palestin menentang Tun Hussein bagi jawatan Presiden UMNO, walaupun beliau kalah, beliau masih kekal dalam UMNO, tidak merajuk dan tidak juga menubuhkan parti baru.

Sebabnya tentulah kerana selepas menang Tun Hussein tidak mengenakan apa-apa sekatan kepada Sulaiman Palestin, bahkan masih melayannya seperti biasa sebagai ahli UMNO dan orang Melayu. Sebelum Mahathir menjadi Perdana Menteri, Tun Hussein dan Sulaiman Palestin lebih dulu memahami erti demokrasi dan mengajak orang Melayu berjiwa murni seperti itu.

Hujah Mahathir mengenai pemahaman orang Melayu tentang demokrasi ini jelas tersasar daripada hakikat yang sebenarnya, bahkan lebih menunjukkan beliau sedang dibayangi rasa bersalah sepanjang hayatnya atas kelicikan politik tidak bermoral yang pernah diamalkannya kerana terlalu ghairah mahu mengekalkan kuasa.

Pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak mendatangkan apa-apa mudarat kepada UMNO dan orang Melayu jika ia dilakukan dalam semangat pertandingan yang sihat. Janganlah asyik menyalahkan pihak yang kalah atas sesuatu malapetaka sedangkan selepas menang, pihak yang menang tadi membolot segala-galanya walhal dalam masa yang sama bercakap di sana-sini, yang menang tak menang semua, yang kalah tak kalah semua. (SH 18/06/2013).

Monday, 17 June 2013

Tindakan KJ Seharusnya Dipuji, Bukan Dikeji


Heboh diperkatakan orang dan menjadi perbualan ramai dengan perkhabaran bahawa Khairy Jamaluddin yang baru dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan telah melantik seorang wartawan daripada portal berita Malaysiakini, Regina Lee sebagai Setiausaha Akhbarnya. Beberapa blog dan pengendali laman sosial yang pro UMNO telah membidas perlantikan yang dibuat oleh KJ dengan menuduhnya tiada semangat Melayu dan seperti ingin menagih simpati serta undi daripada pengundi Cina disebalik tindakannya itu.

Lebih dari itu, Regina Lee juga didakwa seorang yang berpendirian mirip kepada pembangkang dan dikatakan mempunyai hubungan dengan pemimpin tertentu dalam DAP.

Sebelum ini, ketika KJ dilantik sebagai menteri, sementara ramai rakyat biasa dan pemimpin pembangkang sendiri mengucapkan tahniah kepadanya, terdapat juga blogger dan kalangan dalam UMNO sendiri yang mencurigai beliau. Kisah-kisah lamanya diungkit dan diimbas kembali dengan tujuan menimbulkan kecurigaan dan syak wasangka yang berterusan terhadapnya.

Beberapa tindakan awalnya sebagai menteri yang turut dilihat mempamerkan keterbukaan dan kematangannya sebagai pemimpin turut dipandang serong oleh kalangan daripada dalam UMNO sendiri. Sementara beliau dialu-alukan sebagai menteri kerana kebolehan dan kedudukannya sebagai Ketua Pemuda UMNO, di sisi yang lain terdapat juga cemuhan yang tidak kurang hebatnya terhadap apa saja yang dilakukannya.

Kini perlantikan Setiausaha Akhbarnya pula menjadi isu. Yang menyerang dan mencemuhnya, seperti biasa, lebih ramai di kalangan UMNO juga.

Oleh kerana sistem politik kita masih berasaskan kaum dan bangsa, maka perlantikan pegawai-pegawai kepada seorang menteri biasanya mengikut bangsa dan kaum menteri itu sendiri. Menteri Melayu atau UMNO akan melantik orang Melayu sebagai pegawainya, begitu juga menteri daripada MCA atau MIC akan melantik pegawainya daripada kaum Cina dan India.

Perkara ini sudah menjadi kebiasaan seolah-olah hukum yang tidak boleh diubah lagi. Walaupun Najib memperkenalkan dasar 1Malaysia dan sering menyeru kepada perpaduan serta penyatuan kaum, soal perlantikan pegawai kepada seseorang menteri tetap statik dengan dasar berasaskan kaum atau parti itu.

Sebab itu, tidak menghairankan bilamana tindakan KJ ini mendapat serangan serta bidasan daripada beberapa blog dan laman sosial yang pro UMNO. Beberapa pemimpin kecil dalam UMNO juga mempertikaikan perlantikan itu. Mereka tidak dapat menerima keterbukaan dan percubaan KJ untuk menerapkan semangat 1Malaysia dalam kerjayanya.

Sedangkan jika kita memahami semangat 1Malaysia itu, tindakan KJ ini seharusnya dipuji dan diberikan sanjungan atas tindakannya itu. Beliau nampaknya benar-benar memahami apa itu 1Malaysia dan tidak sekadar berkata-kata atau menyokong dasar itu saja, bahkan mempraktikkannya.

Dan kalau pun Regina Lee yang dilantiknya sebagai Setiausaha Akhbar itu mempunyai mirip dan pendirian yang lebih kepada pembangkang, keberanian KJ mengambilnya bekerja dengannya juga haruslah dipuji kerana sekurang-kurangnya beliau telah berjaya menambah seorang lagi penyokong pembangkang untuk beralih kepada kerajaan.

Jika benar Regina Lee seorang yang totok kepada pembangkang dan DAP, beliau tentunya akan menolak untuk bekerja dengan KJ dan kerajaan tetapi kesediaannya menerima tawaran bekerja itu menunjukkan beliau juga sebenarnya mempunyai sikap dan pemikiran yang terbuka. Sikap dan pendriannya yang lebih kepada pembangkang adalah fenomena biasa kepada anak-anak yang hidup di bandar dan terdedah kepada pelbagai maklumat tetapi tidak bermakna beliau menolak sepenuhnya BN dan kerajaan.

Dalam hal ini KJ sebenarnya telah bertindak bijak dengan membawa seseorang yang dikenali mirip pembangkang bekerja dengannya. Jangan dikeji atau dikutuk tindakannya itu kerana beliau sebenarnya sedang membarisan-nasionalkan Regina Lee itu.

Kita seharusnya mengucapkan syabas kepada KJ.(SH 17/06/2013)

Friday, 14 June 2013

Orang-Orang Muhyiddin Mula Berkata, Kalau Bukan Kali Ini, Bila Lagi?


Di sebalik pelbagai khabar angin yang sedang bertiup mengenai politik UMNO dan kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri, kedudukan Muhyiddin sama ada mencabar Najib sebagai Presiden UMNO atau hanya mengekalkan jawatan Timbalan Presidennya dalam pemilihan parti hujung tahun ini, terus menjadi tanda-tanya.

Jika sebelum ini ramai golongan pengampu, pembodek dan tukang kipas tampil dengan satu demi satu alasan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan tetapi sejak Muhyiddin sendiri enggan memberi ulasan mengenai perkara itu buat masa ini, ia semacam reda seketika.

Muhyiddin minggu lalu ketika di Pagoh hanya berkata, beliau akan memberi komen mengenai pertandingan dalam UMNO atau mengenai kedudukan dirinya sama ada bertanding atau tidak di suatu masa yang sesuai nanti.

Jawapan Muhyiddin itu bukan saja berjaya menghentikan pengampu, pembodek dan tukang kipas daripada terus berkokok tetapi dalam masa yang sama terus menghangatkan perbualan di dalam UMNO sendiri mengenai pertandingan kedua-dua jawatan tertinggi itu.

Ramai yang percaya, jawapan Muhyiddin itu menggambarkan kesediaannya untuk memikul tanggungjawab yang lebih tinggi dalam UMNO, bagaimanapun beliau dipercayai perlu mengambil sikap berhati-hati dan meninjau-ninjau dahulu arus yang sedang mengalir di dalam UMNO, sama ada memihak kepadanya atau pun tidak.

Jika Muhyiddin hanya mahu kekal sebagai Timbalan Presiden, di sebalik timbulnya isu pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden itu, beliau pastinya menyambut baik cadangan itu atau sekurang-kurangnya memberitahu kesediaannya hanya akan mempertahankan jawatannya saja.

Tetapi dengan memberitahu akan memberi komen di suatu masa yang sesuai nanti, pelbagai tafsiran boleh dibuat dan kemungkinan besarnya ialah mencabar kedudukan Najib sebagai Presiden UMNO.

Di dalam UMNO, Muhyiddin masih diingati kerana keberaniannya meminta Pak Lah menyegerakan peralihan kuasa sebaik pilihanraya 2008 dulu, di sebalik tekanan yang dilakukan sebelumya oleh Mahathir yang akhirnya menyebabkan BN hilang majoriti 2/3 dan Pak Lah terpaksa tunduk untuk menyerahkan jawatannya kepada Najib pada 3 April 2009.

Jika dulu Muhyiddin mendesak Pak Lah tetapi dengan keputusan pilihanraya 2013 yang lebih buruk daripada 2008, desakan mulai kedengaran untuk beliau mengambil alih tempat Najib pula. UMNO dan BN yang dilihat makin lemah dibawah Najib, dipercayai oleh ramai kalangan dalam UMNO akan menjadi lebih baik jika dipimpin oleh Muhyiddin.

Sementara isu pertemuan beberapa Ahli Parlimen daripada Sabah dan Sarawak dengan Tengku Razaleigh Hamzah terus menjadi isu sejak beberapa hari ini dan kemungkinan ia bakal menjadi episod yang menggugat lagi kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin pula sebaliknya lebih mengintai peluang dalam perebutan jawatan Presiden UMNO nanti.

Walaupun sama ada Muhyiddin bertanding atau tidak belum menjadi kepastian tetapi orang-orang Muhyiddin dalam UMNO sudah mula bercakap mengenai kemungkinan itu. Mereka berkata, pemilihan kali ini adalah peluang terbaik untuk Muhyiddin jika mahu meningkatkan lagi karier dan pencapaiannya dalam parti dan kerajaan.

Jika Muhyiddin tidak bertanding kali ini, kata para penyokongnya, beliau yang kini berusia 64 tahun mungkin sudah terlalu lewat untuk melakukannya pada pemilihan yang seterusnya. Lagi pula, jika pemilihan UMNO yang akan diadakan tiga atau empat tahun nanti dilangsungkan selepas pilihanraya umum, UMNO juga mungkin sudah kehilangan kuasanya sebagai kerajaan ketika itu.

Ketika itu, tiada ertinya lagi jika Muhyiddin mahu mengambil alih kepimpinan parti atau barangkali jika bukan lagi sebagai kerajaan, Najib juga mungkin akan menyerahkan saja secara sukarela jawatannya kepada Muhyiddin.

Hakikat ini yang membimbangkan orang-orang Muhyiddin mengenai kedudukan boss mereka itu. Lantaran itu, mereka merasakan pemilihan kali ini adalah yang terbaik untuk mencabar kedudukan Najib. Ia bukan saja disebabkan pilihanraya baru berakhir dan kedudukan Najib dilihat lemah serta mudah dilemahkan tetapi juga kerana persekitaran politik yang seakan-akan memihak kepada orang yang berani melakukann pesaingan.

Tambahan pula tindakan dua bekas menteri, Daim dan Zainuddin Maidin yang turut mengkritik Najib selepas pilihanraya ini dilihat turut memberi gambaran sokongan secara tidak langsung kepada sesiapa juga yang berani menentang Najib dan melakukan perubahan. Di ketika yang sama, tulisan Mahathir dalam blognya mengenai kelemahan dan perbezaan UMNO dulu dan sekarang yang ditulisnya selepas keputusan pilihanraya dan sebaik Najib mahu berbangga dengan pencapaian UMNO dalam pilihanraya juga dilihat mempunyai sindiran tertentu terhadap kepimpinan Najib.

Di samping sokongan cuba dipertingkatkan kepada Muhyiddin untuk berani mencabar Najib, tekanan secara tidak langsung daripada penyokongnya juga diperhebatkan lagi kepada Timbalan Perdana Menteri itu agar akhirnya beliau bersedia memikul tanggungjawab yang tinggi itu.

Semua keadaan ini, ditambah dengan pergolakan semasa yang semakin menekan UMNO dan kerajaan yang muncul satu demi satu, lebih memungkinkan kedudukan Najib daripada dicabar oleh Muhyiddin, hampir tidak dapat dielakkan lagi. (SH 14/06/2013)





Thursday, 13 June 2013

Perlucutan Semua Setpol Najib Disambut Dengan Nada Gembira


Beberapa laporan semalam menyebut bahawa Najib tidak akan menyambung semula jawatan kesemua 4 orang Setiausaha Politik dan seorang pegawai khasnya yang kalah dalam pilihanraya lalu. Ia dikatakan kerana Najib ditekan oleh pandangan daripada UMNO sendiri bahawa mereka itu bukan saja ditolak oleh pengundi tetapi juga telah gagal menyumbang kepada kemenangan yang lebih bermakna bagi Najib dan BN dalam pilihanraya yang lalu.

Mereka yang terbabit ialah Fatmi Che Salleh yang bertanding di Parlimen Kota Bharu, Sahlan Ismail di Pokok Sena, Shafie Abdullah di Wangsa Maju, Suffian Awang di Kuantan dan Latt Shahriman di DUN Kubang Rotan, Kedah.

Pengguguran mereka daripada jawatan penting disisi Perdana Menteri itu bagaimanapun disambut gembira oleh kebanyakan ahli dan pemimpin UMNO, blogger dan pengendali media sosial yang pro UMNO. Beberapa pemimpin dan ahli secara terang-terangan menyambut baik ketiadaan mereka lagi disisi Najib kerana mereka dipercayai menjadi antara beban kepada Najib dan UMNO selama ini.

Malah seorang pemimpin UMNO berkata, Najib sepatutnya menyingkirkan penasihat yang membebankannya itu sejak dulu lagi berikutan rungutan mengenai sikap mereka itu sudah menjadi perbualan umum di kalangan ahli UMNO dan mungkin juga sudah sampai ke pengetahuan Najib sendiri.

Beberapa blog pro UMNO juga memberi ulasan yang menggambarkan kegembiraan dan rasa lapang dada mereka berikutan tiadanya lagi Setpol dan pegawai khas Najib yang mereka sifatkan bukan sahaja gagal memberi nilai tambah kepada UMNO dan Perdana Menteri, malah lebih banyak menyusahkan Najib selama ini.

Pengendali laman sosial Facebook dan Twitter yang diketahui pro UMNO juga meluahkan perasaan yang sama dan mereka rata-ratanya berharap ketiadaan mereka itu akan memberi nafas yang lebih baik kepada Najib dalam menguruskan parti dan kerajaan selepas ini.

Terdapat pula pengendali blog dan laman sosial yang terang-terang menyalahkan kesemua Setpol dan pegawai khas Najib ini berikutan keputusan buruk yang dicapai oleh UMNO dan BN dalam pilihanraya lalu. Mereka dipersalahkan kerana dikatakan mempunyai sikap mementingkan diri yang terlalu tinggi dan terlampau ghairah mahu menjadi calon pilihanraya.

Ada juga Setpol dan pegawai khas Najib ini yang dikecam kerana tidak mempunyai hubungan yang baik dengan blogger dan pengendali laman sosial yang bertungkus-lumus siang dan malam membantu UMNO dan Najib dalam pilihanraya lalu. Ada pula antara mereka yang mengadu bahawa jika Najib pun mempunyai masa untuk minum petang dan berbual-bual dengan pengendali media baru yang pro UMNO tetapi amat menyedihkan apabila terdapat sesetengah pegawai Najib yang tidak memperdulikan mereka.

Namun demikian, dalam mereka menyambut baik pengguguran kesemua Setpol dan pegawai khas Najib itu, beberapa blogger dan pengendali laman sosial juga mulai mengecam Najib berhubung perlantikan salah seorang Setpolnya, Khairun Aseh yang sudah pun memulakan tugasnya sejak minggu lalu.

Mereka mendakwa, perlantikan Khairun adalah suatu kesilapan lagi yang telah dilakukan oleh Najib kerana beliau yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia didapati tidak langsung berkempen, bahkan telah menghilangkan diri sepanjang kempen pilihanraya lalu sedangkan kawasan di mana beliau menjadi ahli UMNO iaitu Putrajaya, menghadapi persaingan yang sengit daripada PAS dalam pilihanraya lalu.

Ada juga yang menyifatkan perlantikan Khairun itu kerana Najib mempunyai hubungan yang baik dengan bapanya, Aseh Che Mat yang kini memegang jawatan Pengerusi Perbadanan Putrajaya.

Dengan latar belakang Khairun yang bukan ahli UMNO yang komited serta tidak mempunyai hubungan yang mesra dengan semua golongan dalam parti, mereka bimbang perlantikan itu lebih menyusahkan Najib dan menjadikan keadaannya tidak jauh berbeza seperti perangai pemegang jawatan yang dulu.

Buat sementara ini, hanya seorang Setpol Najib yang sudah melaporkan diri iaitu Khairun tetapi beberapa nama sudah berlegar di pasaran politik yang dikatakan bakal dilantik mengisi jawatan tersebut. Antaranya yang disebut ialah Ezam Mohd Nor, bekas Ketua Pemuda PKR yang telah menyertai UMNO beberapa tahun lalu dan berikutan bantuan politiknya kepada Najib, beliau juga sudah dilantik sebagai Senator sebelum ini. Ezam pernah menjadi Setpol Anwar sebelum ini dan lebih dikenali dengan isu enam kotak dokumen mengenai penyelewengan beberapa pemimpin UMNO yang didakwanya dimiliknya. Bagaimanapun sehingga ini tidak dipastikan sama ada beliau benar-benar memiliki dokumen itu atau sebaliknya.

Jika benar Ezam bakal menjadi salah seorang Setpol Najib, pastinya tidak dapat dielakkan lagi serangan daripada blogger dan pengendali laman sosial terhadap Najib akan menjadi lebih meriah lagi. (SH 13/06/2013).


Wednesday, 12 June 2013

Tindakan Nazir Menggoyang Lagi Kedudukan Najib


Minggu ini merupakan minggu yang menyesakkan nafas Najib selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Bermula dengan berita pertemuan beberapa Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak dengan Tengku Razaleigh Hamzah berikutan rasa tidak puas hati mereka terhadap layanan Najib Razak dari segi pengagihan kerusi kabinet, ia kemudian bertambah marak dengan tindakan adik Najib, Nazir yang menyokong kecaman CEO Air Asia X, Azran Osman Rani terhadap Utusan yang didakwanya mengamalkkan sikap perkauman dalam pemberitaannya.

Sebelum itu pula panas seketika dengan isu sama jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO wajar dipertandingkan atau tidak. Sementara golongan pengampu dan pembodek terus menyarankan agar Najib dikekalkan, beberapa pemimpin lain pula menunjukkan keterbukaannya. Antaranya Hishammuddin dan Adnan Yaakob yang tidak bersetuju sekatan pertandingan dilakukan.

Arus di bawah atau di peringkat akar umbi pula jelas mahukan adanya pertandingan kerana 146,500 yang diumumkan sebagai kelompok yang boleh memilih kepimpinan UMNO kali ini sudah tidak sabar lagi berbuat demikian.

Muhyiddin yang disebut-sebut bakal mencabar Najib selaku Presiden UMNO pula, masih lagi bermain dengan teka-teki. Di sebalik Daim dan Zainuddin Maidin, dua bekas menteri yang dilihat mula menyerang Najib berikutan keputusan buruk PRU 13 dan Mahathir yang tiba-tiba menulis dalam blognya mengenai perbezaan UMNO dulu dan sekarang serta mendedahkan pelbagai keburukan UMNO yang dilihatnya sedang berleluasa, Muhyiddin pula menyatakan akan menyatakan pendirian politiknya sama ada bertanding atau tidak, di waktu yang sesuai nanti.

Walaupun Muhyiddin dilihat cuba mengambil jalan tengah ketika ini, tetapi ia dalam masa yang sama terus meresahkan Najib. Ia memberi gambaran bahawa Muhyiddin mungkin bertanding mencabarnya dalam pemilihan nanti. Jika Muhyiddin sekadar mahu mempertahankan jawatannya saja, sudah tentu beliau berterus sekarang ini. Sikap Muhyiddin itu membayangkan keinginann yang lebih untuk bertanding berbanding mengekalkan jawatannya.

Di dalam UMNO sekarang ini, dua pencabar yang disebut-sebut bakal bertanding jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan hujung tahun ini ialah Muhyiddin dan Tengku Razaleigh. Keinginan ahli UMNO dan Ahli- Ahli Parlimen juga terarah kepada keduanya.

Tengku Razaleigh diinginkan kerana pengalaman, kewibawaan dan peribadinya yang bersih. Kesediaan beberapa Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak meluahkan perasaan terhadapnya adalah gambaran keyakinan yang tinggi terhadapnya. Di dalam UMNO pula sokongan dan minat ramai terhadapnya masih boleh dirasakan getarnya. Muhyiddin pula kerana beliau sekarang merupakan orang nombor 2 dalam parti dan kerajaan dan biasanya kedudukan itu memang terdedah kepada penonjolan untuk menjadi orang nombor 1 pula.

Dalam isu yang melibatkan Nazir, adik Najib ini, nama Ku Li tidak dapat dipisahkan daripadanya. Nazir bermula dengan Bank Of Commerce yang kemudian menelan Bank Bumiputra, lalu menjadi CIMB Bank. Kariernya bergerak seiring dengan peningkatan kerjaya politik Najib.

Tetapi Bank Of Commerce asalnya adalah Ban Chiang Bank yang dipunyai oleh seorang tauke daripada Sarawak. Bank itu kemudian dibeli oleh Tengku Razaleigh dan atas permintaan Tun Razak, ia kemudian menjadi milik UMNO dengan diletakkan dibawah Fleet Group. Selepas UMNO haram, ia bertukar nama menjadi Bank Of Commerce.

Bank Bumiputra pula adalah bank yang ditubuhkan oleh Tun Razak berdasarkan kehendak Kongres Ekonomi Bumiputera yang yang pertama dan Tengku Razaleigh adalah pengasas serta penerajunya yang pertama.

Dengan memahami bagaimana Nazir boleh berada di kedudukannya sekarang yang asasnya adalah sebagai bank untuk menjaga kepentingan orang-orang Melayu dan dilaporkan memperolehi pendapatan bulanan RM1.2 juta, tentulah sukar bagi sesiapa juga menerima sikapnya yang seperti kacang lupakan kulit itu.

Muhyiddin pula, walaupun masih dilihat berteka-teki sama ada mahu bertanding atau tidak, tetapi terus menunjukkan sikap perbezaannya dengan Najib. Sementara Najib dilihat terus dengan sikap lembut dan mahu menagih sokongan pengundi Cina, Muhyiddin pula baru-baru ini menegaskan bahawa kerajaan akan memberi perhatian yang lebih kepada kelompok yang telah menyokong BN dalam pilihanraya lalu.

Tidak diragui lagi, sasaran keutamaan Muhyiddin ialah orang-orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Ini jelas berbeza dengan sikap dan pendirian Najib yang memuja pelakon Michelle Yeoh dengan memberinya gelaran Tan Sri serta melantiknya sebagai mentor program 1M4U walaupun seruannya dalam kempen untuk BN ternyata gagal.

Dan tindakan adiknya, Nazir yang kini CEO CIMB Bank menyokong Azran dalam isu serangannya terhadap Utusan dan dakwaan perkauman, jelas menggambarkan keterbukaan dan semangat Kemelayuan yang sedang cuba dibawa oleh kedua-dua anak Tun Razak itu.

Sikapnya yang ditunjukkan Nazir ini, lebih-lebih lagi menjelang pemilihan UMNO tentunya memberi ruang kepada pertikaian yang lebih meluas terhadap kepimpinan Najib. Isu Nazir akan terus dijadikan modal untuk menyerangnya.

Hari ini, Zainuddin Maidin sekali lagi muncul menyerang Nazir dan mengaitkannya dengan Najib. Blogger dan pengendali laman sosial pro UMNO juga turut menyerang Nazir berikutan sikapnya itu. Selepas ini pastinya lebih ramai lagi yang berbuat demikian atas tujuan mempertahankan semangat Melayu mereka serta menempelak Nazir yang lupa diri itu.

Dalam masa yang sama, kedudukan Najib akan terus digoncang oleh isu Nazir ini dan pertandingan untuk jawatan Presiden UMNO mungkin tidak boleh dielakkan lagi. Menukar Najib sudah menjadi suatu kemestian kerana UMNO memerlukan pemimpin yang mempunyai semangat Melayu tulin sebagai penerajunya. (SH 12/06/2013)



Tuesday, 11 June 2013

Tunggu Apa Lagi Wahai Pejuang Melayu, Marilah Belasah Adik Najib Pulak!!


Ketika CEO Air Asia X, Azran Osman Rani memberikan komennya mengenai Utusan Malaysia yang dianggapnya mengamalkan sifat perkauman beberapa minggu lalu, berbondong-bondong mereka yang meggelarkan dirinya pejuang Melayu membelasah beliau. Mereka melabelnya dengan pelbagai tuduhan seperti tidak sedar diri, anak Melayu yang lupa diri, tidak tahu sejarah dan pelbagai lagi. Bahkan kisah kehidupan peribadinya juga cuba didedahkan untuk mencari sisi buruknya.

Antara yang menonjol menyerang beliau ialah Perkasa dan beberapa NGO lainnya. Utusan yang diserang pula menyediakan wadah yang cukup terbuka kepada sesiap saja yang sanggup mengeluarkan kata-kata kejian kepada Azran berhubung isu itu.

Malah Utusan yang berasa tercabar kerana Air Asia X tidak mahu lagi membeli iklan di akhbar itu turut menjawab bahawa iklan yang dibeli oleh syarikat tambang murah itu tidaklah sebesar mana, malah banyak iklan kosmetik, jamu, memutihkan wajah, kolagen dan seumpamanya yang dikatakan membeli lebih banyak daripada Air Asia X.

Lebih dari itu, Wanita UMNO yang menyedari syarikat itu dipengerusikan oleh Rafidah Aziz, turut meminta beliau mengambil tanggungjawab untuk menyingkrkan Azran daripada syarikat tersebut. Tony Fernandez yang merupakan pemilik Air Asia juga dituntut oleh pelbagai pihak agar memecat Azran daripada syarikat itu.

Walaupun akhirnya diberikan jawapan bahawa komen Azran dalam twitternya mengenai Utusan Malaysia itu adalah pandangan peribadinya dan tidak melibatkan kemungkinan sebarang tindakan boleh diambil terhadapnya, masih ramai yang tidak puas hati dengan penjelasan itu.

Ia kemudiannya buan saja melarat kepada kempen-kempen memboikot Air Asia yang dicadangkan oleh beberapa blog serta laman sosial yang pro UMNO, bahkan kesilapan kecil yang dilakukan oleh Air Asia pun cuba diperbesar-besarkan. Hakikatnya dalam tempoh beberapa minggu ini, Air Asia menjadi bahan kecaman utama dalam Utusan dan oleh pihak-pihak lain yang pro kepadanya.

Bagaimanapun apabila semalam adik Najib yang juga CEO CIMB, Nazir Razak memberikan sokongan kepada kenyataan Azran itu, di manakah suara-suara pejuang Melayu yang garang bersuara sebelum ini? Kenapa tidak dibelasah adik Najib itu? Kenapa tidak digerakkan kempen memboikot bank CIMB pula?

Dalam komen sokongannya terhadap Azran, Nazir menyatakan apa yang dilakukan oleh Azran itu adalah tanda beliau seorang pemimpin iaitu berani menyatakan sesuatu yang diyakininya benar.

Jika selama ini Utusan dan NGO yang merasakan diri mereka pejuang Melayu begitu tersinggung dengan komen Azran, maka mereka sepatutnya lebih tersinggung dengan komen sokongan yang diberikan oleh Nazir. Ini kerana Nazir mengetahui beliau adalah adik kepada Perdana Menteri dan juga anak kepada bekas Perdana Menteri, Tun Razak yang tidak seharusnya bersikap sedemikian.

Lebih selamat jika Nazir bersikap no komen dalam isu ini.

Dengan pengetahuan serta kesedaran mengenai siapa dirinya yang sebenar, tindakan Nazir itu tentulah lebih memberikan kesan kepada Utusan di mata umum. Utusan seolah-olah disahkan sebagai mengamalkan pemberitaan yang bercorak perkauman tanpa boleh dinafikan lagi oleh sesiapa berikutan dengan sokongan Nazir kepada Azran itu.

Dalam hal ini, Utusan bukan saja perlu membalas balik pendirian Nazir itu, malah seperti selalunya, mereka juga boleh memberitahu Najib bahawa apa yang dilakukan oleh adiknya itu begitu menyinggung hati orang-orang Melayu dan tidak seharusnya dilakukan oleh beliau sebagai adik kepada Perdana Menteri yang baru menang pilihanraya dengan sokongan majoriti pengundi Melayu.

Orang ramai tentunya masih menunggu serangan balas daripada Utusan, Perkasa dan beberapa NGO terhadap adik Najib ini. Apakah mereka berani bersuara sebagaimana nyaringnya berteriak kepada Azran dahulu? Kalau boleh, mereka juga sepatutnya mendesak Nazir berundur daripada jawatannya sebagai CEO CIMB kerana jelas pendiriannya itu menunjukkan beliau juga tidak sedar diri dan tidak tahu sejarah perjuangan Melayu di negara ini.

Atau mungkinkah pejuang-pejuang Melayu ini merasakan oleh kerana ia dilakukan oleh adik Perdana Menteri, maka ia boleh dianggap sebagai angin lalu dan dimaafkan saja? (SH 11/06/2013)

Monday, 10 June 2013

Najib Beri Tan Sri Kepada Orang Cina, Setpolnya Pula Nak Pecat Ketua MCA


Lagi mengenai pemimpin yang suka hantar memorandum. Rupa-rupanya bekas Setiausaha Politik Najib, Shafie Abdullah yang kalah bertanding di Wangsa Maju tidak saja menghantar memorandum kepada pucuk pimpinan agar dirinya dilantik sebagai Senator tetapi juga turut menghantar memorandum kedua yang meminta agar Ketua MCA Wangsa Maju, Yew Teong Look dipecat daripada parti itu.

Alasan yang digunakan ialah kerana Yew yang lebih dikenali sebagi YTL didakwa tidak berkempen semasa pilihanraya lalu, tidak membuka Bilik Gerakan MCA, bahkan menghilangkan diri dengan bercuti ke luar negara sepanjang kempen berjalan.

Usaha mengumpul tandatangan daripada Ketua UMNO Cawangan, Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri bagi kedua-dua memorandum itu masih diteruskan dengan sebahagian besar pemimpin akar umbi UMNO Wangsa Maju sudah menandatanganinya, manakala beberapa orang yang belum berbuat demikian sedang diusahakan agar akhirnya turut menurunkan tandatangan masing-masing.

Jika memorandum pertama hanya dihantar kepada Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO tetapi memorandum kedua yang mahu YTL dipecat turut ditujukan kepada Muhyiddin selaku Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan dan Chua Soi Lek selaku Presiden MCA.

Jika sebelum ini tindakan Shafie yang cuba menyeret pemimpin akar UMNO dalam usahanya menuntut jawatan Senator daripada Perdana Menteri telah dianggap agak ganjil, menunjukkan sifat tak tahu malunya dan membuat kerja yang tidak pernah dibuat orang tetapi tindakannya mencadangkan pemecatan seorang Ketua MCA dianggap lebih ganjil lagi.

Ramai yang berpendapat bahawa tindakan Shafie itu semata-mata untuk melepaskan dendamnya terhadap YTL dan MCA yang membuatkan beliau kecundang dalam pilihanraya lalu dengan kekurangan 5511 undi ditangan calon PKR. Dr Tan Kee Kwong.

Lagi pula, ada juga yang berhujah lakukah suara UMNO di dalam MCA? Mungkin juga ini merupakan yang pertama kali berlaku di mana pemimpin UMNO mencadangkan seorang pemimpin MCA dipecat.

Tindakan Shafie dan UMNO Wangsa Maju ini juga berbeza dengan pendekatan yang dilakukan oleh Najib. Walaupun beliau tahu pengundi Cina majoritinya tidak menyokong BN tetapi beliau masih cuba bersikap lunak dan lembut terhadap komuniti itu.

Dua tokoh masyarakat Cina, Lim Kok Wing dan pelakun Michelle Yeoh yang diketahui ada memainkan peranan masing-masing dalam kempen pilihanraya lalu telah diberikan gelaran Tan Sri baru-baru ini atas rekomen Najib berikutan sumbangan yang mereka berikan walaupun hasilnya boleh dikatakan gagal.

Najib jelas dapat menerima sikap pengundi Cina yang tidak memihak kepada BN, malah memberikan penghargaan kepada individu tertentu daripada kalangan masyarakat itu yang telah membantunya, walaupun tindakan itu menyebabkan beliau dikecam.

Tetapi sikap yang berbeza telah ditunjukkan oleh orang yang pernah bekerja dengannya. Shafie dikatakan amat berdendam dengan YTL atas kekalahannya dengan mencadangkan agar Ketua MCA Wangsa Maju itu dipecat keahliannya daripada MCA pula.

Sementara Shafie seharusnya menerima kekalahan itu dengan hati yang terbuka, beliau juga sepatutnya menjalin hubungan yang lebih mesra dengan MCA sejak dulu lagi, lebih-lebih lagi sebaik menyimpan hasrat untuk menjadi calon pilihanraya kerana Wangsa Maju dihuni oleh kira-kira 36 peratus pengundi Cina.

Tetapi beliau bukan saja enggan berbaik dan menunjukkan sikapnya sebagai seorang ketua, malah sehingga ke hari pengundian pun tidak mahu menunjukkan kesediaan berlembut dan merendah diri serta cuba menggunakan cara lain untuk mendapatkan sokongan daripada masyarakat Cina.

Ramai kalangan pemimpin di Wilayah Persekutuan berpendapat, Shafie wajar mengubah sikapnya dan cuba menjalin hubungan yang lebih baik dengan parti-parti komponen lain, terutama jika berhasrat untuk bertanding lagi dalam pilihanraya yang akan datang.

Menunjukkan sikap bermusuh yang berterusan, lebih-lebih lagi mencadangkan pemecatan seseorang daripada parti komponen lain hanya merugikannya dalam jangka masa panjang.

Beliau, kata mereka, harus belajar memperbanyakkan kawan dan mengurangkan musuh. (SH 10/06/2013)


Sunday, 9 June 2013

Kalau Mahu Bodek Najib, Adnan Yaakob Patut Orangnya Tapi...


Dalam riuh-rendah kebanyakan pemimpin lebih condong tampil menjadi pembodek dan pengampu dengan mencadangkan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandigkan dalam pemilihan parti hujung tahun ini, Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob bertindak sebaliknya. Beliau berpendapat kedua-dua jawatan itu patut dipertandingkan, sesuai dengan amalan demokrasi dan inklusifnya parti itu.

Secara berterus-terang Adnan berkata, beliau tudak setuju dengan kenyataan-kenyataan yang mahu mengongkong agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan. Biarlah ia terbuka, tambahnya lagi.

Kenyataan Adnan ini jelas mencerminkan kematangan beliau sebagai pemimpin yang mahu melihat UMNO terus hidup dan disokong oleh rakyat. Ini kerana dengan menunjukkan UMNO sentiasa bersifat terbuka merupakan salah satu tarikan umum terhadap parti itu.

Tambahan lagi, ia juga sesuai dengan transformasi politik yang dijanjikan oleh Najib sendiri ketika mengambil alih jawatan Presiden UMNO pada 2009 dulu. Malangnya, setelah keputusan buruk pilihanraya 2013 dan kecenderungan untuk menyelamatkan Najib yang dianggap telah berbudi kerana memberikan jawatan tertentu, penerima budi ini berebut-rebut mahu membalasnya dengan mencadangkan kedudukan Najib terus dikekalkan secara percuma.

Tetapi tindakan mahu mengongkong ini secara umumna tidak dipersetujui oleh ahli UMNO peringkat akar umbi. Ramai yang mahu melihat pertandingan jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan jawatan-jawatan utama yang lain dalam UMNO menjadi kenyataan berikutan itulah antara transformasi yang dijanjikan Najib.

Lagi pula, tiada apa yang perku dirisaukan dengan pertandingan dalam UMNO sekarang ini kerana pilihanraya telah pun berakhir. Sebelum ini UMNO telah menangguh pemilihan atas alasan mengelakkan perpecahan menghadapi pilihanraya, sekarang ini oleh kerana pilihanraya telah berakhir, tiada apa yang perlu dibimbangkan lagi.

Tambahan pula, sejak kali terakhir pertandingan Presiden UMNO berlaku pada 1987 antara Mahathir dengan Tengku Razaleigh, sekatan dalam bentuk kouta telah diperkenalkan untuk mengelakkannya daripada berulang. Transformasi yang dijanjikan Najib dianggap telah memberi wajah baru kepada UMNO.

Kini dengan transformasi dan pelbagai janji keterbukaan yang dijanjikan Najib, UMNO harus membuktikan kejantanannya dengan sedia menghadapi apa juga cabaran termasuk pertandingan dakam pelbagai jawatan utamanya. Keupayaan pemimpin diuji bukan saja dalam menarik sokongan dan mempertahankan jawatan tetapi juga memastikan parti terus kuat sebaik pertandingan berakhir. Inilah sifat pemimpin dalam parti yang berkualiti jantan.

Sementara ramai pemimpin lain memilih untuk menjadi pembodek, pengampu dan menuju ciri serta sifat pondan dalam kualiti kepimpinan, Adnan terus menunjukkan beliau seorang jantan yang sejati walaupun Najib datang daripada Pahang, satu negeri dengannya. Jika ingin menjadi pembodek dan pengampu Najib, Adnan yang patut ke depan.

Tetapi kerana mahu melihat parti terus diterima dengan baik oleh rakyat melalui sifat-sifat jantan yang harus ada di kalangan pemimpinnya, beliau telah bertindak sebaliknya. Pendirian Adnan ini mengingatkan kepada pendiriannya dalam pemilihan UMNO 1993 ketika Tun Ghafar dicabar oleh Anwar Ibrahim di mana ketika orang berebut-rebut menyokong Anwar, UMNO Bentong yang dipimpinnya tetap dengan pendirian mencalonkan Tun Ghafar. Beliau adalah pemimpin jantan sejati. Sebab itu, kenyataan dan pendirian Adnan ini seharusnya dipuji serta disokong.

Di peringkat bahagaian, cawangan dan akar umbi, pendirian Adnan ini selari dengan kehendak mereka. Seorang pemimpin muda, Syed Mehdhar Syed Abdullah yang juga Ketua Pemuda UMNO Cheras serta Naib Ketua Pemuda UMNO WP, turut senada dengan pendirian Adnan itu. Kata beliau, pertandingan dalan jawatan tertinggi UMNO amat penting kerana UMNO memerlukan transformasi besar-besaran sebagai persiapan menghadapi PRU 14 nanti.

Tambah beliau, sebelum ini pelbagai alasan telah diadakan untuk mengelakkan pertandingan seperti untuk mencapai Wawasan 2020, perpaduan, mengukuhkan parti dan sebagainya tetapi kini cabaran sebenar UMNO ialah PRU 14 yang menentukan sama ada UMNO mampu terus bertahan sebagai tunjang kerajaan atau sebaliknya.

Dengan adanya pertandingan yang kemudian melahirkan pemimpin terbaik daripada yang baik-baik, maka UMNO akan menjadi lebih kuat untuk memghadapi PRU 14, tambahnya lagi.

Sementara ramai pembodek dan pengampu muncul satu demi satu dan memperlihatkan wajah sebenar mereka yang lebih sayangkan batang tubuh Najib daripada masa depan UMNO, sambil menyerlahkan sifat kepondanan dalam kepimpinan, sikap dan pendirian Adnan yang menunjukkan kematangan, keterbukaan dan kejantanan serta selari dengan kehendak umbi, ia seharusnya disokong jika UMNO ingin dilihat terus kukuh dan bernyawa untuk tempoh yang lebih lama lagi. (SH 09/06/2013)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...