Tuesday, 4 June 2013
Jangan Sekat Demokrasi Dalam UMNO
Walaupun pemilihan UMNO masih jauh, tetapi seperti terdapat usaha untuk menyekat pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang bakal diadakan hujung tahun ini. Semalam UMNO Negeri Sembilan meluluskan resolusi agar kedua-dua jawatan itu tidak dipertandingkan atas alasan sebagai persiapan awal UMNO menghadapi PRU 14.
Sehari sebelum itu pula, Ahli MT UMNO yang kalah bertanding di Batu Pahat, Fuad Zarkashi mencadangkan agar Najib dan Muhyiddin dikekalkan bagi kedua jawatan tertinggi UMNO kerana gandingan keduanya sudah cukup baik bagi UMNO.
Hari ini Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO turut menyokong cadangan agar kedua-dua jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO itu tidak dipertandingkan.
Sementara Najib cuba menjadi seorang jantan dengan mengatakan beliau sedia dicabar dalam pemilihan parti hujung tahun ini, apa yang berlaku sebaliknya pula iaitu terdapat pula pemimpin lain yang seolah-olah takut dengan pertandingan dan cuba menyekat demokrasi dalam UMNO.
Kalau mengikut tradisi UMNO, Najib bukan saja harus dilawan tetapi wajib disingkirkan. Ini kerana beliau telah gagal dalam pilihanraya lalu. Walaupun menang dengan 133 kerusi, Najib ternyata lebih teruk dari Pak Lah yang menang 140 kerusi pada 2008, hilang undi popular, gagal menawan Selangor, ditolak oleh pengundi Cina dan pelbagai kegagalan yang lain lagi.
Lagi pula Najib yang terkenal dengan pelbagai transformasi telah juga memperkenalkan peraturan baru dalam proses pemilihan UMNO yang memberi hak kepada lebih ramai pemimpin peringkat cawangan menentukan siapa pemimpin yang mereka kehendaki. Jika benar inginkan transformasi, pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden adalah salah satu usaha ke arah itu.
Tidaklah berguna segala pindaan dan peraturan baru yang dibuat oleh Najib jika akhirnya muncul pembodek-pembodek dalam UMNO hanya mahu menentukan Najib terus kekal sebagai pemimpin dan mengelakkan pertandingan daripada mahu memastikan UMNO itu terus relevan sebagai wadah perjuangan orang-orang Melayu.
Berilah peluang sepenuhnya kepada pemimpin peringkat cawangan dan akar umbi menentukan pilihan mereka kali tanpa dipengaruhi atau diganggu-gugat hak mereka oleh mana-mana pemimpin atasan. Adalah diharapkan selepas ini pemimpin tertentu dalam UMNO berhenti daripada mengeluarkan kenyataan yang mahu menghalang berlakunya pertandingan jawatan tertinggi dalam UMNO.
Kepada pemimpin yang gemar menjadi pembodek Najib ini, sedarlah bahawa keputusan PRU 13 lebih buruk daripada pilihanraya 2008 dan tidak sewajarnya keputusan yang buruk itu mahu dipaksakan kepada pemimpin UMNO peringkat cawangan dan ahli akar umbi untuk meraikannya pula. Untuk pertama kali dalam sejarah UMNO, berilah kebebasan sepenuhnya mereka menentukan siapa pemimpin yang terbaik untuk UMNO.
Tentang kedudukan Najib dan Muhyiddin, berilah juga kebebasan kepada ahli dan pemimpin akar umbi yang menentukannya.
Biarlah demokrasi terus hidup subur dalam UMNO dan biarlah juga kuasa menentukan pemimpin benar-benar diberi kepada akar umbi UMNO, sesuai dengan transformasi yang dijanjikan Najib. Lagi pula, UMNO sudah begitu lama tidak menyaksikan pertandingan jawatan Presiden UMNO di mana kali terakhir ia berlaku ialah pada 1987 ketika Tengku Razaleigh menentang Mahathir.
Setelah 26 tahun tidak pernah berlaku pertandingan dalam UMNO, biarlah 2013 ini berlaku pertandingan itu. Tambahan pula, UMNO baru sahaja selesai menghadapi pilihanraya, maka tiada apa yang perlu dibimbangkan jika berlaku pertandingan di peringkat tertinggi dalam UMNO.
Jika pemimpin baru yang terpilih nanti, masa yang mencukupi masih ada untuk merapatkan semua barisan sebelum pilihanraya seterusnya diadakan pada 2018. Jadi, tiada apa yang perlu dirisau dan digundah-gulanakan untuk menghadapi PRU 14.
Bahkan, berbanding kerisauan terhadap perubahan pucuk pimpinan UMNO yang mungkin menjejaskan peluang dalam PRU 14, kebimbangan juga seharusnya lebih tinggi jika Najib terus kekal memimpin parti dan kerajaan menghadapi PRU 14 nanti.
Ini kerana Najib yang terbukti telah mengalami pelbagai kegagalan dalam PRU 13, mungkin menjerumuskan BN ke lembah yang lebih buruk dalam pilihanraya lima tahun lagi. (SH 04/06/2013)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment