Saturday, 29 June 2013
Apabila Idris Harun Terasa Dirinya Harun Idris
Isu Jonker Walk terus menggegar Ketua Menteri Melaka, Idris Harun yang sebelum ini menjadi bahan sindiran kerana mahu mempatenkan resepi asam pedas terbaik negeri itu melalui hasil suatu pertandingan bagi memeliharanya sebagai suatu produk warisan negeri yang perlu dipertahankan.
Idris yang baru sebulan lebih menjadi Ketua Menteri menggantikan Ali Rustam sebelum ini dilaporkan mahu menutup Jonker Walk, kawasan perniagaan barangan seperti cenderamata, t shirt dan sebagainya yang mirip seperti kawasan perniagaan Petaling Street untuk mengurangkan masalah kesesakan di negeri itu. Berikutan adanya bantahan atas tindakan itu, Menteri Pelancongan, Nazri Aziz ikut masuk campur dan kemudian dijelaskan bahawa ianya hanya melibatkan pembukaan jalan di kawasan perniagaan itu kerana adanya rungutan orang awam berkenaan kesesakan lalu lintas yang teruk. Kononnya pula, ia hanya percubaan selama empat minggu sahaja dan akan dikembalikan seperti biasa selepas itu.
Dalam masa yang sama, tindakan yang dibuat oleh Idris itu dikecam oleh pelbagai pihak terutama DAP sebagai amalan politik balas dendam terhadap masyarakat Cina berikutan keputusan pilihanraya lalu yang menyaksikan komuniti itu menolak BN.
Sementara tindakan Idris itu terus dibantah, terdapat pula pihak lain termasuk bolgger pro UMNO yang memuji tindakan Idris itu sebagai suatu pengajaran kepada pengundi Cina yang majoritinya tidak menyokong BN. Idris dalam masa yang sama dilihat pemimpin yang berjiwa Melayu yang tinggi atas tindakannya itu kerana majoritinya peniaga di aitu adalah orang Cina dan peniaga Melayu didakwa tidak mendapat manfaat yang besar daripadanya.
Berikutan isu itu terus dimainkan, Idris kemudiannya membuat keputusan yang lain pula dalam mesyuarat Exco Kerajaan Melaka iaitu membuka laluan untuk kenderaan dan di ketika yang sama membuka juga kawasan perniagaan Jonker Walk sebagai suatu keputusan menang-menang kepada para peniaga dan juga kepada para pengguna jalanraya. Namun keputusan ini menyebabkan beliau dikecam juga kerana dianggap tidak tegas dan ibarat menjilat ludahnya kembali.
Bagaimanapun tindakan beliau itu tidak juga meredakan keadaan. Selain peniaga-peniaga, menteri yang menjaga pelancongan negara, Nazri Aziz sekali lagi bersuara membantah. Beliau berkata, pembukaan serentak laluan untuk kenderaan dan kebenaran untuk berniaga sebenarnya lebih menyebabkan kesesakan. Lagi pula, kata Nazri, dengan membenarkan kenderaan lalu lalang di kawasan itu, ia tidak akan dikenali lagi sebagai Jonker Walk, sebaliknya sudah menjadi Jonker Drive.
Demi kepentingan pelancongan dan oleh kerana produk Jonker Walk lebih bernilai tinggi berbanding asam pedas dari segi menggamit kehadiran pelancong ke negeri itu, Nazri juga berjanji akan mengembalikan kawasan itu sebagaimana kedudukan asalnya dalam masa terdekat ini. Terlihat seperti Nazri amat tidak bersetuju dengan Idris dalam isu Jonker Walk ini. Dalam masa yang sama, MCA juga merayu kepada Idris agar menarik balik pembukaan jalan untuk kenderaan itu dan menjadikan kawasan perniagaan Jonker Walk sebagaimana ia diwujudkan dulu.
Isu Jonker Walk seperti mendatangkan malang kepada Idris. Beliau mungkin berniat baik dan mahu menunjukkan jiwa Melayunya yang tinggi sepertimana bekas Menteri Besar Selangor, Harun Idris yang memang terkenal sebagai pemimpin berjiwa Melayu yang tinggi dengan mewujudkan perkampungan Melayu seperti Kampung Baru dan Kampung Pandan di tengah-tengah Kuala Lumpur. Kebetulan pula nama keduanya hanya terbalik nama bapa sahaja.
Tetapi Idris harus menyedari bahawa beliau hidup dalam era 1Malaysia di mana kepimpinan negara termasuk Najib amat berhati-hati dalam perkara-perkara yang melibatkan kaum Cina kerana tidak mahu terus kehilangan sokongan daripada masyarakat itu. Tindakan Idris dalam isu Jonker Walk boleh saja ditafsirkan beliau tidak mempunyai semangat seperti Najib, malah dianggap mengamalkan gaya politik balas dendam.
Lebih-lebih lagi dalam rekodnya menjadi pemimpin, bermula daripada menjadi Exco Pemuda UMNO, sekejap sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan Pengerusi Syarikat Perumahan Negara, jiwa dan perjuangan Melayunya tidak tergambar langsung di mata umum walaupun dalam ucapannya suatu ketika dulu, beliau pernah juga memperkenalkan dirinya secara bergurau dengan menyebut, "nama saya Idris Harun, kalau diterbalikkan jadi Harun Idris."
Terlihat ada kecenderungan untuk menjadi popular dan gah seperti Harun Idris, bekas Menteri Besar Selangor itu, walaupun karektor dan wibawanya jauh berbeza. Isu Jonker Walk ini menjadikan beliau lagi jauh berbeza. Tindakannya bukan saja menjadi kecaman ramai, malah tidak dipersetujui oleh seorang menteri kabinet, Nazri Aziz yang jauh lebih senior dan mempunyai hubungan yang lebih rapat dengan Najib.
Dalam mengurus sebuah kerajaan negeri seperti Melaka, kalau pun tidak mahu berguru dengan Rahim Tamby Chik yang juga pernah memimpin negeri itu, Idris seharusnya banyak belajar daripada pendahulunya, Ali Rustam yang dikenali sebagai antara Ketua Menteri Melaka yang hebat, tenang dan disukai ramai serta mempunyai keghairahan yang tinggi memajukan negeri itu. Walaupun kalah di Bukit Katil dan tidak memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan, beliau terus bekerja dan berjumpa dengan rakyat seperti biasa.
Jika idea Idris mengenai asam pedas mengundang ketawa dan Jonker Walk pula meletakkannya ke lembah pertikaian ramai, cabaran di hadapannya jauh lebih besar lagi. Sekiranya berterusan begini, kedudukannya di Melaka tentunya bakal mengundang rasa tidak senang di hati Perdana Menteri dan hayatnya di Melaka mungkin hanya sepenggal saja. (SH 29/06/2013).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Sekira kita nak tarik wang pelancung kita perlu ada sesuatu yang unik. Pergaduhan antara kaum bukan satu yang unik. Dan sentiasa pelancung akan elak daripada keadaan huru hara.
ReplyDeletePerlakuan seseorang pemimpin mestilah bawa baik untuk rakyat. Melaka menjadi tarikan kerana ada sedikit cerita lama. Itu pun bukan cerita yang kita boleh bangga. Melaka adalah cerita kejatuhan, kemalangan dan kolonialisma yang tidak terputus daripada 1511 sehingga 1957.
Hari ini dengan usaha gigih Rahim Tambi Chik dan Ali Rustam semua keburukan ini telah diubah dan membawa keuntungan besar kepada rakyat Melaka.
Malangnya timbul pula Mat Deris, sungguh pun menang di medan perang, tetapi nak runtuhkan kejayaan....