Wednesday, 31 October 2012

Laluan Zahid Belum Tentu Selesa Sebenarnya...


Minggu lalu saya menulis mengenai Zahid Hamidi yang dianggap oleh banyak pihak mempunyai peluang paling terbuka untuk meningkat naik dalam hireaki UMNO selepas pilihanraya umum akan datang ini.

Beliau yang kini menjadi Naib Presiden UMNO dan Menteri Pertahanan, mungkin akan bergandingan dengan Muhyiddin untuk bertanding jawatan nombor dua dalam UMNO sekiranya BN hanya mampu mencapai keputusan kurang daripada 140 kerusi Parlimen dalam PRU 13 ini. Muhyiddin yang mungkin mencabar atau dipaksa mengambil alih teraju UMNO daripada Najib, dirasakan amat sesuai bergandingan dengan Zahid untuk memulihkan semula kekuatan parti.

Sekiranya BN mencapai kemenangan selesa pula, tidak mustahil juga Zahid akan diasak untuk mencabar kedudukan Muhyiddin di kerusi nombor dua berikutan Zahid dilihat mempunyai rangkaiann pengaruh yang luas dalam UMNO selain PRnya yang boleh menambat hati sesiapa saja yang berpeluang bertemu dengannya. Harus diakui dari segi hubungan dengan ahli dan perwakilan UMNO, Zahid bila-bila masa boleh menewaskan Muhyiddin.

Ataupun jika keputusan terlalu buruk dialami oleh UMNO yang mungkin memaksa Najib dan Muhyiddin mengundurkan diri sekaligus, Zahid juga dilihat paing berpotensi untuk menerajui UMNO berbanding pesaingnya sekarang iaitu Hishammuddin Tun Hussein dan Shafie Afdal.

Ekoran tulisan itu, saya menerima pelbagai pandangan daripada rakan-rakan dalam UMNO sendiri mengenai perkara itu. Ada yang bersetuju dan ada pula yang kurang bersetuju.

Dalam konteks kedudukan Zahid, ramai pemimpin UMNO yang bersetuju bahawa Zahid mempunyai potensi yang lebih baik jika beliau mahu bertanding merebut jawatan nombor dua dalam UMNO. Sama ada beliau akan berhadapan dengan Muhyiddin atau bersaing dengan Hishammuddin bagi merebut jawatan itu, laluan Zahid tetap lebih baik.

Dengan imej bersih, perwatakan menarik, PR serta komunikasi dengan ahli UMNO yang cemerlang selain mempunyai rangkaian Grup Sahabat yang luas, Zahid dilihat boleh memenangi apa saja jawatan yang mahu ditandinginya. Lihat saja bagaimana beliau memenangi kedudukan undi tertinggi dalam perebutan Naib Presiden UMNO pada 2009 lalu serta bagaimana kemenangan bergaya dicapainya sebagai Ketua Pemuda UMNO pada 1996 dahulu meskipun pesaingnya ketika ada yang berjawatan menteri dan menteri besar.

Namun beberapa pemimpin peringkat pertengahan dan akar umbi UMNO melihat Zahid juga mempunyai kekurangan yang ketara iaitu keupayaannnya yang kurang menyerlah sebagai menteri berbanding kemilau yang dimilikinya sebagai pemimpin UMNO.

Lebih-lebih lagi sebagai Menteri Pertahanan, peranan Zahid dianggap oleh banyak pihak langsung tidak menyerlah. Beliau gagal membawa idea-idea baru yang besar serta menampilkan dirinya sebagai seorang Menteri Pertahanan yang dinamik dan berwibawa.

Kalau ada pun idea baru yang dilakukan Zahid hanyalah mengembangkan Askar Wataniah ke peringkat semua kawasan Parlimen tetapi itu tidak cukup untuk menonjolkan dirinya sebagai Menteri Pertahanan yang berwibawa. Lebih dari itu, idea barunya hanpir tidak ada.

Dalam konteks LIMA yang diadakan dua tahun sekali di Langkawi pula, beberapa pihak juga melihat bahawa Zahid gagal memanfaatkan sepenuhnya program dwi tahunan yang diilhamkan oleh Tun Mahathir itu untuk melonjakkan lagi namanya di mata rakyat.

Pameran LIMA di bawah Zahid hanya dilihat sebagai pameran pertahanan laut dan udara yang biasa-biasa saja. Tiada idea baru atau perkara yang agak menonjol dapat diketengahkannya.

Seorang pemimpin UMNO bahagian berkata, kejayaan Zahid dalam LIMA hanyalah kejayaannya membawa ramai pemimpin dan mereka yang pernah yang menjadi perwakilan UMNO ke pameran di Langkawi dengan menggunakan kemudahan pesawat udara TUDM.

Berbanding Hishammuddin yang semakin dipertikaikan oleh banyak pihak sama ada dalam UMNO atau rakyat biasa, terutamanya sejak menjadi Menteri Dalam Negeri sehingga dianggap Menteri Dalam Negeri paling lemah dalam sejarah Malaysia, ramai pula yang berpandangan bahawa Shafie Afdal lebih menyerlah serta fokus dalam tugasnya sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar berbanding Zahid.

Cumanya masalah Shafie Afdal ialah beliau berasal dari Sabah yang mungkin menghadkan peluangnya untuk mendaki tangga dalam hireaki UMNO berbanding pemimpin yang berasal daripada Semenanjung.

Kesimpulannya, di sebalik bercahayanya bintang Zahid dalam UMNO dan disukai oleh ramai ahli, pemimpin serta perwakilan UMNO itu sendiri, keupayaannya yang terhad sebagai Menteri Pertahanan dan pemimpin yang bermanfaat kepada seluruh rakyat, mungkin juga menipiskan peluangnya untuk mendaki tangga yang lebih tinggi.

Ini kerana berbanding kejayaan memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO dan Naib Presiden dengan undi tertinggi sebelum ini, penilaian perwakilan UMNO mungkin berbeza dalam konteks jawatan yang lebih tinggi yang ingin ditandinginya.

Jika seseorang itu ingin merebut jawatan yang lebih tinggi seperti jawatan nombor dua misalnya, keupayaan sebagai pentadbir dan pemimpin kerajaan akan menjadi penilaian utama kerana selepas menang sudah tentu perlu memegang jawatan yang lebih tinggi atau penting dalam kerajaan.

Faktor inilah yanng mungkin menghalang kemaraan Zahid nanti, kata pemimpin UMNO bahagian itu lagi. (SH 31/10/2012)

Monday, 29 October 2012

Soi Lek Dan Hudud: Undi Cina Tak Bertambah, Undi Melayu Bakal Menyusut


Keceluparan Presiden MCA mempertikaikan hukum hudud nampaknya makin menjadi-jadi. Ada saja perkara baru yang dibangkitkannya dari semasa ke semasa yang menarik untuk dijadikan bahan berita tetapi cukup menyakitkan hati umat Islam.

Jika sebelum ini beliau mempertikaikan hukum hudud itu secara umum dan mengugut akan keluar BN jika hukum itu dilaksanakan, minggu lalu beliau mengeluarkan kenyataan bahawa 1.2 juta rakyat akan kehilangan pekerjaan jika hudud dilaksanakan. Tidak cukup dengan itu, beliau juga menyebut tentang dapatannya bahawa kebanyakan negara yang mengamalkan hudud adalah negara yang paling korup.

Terbaru dalam portal berita Star, beliau mencabar Menteri Agama, Jamil Khir untuk berdebat serta menyarankan melakukan "homework" secukupnya apabila Jamil Khir menyatakan jika hudud dilaksanakan ia tidak melibatkan orang bukan Islam.

Pelbagai rentetan isu hudud yang ditimbulkan oleh Soi Lek ini seperti memperlihatkan beliau lebih memahami serta membuat kajian yang mendalam mengenai hukum itu berbanding Jamil Khir dan umat Islam sendiri.

Sudah tentu keceluparan Soi Lek ini mengguris hati umat Islam seluruhnya kerana beliau nampaknya tidak memahami bahawa hudud bukanlah hukum ciptaan Pas atau mana-mana pihak, sebaliknya ia merupakan hukum Tuhan yang diturunkan untuk menjaga keamanan serta kesejahteraan hidup di dunia ini.

Di mana-mana orang bercakap tentang sikap Soi Lek itu dan rata-ratanya merasakan ia merupakan penghinaan yang tidak sewajarnya dilakukan oleh sesiapa di sebuah negara yang meletakkan agama Islam sebagai agama rasminya.

Tetapi tidak menghairankan kenapa Soi Lek sampai seberani itu. Selain Najib sendiri yang tidak berani menegur dan meminta Soi Lek berhenti daripada bercakap soal hudud, Mahathir sendiri seperti menggalakkan beliau daripada terus bercakap sesuka hatinya mengenai hudud.

Mahathir dilaporkan pada minggu lalu sebagai berkata bahawa tiada salahnya apa yang dilakukan oleh Soi Lek itu kerana ia hanya bertujuan menarik sokongan pengundi Cina yang selama ini menyokong DAP untuk menyokong MCA pula.

Sudah tentu dengan lesen besar yang diperolehi daripada Najib dan Mahathir ini, Soi Lek tidak akan berhenti bercakap. Meskipun sudah ada demonstrasi dan bantahan terhadap beliau, umat Islam haruslah bersedia untuk menerima kata-kata yang lebih pedih dan mengguris hati lagi berkenaan hudud di masa-masa akan datang.

Sebabnya ialah kerana Najib dan Mahathir sudah memberi lesen besar kepada Soi Lek. Dengan lesen besar tanpa tarikh mati itu, sudah tentu Soi Lek boleh berkata apa saja dan bila-bila masa saja.

Dalam usaha UMNO dan BN menghadapi pilihanraya akan datang dan keyakinan Najib bahawa pengundi Cina amat penting serta kepercayaannya mereka akan kembali menyokong BN jika ditakut-takutkan berhubung isu hudud, percayalah Soi Lek akan terus bersuara dengan nyaring lagi selepas ini.

Dalam hal ini Najib dan Mahathir seakan-akan lupa atau buat-buat lupa bahawa isu hudud bukanlah satu-satunya isu yang menyebabkan pengundi Cina berubah angin dan menyokong pembangkang dalam pilihanraya 2008 lalu. Membangkitkan isu hudud untuk meraih sokongan pengundi Cina tidak lebih menggambarkan kecetekan pemikiran UMNO dan BN serta gambaran tidak mahu berubah.

Pengundi Cina pada umumnya memikirkan soal ekonomi dan urus tadbir kerajaan yang berkaitan dengan rasuah, skandal, penyelewengan, ketelusan dan sebagainya sebagai teras untuk memilih sesebuah parti itu. Jika perkara itu dapat diperbaiki atau gambaran bahawa ia akan lebih baik selepas ini, tanpa ditakut-takutkan isu hudud pun, pengundi Cina akan kembali menyokong BN.

Tetapi dengan mengekalkan kerajaan yang lemah, urus tadbir yang celaru, skandal, rasuah serta penyelewengan makin menjadi-jadi serta suasana ekonomi yang tidak berkembang, tentulah agak sukar pengundi Cina untuk kembali menyokong BN. Bagi mereka, setelah 50 tahun lebih menyokong BN dan kini terdapat alternatif yang dirasakan lebih baik, meneruskan sokongan kepada BN hanyalah umpama terjun ke dalam gaung yang penuh duri dan sampar-sarap.

DAP pula dalam isu hudud ini nampak lebih berhemah dan tidak sampai mengeluarkan kenyataan yang menghina hukum Islam itu. Malahan dalam konteks penghinaan Soi Lek itu, DAP secara terbuka menentang apa yang dilakukan oleh MCA itu.

Dalam masa yang sama, isu hudud yang dibangkitkan secara berterusan oleh Soi Lek ini juga akan membangkitkan kemarahan secara senyap di kalangan pengundi Melayu dan Islam atas pagar. Jika selama ini ini mereka menyokong UMNO dan BN atas keyakinan itulah parti yang diyakini untuk mentadbir negara, tetapi dengan pelbagai kemelut serta skandal yang bertali arus ditambah dengan penghinaan Soi Lek dan MCA terhadap hudud, pengundi Melayu dan Islam atas pagar ini pasti memberi hukuman dalam piliharaya kali ini.

Selama ini hanpir semua kerusi yang dimenangi MCA adalah di kawasan majoriti Melayu. Di kawasan bandar dan majoriti Cina, MCA sebenarnya sudah lama ditolak. Oleh itu, dengan penghinaan Soi Lek terhadap hudud ini, peralihan sokongan pengundi Melayu atas pagar pasti akan berlaku dalam jumlah yang besar kerana tidak ada orang Islam yang rela dan reda hukum Allah itu dihina oleh Soi Lek.

Jika ditambah dengan penolakan pengundi Melayu dan Islam yang kecewa dengan ketidaktegasan Najib menangani isu hudud dan Soi Lek ini, pastilah jumlah kehilangan undi yang bakal diterima oleh BN dalam pilihanraya akan datang lebih besar lagi jumlahnya.

Soi Lek sudah terlanjur menyerang hudud dan tidak mungkin menarik balik kata-katanya. Najib dan Mahathir juga sudah terlajak memberi sokongan dan lesen besar kepada Presiden MCA itu, juga mustahil menarik semula sokongan yang diberikan itu. Kini hudud yang ditimbulkan itu hanya menunggu masa untuk menjadi lowongan besar yang bakal mengambas UMNO dan MCA didalamnya, Insya Allah. (SH 29/10/2012)






Monday, 22 October 2012

Mahathir Sedang Membasuh Dosa-Dosanya Terhadap UMNO


Semalam Mahathir bercakap tentang pilihanraya lagi. Kali ini beliau berkata bahawa sama ada hujung tahun ini atau awal tahun depan, ia adalah masa yang sesuai untuk diadakan pilihanraya. Walaupun Najib yang berhak menentukan tarikh pilihanraya, Mahathir seperti mahu memainkan peranan sama dalam penentuan tarikh pilihanraya kali ini.

Apa yang dilakukan Mahathir ini bukan saja kerana beliau dan Najib sedang menghadapi musuh yang sama iaitu Anwar tetapi juga kerana beliau ingin menentukan legasinya sentiasa terpelihara dalam UMNO dan kerajaan.

Hanya jika UMNO ditakdirkan tumbang saja, segala-segalanya berakhir bagi Mahathir. Tetapi sebelum segala-galanya tumbang, beliau mahu mempertahankannya dahulu.

Dalam usahanya mempertahankan UMNO dan BN, Mahathir sekarang juga sedang sibuk menemui pemimpin peringkat akar umbi di beberapa negeri. Beberapa negeri sudah dikunjunginya dan terakhirnya, beliau menemui pemimpin UMNO Wilayah Perseketuan pada minggu lalu.

Dalam pertemuan dengan pemimpin UMNO WP itu, Mahathir menekankan pemimpin UMNO supaya bekerja keras untuk mencapai kemenangan dan mengelakkan daripada melakukan sabotaj terhadap calon-calon BN.

Menyedari bahawa apa yang berlaku dalam UMNO sekarang sebahagiannya adalah kerana perbuataannya menghasut ahli-ahli UMNO sendiri sebelum piliharaya 2008 lalu, beliau berkata perbuatan sabotaj hanya akan merugikan UMNO akhirnya.

Beliau juga mahu semua pihak mengutamakan UMNO melebihi kepentingan peribadi.

Dalam cubaannya untuk mengukuhkan kepercayaan itu, Mahathir sampai berkata bahawa beliau sendiri tidak akan marah atau melakukan sabotaj kali ini jika anaknya, Mukhriz tidak dipilih sebagai calon pilihanraya oleh Najib.

Tetapi kata-kata itu mengundang senyuman sinis di kalangan pemimpin UMNO yang hadir kerana jelas bahawa Mahathir berkata demikian oleh sebab beliau tahu perkara itu tidak mungkin akan berlaku.

Ini berbeza ketika sebelum pilihanraya 2008 dulu di mana beliau tidak pula berani mengungkapkan kata-kara sedemikian. Ketika itu beliau ligat menghentam Pak Lah tetapi dalam masa yang sama tentunya mengharapkan Mukhriz diberi tempat juga.

Bagi mereka, usaha Mahathir mempertahankan UMNO kini tidak lebih seperti mahu membasuh dosa-dosanya yang pernah dilakukannya terhadap UMNO pada 2008 lalu sehingga UMNO berpecah dan kehilangan majoriti dua pertiga.

Ramai ahli UMNO masih menganggap Mahathirlah pensabotaj paling besar dalam sejarah UMNO. Dengan UMNO menjadikannya Perdana Menteri selama 22 tahun di samping limpahan nikmat untuk kaum keluarga dan anak-anak, beliau kemudian sanggup menjelajah ke seluruh negara memburukkan UMNO dan Pak Lah hanya kerana wujudnya perasaan tidak puas hati terhadap penggantinya itu.

Dalam episod pergeserannya dengan Pak Lah, tidak lain membuktikan bahawa Mahathir juga mempunyai kepentingan peribadi yang lebih besar daripada kecintaannya terhadap UMNO.

Sudah tentu apabila hari ini beliau meminta ahli UMNO pula mengutamakan UMNO melebihi kepentingan peribadi, ramai yang tersenyum sinis sambil menahan ketawa yang mungkin tersembur.

Walau bagaimana kuat sekali pun usaha Mahathir mahu mempertahankan UMNO, ramai yang percaya kesannya tidak sebanyak yang dijangka. Jika dalam pilihanraya 2008, keputusan buruk yang dicapai UMNO adalah kerana ramainya ahli UMNO sendiri yang tidak mengundi BN di samping penolakan pengundi bukan Melayu, usaha Mahathir kali ini mungkin hanya berjaya mengukuhkan sokongan di kalangan ahli UMNO saja.

Sebaliknya penolakan bukan Melayu tetap kekal, malahan penolakan pengundi atas pagar daripada semua kaum juga mungkin meningkat berikutan kelemahan pentadbiran Najib dalam mengurus negara, beban ekonomi yang dihadapi rakyat, meluasnya amalan rasuah, skandal, pembaziran dan sebagainya.

Akhirnya, walaupun Mahathir sibuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin UMNO pelbagai peringkat sekarang ini, UMNO dan BN tetap dalam keadaan cemas. Penolakan rakyat secara umumnya lebih besar daripada penyatuan ahli UMNO yang sedang diusahakan oleh Mahathir.

Sementara beliau cuba membasuh dosa-dosanya, ramai juga yang melihat sokongan berlebihan Mahathir kepada Najib kali ini adalah juga untuk mempertahankan kepentingan peribadi dan anak-anaknya. Oleh itu, sisi buruknya pasti akan meninggalkan kesan kepada ramai orang. Dosanya tetap diingati oleh sebahagian orang sama ada di dalam UMNO mahupun di luar UMNO.

Jika pilihanraya akan datang ini teramat sukar bagi Najib, ia juga sebenarnya amat sukar bagi Mahathir. (SH 22/10/2012)











Sunday, 21 October 2012

Selagi Tiada Darurat, Perpaduan Melayu Hanyalah Angan-Angan...


Hampir semua orang sekarang ini bercakap mengenai perpaduan Melayu. Di Parlimen, lobi hotel, kopitiam Cina, kedai kopi Melayu, rumah orang kaya, teratak miskin, tua muda, kelas atasan, golongan pertengahan dan rakyat biasa, jarang benar terlepas daripada membicarakan isu perpaduan Melayu ini.

Parti-parti politik apatah lagi, perpaduan Melayu kadang-kadang turut dijadikan modal meraih sokongan. Masing-masing menghuraikan makna perpaduan itu mengikut selera dan kepentingan yang mahu diperjuangkan. UMNO dengan perpaduan Melayu, Pas dengan perpaduan Islam manakala PKR lebih kepada perpaduan rakyat.

Hakikatnya, perpaduan dalam konteks apa pun, tidak pernah menemui titik mesra. Alasan untuk terus berbalah kadangkala lebih banyak daripada alasan untuk bersatu.

Untuk tujuan membuka minda dan juga atas keprihatinan terhadap perpaduan Melayu dan umat Islam di negara ini, tokoh politik berpengalaman yang juga Presiden Amanah Merdeka, Tengku Razaleigh Hamzah, pada Ahad 21 Oktober telah menganjurkan majlis perbincangan sambil makan tengahari mengenai topik perpaduan Melayu di kediaman beliau di Kuala Lumpur.

Syarahan disampaikan oleh Prof Kamal Hassan, seorang tokoh akademik yang tidak asing lagi di negara kita.

Lebih 100 tetamu hadir mendengar syarahan beliau yang terdiri daripada tokoh akademik, ahli politik, pemimpin NGO, bekas pegawai tinggi kerajaan, ahli perniagaan, pengamal media dan sebagainya.

Antara tetamu yang hadir ialah bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan, bekas Pengarah Penjara, Zaman Khan, bekas Ketua Pengarah IKIM, Ismail Ibrahim, ahli akademik Firdaus Abdullah, bekas Pengerusi Bernama, Anuar Zaini, tokoh media, Kadir Jasin, bekas timbalan menteri, Abdullah Ahmad, Presiden Perkasa, Ibrahim Ali, Presiden Majlis Perundingan Melayu, Helmi Yahya serta ramai lagi.

Prof Kamal dalam syarahannya menghuraikan serba ringkas tentang perpecahan ummah yang berlarutan sekarang ini sehingga menimbulkan senario yang menyedihkan seperti kedudukan Melayu dan Islam tergugat, martabat Raja-Raja tidak lagi dihormati, meningkatnya suara liberal dan sebagainya.

Beliau juga menghuraikan strategi jangka pendek, sederhana dan panjang ke arah mencapai matlamat perpaduan itu serta beberapa pilihan yang boleh dilakukan iaitu sama ada melibatkan penyatuan UMNO, Pas, PKR dan parti Islam lain, memperkukuh kedudukan Raja-Raja serta institusi Islamnya yang mencakupi bidang ekonomi, pendidikan, majlis agama Islam, Raja turun padang atau melalui pewujudan gabungan NGO-NGO yang kuat, bebas, berpengaruh serta boleh diterima ramai.

Prof Kamal juga secara sinis menyebut bahawa dalam pelbagai pihak bercakap soal perpaduan Melayu ini, ada yang bercakap secara jujur dan ada juga yang bercakap kerana ada muslihat tertentu.

Mengenai perpaduan Melayu dan kaitannya dengan parti politik, beliau menyarankan agar senario sekarang di mana parti politik yang menentukan perjalanan umat hendaklah diubah kepada kuasa umat yang menentukan perjalanan parti politik.

Lebih menyedihkan katanya, apabila perjalanan umat ditentukan oleh parti politik, sering berlaku kompromi dalam perkara tertentu sebagai strategi untuk mengekalkan kuasa atau mahu mendapatkan kuasa.

Ketika sessi soal jawab, meskipun rata-ratanya mengakui tentang kepentingan perpaduan Melayu dan umat di Malaysia, tetapi ramai yang skeptikal tentang kaedah dan masa yang sesuai untuk mewujudkan perpaduan itu.

Ini kerana mereka beranggapan menjelang piliharaya umum ini, mustahil sesuatu perbincangan yang konkrit dapat dicapai mengenai perpaduan Melayu kerana keghairahan untuk mempertahankan kuasa dan merebut kuasa sedang mengambil tempatnya.

Masing-masing kini sudah memalu gendang perang dengan keris sudah sedia terhunus. Oleh itu, kesedaran dalam ertikata yang sebenarnya tentang perpaduan itu mungkin hanya muncul setelah berlakunya malapetaka, darurat dan kerosakan yang banyak sehingga semua pihak akhirnya menyedari bahawa perpecahan selama ini hanyalah menguntungkan pihak musuh sahaja.

Wujud juga kritikan terhadap UMNO dan kerajaan yang menjadi penyumbang kepada kalutnya keadaan sekarang di mana ia antara penyebab generasi muda, pegawai kerajaan dan rakyat secara umumnya makin menjauhi kerajaan yang ada sekarang.

Meskipun tiada sebarang resolusi yang digubal atau ketetapan dicapai dalam majlis perbincangan di kediaman Tengku Razaleigh ini, ia sekurang-sekurangnya telah membuka kesedaran yang lebih tinggi mengenai perpaduan dalam konteks yang lebih ilmiah serta jitu.

Tidak mengapalah jika jalan ke arah perpaduan itu sentiasa menemui jalan buntu sebelum pilihanraya umum ini tetapi melalui input-input yang disampaikan oleh Prof Kamal dan luahan idea semasa sessi soal jawab serta inisiatif Tengku Razaleigh mengadakan majlis seumpama ini, jalan ke arah penyatuan itu tentunya lebih mudah untuk diteroka jika keadaan benar-benar memerlukannya nanti. (SH 21/10/2012)

Thursday, 18 October 2012

Jika Bukan Punca Melayu Pecah, Tentunya Mahathirlah Penyatu Ummah...


Dalam cubaan untuk membersihkan namanya yang sering dikaitkan sebagai punca keretakan perpaduan orang-orang Melayu, Mahathir sekali lagi cuba menunjukkan dirinya sebagai individu yang suci lagi bersih.

Dalam suatu program di Kuala Terengganu semalam, bekas PM itu menafikan perpecahan orang-orang Melayu berpunca daripada tindakannya memecat bekas timbalannya, Anwar Ibrahim pada 2 September 1998.

Sebalikya, kata Mahathir, orang Melayu sudah pun berpecah sebelum itu lagi iaitu ketika Datuk Onn keluar daripada UMNO dan menubuhkan parti Negara. Begitu juga katanya, dengan penubuhan Malayan Union oleh British dan kesannya telah mencetuskan pelbagai konflik termasuk kewujudan golongan ulama yang kemudiannya menubuhkan Pas.

Kata Mahathir lagi, orang Melayu juga berpecah kerana Tengku Razaleigh menubuhkan parti Semangat 46 pada 1988.

Jika dilihat sipintas lalu, ternampak ada benarnya hujah Mahathir itu. Bukan beliau yang menyebabkan orang Melayu berpecah, sebaliknya yang dianggap perosak perpaduan Melayu ialah Datuk Onn, ulama-ulama yang menubuhkan Pas dan juga Tengku Razaleigh.

Tetapi bolehkah Mahathir menipu semua orang dengan hujah lapuknya itu.

Datuk Onn memang keluar UMNO dan menubuhkan Parti Negara tetapi perpecahan Melayu tidak seteruk mana ketika itu. Memang benar juga sekumpulan ulama telah keluar UMNO dan menubuhkan Pas tetapi perpecahan di kalangan umat Melayu dan Islam tidaklah ketara sangat.

Apa yang berlaku hanyalah perbezaan pandangan dan ideologi dalam politik. Itu adalah perkara biasa dan berlaku di mana-mana. Sejak zaman Nabi pun berlaku perbezaan pendapat dan ia tidak mendatangkan banyak masalah. Mana-mana kerajaan di Barat, Timur dan segala pelusuk dunia memang biasa berlaku perbezaan pendapat dan ideologi politik.

Tetapi perbezaan pendapat dan ideologi itu tidak memecah-belahkan umat. Datuk Onn dan Parti Negara tidak memecah-belahkan umat, begitu juga tindakan ulama mewujudkan Pas, sama-sekali tidak menyebabkan perpecahan. Ia hanya memberi pilihan kepada rakyat.

Perpecahan ketara orang Melayu bermula pada 1987 apabila Mahathir yang hanya menang 43 undi di tangan Tengku Razaleigh telah bertindak tidak merayu atas keputusan mahkamah yang mengisytiharkan UMNO sebagai haram. Malah Mahathir kemudian menubuhkan UMNO Baru serta melarang kumpulan Team B yang menentangnya pada 1987 daripada menyertai UMNO.

Memang benar Ku Li menubuhkan Semangat 46 tetapi parti itu hanya ditubuhkan setelah Mahathir tidak membenarkan mereka menyertai UMNO Baru, sebaliknya UMNO Baru sepeti kelab eksklusif yang hanya boleh dianggotai oleh prmbodek dan pengampu Mahathir sahaja.

Kenapa Mahathir menyembunyikan fakta pengharaman UMNO itu sebahagian perancangannya untuk kekal sebagai PM. Jika keputusan mahkamah itu dirayu dan diadakan pemilihan semula pada 1987 itu, keadaannya mungkin berbeza dan Mahathir tidak kekal sebagai PM. Tetapi Melayu tidak pecah.

Ataupun jika dalam UMNO Baru itu, semua orang Melayu dibenarkan menyertainya, senario politik dan perpaduan Melayu hari ini juga mungkin berbeza.

Semangat 46 adalah pilihan untuk bekas ahli UMNO yang tidak dibenarkan menyertai UMNO Baru untuk meneruskan perjuangan politik mereka. Namun Mahathirlah punca Semangat 46 ditubuhkan.

Sebagaimana hujah Mahathir bahawa Datuk Onn dan ulama yang menubuhkan Pas sebagai punca perpecahan Melayu adalah dangkal dan boleh dipersoalkan, hujah beliau mengenai Ku Li dan Semangat 46 juga sebenarnya tersasar daripada kenyataan sebenar.

Dalam konflik dengan Ku Li, matlamat Mahathir hanyalah untuk mempertahankan kuasa Perdana Menterinya. Jika keputusan mahkamah pada 1987 dirayu dan pemilihan semula diadakan, belum tentu Mahathir mampu kekal.

Mahathir hanya kekal sebagai PM kerana kelicikannya bermain politik disebalik sikap pengecut untuk menghadapi pertandingan kali kedua.

Dengan Anwar juga sikapnya begitu. Beliau meneruskan kelicikannya bermain politik disebalik sikap pengecutnya menghadapi arus kebangkitan Anwar dalam UMNO.

Jika Anwar tidak dipecat atau sekadar digugurkan jawatan dakam kabinet tetapi masih dikekalkan kedudukannya dalam UMNO, nasib Mahathir belum tentu menjadi sabut yang timbul. Dalam episod 1998, kuasa Mahathir seharusnya hanyalah memecat Anwar daripada jawatan TPM tetapi kedudukannya sebagai Timbalan Presiden UMNO biarlah ahli dan perwakilan UMNO yang menentukannya.

Masalahnya ketika itu ialah sebagai Perdana Menteri, Mahathir menjadi Perdana Menteri dan sebagai Presiden UMNO pun beliau menjadi Perdana Menteri juga.

Jika sebagai Presiden UMNO beliau menjadi Presiden UMNO yang tahu menghormati hak ahli dan perwakilan UMNO, perpecahan Melayu tidaklah seteruk sekarang ini.

Hanya kerana ingin mengekalkan kepuasan berkuasa, Mahathir sebenarnya telah menjadikan perpaduan orang Melayu sebagai galang gantinya. Mengekalkan kuasa, bagi Mahathir lebih penting berbanding perpecahan Melayu.

Tambahan pula, perpecahan Melayu boleh disandarkan kesalahannya orang lain asalkan pintar menyusun hujah dan memutarbelitkan fakta.

Setelah Anwar berada di penjara dan Ku Li pula beransur tua sambil kehilangan sokongan daripada UMNO sendiri, Mahathir sepatutnya boleh bersara dengan aman apabila menyerahkan kuasa kepada Pak Lah pada 2003. Apatah lagi pada pilihanraya 2004, kejayaan cemerlang telah dicapai oleh Pak Lah, yang sebahagian sebabnya adalah kerana rakyat gembira dengan pengunduran Mahathir.

Beliau kemudian keluar daripada persaraan apabila Pak Lah membatalkan beberapa projek meganya dan membebaskan Anwar. Campurtangan Khairy Jamaluddin dan pengaruh budak-budak tingkat 4 dalam pentadbiran Pak Lah dijadikan alasan utama untuk menyerang Pak Lah pula.

Dengan mengadakan roadshow ke seluruh negara menyerang Pak Lah, mengakui tersalah pilih pengganti, merasionalkan bahawa kemenangan yang terlalu cemerlang pada pilihanraya 2004 tidak baik bagi demokrasi dan rakyat, bertindak keluar UMNO dan mengajak rakyat melemahkan kerajaan, UMNO dan BN akhirnya hilang majoriti dua pertiga pada pilihanraya 2008.

Sejak itu sehinggalah hari ini, ditambah dengan Najib yang lebih parah kelemahannya, isu perpecahan Melayu sering menjadi topik perbualan. Tidak dapat tidak, haruslah diakui bahawa Mahathir penyumbang terbesar kepada senario perpecahan sejak berdekad lalu.

Tidak puas berjaya menyingkirkan Ku Li dan memecat Anwar, beliau juga seperti mendendami Pak Lah yang dipilihnya sendiri.

Kini menjelang tarikh penentuan PRU 13 yang akan menentukan ke mana orang Melayu di fasa-fasa seterusnya, meskipun Mahathir cuba menjadi hero semula tetapi secara umumnya semakin beliau mahu membersihkan namanya, tompok-tompok hitam kesilapan masa lalunya makin terbentang di depan mata.

Itulah Mahathir, tidak sudah-sudah mahu bermain politik dan mahu menegakkan benang basahnya. Mungkin beliau akan bersara dengan aman jika kita semua menggelarnya pula Bapa Penyatu Ummah. (SH 18/10/2012)



Tuesday, 16 October 2012

Zahid Hamidi Paling Berpotensi Jadi TPM Selepas PRU 13


Jika Muhyiddin Yassin mula mendapat perhatian yang semakin meluas sebagai sosok yang dilihat lebih sesuai menggantikan Najib yang penuh dengan segala macam masalah selepas piihanraya umum akan datang, nama Zahid Hamidi turut meniti di bibir majoriti ahli dan perwakilan UMNO sebagai tokoh yang paling mantap untuk bergandingan dengan Muhyiddin.

Tidak dapat dinafikan pilihanraya yang mesti diadakan sebelum April 2013 ini adalah
penentuan hidup dan mati karier politik Najib. Kalah atau gagal mendapat majoriti dua pertiga, Najib pasti dihumban ke lembah persaraan. Hanya kejayaan mendapat majoriti lebih dua pertiga saja yang mampu memberikan talian hayat bagi bernafas lebih lama di Seri Perdana.

Sementara PR makin bertambah keyakinan disebalik pelbagai isu yang kini hampir semuanya menjadikan UMNO dan BN semakin lemah, di dalam UMNO sendiri Najib juga mula menghadapi bibit-bibit persaingan daripada timbalannya, Muhyiddin.

Muhyiddin kini seakan memulakan apa yang dipanggil "constructive critism" iaitu memberi komen seakan-akan bersetuju dengan sesuatu isu yang dibangkitkan Najib tetapi sebenarnya memberi tekanan dalam masa yang sama.

Contoh yang jelas ialah cadangan Muhyiddin agar BR1M diteruskan sebagai program yang berpanjangan atas alasan ia mampu melonjakkan kuasa beli rakyat sedangkan Najib pula hanya mahu menjadikan BR1M sebagai "umpan politik" bagi menghadapi pilihanraya ini sahaja. Sementara Muhyiddin mahukan ia diteruskan, Najib pula sehingga ini masih berdiam diri dan tidak berani bersuara sama ada BR1M masih ada atau tidak pada tahun hadapan jika BN terus berkuasa.

BR1M yang bernilai RM500 saja sudah memakan belanja lebih RM3 billion setahun, dan dengan Najib mewujudkan juga BR1M untuk orang bujang bernilai RM250, baucer buku kepada pelajar universiti sebanyak RM250 dan bantuan RM100 kepada pelajar sekolah, jumlah wang tunai yang diperlukan Najib sebagai "umpan politik" sebenarnya amatlah besar. Ditambah dengan suasana ekonomi yang tidak berapa baik sekarang, pendekatan membeli sokongan ini dilihat banyak pihak seperti mahu memufliskan negara.

Cadangan Muhyiddin agar BR1M diteruskan lagi jelas mahu memberi tekanan kepada Najib tetapi dalam masa yang sama pendekatan itu cuba memihak kepada rakyat dalam jangka panjang berbanding Najib yang hanya mahu berjangka pendek.

Selain itu, Muhyiddin juga berbeza pendapat dengan Najib mengenai 1Malaysia. Najib gah menggambarkan dirinya dengan slogan 1Malaysia tetapi Muhyiddin tetap meletakkan dirinya Sebagai orang Melayu melebihi sebagai rakyat Malaysia.

Mengekalkan jati dirinya sebagai lebih Melayu berbanding Najib dalam kemelut politik yang getir sekarang jelas menggambarkan bahawa Muhyiddin tidak mahu tergelincir daripada sokongan fundamental dalam UMNO itu sendiri.

Dengan mengekalkan jiwa Melayunya, Muhyiddin tahu kelebihan akan memihak kepadanya jika keputusan kurang daripada 140 kerusi Parlimen yang mampu digapai oleh BN dalam pilihanraya akan datang.

Dalam konteks yang sama, seiring dengan melonjaknya nama Muhyiddin, nama Zahid Hamidi kelihatan lebih ke depan berbanding dua lagi Naib Presiden UMNO iaitu Hishammuddin Tun Hussein dan Shafie Afdal untuk menjadi pemimpin utama UMNO.

Jika BN sekadar menang dengan majoriti tipis dan Muhyiddin didesak untuk mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan sebagaimana yang pernah berlaku kepada Pak Lah dulu, tidak syak lagi Zahid adalah gandingan yang sesuai bersama-sama dengan Muhyiddin untuk memulihkan kembali kekuatan UMNO.

Dengan pengalaman, rekod baik, peribadi serta rangkaian sokongan yang luas di dalam dan di luar UMNO, Zahid jauh lebih diyakini berbanding pesaing terdekatnya, Hishammuddin.

Sebagaimana Najib sering digambarkan sebagai PM paling lemah, Hishammuddin juga digambarkan sebagai Menteri Dalam Negeri paling tidak berwibawa sejak merdeka. Wibawanya berbanding dengan Tun Dr Ismail, Ghazali Shafie dan Musa Hitam yang pernah menjadi Menteri Dalam Negeri sebelum ini sering dijadikan perbandingan.

Kegagalan beliau menanganai isu perhimpunan Bersih dengan bijaksana, menyatakan tindakan merampas kamera wartawan sebagai mematuhi SOP polis tetapi kemudiannya dibantah oleh Ketua Polis Negara sendiri dan kenyataan yang seperti tidak memberi jaminan terhadap keselamatan rakyat dalam isu bas jelajah Anwar disimbah cat merah, jelas menggambarkan beliau tidak mempunyai pengetahuan yang secukupnya mengenai bidang tugas kementeriannya sendiri.

Keyakinan terhadap Hishammuddin bukan saja merudum di mata rakyat, malahan juga terjejas teruk di kalangan ahli dan perwakilan UMNO sendiri. Di laman sosial Facebook dan Twitter, beliau banyak dicemuh oleh ahli UMNO sendiri ketika isu Bersih dulu.

Beliau mungkin hanya selamat jika Najib terus menang dengan cemerlang tetapi dengan kemungkinan BN hampir mustahil mencapai kejayaan lebih baik daripada 2008, dengan sendirinya kedudukan Hishammuddin juga bagaikan telur di hujung tanduk.

Jika UMNO dan BN kalah pula, nasib Zahid Zahidi mungkin lebih menyerlah. Selain kedudukannya tetap terjamin untuk bergandingan dengan Muhyiddin bagi memulihkan UMNO, Zahid juga mungkin didesak untuk terus menerajui UMNO bagi menghadapi piliharaya yang seterusnya. Ini kerana dengan tumbangnya kerajaan Pusat ketika itu, ia juga mungkin dilihat sebagai kegagalan gandingan Najib dan Muhyiddin dan ia menjadikan alasan terbaik untuk menyingkirkan kedua-duanya sekali.

Dan kiranya BN terus kekal memerintah melebihi majoriti dua pertiga serta Najib pula kekal sebagai Presiden UMNO dan PM, Zahid Hamidi juga dilihat mungkin mencabar kedudukan nombor dua dalam UMNO bagi menempatkan dirinya mengempuki kerusi Timbalan Perdana Menteri yang kini diduduki oleh Muhyiddin.

Sama ada Zahid akan mencabar kedudukan Muhyiddin atau menjadikan persaingan nanti kepada tiga penjuru dengan penyertaan Hishammuddin dalam perebutan kerusi Timbalan Presiden UMNO itu, ramai yang percaya Zahid akan mempunyai kelebihan dalam persaingan itu nanti.

Selain wataknya yang disenangi, mudah didekati, berpengalaman, rekod baik dan peribadi yang meyakinkan, Zahid juga mempunyai rangkaian yang luas dalam UMNO yang dikenali sebagai Grup Sahabat. Grup ini wujud secara semulajadi bermula ketika Zahid menjadi Ketua Penerangan Pemuda UMNO dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Grup ini dianggotai oleh kalangan yang pernah menjadi Ketua Pemuda Bahagian atau perwakilan UMNO ketika Zahid memegang kedua-dua jawatan tersebut.

Dengan Zahid kini menjadi Naib Presiden UMNO dan Menteri Pertahanan, rangkaian grup ini menjadi semakin luas dan berkembang. Pertemuan, perbincangan tidak rasmi, sembang kedai kopi dan majlis-majlis sosial juga kerap mempertemuan mereka ini daripada seluruh negara.

Jamuan hari raya yang diadakan Zahid Hamidi yang mengundang limpahan hadirin setiap tahun adalah salah satu ukuran yang boleh dilihat untuk untuk menilai sokongan terhadapnya melalui kewujudan Grup Sahabat itu.

Selain itu, dengan kejayaan Angkatan Tentera Malaysia melangkah ke final Piala Malaysia setelah 49 tahun menanti juga sedikit-sebanyak melonjakkan lagi rating Zahid di mata umum.

Hakikatnya, berbanding Najib yang hampir pasti akan "tenggelam" selepas pilihanraya akan datang dan Muhyiddin yang "entahkan hidup entahkan mati" serta Hishammuddin pula tidak pasti antara "timbul dan tenggelam", Zahid sebaliknya mempunyai cahaya yang lebih terang di hujung terowong perjalanan karier politiknya. ( SH 16/10/2012)



Sunday, 14 October 2012

Tuhan Pun Nampaknya Sudah Bersama PR...


Semakin hampir waktu edah pilihanraya, pergelutan merebut kuasa antara BN dan PR nampaknya makin memuncak. Saban hari ada saja isu baru muncul di atmosfera politik negara, sekaligus menjadikan rating kedua-dua parti itu menjadi tidak menentu. Sekejap BN diatas, tapi sekejap kemudian dipintas kembali oleh PR. Begitu juga sebaliknya bila PR di atas, BN akan berusaha menariknya ke bawah semula.

Rating Najib dan Anwar, dua sosok yang berebut kerusi empuk Perdana Menteri juga turut tidak menentu. Kedua mereka saling berebut kasih sayang dan kepercayaan daripada rakyat.

Tetapi dalam beberapa isu besar yang muncul, terutamanya yang mahu dijadikan modal utama oleh BN, seringkali ia menjadi seperti boomerang, berpatah balik dan merosakkan tubuh badan UMNO sendiri. Berulangkalinya berlaku senjata makan tuan ini seolah-olah menunjukkan Tuhan juga bersama-sama PR dan merestui perjuangan PR untuk menumbangkan BN dalam pilihanraya akan datang.

Kaitan George Soros dengan perubahan kepimpinan dalam banyak negara di dunia ini telah digunakan oleh UMNO untuk mengaitkan dana sumbangan Soros dengan pembangkang, khususnya PKR dan Anwar Ibrahim. Yang dihebohkan menerima dana daripada sebuah yayasan yang dikaitkan dengan Soros pada mulanya hanyalah Suaram dan portal berita Malaysiakini tetapi ia kemudiannya dibakulkan juga dengan PR yang kelihatan berpotensi menumbangkan BN walaupun tiada bukti sahih dikemukakan PR ada menerima mana-mana sumbangan dana asing.

Mahathir kemudiannya mempopularkan ungkapan satu undi kepada PR bermakna satu undi untuk Soros, dengan tujuannya mengingatkan rakyat supaya menolak PR. Tetapi malangnya tidak lama kemudian didedahkan bukan sahaja Mahathir yang mengadakan pertemuan dengan Soros, malahan Najib juga secara sembunyi-sembunyi ada bertemu dengan Soros.

Pertemuan Najib dengan Soros pada 2010 itu cuba disembunyikan selama ini kerana UMNO tahu kesan pertemuan itu kepada rakyat. Jika sebelum ini mana-mana pertemuan Najib dengan individu terkenal di seluruh dunia sentiasa diberi liputan meluas, pertemuan dengan Soros sebaliknya telah disembunyikan serapatnya.

Hanya setelah serangan UMNO terhadap PR dengan menggunakan isu Soros, pertemuan itu terdedah. Najib sendiri terpaksa mengaku akhirnya. Anwar dan pemimpin PR yang sering dikaitkan menerima dana Soros, tidak terbukti pun pernah bertemu dengan peniaga matawang itu, sebaliknya Mahathir dan Najib pula yang terbukti membuka ruang bertemu dan bertukar-tukar fikiran dengan Soros.

Maka dengan sendirinya isu Soros menjadi isu yang tidak laku dan menikam diri UMNO sendiri. Ungkapan juga sudah berubah menjadi satu undi kepada Najib sama dengan satu undi untuk Soros. Tuhan nampaknya ingin menunjukkan kebenaran.

Dalam isu yang sama, ketika Suaram, Malaysiakini dan PR dikaitkan ada menerima dana asing, akhirnya terdedah juga bagaimana Ketua Menteri Sabah, Musa Aman menerima sumbangan politik daripada seorang tauke Cina berjumlah RM40 juta. Tauke itu, Michael Chia ditahan ketika membawa wang tunai RM40 juta dalam bentuk mata wang Singapura ketika dalam perjalanan dari Hong Kong ke Malaysia.

Nazri Aziz akhirnya terpaksa menjawab di Parlimen bahawa SPRM sudah menjalankan siasatan dan mengesahkan tiada unsur rasuah kerana sumbangan itu untuk UNNO dan bukannya untuk kegunaan peribadi Musa Aman.

Najib juga akhirnya mengakui suci dan halalnya wang RM40 juta itu dengan berkata tiada salahnya mana-mana parti politik menerima sumbangan walaupun sebenarnya begitu banyak keraguan yang boleh ditimbulkan. Jika benar sumbangan itu untuk UMNO, kenapa mesti dibawa dalam bentuk tunai, bukankah boleh dimasukkan terus ke akaun bank UMNO Sabah saja?

Yang turut menimbulkan persoalan ialah wang itu datangnya dari Hong Kong dan dalam bentuk matawang Singapura. Apa kaitan Singapura dan Hong Kong dalam hal ini sedangkan kita tahu kedua negara itu mempunyai hubungan rapat dengan Amerika dan Yahudi.

Apakah ini bermakna UMNO juga ada menerima dana asing dari luar yang ada kaitan dengan Amerika, Yahudi dan Soros?

Sekali lagi senjata makan tuan dan kebesaran kuasa Tuhan mengambil tempatnya. PR yang dituduh menerima dana asing tetapi akhirnya yang terbukti menerimanya ialah UMNO. Tuhan juga, dalam isu ini seperti merestui perjuangan PR.

Sebelum ini ketika Mahathir mengaitkan Anwar dengan Israel dan Yahudi, terbukti juga akhirnya Mahathir yang sering berutus surat dengan Perdana Menteri Israel sehingga melahirkan hasrat untuk menjalinkan hubungan yang kekal sebagaimana yang terdedah dalam tiga pucuk surat Mahathir kepada Ehud Barak, Benjamin Netanyahu dan Yitzak Rabin.

Malahan Najib juga melantik perunding media yang ada kaitan dengan Israel iaitu APCO sebagai penasihat medianya sebaik menjadi PM.

Jika Anwar dan PR sering dikaitkan dengan Israel dan Yahudi lantaran hubungan peribadi dengan beberapa tokoh di Amerika, apa yang terdedah membuktikan bahawa Mahathir, Najib dan UMNO pula sebenarnya saling berpeluk erat dan menjalin kerjasama dengan musuh Islam itu.

Apa saja isu yang dibangkitkan oleh UMNO untuk menyerang PR dengan tujuan menghakis kepercayaan rakyat, seringkali ia berakhir dengan senapang yang dihalakan kepada pihak musuh itu berbalik kepada UMNO sendiri.

Begitu besar kuasa Tuhan sebenarnya.

Terserahlah kepada kita sama ada mahu menilai semua itu sama ada hanya kebetulan atau bukti nyata bahawa Tuhan juga bersma-sama PR. Tetapi yang perlu direnungkan ialah sejak UMNO memerintah lebih 50 tahun lalu, begitu banyak kebusukan yang dilakukannya sama ada yang melibatkan maruah agama, pecah amanah, rasuah, penyelewengan, membolot kekayaan dan sebagainya.

Sejak Najib menjadi PM, amalan buruk yang bersarang sejak lama makin menjadi-jadinya. Pembaziran, pemborosan dan bergaya mewah Najib sekeluarga bukan saja menjadi tatapan rakyat biasa negara, malahan juga diperbualkan di seluruh dunia.

Ketidaktegasan dan kelemahan Najib sebagai pemimpin sekaligus menjadikan semua keburukan bertambah parah, bukannya menjadi bertambah baik. Hukum agama dan adu domba pula sering menjadi mainan untuk meraih keuntungan politik.

Restu Tuhan kepada PR mungkin dengan maksud Tuhan merestui perubahan untuk mewujudkan suatu sistem yang terbaik untuk Malaysia selepas pilihanraya nanti dan mengelakkan UMNO dan para pemimpinnya daripada terus bergelumang dengan perkara-perkara yang salah.

Ia umpama ungkapan anak-anak muda sekarang, "Yang baik datang dari Allah, yang tak baik datang dari Najib dan Rosmah" (SH 13/10/2012)




Friday, 12 October 2012

Beranikah Najib Menyahut Saranan Muhyiddin?


Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin semalam menyarankan agar pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M wajar diteruskan berikutan sambutan positif rakyat kerana ia mampu meningkatkan kuasa beli golongan berpendapatan rendah serta merangsang pertumbuhan ekonomi domestik negara.

"Terserah kepada Perdana Menteri, saya secara peribadi berpendapat ia memang baik," Muhyiddin dipetik sebagai berkata dalam satu program bersama rakyat di Miri, Sarawak.

Kaedah pemberian tunai bernilai RM500 melalui BR1M yang diperkenalkan oleh Najib sejak tahun lalu, walaupun disambut baik oleh rakyat tetapi ia juga mengundang kritikan pakar-pakar ekonomi serta bekas-bekas pemimpin UMNO sendiri.

Ini kerana kaedah itu dilihat lebih bermotif pilihanraya dan membeli undi semata-mata. Ia juga memusykilkan banyak pihak di mana wang berbiliion-billion mahu disedut kerana situasi ekonomi seluruh dunia sekarang mengalami kemalapan yang ketara. Najib dilihat lebih mahu memufliskan negara melalui satu demi satu pemberian tunai yang diperkenalkannya itu.

Pemberian tunai RM500 hanya memberi keselesaan jangka pendek, tidak merangsang pertumbuhan ekonomi ketara dan ia berbeza jika melalui jumlah wang sama dilaburkan melalui perlaksanaan projek-projek kecil dan sederhana yang tentunya lebih merata kesannya.

Selain itu, pemberian tunai kepada rakyat sebagaimana yang diperkenalkan oleh Najib ini lebih merupakan kaedah layanan golongan feudal dan bangsawan terhadap rakyat miskin, dan bukannya cara yang sewajarnya dilakukan oleh seorang pemimpin atau sebuah kerajaan terhadap rakyat.

Rentetan sejarah banyak memgisahkan bagaimana raja-raja dan golongan bangsawan zaman dahulu selalu mencampakkan buntilan emas dan perak kepada rakyat miskin jika ada musim-musim perayaan atau keramaian tertentu. Tetapi seorang pemimpin atau kerajaan sepatutnya mensejahterakan kehiduoan rakyat melalui pelaksanaan dasar yang menggembirakan rakyat seperti penurunan cukai, harga barang yang murah, kemudahan belajar serta mendapat kerja, menjalankan perniagaan dan sebagainya.

Cara yang seapatutnya dilakukan Najib ialah membantu rakyat memiliki pancing atau memberi mereka pancing dan bukannya memberi dua tiga ekor ikan untuk dimakan.

Turut mengundang kritikan ialah bilamana Najib sehingga ini tidak berani mengatakan BR1M ini sebagai suatu dasar yang kekal sepanjang tahun, bukannya bermusim setahun atau dua tahun sebelum pilihanraya sahaja.

Dengan lontaran saranan oleh Muhyiddin yang dilihat sepintas lalu sebagai membina itu, Muhyiddin dalam masa yang sama juga dilihat cuba membawa suara golongan fundamental dalam masyarakat yang melihat BR1M boleh mengundang padah kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang berbanding kebaikannya hanya dalam jangka pendek.

Jika Najib menyahut saranan itu iaitu dengan menjadikan BR1M sebagai dasar yang kekal selagi BN memerintah, tekanan yang sedang menunggunya ialah bagaimanakah Najib mahu mendapatkan wang untuk tahun-tahun seterusnya bagi melaksanakan pemberian tunai ini.

Meskipun diakui jika BR1M dijadikan dasar yang kekal, ia lebih mampu menggamit sokongan rakyat bawahan dan keikhlasan UMNO lebih diyakini tetapi tekanan yang dihadapinya terutama dalam gelombang ekonomi yang masih tidak menentu ini, ia juga manpu menyebabkan rambut putih Najib berguguran lima enam helai dalam seminit.

Kiranya Najib berdiam diri pula terhadap saranan timbalannya itu, rakyat akan percaya bahawa BR1M tidak lebih sebagai alat untuk memancing undi yang hanya diberikan menjelang pilihanraya sahaja. Tahun depan tiada lagi BR1M dan mungkin muncul lagi lima tahun akan datang.

Ini akan menyebabkan imej Najib merudum di mata rakyat sedangkan Muhyiddin yang mencadangkan BR1M diteruskan, akan dilihat sebagai hero atau pembela rakyat pula.

Sama ada Najib berani menyahut atau berdiam diri terhadap saranan Muhyiddin itu, impaknya tetap berada di bahu Najib. Jika pihak pembangkang mengkritik BR1M secara "direct" dan terus terang, Muhyiddin nampaknya sudah menulakan "constructive criticism" terhadap dasar-dasar Najib.

Apakah "constructive criticism" terhadap BR1M ini merupakan permulaan kepada banyak lagi siri "constructive criticism" yang bersifat dalaman yang akan dilakukan oleh Muhyiddin terhadap Najib.

Jika dihalusi ini sebenarnya tidak jauh berbeza dengan apa yang pernah dilakukan oleh Muhyiddin terhadap Pak Lah dahulu. Ketika Pak Lah sudah mengumumkan pelan peralihan kuasa dan dipersetujui oleh semua pimpinan UMNO, tiba-tiba Muhyiddin bersuara di Singapura dengan mengatakan pelan peralihan yang diumumkan Pak Lah itu terlalu lewat dan ia perlu dipercepatkan.

Ia kemudiannya menyebabkab pelan peralihan kuasa Pak Lah kepada Najib dipercepatkan daripada Oktober 2010 kada April 2009.

Cumanya, jika dulu "constructive criticism" yang dilakukan oleh Muhyiddin telah dikutip labanya oleh Najib, kini Muhyiddin nampaknya melakukannya untuk dirinya sendiri. (SH 12/10/2012)





Wednesday, 10 October 2012

Nasharudin Lebih UMNO Dari Pemimpin UMNO


Sejak kehilangan jawatan Timbalan Presiden Pas kepada Mohamad Sabu, Nasharudin Mat Isa nampak benar celaru mindanya. Beliau seolah-olah tidak dapat menerima hakikat kehilangan jawatan kepada seseorang seperti Mat Sabu yang dianggap lebih rendah ilmu agamanya.

Sebagai seorang pemimpin yang pernah mendaki sehingga jawatan nombor dua, watak beliau kebelakangan ini dan sejak kehilangan jawatan, hanya menampakkan keperibadiannya yang sebenar yang selama ini mungkin terlindung di sebalik kopiah putih yang sering dipakainya.

Jika semasa memegang jawatam beliau taat kepada perjuangan serta akur dengan keputusan jemaah tetapi setelah ketiadaan jawatan, beliau sudah berani mempertikaikan perjuangan Pas bekerjsama dengan DAP sedangkan pernah berada di barisan hadapan parti itu. Beliau juga mengiringi Najib ke Mekah, menyerang Karpal Singh yang tidak bersetuju dengan hudud, terbaru ini beliau menggesa Pas agar tidak mengutamakan kuasa semata-mata sehingga masalah perpecahan ummah sering dilupakan.

Berucap dan membentangkan kertas kerja dalam program Seminar Dakwah Nasional di PWTC, bangunan milik UMNO, Nasharuddin kononnya turut hairan mengapa usaha untuk membincangkan masalah umat Islam terutamanya melibatkan antara UMNO dan Pas sering dilihat "taboo".

"Adakah agama mengajar umatnya meletakkan ajaran Islam di tempat kedua semata-mata mahu mendapatkan kuasa?" soal beliau lagi.

Terbukti bahawa ungkapan bahawa Pas jangan mengutamakan kuasa tetapi lebih mengutamakan Islam adalah suara kebimbangan UMNO selama ini terhadap kerjasama erat antara Pas, PKR dan DAP yang kemungkinan besar akan meruntuhkan pegangan kuasa UMNO dan BN selama lebih 50 tahun ini.

Jika selama ini sudah ramai pemimpin UMNO bercakap dengan nada yang serupa, termasuk seruan agar meninggalkan DAP, kini nampaknya Nasharuddin pula dijadikan alat bercakap nada yang serupa. Tetapi bila pemimpin UMNO yang bercakap seperti itu, ia difahami sebagai serangan psikologi untuk memenangi pilihanraya namun bila Nasharuddin juga bercakap sedemikian, tentunya kerana beliau sudah membenarkan dirinya menjadi alat kepada UMNO.

Dengan anggapan Nasharuddin masih mempunyai saki-baki penyokong dakam Pas, UMNO berharap dengan seruan agar Pas hanya mengutamakan Islam di tenpat pertama dan kuasa di tempat kedua, ia mampu mengocak perpaduan dalam parti itu dan seterusnya memastikan UMNO terus menang dalam pilihanraya akan datang.

Adalah agak menghairankan bilamana seorang seperti Nasharuddin yang pernah menduduki jawatan nombor dua dalam Pas boleh mengatakan kuasa tidak penting dalam perjuangan sebuah parti politik. Jika begitu tanggapan beliau, memang parutnya Pas memilih Mat Sabu berbanding beliau. Is juga mengesahkan lagi beliau sudah menjadi alat UMNO.

Hakikatnya perjuangan politik memang memerlukan kuasa. Hanya dengan kuasa dalam tangan, syiar Islam lebih mudah dikembang dan diperluaskan. Apa guna berjuang jika bukan kuasa matlamat yang ingin dicapai.

Nasharuddin nampaknya, setelah ketiadaan jawatan ini, hanya mahu Pas memperjuangkan Islam tetapi memberikan kuasa kepada UMNO.

Lagi pula kerjasama Pas dengan PKR dan DAP tiada salahnya dalam konteks negara berbilang kaum seperti Malaysia. Ia sama seperti UMNO bekerjasama dengan MCA dan MIC.

Dengan meminta Pas hanya mengutamakan Islam dan perpaduan dan melupakan kuasa, nampak sangat Nasharuddin mahu kuasa UMNO dikekalkan. Beliau nampaknya sudah menjadi alat terbaru UMNO untuk menghadapi pilihanraya dan mengekalkan kuasa. Jika Pas yang diminta mengutamakan Islam semata-mata dan melupakan kuasa, apakah UMNO lebih Islam daripada Pas sehingga kuasa itu lebih layak dipegang oleh UMNO sahaja.

Sama ada Nasharuddin tidak faham, sengaja tidak faham atau sudah dikaburkan pandangannya tentang kaitan antara kuasa, Islam dan perjuangan sebuah parti politik, pandangan terbaru beliau ini hanya menampakkan dirinya lebih UMNO daripada pemimpin dan ulama UMNO sendiri.

Sebelum ini beliau juga menyerang DAP dan Karpal Simgh yang tidak bersetuju dengan hudud tetapi dalam masa yang sama beliau juga berdiam diri terhadap MCA, Chua Soi Lek, Tun Mahathir dan Najib yang juga secara terbuka menolak hudud. Lebih dari itu, Nasharuddin juga ke Mekah bersama Najib yang menolak hudud itu.

Dalam soal perpecahan umat, Nasharuddin juga seolah-olah hanya nampak dari sudut Pas tidak mahu bekerjasama dengan UMNO saja. Dia tidak nampak dari sudut UMNO tidak mahu memandang dan bekerjasama dengan Pas. Jika dilihat rentetan sejarah, ungkapan bekerjasama ini hanya muncul tika UMNO lemah dan hampir tumbang. Tika UMNO kuat dan gagah, usahkan mahu bekerjasama malahan Pas sentiasa diperlekeh dan tidak dipandang waima sebelah mata sekali pun.

Menjelang pilihanraya ini, UMNO nampaknya sudah kehilangan punca untuk mengekalkan kuasanya. Pengundi bukan Melayu nampaknya sudah tekad mahu menukar kerajaan dan mewujudkan kerajaan baru yang diyakini lebih baik daripada BN yang sudah memerintah selama lebih 50 tahun. Pengundi bandar dan pengundi muda yang sarat dengan pelbagai maklumat juga sudah ada pilihan sendiri.

UMNO hanya berharap kepada pengundi luar bandar dan orang-orang kampung saja. Nasharuddin yang nampaknya boleh diperguna dan diperalatkan adalah taruhan terbaru UMNO untuk mengucar-kacirkan perpaduan antara PAS dan DAP serta menghakis keyakinan sesetengah pihak yang mungkin kurang memahami hubungan antara kepentingan kuasa dan pengembangan syiar Islam dalam perjuangan sesebuah parti politik seperti Pas.

Jika PKR ada TIBAI yang menyerangnya setiap hari, PAS juga nampaknya sudah ada Nasharuddin yang susun atur langkahnya hampir sama dengan TIBAI. Tidak memeranjatkan jika Nasharuddin juga sama aktif seperti TIBAI selepas ini. Tolak campur, darab bahagi, TIBAI dan Nasharuddin adalah sama dan tidak ada beza sama-sekali. ( SH 10/10/2012)



Sunday, 7 October 2012

Najib Mulai Takut Digulingkan Oleh Muhyiddin



Untuk kesekian kalinya Najib merayu lagi. Sebelum ini sudah beberapa kali beliau merayu, baik kepada pengundi Melayu, Cina, India dan rakyat biasa. Kali ini Najib merayu agar beliau diberi mandat yang lebih besar dalam pilihanraya akan datang dengan alasan untuk meneruskan pembangunan negara dan mencapai cita-cita menuju Wawasan 2020.

Dalam wawancara program CNBC Conversation, Najib nampaknya secara terus-terang menyatakan hanya dengan mandat yang besar saja membolehkannya terus melaksanakan program-program yang sudah diramcang selama ini.

Kebimbangan Najib terhadap mandat besar ini pada hakikatnya menyerlahkan pelbagai perkara. Sementara beliau merasakan mandat besar amat perlu untuk survival politiknya, rakyat pula beranggapan sebaliknya. Rakyat amat bimbang dengan perilaku Najib serta barisan kepimpinan UMNO sekiranya mandat besar terus diberikan kerana ia mungkin menggalakkan lebih banyak berlaku skandal, perbuatan rasuah dan amalan membolot kekayaan peribadi.

Dengan mandat nyawa-nyawa ikan sekarang pun, pelbagai perkara buruk terus juga dilakukan tanpa segan silu, apatah lagi jika ada mandat lebih besar. Yang merompak kekayaan negara, terus juga merompak. Yang bergaya mewah dan membeli pelbagai hiasan mahal-mahal di luar negara, tanpa malu-malu memperaga kemewahan di sebalik derita yang ditanggung rakyat. Amalan campurtangan dalam pentadbiran kerajaan, mengutamakan kroni dalam pemberian projek, pembaziran dan sebagainya terus berlaku seolah-olah tidak ada titik noktaknya.

Bayangkan jika mandat lebih besar diperolehi Najib!

Hakikatnya rakyat tidak mahu lagi memberi mandat besar, bukan saja kepada UMNO tetapi juga kepada mana-mana kerajaan sekali pun. Dalam pilihanraya akan datang, baik BN atau PR, rakyat tidak mungkin memberi mandat yang begitu besar. Mandat besar ibarat mengundang mala petaka tujuh keturunan.

Kerana ketiadaan mandat besarlah, Najib sekurang-kurangnya tahu juga memberi rakyat pemberian tunai melalui BR1M, baucer buku, wang saku untuk pelajar sekolah dan sebagainya. Dengan mandat besar, jangan harap semua itu akan diberikan.

Dengan mandat besar, yang mungkin berlaku ialah amalan berganda di kalangan pimpinan UMNO terus memperkayakan diri dan keluarga masing-masing. Dengan mandat besar juga, semua isteri dan anak pemimpin akan terus bergaya mewah, mampamer gelang lebih besar dan beg tangan paling mahal.

Dengan mandat besar, lihat sahaja bagaimana Tun Mahathir mengatur perjalanan kekayaan anak-anaknya dan dengan mendapat besar juga, lihatlah bagaimana Taib Mahmud memobolot segala hasil dan projek perniagaan di Sarawak sehingga beliau dan kaum keluarganya menjadi antara keluarga paling kaya di negara.

Menolak mandat yang besar bererti mewujudkan "check and balance" dalam pentadbiran kerajaan dan amalan kehidupan mana-mana pemimpin.

Kebimbangan lain yang dirasakan Najib jika beliau gagal mendapat mandat besar ialah masa depan politiknya sendiri dalam UMNO. Beliau tahu tradisi UMNO dan BN selama ini ialah menang majoriti dua pertiga dan jika kurang daripada itu, ia akan diangggap gagal. Lihat saja Pak Lah pada pilihanraya 2008, hanya kekurangan 8 kerusi daripada majoriti dua pertiga, beliau akhirnya dipaksa melakukan peralihan kuasa.

Orang yang berani mendesak Pak Lah ketika itu ialah Muhyiddin Yassin. Hari ini Muhyiddin hanya setakuk berada di bawah Najib. Ini bermakna jika Najib gagal mendapat majoriti dua pertiga, Muhyiddin lebih mudah memaksa Najib untuk berundur. Suara Muhyiddin sebagai TPM dan Timbalan Presiden UMNO kali ini tentunya lebih berpengaruh berbanding ketika beliau mendesak Pak Lah berundur dahulu.

Najib yang hanya menumpang kuasa atas saki-baki peninggalan Pak Lah, diakui bukan saja di Malaysia tetapi juga seluruh dunia bahawa lebih kelemahannya berbanding wibawanya. Tidak ramai yang mengakui beliau mampu membawa kemenangan lebih besar daripada 2008. Yang merasa dan mengharapkan beliau dan UMNO akan kalah juga makin meningkat.

Majalah Economist juga baru-baru ini meramalkan Najib bakal menerima nasib seperti bekas PM England Gordon Brown, yang turut memerintah atas saki-baki Tony Blair tetapi kemudiannya apabila mengadakan pilihanraya, parti Buruh pimpinannya tewas kepada Konservatif pimpinan David Cameroon.

Dalam situasi Najib, dua suasana sedang menghimpitnya. Beliau dan BN mungkin tewas kepada Anwar dan PR dalam pilihanraya umum akan datang. Jika itu berlaku, nasibnya sama seperti Gordon Brown. Situasi kedua ialah BN mungkin menang tetapi dengan majoriti yang amat tipis dan lebih kecil daripada 2008. Jika itu berlaku, Muhyiddin sedang menunggu untuk menariknya turun.

Dengan terus merayu agar beliau terus diberi mandat lebih besar, Najib sebenarnya sedang berusaha mengelakkan kedua-dua situasi itu. Tetapi ketakutan beliau akan kehilangan kuasa sudah dapat dirasai sekarang ini. ( SH 07/10/2012)





Friday, 5 October 2012

Orang Muda Tetap Menolak Najib


Cubaan Najib untuk memikat hati pengundi muda nampaknya tetap melalui jalan buntu. Dalam Bajet 2013, beliau memperkenalkan BR1M 2.0 yang memperuntukkan habuan sebanyak RM250 untuk orang bujang berusia antara 21 hingga 30 tahun yang berpendapatan RM2000 ke bawah, selain memperkenalkan rebet RM200 untuk mereka memiliki telefon pintar.

Pemberian itu disambut dingin oleh majoriti orang muda. Berbanding gejala rasuah, skandal dan penyelewengan yang terus berleluasa, habuan RM 200 dan RM250 itu langsung tidak mengocak iman mereka. Lagi pula, berbanding PR yang menawarkan penurunan harga kereta, pinjaman PTPTTM dihapuskan dan sebuah kerajaan yang lebih telus dan terurus, ia ternyata jauh lebih menarik hati golongan muda.

Sebab itu, walaupun bajet ini kali dianggap terbaik oleh UMNO, rakyat dan anak muda umumnya hanya berbicara sehari dua saja mengenainya. Selain tiada pembaharuan dan arah tuju yang jelas, bajet kali ini hanya dipenuhi pemberian tunai yang minta dibalas dengan undi dalam pilihanraya sahaja. Selebihnya kosong.

Dengan hasrat untuk berinteraksi dengan golongan muda yang menguasai dunia maya, Najib juga cuba meniru pendekatan Anwar dengan tampil melalui Google Hangout dalam program #tanyanajib pada 3 Oktober lalu dengan tujuan mempromosi segala macam "goodies" yang diagih-agihkannya bak Santa Claus itu.

Namun agak malang juga, soalan-soalan yang diajukan dalam program itu akhirnya dijadikan medan bahan jenaka dan mempersenda beliau. Lebih banyak soalan menyindir, mempersenda, memperlekeh malah mempermain-mainkan Perdana Menteri berbanding soalan yang berkaitan dengan bajet, walaupun ia agak hebat dipromosi sebelumnya. Isteri beliau, Rosmah Mansor juga turut dijadikan bahan jenaka dalam soalan yang dikemukakan anak-anak muda.

Ketika rakamannya disiarkan di Youtube pula, dalam tempoh sekejap saja penonton yang tidak suka atau dislike melonjak begitu tinggi berbanding mereka yang suka atau like. Direkodkan sebanyak 1,400 dislike berbanding 104 like dalam tempoh singkat sehingga akhirnya menyebabkan rakaman itu "diprivatekan" untuk mengelakkan lebih banyak timbunan dislike daripada penonton yang tentunya terdiri daripada anak-anak muda.

Video Najib itu bagaimanapun kemudiannya disiarkan pula dalam web astroawani dan sehingga kini penonton yang dislike sudah melebihi 10,000 berbanding hanya 1000 lebih yang like.

Hakikat in memperlihatkan bahawa Najib sebenarnya ditolak mentah-mentah oleh majoriti anak muda. Pemberian goodies atau gula-gula pilihanraya langsung tidak memikat hati anak muda kerana bukan itu yang dimahukan oleh mereka daripada sebuah kerajaan dan dari seorang Perdana Menteri.

Jika sekadar duit tunai RM200 atau RM250, anak-anak muda sebenarnya boleh memperolehinya dengan meminta daripada ibu bapa masing-masing atau melakukan kerja sambilan di KFC atau Mc Donalds pada hujung minggu. Daripada sebuah kerajaan, pengharapan anak-anak muda lebih daripada itu.

Mereka tentunya mengharapkan kerajaan dan pemimpin yang baik, mengutamakan rakyat dan peka kepada keperluan mereka seperti pendidikan, pengangkutan, pekerjaan, kesihatan, perumahan dan sebagainya. Dan mereka juga mahukan kerajaan yang bebas dari skandal, rasuah, penyelewengan serta elemen membolot kekayaan peribadi di kalangan pemimpinnya.

Tetapi Najib dengan memberi tunai sebanyak itu, dalam masa yang sama gagal mewujudkan kerajaan yang benar-benar diyakini serta kelompok pemimpin yang bersih moralnya. Bahkan beliau juga gagal mencontohkan diri dan keluarganya sebagai idola yang boleh dijadikan ikutan serta teladan.

Meskipun sebelum ini dalam beberapa program yang melibatkan anak-anak muda, mereka dilihat memberi sokongan dengan kehadiran yang ramai tetapi sebenarnya kehadiran itu bukan untuk Najib. Ia mungkin hanya untuk UMNO dan kerajaan sahaja. Dan mungkin juga kehadiran dalam beberapa program sebelum ini adalah sekadar pengisian masa lapang saja.

Ramai anak muda sebenarnya tidak suka dengan cara kepimpinan Najib yang penuh retorik, bergaya mewah, tidak tegas serta kurang keberanian dalam menghadapi isu yang melanda negara. Selain anak-anak muda yang sebahagian besarnya tetap menolak UMNO dan kerajaan yang ada, sebahagian lagi mungkin hanya menerima UMNO atas sebab-sebab nostalgia namun tidak rela negara ini terus dipimpin oleh Najib selepas pilihanraya ini.

Bagi anak muda, dengan menyatakan penentangan secara terbuka kepada kepimpinan Najib, ia adalah pembuka lembaran kepada perubahan sistem baru politik negara ini. Ramai kalangan anak muda yang merasakan negara ini akan menjadi lebih malap sekiranya ia terus dikuasai oleh UMNO. Lebih gelita jika Najib terus kekal sebagai PM. Menolak UMNO dan Najib hanyalah untuk merubah sistem politik yang ada dan menandakan bermulanya sistem dua parti yang dilihat amat praktikal demi kebaikan semua orang.

Dengan menumbangkan Najib dan UMNO dan menjadikan PR kerajaan baru selepss pilihanraya akan datang, rakyat akan dapat menilai perbezaan antara BN dan PR. Jika selepas lima tahun, PR gagal berfungsi dengan baik dan tidak menunaikan janji-janjinya, PR dengan mudah boleh dijatuhkan dan digantikan dengan BN semula.

Permulaan kepada sistem kerajaan yang boleh bertukar ganti itu hanya mungkin dapat dilakukan jika UMNO ditumbangkan terlebih dahulu. Tanpa UMNO dan BN ditumbangkan, ia mustahil dilakukan atau mungkin memerlukan 50 tahun akan datang lagi untuk melakukannya.

Anak muda secara umumnya menguasai lebih 40 peratus daripada pengundi berdaftar dan dilihat paling aktif. Gambaran penolakan anak muda yang dipamerkan terhadap Najib dalam program Google Hangout serta terhadap gula-gula pilihanraya dalam Bajet 2013 adalah sesuatu yang baik untuk negara dan kita semua.

Penolakan itu bukan saja harus sentiasa dipertingkatkan, malah seharusnya diraikan juga. (SH 05/10/2012)




Wednesday, 3 October 2012

Mesej Ali Rustam Kepada Najib: Saya Lebih Popular, Kekalkan Jawatan Saya...


Isu perkahwinan anak lelaki Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam yang dihadiri oleh 130 ribu orang tetamu dan dicatatkan dalam Malaysia Book of Records(MBOR) sebagai majlis perkahwinan terbesar dan dihadiri oleh paling ramai tetamu, kini menjadi bualan di mana-mana dan oleh sesiapa saja.

Sebelum ini pelbagai pihak mendesak Ali Rustam menjelaskan kos dan perbelanjaan majlis itu. Ini berikutan andaian jika kos jamuannya sebanyak RM10 pun seorang untuk 130 ribu tetamu, ia sudah mencecah RM1.3 juta. Itu belum lagi termasuk kos-kos lain seperti dewan, hiasan, pelamin, bunga telur dan sebagainya.

Jika kos jamuan tetamu meningkat kepada RM20 atau RM30 seorang, kosnya tentulah berlipat kali ganda lagi. Dalam pada itu, dilaporkan juga bahawa selepas ini beliau juga akan mengadakan satu lagi majlis di hotel lima bintang di Kuala Lumpur untuk tetamu VIP yang tentunya menelan belanja ratusan ribu ringgit lagi.

Semua orang memperkatakannya. Dari mana beliau mendapat duit sebanyak itu. Daripada soal perbelanjaan, tajaan dan kemewahan majlis itu, semuanya dipertikaikan. Meskipun Ali dilaporkan berkata, kos majlis itu hanya sekitar RM600 ribu sahaja di mana beliau mengupah 30 orang chef untuk menyediakan hidangan nasi beriani campur sementara ada pegawai di pejabat Ketua Menteri pula mengatakan, majlis itu melibatkan tajaan dan sumbangan sukarewan percuma pelbagai pihak, apa yang bermain di fikiran ramai orang ialah "gila" apakah yang sudah menyampuk Ketua Menteri itu sehingga menjemput sebegitu ramai tetamu dan membenarkan pula urusetia MBOR hadir serta menyampaikan sijil pengiktirafan berkenaan majlis perkahwinan anak lelakinya itu.

Sebagai Ketua Menteri yang memegang "kunci harta karun" kerajaan Melaka, sebenarnya tidaklah memeranjatkan sangat tentang kos jamuan sebesar itu. Beliau tentulah tahu bersilat untuk mendapatkan perbelanjaan mengadakan majlis seperti itu.

Jika majlis itu melibatkan tajaan pula, ia juga bukanlah memeranjatkan. Tentulah berebut ahli perniagaan dan golongan kapitalis yang ingin bersikap murah hati terhadap beliau dengan menghulurkan tajaan dan sumbangan. Ia boleh jadi disumbangkan oleh ahli perniagaan yang sudah mendapatkan pertolongan beliau ataupun daripada ahli perniagaan yant mahu menabur budi dengan harapan mendapat balasan di kemudian hari.

Apa yang mungkin memeranjatkan ialah bagaimana Ali Rustam sebagai ahli politik berpengalaman tergamak mengadakan majlis semeriah itu dalam suasana politik seperti sekarang ini. Kedudukan BN masih lagi tidak menentu, entahkan menang, entahkan kalah. Najib juga tidak diketahui sama ada kekal lagi sebagai PM atau tidak selepas pilihanraya nanti.

Mengadakan majlis semeriah 130 ribu tetamu dan meminta pula pihak pihak MBOR mengiktiraf majlis itu sebagai yang terbesar dan dihadiri paling ramai tetamu, tentulah menambahkan lagi hodohnya wajah UMNO di mata umum. Ali Rustam seperti melonggokkan lagi calitan hitam ke wajah Najib dan UMNO itu sendiri.

Meskipun keupayaan Ali mengadakan majlis itu boleh difahami kerana kedudukannya sebagai pemegang kunci harta karun kerajaan Melaka tetapi ia tetap dilihat menjengkelkan di mata rakyat. Rakyat akan melihat Ali sebagai pemimpin yang suka bermewah dan menunjuk-nunjuk. Dakwaan terhadap amalan rasuah dan membolot kekayaan juga tentunya sukar dielakkan.

Di zaman BN tidak stabil ini, tentulah lebih elok jika seorang pemimpin itu bersikap sederhana serta berpada-pada dalam kehidupan sehariannya. Sikap berlagak dan menunjuk-nunjuk hanya menambah kebencian dan mengurangkan undi.

Tetapi jika dihalusi gelora politik Melaka, majlis meriah Ali Rustam itu sebenarnya mungkin untuk menyampaikan sesuatu mesej kepada Najib. Ali Rustam sudah tiga penggal menjadi Ketua Menteri dan khabar angin sedang bertiup kencang bahawa kedudukannya bakal diganti dengan tokoh lain.

Antara nama yang bakal disebut menggantikan Ali sebagai Ketua Menteri Melaka ialah Idris Harun, Ahli MT UMNO dan Ahli Parlimen Tangga Batu serta Ahmad Hamzah, menantu Allahyarham Tun Ghafar yang kini merupakan Ahli Parlimen Jasin.

Ali Rustam dikhabarkan akan dbawa bertanding Parlimen dan akan dijadikan timbalan menteri semula.

Beliau yang sebelum ini sudah pernah menjadi Timbalan Menteri Pengangkutan dikhabarkan mahu terus kekal sebagai Ketua Menteri sekurang-kurangnya untuk sepenggal lagi. Menjadi timbalan menteri semula hanyalah ibarat turun pangkat bagi Ali Rustam.

Lagi pula menjadi Ketua Menteri bukan saja lebih glamour tetapi kuasa juga menjadi lebih besar berbanding sekadar menjadi timbalan menteri. Inilah yang menjadikan beliau mahu terus kekal sebagai CEO Melaka.

Jika senario ini dapat difahami, tindakan Ali Rustam mengadakan malis yang dianggap terbesar, bukan saja di Melaka tetapi juga di Malaysia itu adalah semata-mata untuk memberitahu Najib dan pucuk pimpinan UMNO bahawa beliau masih diterima dengan cukup baik oleh rakyat Melaka.

Beliau mungkin malu untuk berterus-terang kepada Najib untuk meminta dikekalkan lagi jawatannya dan kebetulan anaknya pula mahu berkahwin, maka kesempatan itu digunakan sebagai serampang dua mata.

Dengan mampu menggamit kehadiran 130 ribu tetapu, Ali Rustam bukan saja ingin memberitahu tentang hebatnya beliau di Melaka, bahkan di Malaysia juga. Oleh kerana rumah terbuka Najib di Putrajaya hanya dihadiri 100 ribu orang dan rumah terbukanya di Pekan, Pahang pula hanya dihadiri 50 ribu tetamu, dengan kehadiran 130 ribu tetamu itu, Ali juga ingin memaklumkan beliau lebih hebat dari Najib sendiri.

Rumah terbuka Muhyiddin di Pagoh pula hanya dihadiri 10 ribu tetamu. Mana-mana majlis jamuan oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri yang lain juga sebelum ini, tidak pernah kehadiran dicatatkan melebihi 50 ribu orang.

Dalam hal ini, Ali Rustam bukan saja dilihat lebih hebat sokongannya dan lebih disukai berbanding Najib, bahkan juga melebihi mana-mana Ketua Menteri dan Menteri Besar yang lain.

Maka itu, mesej Ali Rustam kepada Najib sebenarnya ialah "tolonglah kekalkan saya sebagai Ketua Menteri sekurang-kurangnya sepenggal lagi." (SH 03/10/2012)






Monday, 1 October 2012

Krisis Najib - Muhyiddin Hanya Tunggu Masa Meletus....


Pembentangan Bajet 2013 baru-baru ini bukan saja memperlihatkan Najib sudah kepupusan idea untuk terus memaju pertumbuhan dinamik ekonomi negara ke fasa seterusnya yang lebih mencabar tetapi juga menggambarkan beliau hanya melhat kaedah pemberian tunai sebagai satu-satunya cara untuk mengembalikan sokongan rakyat terhadap kerajaan yang dipimpinnya.

Dengan memberikan terlalu banyak pemberian tunai kepada rakyat, Najib seperti mengandaikan rakyat adalah macam perwakilan UMNO yang hendak memilih pemimpin di peringkat bahagian dan nasional. Sebab itu rakyat dinilai dengan pemberian tunai RM500 hingga RM200, sama seperti jumlah yang biasa diterima oleh perwakilan UMNO setiap kali pemilihan diadakan.

Sebagai PM dan Menteri Kewangan, pembentangan bajet seharusnya dimanfaatkan untuk melonjakkan ekonomi, merangsang pertumbuhan dan memberi keselesaan kepada rakyat dalam jangka masa panjang dan sederhana. Ia juga sepatutnya meliputi penurunan beberapa cukai dan pengenalan beberapa program dan insentif baru untuk rakyat sama ada dari segi kesihatan, pendidikan, pelaburan dan sebagainya.

Tetapi Najib hanya memikirkan untuk memberi rakyat wang saku berjumlah RM500 dan RM200 yang sebenarnya boleh habis dibelanjakan dalam tempoh sehari dua sahaja.

Selepas habis pemberian tunai itu, rakyat akan kembali susah seperti sediakala. Mereka akan terus dihimpit kenaikan harga barang, kekurangan peluang pekerjaan dan perniagaan serta pelbagai bebanan lagi. Tetapi jika pengurangan beberapa cukai diperkenalkan yang menyebabkan harga barang turun atau pengenalan beberapa program yang bermanfaat untuk rakyat, tentulah ia memberi kesan jangka panjang yang lebih dirasai.

Apa yang dilakukan Najib sebenarnya melalui BR1M 0.1 dan BR1M 0.2 adalah seperti merasuah rakyat supaya mengundi BN dalam pilihanraya umum akan datang. Tahun lepas BR1M ini diperkenalkan dengan tujuan pilihanraya akan diadakan selepas itu tetapi oleh kerana pelbagai isu muncul dan keadaan tidak cukup merangsang untuk mencetuskan kemenengan kepada BN, pilihanraya terpaksa ditangguh sehingga Najib terpaksa melaksanakan BR1M kali kedua.

Jika tidak ada pilihanraya, tiadalah BR1M. Lihat saja bajet 2010 dan 2011 yang dibentangkan Najib, bukan sahaja tiada BR1M, bonus untuk kakitangan awam pun tiada. Najib cukup kedekut ketika itu.

Hanya apabila hampir pilihanraya, barulah kaedah pemberian tunai BR1M ini diperkenalkan. Kepada kakitangan awam juga, Najib menjadi pemurah secara tiba-tiba. Daripada tiada bonus, tahun ini diberinya sebulan tengah bonus.

Bajet kali ini hanya memperlihatkan keghairahan Najib mempromosi dirinya. Beliau mahu dilihat pemurah dan prihatin. Bukan saja kepada rakyat tetapi kepada ahli UMNO juga. Dengan memberi pelbagai jenis pemberian tunai, peruntukan Jabatan Perdana Menteri jadi melonjak manakala beberapa kementerian sama ada mengalami kenaikan peruntukan yang sedikit atau pun penurunan peruntukan tahunan.

Daripada semua kementerian itu, kementerian yang paling terjejas mengalami penurunan ialah Kementerian Pelajaran. Dalam Bajet 2012, peruntukan Kementerian Pelajaran ialah RM4,581,995,900 tetapi bajet kali ini hanya diberikan sebanyak RM2,118,519,100 sahaja iaitu penuruan lebih 50 peratus.

Penurunan peruntukan Kementerian Pelajaran ini mengejutkan banyak pihak dan tidak pernah berlaku sebelum ini. Selalunya kementerian itulah yang sering diberi peruntukan besar kerana ia berkaitan dengan pendidikan serta masa depan anak bangsa kita. Sudah tentu Kementerian Pelajaran selalunya merangka pelbagai program, merancang pembinaan sekolah baru, membaiki sekolah yang rosak dan usang, menambah jumlah dan kualiti makmal pembelajaran dan sebegainya lagi.

Dan tidak syak lagi penurunan peruntukan kepada Kementerian Pelajaran itu segera dikaitkan dengan Muhyiddin Yassin yang menerajui kementerian itu. Hubungan Najib-Muhyiddin diketahui banyak pihak hanya menunggu masa untuk meletus. Selain perbezaan stail, gaya dan pendekatan, Najib yang ratingnya di mata umum merudum hari demi hari juga sentiasa dibayangi oleh Muhyiddin yang dilihat tiada kontroversi serta isu-isu peribadi.

Najib terlihat amat lemah dan tidak sesuai menjadi PM ketika krisis. Wataknya yang tidak tegas dan kurang bijaksana telah menyebabkan satu demi satu isu yang muncul gagal ditangani dengan baik. Dalam masa yang sama, palitan hitam yang mencemarkan dirinya sejak sekian lama menambahburukkan lagi keadaan.

Ketika Pak Lah mahu disingkirkan dulu, Muhyiddinlah yang bersungguh-sungguh melakukannya. Najib banyak teragak-agak dan cuba bermain selamat sehingga ketika itu Mahathir yang memulakan langkah untuk menyingkirkan Pak Lah turut tidak senang dengan Najib.

Najib hanya diselamatkan oleh kedudukannnya sebagai TPM dan Timbalan Presiden UMNO ketika itu. Hanya itulah yang menjadikannya PM sekarang, bukan kerana wibawa serta kebolehannya.

Selepas menjadi PM, lihatlah apa yang berlaku. Beliau bukan saja gagal memulihkan keadaan, bahkan manambahburukkan lagi keadaan. Beliau juga kelihatan jauh lebih lemah daripada Pak Lah. Dalam konteks demokrasi dan hak asasi manusia pula, Marina Mahathir melabelkan Najib lebih teruk daripada bapanya, Mahathir.

Dengan kelemahan yang begitu ketara sekarang dan kedudukan BN entahkan menang entahkan tidak dalam pilihanraya akan datang, nama Muhyiddin mula diperkatakan sebagai satu-satunya watak yang dilihat sesuai untuk mengembalikan kekuatan UMNO. Pemimpin dan ahli UMNO pelbagai peringkat mula merasakan jika Muhyiddin yang berada di tempat Najib sekarang, atmosfera politik Malaysa mungkin berubah suasananya.

Najib mungkin berdegil untuk terus mengemudi PRU 13 ini. Meski dengan pemberian tunai sekali pun, harapan menangnya tetap tipis. Untuk mencapai lebih daripada 112 kerusi Parlimen pun masih tercungap-cungap, inikan pula untuk melebihi 140 kerusi yang dimenangi pada 2008 yang menjadi antara punca Pak Lah disingkirkan.

Logiknya, jika Pak Lah dengan 140 kerusi pun disingkirkan, Najib juga akan menerima nasib yang sama jika gagal membawa kemenangan dua pertiga kepada BN.

Mahathir sendiri sekarang begitu kerap bercakap soal majoriti dua pertiga sebagai penanda aras sebuah kerajaan yang stabil. Ia sebenarnya adalah petanda untuk menyingkirkan Najib.

Dengan bajet PR yang dilihat lebih mempunyai pelan jangka panjang dari segi memberi kesejahteraan kepada hidup rakyat dengan hasrat menambah nilai wang boleh belanja melalui penurunan harga minyak, penghapusan hutang PTPTN, menurunkan harga kereta dan lain-lain lagi, realiti bagi Najib ialah sama ada kalah pilihanraya atau pun menang sekadar cukup makan saja.

Dalam bajetnya, selain berusaha mempromosi dirinya sebagai Santa Claus, Najib juga mulai cuba mengekang gerak langkah Muhyiddin daripada terus menggugat kedudukannya. Pengurangan peruntukan kepada Kementerian Pelajaran adalah isyarat Najib bahawa Muhyiddin dan kementerian yang diterajuinya akan diperkecil peranan serta kedudukannya.

Dengan peruntukan yang kecil itu, tidak banyak gula yang boleh ditawarkan oleh Muhyiddin kepada pemimpin serta perwakilan UMNO. Projek membina sekolah, membaiki sekolah, mengecat dan sebagainya akan berkurangan. Dengan sendirinya pemimpin dan perwakilan UMNO bahagian yang menjalankan perniagaan akan berkurangan menemui Muhyiddin dan meneroka ke kementerian lain pula.

Jelas bahawa niat Najib mengurangkan peruntukan kepada kementerian Muhyiddin itu ialah untuk mengecilkan peranan serta pengaruhnya di kalangan ahli dan perwakilan UMNO meski masa depan pelajar dan negara terpaksa dikorbankan melalui peruntukan yang makin dikurangkan itu.

Hanya masa yang menentukan bilakah krisis kedua-dua mereka ini akan meletus tetapi berdasarkan pergolakan yang makin membahang di pelbagai peringkat kepimpinan UMNO sekarang ini, ia tampaknya semakin sukar untuk dielakkan meskipun kedua-duanya cuba menunjuk seperti selenggang sehayun bersama.

Jika Najib berjaya menyekat kemaraan Anwar dan PR dalam pilihanraya umum, cabaran beliau seterusnya ialah pemilihan UMNO selepas itu. (01/10/2012)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...