Monday, 31 August 2015

SELEPAS BERSIH 4, APAKAH DEMO "UNDUR NAJIB" AKAN MENGAMBIL GILIRANNYA PULA?

Sambutan kemerdekaan tahun ini pastinya tidak sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Tahun ini ia lebih diwarnai dengan jeritan "undur Najib" berbanding suara nostalgia bagaimana kemerdekaan negara dicapai sejak 58 tahun lalu.

Karenah Najib Razak dalam memimpin negara, terutama berkaitan wang RM2,600 juta yang masuk ke dalam akaun peribadinya dan kemudian diisytiharkan sebagai derma, adalah penyumbang utama kepada kelainan aroma dalam sambutan kemerdekaan kali ini.

Himpunan Bersih 4 pada 29 dan 30 Ogos selama 34 jam yang berjalan dengan lancar, aman dan baik tetapi turut menjadikan tuntutan mendesak pengunduran Najib sebagai sasarannya, menambahkan lagi sambutan kemerdekaan kali ini seperti sudah beralih arah serta tujuannya.

Malah, tahun ini ada yang mengatakan rakyat sebenarnya tidak merdeka, kecuali jika Najib Razak dapat diundurkan sebagai Perdana Menteri dengan segera.

Di mana-mana pula, sambutan kemerdekaan dan pengibaran bendera Malaysia tidak lagi semeriah tahun-tahun sebelumnya. Ia bukanlah kerana ramai yang dah mula benci dan tidak bersyukur dengan negara ini, tetapi lebih sebagai tanda protes terhadap sang Perdana Menteri yang semakin tidak dikehendaki lagi.

Yang lebih mengejutkan dalam himpunan Bersih 4 kali ini pula, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad telah menunjukkan semangat luar biasa dan kegigihannya untuk "mengerjakan" Najib agar dapat segera dipindahkan keluar dari Seri Perdana dengan kesanggupan turut sama dalam acara itu.

Meskipun tidak pernah turun dan selalu tidak menyokong demonstrasi jalanan sebelum ini, tetapi Tun Mahathir sanggup turun dua kali dalam Bersih 4 kali ini. 

Semangat dan kegigihannya yang sanggup turun sebanyak dua kali dalam Bersih 4 ini tentunya mengingatkan kita bagaimana kerapnya beliau pergi untuk melihat pembangunan Putrajaya, KLCC dan Langkawi ketika menjadi Perdana Menteri dahulu.

Untuk memastikan sesuatu usahanya itu berjaya, Tun Mahathir biasanya akan meluangkan lebih banyak masa bagi menunjukkan komitmennya. 

Beliau kemudian memberitahu, kehadirannya dalam Bersih 4 ialah untuk bersolidariti bersama rakyat yang mahu mendesak perletakan jawatan Najib sebagai Perdana Menteri.

Dalam temubual dengan media kemudiannya, Tun Mahathir berkata, demonstrasi jalanan merupakan satu-satunya jalan untuk menyingkirkan Najib, sama seperti yang pernah dilakukan oleh rakyat Filipina terhadap Ferdinand Marcos suatu ketika dahulu.

"Kalau kerajaan dah tak peduli undang-undang, kita terpaksa gunakan demontrasi jalanan. Lihat Marcos, beliau telah dijatuhkan melalui demonstrasi jalanan," tegasnya lagi.

Beliau kemudian menambah lagi, "jika kerajaan tak bubarkan pasukan petugas khas itu, saya tidak akan hadir sebanyak dua kali dalam demonstrasi ini."

Walaupun gambarannya seperti Tun Mahathir menyokong demonstrasi jalanan, beliau juga menyarankan Ahli-Ahli Parlimen BN agar bersama-sama mengusulkan undi tidak percaya terhadap Najib bagi menyelamatkan negara ini.

Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang sayangkan parti juga  seharusnya menyokong usul tidak percaya itu, tambah Tun Mahathir lagi.

Persoalannya, apakah selepas ini lebih banyak himpunan rakyat atau demonstrasi jalanan mirip Bersih 4 yang bertujuan mendesak pengunduran Najib akan berlaku dalam negara kita?

Apakah kehadiran Tun Mahathir sebanyak dua kali dalam Bersih 4 adalah isyarat awal bahawa demo "undur Najib" adalah projek terbaru yang akan digigihinya selepas ini sebagaimana dilakukannya ketika membangunkan Putrajaya, KLCC dan Langkawi dahulu?

Apakah dengan mula mengambil contoh kejatuhan Marcos di Filipina, Tun Mahathir secara tersiratnya mula memancing kebersamaan rakyat yang  ingin melihat pengunduran Najib agar bersedia dengan lebih banyak demostrasi jalanan lagi?

Apakah juga, melalui gembar-gembur mengenai demonstrasi jalanan  yang disebut oleh Tun Mahathir ini akan segera membuka mata Ahli-Ahli Parlimen BN, khususnya UMNO untuk tidak berlengah lagi menjadikan undi tidak percaya itu sebagai kenyataan bagi mengelakkan lebih banyak kerosakan kepada ekonomi dan perpaduan dalam negara?

Lagi pula, ramai pemimpin UMNO sendiri jika ditanya secara diam-diam, turut tidak menafikan kesukaran untuk BN mengekalkan kuasanya jika keadaan seperti sekarang berterusan memandangkan Najib sudah menjadi liabiti yang terlalu berat untuk dipikul. (SH 31/08/2015)

Sunday, 30 August 2015

KALAU SUDAH BEGINI KEBENCIAN RAKYAT, APA LAGI...."UNDURLAH NAJIB"....

Walaupun perhimpunan Bersih 4 secara umumnya menuntut empat perkara asas iaitu pilihanraya bersih, kerajaan bersih, menyelamatkan ekonomi dan hak rakyat untuk membantah, tetapi rata-rata yang hadir lebih mahukan pengunduran Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Melalui hari pertama perhimpunan yang menyaksikan ratusan ribu sedia turun dengan baju berwarna kuning, sejarah juga tercatit di mana rakyat sedia berhimpun selama dua haru satu malam semata-mata untuk meluahkan perasaan mereka.

Sudah tentu kesediaan rakyat berkorban meninggalkan tempat tidur yang selama di rumah masing-masing semata-mata untuk membantah adalah kerana satu sebab yang paling asas iaitu keinginan menolak Najib dan menyaksikan beliau segera digantikan sebagai peneraju negara ini.

Dengan kesediaan berhimpun dalam tempoh 34 jam dan sehingga ini menyaksikan semangat mereka tidak kendur walau sedikit pun, jika Najib tidak sedia mendengar suara rakyat ini, perhimpunan rakyat akan berterusan lagi di masa-masa akan datang dan mungkin berlangsung dalam tempoh yang lebih lama lagi.

Bersih 4 kali ini bukan saja luahan suara penolakan sebenarnya, tetapi juga jeritan kebencian terhadap Najib. Jika sekadar menuntut empat perkara asas tersebut tanpa disertai dengan keghairahan untuk melihat agar Najib segera berundur, tidak mungkin peserta Bersih 4 daripada berbilang kaum begitu bersemangat seperti ini.

Selepas Tun Mahathir Mohamad juga turut sama turun memberi sokongan kepada peserta Bersih dengan kata-kata "teruskan, teruskan", gelombang penyertaan rakyat di hari kedua dijangka akan terus meningkat sehingga ia berakhir pada malam nanti.

Tidak mustahil menjelang penutup perhimpunan ini nanti, peserta perhimpunan akan mencecah angka 250 hingga 300 ribu ramainya.

Ahli dan penyokong UMNO tetapi mahukan Najib berundur berikutan pelbagai masalah yang ditimbulkannya sejak akhir-akhir ini, tentu saja tidak keberatan untuk turun sama memeriahkan dan memberi sokongan kepada Bersih 4 ini, terutama selepas Tun Mahathir dan isteri, Tun Siti Hasmah turut hadir memberi sokongan.

Sepertimana kata Tun Mahathir di Johor Bahru semalam, oleh kerana undang-undang telah dicabuli dan rakyat telah hilang keyakinan kepada sistem dalam kerajaan, maka rakyat tiada pilihan selain menyatakan bantahan mereka secara terbuka melalui demonstrasi.

Setelah perhimpunan hari pertama Bersih 4 yang tentunya Najib sendiri sudah mendapat pelbagai laporan melalui gambar dan video mengenainya, sebenarnya inilah masanya untuk beliau bermuhasabah dan menyedari di mana nilainya dirinya di mata rakyat sekarang.

Selain rakyat sudah secara terbuka menyatakan bantahan dan menunjuklan kebencian, suara yang membelanya juga semakin sayup-sayup dan tidak lagi kedengaran.

Pemimpin kanan dalam parti dan kerajaan, termasuk sayap-sayap yang selama ini dikenali sebagai barisan gagah dan berani, hampir semuanya menghilang diri atau menyembunyikan diri dan seolah-olah tidak mampu lagi mempertahankan kedudukan Najib yang kian tenat di hati rakyat ketika ini.

Kepada Najib, berhentilah untuk terus bergayut pada kuasa dan imbaslah kembali sejarah ramainya pemimpin dunia yang akhirnya bukan saja kecundang tetapi hidup dalam kehinaan semata-mata kerana ingin berterusan melawan suara keramat rakyat.

Apabila suara rakyat makin membuak-buak, ia adalah isyarat "pergi" yang tidak perlu dilewat-lewatkan lagi. Sokongan berdasarkan "cash is king" daripada Ketua-Ketua Bahagian juga sudah tidak bermakna lagi dalam situasi ini.

Suara penolakan dan kebencian tiada ubatnya lagi, kecuali penawarnya ialah pengunduran Najib dengan serta-merta. Jika tidak, episod demi episod bantahan rakyat bukan saja berlarutan sehingga tarikh pilihanraya akan datang, malah ia akan menyebabkan ketidaktentuan yang berterusan kepada negara.

Bersih 4 adalah isyarat "bye bye" paling nyata dan menunjukkan sudah tiada jalan selamat  lagi buat Najib. (SH 30/08/2015)

Dengan lautan manusia menunjukkan bantahan seperti ini, Najib seharusnya lebih insaf mengenai dirinya....

Buat pertama kali peserta demo sanggup tidur di atas jalan berselimutkan angin malam dan bertilamkan batu sebagai lapik badan...

Saturday, 29 August 2015

JOM RAMAI2 SAMBUT KEPULANGAN MUHYIDDIN 2 SEPT DI KLIA

Tarikh 9 September ini adalah detik penentuan bagi Muhyiddin Yassin sama ada akan dipecat atau tidak daripada UMNO yang sudah digelumanginya sejak hampir 40 tahun yang lalu.

Setelah dua kali ditangguhkan, mesyuarat MT pada pada 9 September ini dijangka membuat keputusan terhadap kelantangan Timbalan Presiden UMNO itu dalam mengkritik kepimpinan Najib Razak, khususnya berkaitan isu 1MDB dan derma RM2,600 juta yang mengalir masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri.

Sejak dipecat pada 28 Julai lalu, Muhyiddin sempat merasmikan mesyuarat perwakilan beberapa UMNO bahagian serta meneruskan kritikannya terhadap Najib, sebelum bercuti ke luar negara bersama keluarganya sejak dua minggu yang lalu.

Oleh itu, mesyuarat MT UMNO pada 9 September ini adalah detik penentuan bagi masa depan politik Muhyiddin dan mungkin juga merupakan bermulanya sesuatu perubahan dalam negara.

Cakap-cakap mengenai pemecatan Muhyiddin sudah mula kedengaran sejak seminggu lalu atas dakwaan menjejaskan imej parti dan memburuk-burukkan nama Presiden parti yang juga merupakan Perdana Menteri.

Dengan itu, tentu saja kepulangan Muhyiddin daripada percutiannya di luar negara ini amat dinanti-nanti, terutama oleh para penyokong yang selama ini sehati sejiwa dengan pendiriannya mengenai 1MDB dan derma RM2,600 juta itu.

Berdepan dengan ketidaktentuan masa depannya itu, salah seorang bekas pegawainya mengesahkan bahawa Muhyiddin akan kembali daripada percutiannya pada 2 September ini dan dijangka tiba di KLIA pada jam 8 pagi.

Sebagai tanda sokongan kepadanya, dijangkakan ribuan penyokong Timbalan Presiden UMNO itu akan berkumpul di KLIA pada tarikh dan masa  tersebut.

Di waktu ini, beberapa pihak dikatakan sedang mengumpul dan menggerakkan seramai mungkin ahli UMNO bagi menyambut ketibaan dan untuk menyatakan sokongan kepada Muhyiddin itu.

Sebahagian penyokong bekas Timbalan Perdana Menteri itu, khususnya daripada Johor pula akan menyambutnya dengan memakai baju T berwarna hitam yang bertulis "I am not a yes man" di bahagian belakang dan gambar Muhyiddin di bahagian depannya.

Warna hitam dikatakan dipilih untuk baju T itu sebagai menandakan detik gelap bagi UMNO dalam pilihanraya akan datang sekiranya Muhyiddin dipecat oleh MT pada 9 September depan.

Setelah tiga bandar utama iaitu Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu telah dikuningkan dengan himpunan Bersih 4 pada 29 dan 30 Ogos, KLIA pula dijangka dipenuhi dengan warta hitam pada pagi 2 September nanti.

Ayuhh....nantikannya!! (SH 29/08/2015))

Friday, 28 August 2015

SEBELUM SAMA2 HILANG KUASA, LEBIH BAIK MP BN SINGKIRKAN NAJIB LEBIH DULU

Himpunan Bersih 4 akan diadakan esok dan lusa selama 34 jam di tiga bandar utama iaitu Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching. Berdasarkan jualan baju T Bersih 4 yang dilaporkan sudah melebihi 50 ribu helai sehingga ini, besar kemungkinan himpunan kali ini mendapat sambutan yang cukup luar biasa daripada rakyat.

Walaupun sasaran awal hanya sekitar 100 ribu saja yang akan turun berhimpun, tetapi melihat kepada keghairahan rakyat untuk menunjukkan bantahan terhadap kepimpinan Najib Razak, tidak mustahil kehadiran menjangkau antara 200 hingga 300 ribu orang.

Selain kedudukan politik dan ekonomi yang sedang berada di tahap kritikal, sebab lain yang menyebabkan rakyat lebih terangsang menunjukkan bantahan dan berhimpun kali ini ialah berikutan isu 1MDB dan derma RM2,600 juta yang mengalir masuk ke dalam akaun Najib.

Semua yang berakal waras, siuman, tidak gila atau tidak dikelabukan dengan wang ringgit, sama sekali tidak dapat menerima duit RM2,600 juta  itu sekadar derma, lebih-lebih lagi jika dikatakan untuk parti tetapi dimasukkan ke dalam akaun peribadi.

Maka, jangan sesiapa terkejut dengan sambutan di luar jangkaan dalam Bersih 4 ini.

Apatah lagi dengan keputusan kumpulan berbaju merah yang bertujuan melakukan protes telah membatalkan hasrat untuk  turun sama berhimpun, hakikatnya tiada lagi kebimbangan sesuatu yang tidak diingini mungkin berlaku dalam Bersih 4 kali ini.

Kecuali jika ada pihak-pihak tertentu yang berniat jahat atau melakukan provokasi melampau, himpunan Bersih 4 ini tidak seharusnya timbul apa-apa masalah dan ia boleh berlangsung dengan aman sebagai medan untuk rakyat meluahkan perasaan dan menunjukkan bantahan.

Pemilihan tarikh 29 dan 30 Ogos untuk Bersih 4 ini juga menunjukkan ia tidak bertembung sama sekali dengan sambutan hari kemerdekaan pada 31 Ogos.

Kerajaan seharusnya berlapang dada bahawa sekiranya tiada masalah serius dalam kerajaan dan tidak berlaku juga onar yang melampau di kalangan pemimpin, adalah lebih baik bagi rakyat berehat di rumah atau menghabiskan masa dengan keluarga masing-masing saja.

Berhimpun dan menyatakan bantahan dalam keadaan berpanas serta berhujan bukanlah pilihan yang menyeronokkan bagi rakyat dan sudah tentu ia dilakukan kerana ada perasaan yang tidak tertanggung dan perlu dilepaskan daripada jiwa.

Perhimpunan kali ini seharusnya bukan saja menjadi isyarat kepada Najib, tetapi yang lebih penting ialah kepada Ahli-Ahli Parlimen BN mengenai pilihan yang sewajarnya mereka lakukan.

Ketika ini sukar untuk menyangkal bahawa penolakan terhadap Najib dan penolakan kepada BN yang disebabkan oleh Najib semakin membesar di mana-mana. BN hanya mungkin dapat diterima kembali jika bukan Najib sebagai ketuanya.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan juga sudah terbuka mata dan fikirannya apabila turut mengatakan BN akan kalah jika pilihanraya diadakan dalam waktu terdekat ini.

Dalam pilihanraya akan datang pula, bukan saja kian ramai yang melahirkan keyakinan BN akan kalah, bahkan semakin kecil di kalangan pemimpin BN sendiri yang percaya ia mampu mengekalkan kuasanya.

Rata-rata percaya BN akan kehilangan kuasa dalam pilihanraya kali. Jadi, apakah perlu mereka buat sekarang ini?

Menukar Najib melalui UMNO nampaknya semakin sukar, bukan saja kerana pemilihan UMNO sudah ditangguhkan sehingga selepas PRU 14, tetapi juga disebabkan Ketua-Ketua UMNO Bahagian sedang seronok dengan budaya "cash is king" sekarang ini.

Selagi boleh kaut, mereka akan terus mengautnya. Kebanyakannya tidak peduli pun sama ada UMNO kalah atau menang dalam pilihanraya akan datang, yang penting apa habuan yang boleh dikaut dalam waktu Najib sedang kesempitan ini.

Mereka lebih mengutamakan untuk mati kerana Najib atau rela ditembak untuk mempertahankan Najib  kerana di situ ada habuan sedang menunggu tanpa memikirkan parti sebenarnya lebih penting berbanding pemimpin.

Harapan menyelamatkan masa depan BN kini hanya terletak kepada Ahli-Ahli Parlimen BN yang terdiri daripada pelbagai parti. Memandangkan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sudah secara terbuka menawarkan diri ke arah itu, tawaran ini seharusnya disambut dan tidak dilengah-lengahkan lagi.

Malah Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR telah menawarkan  formula yang hanya memerlukan sokongan 30 Ahli Parlimen BN saja lagi untuk merealisasikannya memandangkan Pakatan Rakyat sudah sedia ada 88 wakilnya.

Tun Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah, Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal dan lain-lain tokoh berpengaruh yang masih sayangkan negara haruslah segera mengorak langkah mengumpul kekuatan menyahut tawaran Pakatan Rakyat itu ke arah perubahan untuk menyingkirkan Najib sama ada melalui kuasa Agong atau undi tidak percaya di Parlimen.

Ahli-Ahli Parlimen  MCA, MIC, Gerakan, Sabah dan Sarawak serta sebahagiannya lagi daripada UMNO, haruslah segera diyakinkan bahawa kepimpinan Najib bukan saja kian buruk, bahkan sedang membawa kemusnahan kepada keseluruhan kapal BN menjelang pilihanraya ke 14 nanti.

Menuggu dan membiarkan Najib bertahan sehingga PRU 14 dan akhirnya semua kalah serta kehilangan kuasa, adalah tindakan yang tidak berbaloi langsung sedangkan kekalahan BN itu mungkin boleh dielakkan hanya dengan menyingkirkan Najib seorang saja.

Biarlah Najib seorang dikorbankan, asalkan BN dan negara dapat diselamatkan. Lagi pun baki wang RM2,600 juta tentunya masih banyak lagi untuk beliau sekeluarga terus horey horey di seantero dunia selepas dibersarakan nanti. ( SH 28/08/2015)

Thursday, 27 August 2015

BANYAK CAWANGAN UMNO DI JOHOR BUBAR JIKA MUHYIDDIN DIPECAT


Mesyuarat MT UMNO pada 9 September ini bakal menjadi penentuan "hidup dan mati"  bagi masa depan politik Muhyiddin Yassin dalam parti itu.

Jika beliau dipecat, maka berakhirlah sejarah panjangnya bersama parti itu, tetapi kiranya tiada sebarang tindakan dalam mesyuarat itu nanti, bererti selamatlah masa depannya dan kekallah beliau dengan jawatan nombor dua itu sehingga pemilihan UMNO seterusnya.

Untuk mengambil tindakan terhadap Muhyiddin dalam mesyuarat MT yang berikutnya tentu saja tidak relevan lagi, kecuali jika Timbalan Presiden UMNO itu terus lantang mengkritik Perdana Menteri, Najib Razak berkaitan isu 1MDB dan derma RM2,600 juta secara terbuka.

Walaupun Muhyiddin mula mendapat sokongan dan simpati daripada pelbagai pihak sebaik terdengar ura-ura beliau akan dipecat pada 9 September ini, kemungkinan yang berlaku di Johor barangkali di luar jangkaan jika pemecatan itu benar-benar berlaku.

Seorang pemimpin UMNO Johor yang enggan namanya disebut memberitahu, banyak cawangan UMNO di negeri itu akan dibubarkan jika Muhyiddin dipecat pada mesyuarat MT UMNO 9 September nanti.

Katanya, tindakan pembubaran itu diambil sebagai tanda protes terhadap ketidakadilan yang dihadapkan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu memandangkan beliau tidak terbabit dengan sebarang kesalahan jenayah atau moral yang mewajarkan pemecatan diambil terhadapnya.

Jika dipecat, kata pemimpin itu, kesalahan Muhyiddin hanyalah kerana bercakap benar dan berterus terang untuk menyelamatkan UMNO.

Katanya, cawangannya sendiri adalah antara yang paling awal dibubarkan sekiranya nasib buruk menimpa Muhyiddin pada mesyuarat MT UMNO itu.

Beliau menambah, mereka hanya mengambil keputusan membubarkan cawangan UMNO yang bermakna akan menghentikan segala aktiviti dan kegiatan berkaitan parti, tetapi tetap bersama UMNO sebagai ahli biasa sahaja.

Meskipun tidak dapat menjangka jumlah tepat cawangan UMNO yang akan dibubarkan sebagai tanda protes itu, pemimpin terbabit meramalkan akan terdapat antara tiga hingga lima cawangan dari setiap bahagian akan mengambil keputusan tersebut.

Ini bermakna, dengan UMNO Johor mempunyai 26 bahagian, pemecatan Muhyiddin bakal melumpuhkan kira-kira 100 cawangan di negeri itu. Dan ini sekaligus merupakan berita baik bagi pembangkang di Johor yang sudah pun mempunyai 18 kerusi DUN di negeri itu.

Muhyiddin pula, meskipun sedang bercuti di luar negara bersama keluarga ketika ini, namun tidak santai dibuatnya lantaran menyedari kedudukannya sebagai Timbalan Presiden UMNO ibarat "telur di hujung tanduk"  menjelang mesyuarat MT yang akan datang ini.

Seolah-olah turut mengesan gerakan untuk menyingkirkannya sedang giat dijalankan di dalam negara, beliau lantas mengingatkan bahawanya dirinya bukanlah pengkhianat parti seperti yang dituduh oleh banyak pihak.

Dalam kenyataan medianya semalam, Muhyiddin mengatakan sumbangannya kepada parti sudah melebihi tempoh 40 tahun dan ketika pelbagai krisis melanda UMNO, beliau tetap setia bersama parti itu.

Malah, katanya,  ketika UMNO diharamkan dahulu, beliau mengambil tanggungjawab membina semula UMNO di Johor sehingga ia kembali kuat dan menjadi penyumbang kepada kemenangan BN setiap kali pilihanraya diadakan.

Beliau sebaliknya mahukan kemelut yang melanda ketika ini harus dihadapi secara berani dan berdepan atau akan mengakibatkan terjerumus menjadi negara yang gagal.

Blog ini pula, dua lalu lalu telah mendedahkan pengakuan seorang pegawai tinggi di ibu pejabat UMNO yang mengatakan akan terdapat "operasi kedua" dalam masa terdekat ini yang akan menyaksikan semua masalah Najib dalam parti itu dapat diselesaikan.

Pegawai itu berkata, selepas "operasi kedua"  yang menyaksikan Najib tiada masalah lagi dalam parti, beliau seterusnya dapat menumpukan sepenuh perhatiannya kepada usaha menghadapi pilihanraya ke 14 yang dijangka akan diadakan pada 2018 nanti. (SH 27/08/2015)

Wednesday, 26 August 2015

MALU WEHH...ORANG ASLI PUN TAK PERCAYA DUIT RM2,600 JUTA SEBAGAI DERMA...

Isu wang  sebanyak RM2,600 juta yang mengalir masuk ke dalam akaun peribadi Najib Razak dan dikatakan derma terus menjadi perdebatan umum. Ada yang percaya, tetapi rasanya lebih ramai yang sukar menerimanya semata-mata sebagai derma ikhlas semata-mata.

Dalam mesyuarat perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO bahagian-bahagian yang sebahagian besarnya sudah berlangsung, ia dilaporkan menjadi isu paling hangat dibincang dan diperdebatkan. Sudah tentu perbincangan itu lebih menjurus luahan perasaan yang sama iaitu sukar menerima wang sebanyak itu sebagai derma serta mahukan Najib memberi penjelasan lebih jujur mengenainya.

Susulan daripadanya, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dilaporkan mahu menemui Najib bagi menyampaikan sendiri pandangan keseluruhahan usul daripada Pemuda bahagian yang dianggap mewakili akar umbi generasi muda itu.

Sudah tentu ini merupakan tekanan secara langsung dan isyarat penolakan yang cuba disampaikan oleh Pemuda UMNO kepada Najib nanti.
Bekas Ketua Wanita UMNO, Rafidah Aziz, walaupun sudah bersara dan mungkin lebih banyak masanya bermain dengan cucu-cucu, turut tidak dapat menahan perasaan daripada meluahkan keraguan terhadap derma sebesar RM2,600 juta itu.

Beliau lantas melontarkan persoalan, apakah mungkin wujud pakatan tertentu yang boleh menggugat kedaulatan negara di sebalik wang tersebut?

Persoalan yang dilontarkan beliau memang ada logiknya untuk difikirkan oleh kita semua. Mustahil derma sebesar itu tiada apa-apa hasrat terlindungnya?

Walaupun Nazri Aziz pernah mengatakan derma itu datangnya daripada sebuah negara kecil yang tidak mampu menggugat Malaysia, kemungkinan negara tersebut menjadi alat atau perantaraan kuasa besar lain tidak harus diketepikan.

Sebagaimana wang RM2,600 juta itu juga disimpang-siurkan sebelum berlabuh di destinasi akhir ke akaun peribadi Najib, tentulah tidak mustahil perkara yang sama boleh dilakukan oleh kuasa besar atau pihak lain untuk melundungi identiti mereka.

Apa pun, peringatan Rafidah itu tidak harus diabaikan begitu saja. Ia merupakan hak kita untuk menilai dan membuat keputusan mengenainya.
Selain itu, rata-rata rakyat daripada pelbagai kelompok turut meragui dan mempersoalkan mengenai wang tersebut. Suara-suara bantahan dan tidak puas hati boleh didengari di mana-mana saja, tetapi yang paling mengejutkan ialah Orang  Asli juga berpendirian sama.

Sebagaimana yang dilaporkan oleh Free Malaysia Today, Naib Presiden Jaringan Orang Asli SeMalaysia, Yusri Ahon berkata, masyarakat Orang Asli turut meragui mengenai wang tersebut dan ia menjejaskan kepercayaan mereka terhadap kerajaan berikutan kegagalan Perdana Menteri memberi penjelasan mengenainya.

Katanya, jika benar wang tersebut merupakan sumbangan derma daripada negara Arab, ia tidak sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib, sebaliknya mestilah melalui akaun organisasi atau parti.

"Sekiranya orang lain menerima wang seperti itu, bukankah ia akan menjadi isu besar?," tanya beliau.

Malu wehh...Orang Asli pun dah cerdik atau lagi cerdik dan boleh memikir antara betul dengan salah.

Walaupun  berita yang disiarkan di Free Malaysia Today itu hanya kecil dan mungkin tidak disedari oleh banyak pihak, ia sebenarnya memberi nilai yang bermakna kepada kita semua.

Penyokong Najib yang sekolah tinggi-tinggi tak rasa malu ke?

Kebenaran tetap kebenaran, Orang Asli pun nampaknya dah tahu menilainya.  Lagi pula negara Islam atau PBB  pun hanya dapat "ciput" saja walaupun untuk memerangi keganasan global.
Janganlah diambil kira Ahmad Maslan yang sanggup "ditembak" dan beberapa Ketua UMNO Bahagian yang berikrar sanggup "mati"  demi mempertahankan Najib kerana mereka sebenarnya sudah digelapkan mata dan pandangan berikutan turut menerima habuan daripada RM2,600 juta itu.

Ahmad Maslan sebagaimana yang didedahkan oleh Sarawak Report dapat RM2 juta, Shahrir Samad dapat kecil sedikit iaitu RM1 juta dan sudah tentu Ketua-Ketua UMNO Bahagian lain turut dapat bahagian masing-masing.

Itulah nilai hidup mereka dan adakah kita juga mahu sama seperti mereka? Lu fikirlah bro....(SH 26/08/2015)

Tuesday, 25 August 2015

DINAMAKAN "OPERASI KEDUA", MUHYIDDIN AKAN DIPECAT 9 SEPT INI?


Apakah nasib Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat MT UMNO pada 9 September depan ini?

Adakah keahlian UMNOnya akan dipecat dan seterusnya menyebabkan kehilangan kedudukan sebagai Timbalan Presiden UMNO atau beliau akan dibebaskan daripada sebarang tindakan yang membolehkannya terus mengkritik parti dan Presiden UMNO serta kekal duduk sebagai orang nombor dua yang menyusahkan ketua sehingga pemilihan parti diadakan pada 2018 nanti?

Setakat ini berbagai pendapat dan andaian dapat didengar mengenai untung nasib bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Ada yang mengatakan beliau akan dipecat untuk memudahkan langkah-langkah Najib seterusnya, baik dalam UMNO mahu pun kerajaan dan ada pula yang yakin tiada apa-apa tindakan akan diambil kerana ia akan memburukkan lagi peluang BN untuk memenangi pilihanraya akan datang.

Bagaimanapun, perkembangan terbaru sebaik saja  9 September depan ini diumumkan sebagai tarikh mesyuarat MT UMNO menunjukkan kemungkinan paling besar ialah Muhyiddin akan dipecat daripada UMNO.

Beliau dijangka akan dipecat kerana didakwa menjejaskan imej parti dan memburukkan nama Najib selaku Presiden UMNO berikutan beberapa kritikan terbukanya terhadap 1MDB dan derma RM2,600 juta yang diucapkan ketika merasmikan beberapa mesyuarat perwakilan UMNO dua tiga minggu sebelum ini.

Selepas Muhyiddin dipecat daripada kerajaan pada 28 Julai lalu, MT UMNO sepatutnya bermesyuarat pada 31 Julai bersekali dengan majlis penerangan mengenai 1MDB kepada pemimpin UMNO bahagian-bahagian seluruh negara.

Tetapi ia kemudian telah ditangguhkan, lalu tarikh mesyuarat MT seterusnya ditetapkan pada 28 Ogos ini. Namun demikian, ia sekali lagi ditangguhkan sehinggalah beberapa hari lalu diumumkan 9 September sebagai tarikh baru mesyuarat MT UMNO yang sepatutnya bersidang sebulan sekali.

Seorang pegawai tinggi di ibu pejabat UMNO yang dikenali memang rapat dengan Perdana Menteri ada memberitahu seorang kenalannya baru-baru ini bahawa "operasi kedua" akan dilakukan Najib dalam tempoh terdekat ini yang menurutnya akan menyebabkan "semua masalah Najib dalam UMNO dapat diselesaikan".

Tanpa menghuraikan lebih lanjut maksud atau bentuk "operasi kedua" tersebut, pegawai itu berkata, selepas operasi itu nanti, Najib tiada masalah lagi dalam parti dan boleh menumpukan sepenuh perhatiannya untuk menghadapi PRU 14 akan datang.

Daripada cara pegawai ibu pejabat UMNO itu bercakap yang menunjukkan Najib mahu menyelesaikan masalahnya dalam parti terlebih dahulu, tindakan paling munasabah dan bersesuaian pula dengan tarikh mesyuarat MT sudah ditetapkan ialah dengan mengenepikan ancaman yang disebabkan oleh Muhyiddin.

"Operasi kedua" dalam usaha menghapuskan sebarang ancaman terhadap Najib ini adalah susulan "operasi pertama" yang menyaksikan penyingkiran Muhyiddin dan Shafie Apdal dalam rombakan kabinet pada 28 Julai baru-baru ini.

Selagi Muhyiddin kekal dengan jawatannya dan bebas mengkritik parti serta kepimpinan Perdana Menteri secara terbuka, ia dilihat suatu gangguan kepada kedudukan Najib dalam UMNO serta menggugat usahanya mengukuhkan BN memenangi pilihanraya nanti.

Dipercayai dengan menyingkirkan Muhyiddin daripada UMNO yang sekaligus menyebabkan jawatan Timbalan Presidennya terlucut, kesan pengaruhnya kepada parti dapat dihapuskan kerana suaranya selepas itu akan dianggap "suara bebas" atau "suara pembangkang" saja lagi.

Adalah dijangkakan Muhyiddin seorang saja yang akan dipecat daripada UMNO manakala Shafie Apdal, seorang lagi pemimpin UMNO yang turut lantang mengkritik Najib dan digugurkan daripada jawatan kabinet baru-baru ini, tidak akan diambil apa-apa tindakan pada 9 September nanti bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar kepada parti.

Shafie tidak dikenakan sebarang tindakan dan secara perlahan-lahan akan dipujuk supaya terus menyokong kepimpinan Najib demi memastikan keharmonian politik Sabah dapat memberi sumbangan kepada kelangsungan kuasa BN.

Sumber lain pula memberitahu, gerakan mengumpul sokongan di kalangan ahli-ahli MT bagi tindakan memecat keahlian Muhyiddin itu sudah pun bermula sejak beberapa hari lalu untuk memastikan sokongan dua pertiga diperolehi jika undian terpaksa dilakukan.

Dikatakan juga usul untuk memecat Muhyiddin nanti akan dilakukan oleh seseorang yang berjawatan kanan dalam parti dan kerajaan.

Dalam masa yang sama, selain pemecatan Muhyiddin,  mesyuarat MT UMNO pada 9 September ini dijangka turut melakukan perubahan bagi jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah dan Perak.

Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah yang sekarang disandang oleh Mukhriz Mahathir dijangka akan diambil alih oleh Mahadzir Khalid yang baru-baru ini dinaikkan pangkat sebagai Menteri Pendidikan manakala Zahid Hamidi yang kini memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri akan mengambil alih jawatan Pengerusi UMNO Perak daripada Zambry Abdul Kadir.

Menteri Besar Johor, Khaled Nordin yang terlihat begitu simpati kepada Muhyiddin sehingga beberapa bahagian di negeri itu lantang bersuara dalam mesyuarat perwakilan baru-baru ini bagaimanapun tidak akan terjejas kedudukannya sebagai Pengerusi UMNO Johor kerana Najib dikatakan tidak mahu orang Johor lebih terluka hatinya jika tindakan itu diambil. (SH 25/08/2015)

Di Kedah baru-baru ini, Mukhriz mula tidak dipedulikan oleh Najib dan ini jelas merupakan petanda tidak baik baginya...

Monday, 24 August 2015

ADUYAI...DULU HARAM JADAH DAN BANGANG, KINI BANGSAT PULAK!!


Walaupun Perdana Menteri, Najib Razak berasal daripada keluarga bangsawan dan merupakan anak Tun Razak yang disanjungi ramai, perkataan-perkataan yang keluar dari mulutnya kadangkala tidak sepadan dengan asal usulnya.

Ini kerana biasanya anak-anak bangsawan diajar berbudi bahasa dan menggunakan perkataan-perkataan yang lembut dan tidak kasar, sesuai dengan keperibadian mereka yang dipandang tinggi, bahkan sesuai dengan penampilan yang sentiasa berpakaian mahal dan menjamah makanan yang berkualiti setiap hari.

Jarang benar kita lihat anak-anak bangsawan mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak sesuai dengan penampilan mereka, apatah lagi jika sudah berjawatan Perdana Menteri.

Jika pun seseorang itu sudah menjadi bangsawan melalui kedudukan yang berjaya diraihnya, mereka juga sudah tentu akan menjaga budi bahasa dan perlakuannya.

Lihat saja Tun Hussein, Tun Mahathir dan Tun Abdullah, baik ketika berbual secara peribadi, mahu pun dalam pengucapan awam, tidak pernah sama sekali mengeluarkan perkataan-perkataan kasar yang boleh merendahkan keperibadiannya.

Tetapi lain benar dengan Najib ini. Menggunakan perkataan kasar bukan pertama lagi dilakukannya. Semalam beliau menggunakan perkataan "bangsat" kepada orang-orang Melayu sebagai ingatan sekiranya UMNO hilang kuasanya.

Sebelum ini, ketika mengecam para peneroka Felda yang menentang penyenaraian saham Felda Global Ventures atau FGV di Bursa Malaysia, Najib menggelarkan mereka sebagai "haram jadah" kerana kononnya menolak nikmat yang cuba diberikan oleh kerajaan.

Tetapi hari ini semua orang tahu nilai saham FGV di pasaran hanya tinggal tidak sampai RM2 berbanding harga permulaannya RM4.55 ketika mula-mula disenaraikan dahulu.

Siapa yang "haram jadah" sebenarnya? Itu belum dikira dengan pelbagai skandal pembelian hartanah Felda di luar negara menggunakan duit peneroka sehingga turut mengundang SPRM menyiasat dan menahan reman beberapa orang yang disyaki mengaut keuntungan daripadanya. 

Sejak kebelakangan ini, Najib sendiri sudah lama tidak menyebut mengenai  FGV ini. Mujur juga para peneroka masih berbudi bahasa tidak memulangkan semula perkataan "haram jadah" itu kepada Najib.

Kemudian ketika melahirkan rasa kesal kepada blogger-blogger UMNO yang menerima upah tetapi tidak menpertahankan parti dengan sewajarnya, beliau menggelarkan mereka sebagai "bangang".

Blogger-blogger "bangang" ini, kata Najib, lebih ghairah menembak pemimpin sendiri daripada menyerang pihak lawan. Ramai blogger upahan UMNO tersipu-sipu malu dengan gelaran itu.

Daripada "haram jadah" dan "bangang",  kini perkataan "bangsat"  pula keluar dari mulut Najib. Akan datang, entahlah....mungkin perkataan dahsyat yang mencarut dan memaki hamun pula akan digunakannya.

Dalam kes "bangsat"  ini, bukan saja perkataan itu tidak sesuai diucapkan oleh bibir merah jambu seorang Perdana Menteri kerana ia terlihat kasar dan hanya sesuai diucapkan di tepi-tepi jalan oleh bibir-bibir hitam dan kotor, "kebangsatan"  orang Melayu juga bukanlah semata-mata kerana ketiadaan lagi kuasa yang dimiliki oleh UMNO.

Orang Melayu di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang tidak pula kelihatan "bangsat" walaupun negeri-negeri tersebut bukan diperintah oleh UMNO?

Malahan ramai Melayunya yang lebih gembira, makan lebih berselera dan ketawa lebih kuat berbanding mereka yang tinggal di negeri yang dikuasai oleh UMNO.

Tidak ternampak sama sekali mereka sebagai Melayu yang "bangsat" atau terpinggir daripada rumah yang selesa kepada menghuni bawah kolong atau gelandangan jadinya.

Lebih dari itu, kalau mahu dihitung satu persatu, UMNOlah yang lebih lebih banyak "membangsatkan" bangsanya sendiri berbanding parti-parti lain di negara ini.

Melalui kuasa yang dimilikinya, siapakah sebenarnya yang lebih mengkhianati tanah, saham, permit dan sebagainya yang sepatutnya untuk mengukuhkan ekonomi Melayu tetapi dilencongkan untuk kepentingan kelompok sendiri dan menjualnya kepada bangsa lain?

Ditambah dalam era kepimpinan Najib sekarang yang tidak perlu disenaraikan lagi satu persatu caca marba dan celarunya, UMNO bukan saja sedang menuju zaman gelap, bahkan rakyat lebih ditekan lagi kehidupannya dengan pelbagai beban seperti pemansuhan subsidi, GST, kenaikan kos hidup dan sebagainya, kononnya atas nama kepentingan negara.

Isu 1MDB dan derma RM2,600 juta pula serta merta menjadikan nama negara dan pemimpinnya sebagai bahan cemuhan dan olok-olok di seluruh dunia. Daripada bangsa yang disanjung dan dihormati dengan pelbagai keupayaannya sebelum ini, Najib sebaliknya menjadikan nama negara tidak lagi indah di mana-mana.

Tidakkah malu jika wang RM2,600 juta pun kita bangga sebagai derma dan kemudian menjajanya seolah-olah itulah dana penyelamat bangsa?

Lebih malu apabila SPRM mengatakan ia hanya mengesahkannya sebagai derma saja tetapi masih belum menutup penyiasatannya lagi. Bukankah dalam takrifan SPRM, derma juga sebahagian daripada rasuah?

Hakikatnya, Najiblah yang lebih membawa "kebangsatan"  kepada Melayu itu sendiri.  Negara dan UMNO lebih mudah dipulihkan jika beliau tidak lagi menjadi ketuanya. 

Yang menentukan Melayu jadi "bangsat" atau sebaliknya bukanlah sangat disebabkan UMNO hilang kuasa atau tidak, tetapi lebih ditentukan oleh jenis pemimpinnya. (SH 24/08/2015)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...