Sunday, 30 November 2014

Najib Oh Najib, Dulu Haramjadah, Sekarang Bangang Pula!!


Dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO semalam, meskipun Presiden UMNO, Najib Razak menyentuh banyak perkara seperti usaha menguatkan parti, rasuah, undi Cina, solidariti, serangannya kepada pembangkang dan banyak lagi, tetapi satu-satunya perkara yang terus menjadi bualan ramai ialah "bahasa kasar" yang diluahkannya kepada blogger pro UMNO.

Dalam meluahkan rasa kurang senangnya dengan sesetengah blogger pro UMNO yang dibayar dan dibiayai tetapi akhirnya menembak pemimpin sendiri, Najib menyifatkan mereka itu sebagai "bangang".

"Blogger ini cari makan dengan siapa? Pergilah tembak pembangkang. Itu cara kita nak menang dalam peperangan. Jangan perang sesama sendiri, tak masuk akal. Bangang," katanya dalam ucapan penggulungan itu.

Dalam perbualan atau sebutan seharian, "bangang" lebih kurang membawa maksud bodoh, tolol, dungu atau lain-lain seumpamanya yang berupa suatu bentuk penghinaan kepada seseorang atau kumpulan.

Tindakan Najib terhadap blogger ini dipercayai bukan saja kerana tidak berpuas hati dengan hasil kerja mereka, bahkan juga disebabkan sering bertelagah sesama sendiri. Kadangkala pula, blogger UMNO ini mempunyai pemimpin pujaan mereka sendiri sehingga keutamaan menonjolkan pemimpin lebih utama daripada parti.

Apabila masing-masing sudah mempunyai "godfather" yang berbeza, maka kecendungan menembak pemimpin lain yang dianggap sebagai saingan kepada pemimpin pujaan itu sudah pasti tidak dapat dielakkan.

Sehubungan itu, dalam maksud tersiratnya ialah Najib mahukan mereka ini mengutamakan UMNO yang membayar dan membiayai mereka serta lebih menumpukan serangan kepada pembangkang saja daripada menembak sesama pemimpin.

Memang sejak internet dan media sosial berkembang pesat, UMNO dipercayai telah membelanjakan jutaan ringgit untuk membayar dan membiayai blogger ini, terutama ketika berlangsungnya pilihanraya kecil atau semasa kempen pilihanraya umum dengan tujuan untuk meraih undi golongan muda khususnya.

Meskipun demikian, bahasa yang diungkapkan oleh Najib ternyata tidak sesuai dan agar kasar, apatah lagi diucapkan dalam Perhimpunan Agung UMNO yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara. Blogger yang terasa pedas dengan ucapan Najib itu sudah tentu berasa hati, tersinggung dan mungkin mulai rasa marah.

Dalam masa yang sama, ini tentunya akan merendahkan lagi penilaian rakyat terhadap budi bahasa dan perwatakan sebenar Najib sebagai pemimpin utama negara.

Tidak pernah mana-mana Perdana Menteri sebelum ini mengucapkan perkataan sekasar itu secara terbuka, walau dalam keadaan marah sekali pun.

Tambahan lagi, sebelum ini ketika meluahkan rasa kecewanya dengan peneroka Felda yang menyokong pembangkang tetapi dalam masa yang sama menerima semua pemberian agensi itu, Najib juga menggelar mereka sebagai "haramjadah".

Ini bermakna sekurang-kurangnya sudah lebih daripada sekali Najib bertindak secara tidak wajar dan keterlaluan terhadap mereka yang tidak disukainya.

Agaknya selepas ini apa pula bahasa kasarnya dan siapa lagi menjadi mangsanya?

Serangan terbuka kepada blogger ini nyata menimbulkan rasa kurang ramai banyak pihak di media sosial. Ada yang marah dan kecewa kerana selepas jurucakap UMNO luar negara, Nur Farhana Mohd Anuar mempertikai blogger pro UMNO yang didakwa lambat bertindak dalam mempertahankan Rosmah Mansor daripada serangan pembangkang, kini Najib pula berbuat demikian.

Adakah Najib juga sebenarnya kecewa dengan peranan blogger berbayar ini dalam mempertahankan isterinya?

Ramai juga yang berkata, blogger bertindak "bangang" kerana ada pemimpin UMNO sendiri yang terlebih dahulu bersikap "bangang" dalam menjalankan tugasnya. Sementara itu, ada pula yang rela dianggap "bangang" asalkan tanggungjawab mereka menegur dan membetulkan sikap sesetengah pemimpin UMNO sudah dilaksanakan.

Yang pastinya, ramai yang bengang dalam sehari dua ini. (SH 30/11/2014).

Saturday, 29 November 2014

Beranikah Najib Mendakwa Jurucakap Perhimpunan UMNO Dengan Akta Hasutan?


Beberapa cabaran kini menanti Najib Razak di sebalik keputusannya untuk terus mengekalkan Akta Hasutan 1948  di perasmian Perhimpunan Agung UMNO, Khamis lalu setelah dua tahun lalu berjanji mahu memansuhkannya.

Kumpulan kanan dalam UMNO dan masyarakat yang gembira dengan pengekalan Akta Hasutan tidak akan berhenti setakat ini saja. Mereka kini bakal menumpukan tekanan agar Najib mengembalikan semula ISA dan Ordinan Darurat yang sudah dimansuhkannya sebelum ini.

Kejayaan menekan Najib sehingga Akta Hasutan tidak jadi dimansuhkan adalah kejayaan bagi kumpulan ini dan sekaligus merupakan "lesen besar"  untuk mereka melakukan gugatan yang seterusnya.

Berbanding Akta Hasutan, lebih ramai golongan kanan ini berpendapat bahawa menghapuskan ISA adalah salah satu tindakan "paling bodoh"  yang dilakukan Najib selaku ketua sebuah kerajaan.

Jelas bahawa mereka ini belum cukup puas hati selagi ISA dan Ordinan Darurat tidak dikembalikan sama. Mereka hanya benar-benar gembira dan puas hati dengan kepimpinan Najib jika beliau sanggup memulihkan semula semua akta-akta tersebut.

Ini sekali lagi merupakan tekanan yang berterusan kepada Najib kerana sementara beliau terus ditekan oleh kumpulan kanan yang "mahu paha setelah mendapat betis", sebaliknya golongan liberal dan pejuang kebebasan pula mahukannya komited dengan janji-janji pembaharuan dan keterbukaan yang selalu dilaung-laungkannya.

Golongan liberal dan pro hak asasi yang turut disokong oleh pembangkang tidak menunggu lama untuk menyerang dan mengecam Najib sebagai seorang yang mungkir janji setelah Akta Hasutan ini diumum untuk terus dikekalkan.

Golongan ini bukan saja berikrar akan terus berjuang ke arah penghapusan Akta Hasutan, malah mulai melabelkan Najib sebagai pemimpin yang tidak boleh dipercayai, mungkir janji serta mudah mengalah kepada tekanan. Najib juga diperingatkan bahawa janji adalah suatu komitmen.

Dianggap sebagai janji terbesar kepada rakyat yang dimungkirinya ialah membatalkan pemansuhan Akta Hasutan, rakyat juga tentunya tidak lupa dengan beberapa janji Najib seperti tidak menaikkan harga minyak dan ikrar lebih mendengar keluhan rakyat bawahan, turut juga dimungkirinya sebelum ini.

Dengan ini, bersama banyak janji lain yang tidak ditepati serta janji berkaitan pemansuhan Akta Hasutan, ianya bakal memberi kesan besar kepada sokongan BN dalam pilihanraya akan datang, terutamanya daripada pengundi bukan Melayu dan mereka yang tinggal di bandar atau separa bandar.

Di kelompok yang lain, Najib kini mula dilihat sebagai pemimpin yang paling lemah, mudah mengalah dan tidak kukuh pendiriannya. Beliau juga dilihat sebagai pemimpin yang tidak memikir dengan mendalam sebelum mengumumkan sesuatu perkara yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

Ramai yang menganggap keputusan Najib mengekalkan Akta Hasutan ini semata-mata untuk kepentingan diri dan masa depannya yang semakin kelam dalam UMNO. Beliau dikatakan hanya ingin meredakan kemarahan dalam partinya sendiri yang ternyata masih kuat dengan aliran kanan dan konservatif.

Tambahan pula, sebaik Akta Hasutan terus dikekalkan, Dewan Merdeka di mana sedang berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO ketika ini terus bergema dengan ucapan banyak jurucakap yang terus menyentuh isu-isu kaum dengan menyerang pihak lain yang dianggap cuba mengancam dan menggugat mereka.

Tanpa menyedari bahawa Dewan Merdeka bukanlah Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri yang memberikan kekebalan untuk bercakap apa saja, ramai jurucakap dalam Perhimpunan Agung UMNO seakan terlupa hakikat ini. Banyak nada rasis, perkauman, serangan dan sentuhan hal-hal sensitif melibatkan kaum lain dapat didengar dalam perhimpunan kali ini.

Sebagai meraikan kejayaan mengekalkan Akta Hasutan, lebih ramai yang tampil mahu menjadi juara bangsa pada perhimpunan kali ini kerana menganggapnya suatu kejayaan bagi mereka.

Untuk membuktikan bahawa Akta Hasutan dikekalkan tidak semata-mata untuk kepentingan dirinya atau UMNO, sesuatu yang harus Najib buktikan ialah berani mengenakan dakwaan di bawah akta tersebut keatas mana-mana jurucakap Perhimpunan Agung UMNO kali ini yang didapati melampau dari segi menyentuh isu berkaitan kaum, bangsa atau agama lain.

Jurucakap-jurucakap ini hakikatnya tidak kebal sama-sekali sepertimana wakil-rakyat di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri bercakap dan berhujah. Dewan Merdeka PWTC bukanlah Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri yang mempunyai  kekebalan dan melindungi sesiapa daripada bercakap apa saja. Najib tidak harus "double standard" kerana akta ini seharusnya dilaksanakan secara adil dan menyeluruh.

Jika ini dapat dilakukan Najib sebaik berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO, beliau mungkin dapat meraih sedikit kepercayaan daripada rakyat yang selama ini ragu-ragu dengan tujuan dan keikhlasannya mengekalkan Akta Hasutan itu. ( SH 29/11/2014)

Thursday, 27 November 2014

Pengekalan Akta Hasutan Demi Untuk Najib Selamatkan Diri


Secara umumnya hampir tiada yang menarik dalam ucapan perasmian Najib Razak di Perhimpunan Agung UMNO tahun ini. Isi dan isu yang ditimbulkan kelihatan lesu dan tiada yang baru.

Berbanding ucapan Muhyiddin Yassin ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri sehari sebelumnya, ia jauh mengandungi isi yang menyedar dan menyegarkan seluruh ahli-ahli UMNO agar segera bangkit meneruskan perjuangan yang kian mencabar ini.

Malah ucapan Muhyiddin turut mendapat pujian banyak pihak yang menyifatkannya sebagai peringatan penuh bertanggungjawab untuk memulih dan mengembalikan kekuatan semula UMNO.

Satu-satu isu yang terus diperkatakan  oleh ahli UMNO dan juga orangramai dalam intipati ucapan Najib tahun ini ialah tindakannya mengekalkan Akta Hasutan yang pernah dijanji untuk dihapuskannya sebelum ini. Pujian yang kedengaran juga mengenai ucapan Najib hanyalah mengenai tindakannya mengekalkan Akta Hasutan saja. Tidak terdengar ada pujian lain selain itu.

Walaupun kumpulan kanan dalam UMNO dan masyarakat memberi pujian dan sanjungan kepadanya berikutan pengekalan Akta Hasutan itu, tetapi adalah jelas Najib dilabel sebagai pemimpin yang mungkir dengan janjinya sendiri.

Meskipun tidak dinafikan pihak yang berbelah bagi selama ini kembali menyokongnya, tetapi Najib akan terus kehilangan sokongan rakyat biasa yang berpegang kepada janjinya sebelum ini. Kumpulan ini yang kebanyakannya daripada golongan bukan Melayu dan mereka yang tinggal di bandar, dipercayai akan terus menjauhi Najib berikutan tindakan mungkir janjinya itu.

Bahkan mungkin juga mereka tidak mempercayai lagi apa juga janji-janjinya selepas ini.

Dengan ini, Najib sekurang-kurangnya belajar satu perkara iaitu jangan mudah berjanji sesuka hati.  Berjanji sesuka hati sebenarnya bukan saja merbahaya ketika memadu kasih atau sedang dilamun asmara tetapi juga dalam dunia politik. Ketika mengemukakan janji dahulu, Najib jelas terbuai dengan keinginan menjadi pemimpin yang liberal dan terbuka tetapi akhirnya terkulai kerana tekanan daripada dalam UMNO sendiri.

Jika dahulu beliau lebih berhati-hati sebelum melontarkan janji, tentulah keadaan tidak menjadi kalut seperti sekarang ini. Barangkali Najib kena menghayati lagu nyanyian Saloma "Apa Guna Berjanji" sebelum melontarkan janji-janjinya di lain kali.

Tetapi sesuatu yang tidak dapat dinafikan daripada tindakan Najib mengekalkan Akta Hasutan ini setelah berjanji untuk memansuhkannya sejak 2012 lagi ialah semata-mata untuk memastikan masa depannya terus kukuh dalam UMNO.

Oleh kerana rata-rata mereka dalam UMNO mahukan akta itu dikekalkan, ditambah dengan sokongan rakyat kepada UMNO yang tidak berubah serta penarikan balik sokongan oleh Mahathir Mohamad terhadapnya, jika Najib terus mahu memansuhkannya, ia tentu akan menyebabkan kedudukannya lebih mudah digoyang lagi.

Oleh kerana ingin terus mempertahankan kedudukannya, Najib terpaksa mengalah dengan keadaan yang tidak memihak kepadanya itu. Lebih-lebih lagi timbalannya, Muhyiddin Yassin turut lantang mahukan akta itu dikekalkan.

Kiranya gelombang penolakan ini tidak sekuat sekarang, sudah barang tentu Najib akan terus berpegang kepada janjinya untuk menghapuskan akta tersebut.

Ini juga tidak dapat ditolak ada kaitan dengan kemungkinan UMNO akan mengadakan pemilihannya pada 2016 iaitu sebelum berlangsungnya PRU 14 dan tidak lagi menangguhkannya seperti biasa. Kalau pun pemilihan UMNO diadakan selepas pilihanraya umum, Najib tidak mahu sokongan terhadapnya lebih longgar lagi.

Ketika ini, gambarannya ialah Najib lebih rela kehilangan sokongan rakyat biasa yang menganggapnya sebagai seorang yang mungkir janji terlebih dahulu berbanding kehilangan terus sokongan dalam UMNO dan kumpulan kanan dalam masyarakat. 

Mungkin selepas meraih semula sokongan dan kekuatan kumpulan kanan dalam UMNO dan masyarakat itu,  beliau akan memikir cara lain pula untuk mengambil hati golongan yang kecewa dengan janji palsunya itu.

Tetapi, walaupun sudah membuat keputusan mengekalkan Akta Hasutan, Najib juga bakal terus ditekan lagi selepas ini agar mengembalikan semula ISA dan Ordinan Darurat yang sudah dimansuhkannya sebelum ini.

Dengan kejayaan kumpulan kanan mendesak sehingga Najib mengalah dan terus mengekalkan Aka Hasutan, adalah dipercayai gerakan agar dikembalikan ISA dan Ordinan Darurat akan lebih rancak lagi selepas ini. Mereka tidak akan berhenti setakat Akta Hasutan saja.

Adalah dipercayai selepas ini, demi mempertahankan kedudukannya, Najib akan terus berlembut dengan kumpulan kanan yang berada dalam UMNO dan juga dalam masyarakat. Semuanya demi memastikan kedudukannya dalam UMNO dapat diselamatkan terlebih dahulu. (SH 27/11/2014)

Wednesday, 26 November 2014

Muhyiddin Minta Pemilihan UMNO 2016 Tidak Ditangguhkan Lagi, Beranikah Najib?


Ramai yang memuji ucapan Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin semasa perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri malam tadi. Ucapan beliau yang menyentuh banyak perkara dan masalah dalam parti disifatkan sebagai ucapan berterus-terang untuk memulihkan semula semangat dan kekuatan UMNO.

Beliau bukan saja menyentuh mengenai keperluan berubah, tetapi juga membangkitkan isu-isu perebutan sesama sendiri dalam parti yang terus berlaku, walaupun hakikatnya UMNO semakin merosot dan merudum sokongannya di kalangan rakyat.

Apa yang diperkatakan oleh Muhyidin itu memanglah sesuatu yang benar dan tiada yang benar, melainkan benar belaka. Cumanya, jika kita imbau ucapan beliau selaku orang nombor dua dalam parti sejak 2009 lalu, itulah lebih kurang intipatinya setiap tahun.

Periksa dan amatilah ucapan Muhyiddin ini sejak beliau menjadi orang nombor dua dalam parti dan kerajaan. Itulah retoriknya setiap tahun, mungkin hanya ada satu dua perkara baru saja yang dijadikan tambahan dalam ucapannya.

Berubah, berubah dan berubah. Tapi apa yang berubah setakat ini? Kalaulah perkataan berubah itu sendiri merupakan sesuatu yang hidup dan bernyawa, tentulah dia juga turut letih kerana setiap tahun semua orang menyebut-nyebut namanya dengan kerap sekali.

Daripada Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, ketua-ketua sayap, jurucakap sehinggalah kepada pemerhati yang bersidai di kedai kopi sekitar PWTC, semuanya tidak pernah tertinggal menyebut perkataan perubahan itu.

Sekali lagi, apa yang berubah? Bukan saja perwakilan daripada seluruh negara lupa untuk berubah apabila pulang ke kawasan masing-masing, bahkan Presiden dan Timbalan Presiden pun sama lupa untuk berubah sebaik perhimpunan berakhir.

Sebab itu, sepanjang masa sentiasa saja berlaku perkara-perkara yang meresahkan rakyat. Ia berlaku silih berganti daripada satu isu kepada satu isu yang lain. Isu pembaziran, pemborosan, kemewahan, mengutamakan kroni dan kaum keluarga dalam projek-projek kerajaan dan seumpamanya terus juga berlaku tanpa henti-henti.

Sekiranya pemimpin memahami apa itu perubahan, seharusnya merekalah yang lebih dulu berubah. Tunjukkanlah perubahan yang nyata di depan ahli UMNO dan rakyat semua. Ingatlah bahawa cerminan paling utama bagi pemimpin UMNO ialah peranan dan tanggungjawab mereka dalam mengurus kerajaan dan dalam kehidupan seharian.

Seharusnya berhentilah bercakap mengenai perubahan kerana sekarang adalah masa untuk bertindak. Setelah lima atau enam tahun bercakap perkara yang sama tidak lebih hanya menunjukkan kegagalan bertindak sebenarnya.

Lagi pula, bagaimana untuk meminta ahli dan pemimpin untuk berubah sedangkan mereka yang diatas sendiri tidak mahu berubah?

Ada pula yang bercakap, bagaimana UMNO mahu berubah kerana untuk melaksanakan perubahan di ibu pejabat UMNO sendiri pun, Najib tidak mampu melakukannya?

Sudah begitu banyak rungutan mengenai masalah dan karenah dalam UMNO yang melibatkan setiausaha agung, ketua penerangan dan setiausaha kerja ini yang dianggap antara punca sukarnya UMNO berubah dan semakin lemah sekarang ini. Tetapi nampaknya  Najib terus mengekalkannya juga dan memekakkan telinga kepada segala rungutan itu.

Itu belum lagi dibangkitkan perubahan-perubahan yang lain yang bukan saja mengenai Najib tetapi juga melibatkan Muhyiddin dan lain-lain pemimpin UMNO di peringkat kerajaan. Berbezakah mereka daripada dulu dengan sekarang atau daripada tahun ke tahun?

Satu-satunya perkara baru yang dibangkitkan oleh Muhyiddin dalam ucapannya semalam ialah meminta agar pemilihan parti diadakan sebelum pilihanraya umum akan datang. Sejak era Pak Lah, beliau sering menangguhkan proses pemilihan UMNO untuk memberi laluan kepada pilihanraya diadakan terlebih dahulu. Pemilihan UMNO hanya diadakan selepas pilihanraya berakhir.

Najib nyata suka meneruskan tradisi itu. Tidak seperti era Mahathir, pemilihan UMNO tidak pernah ditangguhkan sama ada di depannya ada pilihanraya atau tidak. 

Selepas pemilihan yang lalu pada 2013, pemilihan UMNO yang seterusnya ialah pada 2016. Pilihanraya umum ke 14 pula mesti diadakan sebelum Mei 2018.

Untuk berubah dan supaya perubahan itu benar-benar difahami oleh ahli UMNO semua peringkat, UMNO mesti berani mengadakan pemilihan kepimpinannya sebelum PRU 14 akan datang. Ia tidak perlu ditangguhkan lagi sebagaimana yang dilakukan oleh Pak Lah dahulu kerana ianya tidak sesuai lagi dengan keadaan dan keperluan UMNO sekarang ini.

UMNO mesti menunjukkan keberaniannya untuk berubah terlebih dahulu sebelum mahu meminta rakyat terbanyak menilai apa perubahan yang telah dilakukannya. Dengan sedia mengadakan pemilihan dan memilih pemimpin baru sebelum pilihanraya, UMNO sekurang-kurangnya sudah menunjukkan kesediaannya untuk berubah.

Muhyiddin nampaknya sudah melontarkan cabaran agar pemilihan UMNO akan datang ini tidak lagi ditangguhkan. Sekarang, terserahlah kepada Najib menyahutnya. Beliau mungkin boleh mengumumkannya dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung UMNO pada hari esok atau bila-bila masa saja sepanjang perhimpunan tahun ini.

Mungkin terlalu awal untuk mengandaikan bahawa permintaan Muhyiddin ini merupakan isyarat bakal berlakunya pertandingan di peringkat kepimpinan tertinggi UMNO, tetapi jika pertandingan atau perubahan kepimpinan boleh menjamin kemenangan, kenapa mesti takut dengannya?

Bukankah selama ini semua berkata UMNO lebih penting daripada pemimpin? Dikata juga pemimpin boleh bertukar ganti tetapi UMNO harus kekal selama-lamanya? Dilaungkan juga, tanpa UMNO orang Melayu akan jadi "bangsat" di negara ini, walaupun ia sebenarnya jauh daripada hakikat sebenarnya?

Nah, apa lagi, inilah masanya membuktikan segala yang kerap dilaungkan selama ini!!

Sekiranya majoriti pemimpin sedia ada dalam UMNO masih menunjangi parti di peringkat pusat, negeri dan bahagian dalam pilihanraya umum akan datang,  percayalah, sokongan rakyat bukan saja tidak berubah, malah akan terus merudum. Laungan perubahan juga akan terus kedengaran tahun demi tahun tanpa hentinya.

Akhirnya, rakyat lebih mungkin mengubah kedudukan UMNO terlebih dahulu sebelum UMNO sendiri memahami apa itu perubahan yang sering dilaung-laungkannya tanpa henti selama ini. (SH 26/11/2014)

Tuesday, 25 November 2014

Meskipun Tak Jadi Ke Luar Negara, Kehadiran Mahathir Dalam PAU 2014 Masih Lagi 50-50


Menjelang dua hari lagi sebelum majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO atau PAU 2014 pada hari Khamis ini, kehadiran bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang sudah menarik balik sokongan dan banyak menegur kepimpinan Najib Razak, masih lagi belum pasti sebenarnya.

Bagaimanapun, Mahathir sebenarnya sudah menetapkan pendirian untuk tidak menghadiri perhimpunan kali ini dengan berkunjung ke luar negara. Tidak dipastikan sama ada kunjungannya ke luar negara itu bagi memenuhi program rasmi, bercuti atau seumpamanya.

Tetapi, oleh kerana kesihatannya tidak mengizinkan, lalu pemergiannya ke luar negara itu dibatalkan. Lantaran itu, jika keadaan kesihatannya bertambah baik, beliau mungkin akan hadir juga.

Dalam tulisan terbaru di blognya, bekas Perdana Menteri itu menulis dengan ayat pembukaan "Perutusan ini ditulis kerana saya tidak dapat hadir di Mesyuarat Agung UMNO kerana berada di luar negara. Tetapi oleh kerana saya kurang sihat untuk ke luar negara, saya mungkin hadir Insya'allah. Bagaimanapun saya ingin membuat kenyataan ini juga."

Jelas bahawa perancangan Mahathir ialah tidak menghadiri Perhimpunan Agung UMNO tahun ini dan untuk itu sudah menyediakan suatu bentuk kenyataan atau tulisan di blognya untuk dibaca oleh ahli-ahli UMNO.

Namun, pemergian ke luar negara itu terhalang kerana faktor kesihatan. Disebabkan hal yang sama juga, Mahathir turut tidak hadir memberi ucaptama di Konvensyen Perpaduan Nasional pada Ahad lalu.

Meskipun demikian, kehadiran Mahathir hakikatnya masih lagi 50-50 dan bergantung kepada keadaan kesihatannya dalam sehari dua ini. Jika kesihatannya bertambah baik, mungkin beliau akan hadir, tetapi jika keadannya masih tidak mengizinkan  dan dinasihatkan oleh doktor agar lebih banyak berehat, sudah tentu beliau tidak menghadirinya.

Blog ini dalam postinya pada 19 November lalu ada menyarankan agar Mahathir tidak menghadiri Perhimpunan Agung UMNO tahun ini bagi membuktikan keseriusannya menegur dan mengkritik Najib.

Walaupun sudah menegur dan menarik balik sokongannya kepada Najib tetapi Perdana Menteri seperti tidak mengendah dan menghiraukan segala teguran itu, walaupun ianya jelas untuk kebaikan parti dan negara.

Sehubungan itu, blog ini berpendapat, sebagai bekas Perdana Menteri yang masih mempunyai pengaruh, hanya dengan memboikot perhimpunan kali ini saja mampu menyedarkan Najib agar tidak terus berkhayal dalam dunianya sendiri yang sebenarnya semakin buruk pada pandangan umum.

Dalam perutusa di blognya yang disiapkan kerana tidak dapat menghadiri Perhimpunan UMNO kali ini, Mahathir  sekali lagi menekankan pentingnya menegur pemimpin kerana tanpa teguran, pemimpin akan percaya apa yang dilakukannya adalah betul belaka, meskipun ia sebenarnya adalah salah dan tidak baik.

Beliau juga mengingatkan mengenai kedudukan Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn serta dirinya yang bukan saja ditegur, malah dicabar. 

"Saya diserang dan hampir kalah dalam pertandingan," tambah Mahathir lagi.

Selain itu, Mahathir juga mengingatkan bahawa UMNO sekarang tidak lagi sepopular dulu, bahkan ada yang mengatakan tidak relevan lagi.

"Sedikit-sebanyak pandangan ini berasas. Jika UMNO dikalahkan dan hilang dari muka bumi ini, kepimpinan dan ahli UMNO tidak boleh nafi sumbangan mereka kepada kejatuhan parti yang banyak berjasa bangsa Melayu dan negara itu.

"Apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh pemimpin dan ahli UMNO?" soalnya.

Bagi pandangan Mahathir, kesalahan itu ialah pertama, menganggap UMNO sebagai batu loncatan untuk memperkaya diri sendiri dan  keduanya, tiada lagi teguran dilakukan.

Menurut beliau, wakil-wakil dalam Perhimpunan Agung UMNO perlu terus melakukan teguran, terutama berkaitan perkara-perkara yang hangat dibincang oleh orangramai sekarang ini. 

Manakala pemimpin pula, tegasnya perlu dengar dan ambil berat segala teguran daripada perwakilan itu dengan baik.

Mereka, tambah beliau, janganlah hanya mendengar pandangan orang tertentu di sekelilingnya saja kerana pandangan mereka yang berada di keliling orang berkuasa itu adalah tidak baik bagi mereka. (SH 25/11/2014)

Monday, 24 November 2014

Senyum Penuh Makna Ketua Pembangkang Selangor...


Ada beberapa perkara menarik dalam pembentangan Belanjawan Negeri Selangor 2015 yang pertama kali dilakukan oleh Menteri Besar, Azmin Ali, hari ini. Dengan peruntukan sebanyak RM2.42 bilion berbanding hasil sebanyak RM1.97 bilion yang dijangka pada tahun depan, ia menyerlahkan hasrat kerajaan negeri untuk tidak berkira dalam berbelanja demi kepentingan rakyat.

Walaupun dikira belanjawan defisit, tetapi ia juga merupakan  peruntukan yang terbesar dalam sejarah Selangor dan sepanjang pemerintahan PR sejak 2008.

Buat julung kalinya  juga peranan Ketua Pembangkang di DUN Selangor diiktiraf oleh kerajaan negeri dengan pemberian sebuah kereta rasmi, Toyota Camry beserta pembiayaan petrol dan tol, elaun RM3,000 sebulan, gaji pemandu sebanyak RM1,367 dan RM2,001 lagi untuk bayaran seorang setiausaha kerja.

Ketua Pembangkang yang juga Adun BN Sungai Burung, Shamsuddin Lias kelihatan tersenyum lebar ketika menerima pemberian kereta  dan segala kemudahan itu daripada Azmin sambil disaksikan oleh Speaker, Hannah Yeoh.

Sambil menghargai sumbangan dan pengiktirafan itu serta berjanji akan memberi sumbangan yang sebaiknya, Shamsuddin juga tentunya akan lebih bergaya ke Perhimpunan Agung UMNO tahun ini kerana walaupun UMNO dan BN merupakan pembangkang di Selangor tetapi beliau turut juga mendapat nikmat daripadanya.

Selain kemudahan untuk Ketua Pembangkang itu, kerajaan negeri pimpinan Azmin juga bermurah hati memperuntukan RM200 ribu setahun kepada setiap ADUN BN untuk melaksanakan projek-projek pembangunan di kawasan masing-masing.

Peruntukan ini sekaligus menjadikan pengundi di kawasan yang diwakili oleh Adun BN terus menikmati pelbagai kemudahan pembangunan, meskipun hanya menjadi pembangkang.

Pembaharuan ini tentunya menaikkan lagi nama Azmin dan PR di mata pengundi Selangor.  Bukan saja di negeri lain, bahkan di peringkat Pusat sekali pun, wakil rakyat pembangkang tidak pernah diberikan peruntukan oleh kerajaan yang memerintah.

Dengan sendirinya, walaupun Noh Omar semalam mengatakan beliau terus diberi mandat untuk mengetuai UMNO Selangor oleh Najib Razak di sebalik pelbagai kritikan dan kekecewaan tentang prestasinya, harapan beliau pastinya semakin sukar dengan tindakan terbaru Azmin ini.

Pengundi Selangor kini melihat kerajaan PR di Selangor paling terbuka dan memahami erti demokrasi dalam ertikata yang sebenarnya. Kecuali berlaku sesuatu yang diluar dugaan, secara realitinya kerajaan PR di Selangor semakin kukuh dan sukar ditumbangkan.

Shamsuddin Lias juga barangkali lebih suka PR terus kekal mentadbir Selangor kerana kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang itu lebih baik bagi dirinya berbanding jika BN yang memenangi pilihanraya. Jika BN yang menang pilihanraya, beliau bukan saja tipis untuk dipilih sebagai Menteri Besar, malah sebagai Exco pun belum tentu lagi.

Sebab itu, sengih dan senyumnya cukup lebar ketika menerima kemudahan itu daripada Azmin Ali. (SH 24/11/2014)

Semasa BN menang, jangankan nak jadi Menteri Besar, jawatan Exco pun tak merasa...

Sunday, 23 November 2014

Jawatan Dalam UMNO Bukan Milik Abadi Satu Keturunan...Zahid Hamidi Sindir Siapa Ni?


Setiap kali menjelang Perhimpunan Agung UMNO, para pemimpin UMNO berebut-rebut menonjolkan diri supaya diri mereka dilihat sebagai hero. Macam-macam cara yang dilakukan, ada yang bercakap soal Melayu terancam, Islam bakal tergugat, berkaitan kepimpinan, masalah dalam parti, isu dalam kerajaan dan pelbagai lagi.

Menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2014 bermula 25 hingga 29 November ini, perkara yang sama sedang diulang-tayang sekali lagi untuk tontotan seluruh umat Melayu negara ini.

Di mana-mana sekarang ini, asal saja ada peluang, masing-masing cuba menonjolkan kehebatan, keberanian dan kerelevanan mereka sebagai pemimpin dengan menyentuh pelbagai isu untuk menarik perhatian ramai.

Itulah UMNO sebenarnya. Sebelum perhimpunan dan ketika perhimpunan, merekalah perjuang paling hebat di sekalian alam jagat raya ini. Tiadalah yang lebih hebat daripada mereka dalam soal menjaga alam, bumi, Melayu dan Islam di dunia ini, tetapi selepas perhimpunan berakhir, bak kata pelawak Nabil...lu fikirlah sendiri!!

Tetapi dalam ramai-ramai pemimpin yang cuba menonjolkan diri kali ini, apa yang dilakukan oleh Naib Presiden UMNO dan Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi, paling menarik menarik dan berbeza sekali.

Sebagai penyandang jawatan Naib Presiden UMNO dengan undi tertinggi, Ahmad Zahid kali ini bercakap topik yang lain daripada Melayu dan Islam. Beliau bercakap soal kepimpinan dan masa depan UMNO.

Menurut Ahmad Zahid, jawatan dalam UMNO bukan milik selamanya mana-mana keturunan, sebaliknya peluang harus diberi kepada golongan muda mengambil alih tanggungjawab tersebut.

Kita bukanlah "warlord" yang menganggap jawatan dalam parti itu kepunyaan kita dan harus dimiliki oleh keturunan kita saja, tambah Ahli Parlimen Bagan Datoh itu lagi.

Sejujurnya, sesiapa pun bersetuju dengan pandangan Ahmad Zahid itu, terutama dalam konteks semakin ramainya golongan muda menjauhi UMNO ketika ini.

Hanya dengan memberi ruang yang lebih luas dan terbuka kepada golongan muda dan menerima hakikatnya perlunya peremajaan dalam UMNO, barulah boleh diyakini UMNO dilihat "masih mempunyai cahaya di hujung terowongnya".

Cumanya, dalam Ahmad Zahid bercakap soal pentingnya memberi peluang kepada golongan muda dan peremajaan dalam UMNO, kenapa pula beliau menyentuh mengenai jawatan dalam UMNO ini bukan milik selama-lamanya satu keturunan saja?

Kenapa hanya sekarang beliau bercakap soal jawatan dan keturunan ini? 

Siapa yang disindirnya? Adakah beliau melihat kepimpinan Najib Razak yang lemah dan semakin ditolak sekarang ini kerana beliau merupakan keturunan daripada Tun Abdul Razak?

Adakah Ahmad Zahid juga cuba menyampaikan mesej kepada ahli-ahli UMNO seluruh negara bahawa seorang lagi pemimpin yang berada dalam barisan kanan sekarang iaitu Hishammuddin Hussein juga naik dan berada dalam kedudukannya sekarang adalah kerana darah  keturunan Tun Hussein Onn yang mengalir dalam tubuhnya?

Dalam konteks yang lebih tersirat, adakah Ahmad Zahid cuba mengingatkan Najib bahawa jika mahu UMNO terus relevan, janganlah sesekali cuba mewariskan jawatan Presiden UMNO ini kepada Hishammuddin yang merupakan sepupunya itu sebagaimana yang heboh diperkatakan sekarang?

Sudah menjadi percakapan umum sekarang ini bahawa Najib dikatakan sedang merencana untuk menyerahkan kepimpinan UMNO kepada Hishammuddin sekiranya terus memenangi pilihanraya umum akan datang. Berdasarkan bahawa Muhyiddin sudah berusia 68 tahun dan Ahmad Zahid pula berumur 62 tahun dan sebaya dengan Najib, Hishammuddin barangkali mempunyai kelebihan dan kesesuaian jika faktor umur diambilkira.

Namun, sebagai penyandang jawatan Naib Presiden UMNO dengan undi tertinggi dua kali berturut-turut yang menunjukkan popularitinya, Ahmad Zahid mungkin merasakan kelebihan itu seharusnya berpihak kepadanya, bukannya Hishammuddin.

Adakah Ahmad Zahid sedang cuba menonjolkan dirinya sekarang ini?

Apakah juga reaksi Zahid yang jelas menyindir Najib dan Hishammuddin ini merupakan "buih-buih" permulaan yang bakal bertukar menjadi "ombak" dan "gelombang" dalam merubah kepimpinan UMNO sebelum PRU 14 akan datang? 

Kalau dalam menyingkirkan Pak Lah dulu, Muhyiddin muncul sebagai hero dengan mencetuskan desakan pengunduran segera, mungkinkah kali ini Ahmad Zahid pula tampil sebagai wiranya? (SH 23/11/2014)

Mungkinkah Zahid Hamidi cuba menjadi wira sebagaimana Muhyiddin menjadi hero mendesak pengunduran Pak Lah dulu?

Saturday, 22 November 2014

Selepas Subsidi Dihapuskan, Ke Mana Perginya Wang Yang Dijimatkan Itu?


Mulai 1 Disember ini, subsidi bagi petrol Ron95 dan diesel akan mula dihapuskan dan penetapan harga bahan bakar itu akan ditetapkan melalui kaedah pengapungan terkawal berdasarkan turun naik harganya di pasaran dunia.

Melalui keputusan terbaru kabinet ini, harga kedua-dua bahan bakar itu akan disemak setiap bulan dan penetapan harga yang akan dibuat pada 1 Disember nanti adalah berdasarkan harga pasarannya pada bulan November dan begitulah seterusnya.

Berdasarkan harga pasaran minyak dunia ketika ini yang menunjukkan kecenderungan untuk terus menurun, adalah dijangkakan harga petrol Ron95 dan diesel yang bakal ditetapkan pada 1 Disember nanti adalah lebih rendah berbanding RM2.30 dan RM2.20 yang dinikmati sekarang.

Bagaimanapun, oleh kerana penentuan harga masih dalam konteks apungan terkawal dan bukannya secara bebas ditentukan oleh syarikat minyak berdasarkan  paras siling, berapa banyak penurunan itu masih lagi bergantung kepada kuasa kerajaan menentukannya.

Tetapi dengan penghapusan subsidi ini juga, sekiranya harga minyak dunia meningkat, maka kita terpaksa membayarnya dengan harga yang lebih mahal juga.

Penghapusan subsidi ini bermakna tiada lagi gred minyak yang berbeza untuk orang kaya dengan orang miskin dan antara warganegara dan rakyat luar. Ketika berada di stesen minyak, semua orang sudah sama tarafnya dan pastinya orang yang kurang berada berasa lebih bangga dan tidak lagi rendah diri berbanding mereka yang selama ini menggunakan Ron97 tanpa subsidi.

Barangkali satu-satunya kejayaan yang boleh dibanggakan dengan penghapusan subsidi ini ialah orang miskin sudah boleh berlagak macam orang kaya.

Ketika harga minyak dunia masih rendah, harga tanpa subsidi ini mungkin agak menggembirakan tetapi ia akan memberi kesan apabila harganya meningkat nanti. Kerajaan bakal berhadapan kecaman yang lebih serius, bahkan mungkin akan ada yang menuntut supaya sistem subsidi dikembalikan semula.

Bagi kerajaan pula, dengan tidak membayar lagi subsidi petrol dan diesel sudah tentulah menjimatkan perbelanjaan yang ditanggungnya. Mengikut apa yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan ketika kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen pada 1 Oktober lalu, jumlah subsidi yang ditanggung oleh kerajaan pada tahun lepas ialah RM24 bilion setahun, manakala tahun ini pula dijangka antara RM21 hingga RM22 bilion setahun atau dengan kata lain kira-kira RM2 bilion sebulan.

Menurut Ahmad Maslan yang bangga dengan CGPA 3.85 yang dicapainya, subsidi RM2 bilion sebulan itu "hangus terbakar" begitu saja sedangkan dengan jumlah yang sama boleh membina 2000 dewan orangramai berharga RM1 juta di 2000 buah kampung, empat universiti sebulan dengan harga RM500 juta sebuah (48 universiti setahun) dan 2000 kilometer jalan kampung di Sabah dan Sarawak.

Namun, amatlah sedih dan malangnya, kata timbalan menteri itu lagi, semua projek pembangunan seumpama itu tidak dapat dilaksanakan oleh kerajaan disebabkan terpaksa membayar subsidi yang akhirnya "hangus terbakar gitu-gitu saja".

Nah, dengan keputusan kerajaan menghapuskan subsidi  petrol serta diesel dan dapat menjimatkan RM2 bilion sebulan ini, adalah diharapkan kerajaan segera menunaikan iltizam pembangunan yang didakwanya terhalang selama ini semata-mata kerana beban subsidi itu.

Moga selepas ini rancaklah pembangunan di seluruh negara dengan pembinaan dewan-dewan dan jalan-jalan kampung yang lebih merata. Semoganya juga, di kawasan Parlimen Pekan yang diwakili oleh Najib Razak dan Pontian yang diwakili oleh Ahmad Maslan, lebih banyak pembangunan dicurahkan dan makin berkurangan penduduknya yang miskin.

Dalam masa yang sama, sebagaimana yang dinyatakan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam reaksinya mengenai penghapusan subsidi ini, adalah diharapkan juga kerajaan segera mengumumkan penghapusan cukai eksais kereta secara berperingkat-peringkat agar rakyat dapat menikmati harga kenderaan yang lebih murah sebagaimana negara-negara lain.

Selama ini, katanya kerajaan sering berdalih untuk menghapuskan cukai eksais itu dengan alasan rakyat sudah pun menikmati subsidi petrol dan diesel yang tinggi.

Beliau menjangkakan, jika cukai itu tidak dihapuskan, kerajaan akan mengutip sekitar RM17.3 bilion pada tahun depan tanpa sedikit pun ianya dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk subsidi.

Berdasarkan hakikat ini, jika jumlah cukai ini dicampur dengan beban subsidi yang dapat dijimatkan, kerajaan sebenarnya mempunyai lebih banyak wang dalam genggamannya. Jumlah itu tentunya bertambah lagi kiranya dicampur lagi dengan tambahan pendapatan melalui cukai GST yang mula dikuatkuasakan pada April 2015 nanti.

Persoalannya, ke manakah perginya lebihan wang itu nanti? Adakah pembangunan dan keselesaan rakyat yang bertambah atau pembaziran dan kemewahan pemimpin yang kian meningkat? (SH 22/11/2014)

Friday, 21 November 2014

Khalid Dan Faekah Paling Bertanggungjawab Dalam Pemberian Ganjaran RM2.6 Juta


Isu pampasan bernilai RM2.6 yang dibayar oleh Perbadanan Menteri Besar atau MBI kepada lapan bekas kakitangan Khalid Ibrahim terus menjadi perbualan hangat setelah Azmin Ali mengakui wujud salah laku dalam pemberian itu.

Menurut Azmin, salah laku itu bukan saja wujud dari segi jumlah pampasan yang diberi tetapi juga kerana prosesnya yang dilakukan secara serta-merta turut menimbulkan keraguan.

Kita tidak akan sembunyikan fakta, malah tidak akan berkompromi dengan salah guna kuasa, tegas Menteri Besar itu lagi.

Sementara Azmin menyerahkan kepada pengurusan baru MBI yang dijangka memulakan tugas pada 1 Disember ini untuk mengambil tindakan sewajarnya, di media-media sosial pula telah bertebaran maklumat mengenai nama penerima dan jumlah ganjaran yang masing-masing terima.

Jumlah yang terpapar itu jelas sangat tinggi, tidak berpatutan dan tidak pernah berlaku dalam sebelum ini di mana-mana kerajaan negeri. Kakitangan menteri di peringkat pusat juga tidak pernah diberikan ganjaran atau pampasan apabila menamatkan perkhidmatan.

Jika sebelum ini Khalid Ibrahim ada mempertahankan pemberian ganjaran itu sebagai mengikut prosedur dan mirip skim VSS, hakikat yang menjadi bualan pula ialah lapan kakitangan itu bukannya diberhentikan tetapi mereka sendiri meletakkan jawatan sebelum Azmin mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor.

Tarikh keputusan pampasan itu dibuat juga ialah pada 22 September, iaitu sehari sebelum Azmin menerima watikah perlantikannya daripada Sultan Selangor pada 23 September.

Dengan ini, jelas membuktilan bahawa pemberian ganjaran itu dilakukan secara tergesa-gesa sebelum Khalid Ibrahim meninggalkan pejabatnya serta tidak ubah seperti "rompakan wang rakyat di siang hari".

Seperti pendedahan Khalid Samad dua hari lalu, empat Exco Pas yang bersama Khalid sebenarnya tidak pernah diminta menyetujui pemberian ganjaran itu, sebaliknya hanya dimaklumkan saja mengenainya.

Dalam hal ini, Khalid bukan saja mahukan isu pemberian ganjaran itu dibawa ke pendengaran Selcat, malah juga kepada SPRM untuk tindakan sewajarnya.

Berdasarkan rentetan ini, pemberian ganjaran itu adalah idea, kehendak serta kelulusan MBI sepenuhnya yang pengerusinya ialah Khalid Ibrahim serta CEOnya ialah Faekah Husin yang juga merupakan penerima ganjaran paling besar daripada jumlah RM2.6 juta itu. Dua lagi Ahli Lembaga Pengarah MBI ialah Setiausaha Kerajaan dan Pegawai Kewangan Negeri.

Selain berusaha mendapatkan kembali wang tersebut, Khalid dan Faekah, dua individu paling berkuasa dan berpengaruh dalam MBI, haruslah juga disiasat atas salah laku ini dan seterusnya jika terdapat bukti yang mencukupi, hendaklah dibawa ke muka pengadilan bagi tindakan dan hukuman yang sewajarnya.

Kedua-dua Ahli Lembaga Pengarah lain yang merupakan pegawai tinggi dalam kerajaan negeri juga seharusnya turut disiasat tentang bagaimana mereka menyetujui pemberian yang tidak wajar itu.

Ketegasan Azmin dalam menyelesaikan dan mengambil tindakan dalam isu ganjaran ini merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu, bukan saja oleh pengundi Selangor, malahan rakyat seluruh negara. 

Kenyataan dan pendirian Azmin dalam isu ini amat dialu-alukan oleh semua pihak dan ramai yang tidak sabar menunggu keadilan dan kebenaran ditegakkan.

Inilah peluang Azmin dan kerajaan PR Selangor mengangkat lagi imejnya di mata rakyat dengan ketegasan dan ketelusan serta sekurang-kurangnya membuktikan Khalid dan konco-konconya tidaklah sebersih yang cuba digambarkan oleh mereka yang taksub dengannya selama ini. (21/11/2014)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...