Tuesday, 31 May 2016

HIDUP MELAYU PAS UMNO


Selama ini, Pas selalu berbangga dengan perjuangan Islam yang dibawanya dan menolak sama sekali sebarang bentuk pengagungan terhadap bangsa.

Bagi Pas, perjuangan mengenai bangsa adalah assabiyah dan tidak termasuk dalam senarai yang dibenarkan oleh Islam.

Malah, kerap juga kita mendengar, di akhirat nanti yang ditanya malaikat ialah keIslaman seseorang dan bukan sama ada seseorang itu Melayu, Cina, India atau  sebagainya.
Sebab itu, jubah dan kopiah putih adalah tradisi pakaian yang amat dibanggakan dalam Pas kerana ia dilihat lebih melambangkan keIslaman yang tiada tolok bandingnya berbanding berbaju Melayu dan bersampin.

Tetapi sejak berbaik-baik dengan UMNO, Pas nampaknya sudah mula berbeza.

Buat pertama kali di Muktamar Pemuda Pas yang berlangsung di Kelantan, ciri-ciri pakaian Melayu telah ditampilkan. 
Pimpinan Pemuda Pas, Nik Abduh Nil Aziz dan lain-lain barisan kepimpinannya tampil segak dengan pakaian seperti pahlawan Melayu, siap dengan tanjak dan keris terselit di pinggang.

Mujur tidak ada adegan cium keris, kalau tidak, sebiji macam Pemuda UMNO.

Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden Pas yang menjadi perasmi muktamar juga hadir lengkap sepersalinan bak Pahlawan Melayu zaman dulu-dulu.
Sebelum ini, jika kita masih ingat,  Hadi Awang juga rela berpakaian Melayu merah jambu sedondon dengan Najib Razak di sebuah majlis multaqa ulama sedangkan selama ini pakaian yang menjadi kebiasaan Presiden Pas ialah jubah yang kerapkali  dipakai bersama kot berwarna gelap.

Apa sudah jadi kepada Pas sebenarnya? Kenapa baru sekarang mahu menunjuk ciri-ciri keMelayuan sedangkan berpuluh-puluh tahun lamanya hanya ciri Islam yang ditekankan?

Apa tujuan perubahan ke arah Melayu ini dilaksanakan? 

Tidak memadaikan dengan Islam saja dijadikan modal dendangan dalam perjuangan, lalu soal bangsa juga mahu diheret sama?

Apakah Pas akan mula menyeimbangkan resepi  agama dan assabiyah dalam hidangan perjuangannya selepas ini atau sewalnya bermula di Sungai Besar dan Kuala Kangsar?
Mungkinkah selain Allahu Akbar, kita juga bakal mendengar laungan Hidup Melayu di mana-mana program Pas tidak lama lagi?

Akhirnya, mana satu slogan yang betul - "Pas ganti UMNO" atau "Pas bersama UMNO?" (SH 31/05/2016).

PILIHAN PALING SESUAI - PKR DI SUNGAI BESAR, AMANAH DI KUALA KANGSAR


Di Sungai Besar, UMNO terlebih dahulu mengumumkan nama calonnya dengan menamakan Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zuhdi untuk bertanding dalam pilihanraya kecil yang akan diadakan pada 18 Jun depan.

Kemudian Pas mengumumkan  Adun Meru, Dr Rani Osman sebagai ayam tambatannya untuk bertanding di kerusi Parlimen tersebut.

UMNO letak Adun, Pas pun ikut letak Adun.

Di Kuala Kangsar pula, Pas yang lebih dahulu mengumumkan seorang wanita iaitu Dr Najihatussalehah Ahmad sebagai calonnya.

Apabila UMNO mengumumkan calonnya, mereka juga memilih seorang wanita iaitu Mastura Mohd Yazid, balu Wan Khairil Wan Ahmad untuk dipertaruhkan bertanding di kerusi yang pernah diisi oleh suaminya sejak 2013 yang lalu.

Pas letak wanita, UMNO juga ikut letak wanita.

Mula-mula Pas tiru UMNO, kemudian UMNO pula tiru Pas.

Secara formal tidak ternampak wujud kerjasama antara kedua-dua parti itu, tetapi dalam soal calon seperti tersirat elemen senada, seirama dan saling bahu membahu antara Pas dan UMNO.

Meletakkan Dr Rani dan Dr Najihatussalehah, kedua-duanya orang luar Sungai Besar dan Kuala Kangsar sedangkan ada calon tempatan yang lebih sesuai, memperlihatkan Pas hanya ingin memecahkan undi dan bukan untuk menang kerusi.

Di Sungai Besar, jika pun Pas ingin meletakkan Adun juga sebagai calonnya, memilih Salehan Mukhyi, wakil rakyat Sabak yang berjiran sebelah dengan Sungai Besar adalah lebih tepat berbanding Dr Rani yang didatangkan lebih jauh iaitu dari Meru.

Begitu juga di Kuala Kangsar, memilih Raja Ahmad Iskandar Raja Yakob, Yang Dipertua Pas kawasan tersebut sebagai calon akan memberi banyak kelebihan kepada Pas jika dibandingkan dengan Dr Najihatussalehah yang berasal dari Pasir Salak.

Tetapi Pas seperti menolak untuk meletakkan calon yang boleh menang di kedua-dua kawasan itu.

Bermakna sekarang pertandingan tiga penjuru tidak lagi dapat dielakkan. Hanya menunggu Pakatan Harapan saja yang belum mengumumkan siapa calonnya.

Adakah Amanah akan bertanding di kedua-dua kerusi itu atau salah satunya akan ditandingi oleh PKR?

Melihat kepada calon UMNO dan Pas yang diketengahkan, peluang Pakatan Harapan untuk menang adalah terbuka di kedua-dua kawasan itu dengan syarat dapat meletakkan calon yang betul dan memastikan undi bukan Melayu benar-benar berpihak kepada mereka.

Berdasarkan UMNO meletakkan Budiman dan Pas meletakkan Dr Rani di Sungai Besar, seiring dengan Pas pula menjadi sebahagian daripada komponen dalam kerajaan negeri, maka lebih sesuai jika PKR bertanding di situ.

Walaupun berlaga sesama sendiri, ia akan memberi kelebihan kepada PKR kerana kerajaan negeri Selangor sedang diketuai Azmin daripada parti tersebut. Meletakkan calon PKR juga seolah-olah untuk menambah seorang lagi wakil kerajaan negeri untuk  bersuara di dalam Parlimen.

Ditambah dengan salah satu DUN dalam Sungai Besar sudah pun dikuasai oleh DAP melalui Adunnya, Ng Suee Lim, kelebihan mendapatkan undi bukan Melayu yang berjumlah 33 peratus nyata berpihak calon PKR yang mewakili Pakatan Harapan.

Namun demikian, sekiranya Amanah mahu diberi peluang bertanding di Sungai Besar, maka parti itu mesti meletakkan kalangan pemimpin utamanya sebagai calon. Lebih baik dan ternampak keberanian jika Mohamad Sabu sendiri yang bertanding.

Di Kuala Kangsar, sebagaimana yang sudah dimaklumi bahawa calon BN, Mastura Mohd Yazid sudah mula dilihat sebagai beban dan mendatangkan banyak masalah, manakala calon Pas pula bukan dipilih untuk menang, ia memberi umpama tuah terbuka buat Pakatan Harapan.

Calon yang paling sesuai mewakili Pakatan Harapan di kawasan itu ialah Nizar Jamaluddin, bekas Menteri Besar Perak sebelum ini. Beliau dikenali ramai di seluruh Perak dan ada rekod kerja sebagai pemimpin yang cukup membanggakan.

Dengan Mastura berasal dari Negeri Sembilan, malah masih ahli UMNO Chembong dalam bahagian Rembau,  Dr Najihatussalehah dari Pasir Salak dan Nizar sebagai Adun Changkat Jering, bekas Menteri Besar Perak itu ternyata lebih hampir dengan Kuala Kangsar berbanding pesaing-pesaingnya.

Calon yang betul, kelemahan calon lawan, kedudukan Pas yang bukan lagi pembangkang berwibawa, banyaknya isu berkaitan Najib Razak yang boleh dimanfaatkan sebagai bahan kempen serta bantuan kempen oleh Tun Mahathir dan grup Selamatkan Malaysia, kecuali memang sudah ditakdirkan Tuhan,  di atas kertas semua kelebihan adalah berpihak kepada Pakatan Harapan sama di Sungai Besar mahu pun di Kuala Kangsar. (SH 31/05/2016).

Monday, 30 May 2016

KALAU PUN MENANG, MASTURA HANYA BOLEH BERFUNGSI SEBAGAI WAKIL RAKYAT SELEPAS PERTENGAHAN SEPT.


Sekarang ini semua orang sudah mengakui calon BN di Kuala Kangsar, Mastura Mohd Yazid terikat dengan pantang larang edah selama 4 bulan 10 hari.

Mastura sendiri mengatakan beliau akur dengan hukum Islam itu dan tidak akan sesekali turun berkempen. 

Harussani Zakaria, Mufti Perak turut memberitahu, walaupun boleh bertanding tetapi Mastura tetap tidak boleh keluar rumah untuk menyertai mana-mana program kempen.

Tetapi dengan kecanggihan teknologi, kekangan edah untuk beliau berkempen sudah pun dikira selesai di mana penggunaan multimedia dan rakaman video akan digunakan sebagai caranya berhubung dengan pengundi dan jentera pilihanraya di pusat-pusat daerah mengundi.

Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa juga mengatakan Mastura tidak perlu hadir pada hari penamaan calon kerana ia bukan suatu kewajipan, sebaliknya sudah memadai dengan kehadiran penyokong dan pencadangnya sahaja.

Namun demikian, berdasarkan tempoh edah selama 4 bulan 10 yang terus terkena kepada Mastura, halangan seterusnya ialah sekiranya beliau menang pada pilihanraya 18 Jun nanti.

Suaminya, Wan Khairil Wan Ahmad terbunuh dalam nahas helikopter di Sarawak ialah pada 5 Mei lalu dan ini bermakna tempoh edahnya hanya akan berakhir pada pertengahan September nanti.

Walaupun menang, Mastura sebenarnya masih tidak boleh keluar rumah bertemu rakyat dan rakyat juga terus terhalang untuk berjumpa dengannya sehingga tempoh edahnya berakhir pada pertengahan September itu.

Secara langsung, meskipun menang dan pengundi Kuala Kangsar sudah memilihnya sebagai wakil rakyat pada 18 Jun ini, mereka mesti menunggu sehingga pertengahan September untuk berjumpa atau menjemputnya menghadiri pelbagai program di kawasan itu.

Bererti, seandainya pengundi memberi kemenangan kepada Mastura pada 18 Jun ini, dalam tempoh kira-kira tiga bulan selepas itu, tidak akan ada kelibatnya di mana-mana majlis kenduri, kematian, banjir atau apa saja program.

Soalnya, adalah pengundi Kuala Kangsar akan menjadi terlalu baik hati memilih calon wakil rakyat yang hanya dapat memberikan khidmatnya pada pertengahan September nanti atau mengundi calon lain yang terus dapat memberikan perkhidmatanya sebaik saja kemenangan diumumkan pada malam 18 Jun nanti? SH 30/05/2016)

BELUM TERLAMBAT UNTUK MASTURA TARIK DIRI BAGI ELAKKAN BN KALAH DAN NAJIB TERUS DILEMAHKAN


Berbanding pemilihan Budiman Mohd Zohdi sebagai calon BN di Sungai Besar yang tidak menimbulkan banyak isu, kecuali kedudukannya yang sudah menjadi Adun sedikit dipertikaikan, tetapi keputusan mencalonkan Mastura Mohd Yazid untuk bertanding di Kuala Kangsar dilihat sebagai pemilihan terburuk sepanjang sejarah UMNO sejak ia ditubuhkan.

Bukan saja kedudukannya sebagai balu Wan Khairil Wan Ahmad yang baru meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sarawak menjadi pertikaian kerana seolah-olah kerusi Ahli Parlimen merupakan harta warisan keluarga yang boleh difaraidkan, malah pemilihannya juga menggambarkan tiada yang layak di kalangan pimpinan UMNO bahagian Kuala Kangsar yang selama ini merekalah bersengkang mata dan banyak berkorban membawa obor perjuangan.

Lebih memburukkan lagi ialah kerana Mastura juga didapati ahli dan Ajk UMNO cawangan Chembong, dalam bahagian Rembau, Negeri Sembilan.

Sudahlah pimpinan UMNO bahagian diketepikan, anak tempatan Kuala Kangsar dan anak kelahiran Perak juga nampaknya turut tidak dijadikan pertimbangan untuk dijadikan calon.

Semua ini memungkinkan berlakunya rasa tidak puas hati, sabotaj, memulaukan kempen, tidak turun mengundi dan sebagainya daripada kelompok UMNO sendiri.

Ditambah lagi kedudukan Mastura yang masih dalam edah dan tidak boleh keluar rumah untuk berkempen serta bertemu pengundi, pemilihan beliau sebagai calon benar-benar kelihatan cacat serta menjejaskan peluang untuk meraih kemenangan.

Sedikit sabotaj atau tidak turun mengundi daripada kelompok yang rapat dengan UMNO Bahagian Kuala Kangsar saja sudah memadai untuk memungkinkan BN kecundang kepada pihak lawan pada 18 Jun nanti, lebih-lebih lagi kemenangan pada 2013 lalu hanyalah 1,082 undi sahaja.

Kekalahan BN di Kuala Kangsar tidak dapat dielakkan akan memberi kesan buruk kepada imej Najib yang sudah sedia dibelit dengan pelbagai isu kebelakangan ini.

Najib sendiri diketahui amat mengharapkan kemenangan di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, tidak saja untuk menjadi sedikit penawar bagi memulihkan imejnya, tetapi juga sebagai persediaan memacu persaingan dalam PRU 14 akan datang.

Malangnya, semua harapan Najib itu akan musnah jika BN kalah sama ada di Kuala Kangsar atau Sungai Besar atau di kedua-duanya.

Lebih mengaibkan jika kekalahan itu hanyalah disebabkan pemilihan calon yang tidak cermat dan tidak tepat sehingga timbul terlalu banyak isu yang akhirnya pengundi membuat keputusan tidak memberikan undi mereka.

Berdasarkan respon awal daripada beberapa pihak di Kuala Kangsar, isu utama di kalangan UMNO ialah berkaitan pemilihan calon. Isu-isu lain hampir tidak berbangkit sama sekali.

Ramai yang menolak dan tidak bersetuju dengan pencalonan Mastura atas kedudukannya sebagai balu wakil rakyat terdahulu dan mereka mahukan anak tempatan atau sekurang-kurangnya orang Perak juga sebagai calon.

Pemilihannya sebagai calon yang pada awalnya dijangka mampu meningkatkan rasa simpati pengundi, kini beransur-ansur membesar dengan bayangan perasaan tidak puas hati, marah, kecewa dan luka sehingga harapan untuk menang semakin jauh daripada gapaian.

Kekalahan BN tentu saja akan menjadikan kedudukan Najib terus dilemahkan menjelang pilihanraya akan datang, sama ada melalui serangan pembangkang yang bergabung bersama Tun Mahathir atau dengan kemungkinan munculnya gerakan daripada dalam UMNO sendiri.

Dalam soal ini, Mastura harus ada pertimbangan yang rasional dan tidak membiarkan dirinya menjadi penyebab untuk menjadikan kedudukan seorang Perdana Menteri terus dilemahkan.

Jika dahulu beliau selalu menemani Wan Khairil untuk berkempen dan bertemu pengundi dengan tujuan bahawa kemenangan suaminya akan menambah-kukuhkan UMNO, Mastura kini sebaliknya mampu mengukuhkan UMNO dan kedudukan Najib serta  memberi lebih cahaya kepada kemenangan BN di Kuala Kangsar dengan segera menarik diri daripada bertanding sebelum penamaan calon pada 5 Jun depan.

Kembalikanlah segera watikah pencalonan yang sudah diterima dan biarlah UMNO Perak memutuskan semula calon baru yang lebih sesuai yang tidak lagi menyebabkan timbulnya isu edah, kesukaran berkempen sehingga terpaksa menggunakan kaedah multimedia, isu calon luar, jawatan wakil rakyat difaraidkan, rasa tidak puas hati pengundi, kemungkinan sabotaj di kalangan UMNO sendiri dan sebagainya.

Tanpa semua isu dan elemen negatif itu, calon BN yang baru nanti pasti lebih berpeluang untuk mengekalkan kerusi Kuala Kangsar, malah tidak mustahil dengan majoriti yang lebih baik lagi dan seterusnya mengelakkan nama Najib dipertaruhkan untuk lebih diaib serta dijatuhkan.

Berbeza dengan Budiman yang boleh meneruskan perjuangannya di Sungai Besar kerana tidak banyak isu yang timbul berkaitan dirinya yang boleh menjejaskan harapan mencapai kemenangan, Mastura sebaik-baiknya harus melakukan sedikit pengorbanan demi masa depan UMNO dan Najib.

Inilah masanya untuk membuktikan "Love PM" bukan sekadar kata-kata di depan Najib semata-mata. (SH 30/05/2016).

Sunday, 29 May 2016

SEMUA INI HANYA WAYANG


Satu demi satu menteri kabinet daripada parti komponen BN mengugut mahu meletakkan jawatan daripada kerajaan sekiranya usul persendirian Hadi Awang yang bertujuan meningkatkan taraf Mahkamah Syariah diluluskan oleh Parlimen.
Mula-mula ia dilontarkan oleh Presiden MCA, Liow Tiong Lai dan Presiden Gerakan, Mah Siew Keong.

Kemudian Presiden MIC, S Subramanian menyertai Liow dan Mah untuk turut mengambil tindakan yang sama sebagai protes terhadap usul tersebut.

Terbaru, dua lagi anggota kabinet daripada MCA iaitu Wee Ka Siong dan Ong Ka Chuan serta seorang timbalan menteri, Chew Mei Fun juga menyatakan komitmen untuk sama-sama meletakkan jawatan mereka.
Walaupun telah diberitahu melalui kenyataan Najib Jumaat lalu bahawa usul Hadi Awang itu bukan usul hudud, para pemimpin komponen BN nampaknya lebih percaya bahawa kelulusan usul tersebut adalah langkah awal ke arah perlaksanaan undang-undang Islam itu di Kelantan.

Malangnya, di sebalik mengugut mahu meletakkan jawatan itu, tiada pula ternampak hasrat mereka untuk membawa keluar parti masing-masing meninggalkan BN.

Jika benar marah kepada kerajaan dan kerana usul Hadi Awang itu dilihat menggambarkan wujudnya kerjasama antara UMNO dengan Pas untuk melaksanakan hudud, mengapa mereka tidak mahu keluar BN?
Sebenarnya semua ini  hanya wayang untuk menjaga penyokong masing-masing menjelang pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun depan.

Dalam masa yang sama, tidak kedengaran pula pemimpin-pemimpin UMNO menempelak ugutan yang dilakukan oleh menteri-menteri bukan Islam yang mahu meletakkan jawatan itu.

Pas sebagaimana biasa, lebih menyalahkan dan memarahi DAP berbanding MCA, MIC dan Gerakan berkaitan usul berkaitan hudud itu.

Ya, semuanya adalah wayang belaka di mana masing-masing sedang melakukan pementasan untuk kepentingan penyokong masing-masing yang kesudahan ceritanya hudud tetap tidak ke mana-mana.

Panjang umur sama-samalah kita saksikannya. (SH 29/05/2016).

TUMPOR YEOP, AHLI UMNO NEGERI SEMBILAN TANDING DI KUALE KANGSOR....


Maklumat yang diterima lewat malam tadi mengatakan calon BN pada pilihanraya kecil Kuala Kangsar iaitu Mastura Yazid, balu Wan Khairil Wan Ahmad, adalah ahli dan AJK UMNO cawangan Chembong dalam bahagian Rembau, Negeri Sembilan.

Ini bermakna, buat pertama kalinya, bukan saja ahli UMNO di luar Kuala Kangsar, bahkan daripada luar negeri Perak dipilih sebagai calon untuk bertanding di kawasan tersebut.

Tiadakah seorang pun daripada ribuan ahli UMNO Kuala Kangsar yang  sesuai untuk dijadikan calon?

Tiadakah juga seorang daripada ratusan ribu ahli UMNO daripada 24 Bahagian di seluruh Perak yang layak untuk dipertimbangkan menjadi Ahli Parlimen Kuala Kangsar?

Kalau pun pemilihan Mastura kerana beliau seorang profesional, apakah di Kuala Kangsar dan Perak tiada seorang pun yang berkelulusan tinggi begitu?

Berbeza dengan parti-parti lain, UMNO adalah parti yang bersifat tempatan dan menguasai kerajaan dan oleh yang demikian, ia mempunyai struktur yang lengkap di setiap bahagian bagi mengisi pelbagai ruang dan peluang yang sudah tersedia sebagai sebuah kerajaan.

Parti-parti lain, disebabkan mereka tidak bermula sebagai sebuah kerajaan, maka soal calon tempatan atau calon luar tidak pernah berbangkit sama sekali.

Mereka yang berjuang atau bersengkang mata dalam UMNO, selain untuk mengekalkan kuasa, matlamat lain juga ialah untuk mengejar kedudukan sebagai wakil rakyat, exco kerajaan negeri, timbalan menteri, menteri serta pelbagai nikmat lain yang ada dalam pentadbiran kerajaan negeri mahu pun pusat.

Lantaran itu, dalam soal pemilihan calon wakil rakyat, adalah kelaziman ahli daripada bahagian itu sendiri yang akan dipilih. Kalau pun calon tersebut daripada luar, ia biasanya masih daripada negeri yang sama.

Hanya dalam kes-kes terpilih seperti Syed Hamid Albar dan Aziz Shamsuddin misalnya, pernah berlaku orang negeri lain bertanding di negeri lain. Syed Hamid ketika mula bertanding di Kota Tinggi adalah pemimpin UMNO di Bukit Bintang, tetapi kemudian terus berpindah keahlian ke Kota Tinggi. Aziz Shamsuddin pula dari Gopeng bertanding di Shah Alam.

UMNO memang merasakan hak untuk bertanding di sebuah DUN atau Parlimen atau hak ahli bahagian tersebut. Kecuali dalam kes-kes tertentu dan jarang-jarang berlaku, calon daripada luar yang dipilih sebagai calon.

Sebab itu, boleh dikatakan 99 peratus calon-calon UMNO dalam pilihanraya adalah orang tempatan, baik yang berjawatan dalam parti mahupun daripada kalangan yang agak dikenali oleh masyarakat setempat.

Lebih-lebih lagi dalam pilihanraya kecil, anak tempatan lazimnya lebih diutamakan kerana merekalah yang lebih tahu dan faham segala-galanya tentang kawasan yang mereka bertanding itu.

Sekiranya benar Mastura masih ahli UMNO dalam bahagian Rembau, ini adalah anjakan paradigma yang mengkagumkan sekali, bukan saja buat UMNO Kuala Kangsar tetapi juga buat UMNO Perak secara keseluruhannya.

Untuk masa-masa akan datang, oleh kerana UMNO Perak mempunyai 24 bahagian dan lebih besar daripada Negeri Sembilan yang ada 8 bahagian, mereka bukan saja boleh terus menerima kehadiran calon-calon luar, bahkan juga mesti mampu mengekspot anak jatinya sendiri bertanding di negeri-negeri lain.

Kalau tidak, naya orang Perak dan Kuale Kangsor yeop..tumpor le kite...

Atau mungkinkah Tengku Adnan Tengku Mansor, Setiausaha Agung UMNO akan segera melakukan "silap mata" mengenai keahlian UMNO Mastura? (SH 29/05/2016).

MEMANG SAH-SAH GILA - ADA JALAN SENANG, PILIH JALAN SUSAH

UMNO akhirnya seperti mengakui kesilapannya dalam memilih Mastura Yazid, balu Allahyarham Wan Khairil Wan Ahmad sebagai calon dalam pilihanraya kecil Kuala Kangsar pada 18 Jun depan berikutan timbulnya isu edah yang hangat diperkatakan ramai sejak nama beliau diumumkan.

Blog ini sendiri mengatakan tindakan memilih Mastura itu sebagai "keputusan gila" yang seolah-olah tiada calon lain yang boleh diketengahkan, sambil ternampak keinginan yang terlalu besar untuk meraih rasa simpati daripada pengundi demi memastikan kemenangan dapat dikekalkan.

Berikutan itu, Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa menyatakan, sebagai menghormati hukum Islam itu, kaedah multimedia akan digunakan sepanjang berkempen antara Mastuta dengan jentera pilihanraya dan pusat-pusat daerah mengundi.

"Kita pun tak pernah ada pengalaman guna kaedah seperti itu, tetapi saya fikir dengan adanya media baru dan konsep multimedia, ia dapat digunakan untuk menyampaikan apa juga mesej yang diperlukan.

"Dalam majlis-majlis tertentu pula, kita boleh gunakan  konsep "persidangan video"  bagi tujuan kempen, asalkan ia tidak melanggar hukum agama," katanya lagi.

Mastura pula memohon maaf kepada seluruh jentera parti kerana tidak dapat terlibat dalam kempen sepanjang pilihanraya ini berikutan larangan edah selama empat bulan sepuluh hari yang ditetapkan oleh Islam itu.

Exco Pemuda UMNO, Dr Fathul Bari melalui laman sosial Facebooknya mencadangkan agar anak Mastura dijadikan ganti untuk berkempen dan bertemu pengundi bagi menggantikan ibunya yang masih dalam tempoh edah itu.

Selepas ini, pasti ramai lagi pemimpin UMNO yang tampil menyatakan bahawa Mastura tidak perlu turun berkempen pun untuk pilihanraya dan semua jentera parti sedia melakukannya tanpa kehadiran beliau.

Bermakna dalam pilihanraya kecil Kuala Kangsar ini, Mastura tidak akan  muncul sama sekali di khalayak awam, kecuali melalui kaedah persidangan video, tayangan melalui layar atau pengundi hanya dapat menatap poster-poster wajahnya sahaja.

Mengengkari ketetapan edah itu bermakna Mastura telah melanggar hukum Islam dan sebagai calon UMNO yang membawa imej perjuangan untuk agama, bangsa dan negara, perbuatan sedemikian, jika berlaku, tentu saja tidak boleh diterima sama sekali kerana seolah-olah hukum Tuhan tidak sepenting keduniaan.

Tetapi, dengan semua yang akan berlaku dalam kerja kempen itu di mana kempen terpaksa menggunakan multimedia, anaknya mewakili untuk bertemu pengundi dan sebagainya, maka sahlah UMNO "memang gila"  dalam membuat keputusannya memilih Mastura sebagai calonnya di Kuala Kangsar ini.

Lagi pun, bolehkah diyakini sepanjang 12 hari tempoh berkempen nanti tiada sekali pun Mastura keluar rumah untuk berkempen dan bertemu pengundi?

Pilihanraya apa namanya jika calon hanya duduk di rumah saja sepanjang masa?

Dalam hal ini, kenapa UMNO memilih jalan sukar dan berliku-liku sedangkan jalan mudah sedia terbentang di depan mata jika bukan Mastura dipilih sebagai calon?

Jika orang lain yang bertanding, kerja kempen tentunya dapat dijalankan secara normal sepertimana pilihanraya sebelum ini, tanpa perlu konsep multimedia, tayangan melalui layar atau anak sebagai wakil untuk berkempen.

Soalnya juga, adakah pengundi Kuala Kangsar dapat menerima cara kempen melalui multimedia saja sedangkan pencabar lain dapat menonjolkan calonnya secara nyata dan terang-terang di depan mata?

Selain itu, nak pakai konsep multimedia bagai untuk kempen, adakah internet di Kuala Kangsar sentiasa laju macam di kawasan Bangsar atau Bukit Damansara?

Itu belum lagi masalah-masalah lain yang akan timbul kemudian berikutan pengundi tidak dapat bertentang mata dengan nyata dan mengadukan masalah mereka secara terbuka kepada calon yang hendak mereka undi.

Apakah UMNO begitu darurat untuk meletakkan  Mastura satu-satunya tanpa kompromi sehingga menolak ke tepi semua nama-nama yang lain?

Apakah UMNO Perak begitu lekeh sehingga tiada calon lain di negeri itu yang layak diketengahkan dan mampu membawa kemenangan kepada BN di Kuala Kangsar?

Kalau pun kerusi itu mahu diserahkan kepada calon wanita, apakah Wanita UMNO Perak tidak mampu menonjolkan calon lain yang benar-benar berwibawa untuk mengekalkan kemenangan?

Dan jika pun terdesak sangat untuk meraih simpati pengundi, kenapa tidak dipilih saja salah seorang anak lelaki Wan Khairil sebagai calon berbanding balunya yang lebih wajib untuk menjaga edah dan kehormatan selepas kematian suami?

Bukankah itu lagi senang dan mudah, tiada kekangan edah dan tidak perlu pun menggunakan konsep multimedia atau sebagainya dalam kempen yang entah berkesan  entahkan tidak akhirnya nanti?

Pokoknya, pasti akan lebih banyak susah dan bakal bertimbun  masalahnya nanti. Semua masalah itu tidak akan wujud jika nama lain yang dipilih sebagai calon.

Sekali lagi, hanya yang "sah-sah gila"  saja suka memilih jalan susah berbanding jalan senang  untuk memenangi pilihanraya. (SH 29/05/2016).

Saturday, 28 May 2016

UMNO SEMAKIN GILA, BALU DALAM EDAH (HARAM KELUAR RUMAH) DIPILIH CALON PRK KUALA KANGSAR

Pemilihan Mastura Mohd Yazid, balu Wan Khairil Wan Ahmad sebagai calon BN di Kuala Kangsar benar-benar suatu pemilihan yang gila dan tidak masuk akal serta hanya berlaku di era Najib Razak sahaja.

Di mana agaknya UMNO meletakkan hukum Islam di sebalik keputusan memilih Mastura, seorang balu yang masih dalam edah, sebagai calonnya?

Tidakkah wanita yang baru kematian suami ada tempoh edahnya yang tertentu di mana mereka tidak boleh keluar rumah, kecuali untuk bekerja atau atas urusan lain yang dikategorikan sebagai darurat sahaja demi menjaga kehormatan mereka?

Wanita yang edah juga tidak dibenarkan menziarahi kematian orang lain, pergi ke majlis kenduri, berhias, memakai barang kemas dan sebagainya sepanjang dalam tempoh edah tersebut.

Dari segi budaya pula, edah turut dianggap tempoh berkabung sebagai tanda sedih atas kematian suami.

Jika wanita yang dalam edah tidak dibenarkan atau haram keluar rumah dan sebagainya kecuali darurat, jadi bagaimanakah Mastura yang pastinya akan keluar lebih daripada 12 jam sehari sepanjang tempoh  kempen nanti sedangkan beliau baru saja kematian suami pada 5 April lalu?

Yang Mastura pun satu hal, kenapa ghairah sama untuk dipilih sebagai calon BN?

Tidak simpatikah beliau kepada arwah suaminya di dalam kubur di mana ketika tanah kuburnya masih lagi merah, beliau bukan saja melanggar  hukum Islam yang wajib dipatuhi, malah akan selalu meninggalkan rumah semata-mata untuk bergelar Yang Berhormat, sama seperti jawatan suaminya dahulu?

Dalam hal ini, di manakah ulama-ulama dalam UMNO, apakah mereka sudah jadi bisu semata-mata bersetuju kerana melihat pemilihan Mastura mampu meraih simpati dan seterusnya membawa kemenangan kepada BN?

Apakah UMNO sudah benar-benar tiada calon lain yang lebih sesuai untuk diketengahkan sehingga balu yang dalam edah dan sepatutnya lebih sesuai duduk di rumah, dipilih sebagai calon?

Dalam maksud yang lebih jelas, balu yang dalam tempoh edah dikira haram bertanding kerana ia secara rela hati melanggar peraturan-peraturan edah itu sendiri seperti keluar rumah bukan kerana darurat, menghias diri, memakai barang kemas serta terlibat dengan percampuran yang lebih terbuka dengan kaum lelaki yang bukan muhrim.

Di dalam Al Quran, perkara mengenai wanita dalam edah ini disebut dalam Surah Al Baqarah ayat 228.

Sekali lagi, pemilihan Mastura ini ialah keputusan paling gila yang pernah dibuat oleh UMNO. Terbukti UMNO menjadi parti yang "sakit" sekarang ini. 

Pemilihan beliau sebagai calon adalah haram, bersetuju menerima sebagai calon juga haram, bahkan mengundinya boleh dikira sama hukumnya.

Kalau pun benar ingin sangat kepada kemenangan dan menjaga air muka Najib, apakah hukum Tuhan mahu diengkari?

Jika di Sungai Besar, seorang Adun dipilih bertanding untuk kerusi Parlimen sudah dianggap aneh, di Kuala Kangsar ini kegilaan dalam membuat memilih calon sudah sampai ke tahap tiada taranya lagi.

Lebih mendukacitakan, selain ramai tokoh-tokoh agama dan mufti dalam UMNO, pemilihan Mastura sebagai calon itu pula diumumkan oleh Zahid Hamidi, seorang yang diketahui ada asas pengetahuan agamanya. (SH 28/05/2016).

ADUN JADI CALON PARLIMEN DI SUNGAI BESAR, APAKAH KEDUDUKAN KETUA BAHAGIAN TIDAK BERNILAI?


Bukanlah amalan biasa bagi UMNO memilih seseorang yang sudah menjadi Adun bertanding di kerusi Parlimen, apatah lagi jika Ketua Bahagiannya tidak pernah bertanding sebelum ini.

Tetapi ia berlaku di Sungai Besar. UMNO meletakkan Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zuhdi untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun nanti, dalam masa yang sama mengenepikan Jamal Mohd Yunus, Ketua UMNO Bahagian yang masih muda dan tidak pernah bertanding di mana-mana kerusi sebelum ini.

Apakah Jamal tidak layak dan kedudukan Ketua Bahagian yang disandangnya tidak bernilai satu sen pun untuk dipertimbangkan sebagai calon?

Kalau pun bukan Jamal, tiadakah pemimpin lain di kalangan pimpinan UMNO Bahagian yang turut layak untuk diketengahkan, sehingga Budiman yang sudah pun menjadi Adun dipilih lagi bertanding untuk bergelar Ahli Parlimen pula?

Apakah UMNO sudah begitu ketandusan pemimpin? 

Jika dalam beberapa pilihanraya kecil sebelum ini, calon tempatan bukan daripada kalangan pemegang jawatan utama dalam UMNO boleh diketengahkan, kenapa formula yang sama tidak digunakan, kalau pun tidak mahu memilih Jamal atau pimpinan UMNO yang lain sebagai calon?

Dalam masa yang sama, apakah kelebihan yang rakyat atau pengundi perolehi dengan menjadikan seorang Adun sebagai Ahli Parlimen dalam waktu yang sama?

Bukankah jika orang lain yang dipilih oleh UMNO sebagai calon dan kemudian menang, bermakna pengundi Sungai Besar akan mendapat dua wakil rakyat yang berbeza dan ini lebih memberi manfaat kepada rakyat?

Tetapi, berbanding jika Budiman yang menang, rakyat tidak mendapat apa-apa kelebihan, melainkan hanya Budiman yang akan bergelar Adun dan Ahli Parlimen secara serentak.

Tulisan ini tidak sama sekali mempertikaikan kelayakan atau kemampuan Budiman. Beliau adalah rakan lama saya dan saya telah mengenalinya berbelas tahun yang lalu ketika beliau masih berkhidmat dengan Telekom Malaysia lagi.

Ketika itu beliau belum begitu aktif dalam UMNO Sungai Besar, tetapi Budiman selalu bercakap tentang cita-citanya dalam dunia politik, malah turut menyebut tentang pilihan lain jika gagal menyerlahkan bakatnya.

Beliau memang seorang yang baik, banyak idea, ada visi dan setelah bergelar wakil rakyat, selalu menampakkan dirinya turun padang serta membiasakan kedudukannya tidak berbeza dengan rakyat biasa.

Alhamdulillah, beliau kini adalah Naib Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dan Adun Sungai Panjang. Sekarang dipilih pula untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar.

Namun, tulisan ini ialah mengenai wajah UMNO di mata rakyat, harga diri seseorang yang berjawatan Ketua Bahagian serta kebarangkalian wujudnya elemen sabotaj oleh pemimpin parti sendiri terhadap beliau.

Di mata rakyat, UMNO seolah-olah tandus pemimpin dan rakyat akan melihat tidak ada kelebihannya bila seorang Adun dibebankan lagi dengan tugas sebagai Ahli Parlimen. 

Jika wujud eleman sabotaj, bersekali dengan sentimen anti Najib yang sedang marak berikutan skandal kewangan melibatkan dirinya, Budiman akan menjadi mangsa yang mungkin membunuh terus masa depannya dalam politik.

Ia juga memperlihatkan kedudukan Jamal sebagai Ketua Bahagian tiada nilai di mata pucuk pimpinan UMNO sedangkan beliau melakukan banyak usaha di peringkat nasional untuk membela dan mempertahankan Najib.

Kesian Jamal...

Jika pengundi inginkan seorang wakil rakyat lain yang mewakili kerajaan negeri pula untuk membela dan membolehkan mereka menumpang lebih banyak kasih,  calon Pakatan Harapan ada kelebihan untuk menang di Sungai Besar.

Ini kerana calon Pas juga seorang Adun iaitu Dr Rani daripada Meru, Kelang. Berbanding Budiman yang merupakan Adun dalam Sungai Besar, Dr Rani sebaliknya adalah orang luar.

Dengan sama-sama meletakkan Adun sebagai calon di Sungai Besar, tetapi merupakan orang luar, Pas ternyata secara halus sedang memberi kelebihan kepada UMNO yang mencalonkan Adun tempatan untuk memenangi kerusi tersebut sebagai balasan kerana memberi laluan kepada usul berkaitan hudud oleh Hadi Awang di Parlimen, Khamis lalu.

Kenapa Pas tidak meletakkan calon profesional atau ulama tempatan sendiri jika benar ingin memenangi kerusi Sungai Besar?

Mengapa seseorang daripada luar yang sudah bergelar wakil rakyat dan YB mahu dijadikan wakil rakyat dan YB sekali lagi?

Lantaran itu, jika Pakatan Harapan yang mewakili PKR, DAP dan Amanah meletakkan calon yang betul dan bukan daripada kalangan wakil rakyat juga, kelebihan akan memihak kepada mereka di Sungai Besar ini.

Dengan memilih calon Pakatan Harapan, ia bukan saja mewakili rakyat yang mahu memberi mesej penolakan terhadap Najib sebagaimana yang disebut oleh Tun Mahathir Mohamad, malah pengundi juga akan mendapat tambahan wakil rakyat baru yang mewakili kerajaan negeri pula. (SH 28/05/2016).

Friday, 27 May 2016

KEMENANGAN DI SUNGAI BESAR, KUALA KANGSAR AKAN DORONG NAJIB ADAKAN PILIHANRAYA SECARA MENGEJUT


Apakah pentingnya keputusan pilihanraya kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kepada masa depan Najib Razak?

Di sebalik hakikat bahawa kedudukan kerajaan Pusat tidak tergugat dengan kekalahan BN di kedua-dua kerusi tersebut, namun pentingnya keputusan di dua pilihanraya itu kerana ia adalah gambaran mesej penolakan atau penerimaan terhadap kepimpinan Najib yang semakin terbelit dengan banyak isu kebelakangan ini.

Meskipun pertandingan tiga penjuru semakin sukar dielakkan kerana Pas sudah menutup pintu rundingan dengan PKR dan dalam masa yang sama Hadi Awang sudah pun diberikan "hadiah" berupa kebenaran membentangkan usul persendirian berkaitan hudud di Parlimen, tetapi sebagaimana yang kerap disebut oleh Tun Mahathir Mohamad bahawa siapa juga calon yang menentang BN, mereka bukan lagi mewakili pembangkang, sebaliknya adalah mewakili rakyat.

Ini bermakna, dalam pertandingan tiga penjuru nanti, calon Pakatan Harapan adalah mewakili rakyat, manakala calon BN adalah mewakili masa depan Najib.

Calon Pas pula, walaupun berkedudukan sebagai pembangkang, tetapi akan dikenali sebagai pro Najib dan memusuhi Pakatan Harapan.

Dengan usul hudud yang diberi kebenaran, kempen Pas di dua pilihanraya ini adalah lemah lembut terhadap Najib dan UMNO, sebaliknya akan bertukar keras dan agresif terhadap Pakatan Harapan.

Oleh itu, sebarang keputusan, sama ada BN menang atau kalah, yang lebih terkesan dengannya ialah Najib.

Jika kalah di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, ia adalah mesej yang semakin jelas tentang penolakan daripada rakyat terhadap Najib. Untuk memulihkan kembali sokongan rakyat menghadapi PRU 14, cara yang paling mudah tentu saja Najib mesti diundurkan dengan seberapa segera.

Jika tidak, dengan Najib, UMNO dan semua pemimpinya sekali akan terkubur dalam pilihanraya umum nanti.

Tidak mustahil, kekalahan BN juga secara perlahan-lahan akan merangsang kumpulan Zahid Hamidi menerima hakikat bahawa Najib adalah beban yang tidak boleh diselamatkan lagi sebagaimana yang selalu disebut oleh Tun Mahathir, bahkan mungkin mula bertindak secara diam-diam untuk memberi lebih tekanan kepada pengunduran Perdana Menteri.

Kiranya calon BN menang di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, ia adalah kemenangan mutlak bagi Najib. Bukan saja Najib akan berbangga dengan kemenangan itu kerana menganggap sebagai penerimaan rakyat terhadapnya dan gambaran pengundi tidak terkesan dengan isu 1MDB, kekayaan keluarga, pembaziran, kemewahan dan wang RM2,600 juta dalam akaun peribadi, malah semua pemimpin UMNO yang sudah terhutang budi "cash is king"  akan lebih mendewa-dewakan lagi Najib.

Sebab itu, keputusan dua pilihanraya ini sangat penting bagi Najib. Demi pentingnya untuk menang itu jugalah yang menyebabkan Pas kini bagaikan sudah diikat untuk terus menjadi pengacau kepada Pakatan Harapan menjelang kira-kira seminggu sebelum hari penamaan calon diadakan.

Sekiranya model pertandingan tiga penjuru yang dijelmakan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar mampu memberi kejayaan kepada Najib, pastilah Pas akan terus dijaga dan digula-gulakan sehingga tarikh pilihanraya akan datang.

Yang lebih penting daripada itu, kemenangan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan membuatkan Najib tidak menunggu sehingga tahun 2018 untuk mengadakan pilihanraya umum.

Kemenangan di dua kerusi itu akan mendorong Najib untuk mengadakan pilihanraraya umum secara mengejut, mungkin sebelum berlabuhnya kalender 2016.

Untuk mencapai kemenangan dalam pilihanraya mengejut itu, Najib perlu mengadakannya dengan seberapa segera kerana di seluruh dunia sekarang ini sedang terbongkar satu demi satu kebobrokan mengenai 1MDB.

Daripada perbicaraan di Singapura, prosiding jenayah terhadap Bank BSI SA di Switzerland, penutupan cawangan BSI di Singapura sdhinggalah yang terbaru WSJ telah mendedahkan sepucuk surat daripada Bank Negara yang mengesahkan Good Star Ltd adalah milik Jho Low dan bukannya kepunyaan PetroSaudi.

Surat itu secara langsung mengesahkan penjelasan kerajaan bahawa Good Star adalah milik PetroSaudi dan tiada kaitan dengan Jho Low, sama sekali tidak benar dan merupakan suatu pembohongan.

Terdedahnya surat tersebut juga menyerlah sebab sebenar mengapa Hasan Ariffin, Pengerusi PAC memadamkan fakta Bank Negara itu dalam Laporan PAC yang dibentangkannya di Parlimen.

Hakikatnya, dengan persedaran masa, apatah lagi jika menunggu sehingga 2018, mungkin lebih banyak pendedahan berfakta mengenai 1MDB dan wang RM2,600 yang terbongkar kepada umum yang tidak mampu ditangkis oleh Najib dan dihadapi oleh UMNO.

Menjelang tahun 2018 juga, tujuh buah negara yang sudah membuka kertas siasatan berkaitan rasuah dan penggubahan wang haram mengenai 1MDB tidak mustahil sudah beralih kepada proses pendakwaan dan menjatuhkan hukuman.

Siasatan mengenai pemilikan harta mewah di Amerika Syarikat dan London melibatkan anak tiri Najib, Riza Aziz yang turut dikaitkan dengan dana 1MDB barangkali juga sudah diketahui kebenarannya menjelang 2018 itu nanti.

Semua itu akan lebih menjejas dan mencalarkan nama Najib jika pilihanraya umum diadakan pada 2018 kerana 1MDB adalah idea dan anak emas yang selalu dibanggakannya sebelum ini.

Selain itu, kedudukan Pakatan Harapan yang sedang berpecah ketika ini adalah merupakan kesempatan terbaik bagi Najib memasang lukah dan seterusnya meraih laba daripadanya.

Pas pula, disebabkan peranannya telah menghasilkan kejayaan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, akan terus dijadikan senjata untuk menghuru-harapan kedudukan Pakatan Harapan. 

Maka, selepas kemenangan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, ia adalah dorongan paling kuat untuk Najib mengadakan pilihanraya mengejut demi menyelamatkan masa depan politiknya.

Menangguhkan pilihanraya sehingga 2018 hanya umpama membesarkan lagi lubang kubur untuk "kematian"  karier politik Najib dan bersekali dengan habisnya nyawa UMNO. (SH 27/05/2016).

HABIS, APA YANG BOLEH?


Mula-mula soalan mengenai wang RM2,600 juta tak dibolehkan ditanya kepada Najib Razak kerana dikatakan ia subjudis.
Kemudian soalan mengenai wang RM42 juta daripada SRC International yang diterima Najib turut tak boleh ditanya, juga atas alasan yang sama - subjudis.
Rupa-rupa bertanya kenapa Jho Low tidak dipanggil mengadap PAC kepada Najib pun tak boleh kerana dikatakan bukan bidang kuasa eksekutif memberi maklum balas mengenai perkara itu.
Mula-mula alasan subjudis, kini hujah teknikal pula digunapakai untuk menghalang Najib daripada "berpeluh dingin"  menjawab soalan-soalan yang tidak mampu untuk dijawabnya.

Habis, kalau semua tidak boleh,  apa yang boleh ditanya kepada Najib di Parlimen?

Berbelanja sakan dengan wang tersebut boleh pulak?

Bukankah sebagai Perdana Menteri, lebih-lebih lagi jika benar-benar tiada sekelumit rasa bersalah dalam dirinya, Najib sepatutnya boleh bercakap apa saja dan memberi penjelasan apa jua pertanyaan yang ditujukan kepada dirinya? (SH 27/052016).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...