Wednesday, 28 February 2018

BALA 1MDB DATANG LAGI!!

Semalam kerajaan Switzerland dilaporkan mahu menuntut wang berjumlah RM400 juta berkaitan 1MDB yang dirampas daripada beberapa bank negara itu berikutan tiada pihak yang menuntutnya.

Wang itu kini disimpan di perbendaharaan Switzerland dan Malaysia barangkali sengaja tidak mahu menuntutnya kerana ingin melindungi Jho Low dan sederetan nama lain yang dikaitkan dengan kecurian dana 1MDB yang keseluruhannya berjumlah hampir RM20 bilion itu.

Jika Malaysia cuba menuntut wang itu sekarang, mereka tidak saja perlu mengemukakan beberapa dokumen bagi tujuan itu, malah mungkin mendedahkan banyak perkara mengenai Jho Low,  lain-lain nama dan urusniaga 1MDB kepada kerajaan Switzerland.

Jadi, jalan selamat bagi Najib Razak dan demi melindungi Jho Low ialah dengan membiarkan RM400 juta itu hangus begitu saja.

Mujur Tun Mahathir Mohamad memberi jaminan bahawa Pakatan Harapan akan segera menuntut wang tersebut sebaik saja memenangi PRU 14 akan datang.

Kata beliau, wang tersebut adalah milik kita dan kita berhak terhadapnya.

Bermakna, dengan mengundi dan memastikan kemenangan Pakatan Harapan akan membantu mengembalikan wang tersebut kepada kantung negara, selain pendurjana 1MDB lebih mudah di bawa ke muka pengadilan, manakala mengekalkan Najib dan BN hanya menyebabkan wang RM400 juta itu terus lesap serta Jho Low dan lain-lainnya akan terus bebas merdeka.
Hari ini pula, Indonesia dengan kerjasama FBI berjaya merampas kapal mewah, Equanimity milik Jho Low yang turut dipercayai dibeli menggunakan wang 1MDB yang diselewengkan.

Kapal berharga RM800 juta itu sudah lama dicari sejak DOJ menyenaraikannya sebagai sebahagian aset yang mahu dirampas. Ia dirampas di perairan Bali setelah perancangan teliti selama lapan hari dilakukan.

Difahamkan juga, kapal tersebut turut digunakan oleh Jho Low untuk bergerak ke mana-mana destinasi, malah juga merupakan "kediaman bergeraknya" sejak skandal 1MDB meletus di beberapa negara dan DOJ memfailkan saman sivil serta jenayah berkaitan syarikat pelaburan itu.

Memang nama Jho Low belum disenaraikan untuk dicari lagi oleh FBI,  tetapi dengan beberapa aset dan kapalnya sudah dirampas, ia tentu saja akan menghadkan pergerakannya selepas ini.

Sebelum ini, jet peribadinya yang dibeli dengan wang 1MDB juga sudah pun disita oleh DOJ.

Dalam diam, keadaan ini bukan saja membuatkan Jho Low yang akan mula akan kepanasan, bahkan ia tentu juga membahang sama ke tubuh empunya badan yang pernah menerima RM2,600 juta melalui akaun peribadi, yang diberikan hadiah barang kemas ratusan juta termasuk "pink diamond" dan yang menerima ratusan juta lagi untuk membeli kondo mewah dan menerbitkan filem di Hollywood.

Inilah bala 1MDB yang terpaksa ditanggung dengan perasaan malu oleh rakyat Malaysia ketika ini.

Sudah pasti bala ini akan terus datang dan menggila, memalukan kita semua, kecuali tampuk kerajaan dapat ditukar dengan segera. (ShahbudinHusin 28/02/2018).

KENAPA 1MDB HENDAK DITUTUP? ADAKAH KERANA MISI SAMUNANNYA TELAH SELESAI?


Alamakkk...apa pulak ni?

Kenapa tiba-tiba 1MDB mahu ditutup?

Apakah 1MDB hanya diwujudkan untuk membuat hutang, walaupun sebahagian daripada wangnya didapati hilang, lalu apabila hutang-hutang dapat dapat dibayar dengan menggunakan pendapatan kerajaan, syarikat itu perlu ditutup begitu saja?

Bukankah selama ini 1MDB dikatakan syarikat yang baik, asetnya banyak melebihi hutang, ada bangunan tertinggi, ada macam-macam kejayaan dan mampu menghantar jemaah haji ke Mekah setiap tahun?

Jika sudah begitu cerita kejayaannya, mengapa 1MDB hendak ditutup?

Adakah program menghantar jemaah haji ke Mekah juga akan turut terhenti?

Ilmu ekonomi apa yang dipakai dalam mewajarkan penutupan 1MDB ini?

Ataukah 1MDB hanya ditubuhkan untuk melakukan samunan terancang dan apabila misi sudah selesai serta selepas ini tiada apa lagi yang perlu disamun, maka syarikat itu perlu ditutup supaya tidak dijadikan ungkitan pada masa depan?

Jika pun 1MDB mahu ditutup juga, kenapa tidak dilepaskan dahulu laporan audit syarikat yang telah diOSAkan sebelum ini?

Apa pula kata rakyat dan pengundi PRU akan datang, adakah mereka setuju dengan penutupan 1MDB atau mahu kebenaran dan keparat-keparat yang terkait dengannya diadili terlebih dahulu?

Pilihan di tangan kita kali ini. Kitalah, melalui undi PRU 14 nanti yang lebih berkuasa menentukannya. (ShahbudinHusin 28/02/2018)

Tuesday, 27 February 2018

SERANGAN KE ATAS ROBERT KUOK TANDA KEANGKUHAN UMNO


Terdapat dua aspek paling nyata di sebalik serangan beberapa pemimpin UMNO, temasuk Najib Razak sendiri,  terhadap taikun Robert Kuok yang juga merupakan orang terkaya di Malaysia.

Pertama, ia menunjukkan UMNO sendiri merupakan penggalak, penyokong dan penyebar berita palsu di sebalik dentam-dentum mahu menggubal undang-undang mencegah berita palsu dan kononnya mereka benci kepada berita-berita palsu.

Hakikat bahawa tuduhan yang mengatakan Robert Kuok ada menyumbang dana kepada DAP dan mahu menentukan penguasaan kaum Cina dalam politik negara adalah semata-mata serangan liar oleh blogger pengecut yang tidak dibuktikan dengan apa-apa fakta dalam tulisannya.

Kenapakah pemimpin UMNO begitu cepat melompat terhadap sesuatu berita yang belum disahkan kebenarannya, selain ia juga ditulis dan disebarkan oleh blogger yang sudah menjadi pengetahuan umum sebelum ini tentang latar belakang dan cara hidupnya?

Jika pemimpin UMNO mempercayai dakwaannya terhadap Robert Kuok, apakah ia bermakna mereka, termasuk Najib turut percaya dakwaan blogger yang sama berkaitan pembunuhan Altantuya dahulu?

Meskipun pejabat Robert Kuok baru mengeluarkan kenyataan pada semalam menafikan segala tuduhan yang dikaitkan terhadapnya, tetapi sebelum ini Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng sudah pun menafikan pernah menerima walau sesen wang daripada ahli perniagaan tersebut.

Kenapa penafian dua pemimpin DAP itu tidak diterima pakai?

Apakah yang mahu ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dengan serangan yang belum disahkan kebenarannya terhadap Robert Kuok itu?

Adakah ini menunjukkan Najib dan UMNO sudah mahu mengenepikan sama-sekali sokongan pengundi Cina semata-mata kerana yakin majoriti mereka adalah bersama DAP?

Adakah ia juga memperlihatkan Najib dan UMNO hanya mahu, melalui dakwaan terhadap Robert Kuok itu, bergantung kepada sokongan pengundi Melayu dan bantuan Pas saja untuk menghadapi pilihanraya akan datang?

Kedua, dakwaan dan serangan terhadap Robert Kuok menandakan keangkuhan UMNO seolah-olah negara ini mereka yang punya dan UMNO saja yang betul dalam segala-segalanya.

Sejak bilakah menderma kepada parti politik suatu kesalahan bagi mana-mana individu?

Apakah hanya dengan dakwaan memberi dana kepada DAP, yang akhirnya terbukti tidak benar dan merupakan berita palsu, Robert Kuok layak diserang dengan pelbagai serangan sehingga diminta menyerahkan kerakyatannya?

Bagaimana dengan derma dan sumbangan yang pernah diberikan oleh Robert Kuok kepada UMNO dan MCA sebelum ini sebagaimana ditulis dalam bukunya?

Di manakah budi bahasa pemimpin UMNO dalam hal ini?

Apakah menderma kepada UMNO dan BN saja merupakan perkara halal, manakala sumbangan kepada parti lain suatu kesalahan?

Yang jelasnya, serangan UMNO, termasuk oleh Najib terhadap Robert Kuok,  pastinya akan menyinggung komuniti perniagaan dan masyarakat Cina keseluruhannya.

Jika Robert Kuok pun boleh dilayan sebegitu rupa, sedangkan sumbangannya kepada pemimpin terdahulu ketika awal pembentukan Malaysia dan melalui cukai perniagaan yang berterusan sehingga kini adalah amat besar, maka terusnya UMNO  berkuasa adalah petanda yang lebih bahaya pada masa depan kepada pihak lain yang lebih kecil kedudukannya.

Di Malaysia ini, selagi UMNO berkuasa, kecuali sedia jadi pengampu dan penjilatnya, mereka yang berbeza tidak akan diraikan seadanya, sebaliknya akan diserang dan dikecam dengan pelbagai cara. (ShahbudinHusin 27/02/2018)

SELEPAS TIDAK DIBERI RUANG BERUCAP, ISA SAMAD HARUS SEDAR SIAPA DIRINYA DI SISI NAJIB


Semalam, dalam satu lagi program kempen PRU 14 iaitu Majlis Pemimpin Bersama Rakyat, Najib Razak telah turun ke Port Dickson, Negeri Sembilan.

Dilaporkan kira-kira 10 ribu orang hadir dalam program tersebut. Selain ahli UMNO, ahli parti komponen dan rakyat biasa, sudah tentu turut dikerah hadir ialah pegawai kerajaan, guru dan tidak terkecuali pihak tentera serta juga penuntut beberapa kolej yang terdapat berhampiran pekan itu.

Program tersebut adalah anjuran kerajaan negeri, UMNO Negeri Sembilan dengan kerjasama UMNO Teluk Kemang yang diketuai oleh Isa Samad kerana Port Dickson terletak dalam kawasannya. Dalam erti kata lain, UMNO Teluk Kemang adalah juga tuan rumah bagi program itu.

Lebih dari itu, UMNO Teluk Kemang juga diberi tugas memastikan target kehadiran benar-benar dapat dicapai, selain turut terlibat dalam beberapa bidang persiapan yang lain.

Sebagai amalan biasa, dalam program seperti itu pemimpin yang kebiasaannya akan berucap Najib selaku Perdana Menteri, Mohamad Hassan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dan Isa selaku tuan rumah.

Namun, apa yang berlaku semalam hanya Najib dan Mohamad Hassan saja yang berucap, manakala slot untuk Isa ditiadakan.

Selain Isa sendiri dilaporkan memang sudah bersedia untuk berucap, malah turut memberitahu kepada beberapa kenalannya tentang antara perkara yang mahu diucapkannya,  Mohamad Hassan juga dikatakan "memperingatkan" Pengerusi SPAD itu beberapa hari sebelumnya bahawa mereka akan sama-sama berucap di Port Dickson nanti.

Tetapi, kenapa Isa tiba-tiba diketepikan daripada berucap?

Adakah ia kehendak Najib atau "permainan"  oleh Mohamad Hassan?

Apakah Isa tidak diberi ruang berucap kerana Najib tidak mahu lagi mendengar suara bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu yang sebelum ini pernah direman SPRM berhubung siasatan pembelian hartanah Felda dan kesnya masih lagi belum diputuskan sama ada akan didakwa atau sebaliknya?

Adakah juga ini merupakan petanda bahawa karier Isa sudah di penghujung jalan dan tempatnya sebagai Ahli Parlimen Jempol akan diganti dengan pemimpin yang lain?

Jika ia  suatu "permainan" oleh Mohamad Hassan pula, apakah beliau berani melakukannya tanpa restu daripada Najib?

Jika Najib masih mengingati dan menghargai jasa Isa sebagai rakan lama yang pernah berbudi kepadanya, terutama dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang misalnya, beliau tentu saja boleh meminta agar Isa diberikan ruang untuk menyampaikan ucapannya.

Lebih-lebih lagi Isa bukan saja merupakan Ketua UMNO Teluk Kemang dan Pengerusi SPAD, sebuah agensi Persekutuan, tetapi juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun.

Apakah Najib sudah melupai Isa, ibarat kata pepatah, habis madu, sepah dibuang?

Apa pun, dengan perkembangan ini, Isa seharusnya sudah boleh menilai siapa dirinya di sisi Najib sekarang ini. 

Isa bukan saja pasti akan digugurkan sebagai calon dalam pilihanraya akan datang, bahkan jika Najib terus ketandusan sokongan untuk meraih kemenangan dalam piliharaya akan datang lantaran kian dihimpit oleh kegagahan Tun Mahathir Mohamad, tidak mustahil beliau juga akan "dikambing-hitamkan" dengan kes Felda yang melibatkannya dirinya  akan dipercepatkan untuk di bawa ke mahkamah. 

Kepada Isa, bersedialah  mental dan fizikal bermula detik semalam yang menyedihkan itu. (ShahbudinHusin 27/02/2018).

Monday, 26 February 2018

SETELAH DIKETAHUI BISNES QUINOA KEPUNYAAN ANAK NAJIB, APA MASA DEPANNYA DI MALAYSIA?


Apabila Najib Razak memberitahu beliau kini tidak makan nasi, sebaliknya mengambil quinoa, sejenis bijirin dari Peru dan kemudian diketahui pula bisnes mengimport masuknya dilakukan  oleh syarikat yang anak bongsunya ada kepentingan, persoalan seterusnya ialah apakah masa depan bijirin tersebut di Malaysia?

Sebagai bapa, dengan mendedahkan mengenai amalan pemakanannya itu, Najib dalam waktu yang sama telah berjaya mempromosi perniagaan anaknya.

Tetapi, adakah anak bongsu Najib boleh berpuas hati sekadar melihat quinoa menjadi makanan harian bapanya, segelintir golongan kaya dan dijual di rak-rak pasaraya tertentu saja?

Berapa banyak sangat untungnya jika sekadar itu saja skop pengimportan quinoa yang dapat dilakukannya?

Tidak mungkinkah selepas ini quinoa akan menjadi hidangan wajib di mesyuarat mingguan kabinet dan setiap kali ada majlis yang dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri, khususnya di Seri Perdana?

Apakah mungkin kementerian-kementerian, agensi dan jabatan kerajaan yang menganjurkan jamuan di hotel-hotel, lebih-lebih lagi jika dihadiri oleh Perdana Menteri, akan turut menjadikan quinoa sebagai hidangan wajibnya?

Apakah kemudiannya menteri-menteri dan pemimpin UMNO akan turut berebut-rebut menjadikan quinoa, bukan saja untuk hidangan atau jamuan di semua peringkat kementerian, malah juga untuk dihidangkan kepada pelbagai program lain di peringkat bawahan masing-masing?

Tidak mustahilkah quinoa juga akan dibekalkan untuk makanan bagi anggota tentera, polis, pelbagai jenis asrama kerajaan dan termasuk untuk hidangan sihat bagi jemaah yang menunaikan haji ke Mekah?

Permata yang diketuai oleh Rosmah Mansor pula takkan tak ingin turut sama membeli quinoa untuk dijadikan makanan sihat bagi generasi pintar akan datang?

Mana lagi jabatan kerajaan, agensi atau GLC yang berpotensi untuk membeli quinoa dalam jumlah yang besar?

Akhirnya, jika BN terus berkuasa, tidak mustahilkah kita akan dapat melihat perniagaan mengimport quinoa oleh anak bongu Najib ini akan terus berkembang maju dan mampu menghasilkan keuntungan yang setara seperti menghasilkan filem  hollywood "The Wolf of Wall Street"  oleh abang tirinya, Riza Aziz? (ShahbudinHusin 26/02/2018).

DIUJI DAN TERUJI, TAPI BN DI BAWAH NAJIB TIDAK LAGI TERPUJI

Kata Najib Razak, pilihlah BN yang sudah duji dan teruji untuk menerajui kerajaan dalam pilihanraya akan datang dan bukannya sebuah gabungan lain yang belum lagi diuji.


“Kami BN sebagai kerajaan telah dicuba serta diuji berulangkali dan kami telah berjaya melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.


“Sudah tentu, kami akan cuba menjadi lebih baik, saya tidak menyatakan bahawa segala-galanya sempurna, kami menghadapi cabaran tetapi saya memberi jaminan bahawa kami akan melakukan yang lebih baik dan terbaik pada masa depan.


“Apa yang kami minta daripada anda ialah fikir dengan teliti mengenai masa depan kerana masa depan kelihatan cerah dan baik. Kami mempunyai rancangan untuk masa depan dan anda perlu menaruh kepercayaan dan keyakinan kepada kerajaan," kata beliau lagi.


Apa? 


Pilih BN yang sudah diuji?


Pilih BN untuk masa depan?


Najib jelas terdesak dan sedang dihantui bayangan kekalahan dengan kata-katanya kali ini. Beliau nampaknya tidak lagi berani mempromosi dirinya sebagaimana keghairahan yang ditunjukkan pada pilihanraya 2013 lalu, sebaliknya cuba berselindung di sebalik nama BN untuk  memastikannya kekal berkuasa.


Ia seolah-olah BN dan Najib itu dua perkara yang berbeza, sedangkan hakikatnya mengundi BN sama seperti mengekalkan lagi Najib dan mengekalkan Najib tidak ubah seperti mengekalkan kleptokrasi untuk terus berkuasa berkuasa.


Apa masa depan yang boleh diharapkan dengan kerajaan dan kepimpinan yang sebegitu rupa?


BN hari ini bukan lagi seperti BN dahulu. BN dahulu berwibawa dan dipercayai ramai kerana dipimpin oleh pemimpin yang baik, bekerja untuk untuk rakyat, tidak menyusahkan rakyat serta tidak mencuri wang rakyat dengan akhirnya meletakkan semua beban itu kepada rakyat untuk menanggungnya.


Tiada masa depan yang boleh dijanjikan oleh BN kepada rakyat selagi ia dipimpin oleh Najib yang kleptokrasi dan ada Jho Low di belakangnya. 


Memang betul BN sudah teruji dan diuji, tetapi BN di bawah Najib tidak lagi terpuji seperti dahulu. Ia sudah menjadi gabungan yang tidak berguna serta menyusahkan rakyat.


Namun demikian, untuk mengatakan Pakatan Harapan belum diuji dan tidak pernah teruji juga tidak begitu tepat. Ini kerana Pakatan Harapan sudah pun dua penggal memerintah Selangor serta Pulau Pinang dan ia terbukti mampu menjadi kerajaan yang baik dan boleh dipuji.


Rakyat seharusnya menilai prestasi Pakatan Rakyat di kedua-dua negeri itu dan tidak harus ragu-ragu untuk memberi peluang kepada gabungan tersebut menerajui Putrajaya pula.


Lagi pula, teruji dan diuji itu hanya setelah diberi peluang memerintah negara. Jika Pakatan Harapan tidak diberi peluang untuk berkuasa, bagaimanakah proses diuji dan teruji itu dapat diadili?


Sama seperti BN yang diberi peluang untuk memerintah negara ini, maka sebab itulah ia telah melalui proses diuji dan teruji. Jika BN tidak berpeluang memerintah negara ini, BN juga tidak pernah diuji dan teruji sebenarnya.


Meski begitu, satu-satunya kelebihan tiada tandingan bagi Pakatan Harapan berbanding BN ialah kerana ia dipimpin oleh Tun Mahathir Mohamad yang bukan saja sudah diuji dan teruji selama 22 tahun mentadbir negara sebelum ini, lebih daripada itu beliau juga terbukti pemimpin yang terpuji dan cemerlang dengan pelbagai kejayaan.


Dalam apa sifir sekali pun, Tun Mahathir diyakini mampu menjadi Perdana Menteri yang jauh lebih baik berbanding Najib.


Begitu juga dengan sederetan pemimpin lain dalam Pakatan Harapan, mereka juga sudah diuji dan teruji dengan pelbagai cabaran, tekanan, kekangan dalam memperjuangkan nasib rakyat selama ini.


Mereka telah terbukti merupakan pemimpin yang jujur, ikhlas dan komited membela rakyat sehingga akhirnya mampu tampil sebagai pemimpin terpuji, meksipun sebahagiannya belum berpeluang menunjukkan bakat memegang jawatan penting dalam mentadbir negara.


Diuji dan teruji, tetapi tidak lagi terpuji, malah sudah jadi kleptokrasi, mengekalkan lagi BN tidak ubah seperti rakyat menempa nasib lebih lebih masa depan sendiri. (ShahbudinHusin 26/02/2018)

Sunday, 25 February 2018

SIAPA KEUTAMAAN NAJIB - ORANG CINA MALAYSIA ATAU ORANG CINA DARI NEGARA CHINA?


Apabila Najib Razak turut menjadikan hubungan Malaysia dengan negara China sebagai salah satu bahan kempen menjelang PRU 14 akan datang, ia tentu saja menimbulkan beberapa persoalan buat kita semua.

Apakah keutamaan Najib sebenarnya?

Rakyat Malaysia atau negara China?

Orang Cina di Malaysia atau orang Cina dari China?

Dalam ucapan merasmikan sambutan Tahun Baru Cina Hua Zong semalam, Najib berkata, hubungan baik antara Malaysia dengan negara China akan terjejas sekiraya Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan selepas pilihanraya nanti.

"Kita tidak akan benarkan perkara ini. Jika pembangkang ambil alih negara, hubungan dengan China akan menjadi teruk, daripada level yang tinggi kepada yang rendah.

"Ini adalah perkara yang kita mesti elakkan untuk kebaikan bersama antara Malaysia dan China," katanya.

Sehubungan itu, kata Najib lagi, beliau bersama barisan kabinetnya akan mempertahankan hubungan dengan China itu dan tidak akan membenarkan perkara sebaliknya daripada berlaku.
Apakah pentingnya China kepada kepada Malaysia?

Atau China hanya penting buat Najib semata-mata?

Jika kita imbas kembali, meningkatnya hubungan Malaysia dengan China kepada level yang tinggi kebelakangan ini, mungkin sangat tinggi sebenarnya, bukanlah berasaskan kejujuran atau perkiraan menang-menang, tetapi lebih kerana Najib terperosok dengan skandal 1MDB yang menyebabkan namanya membusuk di seluruh dunia.

Sebelum itu, kiblat Najib adalah Amerika. Negara itu bukan saja paling kerap dikunjunginya, malah Obama sering meniti sebagai sebutan di bibirnya. Shopping dan cuti-cuti Najib sekeluarga juga adalah di Amerika.

Tetapi, apabila skandal 1MDB meletus yang menyebabkan media-media Amerika menyerangnya, di samping Najib bergelut untuk menyelesaikan hutang RM50 bilion syarikat pelaburan itu, di situlah bermulanya hubungan dengan dengan Amerika dan China mula menjadi tautan baru hatinya.

Bermula dengan menjual Edra Energy dan menyerahkan pembangunan Bandar Malaysia - kedua-duanya milik 1MDB - kepada syarikat China, ia kemudian melebar kepada penyerahan beberapa kontrak pelabuhan dan tanah-tanah untuk pembangunan.

Seterusnya bukan saja Proton, ECRL, keretapi laju KL ke Singapura dan banyak lagi projek diserahkan kepada China, bahkan untuk mendapatkan wang bagi 1MDB membayar hutang kepada IPIC di Abu Dhabi juga ialah dengan cara menjual tanah di Selangor dan Pulau Pinang kepada syarikat China.

Di sebaliknya Najib masih berbangga kononnya 1MDB mencatat untung dan kukuh aliran tunainya, tetapi untuk membayar hutang terpaksa juga menjual tanah yang ada.

Pendeknya, sejak adanya skandal 1MDB yang dikaitkan dengan Najib, penguasaan China begitu meluas sekali di negara kita.

Dalam hal ini, memang China tidak boleh dipersalahkan semuanya. Mereka adalah peniaga dan tentu mahu keuntungan yang maksima. Lebih-lebih lagi apabila berurusan dengan pemimpin yang sedang terdesak dan ada skandal, adalah lumrah untuk sesiapa pun mengambil kesempatan serta menggunakan tekanan.

Selama ini hubungan Malaysia dengan China bukanlah tidak baik, tetapi lebih berasaskan profesionalisme dan keuntungan bersama. Pelaburan China sentiasa digalakkan sebagaimana pelaburan daripada negara-negara lain juga.

Ini kerana semua pemimpin yang mengetuai negara sebelum ini tiada skandal peribadi dan tidak terdesak sifatnya. Sebaliknya,  kerana keterdesakan Najib berikutan pertolongan China dalam menyelesaikan hutang 1MDB, beliau sebenarnya bukanlah menarik pelaburan daripada China, tetapi banyak mencipta hutang daripada negara kuasa besar tersebut, seperti ECRL misalnya serta banyak projek yang lain lagi.

Oleh kerana ianya hutang, kesannya akan ditanggung oleh rakyat dalam jangka masa panjang. Hutang perlu dibayar dan jika tidak cukup wang untuk membayarnya, maka banyak kemudahan untuk rakyat pada masa depan terpaksa dipotong atau cukai GST akan dinaikkan kadarnya.

Jika tidak pun, sama ada ribuan ekar tanah kerajaan atau saham-saham syarikat GLC akan dijual  dengan harga murah kepada China. Apa pun pilihannya, rakyatlah yang rugi akhirnya.

Di Sri Lanka, oleh kerana hutang tak mampu dibayar, pelabuhan akhirnya terpaksa diserahkan kepada China, manakala di Zimbabwe, atas perkara yang sama, penggunaan mata wang yuan telah dijadikan pertukaran untuk melupuskan hutang.

Selain itu, penyerahan beberapa projek dan kontrak kepada China tidak semuanya menggembirakan peniaga-peniaga kaum Cina sendiri. Beberapa rakan peniaga bangsa Cina pernah mengeluh, kontraktor China bukan saja membawa semua bahan mentah, termasuk skru-skru kecil daripada negara mereka, bahkan ayam dan makanan lain juga akan didatangkan daripada sana.

Tiada apa yang kami boleh perolehi daripada kontraktor China yang ada kontrak di sini, selain harga yang ditawarkan pula terlalu rendah, demikian antara keluhan beberapa peniaga Cina.

Kalau orang Cina pun tidak begitu mendapat manfaat daripada kebanjiran kontraktor China, apakah sesiapa yang lain boleh menikmatinya?

Oleh itu, apabila Najib begitu mengagungkan hubungan dengan China dan tidak rela ia terjejas melalui kemungkinan perubahan kerajaan kepada Pakatan Harapan, apakah sebenarnya yang beliau cuba pertahankan?

Rakyat Malaysia yang mencintai Malaysia, orang Cina di Malaysia yang juga mencintai Malaysia atau orang Cina dari negara China yang sudah tentunya cintanya adalah kepada China? (ShahbudinHusin 25/02/2018).

APA MASALAH BELIAU INI?

Dulu "parti itulah" yang pernah didakap dan dipeluknya  sehingga parti yang dipimpinnya berjaya menang banyak kerusi Parlimen dan DUN di seluruh negara.


Kononnya, atas nama tahaluf siyasi, bekerjasama dengan "parti itu" adalah dibenarkan serta tidak haram.


Kini beliau sudah menjatuhkan hukum haram menyokong "parti itu". 


Dulu ada sebuah parti lain didakwanya kafir dan taghut kerana dikatakan menggunakan perlembagaan penjajah.


Bertahun-tahun jugalah parti tersebut dimusuhi, dijauhi, kenduri-kenduri dipulaukan dan sembelihan mereka pun enggan dimakan.


Kini parti tersebutlah yang beliau jadikan rakan dan pemimpinnya sering dipuji dan dipujanya kononnya amat Islamik sifatnya.


Kenapa hukum yang beliau jatuhkan sering berubah-ubah?


Apa masalah beliau agaknya?


Hukum yang dijatuhkan kerana agama atau politik?


Sebagaimana yang kita tahu, hampir 90 peratus pengundi Cina sekarang ini diketahui menyokong "parti itu"  yang kini didakwanya haram kita menyokongnya. 


Tetapi, beberapa hari lalu beliau juga menyeru pengundi Cina agar menyokong parti pimpinannya untuk memerintah negara ini.


Tidak haramkah tindakan itu? (ShahbudinHusin 25/02/2018)

Saturday, 24 February 2018

INDEKS RASUAH NEGARA JATUH MERUDUM, PERASUAH KEKAL MO1


INDEKS PERSEPSI RASUAH NEGARA (CPI) JATUH MERUDUM: PERASUAH KEKAL SEBAGAI MO1

1. Kedudukan Malaysia yang jatuh sebanyak tujuh tangga dalam indeks rasuah dengan kini berada di kedudukan ke 62 di bawah Greece daripada 180 buah negara amat memalukan dan menjatuhkan maruah Malaysia. Kedudukan ini menjadikan prestasi negara menjadi yang terburuk dalam tempoh lima tahun lepas.

2. Malaysia hanya mencatat skor 47 daripada 100 dalam tinjauan CPI tahun lalu, menurun dua mata berbanding 49 pada 2016 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2017 yang dikeluarkan oleh Transparency International Malaysia (TI-M), sebuah badan yang mengkaji tahap rasuah di negara-negara di dunia ini yang berpangkalan di Berlin, Jerman. Pertubuhan ini mentakrifkan rasuah sebagai "penyalahgunaan kuasa yang diamanahkan untuk keuntungan peribadi".

Walaupun Malaysia berada pada kedudukan ke tiga dalam kalangan 10 buah negara Asean, namun ia masih jauh ketinggalan daripada negara-negara lain. 

3. Menghairankan apabila Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad memberi respons terkejut dengan pengumuman kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menunjukkan beliau sebenarnya  gagal memahami peranan sebenar SPRM atau buat-buat tidak faham dengan alasan data tersebut ‘tidak berpijak di bumi yang nyata' kerana SPRM telah bertindak agresif dengan pelbagai tangkapan yang dilakukan oleh pihaknya sejak dua tahun lalu tetapi pengumuman CPI negara membuktikan usaha SPRM itu tidak memberi kesan dalam menurunkan kadar rasuah negara dan kedudukan ke-62 setaraf negara komunis Cuba.

4. Dalam hal ini, elok jika Tan Sri Dzulkifli Ahmad belajar daripada Pengerusi TI-M Datuk Akhbar Satar yang mana dalam kenyataannya beliau menjelaskan  kegagalan Malaysia untuk menyelesaikan skandal rasuah berskala besar membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tabung Haji, skandal Felda serta Jabatan Air Negeri Sabah menyumbang kepada prestasi buruk Malaysia.

Datuk Akhbar Satar turut mengakui bahawa kedudukan Malaysia akan terus jatuh dalam tempoh beberapa tahun lagi jika skandal yang membabitkan dana awam ini tidak diselesaikan segera.

EPISOD 'MAHARAJA LAWAK 2018', PERASUAH IKRAR LAWAN RASUAH

5. Pengumuman CPI 2017 membuktikan kegagalan SPRM dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab selama ini. Tan Sri Dzulkifli tidak perlu berdolak dalik dengan menyalahkan data CPI TI-M atau mencadangkan mewujudkan indeks rasuah khas 'ala SPRM'. 

Cadangan beliau bukan boleh selesaikan masalah, tetapi sekadar melarikan diri dari masalah. Sepatutnya beliau fokus dengan masalah yang dibangkitkan, iaitu selesaikan kes-kes berat yang menyebabkan rasuah negara jatuh merudum dan bukan untuk melarikan diri. Apa yang SPRM lakukan hanya majlis tandatangan dan ikrar bebas dan lawan rasuah sedangkan sebahagian yang berikrar adalah perasuah. 

Penyumbang terbesar kejatuhan CPI negara adalah dengan membiarkan perasuah memimpin negara dan berikrar lawan serta bebas rasuah diwaktu mereka itu adalah pemakan najis rasuah.

6. Apa yang sepatutnya dilakukan oleh SPRM ialah tindakan kepada perasuah negara bukannya meminta perasuah berkuasa berikrar lawan rasuah. Ambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin berprofil tinggi termasuk mereka yang berjawatan menteri hatta Perdana Menteri sendiri.  

Jangan hanya garang dan agresif terhadap penjawat awam, pemimpin pembangkang dan ahli politik pertengahan tetapi apabila berhadapan dengan pembesar utama negara, SPRM ‘kecut perut’ dan diam membisu.

Sikap berpilih-pilih SPRM terhadap rasuah menjadi sebab indeks rasuah negara jatuh merudum walaupun mereka menangkap beratus orang sehari tetapi membiarkan perasuah kekal sebagai MO1.

7. SPRM perlu buktikan kepada rakyat dan dunia bahawa Malaysia bebas dari kepompong pemimpin klaptokrat, korup, menindas, menyeleweng, rasuah dan salah guna kuasa.

SPRM mesti tegas dan bertindak adil kepada semua pihak, tanpa mengira siapa dan latar belakang mereka.

Tidak ada nilai Malaysia menjadi sebuah negara maju atau membangun, tetapi dari sudut integriti kualiti Malaysia sama seperti negara dunia ketiga sahaja. 

Jika Malaysia berterusan dalam keadaan begini, bukan CPI ala SPRM yang perlu dibentuk, tetapi 'SPRM baru' dengan struktur, peranan, tanggungjawab yang lebih telus dan bebas perlu dibentuk.

Pakatan Harapan memberi jaminan  reformasi institusi menyeluruh dalam tempoh 100 hari  apabila PH mendapat mandat rakyat memerintah Malaysia untuk memerangi rasuah tanpa pilih kasih.

Rakyat mesti bangkit dan menolak kerajaan kleptokrat yang bertanggugjawab  terhadap hak-hak ketelusan dan integriti dalam tadbir urus kerajaan kerana gagal menjalankan tugas dengan baik serta merosakan nama baik Malaysia.


 DATO' HJ MAHFUZ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
24 Feb 2018/8 Jamadilakhir 1439H.

DARI BERITA PALSU KEPADA ANDAIAN PALSU


Meskipun Najib Razak sekarang ini  makan quinoa, bijiran sihat yang import dari Peru, ketakutan kepada kekalahan dalam PRU 14 tetap bersarang di mindanya.

Tidak cukup dengan sekian banyak berita palsu yang disebutnya selama ini terutama berkaitan 1MDB dan wang RM2,600 juta bagi tujuan mengelirukan rakyat dan memastikan BN kekal berkuasa, Najib kini melebarkan lagi rasa takutnya itu dengan cuba  melakukan andaian palsu pula.

Adakah ini kesan pemakanan quinoa yang diambilnya?

Dalam catatan blognya mengenai  PRU 14 akan datang, Najib melontarkan dua andaian sekiranya Pakatan Harapan berjaya menguasai Putrajaya dan Tun Mahathir Mohamad kembali sebagai Perdana Menteri buat kali kedua.
Dua andaiannya ialah:-

Pertama, Tun Mahathir tidak akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim selepas itu kerana umum mengerti Tun Mahathir menganggap semua pemimpin lain adalah tidak betul.

Kedua, kalau pun Tun Mahathir memilih untuk melakukan u-turn dan setuju melepaskan jawatannya kepada Anwar sekali pun, akibatnya jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kemudiannya akan disandang oleh pasangan suami isteri iaitu Anwar dan Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Inilah tahap nepotisme paling kritikal yang akan membuatkan rakyat memberontak, selain menjadikan mereka sibuk berebut jawatan Perdana Menteri untuk tempoh dua atau tiga tahun sebelum memulakan kerja berkhidmat kepada rakyat, kata Najib lagi.

Bagi yang faham kedudukan Pakatan Harapan berbanding BN, di samping Tun Mahathir bukan lagi individu yang sama ketika bersama UMNO dan BN dahulu, kita tentunya bersimpati dengan andaian palsu Najib kali ini.

Jika pemikiran itu tercetus akibat quinoa yang diambilnya sebagai makanan harian, maka ada baiknya Najib kembali mengambil nasi seperti kebanyakan rakyat biasa yang lain.

Mudah-mudahan pemikirannya juga kembali stabil dan tidak meraban tak tentu pasal dengan pelbagai andaian palsu.

Pakatan Harapan yang bakal mentadbir negara selepas PRU 14 akan datang adalah berbeza dengan BN. Tiada parti memiliki kuasa mutlak dalam gabungan itu dan semua perkara akan diputuskan secara konsensus.

Sebagaimana memilih Tun Mahathir sebagai Pengerusi Pakatan Harapan dan cakon Perdana Menteri melalui kaedah konsensus, persetujuan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar juga adalah keputusan konsensus.

Selain itu, ia juga adalah persetujuan bertulis yang dipersetujui oleh keempat-empat parti dalam Pakatan Harapan.

Bermakna, tidak semudah itu, malah boleh dikata mustahil untuk ia dimungkiri atau sebagaimana Najib sendiri misalnya, masih memungkiri banyak janji seperti untuk menurunkan harga kereta yang dijanjikannya sejak kempen PRU 2013 yang lalu lagi.

Apabila Anwar sudah memperolehi pengampunan dan boleh bertanding semula, beliau sudah pasti akan bertanding semula di Permatang Pauh menggantikan tempat isterinya iaitu Dr. Wan Azizah yang menduduki kerusi itu sekatang ini.

Proses silih ganti itu sudah berlaku beberapa kali sebelum ini dan ia tidaklah sukar untuk difahami sebenarnya, termasuklah  oleh Najib. Anwar tidak mungkin bertanding di kawasan lain atau memerlukan ada Ahli Parlimen PKR yang lain perlu meletakkan jawatan.

Prosesnya ialah Anwar bukan saja akan mengambil alih jawatan Ahli Parlimen yang disandang oleh Dr. Wan Azizah, bahkan akan terus mengisi kerusi Timbalan Perdana Menteri yang turut dikosongkan oleh isterinya, sebelum mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir.

Dalam apa keadaan sekali pun, Anwar dan Dr. Wan Azizah tidak akan  berada dalam kerajaan atau sebagai Ahli Parlimen dalam waktu yang sama.

Jika dulu kita berbangga dan ceria dengan gandingan Tun Mahathir/Anwar dalam menerajui negara, pasangan itu akan kembali sekali lagi menyuluh harapan buat kita semua sebaik saja Najib dapat disingkirkan.

Tetapi, ketika itu Tun Mahathir tentunya sudah pun melakukan apa yang sewajarnya untuk memulih dan memperbaiki segala yang rosak serta musnah, termasuk menghantar ke penjara mereka yang bersalah dalam merompak dan menyamun segala kekayaan negara selama ini.

Susahkah Najib mahu memahami semua perkara itu? (ShahbudinHusin 24/02/2018)

Friday, 23 February 2018

QUINOA BISNES ANAK NAJIB?


Hmmmm....patutlah....

Adakah selepas ini lebih 3 juta ahli UMNO akan beramai-ramai meninggalkan nasi sebagai makanan harian mereka dan beralih kepada quinoa? (ShahbudinHusin 23/02/2018).

JIKA SETIAP BUTIR BERAS ADALAH HASIL PERJUANGAN UMNO, KENAPA NAJIB MAKAN KUINOA?


Tidak pasti sejak bila Najib Razak tidak mengambil nasi sebagai makanan hariannya - adakah sejak dulu lagi, sejak bergelar Perdana Menteri atau sejak dalam akaun banknya ada wang berjumlah RM2,600 juta?

Pendedahan Najib mengenai kuinoa sebagai makanan hariannya bagi menggantikan nasi bukan saja menarik perhatian ramai, malah menimbulkan beberapa persoalan.

Ini kerana ramai yang tidak tahu apa itu kuinoa, malah tidak kurang yang baru pertama kali mendengar atau mengetahui nama bijirin tersebut hanya setelah Najib menyebut mengenainya.

Kuinoa dilaporkan adalah bijiran yang berasal dari Peru dan merupakan makanan ruji masyarakat Inca di mana mereka telah menanamnya sejak kira-kira 3,000 tahun lalu.

Kuinoa adalah berasaskan protein, tetapi kurang mengandungi gula dan kuran karbohidrat. Oleh yang demikian, ia lebih sihat berbanding nasi.
Namun, berikutan pengakuan Najib mengenai pengambilan kuinoa itu, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng telah membuat semakan mengenai harganya dan membuat perbandingan dengan harga beras.

Semakan beliau mendapati harga kuinoa untuk paket 250 gram ialah RM14.70 atau RM591.60 jika beratnya 10 kilogram.

Bagi beras Jasmine Super Special pula, harga untuk 10 kilogram ialah RM25.85.

Berdasarkan perbezaan harga yang jauh ketara itu, Lim menyifatkan Najib sebagai tidak memperdulikan kesusahan rakyat yang setiap hari terbeban dengan kenaikan kos sara hidup melalui pengambilan kuinoa sebagai makanan hariannya.

Untuk apa Najib mendedahkan mengenai makanannya yang mahal itu?

Adakah pengakuan mengenai pengambilan kuinoa itu, selain untuk kesihatan, Najib mahu memberitahu beliau mempunyai kedudukan yang berbeza dengan rakyat biasa?

Adakah beliau tidak sensitif kepada derita dan permasalahan rakyat biasa?

Lebih dari itu, bukankah sebelum ini Najib pernah berkata, setiap butir beras yang kita makan setiap hari adalah hasil daripada perjuangan UMNO?

Jika beras yang menghasilkan nasi adalah hasil titik peluh perjuangan UMNO seperti yang pernah didakwanya, kenapa Najib sebaliknya memakan kuinoa?

Kuinoa itu hasil perjuangan siapa?

Apakah Najib semakin melupai kata-katanya sendiri dan bagaimana pemimpin seperti ini boleh kita harapkan untuk terus memimpin rakyat dan negara? (ShahbudinHusin  23/02/2018)

Thursday, 22 February 2018

JANGANLAH TERKEJUT BRO...INDEKS RASUAH AKAN TERUS JATUH SELAGI NAJIB TIDAK DIJATUHKAN


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad dilaporkan terkejut dengan kedudukan indeks rasuah negara yang terus menurun berbanding tahun lalu.

Kata beliau, berdasarkan tindakan agresif dan tangkapan yang dibuat oleh SPRM pada tahun lalu, indeks itu sepatutnya menjadi lebih baik.

Sebab itu saya agak terkejut kerana ia nampak tidak selaras dengan realiti, kata Dzulkilfi yang turut diselubungi kes siasatan polis berhubung dakwaan mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita yang dipercayai masih berstatus isteri orang.
Bagaimanapun, Dzulkifli dilaporkan sudah bernikah dengan wanita berkenaan pada penghujung Januari lalu di sebuah lokasi rahsia di Kelantan.

Senarai terbaru yang dikeluarkan oleh Transparency International menyaksikan indeks rasuah Malaysia pada 2017 berada di kedudukan 62 dengan 47 mata, menurun 7 mata berbanding tahun 2016.

Pada tahun 2016, kedudukan indeks rasuah Malaysia berada pada nombor 55 dengan 49 mata.

Ehh..ehh...ehh...terkejut pulak ya?
Apabila Dzulkifli terkejut, rakyat sebenarnya turut terkejut bagaimana beliau boleh terkejut dengan perkara itu.

Bukankah beliau sepatutnya tahu kenapa indeks rasuah negara terus menurun?

Memang benar ada tangkapan, serbuan dan macam-macam tindakan, tetapi mana hasilnya?

Sudah berada ramai daripada yang ditangkap itu dibawa ke muka pengadilan dan dijatuhi hukuman?
Bagaimana dengan skandal-skandal besar seperti 1MDB, derma RM2,600 juta dan Felda  yang masih tidak selesai yang mana menurut Pengerusi Tranparency International Malaysia, Akhbar Satar adalah punca utama penurunan indeks tersebut.

Sehingga skandal itu tidak diselesaikan, kedudukan Malaysia akan terus jatuh untuk tempoh beberapa tahun lagi, kata Akhbar.

Apakah Dzulkifli dan SPRM tidak sedar mengenai punca penurunan indeks itu, lalu buat-buat terkejut dengannya?

Janganlah terkejut bro...

1MDB ditubuhkan dan dikawal oleh Najib, malah nama beliau terkait sama dengan  skandal kehilangan wang hampir RM20,000 juta  yang didalangi oleh Jho Low, derma RM2,600 juta pula secara langsung melibatkan dirinya, manakala Felda adalah di bawah seliaan Perdana Menteri sendiri.

Maknanya, sebahagian besar daripada punca penurunan indeks itu adalah batang tubuh Najib yang sedang menduduki Seri Perdana sekarang ini.
Selagi tiada tindakan terhadap skandal yang tidak selesai itu oleh SPRM atau selagi Najib tidak dijatuhkan, tidak sukar menjangka bahawa indeks rasuah negara akan terus jatuh, jatuh dan jatuh lagi pada masa depan.

Masalahnya, beranikah SPRM bertindak terhadap skandal yang tidak selesai itu sedangkan Dzulkifli sendiri ada kes skandal yang belum selesai?

Atau Najib dan Dzulkifli sama-sama tidak diperlukan lagi jika kita inginkan masa depan yang lebih baik untuk negara? (ShahbudinHusin 22/02/2018)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...