Thursday, 30 April 2015

Cawangan Dan Bahagian UMNO Patut Berebut-Rebut Jemput Mahathir


Apabila bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad meminta agar beliau diberi peluang untuk bertemu akar umbi UMNO untuk menjelaskan sebab-sebab beliau menyerang kepimpinan Najib Razak, ia seharusnya disambut sebagai peluang keemasan yang tidak boleh sama-sekali dilepaskan.

Dalam tulisan di blognya hari ini, Tun Mahathir meminta agar beliau diberi peluang bertemu ahli akar umbi UMNO bagi menjelaskan sebab sebenar tindakan yang dilakukannya terhadap Najib sekarang ini.

Katanya, walaupun percaya tindakan yang dilakukannya untuk menyelamatkan UMNO, tetapi tindakannya itu mungkin tidak menyenangkan Najib dan sebahagian ahlinya yang lain.

Tetapi, tambah beliau, untuk membuat keputusan secara adil dan menghukum secara bijak, mendengar penjelasan daripada kedua-dua belah pihak adalah perlu terlebih dahulu.

"Selepas mendengar daripada kedua-dua belah pihak, adililah serangan saya sama ada ianya bertujuan merosakkan parti atau menyelamatkannya," jelas Tun Mahathir lagi.

Selepas beberapa serangan dan kritikan oleh Tun Mahathir terhadap Najib, termasuk desakan agar meletakkan jawatan, penerimaan ahli UMNO kini berbelah bagi mengenainya. Ada yang setuju dan ada yang tidak setuju. Ada juga yang mengatakannya tidak wajar dan seolah-olah memberi kelebihan kepada pembangkang.

Tun Mahathir bagaimanapun bertegas mengatakan tindakannya adalah untuk menyelamatkan UMNO kerana kepimpinan Najib yang banyak skandal tidak lagi diterima oleh pelbagai kaum di negara ini dan lebih mungkin menyebabkan BN kalah dalam pilihanraya akan datang.

Najib pula, di sebalik banyak berdiam diri dan tidak mahu menjawab banyak persoalan yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir, dalam masa yang sama berkeras tidak mahu menyerah kalah kepada semua serangan itu.

Namun, dengan Tun Mahathir kini bersikap lebih terbuka untuk bertemu ahli akar umbi bagi menjelaskan pendiriannya, UMNO Bahagian dan cawangan di seluruh negara seharusnya berebut-rebut tampil menjemput Tun Mahathir bagi mendengar secara langsung penjelasan beliau itu.

Ia sepatutnya adalah peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan oleh mana-mana Bahagian dan cawangan UMNO. Setelah sebahagian Ketua Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri bertemu dengan Najib dan kemudian menyatakan sokongan, kini mereka sepatutnya mendengar penjelasan daripada Tun Mahathir pula.

Selain itu, mana-mana pihak yang selama ini tidak puas hati dengan kritikan dan serangan Tun Mahathir, boleh juga menggunakan peluang yang terbuka ini untuk berhujah dan mempersoalkannya.

Terutamanya Ketua UMNO Bahagian yang selama ini lantang mengkritik Tun Mahathir melalui media tradisional atau media baru, inilah peluang terbaik untuk mereka berhujah dengan bekas Perdana Menteri itu.

Tidak ada apa-apa lagi yang perlu ditakutkan untuk berhujah secara berdepan dengan Tun Mahathir kerana beliau sekarang tidak mempunyai sebarang kuasa sepertimana dahulu.

Begitu juga, khabarnya ada cawangan UMNO  yang mengusulkan agar tindakan disiplin diambil terhadap Tun Mahathir kerana kelantangannya mengkritk Najib,  seharusnya juga berjiwa berani untuk menjemput bekas Perdana Menteri itu hadir ke cawangannya.

Jika lebih banyak cawangan atau bahagian UMNO dapat bertindak berani menjemput Tun Mahathir dan kemudian mengatakan apa yang dilakukannya sekarang sesuatu yang tidak wajar dan boleh melemahkan parti, ia mungkin akhirnya membuatkan bekas Perdana Menteri itu akur dengannya.

Tetapi jika Tun Mahathir berjaya meyakinkan tindakannya adalah betul dan untuk kebaikan UMNO, menjadi kewajipan pula ianya disokong kerana akhirnya yang penting ialah parti, bukannya pemimpin.

Tun Mahathir sudah menghulurkan salam, lalu sambutlah salamnya ini.  (SH 30/04/2015)

Wednesday, 29 April 2015

Najib Enggan Menyerah Kalah, Mahathir Pun Tak Mungkin Mengalah...


Hanya beberapa jam setelah Perdana Menteri, Najib Razak mengatakan beliau tidak akan menyerah kalah di sebalik pelbagai kritikan dan serangan terhadapnya, Tun Mahathir Mohamad juga memperlihatkan pendiriannya yang tidak mahu mengalah daripada terus menegur dan mengasak.

Jika malam tadi Najib mengungkapkan madah Bugisnya, Tun Mahathir hari ini bukan saja mengulangi kritikan mengenai gaya hidup mewah isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor bahkan menyifatkan kerajaan pimpinan Najib sebagai tidak bersih kerana menyebabkan banyak kehilangan wang serta meningkatnya hutang negara.

Beliau juga menyebut mengenai kos bunga untuk perkahwinan anak perempuan Najib dan Rosmah sehingga RM3 juta yang menjadi perbualan ramai dan diceritakan oleh ramai orang kepadanya.

Dalam konteks Najib, beliau dilihat sama sekali tidak mungkin berganjak dari kerusi Perdana Menteri yang sedang didudukinya, walaupun Tun Mahathir sudah beberapa kali mendesaknya agar berundur demi menyelamatkan nasib UMNO dan BN daripada ditimpa kekalahan.

Jika sebelum ini beliau mengatakan tidak rasa keseorangan, kali ini Najib memperlihatkan seolah-olah pantang baginya untuk menyerah kalah, sesuai dengan darah Bugis yang mengalir dalam tubuhnya.

Najib juga tidak mungkin menjawab segala kritikan Tun Mahathir terhadapnya, meskipun semakin ramai yang mahukannya berbuat demikian. Terbaru, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi - selepas Tengku Razaleigh Hamzah, Shahrir Samad, Khairy Jamaluddin, Shafie Afdal, Nur Jazlan dan beberapa yang lain, turut berpendirian bahawa Najib harus menjawab sendiri semua persoalan itu.

Sama ada Najib tidak mahu atau  tidak mampu menjawabnya, jawapannya ketika ini ialah beliau tidak mahu menyerah kalah atau lebih mudahnya ialah "saya masih mahu menjadi Perdana Menteri."

Tun Mahathir pula, sepertimana yang difahami oleh ramai orang, tidak pernah sama sekali mahu mengalah, menyarah kalah atau mengaku kalah atas sesuatu yang sudah dimulakannya.

Ini kerana beliau dikatakan tidak mungkin melakukan sesuatu jika tidak mempunya asas yang kukuh mengenainya.

Beliau juga ditafsir oleh ramai orang sebagai seorang yang semakin hebat pemikiran dan daya kreativitinya apabila menghadapi tekanan atau ketika sedang berbalah dengan seseorang.

Apabila Najib tidak mahu menyerah kalah, ramai yang merasakan Tun Mahathir, bukan saja akan lebih agresif dan berstamina, bahkan kemungkinan tampil dengan lebih maklumat dan idea luar biasanya lagi selepas ini.

Meminta Tun Mahathir berhenti mengkritik dan menegur juga seperti tidak munasabah. Ini kerana bukan saja beliau sudah menegur secara tertutup dan menulis surat tetapi tidak dipedulikan oleh Najib, lebih dari itu semua persoalan yang dibangkitkannya juga mendapat sokongan yang nyata daripada rakyat.

Dengan Najib tidak mahu menyerah kalah dan Tun Mahathir tidak mungkin mengalah, pertanyaan ramai orang ketika ini ialah apakah kesudahannya nanti?

Apakah pertembungan mereka ini akan berlarutan sehingga PRU 14 nanti dan akhirnya menatijahkan "seorang menjadi abu manakala seorang lagi menjadi arang?"

Atau adakah Najib seharusnya dipaksa berundur demi masa depan UMNO dan BN kerana yang dikatakan menjadi beban sekarang ialah beliau dan bukannya Tun Mahathir?

Dengan pertembungan ini sudah memasuki episod getir sekarang, apakah ia menandakan sudah sampai masanya pimpinan dan ahli UMNO akar umbi harus bangun dan menyatakan pendirian mereka dengan segera, bukan lagi penentuan nasib parti sekadar berlegar di kalangan 191 Ketua Bahagian saja? (SH 29/04/2015)

Tuesday, 28 April 2015

PM Ganti Najib - Pilihan Mahathir Atau Pilihan Parlimen?


Di ketika Tun Mahathir Mohamad makin meningkatkan serangan untuk mengasak pengunduran Najib Razak, siapa bakal mengisi kerusi Perdana Menteri nampaknya mula menjadi perbalahan.

Bekas Perdana Menteri itu sudah beberapa kali menyebut bahawa pengganti Najib ialah Muhyiddin Yassin berdasarkan kedudukannya  sebagai orang nombor dua dalam parti sekarang ini.

Kalau ikut adat UMNO, tentulah timbalan jadi pengganti, katanya dalam program Bicara Negawaran, baru-baru ini. Sebelum itu juga Tun Mahathir sudah pun menyebut nama Muhyiddin untuk menggantikan tempat Najib.

Mengukuhkan lagi keinginannya terhadap Muhyiddin, Tun Mahathir juga melahirkan keyakinan Muhyiddin tidak akan mengulangi segala kesilapan yang dilakukan Najib selama ini.

Sementara pelbagai peringkat dalam UMNO dilihat dapat menerima dengan baik kedudukan Muhyiddin  sebagai pengganti Najib, lain pula halnya dengan beberapa pemimpin pembangkang.

Walaupun bersetuju dan menerima hakikat bahawa Najib wajib digantikan segera demi menyelamatkan masa depan negara, beberapa pemimpinnya lebih menaruh keyakinan terhadap Tengku Razaleigh Hamzah berbanding Muhyiddin.

Bermula dengan bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim dan Ahli Parlimen Raub daripada DAP, Arif Sabri Abdul Aziz yang mengatakan Tengku Razaleigh atau Ku Li lebih berkelayakan untuk memulihkan pelbagai masalah dalam negara berbanding Muhyiddin, terbaru ini Rafizi Ramli dan Lim Kit Siang juga lebih bersetuju dengan kemampuan serta ketokohan Ahli Parlimen Gua Musang itu.

Mereka seolah-olah sepakat bahawa perlunya penggantian Najib adalah kerana negara diurus dengan begitu teruk dan sudah tentu penggantinya harus dipilih daripada kalangan yang paling berwibawa dan berkemampuan sekali.

Dengan dua nama kini sudah muncul dan semakin meluas diperkatakan sebagai pengganti Najib, bukan saja konflik mungkin timbul tetapi juga tidak mustahil bertukar menjadi persaingan siapa lebih dulu dapat merampas kerusi Perdana Menteri itu.

Melalui gerakan yang sedang dilakukan oleh Tun Mahathir sekarang, Najib akan ditekan atau dipaksa berundur atas kebimbangan UMNO dan BN akan kalah dalam pilihanraya akan datang. Penggantinya sudah tentu akan dipilih berdasarkan hireaki sepertimana dalam kes pengunduran Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan Tun Abdullah sebelum ini.

Tiada kesangsian lagi bahawa Muhyiddinlah pilihan untuk itu. Berapa lama usaha menekan Najib ini akan menemui titik kejayaannya banyak bergantung kepada ketahanan Najib untuk terus bertahan.

Walaupun arus bawah UMNO lebih memihak kepada Tun Mahathir, Najib pula menggenggam erat pimpinan atasan, terutama Ketua-Ketua Bahagian. Tetapi dengan Tun Mahathir semakin agresif melakukan asakan, sokongan yang diterima Najib bila-bila masa saja boleh runtuh kiranya Muhyiddin dan sebahagian pimpinan dalam UMNO mengambil pendirian memihak kepada bekas Perdana Menteri.

Jika ini berlaku, maka  Muhyiddin bukan saja dipilih berdasarkan hireaki dalam UMNO tetapi juga merupakan pilihan Tun Mahathir.

Bagaimanapun jika gerakan yang diusahakan oleh Tun Mahathir ini berlarutan lebih lama atau tidak berjaya, pertukaran Perdana Menteri mungkin terpaksa dilakukan melalui usul tidak percaya terhadap Najib di Parlimen.

Jika ini dilakukan, tentunya nama Ku Li lebih menjadi pilihan berbanding Muhyiddin. Ini kerana usaha ini memerlukan kesepakatan sokongan daripada Ahli-Ahli Parlimen PR seramai 88 orang.

Dengan penyertaan sebahagian Ahli Parlimen UMNO serta wakil dari Sabah dan Sarawak, PR yang terdiri dari Pas, PKR dan DAP mungkin tiada masalah untuk memberi sokongan kepada pertukaran Perdana Menteri jika calonnya ialah Ku Li yang diyakini mampu menampilkan kepimpinan lebih baik untuk negara.

Ia akhirnya akan membentuk kerajaan campuran yang merentasi sempadan kaum dan ideologi politik dengan meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan.

Sama ada melalui gerakan Tun Mahathir atau pilihan Parlimen, ruang untuk memperolehi Perdana Menteri baru nyata sentiasa terbuka dan dalam masa yang sama, peluang untuk Najib bertahan lebih lama turut  semakin sukar, kecuali jika beliau rela melihat hilangnya kuasa UMNO dan BN berlaku di bawah kepimpinannya. (SH 28/04/2015)

Monday, 27 April 2015

Najib Kini Merasai Perlawanan Sebenar Dalam Kariernya


Sepanjang  perjalanan karier politiknya selama ini sehingga berjaya menduduki kerusi Perdana Menteri pada 2009, Najib Razak sentiasa dibentangkan "karpet merah" untuk memudahkan laluannya. Dalam UMNO, beliau hanya pernah bertanding bagi jawatan yang memerlukan lebih dari seorang pemenang, tetapi tidak pernah merasai persaingan bagi jawatan yang menghendaki seorang pemenang.

Jawatan Ketua Pemuda, Timbalan Presiden dan Presiden UMNO, semuanya dimenangi secara percuma dan tanpa pertandingan. Sebaliknya  jawatan Exco Pemuda yang ditandinginya buat pertama kali pada 1979 dan Naib Presiden UMNO yang mula ditandinginya pada tahun 1993, adalah jawatan yang memerlukan lebih daripada seorang pemenang.

Di peringkat UMNO bahagian Pekan pula, oleh kerana sejak awal sudah diberikan jawatan dalam kerajaan, Najib juga tidak pernah dilawan oleh sesiapa.

Dalam ertikata lain, Najib tidak pernah mengalami persaingan sebenar dalam merebut jawatan. Beliau hanya pernah bersaing dalam perebutan jawatan yang memerlukan ramai pemenang, manakala untuk jawatan yang memerlukan pemenang tunggal iaitu Ketua Pemuda, Timbalan Presiden dan Presiden UMNO, semuanya dikecapinya dengan percuma.

Sebab itu, ramai yang mengatakan Najib bukanlah pemimpin yang benar-benar telah diuji dan teruji kemampuannya. Sejarah dan latar belakang keluarganya adalah saham terbesar yang membolehkannya mencapai apa yang dinikmatinya sekarang.

Tetapi dengan serangan dan kritikan daripada Tun Mahathir terhadapnya, Najib bagaikan baru merasai perlawanan sebenar dalam karier politiknya.  Perlawanan inilah yang akan menentukan hidup mati dalam kerjayanya.

Kali ini juga tiada lagi karpet merah di laluannya. Bahkan Tun Mahathir yang selama ini berusaha membantu pendakian kerjayanya kerana ingin membalas budi Tun Razak, adalah juga orang yang menaburkan paku dan kerikil tajam agar Najib segera kecundang dan tersembam di tengah jalan.

Semuanya kerana Tun Mahathir tidak dapat menerima lagi kepimpinan anak Tun Razak itu yang disifatkannya terlalu banyak skandal dan lebih mungkin menyebabkan kekalahan BN dalam pilihanraya akan datang.

Isu 1MDB, Jho Low, Altantuya, Sirul, pemborosan serta pembaziran Rosmah, peningkatan hutang, lemah dalam menjaga hubungan kaum, tunduk kepada tuntutan pembangkang, mengalah dengan negara jiran dan banyak lagi faktor adalah antara sebab penolakan bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu terhadap Najib.

Bahkan dalam isu 1MDB yang menanggung hutang sebanyak RM42 bilion dan sebahagiannya lagi didakwa lesap tanpa dapat dikesan, Tun Mahathir secara terbuka mengatakan tidak dapat memaafkan perbuatan Najib itu.

Tun Mahathir sekarang ini mahu menamatkan segera karier Najib dan enggan memberinya peluang sehingga pilihanraya akan datang.

Tidak dinafikan dengan serangan Tun Mahathir kian agresif dan sudah beberapa kali mengulangi perlunya beliau meletakkan jawatan untuk menyelamatkan masa depan UMNO dan BN, ia adalah cabaran terbesar bagi Najib sepanjang kariernya.

Adakah Najib mampu menghadapi cabaran ini? Atau beliau bakal kecuncang sama seperti musuh-musuh politik Tun Mahathir yang lain?

Melihat kepada apa yang berlaku sekarang, ternampak jelas bahawa Tun Mahathir tidak sekali-kali akan mengalah, bahkan dipercayai akan terus mengasak Najib lagi.

Najib juga setakat ini tidak menunjukkan tanda-tanda mahu mengalah. Walaupun banyak berdiam dan tidak mampu menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir, beliau mulai main sindir-sindir dan berkias dengan mengatakan tidak pernah keseorangan serta melabelkan bekas Perdana Menteri itu sebagai "orang tua"  yang perlu memahami orang muda.

Ramai pula yang percaya, berdasarkan riak wajah dan keyakinan yang dipamerkan oleh Tun Mahathir, beliau seolah-olah ada "kad akhir" yang akan ditunjukkannya nanti bagi memaksa Najib berundur.

Tun Mahathir, kata ramai pemimpin UMNO, tidak akan memulakan serangan dan mengajak sesiapa berlawan jika beliau tidak yakin akan memenanginya. Oleh itu, ramai menunggu episod-episod seterusnya untuk mengetahui siapa menang dan siapa kalah dalam pertarungan antara Tun Mahathir dengan Najib ini.

Jika mampu bertahan dan berjaya mengelak disingkir, Najib bakal menjadi satu-satunya pemimpin UMNO yang mampu menewaskan bekas Perdana Menteri itu. Jika tewas pula, beliau akan menambah-panjangkan lagi senarai mereka yang kecundang dengan Musa Hitam, Tengku Razaleigh, Anwar Ibrahim dan Tun Abdullah sebelum ini telah pun berjaya ditewaskan oleh Tun Mahathir. (SH 27/04/2015)

Sunday, 26 April 2015

Muhyiddin Tak Harus Berlengah Lagi - Sokong Mahathir Atau Bersama Najib?


Rasanya sudah lebih dari sekali Tun Mahathir Mohamad menyebut nama Muhyiddin Yassin sebagai calon paling layak menggantikan tempat Najib Razak sebagai Perdana Menteri bagi menjamin kemenangan BN dalam pilihanraya akan datang.

Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainudddin juga menyebut nama Muhyiddin dan Tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin yang rapat dengan kedua-dua tokoh tersebut turut menulis nama Timbalan Perdana Menteri itu sebagai pengganti paling  munasabah bagi kerusi Perdana Menteri selepas Najib diundurkan.

Dengan kedudukan sebagai orang nombor dua dalam UMNO dan kerajaan, memang tidak disangsikan bahawa Muhyiddin seharusnya diberikan kerusi Perdana Menteri jika pengunduran Najib berjaya dilakukan, meskipun nama seperti Tengku Razaleigh Hamzah turut sama menjadi sebutan.

Tun Mahathir dalam program Bicara Negarawan di Taman Melawati semalam, mengulangi sekali lagi, bahkan seakan-seakan mengesahkan bahawa kerusi Perdana Menteri selepas ini bakal menjadi milik Muhyiddin.

Kalau ikut adat UMNO, tentulah timbalannya jadi pengganti, kata bekas Perdana Menteri selama 22 tahun yang sebelum ini juga pernah menyingkirkan Tun Abdullah Badawi dari kerusi Perdana Menteri.

Lebih dari itu, Tun Mahathir juga melahirkan keyakinannya bahawa Muhyiddin tidak akan mengulangi kesilapan seperti yang dilakukan oleh pentadbiran Najib selama ini.

Saya yakin kalau dia naik, dia takkan buat benda macam itu. Dia tahu kalau buat macam itu, dia pun akan kena macam ini juga, katanya lagi.

Setelah melakukan banyak kritikan melalui tulisan di blog dan melalui sidang akhbar sebelum ini, Tun Mahathir buat pertama kalinya "turun padang"  dalam satu program Bicara Negarawan di Taman Melawati semalam untuk menjelaskan sebab-sebab beliau mengkritik dan mahukan Najib turun daripada jawatan Perdana Menterinya.

Jika Najib kekal lagi, BN akan kalah. Tanpa isu 1MDB dan Sirul pun, prestasi Najib tidak lebih baik. Saya minta tak banyak, cuma satu saja iaitu Najib letaklah jawatan, jelas Tun Mahathir lalu disambut tepukan gemuruh oleh ribuan yang hadir.

Sedianya beliau "turun padang" ini dianggap banyak pihak sebagai bermulanya program jelajah untuk menekan, mengasak dan akhirnya memastikan Najib dapat diturunkan sebagaimana yang pernah dilakukannya kepada Tun Abdullah bermula 2006 dahulu.

Adalah dijangka lebih banyak lagi program turun padang melibatkan Tun Mahathir selepas ini. Sebagai tokoh yang tidak pernah mengalah, malah kuasa besar seperti AS pun dilawannya, selagi Najib tidak mahu berundur, bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu pasti meningkatkan lagi stamina serangannya.

Titik akhir bagi Tun Mahathir dalam perjuangannya ini tidak lain ialah Najib mesti berundur atau diundurkan.

Semalam saja, sudah ada beberapa pihak menemui penganjur di Taman Melewati untuk berbincang bagi membawa Tun Mahathir ke tempat atau negeri-negeri lain pula.

Dalam hal ini, oleh kerana nama Muhyiddin sudah disebut banyak kali sebagai pengganti Najib dan tokoh harapan untuk membawa kemenangan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang, Timbalan Perdana Menteri itu tidak seharusnya berdiam diri lagi.

Muhyiddin, mungkin selepas berakhirnya pilihanraya kecil Rompin dan Permatang Pauh, harus menyatakan pendiriannya dengan segera. Beliau tidak harus berlengah lagi kerana sikap dan pendiriannya mungkin boleh mempercepatkan "ombak bertukar menjadi gelombang".

Apakah beliau benar-benar mahu bersama perjuangan Tun Mahathir yang disokong oleh majoriti ahli UMNO akar umbi demi menjamin kemenangan BN dalam pilihanraya akan datang atau ingin terus kekal bersama Najib dan bersama-sama memungkinkan kekalahan kepada parti itu?

Walaupun beberapa pemimpin UMNO seperti Tengku Adnan Tengku Mansor menyatakan hubungan Najib dengan Muhyiddin tiada masalah, sekarang bukanlah soal hubungan tetapi lebih kepada masa depan parti dan kerajaan.

Sekarang adalah masa untuk Muhyiddin membuat pilihan dan sama ada kepentingan parti atau Najib yang mahu diutamakannya?

Lebih lama Muhyiddin berdiam diri, lebih sukar untuk memulihkan kepercayaan rakyat terhadap UMNO dan BN kerana "kerosakan" yang diakibatkan oleh Najib hakikatnya terlalu buruk dan tentunya memakan masa untuk dipulihkan.

Tun Mahathir sendiri dalam ucapannya semalam berkata, selepas pertukaran Perdana Menteri nanti, beliau akan terus bersama-sama berusaha bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO dan BN serta memastikan kemenangan dalam pilihanraya.

Lalu, tiada sebab untuk Muhyiddin berlengah dan bermain dengan masa lagi untuk menyatakan pendiriannya. Lagi pula, jika terus berdiam diri seolah-olah hanya Tun Mahathir saja yang mahukannya sedangkan beliau tidak teruja pun dengan kerusi Perdana Menteri itu. (SH 26/04/2015)

Saturday, 25 April 2015

Foto Sekitar Program Bicara Negarawan Bersama Tun Mahathir di K Klub, Taman Melawati


Tun Mahathir ketika menyampaikan ucapannya...

Tun Mahathir duduk di atas pentas dengan diapit oleh Ibrahim Ali dan Ridhuan Tee Abdullah...

Antara yang hadir ialah bekas MB Selangor, Muhammad Mohd Taib dan Presiden Pemikir, Aziz Yassin...

Turut hadir bekas menteri di JPM, Zaid Ibrahim dan Tamrin Tun Ghafar...

Bekas Exco Perak, Hamidah Othman juga hadir...

Ramai yang sedia mendengar ucapan Tun Mahathir sambil duduk bersila kerana kekurangan tempat duduk...

Di kiri kanan dewan dipenuhi dengan hadirin yang sanggup duduk bersila untuk mendengar ucapan Tun Mahathir...

Antara ribuan yang hadir dalam dewan, di luar dewan lebih ramai lagi yang menontonnya melalui skrin besar yang disediakan...

Kehadiran Tun Mahathir sentiasa disambut hangat oleh rakyat pelbagai lapisan...

Lihatlah sambutannya...Tun Mahathir tetap idola bagi rakyat Malaysia...

Friday, 24 April 2015

Program Jelajah Mahathir Sudah Bermula, Apakah Najib Bakal Dibalun Lagi?



Setelah melakukan pelbagai serangan dan kritikan terhadap Najib Razak melalui media dan banyak tulisan di blognya, buat pertama kalinya Tun Mahathir Mohamad akan  "turun padang" menemui kelompok sasarnya.

Beliau akan hadir dalam program Bicara Negarawan untuk memperkatakan isu-isu semasa pada Sabtu, 25 April ini jam 9.30 pagi di K Klub, Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Ini adalah program pertamanya turun ke bawah untuk bercakap secara langsung mengenai isu-isu semasa yang mana sebelum ini kebanyakan persoalan mengenai Najib hanya disentuhnya melalui tulisan atau ketika sidang akhbar saja.

Hakikat ini segera mengingatkan kepada apa yang dilakukannya ketika menekan Tun Abdullah dulu di mana beliau turut mengadakan program jelajahnya ke seluruh negara bagi tujuan itu.

Apakah dengan program Bicara Negarawan ini bermakna program jelajah Tun Mahathir versi menyingkirkan Najib sudah bermula?

Program anjuran Gabungan NGO Prihatin ini terbuka kepada sesiapa saja dan dijangka akan dihadiri oleh ribuan ahli orang Melayu dan ahli UMNO peringkat akar umbi untuk mereka mendengar sendiri apa yang bakal diperkatakan oleh bekas Perdana Menteri itu.

Bercakap tentang isu-isu semasa dalam program tersebut, Tun Mahathir tentunya akan menjadikan Najib yang dibelenggu dengan isu 1MDB, Sirul, Rosmah, GST, hutang negara, 1Malaysia dan lain-lain sebagai subjek utamanya.

Selepas melakukan banyak serangan dan pembalunan, yang ditunggu-tunggu ialah apakah esok Najib terus dibalun lagi?

Apakah Tun Mahathir juga akan tampil dengan pendedahan dan maklumat baru untuk terus menekan Najib?

Dengan bermulanya beliau turun padang di Taman Melawati ini, ia tentu saja akan memancing keinginan pihak lain untuk terus menjemputnya ke tempat atau negeri lain pula.

Walaupun Najib berkata beliau tidak rasa keseorangan kerana ramai yang menyokongnya, bermulanya program turun padang Tun Mahathir ini setidak-tidaknya akan membuatkannya terus kehilangan sokongan daripada akar umbi. (SH 24/04/2015)

Thursday, 23 April 2015

Najib Makin Dibenci Kerana GST, Minum Teh Tarik Pun Kena Cukai 6 Peratus...


Tidak sampai sebulan selepas cukai GST dilaksanakan pada 1 April lalu, rungutan rakyat mengenainya boleh didengari di mana-mana saja ketika ini.

Tidak saja rakyat biasa dan mereka yang tidak berparti, ahli UMNO dan penyokongnya pun tidak segan-segan mengeluh mengenai cukai baru ini. Yang memihak parti lawan tentulah boleh dijangka reaksi mereka.

Rata-rata mengadu perbelanjaan mereka sekarang ini mulai bertambah berbanding sebelum GST dilaksanakan. Ini kerana apa saja pembelian dilakukan, tambahan 6 peratus sudah sedia menunggu.

Jika di restoran tertentu pula, ia termasuk lagi caj perkhidmatan sebanyak 10 peratus. Akhirnya tambahan yang terpaksa dikeluarkan ialah sebanyak 16 peratus.

Dalam pada itu, ada pula peniaga yang mengalami kekurangan pelanggan sejak cukai GST ini dikuatkuasakan. Mereka mengeluh ada pelanggan yang membatalkan hasrat membeli barangan apabila diberitahu ianya dikenakan cukai tersebut.

Seorang pengusaha bakeri di sebuah pusat membeli belah berkata, pelanggannya jelas berkurangan sejak GST dilaksanakan kerana ramai yang enggan membayar tambahan harga 6 peratus itu.

Di pelbagai lapisan masyarakat, rata-rata menyifatkan GST adalah umpama "pukat harimau" yang mengaut secara borong mangsanya, dari ikan paling besar hinggalah kepada sekecil-kecil ikan bilis.

Seorang Ahli Parlimen dari Sabah  misalnya yang membayar kos rawatan untuk anaknya sebanyak RM20 ribu dan ubat-ubatan lagi sebanyak RM5 ribu turut mengeluh kerana GST menyebabkannya terpaksa membayar tambahan 6 peratus lagi daripada jumlah itu.

Semua aspek perbelanjaan rakyat ketika ini mengalami kenaikan, tidak kira sama ada seseorang itu orang kaya mahupun orang miskin. Malah ramai juga bersungut kerana aktiviti kesukaan harian iaitu minum teh tarik bersama rakan-rakan pun turut dikenakan GST.

Selain itu, walaupun ada barangan tertentu dikecualikan GST tetapi apabila mereka membelinya di pasaraya, semuanya dikira sekali dan dari jumlah keseluruhannya tetap juga dikenakan tambahan 6 peratus itu.

Hakikat bahawa ada barangan tertentu turun harga sepertimana yang digembar-gemburkan oleh kerajaan, langsung tidak dirasai oleh rakyat. Apa yang mereka rasai hanyalah kenaikan saja.

Bagi yang membayar bil-bil harian juga mulai mempersoalkan kewajaran mereka dikenakan cukai GST sedangkan yang lebih mengaut keuntungan ialah syarikat pengendalinya.

Dalam keadaan sekarang, selain syarikat pengendali harus membayar cukai perniagaan mereka, rakyat yang menjadi pengguna juga turut dibebankan sama.

Apakah ini maknanya apa yang dikatakan oleh pihak kerajaan bahawa GST adalah sistem cukai yang lebih telus, cekap dan berkesan?

Dengan GST umpama "pukat harimau" yang mampu menangkap sesiapa saja sebagai mangsanya, rakyat sebenarnya lebih percaya ia adalah kaedah paling mudah bagi kerajaan untuk mengaut perolehan yang lebih baik bagi mengisi kantung perbendaharaan negara yang selalu menipis akibat pemborosan dan pembaziran.

Dan ini sekaligus meletakkan kerajaan pimpinan Najib Razak lebih dibenci majoriti rakyat kerana seolah-olah menjadikan mereka sebagai mangsa pembulian yang berterusan.

Baru tidak sampai sebulan, luapan kebencian akibat GST ini sudah boleh dirasai di mana-mana. Bayangkan jika setelah 3 bulan, 6 bulan atau setahun selepas ini?

Kebencian yang makin membuak-buak ini jugalah yang menjadikan serangan dan kritikan Tun Mahathir terhadap Najib lebih mendapat sambutan daripada rakyat. Ini kerana Tun Mahathir jelas tidak berapa senang dengan GST dan meminta rakyat menunjukkan bantahan mereka di peti undi jika tidak bersetuju dengannya.

Apa yang mereka harapkan dengan berlakunya perubahan kepimpinan melalui apa yang dilakukan oleh Tun Mahathir nanti, akan berlaku sesuatu yang positif berkenaan GST ini. 

Oleh kerana ia sudah dilaksanakan, ramai yang bersetuju mungkin agak sukar untuk membatalkan terus perlaksanaan cukai itu tetapi kadar 6 peratus yang dikenakan sekarang tentu boleh dikurangkan kepada 4 atau 3 peratus misalnya.

Melihat kepada serangan Tun Mahathir yang semakin agresif, dari 1MDB dan Sirul tetapi kini makin melebar kepada aspek lain seperti  Jambatan Bengkok, Rel Berkembar, budak-budak tingkat 4 ala British, pembaziran dan sebagainya, adalah langkah terbaik dalam meraih sokongan jika isu kadar GST yang dianggap membebankan turut menjadi subjek bekas Perdana Menteri itu selepas ini. 

Percayalah, Tun Mahathir akan lebih disokong dan disukai rakyat jika turut menolak kadar 6 peratus itu. (SH 23/04/2015)

Wednesday, 22 April 2015

Muhyiddin Sudah Mula Berkias-Kias


Kebelakangan ini Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin nampaknya sudah mula berkias-kias dalam ucapannya sedangkan sebelum ini beliau dikenali sebagai pemimpin yang selalu serius dalam penampilannnya.

Ahad lalu, dalam suatu program anti perang yang dihadirinya bersama Tun Mahathir,  Muhyiddin Yassin secara terbuka dan sambil tersenyum berkata, "anda tidak keseorangan dalam menyatakan kebenaran".

Ungkapan itu segera ditafsir sebagai jawapan kepada keluhan Tun Mahathir sebelum itu yang menyatakan beliau mungkin keseorangan dalam kemelutnya dengan Perdana Menteri, Najib Razak sekarang ini.

Walaupun ada yang mengatakan kata-kata Muhyiddin itu sebenarnya dalam konteks yang lain dan semata-mata berkaitan perang, bukannya dalam isu perselisihan antara Tun Mahathir dengan Najib, tetapi Timbalan Perdana Menteri itu juga menyebut "keberanian menyatakan kebenaran itulah yang menjadi imej bekas Perdana Menteri itu sejak menjadi doktor dan ketika menjadi pemimpin UMNO dahulu".

Jika Muhyiddin tidak suka ucapannya dikaitkan dengan pendirian Tun Mahathir, beliau tentu saja boleh menafikannya kemudian. Pejabat Timbalan Perdana Menteri juga boleh mengeluarkan penjelasan singkat mengenainya.

Tetapi, walaupun semakin banyak ia dikaitkan dengan pendirian politik dan seolah-olah sudah meletakkan dirinya bersama-sama Tun Mahathir, sehingga sekarang tiada satu pun penafian daripada Muhyiddin yang menyatakan beliau tidak gembira ucapannya telah ditafsir di luar konteks yang sebenarnya.

Maknanya, beliau rela dan mungkin juga gembira ia ditafsirkan demikian. Barangkali juga, itulah tujuannya.

Semalam pula ketika menghadiri program penyampaian anugerah untuk penulis, Muhyiddin sekali lagi melontarkan bait-bait ucapan yang boleh ditafsirkan ada kena-mengena dengan suasana politik yang sedang berlaku sekarang.

Beliau mengingatkan penulis agar sentiasa menyatakan kebenaran dan tidak sekali-kali menyebarkan kepalsuan dalam nukilan mereka.

Selain  berulang kali menyatakan keperluan berkata benar, Muhyiddin juga memetik sajak Sasterawan Negara, Dr Muhammad Salleh yang menekankan keperluan yang sama.

Jika sekadar ingin meningatkan penulis tentang kebenaran, apakah perlunya Muhyiddin berulang kali bercakap mengenai kebenaran itu, termasuk menyebut "kebenaran yang pahit" dan "pembohongan yang indah" dalam ucapannya?

Sekali lagi, ucapan beliau ini tidak sukar dikaitkan dengan kemelut politik yang sedang berlaku sekarang di mana kebenaran yang sering ditanya oleh Tun Mahathir berkaitan 1MDB, Sirul dan sebagainya, tetapi tidak pernah  mahu dijelaskan dengan jawapan yang sebenarnya.

Sebagaimana ungkapan "you are not alone" sebelum ini ditafsirkan sebagai sokongannya kepada Tun Mahahir, apakah saranan agar sentiasa menyatakan kebenaran kali ini bukan saja merupakan suatu pujian kepada bekas Perdana Menteri  yang kerap menulis di blognya mengenai kebenaran, bahkan juga cuba ditujukan kepada Najib agar menjawabnya dengan kebenaran juga?

Hakikat bahawa belum ada kebenaran dalam persoalan yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir semakin jelas bila mana beberapa pemimpin seperti Shafie Apdal dan bekas menteri, Syed Hamid Albar juga tampil menuntut kerajaan agar memberi penjelasan terperinci mengenainya.

Ini secara langsung memberi gambaran bahawa semua penjelasan kerajaan selama ini, termasuk oleh Najib sendiri melalui temubual dengan TV3, masih tidak memadai untuk merungkai segala kekusutan yang berbelit-belit dalam pemikiran rakyat.

Hanya kebenaran dan berani berkata benar saja merupakan jawapan yang terbaik kepada persoalan ini.

Dengan sudah dua kali berkias-kias ini, sampai bilakah beliau mahu berbuat demikian sedangkan Tun Mahathir mula agresif turun ke bawah menemui rakyat di mana program pertamanya akan bermula di Taman Melewati, Sabtu ini?

Apakah beliau mahu menanam banyak kiasan dulu, sebagaimana sifat semulajadi orang Muar katanya yang gemar berkias-kias dahulu sebelum mengambil langkah seterusnya? (SH 22/04/2015)

Tuesday, 21 April 2015

Saya Ingin Memuji Zahid Hamidi...


Blog ini jarang memuji pemimpin. Ia lebih kerap mengambil pendekatan menegur, mengkritik dan kadangkala "membelasah" pemimpin.

Tetapi kali ini saya ingin memuji Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi yang memperlihatkan ketegasan dan tidak bertolak ansur dalam insiden demo anti salib di Taman Medan, Petaling Jaya.

Zahid mengatakan peserta demo itu tetap tertakluk kepada Akta Hasutan 1948 dan tindakan akan diambil terhadap mereka. "Saya tak kira siapa, tindakan harus diambil terhadap mereka," katanya yang juga Naib Presiden UMNO dengan undi tertinggi dua kali berturut-turut.

Dalam masa yang sama, Zahid juga mengesahkan anggota UMNO yang terlibat dalam demo itu akan diambil tindakan disiplin yang sewajarnya.

"Sudah tentu, sudah tentu, sudah tentu...kerana mereka melanggar undang-undang. Dalam UMNO kita mesti hormat agama lain. Mereka harus hadapi akibatnya," katanya lagi.

Ketegasan seperti ini amat ditunggu-tunggu dan setidak-tidaknya mampu membawa kelegaan kepada semua kaum dan agama di negara ini. Beliau telah meletakkan nilai beragama dan menghormati agama lain di tempatnya yang betul, sesuai dengan kedudukan rakyat yang berbilang kaum dan agama di negara ini.

Zahid juga telah berjaya mengembalikan keyakinan ramai berikutan pendirian mengecewakan oleh Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar sebelumnya yang mengatakan peserta demo anti salib itu tidak melibatkan sebarang unsur hasutan.

Mungkin kerana abangnya, Abdullah Abu Bakar yang mengetuai demo itu, Khalid juga berbelit-belit dalam alasannya dengan berkata, "Ini bukan menyentuh isu agama atau agama Kristian. Ia cuma bantahan masyarakat di sana tentang kedudukan gereja itu".

Ternampak pelik hujah beliau kerana bukankah antara Kristian dan gereja saling kait-mengait? Bagaimana boleh mengatakan bantahan berkaitan gereja tidak ada kena-mengena dengan agama Kristian?

Demo anti salib itu sebenarnya lebih memalukan Islam kerana ia memperlihatkan umat Islam seolah-olah begitu lemah iman hingga takut kepada sesuatu lambang agama lain dan mengabaikan aspek pendidikan, pengajaran, iman, takwa dan sebagainya dalam mengukuhkan keimanan.

Sebelum berdemo, mereka seharusnya bukan saja menyedari mengenai hakikat kebebasan beragama, tetapi juga memahami bahawa wujudnya gereja di kawasan itu tentu saja setelah mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Kalau gereja itu didirikan mengikut undang-undang, apa masalahnya? Kalau gereja itu didirikan secara sah dan mendapat kebenaran pihak berkuasa, maka meletakkan lambang salib tentulah juga tidak ada salahnya?

Berbeza dengan tindakan terhadap pihak lain yang terlibat dengan demo di mana ada antara mereka ditangkap pada waktu tengah malam, dibiarkan bermalam di lokap dan sebagainya, sebaliknya dalam kes ini Abdullah atau dipanggil "Lang" oleh Khalid, hanya diambil keterangannya melalui panggilan telefon saja.

Nampaknya, Ketua Polis Negara yang terkenal dengan pendekatan menggunakan laman Twitter dalam tindakannya sebelum ini telah maju setapak lagi dengan hanya menggunakan telefon saja untuk mengambil keterangan. 

Walaupun berbeza pendirian dengan Khalid, Zahid dalam hal ini harus kekal dengan ketegasan bahawa peserta demo anti salib itu boleh diambil tindakan di bawah Aka Hasutan sebagaimana ramai yang lain sudah disabitkan dengan akta itu.

Sebagai Naib Presiden UMNO yang makin disebut-sebut sebagai bakal pemimpin masa depan, Zahid juga mesti mengekalkan pendirian untuk mengambil tindakan disiplin terhadap ahli UMNO yang terlibat dengan demo itu.

Setelah menyatakan pendirian dan ketegasannya itu, dengan kedudukan sebagai Menteri Dalam Negeri dan Naib Presiden UMNO, tugas Zahid seterusnya ialah memastikan kata-katanya masih "laku" dan tetap menjadi kenyataan.

Jika sebaliknya, pujian ini akan ditarik balik semula... (SH 21/04/2015)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...