Wednesday, 30 September 2015

PENGALAMAN PERTAMA DISIASAT SKMM

Semalam, 29 September, saya telah diminta hadir ke pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau SKMM di Cyberjaya untuk diambil keterangan dan memberi penjelasan mengenai artikel blog saya bertarikh 20 September lalu yang bertajuk "Kenapa lawatan rasmi Zahid ke Indonesia sama tarikh dengan majlis sanding anaknya di Jakarta?".

SKMM mengambil keterangan saya berikutan terdapatnya aduan daripada salah seorang pegawai di pejabat Zahid Hamidi sendiri mengenai artikel yang saya tulis itu.

Sehari sebelum itu, kakitangan SKMM telah datang ke rumah saya untuk menghantar surat "Arahan Kehadiran" yang memperuntukan kemestian untuk saya mematuhi perintah yang dikeluarkan itu.

Sebelum diambil keterangan, saya dimaklumkan oleh pegawai penyiasat SKMM bahawa saya disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Seksyen tersebut ialah seperti berikut:-

Seksyen 233: Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dll.

(1) Seseorang yang -

(a) dengan menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar -
(i) membuat, mewujudkan atau meminta-minta, dan
(ii) memulakan penghantaran
apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati , menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain; atau

(b) memulakan suatu komunikasi  dengan menggunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi, sama ada secara berterusan, berulang kali atau selainnya, dan dalam masa komunikasi mungkin atau tidak mungkin berlaku, dengan atau tanpa mendedahkan  identitinya dan dengan niat  untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana orang di maha nombor atau alamat elektronik.

Saya menjelaskan kepada pegawai SKMM bahawa artikel yang ditulis itu lebih berupa pertanyaan dan bukannya tuduhan kepada Zahid Hamidi memandangkan ia sudah menjadi perbualan ramai sebelum itu.

Turut dijelaskan, selain banyak tanda soal digunakan dalam tulisan itu, malah bermula dengan tajuk sebagai awal penulisan sehinggalah perenggan akhir yang merupakan penutupnya, turut menggunakan tanda soal juga.

Saya juga memaklumkan satu perenggan dalam tulisan itu yang berbunyi, "Untuk mengelakkan fitnah dan salah faham, lebih-lebih lagi dalam dunia ketelusan sekarang ini, adalah perlu Zahid menjelaskan semua perkara ini secara jujur dan terbuka" yang menunjukkan itulah sebenarnya niat artikel itu ditulis.

Sebagai penulis, saya hanya membangkitkan apa yang menjadi perbualan ramai itu dengan harapan ada jawapan diberikan oleh Zahid atau pegawainya sepertimana yang berlaku kepada lawatan rasmi Najib Razak yang turut bersekali dengan majlis persandingan anaknya di Kazashtan pada April lalu.

Ketika menjadi wartawan dulu, saya pernah sekali diberi amaran oleh Kementerian Dalam Negeri mengenai penulisan berkaitan Korea Utara, ketika menulis buku saya turut disaman oleh Deepak dan dihalang penjualannya dan melalui blog pula, inilah pengalaman pertama saya berurusan dengan SKMM.

Semua cabang dan jalur kehidupan pada hakikatnya ada cabaran masing-masing serta kerikil-kerikil yang mesti dilalui. Apa yang saya lalui ini merupakan secebis lagi cabaran dalam kehidupan dan mudah-mudahan ada kebaikannya, bukan saja untuk diri saya tetapi juga untuk sesiapa yang cintakan kebenaran dalam dunia ini.

Dalam kesempatan ini, saya juga  ingin mengucapkan terima kasih kepada pegawai SKMM yang amat baik hati, peramah, berbudi bahasa tetapi tetap dengan profesionalismanya ketika mengambil keterangan daripada saya selama kira-kira dua jam lamanya. (SH 30/09/2015)

Inilah artikel tulisan saya yang mengundang seorang pegawai Zahid Hamidi membuat aduan kepada SKMM.

Surat "Arahan Kehadiran" daripada SKMM yang dihantar ke rumah saya pada malam Isnin lalu.

The Malaysian Insider turut melaporkan mengenai kehadiran saya ke pejabat SKMM itu.

Tuesday, 29 September 2015

YANG DIPENJARA KHIR TOYO, PENGAJARANNYA ADALAH UNTUK KITA

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo akhirnya terpaksa merengkok di Penjara Kajang selama 12 bulan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak sebulat suara rayuannya untuk menukar hukuman itu kepada bentuk khidmat sosial dengan memberikan rawatan gigi secara percuma selama dua tahun.

Melalui keputusan mahkamah paling tinggi itu, hanya pengampunan Sultan Selangor saja lagi selepas ini yang dapat meringankan hukuman yang diterimanya itu.

Dengan tidur di penjara yang tidak pernah terduga olehnya, mungkin malam ini dan beberapa malam seterusnya Dr Khir agak sukar melelapkan mata atau hanya mampu berjaga sepanjang malam sambil mengenang nasib dirinya.

Sebagai manusia, memang kita bersimpati dengan nasib yang menimpa dirinya. Tidak bersimpati pula bermakna kita sebagai manusia sudah hilang nilai-nilai kemanusiaan itu. 

Siapalah menduga daripada kedudukan yang tinggi sebagai ketua sebuah kerajaan negeri paling kaya, tiba-tiba menjadi penghuni penjara.

Namun, kita tidak boleh pula terlalu bersimpati dan kasihan sehingga menganggap perbuatan rasuah itu sebagai jenayah yang boleh dimaafkan. Dalam kehidupan dan beragama sekali pun, amalan rasuah memang amat ditegah kerana kesannya yang amat buruk kepada kehidupan serta tamadun manusia.

Oleh itu, dalam kita bersimpati kepada hukuman yang diterima Dr Khir ini, ia haruslah berpada-pada sebenarnya. Salah tetap salah dan undang-undang hendaklah dihormati.

Yang penting daripada kes Dr Khir ini ialah apakah pengajarannya kepada kita semua?

Kita semua yang dimaksudkan itu ialah pemimpin yang sedang memegang jawatan, mereka yang sedang mengejar kuasa dan sesiapa saja yang entah tiba-tiba diletakkan kuasa ke ribanya suatu hari nanti.

Kepada yang sedang gah dan megah dengan kuasa serta ghairah mengumpul kekayaan, kes Dr Khir ini seharusnya menjadi ulangan sekian banyak peringatan kepada mereka. Selain sudah banyak kes rasuah melibatkan pemimpin menjadi tontotan kita selama ini, apabila tidak lagi berkuasa, kes-kes lama juga bila-bila masa boleh diungkit semula.

Kalau mahu curi-curi makan juga, pandai-pandailah melakukannya. Tetapi sebijak mana pun melakukannya, janganlah dilupa bahawa hanya hukuman di dunia saja yang mampu dielakkan kerana di akhirat nanti, semua rakaman perbuatan kita tetap akan ditayangkan semula tanpa tapisan atau suntingan walau sedikit pun.

Kepada yang belum beroleh kuasa dan sedang mengejarnya, jadikanlah kes Dr Khir ini sebagai teladan untuk berkhidmat dengan jujur dan amanah serta takut untuk mendekati sebarang amalan rasuah.

Kita yang bukan siapa-siapa hari ini dan begitu kuat membenci rasuah, haruslah juga ingat bahawa jangan sementara belum ada kuasa saja menolak atau membenci rasuah tetapi berubah sikap apabila tiba-tiba ada kuasa dalam genggaman.

Rasuah haruslah dibenci ketika tidak ada kuasa, malah seharusnya lebih dibenci apabila mempunyai kuasa kerana rasuah semakin menggila apabila kian tinggi jawatan yang disandang.

Hari ini mungkin nasib Dr Khir Toyo, entah esok lusa barangkali nasib kita pula,  walaupun sekarang ini kita belum menjadi siapa-siapa lagi. Terlebih mustahak daripada segala-galanya ialah siapa pun kita hari ini, ambillah sedikit iktibar daripada apa yang menimpa Dr Khir ini. (SH 29/09/2015)

INI SEMUA POYO....

Sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah akhbar harian dan dipetik oleh portal berita atas talian, UMNO Pasir Puteh, Kelantan dilaporkan akan melaksanakan peraturan mewajibkan ahlinya memakai baju merah pada setiap 16 haribulan.

Ketua UMNO bahagian berkenaan, Zawawi Othman berkata, keputusan yang dicapai dalam mesyuarat khas itu bertujuan menunjukkan kekuatan solidariti dan sokongan penuh kepada parti dah kerajaan.

Katanya, pemakaian baju merah pada setiap 16 haribulan itu tidak hanya terhad ketika menghadiri aktiviti rasmi tetapi wajar dijadikan pakaian santai ketika berada di rumah, kedai kopi mahupun pasar.

Bagaimanapun, pemakaian baju berwarna merah adalah wajib jika menghadiri semua aktiviti parti di peringkat bahagian dan juga akar umbi, tegas Zawawi lagi.

Gabungan NGO Melayu dan Pesaka pada 16 September lalu telah mengadakan perhimpunan baju merah di Padang Merbok sebagai tindak balas kepada himpunan baju kuning Bersih 4 yang sekaligus untuk menunjukkan sokongan kepada Najib Razak yang sedang dibelenggu dengan pelbagai isu.

Rasa nak tergelak pun ada dengan keputusan UMNO Pasir Puteh  ini yang nampaknya lebih melihat faktor kulit berbanding isi dalam konteks perjuangan parti, bahkan melebih-lebih pula sehingga ia diwajibkan pada 16 haribulan setiap bulan.

Ini bermakna, melalui peraturan itu dan jika ianya mendapat sambutan, Pasir Puteh akan bertukar menjadi "Pasir Merah"  sebanyak 12 kali dalam setahun.

Kenapa sampai setiap bulan mahu diraikan sedangkan meraikan hari lahir pun hanya setahun sekali saja?  Apakah UMNO Pasir Puteh makin kuat kerana berbaju merah setiap 16 haribulan itu? Bolehkah ia memastikan menang dalam pilihanraya?

Ketika perhimpunan di Padang Merbok,16 September lalu, berapa puluh ribu peserta yang dihantar oleh UMNO Pasir Puteh?

Ahh, banyak lagi pertanyaan mahu ditanya sebenarnya....

Tetapi kesimpulan paling mudah, bak ungkapan kata popular Awie Wings - INI SEMUA POYO...(SH 29/09/2015)

Monday, 28 September 2015

KIRIMAN GAMBAR DARI JAKARTA


Malam semalam, 27 September, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad telah menerima anugerah "Star Of Soekarno" oleh Yayasan Pendidikan Soekarno di hotel Borobudur, Jakarta.

Penganugerahan itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap ketokohan, keberanian dan kepimpinan beliau dalam memperjuangkan suara hak asasi manusia di pelbagai peringkat antarabangsa.

Pengasas Yayasan Pendidikan Soekarno, Rachmawati Soekarnoputri telah menyampaikan bintang penganugerahan itu manakala seorang cucu Soekarno pula mengalungkannya kepada Tun Mahathir.

Tun Mahathir kemudian diberi peluang menyampaikan ucapannya di hadapan tokoh-tokoh politik utama, pegawai tinggi kerajaan dan panglima-panglima tentera Indonesia.

Pagi ini pula saya telah menerima kiriman gambar-gambar sekitar majlis penganugerahan itu daripada seorang penjenguk blog ini yang menetap di Jakarta.

Beliau ialah Dr Fauzi Mohamad, seorang rakyat Malaysia yang berasal dari Pahang tetapi menetap kira-kira 17 tahun di Jakarta dan telah membina perniagaan serta keluarga di sana.

Dr Fauzi adalah jemputan khas daripada Rachmawati ke majlis tersebut sebagai mewakili seluruh rakyat Malaysia, khususnya yang menetap di Indonesia.

Beberapa hari sebelum ini, Dr Fauzi turut ditemubual oleh sebuah stesen televisyen Indonesia untuk menyampaikan penghargaan dan terima kasih bagi rakyat Malaysia atas penganugerahan itu.

Tahniah diucapkan kepada Tun Mahathir atas penganugerahan yang seharusnya membanggakan seluruh rakyat Malaysia. 

Tahniah dan terima kasih juga kepada Dr Fauzi atas kejayaan di negara seberang serta kerana kiriman gambar-gambarnya ini. (SH 28/09/2015)

Tun Mahathir bergambar selepas menerima anugerah tersebut.

Tun Mahathir ketika menerima kalungan Star Of Soekarno.

Dato' Dr Fauzi, rakyat Malaysia berasal dari Pahang yang dipilih hadir mewakili rakyat Malaysia dan sudi berkongsi gambar dengan pembaca blog ini.

Dr Fauzi dan isteri bergambar kenang-kenangan bersama cucu-cucu Soekarno.

MUHYIDDIN, SHAFIE JANGAN DUDUK DIAM SAJA!!

Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin akan tiba di KLIA daripada lawatannya ke Bosnia dan Sarajevo, petang ini pada kira-kira jam 4.30 petang.

Mesej kepada rakan-rakan, sahabat dan penyokongnya agar dapat bersama-sama menyambut kepulangan bekas Timbalan Perdana Menteri itu sudah mula diedarkan sejak semalam lagi.

Di Bosnia minggu lalu, Muhyiddin telah bersama-sama dengan Tun Mahathir diberi penghormatan meraikan ulangtahun ke 20 keamanan Bosnia di mana rakyat negara itu begitu menyanjung tinggi dan terhutang budi dengan peranan yang dimainkan oleh bekas Perdana Menteri terhadap mereka selama ini.

Mengikut laporan media, ramai rakyat Bosnia yang menangis ketika Tun Mahathir mahu pulang kerana mengenangkan begitu banyak sumbangan dan peranan yang dimainkannya sejak negara itu bergolak.

Walaupun sudah dipecat daripada jawatan kerajaan bersama dengan Najb Presiden UMNO, Shafie Apdal, realitinya Muhyiddin belum ditinggalkan sepenuhnya, terutama oleh penyokong setia  ataupun daripada golongan pencinta kebenaran, walaupun tiada lagi "gula ditubuhnya" sebagaimana ketika berjawatan menteri sebelum ini.

Tetapi harapan ramai ialah agar Muhyiddin dan Shafie tidak sekadar berdiam diri saja dengan pelbagai isu yang melanda negara. 

Memang Muhyiddin dan Shafie dilihat kerap memberi kenyataan media berkaitan isu-isu tertentu, tetapi peranan mereka sebenarnya diperlukan lebih daripada itu.

Kedua-dua mereka perlu lebih agresif turun padang menghadiri pelbagai program, menerima jemputan NGO-NGO dan menemui seramai mungkin kelompok masyarakat bagi menyuarakan pandangan mengenai permasalahan dalam negara.

Sekarang ini terlihat hanya Tun Mahathir seorang yang begitu aktif, bukan saja menyuarakan pandangan dan kritikan melalui blognya, bahkan tidak henti-henti menghadiri pelbagai program dalam usahanya menyingkirkan Najib Razak atas kepercayaannya untuk menyelamatkan negara ini.

Dalam hal ini, Muhyiddin dan Shafie harus sama aktif dengan Tun Mahathir jika mereka benar-benar yakin keadaan negara sedang bermasalah ketika ini dan perlu dipulihkan dengan segera.

Berdiam diri hanya akan menyebabkan mereka semakin dilupakan, tidak dipedulikan dan akhirnya "mati kering" begitu saja.

Turun naik dan kehilangan jawatan adalah perkara biasa bagi mana-mana pejuang, malah kebanyakan pemimpin terbilang biasanya pernah mengalami pengalaman terbuang sebelum nama mereka dijulang. (SH 28/09/2015)

Sunday, 27 September 2015

MENELAH ANTARA ZAHID DAN MUHYIDDIN SEBAGAI PENGGANTI JIKA NAJIB DISINGKIRKAN


Tidak dapat dipastikan bilakah Najib Razak mahu berundur daripada  jawatannya atau apakah beliau benar-benar sedia berundur, tetapi di mana-mana pertanyaan yang tidak henti-henti  didengar ialah siapakah bakal penggantinya yang paling layak?

Pertanyaan itu tidak saja  ditanyakan oleh ahli dan penyokong parti politik atau mereka yang berminat dengan politik, tetapi juga oleh ahli perniagaan, kakitangan kerajaan dan swasta, golongan profesional, suri rumah, malah murid sekolah turut inginkan jawapan kepada persoalan yang sama.

Seorang murid sekolah berusia 16 tahun pernah bertanya kepada saya, antara Muhyiddin dan Zahid, siapa lebih bagus untuk menggantikan Najib?

Pertanyaan yang semakin meningkat dan dari pelbagai peringkat tentang pengganti itu membuktikan Najib pada hakikatnya semakin tidak dikehendaki dan kedudukannya kian menjauh daripada hati nurani rakyat.

Apatah lagi, walaupun berjaya mengelakkan dirinya daripada disiasat dengan menyingkirkan Gani Patail sebagai Peguam Negara, membubarkan pasukan petugas khas dan melengah-lengahkan pendengaran Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC, Najib kini bakal berdepan siasatan di peringkat antarabangsa pula.

Daripada sekian banyak negara yang diberikan laporan mengenainya berkaitan 1MDB dan wang RM2,600 juta, sekurang-kurangnya Jabatan Peguam Negara Switzerland, Biro Penyiasatan Persekutuan atau FBI dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, dilaporkan bakal melakukan siasatan terhadap Najib.

Bersama asakan dalam negara yang mahukannya berundur, khususnya yang ditunjangi dan dilakukan tanpa henti oleh Tun Mahathir, hakikatnya sukar dijangka sama ada Najib mampu terus mempertahankan jawatannya atau terpaksa mengalah akhirnya.

Pelbagai perkara tidak dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa saja. Dalam masa yang sama, kita juga tidak tahu apa dan berapa banyak lagi "peluru"  yang dimiliki oleh Tun Mahathir untuk memaksa pemberhentian Najib.

Begitu juga, kita turut tidak tahu apa lagi pendedahan daripada media antarabangsa bakal menimpa Najib seterusnya yang tentu saja akan membuatkannya semakin dipandang serong oleh dunia.

Oleh itu, walaupun Najib mungkin cuba bertahan selagi mampu, kemungkinan beliau terpaksa berundur akhirnya kerana tekanan yang makin menghimpit dari pelbagai sudut, tidaklah mustahil sebenarnya.

Rata-rata orangramai menyebut dua dua nama sebagai pengganti jika Najib disingkirkan iaitu Zahid Hamidi yang kini menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Muhyiddin Yassin yang merupakan Timbalan Presiden UMNO.

Ada yang mengatakan Zahid yang sepatutnya mengambil alih jawatan itu kerana kedudukannya sebagai orang nombor dua dalam kerajaan. Zahid juga dipercayai akan mendapat lebih sokongan daripada kalangan Ahli-Ahli Parlimen UMNO berbanding Muhyiddin untuk lebih dulu mengadap Yang Dipertuan Agong bagi mengangkat sumpah dan menerima watikah jawatan.

Walaupun agak kurang berpengalaman dan baru berada dalam kabinet sejak era kepimpinan Tun Abdullah Badawi berbanding Muhyiddin yang telah menganggotai kerajaan sejak 37 tahun lalu, kelebihan Zahid ialah kemesraan dan kepungannya yang kukuh di kalangan pemimpin pelbagai peringkat dalam UMNO.

Tambahan lagi, dengan kuasa kian bertambah sejak menjadi Timbalan Perdana Menteri di samping Menteri Dalam Negeri sejak beberapa tahun lalu, Zahid memang tiada masalah untuk mendapatkan sokongan lebih baik daripada UMNO jika keadaan memerlukannya bersaing dengan Muhyiddin bagi jawatan Perdana Menteri itu.

Tetapi jika mengambil kira konsep parti menguasai kerajaan, ketiadaan Najib seharusnya membolehkan Muhyiddin sebagai pemimpin nombor dua dalam UMNO untuk mengambil alihnya. Ia akan membolehkan UMNO terus dihormati sebagai teras dalam BN.

Kecelaruan dan kejanggalan juga akan berlaku jika Zahid yang menjadi Perdana Menteri, tetapi Muhyiddin pula sekadar menjadi pemangku Presiden UMNO saja. 

Bayangkan saja suasana ketika mesyuarat MT, Perhimpunan Agung UMNO dan mesyuarat BN yang terpaksa dipimpin oleh seseorang yang bukan menjadi ketua kerajaan. 

Bayangkan pula Zahid yang menjadi Perdana Menteri tetapi tidak mengetuai UMNO dan tidak juga menjadi "kepala"  dalam BN.

Dalam hal ini, Tun Mahathir pernah menyatakan pengganti Najib sepatutnya diserahkan kepada UMNO menentukannya dan tidak syak lagi pandangan itu lebih memihak kepada Muhyiddin. (SH 27/09/2015)

Saturday, 26 September 2015

DAH DAPAT JAWATAN MENTERI, BODEK SIKIT-SIKIT CUKUPLAH SALLEH...

Semua orang sedar satu-satunya sebab Salleh Tun Said Keruak dilantik sebagai menteri ialah kerana kerajinannya membodek Najib Razak dan membelasah Tun Mahathir Mohamad.

Beliau yang sebelum ini merupakan Speaker DUN Sabah pada hakikatnya tiada merit untuk dilantik menganggotai kabinet memandangnya sudah ada wakil daripada Kota Belud dilantik sebagai menteri iaitu Abdul Rahman Dahlan, Ahli Parlimen kawasan itu.

Berdasarkan rekodnya sebagai pemimpin pula, pencapaiannya hanyalah sekadar "ala-ala" saja. Jika Salleh ada wibawa tulen, pasti Najib sudah melantiknya sejak 2009 atau selepas pilihanraya 2013 lagi dan bukan setelah berlakunya episod perbalahan Najib dengan Tun Mahathir.

Tetapi oleh kerana bodeknya membuatkan Najib terasak hingga ke dinding sambil bingit telinga mendengar bodekan tanpa henti, terutama apabila berkaitan 1MDB dan Tun Mahathir, maka jalan mudah ialah dilantiklah beliau sebagai menteri.

Maknanya, dengan melantiknya sebagai menteri, Najib mahu lebih selesa dan bebas bergerak daripada bodekannya yang melemaskan itu. Malangnya, bodek Salleh berterusan lagi.

Dengan adanya Salleh dan Abdul Rahman sebagai menteri, Kota Belud sekarang ada dua wakil dalam kabinet Najib. Seorang sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Belud yang dilantik Senator dan seorang lagi atas kapasiti Ahli Parlimen Kota Belud.

Apabila dilantik sebagai menteri, harapan ramai tentunya ialah agar beliau lebih terbuka dan melihat dunia ini dengan mata yang lebih luas lagi. Tambahan lagi portfolionya ialah Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang dulunya adalah Kementerian Penerangan.

Sayangnya, beliau kelihatan masih terkongkong dan seolah-olah kekal berada dalam kepompong. Tindakannya menyalahkan pengkritik Najib yang bersalah memainkan sentimen perkauman dan bukannya berpunca daripada Perdana Menteri sendiri menunjukkan dirinya masih tidak dapat melihat hakikat yang sebenarnya.

Salleh merujuk sentimen itu dimainkan untuk menjatuhkan Najib dengan antaranya menjadikan laporan khas Channel News Asia, komen penganalisis daripada Singapura, Dr Ooi Kee Beng yang ditampil dalam rancangan itu serta kenyataan Tun Mahathir sebelum ini sebagai sandaran hujahnya.

Dalam hal ini, seharusnya Salleh tidak lupa apa reaksi Najib sebaik keputusan pilihanraya 2013 lalu. Bukankah Najib mengatakannya sebagai tsunami Cina?

Tidakkah ini bermakna Najib sendiri yang memulakan dan paling awal memasang sumbu api perkauman hanya semata-mata keputusan yang agak mengecewakannya dalam pilihanraya lalu?

Tidak cukup dengan itu, akhbar arus perdana turut menyimbah minyak untuk memarakkan api perkauman dengan pertanyaan, apa lagi Cina mahu?

Tindakan menyalahkan kaum tertentu dalam keputusan pilihanraya bukan saja mengecewakan rakyat pelbagai kaum, malah beberapa pemimpin ketika itu seperti Tun Abdullah Badawi, Khairy Jamaluddin dan Saifuddin Abdullah turut tidak bersetuju dengan kenyataan Najib itu.

Dalam himpunan baju merah pula, Najib secara jelas dan terbuka menyokong serta memuji perhimpunan itu walaupun menyedari ia bercorak perkauman, dengan mengatakan "maruah Melayu tidak mudah dicarik-carik" oleh kaum lain.

Tambahnya lagi, "sekali tampar, kita tak buat apa. Dua kali tampar, tak buat apa...tiga kali tampar, tak buat apa...tapi empat kali tampar sudah melampau batas. Orang Melayu ada hak juga."

Tidakkah ucapan Najib ini sepenuhnya berbau perkauman? Adakah beliau Perdana Menteri untuk Malaysia atau untuk Melayu saja?

Adakah Najib sebenarnya faham matlamat dan tujuan perhimpunan Bersih yang sudah diadakan sebanyak empat kali itu? Adakah ianya bertujuan "menampar Melayu" atau untuk kepentingan negara dan berkaitan pilihanraya?

Bolehkah ditunjukkan satu daripada tuntutan Bersih yang bersifat perkauman dan telah "menampar hak-hak Melayu?"

Kepada Salleh, jawatan tertinggi yang boleh dikecapinya hanyalah sebagai menteri dan ia sudah pun menjadi miliknya. Jawatan Timbalan Perdana Menteri atau Perdana Menteri di masa hadapan mungkin agak mustahil mampu digapainya kerana lebih ramai pemimpin yang jauh lebih berwibawa sudah pun berada di depannya ketika ini.

Dengan itu, tidaklah perlu bodek berlebih-lebihan lagi terhadap Najib sebab tiada apa yang boleh diberikannya lagi selepas ini. Berilah peluang kepada orang lain yang belum ada jawatan untuk membodek pula. 

Satu-satunya cara untuk membantu imej Najib ialah dengan Salleh menunjukkan sedikit kredibiliti melalui jawatan yang sudah diberi. Bercakaplah sebagai seorang menteri untuk semua kaum dan jika mahu menyanggah sesuatu perkara, tampilkan fakta yang sebenarnya, bukan berpilih-pilih. 

Kalau mahu bodek juga, sikit-sikit cukuplah! Memilih-milih fakta itu hanyalah perbuatan macai bertaraf rendah, bukannya yang sudah menjadi menteri.

Sebelum menyalahkan pihak lain dalam isu perkauman ini, Salleh seharusnya kumpulkan maklumat terlebih dahulu. Jika malu meminta bantuan kakitangan kementerian, sekadar rajin mendapatkan bantuan "Mbah Google" sewaktu mahu tidur pun sudah memadai untuk membantunya. (SH 26/09/2015)

Friday, 25 September 2015

SOALAN UNTUK SYED ALI MENGENAI ZAHID HAMIDI

Nampak tidak senang benar Ketua UMNO Bahagian Cheras, Syed Ali Alhabshee yang tidak lama sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi PNS dengan tulisan saya bertajuk "Tentera Siber Zahid Mula "Mengamuk"...Hahaha" bertarikh 22 September lalu yang menurut tafsirannya sebagai percubaan melaga-lagakan atau cuba mewujudkan perselisihan antara Najib Razak dengan Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam tulisan itu, saya hanya membangkitkan mengenai tindakan yang saya percaya dilakukan oleh tentera siber Zahid untuk mempertahankan "boss"  mereka di ruangan komen blog saya berkenaan satu artikel mengenai Timbalan Perdana Menteri itu tetapi tidak pula berbuat apa-apa apabila saya menulis mengenai Najib.

Menurut Syed Ali, bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila seseorang pemimpin mempunyai  jentera siber yang setia, termasuk dimiliki oleh Anwar Ibrahim juga.

Untuk pengetahuan Syed Ali, persaingan kuasa antara pemimpin nombor satu dengan nombor dua adalah perkara biasa dan telah beberapa kali berlaku sebelum ini.

Di arena politik yang lebih luas, telah lama wujud pepatah Barat yang berbunyi "Pemimpin nombor dua adalah sahabat dalam politik tetapi musuh dalam kuasa kepada pemimpin nombor satu."

Tiada yang pelik dan mustahilnya jika perselisihan itu berlaku sebenarnya, tambahan lagi dalam kedudukan Najib yang semakin tidak disukai sekarang ini.

Dalam konteks Najib dan Zahid ini,  saya ingin menanyakan beberapa soalan kepada Syed Ali:- 

Tahukah Syed Ali, sudah ada penyokong-penyokong setia Zahid ketika berbual sesama mereka sekarang ini tidak lagi memanggilnya sebagai Timbalan Perdana Menteri, tetapi dengan sebutan Bakal Perdana Menteri?

Jika Syed Ali merasakan saya cuba melaga-lagakan Perdana Menteri dengan Timbalan Perdana Menteri, beliau juga seharusnya membuat ingatan terbuka kepada penyokong Zahid agar menghentikan segala bentuk keghairahan yang keterlaluan dan tidak kena dengan masanya itu.

Apakah para penyokong Zahid tidak belajar langsung daripada pengalaman jatuhnya Musa Hitam dan Anwar Ibrahim sebelum ini?

Selain itu, tahukah juga Syed Ali bahawa Zahid turut sudah bertemu dengan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad tidak lama setelah beliau dilantik sebagai pemimpin nombor dua dalam kerajaan menggantikan Muhyiddin Yassin?

Walaupun Najib difahamkan mengetahui mengenai pertemuan itu dan diberitahu kepadanya ia adalah atas permintaan Tun Mahathir, malah ketika seorang VIP bertanya kepada Perdana Menteri baru-baru ini mengenai pertemuan itu, Najib juga mengatakan ia kerana diminta oleh Tun Mahathir, soalnya benarkah bekas Perdana Menteri itu yang berkehendakan bertemu dengan Zahid?

Bagaimana jika sebenarnya Zahid sendiri yang ingin bertemu dengan Tun Mahathir?

Tetapi kalau pun benar pertemuan itu atas permintaan Tun Mahathir, perlukah Zahid memenuhinya sedangkan beliau tahu bekas Perdana Menteri itu tiada lain matlamatnya ketika ini selain mahu menyingkirkan Najib sebagai Perdana Menteri?

Tidak bolehkah Zahid menolak permintaan Tun Mahathir itu bagi menunjukkan taat setianya yang tidak berbelah bagi kepada Najib?

Buat apa Zahid bertemu dengah "musuh nombor satu" bossnya sendiri sedangkan beliau sepatutnya cuba sedaya upaya untuk menjauhinya?

Tidakkah dengan bertemu dengan Tun Mahathir itu bermakna Zahid sendiri ingin berselisih dengan Najib?

Bagaimanapun kepada Syed Ali, tahniah diucapkan kerana lebih pantas bangun mempertahankan Najib dan Zahid berbanding Ketua-Ketua UMNO Bahagian lain dan semoga beroleh lebih kesejahteraan dan nikmat pelbagai jawatan selepas ini. (SH 25/09/2015)

Thursday, 24 September 2015

JAMAL PATUT ANJUR DEMO DI DEPAN PEJABAT TPM DAN DBKL, BUKANNYA DI JALAN PETALING

Tidak cukup dengan perhimpunan berunsur perkauman yang digerakkannya bersama Pesaka pada 16 September lalu, Jamal Mohd Yunus yang mendakwa dirinya mewakili Gabungan NGO-NGO Melayu dilaporkan mahu mengadakan demonstrasi di Jalan Petaling pula pada Sabtu ini.

Daripada matlamat awal mengadakan demonstrasi itu untuk menuntut kouta tapak perniagaan untuk orang-orang Melayu di Jalan Petaling, tujuan demo itu kini bertambah cabangnya kepada  dakwaan mengenai kebanjiran warga asing dan penjualan barang-barang tiruan di kawasan tersebut.

Ini menunjukkan Jamal seperti sedang mengumpulkan banyak sebab untuk mengadakan perhimpunan itu dan seterusnya memancing kehadiran lebih ramai peserta.

Selain itu, sepertimana laporan banyak media atas talian, Jamal turut mengancam pihak berkuasa agar menyelesaikan segera isu-isu yang dibangkitkannya berkaitan Jalan Petaling yang memang dikenali sebagai kawasan perniagaan orang Cina jika tidak mahu perhimpunan dan kemungkinan "suatu rusuhan" akan berlaku.

"Kalau pihak berkuasa tak ambil tindakan, saya yakin 99 peratus akan ada perhimpunan dan mungkin berlaku rusuhan di sana," Jamal dilaporkan memberi ancaman.

Walaupun pihak polis melalui Timbalan Ketua Polisnya, Noor Rashid Ibrahim telah memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas terhadap Jamal berikutan ancamannya itu, adalah disarankan agar pihak polis tidak berlengah-lengah lagi daripada menahan dan menyiasatnya.

Tindakan beliau sudah jelas bukan saja mengeruhkan lagi hubungan kaum di negara ini dan mungkin menyebabkan ketegangan yang lebih berlarutan dalam negara, bahkan jelas memalukan orang-orang Melayu sendiri.

Ini kerana, kalau pun pun orang-orang Melayu mahu turut sama menjalankan perniagaan di Jalan Petaling, ianya tidak harus dilakukan melalui rusuhan atau suatu bentuk kekerasan.

Kita bukan lagi hidup di zaman batu di mana kita boleh menggunakan kekerasan jika inginkan sesuatu kawasan itu. Perniagaan harus dijalankan dengan usaha gigih dan persaingan, tetapi tidak dengan merampas hak milik orang lain.

Oleh itu, tangkaplah segera Jamal yang rasis dan menyusahkan ini!!
Lagi pula, pihak yang mengeluarkan lesen untuk menjalankan perniagaan di Jalan Petaling ialah DBKL di mana Datuk Bandar dan Menteri Wilayah Persekutuannya adalah berbangsa Melayu.

Buatlah  perhimpunan aman secara besar-besaran di depan pejabat Datuk Bandar atau Menteri Wilayah Persekutuan dan mintalah diperuntukan kouta tertentu untuk orang-orang Melayu berniaga di sana.

Berkenaan kebanjiran warga asing, Jamal sepatutnya mengadakan perhimpunan di depan Kementerian Dalam Negeri untuk membantah kelulusan dan mempersoalkan mengapa tiada tindakan tegas diambil untuk mencegah kebanjiran pendatang tanpa izin di Jalan Petaling itu.

Oleh kerana Menteri Dalam Negeri adalah juga Timbalan Perdana Menteri, selain di depan Kementerian Dalam Negeri,  perhimpunan secara besar-besaran itu turut boleh diadakan di depan Bangunan Perdana Putra di mana Ahmad Zahid Hamidi selalu berada atau di kediaman rasminya di Sri Satria.

Begitu juga mengenai banyaknya barang-barang tiruan yang dijual di Jalan Petaling, pihak yang lebih patut dipersalahkan ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, bukannya para peniaga terbabit.

Peniaga bebas menjual kerana pihak berkuasa tidak bertindak dan seolah-olah membiarkan saja penjualan barang-barang tiruan itu berleluasa.

Kenapa pihak berkuasa tidak bertindak? Apa guna kuasa yang diberi jika tidak boleh berbuat apa-apa? Bukankah segala akta dan undang-undang sudah tersedia?

Atas semua itu, yang paling afdal diambil tindakan terlebih dahulu ialah tangkap dan siasat Jamal dengan seberapa segera kerana sasarannya berkenaan perhimpunan itu adalah salah sama-sekali, selain sikap perkaumannya yang terlalu jumud.

Jika beliau ingin juga berhimpun atau berdemo, pihak berkuasa sepatutnya minta Jamal melakukannya di depan pejabat Timbalan Perdana Menteri, Menteri Wilayah Persekutuan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta tidak lupa di Bangunan DBKL.

Di situlah punca segala-galanya apa yang berlaku di Jalan Petaling. (SH 24/09/2015)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA

Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha diucapkan kepada semua pembaca dan penjenguk blog ini.

Tentunya tiada lain harapan kita selain  mengharapkan diri kita sendiri, keluarga, rakan-rakan, umat Islam di seluruh dunia dan akhirnya negara yang kita cintai ini sentiasa dalam keredhaan dan berkat Tuhan sepanjang masa. (SH 24/09/2015)

Wednesday, 23 September 2015

PATUT ATAU TAK PATUT?

Lima hakim Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan muktamad pada 29 September ini terhadap rayuan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo untuk menukar hukuman penjara 12 bulan yang diterimanya kepada khidmat masyarakat.

Dalam rayuan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan terhadap hukuman yang diterimanya sebelum ini, Dr Khir menawarkan gantian kepada khidmat masyarakat dalam bentuk rawatan pergigian secara percuma selama dua tahun.

Khidmat pergigian yang ditawarkan ialah selama tiga kali seminggu di mana-mana kawasan di negeri Selangor.

Kesalahan yang disabitkan kepada Dr Khir ialah menerima kemudahan membeli sebuah rumah dengan harga RM3.5 juta sedangkan harga pasarannya ialah RM6.5 juta ketika beliau memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.
Patut atau tidak patut hukuman penjara atas kesalahan rasuah ditukar kepada suatu bentuk khidmat masyarakat?

Kepada lima hakim yang arif lagi bijaksana segala-galanya akan diputuskan pada 29 September nanti. (SH 23/09/2015)

SEMUA SEGMEN MASYARAKAT JANGAN BERHENTI MENEKAN NAJIB

Satu lagi episod memalukan yang tidak pernah terbayang dek fikiran sesiapa menimpa rakyat Malaysia semata-mata kerana berperdana-menterikan seorang pemimpin bernama Najib Razak. 

Kali ini sebuah unit khas di Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat yang menyiasat mengenai rasuah antarabangsa akan melakukan penyiasatan terhadap Najib berhubung pembelian hartanah di negara itu oleh anak tirinya, Riza Aziz dan ahli perniagaan yang rapat dengannya iaitu Jho Low.

Sebagaimana yang didedahkan oleh New York Times (NYT), siasatan berkaitan rasuah itu dilakukan kerana semua pembelian itu dilakukan melalui sebuah "syarikat bayangan" atau "syarikat kosong."

Antara pembelian hartanah yang disiasat itu ialah:-

1. Sebuah penthouse bernilai AS$30.55 di Time Warner di Manhattan.

2. Rumah di Hollywood bernilai AS$39 juta, Hotel L'Ermitage di Beverly Hills dan sebahagian Hotel Park Lane, New York.

3. Sebuah kondominium bernilai AS$33.5 juta di Laurel Park, Manhattan di samping hartanah lain di Los Angelas.

4. Sebuah kondominium berharga AS$4.5 juta yang dibeli atas nama "syarikat bayangan" atau "syarikat kosong", Cricklewood One Madison LLC yang pembeliannya ditandatangani oleh bekas eksekutif 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan.

Keseluruhan hartanah yang sedang disiasat itu dianggarkan bernilai lebih AS$150 juta.

NYT juga melaporkan, unit khas di Jabatan Kehakiman itu turut menyiasat pengaliran wang AS$681 juta yang merupakan sebahagian daripada jumlah RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadi Najib kerana pemindahannya dilakukan melalui sebuah bank Amerika Syarikat, Wells Fargo.
Dengan turut disiasat oleh FBI dan Jabatan Peguam Negara Switzerland, Najib kini sekurang-kurangnya sedang menghadapi tiga penyiasatan di peringkat antarabangsa. Itu belum termasuk lagi pihak berkuasa di London, Perancis, Hong Kong dan Singapura yang mungkin turut melakukan penyiasatan berikutan adanya laporan dikemukakan kepada mereka.

Mana kita mahu letak muka sebagai rakyat Malaysia bila ke luar negara selepas ini? 

Tidak pernah mana-mana pemimpin kita sebelum ini menghadapi pertuduhan sebegitu rupa sehingga ramai yang hairan bertanya, Najib tidak pernahkah rasa malu dengan apa yang menimpa dirinya?

Bagaimana beliau selepas ini mahu berhadapan dengan masyarakat antarabangsa serta bertentang mata dengan pemimpin dunia yang lain?

Yang lebih memalukan, sudahlah penyiasatan itu berkaitan dengan rasuah dan penggubahan wang haram, ia juga memperlihatkan kerakusan dalam pemilikan harta beratus juta yang diragui sumbernya.

Kesian dengan orang-orang kampung dan makcik Felda yang sekadar didendangkan dengan BR1M bernilai RM500 tetapi keluarga pemimpin pula dikaitkan dengan pemilikan harta beratus juta di luar negara.

Siasatan demi siasatan yang menunggu Najib ini seharusnya menyedarkan semua segmen dalam masyarakat agar terus meningkatkan tekanan untuk memaksa Najib berundur daripada jawatannya.

Soal Najib mahu berundur atau tidak adalah soal kedua, tapi tekanan perlu dilakukan semaksima mungkin. Kita tidak boleh lagi berketuakan beliau. UMNO akan kalah serta musnah manakala negara pula akan terus terjerumus ke lembah kesengsraan jika Najib sebagai ketua kerajaan tidak segera ditukar. 

Jemaah surau pun mungkin ramai tidak begitu khusyuk sembahyangnya kerana fikiran asyik melayang terbayangkan hal-hal berkaitan Perdana Menteri yang cukup "istimewa" ini.

Yang lebih penting, dengan berjaya menyingkirkan Najib, ia akan memberi isyarat yang jelas kepada mana-mana pemimpin selepas ini untuk berfikir banyak kali sebelum mahu melakukan kecurangan atas nama jawatan yang mereka disandang.

Akhirnya ini tentu akan membawa lebih kebaikan kepada rakyat dan negara pada masa depan.

Siapa pengganti Najib adalah soal kedua ketika ini, yang penting penyingkirannya mesti dilakukan terlebih dahulu.

(Saya akan menulis dalam bab lain kemudian mengenai siapa yang patut mengambil alih jawatan Perdana Menteri selepas Najib berjaya disingkirkan)

Adalah memalukan jika pihak luar negara seperti FBI dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dilihat lebih bersungguh-sungguh untuk membantu menyelamatkan negara kita dan mendakwa pemimpin yang disyaki melakukan kesalahan sedangkan kita sendiri hanya berpeluh tubuh begitu saja.

Ayuh, bangkitlah kita semua!!

Kini adalah masa untuk setiap daripada kita mesti bangkit bersama-sama untuk menyelamatkan negara dan demi masa depan anak cucu yang lebih bahagia. (SH 23/09/2015)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...