Semalam, 29 September, saya telah diminta hadir ke pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau SKMM di Cyberjaya untuk diambil keterangan dan memberi penjelasan mengenai artikel blog saya bertarikh 20 September lalu yang bertajuk "Kenapa lawatan rasmi Zahid ke Indonesia sama tarikh dengan majlis sanding anaknya di Jakarta?".
SKMM mengambil keterangan saya berikutan terdapatnya aduan daripada salah seorang pegawai di pejabat Zahid Hamidi sendiri mengenai artikel yang saya tulis itu.
Sehari sebelum itu, kakitangan SKMM telah datang ke rumah saya untuk menghantar surat "Arahan Kehadiran" yang memperuntukan kemestian untuk saya mematuhi perintah yang dikeluarkan itu.
Sebelum diambil keterangan, saya dimaklumkan oleh pegawai penyiasat SKMM bahawa saya disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Seksyen tersebut ialah seperti berikut:-
Seksyen 233: Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dll.
(1) Seseorang yang -
(a) dengan menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar -
(i) membuat, mewujudkan atau meminta-minta, dan
(ii) memulakan penghantaran
apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati , menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain; atau
(b) memulakan suatu komunikasi dengan menggunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi, sama ada secara berterusan, berulang kali atau selainnya, dan dalam masa komunikasi mungkin atau tidak mungkin berlaku, dengan atau tanpa mendedahkan identitinya dan dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana orang di maha nombor atau alamat elektronik.
Saya menjelaskan kepada pegawai SKMM bahawa artikel yang ditulis itu lebih berupa pertanyaan dan bukannya tuduhan kepada Zahid Hamidi memandangkan ia sudah menjadi perbualan ramai sebelum itu.
Turut dijelaskan, selain banyak tanda soal digunakan dalam tulisan itu, malah bermula dengan tajuk sebagai awal penulisan sehinggalah perenggan akhir yang merupakan penutupnya, turut menggunakan tanda soal juga.
Saya juga memaklumkan satu perenggan dalam tulisan itu yang berbunyi, "Untuk mengelakkan fitnah dan salah faham, lebih-lebih lagi dalam dunia ketelusan sekarang ini, adalah perlu Zahid menjelaskan semua perkara ini secara jujur dan terbuka" yang menunjukkan itulah sebenarnya niat artikel itu ditulis.
Sebagai penulis, saya hanya membangkitkan apa yang menjadi perbualan ramai itu dengan harapan ada jawapan diberikan oleh Zahid atau pegawainya sepertimana yang berlaku kepada lawatan rasmi Najib Razak yang turut bersekali dengan majlis persandingan anaknya di Kazashtan pada April lalu.
Ketika menjadi wartawan dulu, saya pernah sekali diberi amaran oleh Kementerian Dalam Negeri mengenai penulisan berkaitan Korea Utara, ketika menulis buku saya turut disaman oleh Deepak dan dihalang penjualannya dan melalui blog pula, inilah pengalaman pertama saya berurusan dengan SKMM.
Semua cabang dan jalur kehidupan pada hakikatnya ada cabaran masing-masing serta kerikil-kerikil yang mesti dilalui. Apa yang saya lalui ini merupakan secebis lagi cabaran dalam kehidupan dan mudah-mudahan ada kebaikannya, bukan saja untuk diri saya tetapi juga untuk sesiapa yang cintakan kebenaran dalam dunia ini.
Dalam kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pegawai SKMM yang amat baik hati, peramah, berbudi bahasa tetapi tetap dengan profesionalismanya ketika mengambil keterangan daripada saya selama kira-kira dua jam lamanya. (SH 30/09/2015)
Inilah artikel tulisan saya yang mengundang seorang pegawai Zahid Hamidi membuat aduan kepada SKMM.
The Malaysian Insider turut melaporkan mengenai kehadiran saya ke pejabat SKMM itu.