Thursday, 31 August 2017

SUDAH MERDEKAKAH KITA?


Merdeka, merdeka, merdeka...

Sudah 60 tahun kita menyambut merdeka, tapi kali ini ada yang bangga dan merasakan kemerdekaan sebenar ialah apabila 1MDB dapat membayar hutangnya sehari lebih awal daripada yang dijadualkan.

Apakah itu patut dibanggakan?

Bukankah ia memang janji yang perlu ditunaikan?

Lagi pun,  31 Ogos iaitu tarikh akhir pembayaran perlu dibuat adalah cuti umum, jadi sudah tentu bayarannya perlu dibuat sehari lebih awal daripada itu.

Jika tidak, dengan cuti merdeka, sambung cuti Aidil Adha dan kemudian cuti tambahan lagi atas kejayaan atlit negara di Sukan SEA, sudah pasti hampir seminggu akan tertangguh lagi bayaran itu.

Bila tertangguh lagi, sudah pasti kena denda lagi sepertimana sebelum ini.

Awal bulan lalu,  disebabkan gagal melakukan pembayaran penuh AS$603 juta pada 31 Julai, IPIC setuju memberi lanjutan tempoh selama 5 hari lagi.

Kemudian, selepas 5 hari di mana 1MDB gagal juga membuat bayaran, IPIC setuju memberi tambahan masa selama sebulan lagi iaitu sehingga 31 Ogos dengan syarat bayaran AS$310 juta hendaklah dibayar pada 12 Ogos.

Tetapi, apa jadi akhirnya?

Bayaran yang dibuat kepada IPIC pada 12 Ogos itu bukan lagi AS$310 juta, tetapi AS$360 juta.

Kenapa bertambah AS$50 juta?

Bermakna, setiap kali kelewatan pasti ada harganya.

Kesimpulannya, tiada yang menghairankan bila 1MDB dapat membayar kepada IPIC sebagaimana yang dipersetujui. Ia menang kewajipan 1MDB untuk menunaikannya dan untuk mengelakkan didenda lagi.

Macam kita wajib sembahyang lima waktu dalam sehari, apakah wajar kita berbangga dan heboh sekampung ketika dapat menunaikannya tepat pada waktunya?

Yang lebih penting daripada itu untuk kita fikirkan dengan jiwa bebas dan merdeka ialah mengapa bayaran penyelesaian keseluruhan berjumlah AS$1.2 bilion perlu dibayar oleh 1MDB kepada IPIC?

Sehingga ini, satu peringkat iaitu AS$603 juta memang sudah dibayar, tetapi ada satu lagi pembayaran dengan jumlah yang sama perlu dijelaskan sebelum 31 Disember akan datang.

Apakah tiada masalah lagi bagi 1MDB untuk membayarnya ketika itu?

Selain bayaran AS$1.2 bilion tersebut, sebagai sebahagian penyelesaian yang dipersetujui, 1MDB juga setuju menanggung pembayaran faedah dan pokok bagi dua bon bernilai AS$3.5 bilion yang dijamin oleh IPIC.

Jadi, bermakna sahlah hilang terus wang yang dibayar oleh 1MDB kepada syarikat Aabar palsu sebelum ini?

Siapa yang sebenarnya untung dan siapa pula yang rugi di sebalik kehilangan wang tersebut?

Merdeka, merdeka, merdeka....kita yang merdeka atau Jho Low yang akan terus bebas merdeka?

Akhirnya, moga sambutan merdeka tahun depan iaitu selepas PRU 14 diadakan, kemerdekaan yang kita nikmati benar-benar memberi erti dalam kehidupan, bukan semata-mata kerana bangga dapat membayar hutang, sedangkan poket sendiri masih lagi kekurangan wang. (ShahbudinHusin 31/08/2017)

Wednesday, 30 August 2017

PAKATAN HARAPAN MAJU SETAPAK LAGI, PAS TIADA PILIHAN LAGI SELAIN SEGERA "BERKAHWIN" DENGAN UMNO


KENYATAAN MEDIA MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN

Majlis Presiden Pakatan Harapan telah membuat ketetapan berkenaan Pengerusi-Pengerusi Pakatan Harapan bagi negeri-negeri seperti berikut:

Selangor - YAB Dato' Seri Mohamed Azmin Ali

Pulau Pinang - YAB Lim Guan Eng

Johor - YB Tan Sri Muhyiddin Yassin

Kedah - YB Dato’ Seri Mukhriz Mahathir

Pahang - YB Dato' Fauzi Rahman

Perlis - YBhg Tn Hj Ameir Hassan

Wilayah Persekutuan - YB Tan Kok Wai

Kelantan - YB Dato' Husam Musa

Terengganu - YB Dato’ Raja Kamarul Bahrin

Negeri Sembilan - YB Aminuddin Harun

Perak - YBhg Ahmad Faizal Dato' Azumu

Melaka - YBhg Tn Hj Adli Zahari

Sabah - YB Christina Liew

Sarawak - YB Chong Chien Jien


YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad
Pengerusi Pakatan Harapan

YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Pakatan Harapan

YB Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Presiden Pakatan Harapan

YAB Lim Guan Eng
Timbalan Presiden Pakatan Harapan

YBhg Hj Mohamad Sabu
Timbalan Presiden Pakatan Harapan

30 Ogos 2017.
Pakatan Harapan maju setapak lagi dengan komitmen yang semakin jelas untuk menumbangkan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang. 

Sehari selepas memutuskan tidak akan bekerjasama dengan Pas dan disusuli dengan pendirian PKR senada dengannya, Pakatan Harapan kini mengumumkan pula senarai pengerusi negeri-negeri sebagaimana tertera di atas.

Dengan perlantikan tersebut, Pakatan Harapan sudah boleh merancakkan gerak kerja dan penyusunan jentera di setiap negeri, kawasan Parlimen, DUN dan peti undi. 

Pembahagian kerusi dan senarai calon pilihanraya juga sudah boleh dikenalpasti mulai sekarang.

Yang penting, dengan pengumuman senarai itu, ruang untuk Pakatan Harapan atau mana-mana parti di dalamnya mengadakan sebarang kerjasama dengan Pas benar-benar sudah tertutup rapat.

Lalu, apa pilihan Pas?

Sesuai dengan mandat MT UMNO yang memberi kuasa kepada Najib Razak memutuskan sama ada mahu bekerjasama dengan Pas atau sebaliknya, pilihan terbaik bagi parti pimpinan Hadi Awang itu ialah segera menjalinkan kerjasama rasmi dengan UMNO dan BN.

Teruskanlah hubungan percintaan, kemudian bertunang dan bersanding di atas pelamin dengan UMNO.

Gagasan Sejahtera mereka hanyalah gabungan yang membuang masa dan tidak mampu ke mana-mana.

Pas perlu bekerjasama dan berbahagi kerusi dengan UMNO di kawasan-kawasan Melayu jika ingin menang lebih banyak kerusi. Berperang secara tiga penjuru di mana umpama gajah sama gajah berlawan, Pas yang hanya ibarat sang kancil, lebih mungkin mati tersepit  di tengah-tengah saja.

Dalam pertandingan tiga penjuru, Pas bukan saja akan kalah banyak kerusi Parlimen, tersisih di Selangor yang rata-rata kawasan pilihanrayanya  ada pengundi bukan Melayu sekitar 20 hingga 30 peratus, gagal menawan semula Kedah dan Terengganu, bahkan akan turut kehilangan Kelantan yang dimenangi pada 1990 dengan bantuan Semangat 46.

Bekerjasama dan berbahagi kerusi saja satu-satunya cara untuk Pas menyelamatkan dirinya. Dengan saling bekerjasama, mendapat bantuan kewangan dan bersama-sama dengan UMNO menggunakan jentera kerajaan adalah peluang paling terbaik untuk Pas dapat menonjolkan dirinya dengan lebih berkesan lagi.

Dengan saling bekerjasama, Pas akan berpeluang lebih cerah untuk berkuasa di beberapa negeri, selain berkongsi kuasa dengan UMNO di peringkat Pusat yang seterusnya akan menjanjikan jawatan menteri dan pengerusi GLC yang bergaji lumayan.

Lagi pun dengan mandat MT UMNO kepada Najib sebagaimana yang diumumkan oleh Annuar Musa, ia adalah isyarat paling jelas bahawa UMNO sangat memerlukan bantuan Pas dalam pilihanraya kali ini.

Jika tidak perlukan Pas, untuk apa MT UMNO serahkan mandat kepada Najib yang diketahui umum punya hubungan intim dengan Hadi?

Pas diperlukan bukan saja untuk mengukuhkan lagi sokongan segmen Melayu terhadap UMNO, bahkan kesediaan parti itu bekerjasama dengan sendirinya mampu menyucikan Najib daripada segala skandal 1MDB, hubungannya  dengan Jho Low, pembaziran Rosmah Mansor dan kekayaan mendadak Riza Aziz.

Tanpa disucikan oleh Pas dan Hadi yang sebelum ini mengkafirkan UMNO atas amalan politik suku dan agama suku, Najib akan terus bergelut dengan kesukaran dan kepayahan untuk berdepan dengan Pakatan Harapan yang dipengerusikan oleh Tun Mahathir dalam pilihanraya akan datang.

Tiada alasan untuk pengundi normal memilih seorang kleprokrat untuk terus menyusahkan rakyat dalam cara pentadbirannya, melainkan jika Najib disucikan oleh Pas terlebih dahulu.

Lebih-lebih lagi dengan langkah demi langkah disusun Pakatan Harapan kebelakangan ini, ia dengan sendirinya menguak lebih keyakinan pengundi terhadap gabungan alternatif itu untuk membentuk kerajaan baru menggantikan BN yang semakin mereput kepercayaannya di kalangan rakyat.

Maka, atas dasar saling memerlukan atau perkiraan menang-menang, Pas dan UMNO tidak perlu menunggu lebih lama untuk mengumumkan hubungan kerjasama mereka. (ShahbudinHusin 30/08/2017)

BERAPA TEBAL KULIT MUKA NAJIB KETIKA MELAWAT AMERIKA KALI INI?


Di sebalik saman sivil dan siasatan jenayah DOJ berhubung penyelewengan dana 1MDB yang masih lagi berjalan dan tidak pernah dihentikan, Najib Razak mungkin berasa paling bangga menerima jemputan melawat Amerika Syarikat pada 10 hingga 12 September depan.

Dari segi politik dalaman Malaysia, lebih-lebih lagi berdepan PRU 14 paling mencabar baginya, setidak-tidaknya undangan Donald Trump itu membuatkan Najib dapat membuktikan kepada pengundi luar bandar dan rakyat Malaysia bahawa beliau bukanlah buruan DOJ dalam penyiasatan mereka.

Jentera propaganda Najib, pastinya akan mengulang-ulang dengan gembira perkara itu seolah-olah kemenangan sudah berada di ambang mata.

Jika sebelum ini Najib sudah agak lama tidak ke Amerika, begitu juga Rosmah sekian lama tidak membeli-belah di sana, lawatan ini pasti digunakan dengan sebaik mungkin untuk menafikan segala gambaran buruk itu.

Soal bahawa saman DOJ masih lagi berjalan tidaklah perlu diheboh-hebohkan kerana orang kampung mungkin terlalu sukar memahaminya. 

Kaitan Najib dengan skandal 1MDB dan hubungan beliau dengan Jho Low juga barangkali tidak penting bagi mereka.

Yang mustahak ialah Najib diperlihatkan boleh pergi ke Amerika dan tidak ditangkap ketika di sana. Malah beliau akan bertemu dan bebas mengadakan perbincangan dengan Presiden Amerika yang baru, Donald Trump.

Tetapi,  lawatan Najib kali ini tentu saja berbeza dengan beberapa kunjungannya sebelum ini. Selain media-media Amerika menggambarkan kunjungan dan perjumpaan Najib dengan Trump akan digunakan sebagai peluang untuk menyelesaikan saman dan siasatan DOJ berkaitan 1MDB, wajah Najib juga diberi gambaran yang jauh berbeza.

Najib juga tidak lagi sekadar disebut sebagai Perdana Menteri Malaysia, tetapi mereka terang-terang melabelkan Najib sebagai pemimpin yang terpalit dengan skandal kewangan berbilion ringgit berkaitan 1MDB.

Tidakkah itu suatu gambaran  yang amat buruk kepada Najib sebelum kedatangannya ke Amerika, baik dari segi tujuan atau wajahnya sendiri? 

Dengan gambaran sedemikian, selesakah Najib dalam lawatannya kali ini?

Bagaimanakah penerimaan media, pegawai tinggi kerajaan Amerika dan Trump sendiri terhadapnya?

Jika ada sidang media dan Najib diasak dengan pelbagai soalan berkaitan hubungannya dengan Jho Low, kekayaan anak tirinya Riza Aziz, wang AS$731 juta dalam akaun peribadi "Malaysian Official 1" dan barangan kemas berjumlah AS$28.6 juta yang diterima oleh "isteri Malaysian Official 1",  mampukah beliau menjelaskannya dengan wajah tidak bersalah?

Meskipun tidak disebut secara spesifik, DOJ jelas mengatakan wang dan hadiah barang kemas itu adalah bersumberkan daripada dana 1MDB yang diselewengkan dan sudah pasti media-media Amerika akan mengasak Najib dengan soalan-soalan panas dan ganas mengenainya?

Sebelum Najib memutuskan untuk menjawab atau mengelak asakan media itu, berapa tebal sebenarnya kulit muka beliau ketika datang ke Amerika kali ini? (ShahbudinHusin 30/08/2017)

Tuesday, 29 August 2017

APAKAH ADA ALASAN YANG LEBIH BAIK UNTUK TERUS MENGEKALKAN NAJIB?


Hancur luluh hati Tun Razak kalau hari ini beliau masih hidup - ini bukan kata-kata yang diucapkan oleh orang biasa, tetapi oleh Sultan Nazrin Shah, Sultan bagi Negeri Perak.


Beliau menggariskan empat sebab luluhnya hati Tun Razak itu.


Pertama, perpaduan rakyat yang telah dirosakkan oleh pemimpin-pemimpin politik.


Kedua, Dasar Pelajaran Kebangsaan gagal menjadikan sekolah sebagai taman asuhan untuk menyatu-padukan rakyat.

Ketiga, penyelewengan dan pembahagian kekayaan Bumiputera yang tidak adil sehingga menimbulkan kemarahan kaum Bumiputera sendiri.


Keempat, kecewa dengan amalan rasuah dan tahap integriti dalam negara ketika ini.


Sebelum ini, anak bongsu Tun Razak sendiri, Nazir Razak pernah berkata, jika bapanya masih hidup, beliau pasti terkejut melihat bagaimana negara ini ditadbir.


Nazir adalah adik bongsu kepada Najib Razak dan beliau sudah beberapa kali  bersuara melahirkan kebimbangan, menyindir dan mempunyai nada yang berbeza, terutama berkaitan isu ekonomi dan 1MDB.


Selain itu, Tun Mahathir Mohamad dalam banyak ucapannya juga turut melahirkan kekecewaan terhadap kepimpinan Najib dan menyifatkan ia amat bertentangan dengan gaya kepimpinan Tun Razak yang amat dikaguminya.


Rakyat biasanya, tentunya lebih ramai, sama ada yang bersuara secara terbuka atau menunggu masa tibanya tarikh pilihanraya, mempunyai pandangan yang serupa, sama ada dengan apa yang diluahkan oleh Sultan Nazrin Shah, Tun Mahathir atau Nazir itu.

Kenapa semakin ramai yang bersuara?


Kenapa ketika Tun Mahathir atau Tun Abdullah Badawi berkuasa dahulu, tidak pernah timbul suara yang mengatakan ada Perdana Menteri terdahulu yang kecewa, terkejut atau luluh hati dengan kepimpinan mereka?


Jika bapa Najib sendiri digambarkan pasti kecewa, terkejut dan luluh hati, apakah sebahagian daripada kita ada alasan yang lebih baik untuk terus mengekalkan lagi anaknya itu sebagai Perdana Menteri? (ShahbudinHusin 29/08/2017).

PKR KINI PERLU SEIRING DENGAN PAKATAN HARAPAN DAN TIADA KEPERLUAN LAGI TERUS MELAYAN PAS


KENYATAAN MEDIA MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN

Pendirian Majlis Presiden Pakatan Harapan berkenaan kerjasama dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah seperti berikut:

1) Pakatan Harapan tidak akan bekerjasama dengan PAS dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14); dan

2) Pakatan Harapan sedang merangka strategi untuk kemungkinan menghadapi pertandingan tiga penjuru dalam PRU-14.


YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad
Pengerusi Pakatan Harapan

YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Pakatan Harapan

YB Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Presiden Pakatan Harapan

YAB Lim Guan Eng
Timbalan Presiden Pakatan Harapan

YBhg Hj Mohamad Sabu
Timbalan Presiden Pakatan Harapan

29 Ogos 2017


Di atas adalah kenyataan media Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dikeluarkan lewat malam tadi selepas mesyuarat diadakan yang antara lain membincangkan kewujudan pertembungan pemikiran dalam PKR tentang perlu atau tidaknya parti itu terus bekerjasama dengan Pas.

Satu pihak dikatakan masih mahu meneruskan kerjasama dengan Pas dengan tujuan mengelakkan pertandingan tiga penjuru dan bagi mempertahankan Selangor, sementara satu pihak lain, sesuai dengan Pas sendiri yang memutuskan hubungan dengan PKR, merasakan tidak perlu lagi diwujudkan sebarang bentuk kerjasama dengan parti itu.

Keputusan Majlis Presiden malam tadi adalah pendirian paling jelas dan mudah difahami. Bermakna,  semua pemikiran dalam PKR perlu memahami dan menghormati keputusan tersebut. Mereka kini perlu bersatu dan bergerak seiring dengan pendirian rasmi Pakatan Harapan.

Tidak perlu dan tidak harus wujud lagi sebarang keinginan untuk terus bekerjasama dengan Pas selepas ini. Sebagaimana yang kerap ditulis dalam blog blog ini - lupakan Pas dan Pakatan Harapan perlu maju ke depan dengan keyakinan sendiri untuk menghadapi pilihanraya akan datang.

Dengan keputusan Majlis Presiden itu juga, jika Pakatan Harapan terus bergerak dengan kesepakatan yang jitu melalui gabungan PKR, DAP, Amanah dan Bersatu serta Hindraf untuk menumbangkan UMNO dan BN, maka pengundi tidak lagi keliru atau terasa dipermain-mainkan dengan gambaran wujudnya ketidaktentuan dan tidak konsisten dalam pendirian perjuangan mereka.

Keputusan malam tadi dengan sendirinya bererti Pakatan Harapan menolak sebarang kajian atau dapatan bersifat akademik yang kononnya jika pertandingan tiga penjuru dapat dielakkan, tujuh negeri dalam genggaman dapat ditawan dan hasrat merampas Putrajaya lebih mudah lagi untuk dilaksanakan.

Hakikatnya, Pakatan Harapan, meskipun peluangnya mungkin tidak berapa baik, tetapi keyakinan baru melalui strategi yang sedang dirangka, harapan untuk menawan Putrajaya tetap ada.

Secara mudahnya, dalam dunia ini hanya ada dua pilihan saja - baik atau jahat, benar atau salah, keburukan atau kebaikan dan syurga atau neraka. 

Jika ada satu pihak  mahu menyelamatkan negara bertembung dengan pihak yang sedang membawa kemusnahan, patutkah ada pihak lain mahu berkecuali atau mengatakan mereka mahu mengalahkan kedua-dua pihak tersebut?

Yang berkecuali atau mengatakan mereka mahu mengalahkan kedua-dua pihak itu sebenarnya hanya mahu mengelakkan kekalahan kepada pihak yang sedang berkuasa dan tidak mahu pihak yang mahu mengambil alih kuasa daripada mencapai kemenangan.

Maka, bagaimana mungkin jika masih ada segelintir golongan dalam pihak yang ingin mengambil alih kuasa mahu terus bekerjasama dengan mereka yang kononnya mahu mengalahkan kedua-dua pihak itu sedangkan tujuan sebenar mereka ialah untuk menjadi pengacau  yang dengan sendirinya bermakna tidak mahu kuasa baru muncul sebagai pemenang?

Diharapkan, dengan keputusan malam tadi juga, segala kekeliruan dan kerumitan dalam PKR telah berakhir, malah parti itu tidak perlu lagi terus membincangkan perkara tersebut sama ada dalam Biro Politik, mesyuarat majlis pimpinan, kongres atau apa ruang sekali pun. (ShahbudinHusin 29/08/2017).

Monday, 28 August 2017

MASYA ALLAH...APA PUNYA PESANAN TU?


Dalam majlis mengucapkan selamat jalan kepada sekumpulan jemaah haji yang diadakan di Kompeks Tabung Haji semalam, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamdi antara lain menitipkan pesanan-pesanan berikut:-

1. Kepada beberapa menteri dan ahli politik yang turut menunaikan haji dan diraikan dalam majlis tersebut, Zahid Hamidi berpesan agar mereka jangan berpolitik atau berbual-bual kosong ketika waktu wukuf, sebaliknya menumpukannya kepada ibadah dan berdoa dengan sebanyak mungkin.

"Gunakanlah masa yang singkat sewaktu wukuf untuk berdoa dan mendekatkan diri kepada Allah. Buku-buku doa ada, bacalah," ujarnya.

Ini tentunya pesanan yang baik dan bermanfaat, bukan saja kepada menteri dan ahli politik, tetapi untuk sesiapa juga yang pergi menunaikan haji ke Mekah.
Bolehlah kita ucapkan terima kasih kepada Zahid Hamidi.

2. Kepada kalangan penyanyi yang juga diraikan dalam majlis itu, Zahid mengingatkan mereka agar jangan menyanyi ketika di sana.

Tak dipastikan sama ada Zahid Hamidi bergurau atau serius mengenai pesanan sebegitu, tetapi ia seperti tidak kena kerana tidak mungkin penyanyi mahu menyanyi ketika menunaikan haji.

Mereka pergi ke Mekah untuk menunaikan haji dan beribadah, bukannya untuk berkonsert. Penyanyi atau artis yang pergi ke Mekah tentu sudah sedia maklum mengenai tujuan mereka ke tanah suci.

Jadi, ucapan Zahid Hamidi itu bagai cuba merendah-rendahkan mereka seolah-olah golongan artis dan penyanyi tidak tahu hukum agama.

3. Tidak terkecuali dalam rombongan haji yang diraikan oleh Zahid Hamidi semalam ialah CEO Utusan Melayu, Noordin Abbas dan beliau dipesankan supaya banyak berdoa agar syarikat akhbar itu pulih daripada kerugian yang dialaminya sejak bertahun-tahun lalu.

"Kalau CEO Utusan mahu syarikat itu tidak lagi rugi macam sekarang, tak payah cari orang, tetapi berdoalah ketika waktu wukuf," ujarnya.

Masya Allah...apa punya pesanan tu?

Patutkah seorang Timbalan Perdana Menteri memberi pesanan sedemikian, sedangkan Utusan Melayu melalui akhbar terbitannya, seperti yang diketahui umum, lebih banyak menyiarkan berita berat sebelah, putar-belit, berunsur provokasi dan hasutan hanya untuk kepentingan satu pihak iaitu UMNO?
Kenapa Zahid Hamidi tidak berpesan agar CEO itu banyakkan berdoa agar dapat mengemudi Utusan dengan jujur, adil, seimbang serta tidak berat sebelah dalam laporannya, selain memohon rahmat dan kebaikan untuk diri sendiri?

Atau ada baiknya juga beliau berpesan agar CEO itu berdoa ke hadrat Allah mewakili seluruh warga kerja Utusan agar diampunkan segala dosa dan kesilapan mereka atas laporan-laporan yang berat sebelah, putar-belit dan tidak adil sebelum ini?

Lagi pun, jika berdoa agar Utusan dikembalikan keuntungannya sebagaimana pesanan Zahid Hamidi itu, adakah Tuhan akan memakbulkannya selagi ia tidak berubah dan masih seperti yang ada sekarang dalam laporan-laporan beritanya? (ShahbudinHusin 28/08/2017)

Sunday, 27 August 2017

SEMUANYA TAK BOLEH PAKAI!!


Satu pihak bercakap tiada lagi sebarang rundingan, tetapi satu pihak yang lain seolah-olah merasakan mereka sebahagian daripada kerajaan negeri Selangor.

Mana satu nak diikut?

Atau adakah Pas sekarang sudah terbelah dua?

Untuk kesekian kalinya, diingatkan kepada PKR khususnya dan Pakatan Harapan amnya, mereka tidak perlu lagi membuang masa  terus melayan karenah dan telatah Pas dalam menghadapi pilihanraya akan datang.
Baik yang mengatakan sedia berunding, pintu rundingan telah tertutup atau memberi gambaran sama-sama ingin mempertahankan Selangor atau apa saja kenyataan lainnya, semuanya tak boleh pakai. Ia palsu belaka.

Selalunya begitulah, setiap kali ada kenyataan daripada pemimpin tertentu Pas bahawa mereka sedia berunding, ia kemudian akan dibalas oleh satu pihak lagi yang mengatakan tiada lagi kerjasama perlu diadakan.

Bila satu pihak mengatakan tiada lagi rundingan, muncullah pula kenyataan lain yang seolah-olah Pas tetap ingin bersama, terbuka kepada perundingan atau setidak-tidaknya mahu bersama dalam mempertahankan kerajaan negeri Selangor.

Sebenarnya, semua itu adalah wayang belaka.
Ia hanyalah kenyataan yang mahu melengah-lengahkan kesepakatan dan menjadikan Pakatan Harapan tidak bersedia sepenuhnya menghadapi PRU 14.

Kalau pun ada yang berbeza pandangan, selagi Hadi Awang lebih cintakan Najib Razak daripada kebenaran, tiada apa yang dapat pemimpin Pas lain lakukan. Mereka pula tentu saja tidak sedia meninggalkan Pas.

Jadi, akhirnya mereka akhirnya akan tetap wala' kepada Hadi dan Pas. Buang masa saja melayan mereka.

Lebih penting bagi PKR dan Pakatan Harapan ialah terus bergerak ke hadapan dan meyakinkan pengundi bahawa UMNO dan Pas atau Pas dan UMNO adalah gabungan yang satu.

Mengundi atau memilih salah satu daripadanya, yang kekal berkuasa nanti tetap seorang kleptokrat yang akan memusnahkan segala impian rakyat Malaysia untuk membina kehidupan masa depan yang lebih baik lagi. (ShahbudinHusin 27/08/2017)

UMNO SAH BUKAN LAGI SATU-SATUNYA PEMBELA MELAYU, NAJIB "DITAMPAR" MB NEGERI SEMBILAN


Demi takut kehilangan kuasa dan tindakan undang-undang mungkin bakal menantinya jika tidak lagi menjadi Perdana Menteri, Najib Razak adalah pemimpin paling kerap memainkan sentimen seolah-olah UMNO satu-satunya parti pembela kepada orang Melayu.

Antara kata-katanya ialah orang Melayu akan jadi bangsat jika UMNO kehilangan kuasa, di samping mereka juga didakwanya tidak lagi menjadi kaum yang akan diberi keutamaan di negara ini.

Seiring itu, ramuan menakut-nakutkan orang Melayu itu direncahkan lagi dengan gambaran kononnya selepas UMNO kehilangan kuasa, DAPlah yang paling berkuasa.

Beberapa pemimpin UMNO juga kerapkali mendendangkan lagu yang sama seolah-olah parti itu mesti dikekalkan berkuasa sehingga kiamat.
Sementara UMNO di bawah pemimpin sebelum ini dilihat lebih membela rakyat dan keinginan mengekalkan kuasa itu benar-benar untuk meneruskan kesinambungan terhadap pembangunan negara, sebaliknya hasrat Najib memastikan UMNO kekal berkuasa hanyalah untuk menyelamatkan dirinya semata-mata.

Hilang kuasa Najib sebagai Perdana Menteri, "bye byelah" segala-galanya.

Namun, kenyataan terbaru Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hassan berkaitan Melayu dan UMNO benar-benar merupakan tamparan kepada Najib.

Kata beliau, UMNO tidak boleh lagi berpegang kepada falsafah bahawa orang Melayu memerlukan parti itu, tetapi sebenarnya UMNO yang lebih memerlukan sokongan Melayu demi kelangsungan hidupnya.

Orang Melayu kini sudah banyak pilihan seperti Pas, PKR dan Bersatu. UMNO tidak boleh terus leka dengan terus mengatakan orang Melayu memerlukan kita, kata beliau kata berucap merasmikan mesyuarat UMNO Sembrong, Johor.

Dengan gambaran itu, sebagai antara pemimpin cerdik yang tinggal dalam UMNO serta rekod kerjaya gemilang sebagai Pengarah Urusan Mercedes-Benz sebelum menceburi politik, ia dengan sendirinya menafikan kata-kata Najib sebelum ini.

Pertama,  UMNO bukan lagi satu-satunya parti untuk orang Melayu dan Pas, PKR serta Bersatu juga adalah parti pilihan untuk mereka.

Yang kedua, bukan orang Melayu memerlukan UMNO, sebaliknya UMNO itu sendiri lebih memerlukan sokongan Melayu.

Dalam bahasa paling mudah, orang Melayu tidak mati, jauh sekali terbangsat jika tanpa UMNO, tetapi UMNO akan merempat dan mungkin ada pemimpinnya yang terpaksa masuk penjara kiranya orang-orang Melayu tidak lagi menyokong parti itu.

Ertinya juga, tidak menjadi kesalahan sama-sekali jika orang Melayu tidak lagi menyokong UMNO kerana pilihan lain sedia terbentang sebagai alternatif, bahkan parti baru umpama kenderaan baru, tentunya lebih laju dan lancar perjalanannya dalam membawa bangsa dan negara menuju mercu kejayaan.

Yang tinggal sengsara dan derita bersama tiadanya lagi sokongan orang Melayu kepada UMNO hanyalah pendurjana, perompak, penyangak dan penyamun yang selama ini bebas menyalahgunakan kuasa atas kekuasaan yang dimiliki atas nama UMNO. (ShahbudinHusin 27/08/2017).

Saturday, 26 August 2017

NAJIB SEMAKIN PANIK, PERTUKARAN KERAJAAN KIAN MENAKUTKANNYA


Baru dua hari lalu Najib Razak menulis di blognya dengan menyatakan bahawa negara kini berada dalam mood positif untuk beliau mengadakan pilihanraya umum, namun nadanya kini berubah dengan tiba-tiba.

Tidak cukup dengan itu, Najib turut menyatakan Perhimpunan Agung UMNO yang dijadualkan 5 hingga 9 Disember depan boleh ditangguhkan kiranya pilihanraya perlu diadakan terlebih dahulu.

Kata-kata Najib itu seolah-olah memberi gambaran kemungkinan Parlimen akan dibubarkan pada November atau Disember ini.

Selepas berkeyakinan jentera UMNO sudah bersiap sedia, prestasi ekonomi yang baik, KDNK memberangsangkan, rizab Bank Negara melebihi AS$100  bilion dan perpaduan rakyat di tahap tertinggi ekoran Sukan SEA yang sedang berlangsung, beliau hari ini berkata, tiada sebab bagi rakyat mahu menukar kerajaan yang ada.

Tambahnya, pengiktirafan daripada beberapa pihak, termasuk negara luar terhadap Malaysia membuktikan tahap pembangunan sedang berada di landasan yang tepat dan dengan yang demikian, kerajaan yang ada haruslah dipertahankan oleh rakyat.
Jika sudah berkeyakinan keadaan negara dalam mood positif, kenapa Najib harus bimbang dengan pertukaran kerajaan sehingga terpaksa menggunakan pujian daripada beberapa negara lain sebagai sandaran terbaru hujahnya?

Adakah beliau mula panik melihat sambutan rakyat terhadap program Tun Mahathir kebelakangan ini?

Apakah bila ada pujian daripada negara-negara lain, bermakna negara sedang dalam keadaan yang benar-benar baik untuk rakyatnya?

Apakah semua orang luar tahu permasalahan sebenar dalam rumahtangga negara kita?

Meskipun ekonomi dilaporkan berkembang positif dan semua yang lain dicatatkan baik-baik belaka,  semua orang juga sedar semua itu hanyalah di atas kertas semata-mata dan langsung tidak mencecah, apalagi dapat merubah kehidupan rakyat.

Itulah sebabnya, di sebalik semua yang kononnya positif itu, ramai masih terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi, wang dalam poket rakyat tidak pernah kecukupan, pengangguran tetap tinggi, siswazah berpuluh ribu tiada pekerjaan, perniagaan merudum dan rata-rata tertekan meneruskan kehidupan.

Berbeza dengan era Tun Mahathir di mana rakyat hidup sejahtera, ramai ahli perniagaan berjaya dan usahawan kelas menengah dilahirkan sehingga setiap kali lawatan beliau ke luar negara, pelbagai persefahaman dan perjanjian ditandatangani, sebaliknya di zaman Najib ini yang tampak benar-benar berjaya dan mencapai tahap bilionnaire hanyalah dua orang - Jho Low dan Najib sendiri.

Dalam hal berkaitan, tidakkah juga Najib sedar, di sebalik pujian daripada negara lain yang disebutkannya itu, ada beberapa negara lain, bahkan lebih banyak jumlahnya, sedang menyiasat dan telah menjatuhkan hukuman berkaitan skandal 1MDB dan pembelian kapal selam Scorpene?

Adakah Najib sedar bahawa selain kedua-dua skandal itu dikaitkan secara langsung dan tidak langsung dengan dirinya, yang lebih memalukan ialah skandal 1MDB telah mencatat rekod sebagai yang terbesar dalam sejarah dunia dari segi jumlah kehilangan wang yang dilaporkan dapat dikesan?

Maka, jika pengiktirafan daripada ulama Tunisia kononnya Malaysia adalah gambaran negara dengan imej Islam yang sebenar mahu dijadikan alasan jangan menukar kerajaan, bagaimana pula dengan penyiasatan oleh Amerika, Switzerland, Perancis dan beberapa negara lain berhubung skandal yang memalukan nama Malaysia yang juga boleh dianggap pengiktirafan terburuk?

Bukankah penyiasatan dan hukuman yang sudah dijatuhkan oleh dua tiga negara lain itu dengan sendirinya membuktikan Malaysia adalah tergolong sebagai negara penyamun atau istilah modennya, kleptokrasi?

Kalau sudah demikian jadinya kepada negara dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini, di mana salahnya keinginan rakyat mahu menukar kerajaan yang dirasakan ia boleh menjanjikan kehidupan lebih baik buat mereka? (ShahbudinHusin 26/08/2017).

APA PENDIRIAN UMNO DAN PAS SEKARANG MENGENAI AMANAT HADI?


Saudara-saudara sekelian percayalah,
Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

Percayalah saudara-saudara sekelian,
Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'.

Tanpa perlu diperkenalkan lagi, semua orang tahu dan kenal bahawa petikan diatas adalah sebahagian daripada ucapan oleh Hadi Awang yang dilafazkannya di Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981.

Petikan itu begitu popular di kalangan ahli serta penyokong Pas dan ia kemudian dikenali sebagai Amanat Hadi. Selama bertahun-tahun, amanat itu seolah-oleh pegangan dan hukum bagi Pas dalam meneruskan permusuhannya dengan UMNO.

Berdasarkan perkembangan politik semasa dan pendirian Pas berbaik-baik, malah mungkin bekerjasama dengan UMNO menjelang pilihanraya akan datang, beberapa persoalan ini seharusnya diberikan jawapan yang jujur dan ikhlas, baik oleh Hadi mahu pun oleh pemimpin-pemimpin UMNO, khususnya Najib Razak sendiri.

1. Masihkah Hadi berpegang kepada amanat yang pernah diucapkannya itu?

2. Jika pegangannya masih tidak berubah, apakah hujahnya dalam membawa Pas berbaik-baik dengan UMNO sedangkan UMNO masih menggunakan perlembagaan yang sama dan BN yang memerintah negara ini juga tidak pernah mengubah perlembagaan penjajah, undang-undang kafir dan peraturan jahiliyah yang digunakannya sejak dulu?

3. Jika pegangan Hadi sudah berubah, bolehkah beliau menerbitkan amanatnya yang baru yang mewajarkan hubungan dengan UMNO dan BN yang dulunya beliau mendakwa amalan politik suku dan agama suku sama seperti menjadi kafir?

4. Atau, jika amanat yang diucapkan pada tahun 1981 itu salah dan tidak tidak terpakai lagi sekarang ini, sediakah Hadi memohon maaf kepada UMNO dan BN serta mereka yang pernah terpengaruh dengan amanatnya yang ekstrem dan melampau itu?

5. Kepada UMNO dan BN pula, apakah tanggapan mereka sekarang ini terhadap Amanat Hadi dan kepada Hadi sendiri?

6. Apakah pemimpin-pemimpin UMNO masih terasa "dikafirkan" atau mereka menganggap telah "diIslamkan" semula apabila Hadi sudah berbaik-baik dan sedia bekerjasama dengan UMNO?

7. Kepada kedua-dua Pas dan UMNO, apakah sebenarnya demi kerana pertimbangan politik, mereka boleh menghalalkan atau bertolak-ansur dengan segala hukum halal dan haram yang pernah dilafazkan sebelum ini?

Hanya tujuh soalan saja -  Pas dan UMNO, Hadi dan Najib atau lain-lain pemimpinnya, tolonglah bagi jawapan yang jujur dan ikhlas mengenai persoalan-persoalan di atas agar umat Islam di negara ini tidak terus keliru dan dikelirukan.

Pendirian dalam politik mungkin boleh diterima jika ia berubah, tetapi apakah ketetapan dalam agama juga boleh berubah-ubah kalau ada kepentingan politik yang lebih tinggi mahu dikejar? (ShahbudinHusin 26/08/2017).

Friday, 25 August 2017

JANGAN TERPERANJAT DENGAN ANNUAR MUSA.....

Beberapa rakan menghantar pesanan melalui whatsapp berhubung kenyataan Ketua Penerangan UMNO,  Annuar Musa yang mengatakan kerugian forex adalah benar, manakala kerugian 1MDB sekadar di atas kertas sahaja.

Kata mereka, apa sudah jadi dengan Annuar? 

Kenapa sanggup memperbodohkan diri sebegitu rupa?

Yang lain pula berkata, kalau ia pun mahu membodek Najib Razak, takkan sehingga ke tahap itu sanggup dilakukannya?

Hakikatnya, ramai yang kesian dan simpati dengan Annuar apabila beliau menyatakan kerugian forex adalah benar, manakala kerugian 1MDB cuma semata-mata di atas kertas.

Siapa pun yang normal, waras dan tiada kepentingan peribadi akan menolak apa yang disebut oleh Annuar itu jika mereka membaca dan mengikuti perkembangan berkaitan 1MDB dan forex.

Forex adalah perniagaan di mana untung dan rugi adalah perkara biasa. Asalkan tiada penyonglapan, penyelewegan atau masuk ke dalam akaun bank peribadi sesiapa, kerugian dalam perniagaan seharusnya diterima sebagai sesuatu yang normal.

Lagi pula, apakah sepanjang masa perniagaan forex itu mengalami kerugian?

Bagaimana semasa perniagaan forex itu memberi keuntungan dan kenapa ia tidak pernah disebut sama-sekali?

Berbeza dengan 1MDB, ia adalah kerugian dan kehilangan atau kecurian wang yang nyata yang dilakukan melalui dana yang dipinjam dengan harapan pembayaran dapat dilakukan melalui penyenaraian awam serta pembangunan tanah TRX dan tapak Kem Tentera Udara di Sungai Besi yang dianugerahkan oleh kerajaan pada harga paling murah kepada syarikat pelaburan yang ditubuhkan oleh Najib itu.

Jika tiada kecurian dan kehilangan wang, bagaimanakah pembayaran boleh dibuat sebanyak dua kali kepada IPIC setelah bayaran pertama adalah kepada Aabar Investment yang palsu?

Jika tiada kecurian dan kehilangan wang, bagaimanakah Jho Low boleh berbelanja mewah, membeli jet, kapal layar, kondo ratusan juta ringgit, lukisan mahal, berpesta arak dan memberi hadiah barang kemas kepada selebriti Hollywood dan "isteri Malaysian Official 1"?

Jika tiada kecurian dan kehilangan wang, bagaimanakah Riza Aziz, anak tiri Najib dalam sekelip mata mampu menerbitkan filem dengan kos ratusan juta ringgit serta memiliki kondo mewah di beberapa bandar di Amerika dan London?

Jika tiada kecurian dan kehilangan wang, bagaimanakah beberapa negara boleh menjalankan siasatan, selain ada yang sudah menjatuhkan hukuman, bahkan penyiasatan di Switzerland dan Amerika belum lagi dihentikan?

Lebih dari itu, mengapa 1MDB baru-baru ini tersangkut-sangkut dalam pembayaran hutangnya kepada IPIC jika kerugiannya hanya di atas kertas?

Kiranya mahu disenaraikan, banyak lagi kecurigaan dalam urusniaga 1MDB boleh dicatatkan yang membuktikan ia bukanlah kerugian di atas kertas, malah kerugian nyata yang disekalikan dengan kehilangan atau kecurian wang berjumlah bilion-bilion ringgit banyaknya.

Persoalannya, kenapa Annuar masih sanggup mengatakan kerugian 1MDB hanyalah di atas kertas semata-mata?

Kita jangan lupa bahawa Annuar, di samping masih bernafsu dan ingin dipilih lagi bertanding di kerusi Parlimen Ketereh, beliau juga sedang berdepan dengan penyiasatan berhubung kes penajaan anak syarikat Mara terhadap pasukan bolasepak Kelantan ketika beliau menjadi Pengerusi Mara.

Kes tersebut masih lagi tergantung dan mungkin failnya ketika ini sedang berada di atas meja Perdana Menteri.

Jika tiba-tiba kesnya seperti Isa Samad, sudah tentu terbantut cita-cita dan gelaplah masa depannya.

Maka, apa nak dihairankan jika Annuar sanggup mengatakan kerugian 1MDB cuma di atas kertas, manakala kerugian forex yang semua orang faham lebih bertujuan untuk mengenakan Tun Mahathir adalah kerugian yang sebenar?

Malah, semakin dekat tarikh pilihanraya itu, janganlah terperanjat jika kata-kata yang lebih dahsyat daripada itu pun akan sanggup dilafazkannya untuk membela dan membodek Najib.

Semua kenyataan beliau di waktu  ini tentu ada makna serta harganya dan bukan kata-kata percuma. (ShahbudinHusin 25/08/2017)

PAS MESTI DIBUANG SEGERA DARIPADA KERAJAAN NEGERI SELANGOR


Semalam ,Pas Selangor mengumumkan untuk bertanding di 42 daripada 56 kerusi DUN di negeri itu. 


Selain itu, Pas juga nampaknya sudah tidak berganjak lagi untuk benar-benar memastikan berlakunya pertandingan tiga penjuru.


Dalam masa yang sama, Pas juga terlihat amat ghairah untuk turut serta bertanding di Parlimen Gombak, DUN Bukit Antarabangsa dan DUN Kajang.


Gombak dan Bukit Antarabangsa adalah kawasan yang diwakili oleh Menteri Besar Selangor, Azmin Ali, manakala Kajang pula diwakili oleh Presiden PKR, Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Kenapa Pas, selain beria-ia untuk berlawan tiga penjuru di Selangor, mereka hanya bersungguh-sungguh di kawasan yang diwakili oleh wakil rakyat Pakatan Harapan saja?


Kenapa tidak pernah kita dengar Pas menunjukkan kesungguhan yang sama di kawasan yang sedia diwakili oleh UMNO?


Pernahkah kita dengar Pas mahu merampas Parlimen Tanjung Karang yang diwakili oleh Noh Omar?


Semua ini dengan sendirinya mengesahkan Pas dan UMNO memang bekerjasama untuk menghadapi pilihanraya akan datang, meskipun ketika ini mereka sedang "makan setalam" dengan Pakatan Rakyat mentadbir Selangor.

Apakah jenis politik Pas ini, di ketika berkeras tak mahu keluar daripada jawatan bergaji lumayan dalam kerajaan Selangor, tetapi dalam masa yang sama berpakat dengan UMNO untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan?


Pendedahkan oleh akhbar Singapura mengenai perkara itu di mana Hadi Awang dan Najib Razak dikatakan berhubung hampir setiap hari dengan Najib Razak dan sedang merangka kerjasama untuk menawan Selangor,  tidak sukar diterima kebenarannya.


Kecondongan politik dan arah tuju Pas memang jelas ke arah itu, walaupun wajah politik Najib adalah yang terburuk berbanding semua Perdana Menteri yang kita ada sebelum ini.


Pas nyata tidak peduli semua itu. Mereka bukan mahu menang pilihanraya, sebaliknya hanya ingin membantu UMNO dan Najib mencapai cita-citanya.


Akhirnya, apa mesti Pakatan Harapan lakukan kepada Pas?


Pertama, lupakan Pas dan tidak harus buat sebarang rundingan lagi dengan mereka. Jangan buang masa, sebaliknya tumpukan kepada usaha mengukuhkan lagi Pakatan Harapan dan memberi penerangan mengenai isu-isu lebih besar yang berlaku dalam negara.


Jangan percaya lagi dengan mana-mana pemimpin Pas yang kononnya bersimpati dan tetap bersama perjuangan Pakatan Harapan. Pas sekarang sudah pandai "main wayang" dan hanya mahu membuatkan mereka leka.

Pemimpin Pas sebenarnya  tetap wala' kepada Hadi dan Pas. Jika benar ada antara pemimpinnya mengaku bersama dengan perjuangan Pakatan Harapan, mereka mesti berani keluar dan meninggalkan Pas. Hanya itu pilihan bagi mereka.


Kedua, Pakatan Harapan mesti buang semua Exco dan pemimpin Pas yang ada jawatan lain dalam kerajaan Selangor dengan segera. Mereka kini adalah "duri dalam daging"  kepada Pakatan Harapan.


Masa untuk bersimpati sudah berakhir. Tauke Pas kini adalah UMNO dan Najib yang bertaraf bilionaire serta boleh menjanjikan syurga dengan lebih segera kepada mereka. (ShahbudinHusin 25/08/2017)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...