Saturday, 30 November 2013

Semoga Ustaz Kazim Elias Tidak Sekadar Berperanan Baca Doa Dalam UMNO


UMNO semalam mengumumkan perlantikan sembilan ahli MT untuk melengkapkan barisan kepimpinan tertingginya, sesuai usainya pemilihan parti pada 12 Oktober lalu dan dalam menghadapj Perhimpunan Agung UMNO minggu depan. Perlantikan yang dibuat dan disahkan oleh Presiden UMNO, Najib Razak itu bagaimanapun hanya diumumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor.

Mereka yang dilantik ialah Nazri Aziz, Hamzah Zainuddin, Sharkar Shamsuddin, Irmohizam Ibrahim, Johari Abdul Ghani, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Dr Asraf Wajdi Dusuki, Prof Ibrahim Abu Shah dan seorang pendakwah bebas, Ustaz Kazim Elias.

Sudah tentu yang paling mengejutkan ialah perlantikan Ustaz Kazim Elias manakala yang lain tidaklah begitu memeranjatkan seperti Dr Asraf dan Prof Ibrahim Abu Shah. Dr Araf, walaupun menjadi Pengerusi YADIM tetapi beliau memang orang UMNO. Ayahnya, Dusuki Ahmad ialah bekas Ahli Parlimen di Kelantan dan pernah menjadi Setiausaha Politik Mahathir dan Dr Asraf juga pernah menjadi calon pilihanraya mewakili BN.

Prof Ibrahim pula memang dikenali sebagai ahli akademik dan pernah menjadi Naib Canselor UiTM tetapi sejarahnya dengan UMNO sudah berakar umbi sejak zaman pelajar lagi di mana pernah menjadi pengasas sebuah kelab UMNO di luar negara.

Lantaran itu, perlantikan mereka menduduki kerusi MT tidaklah mengejutkan, ia tidak jauh berbeza dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain yang turut dilantik itu. Tetapi agak berbeza dengan Ustaz Kazim. Walaupun dalam banyak ceramahnya yang boleh ditonton melalui Youtube, kecondongannya kepada UMNO dan kerajaan agak jelas, tetapi keahliannya dalam UMNO masih belum pasti. Ramai yang mengatakan beliau bukanlah ahli UMNO dan dalam sebuah ceramahnya juga, Ustaz Kazim ada mengaku beliau bukanlah ahli UMNO.

Menurut Ustaz Kazim dalam ceramahnya, beliau tidak peduli kepada hal-hal lain kerana dalam hatinya hanya ada Allah saja.

Dalam UMNO sendiri kedengaran suara-suara yang mempertikaikan kewajaran perlantikan beliau itu. Sementara ada yang berpandangan bagaimana Najib boleh melantik seseorang yang bukan ahli UMNO menduduki kerusi MT dan ini seakan mengesahkan lagi bahawa pemimpin UMNO tiada harga di mata Presiden UMNO dan Perdana Menteri, ramai yang lain berasa kasihan dengan nasib Ustaz Kazim selepas ini.

Mereka bimbang jika beliau tidak lagi dapat menggunakan ilmu dan pengetahuan agama yang dimilikinya dengan sewajarnya selepas menduduki kerusi MT ini kerana tenggelam dalam persekitaran dan budaya UMNO yang tidak begitu sesuai dengan seseorang yang berlatar-belakangkan agama. Sudah terbukti sebelum ini bagaimana begitu ramai golongan agama yang berada dalam UMNO dan diberi kedudukan, akhirnya tenggelam dan hanyut.

Golongan terbabit akhirnya turut terpalit dengan budaya bermewah, memiliki rumah dan kereta besar serta dikaitkan dengan beberapa perlakuan yang berunsurkan rasuah. Ilmu agama yang dimiliki kerapkali tidak lagi menjadi pemandu dalam kehidupan dan kecintaan kepada dunia akan menenggelamkan kecintaan kepada akhirat.

Inilah yang menyebabkan ramai yang kasihan dengannya kerana beliau dijangka akan menjadi golongan agama terbaru yang menjadi mangsa dan akan hanyut serta tenggelam selepas ini.

Lebih daripada itu, dengan menerima perlantikan sebagai ahli MT juga, ramai yang percaya Ustaz Kazim tidak akan berperanan dalam dakwah Islam seperti dulu lagi. Beliau akan menjadi sibuk dengan pelbagai program dan aktiviti dalam UMNO dan mungkin juga bakal diberi jawatan di mana-mana agensi kerajaan.

Akhirnya beliau hanya berperanan membaca doa di majlis-majlis berkaitan UMNO saja. Dan mungkin tugas pertamanya membaca doa ialah dalam mesyuarat MT sebelum Perhimpunan Agung UMNO minggu depan ini ataupun ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO di PWTC nanti.

Amatlah malang, daripada berdakwah, berceramah dan menyampaikan ilmu, akhirnya hanya berperanan membaca doa saja.

Lebih malang lagi, jika selepas bergaul lama dalam UMNO dan mula hanyut dalam persekitaran UMNO sebagaimana yang sudah terbukti berlaku kepada ramai golongan agama sebelum ini, nama Allah juga semakin kurang bertakhta dihatinya, sebaliknya sudah diganti dengan Najib dan Rosmah. (SH 30/11/2013)

Friday, 29 November 2013

Bukan Sekadar Gaji, Wang Pencen Juga Wajar Diserah Kepada Badan Kebajikan


Isu kenaikan gaji anggota pentadbiran dan Adun Negeri Selangor yang menjadi perbualan hangat kini akhirnya menyerlahkan sikap "talam dua muka" sebahagian wakil rakyat negeri itu. Tidak saja Adun BN yang didapati bersikap demikian, bahkan Adun daripada PR juga nampaknya bersikap sama.

Dalam perbahasan mengenai kenaikan gaji itu, sehingga bacaan kali ketiga, semua Adun bersetuju dengannya. Perkara ini didedahkan oleh Exco Selangor, Teng Chang Khim.

Yang paling menonjol bersikap demikian ialah Pengerusi PKR, Azmin Ali yang dilaporkan berada di dalam Dewan ketika perbahasan mengenai kenaikan gaji itu tetapi hanya berdiam diri dan tidak membantah apa-apa, namun apabila menyedari isu menjadi perbualan ramai, beliau mengambil sikap menentangnya dan meminta kerajaan negeri menangguhkannya.

Beberapa Adun BN juga turut mempertikaikan kenaikan gaji yang melibatkan Menteri Besar, Exco, Speaker dan Timbalan Speaker tetapi tetapi seolah-olah bersetuju dengan kenaikan gaji Adun atas alasan bebanan kerja yang semakin bertambah sekarang ini.

Malangnya, semua Adun BN ini bersetuja ketika rang undang-undang mengenainya dibentangkan dan tidak ada seorang pun yang membantah. Kalaulah isu ini tidak timbul, pastilah tidak akan terdedah sikap mereka itu.

Ini menjadikan, sehingga bacaan kali ketiga dilakukan, sokongan yang diperolehi adalah 100 peratus.

Menteri Besar, Khalid Ibrahim semalam menegaskan, kenaikan gaji itu akan tetap dilaksanakan sebagaimana yang dirancang dan tidak akan ditangguhkan, malahan mencadangkan kepada sesiapa yang tidak bersetuju dengannya agar jangan menerima kenaikan itu dan menyerahkan lebihan gaji itu kepada mana-mana badan kebajikan.

Pada mulanya, ramai yang menganggap respon Khalid itu sebagai tidak wajar, kasar serta tidak mencerminkan budi bahasa seorang yang memegang jawatan Menteri Besar.

Namun demikian, berdasarkan rentetan kejadian yang lebih memperlihatkan sikap "talam dua muka" mereka yang membantah itu, saranan Khalid itu sebenarnya amat wajar dan tepat sekali. Jika mereka rasa bersalah dengan kenaikan gaji itu, eloklah serahkan saja lebihan kenaikan gaji itu kepada mana-mana badan kebajikan, bahkan boleh juga diserahkan kepada mana-mana masjid dan surau di negeri Selangor ini.

Kerajaan negeri juga, menurut Teng Chang Khim lagi, turut menyediakan borang jika ada mana-mana Adun yang berhasrat mahu menyumbangkan lebihan kenaikan gaji ini kepada mana-mana badan kebajikan. Bagaimanapun sehingga ini dilaporkan hanya Adun Sekinchan, Ng Suee Lim yang menandatangani surat untuk menyerahkan lebihan gajinya kepada badan kebajikan.

Adalah wajar Adun yang mempertikaikan kenaikan gaji ini segera menandatangani surat tersebut dan mencontohi tindakan Adun Sekinchan yang dilihat amat bertanggungjawab. Walaupun tidak bising di media, tetapi atas rasa tanggungjawab kerana kenaikan gaji ini telah menjadi isu, beliau telah menandatangani surat kebenaran itu.

Azmin, lain-lain Adun PR yang tidak setuju serta juga Adun BN sewajarnya tidak berlengah lagi untuk menandatangani surat kebenaran itu. Tidak guna terus berlengah dan menunjukkan wajah talam dua muka kepada rakyat kerana jika mereka merasa berdosa lantaran menyokong kenaikan itu, ia mungkin dapat ditebus dengan menunjukkan sikap budiman dan menyerahkannya kepada badan kebajikan, surau atau pun masjid.

Jika terasa amat bersalah juga kerana menyokong kenaikan gaji, mereka bukan saja boleh menyerahkan lebihan gaji kepada mana-mana badan kebajikan, surau dan masjid, bahkan boleh juga melakukannya terhadap wang pencen yang bakal diterima selepas tidak lagi menjadi wakil rakyat nanti.

Kalau mahu kenaikan gaji itu, mereka harus jujur dengannya dan kalau menolaknya, haruslah juga jujur. Tidak ada sikap bermuka-muka dan bersikap talam dua muka dalam diri seseorang yang menggelarkan dirinya pejuang.

Mudah-mudahan dengan cara ini juga, mereka yang terbabit beroleh kedamaian hidup di dunia dan akhirat hendaknya. (SH 29/11/2013)

Thursday, 28 November 2013

Kalau Ada Rizab RM2.7 Bilion, Apa Salahnya Naik Gaji!!


Isu kenaikan gaji anggota pentadbiran kerajaan negeri Selangor kini hangat diperkatakan. Ramai yang menyifatkan kenaikan yang diusulkan oleh MB Selangor, Khalid Ibrahim dan diluluskan oleh DUN Selangor itu terlalu tinggi terutama bagi jawatan Speaker dan Timbalan Speaker yang hanya bertugas mempengerusikan sidang Dewan Undangan Negeri beberapa kali saja dalam setahun.

Struktur gaji baru itu ialah Menteri Besar daripada RM14,175 kepada RM29,250, anggota Exco daripada RM6,109 kepada RM20,250, Speaker daripada RM6,109 kepada RM22,500, Timbalan Speaker daripada RM3,327 kepada RM15,750 dan Adun daripada RM6,000 kepada RM11,250.

Selain Anwar Ibrahim selaku Penasihat kerajaan negeri Selangor yang menyifatkan kenaikan itu terlalu tinggi manakala Azmin Ali selaku Pengerusi PKR Selangor turut membantah dan meminta ia ditangguhkan, beberapa pihak lain turut juga membantah.

Presiden Perkasa, Ibrahim Ali menyindir bahawa kenaikan dengan mengatakan, gaji sebanyak itu, orang pekak, orang bisu dan golongan orang kelainan upaya (OKU) pun mampu menjadi wakil rakyat di negeri Selangor.

Beberapa pihak lain seperti pemimpin UMNO, NGO pro UMNO, Cuepacs dan lain-lain turut membantah kenaikan itu dan rata-rata menyatakan kerajaan negeri Selangor sepatutnya mengutamakan kepentingan rakyat dan bukannya diri sendiri.

Bekas MB Selangor, Abu Hassan Omar juga turut mengulas dengan menyatakan kenaikan itu tidak rasional dan tanpa memikirkan kepentingan rakyat. Bahkan, katanya, ketika beliau menjadi Menteri Besar, kenaikan gaji dan elaun anggota pentadbiran kerajaan Selangor dan Adun tidak pernah dibincangkan kerana kerajaan pimpinannya ketika itu sentiasa memikirkan kebajikan rakyat. Ewah, ewah...begitu menyentuh kalbu kenyataan bekas MB Selangor ini yang kariernya berakhir kerana dinasihatkan berundur berikutan terdedahnya suatu skandal berkaitan dirinya.

Adun-Adun BN di Selangor pula bersikap double-standard di mana mereka hanya mempertikaikan peratusan kenaikan gaji MB, Exco, Speaker dan Timbakan Speaker tetapi mengalu-alukan kenaikan gaji bagi Adun dengan alasan beban tugas wakil wakil tidak kenal cuti dan tiada istirehat di hujung minggu. Walaupun membantah tetapi bersetuju untuk kepentingan sendiri.

MB Selangor, Khalid Ibrahim bagaimanapun mempertahankan kenaikan itu dan bertegas ia tetap akan dilaksanakan sebagaimana yang dijadualkan. Katanya, kenaikan itu bukan saja mengambil kira beban tugas wakil wakil rakyat dan anggota pentadbirann kerajaan yang kian bertambah tetapi juga kerana dipersetujui oleh semua Adun dan BN dan PR sebelum ini.

Sambil mempertahankan kewajaran kenaikan itu, beliau juga berkata, ia dilaksanakan dengan menjadikan kenaikan gaji dan elaun anggota pentadbiran kerajaan negeri Sarawak pada Mei lalu sebagai rujukan dan perbandingan.

Kenaikan gaji yang diluluskan di Sarawak ialah Ketua Menteri daripada RM13,000 kepada RM39,000, Timbalan Ketua Menteri daripada RM11,500 kepada RM35,000, menteri kanan dan Speaker daripada RM9,000 kepada RM30,000, menteri daripada RM9,000 kepada RM27,000, pembantu menteri dan Timbalan Speaker daripada RM7,000 kepada RM21,000 dan Adun daripada RM4,500 kepada RM15,000.

Mukhriz Mahathir pula baru-baru turut menaikkan elaun Adun negeri Kedah sebanyak RM1,300.

Secara logik dan idealnya, kenaikan gaji di Selangor ini tidak ada salah dan cacat-celanya, bahkan bersesuaian dengan tugas dan tanggungjawab mereka. MB, Exco dan Adun bukan saja bekerja selama antara 16 hingga 18 jam setiap hari, bahkan meteka juga banyak memberi sumbangan dan bantuan kepada rakyat yang memerlukan. Orang sakit, isteri bersalin, bayar bil letrik, anak mahu sekolah, anak kahwin dan pelbagai lagi, semuanya selalu diadukan kepada wakil rakyat untuk meminta bantuan.

Semua sumbangan dan bantuan itu adalah menggunakan wang poket sendiri. Dengan adanya kenaikan itu, ia pasti meringankan sedikit bebanan mereka.

Kenaikan itu sebenarnya bukanlah untuk kepentingan peribadi, keluarga dan anak isteri untuk membeli-belah dan membeli beg tangan yang mahal-mahal tetapi akan menjadikan mereka lebih selesa menabur khidmat bakti kepada rakyat.

Lagi pula, kerajaan negeri Selangor telah membuktikan kecekapan, kebersihan dan kurangnya ketirisan dalam pentadbiran sehingga mempunyai simpanannya kini mencecah sebanyak lebih RM2.7 billion. Ini merupakan suatu sejarah bagi Selangor dan tidak pernah dicapai oleh mana-mana era kepimpinan MB sebelum ini.

Memang betul ketika zaman Abu Hassan, beliau tidak pernah membincangkan soal kenaikan gaji tetapi tanyalah juga beliau, berapakah rizab kerajaan negeri ketika beliau menjadi MB Selangor?

Dengan rizab yang tinggi sekarang ini dan pentadbiran yang cekap yang telah terbukti, apalah salahnya kenaikan gaji itu. Tetapi kenaikan gaji selalunya akan diiiringi dengan peningkatan prestasi dan khidmat bakti. Anggota pentadbiran dan wakil rakyat Selangor juga pasti tidak banyak mengeluh lagi dengan adanya kenaikan ini. Inilah sebenarnya falsafah kenaikan itu.

Bagi Speaker dan Timbalan Speaker, walaupun kenaikannya agak tinggi berbanding gaji sebelum ini tetapi ia sebenarnya sesuai dengan status dan kedudukan mereka dalam sistem pentadbiran kerajaan. Dengan kedudukan gaji yang lebih baik, rakyat juga akan lebih menghormati kedudukan mereka.

Selain itu, kenaikan gaji ini juga mengurangkan berlakunya amalan rasuah dan tidak amanah dalam menjalankan tugas di kalangan anggota pentadbiran kerajaan. Lihatlah kedudukan MB, Exco dan wakil rakyat Selangor ketika era BN, walaupun gaji mereka tidak tinggi tetapi hampir kesemuanya diketahui mempunyai kehidupan yang mewah, rumah besar, kereta besar yang jika diukur secara logik, langsung tidak sepadan dengan gaji dan pendapatan mereka.

Di Singapura memang diketahui, Perdana Menteri dan menteri-menterinya mempunyai gaji yang paling tinggi dalam dunia tetapi lihatlah kecekapan dan kegigihan mereka dalam membangunkan negara itu. Bahkan kejadian rasuah yang melibatkan pemimpin kerajaannya hampir tidak pernah kedengaran.

Dalam kes Selangor ini, sewajarnya Khalid Ibrahim mempertahankan kenaikan itu. Tetapi apa yang perlu beliau lakukan selepas ini ialah mempastikan perbelanjaan untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat turut dipertingkatkan. Berilah kemudahan dan keselesaan yang sewajarnya kepada rakyat negeri Selangor.

Buktikanlah kepada rakyat kenaikan gaji ini benar-benar berbaloi dengan perkhidmatan yang bakal diberikan. Di samping memastikan rizab atau tabungan kerajaan negeri terus kukuh, seimbangkanlah dengan kemudahan dan faedah untuk rakyat. Program kebajikan, perumahan, bantuan untuk golongan berpendapatan rendah harus sentiasa dipertingkatkan.

Jika ini dapat dilakukan, kewajaran mengapa kenaikan gaji dilakukan akan dapat difahami akhirnya. Mungkin sekarant banyak yang membantah tetapi masa akan menjawabnya nanti. (SH 28/11/2013).

Pepatah "Hendak Seribu Daya, Tak Nak Seribu Dalih" Tidak Pernah Berbohong


Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi bahawa kertas siasatan tidak dapat dibuka berhubung dakwaan yang dibuat oleh bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah KL, Mat Zain Ibrahim terhadap Peguam Negara, Gani Patail kerana akaun bersumpahnya bukanlah laporan polis, sebenarnya menimbulkan lebih banyak tanda-tanya kepada umum.

Ia hampir mengesahkan kebenaran dakwaan Naib Presiden PKR, N Surendran bahawa ia merupakan konspirasi untuk menutup kesalahan yang dilakukan oleh pegawai kanan kerajaan itu sedangkan akaun bersumpah Mat Zain itu mempunyai merit untuk dilakukan siasatan.

Kenyataan Zahid ini juga bertentangan sama-sekali dengan kenyaaan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar sebelum ini yang menyatakan kes yang melibatkan Gani bukanlah bidang kuasa polis untuk menyiasatnya tetapi dibawah SPRM. Khalid tidak menyebut tentang perlunya laporan polis.

SPRM pula sehingga kini masih bisu tanpa bahasa walaupun Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim Mohamed baru-baru ini telah dilantik sebagai Naib Presiden Persatuan Penguatkuasaan Anti Rasuah Antarabangsa atau IAACA dan Najib juga berbangga dengan perlantikan itu.

Jika dulu siasatan tidak dilakukan kerana dikatakan bukan dibawah bidang kuasa polis tetapi kini dikatakan pula tiada laporan polis dan akaun bersumpah bukanlah laporan polis. Nampaknya macam pelbagai alasan dan helah sedang dicari untuk tidak menyiasat Gani Patail ini.

Secara umumnya juga, isu yang dibangkitkan mengenai Gani adalah melibatkan kepentingan awam, selain pelbagai pihak juga sudah meminta agar polis menjalankan siasatan. Peguam terkenal, Karpal Singh juga berpandangan bahawa polis boleh menjakankan siasatan tanpa menunggu laporan polis kerana ia pernah belaku sebelum ini.

Bahkan, menurut Karpal, pihak polis juga boleh membuat laporan polis mengenainya.

Namun demikian, kiranya Zahid terlepas pandang dan mengatakan siasatan mengenai Gani tidak dapat dilakukan kerana Mat Zain tidak membuat laporan polis, sebaliknya hanya membuat akaun bersumpah, sebenarnya Solidariti Anak Muda Malaysia atau SAMM sudah pun membuat beberapa laporan polis mengenai Gani.

Apakah laporan polis SAMM itu tidak mencukupi dan memerlukan Mat Zain juga membuat laporan polis?

Tetapi dalam beberapa kes sebelum ini, ada siasatan polis dilakukan tanpa pihak yang menuduh membuat laporan polis. Dalam kes antara Sharifah Aini dan Siti Nurhaliza beberapa tahun lalu, polis telah menjalankan siasatan berhubung email yang dikatakan memburukkan memburuk-burukkan Siti Nurhaliza walaupun penyanyi itu tidak membuat laporan polis, sebaliknya laporan polis dibuat oleh seorang wartawan hiburan.

Jika kes itu boleh dijadikan rujukan, pihak polis sebenarnya sudah boleh membuka kertas siasatan keatas Gani berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh SAMM itu dan tidak perlu menunggu sehingga Mat Zain membuat laporan polis mengenainya.

Tetapi jika itu yang disyaratkan oleh Menteri Dalam Negeri yang baru saja mendapat undi tertinggi dalam pemilihan UMNO dan dilihat tegas sebelum ini, dan supaya tiada lagi alasan untuk melindungi Gani Patail, maka ada baiknya agar Mat zain segera membuat laporan dan lampirkan sekali akaun bersumpah yang telah dibuatnya.

Apa yang berlaku sekarang ini, ternampak bahawa pelbagai alasan dan helah sedang dicari untuk tidak menyiasat Gani Patail ini walaupun hampir semua rakyat yang prihatin dan mempunyai akses kepada maklumat, sudah memperkatakan mengenainya dirinya.

Sudah pelbagai perkara diperkatakan oleh rakyat mengenainya tetapi dakwaan Mat Zain bahawa Gani menerima rasuah dalam sejumlah wang yang besar dipercaya beratus-ratus juta dalam kes kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura dan transaksi wang itu berlaku di Hong Kong adalah tuduhan paling serius dan melibatkan aspek pengkhianatan paling besar kepada negara.

Perlakuan itu tidak boleh diterima sama-sekali oleh sesiapa pun yang waras dan jawapan Zahid Hamidi bahawa kertas siasatan tidak dapat dibuka kerana tiada laporan polis bukanlah jawapan yang diharapkan oleh oleh rakyat. Ia juga bukanlah jawapan daripada seorang menteri yang bertanggungjawab tetapi lebih kepada jawapan untuk "mengelak" dan "mengelat".

Daripada Ketua Polis Negara menolaknya kepada SPRM dan SPRM terus bisu, kini Zahid pula seperti berdalih dengan mengatakan akaun bersumpah bukanlah laporan polis, barangkali jika Najib mendapat ilham untuk membuka mulut dan bersuara pula selepas ini, jawapannya barangkali sudah boleh dijangka. Ia pasti tidak tergelincir daipada garisan mahu mempertahan dan melindungi Gani Patail.

Maka terbuktilah pepatah orang tua-tua, "hendak seribu daya, tak nak seribu dalih" sentiasa benar sampai bila-bila pun. (SH 28/11/2013)

Wednesday, 27 November 2013

Pemimpin UMNO Tiada Harga Di Mata Najib


Apabila bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad mengkritik Najib dengan mengatakan kepimpinannya semakin lemah dan sering tunduk kepada tuntutan kumpulan ekstremis pembangkang, beberapa pemimpin UMNO segera tampil menyanggah pandangan itu. Menurut mereka, keterbukaan Najib tidak seharusnya ditafsirkan sebagai tunduk dan lebih mendengar tuntutan pembangkang.

Namun demikian, dua hari lalu Najib mengumumkan penubuhan Majlis Konsultansi Perpaduan Negara atau MKPN sebagai usaha mengukuhkan perpaduan pelbagai kaum di negara. MKPN ini diberi tempoh selama enam bulan untuk memberi cadangan kepada kerajaan bagi tujuan itu.

Cuba lihat ahli-ahli MKPN ini:-

Pengerusi - Samsudin Osman
Timbalan Pengerusi - Lee Lam Thye

Ahli majlis:

Ramon Navaratnam
Pheng Yin Huah
Napsiah Omar
Dr Michael Yeoh Oon Kheng
Johan Jaafar
Senator Boon Soom a/l Inong
Dr Mujahid Yusof Rawa
Clarence Bongkos Malakun
John Sikayun
Lim Kok Cheong
Saifuddin Abdullah
Zainal Abidin Abdul Kadir
Rugayah Abdul Majid
Dr Kantayya Mariapan
Prof Madya Dr Madeline Berma
Prof Dr Suresh Kumar a/l Govind
Dr Bilson Kurus
Tan Yew Sing
Lim Chee Wee
Lim Lam Thye
Sadar Jagir Singh
Marina Mahathir
Mohamed Maliki Mohamed Rafiee
Mohamad Anas Omar @ Anas Zubedy
Wardina Safiyyah
Ariff Irwani Azahari
Audrey Goh

Di mana pemimpin dan Ahli Parlimen UMNO dalam majlis itu? Kalau PAS diwakili oleh Ahli Parlimen dan AJK Pas Pusathya, Dr Mujahid Yusof Rawa, apakah menjadi suatu kesalahan dan dosa bagi Najib untuk melantik Ahli Parlimen UMNO atau dari kalangan Ahli Majlis Tertinggi UMNO menganggotai majlis itu?

Kenapa dalam soal mahu mewujudkan perpaduan dan memberi idea serta cadangan ke arah mewujudkan perpaduan, UMNO sebagai parti teras dalam kerajaan dipinggirkan?

Kenapa juga pemimpin daripada Perkasa atau Jati tidak dijemput sama?

Dalam MKPN ini, kalau ada pun wajah UMNO didalamnya hanyalah melalui Saifuddin Abdullah, Napsiah Omar dan Zainal Abidin Abdul Kadir tetapi Saifuddin telah kalah dalam pilihanraya dan pemilihan UMNO yang lalu. Pengamal politik baru ini sudah boleh dianggap pemimpin yang berada di luar lingkungan. Napsiah dan Zainal Abidin pula adalah bekas wakil rakyat dan sudah menjadi "orang pencen" dalam UMNO.

Apakah Marina Mahathir yang pernah terlibat dengan Bersih, Sister In Islam dan turut dikaitkan dengan tuntutan Comango mahu diharapkan mewakili UMNO dalam memberi cadangan yang mewakili UMNO dan kepentingan Melayu dalam soal perpaduan ini?

Komposisi ahli-ahli majlis MKPN ini juga seperti tidak menggambarkan realiti kedudukan kaum yang sebenar di mana sepatutnya ahli daripada kalangan Melayu jauh lebih ramai berbanding ahli daripada kaum lain. Melayu dan UMNO sebenarnya sama-sama dipinggirkan dalam MKPN ini.

Ramai juga yang keliru mengapa Najib melantik artis Wardina menganggotai majlis ini kerana beliau diketahui memang mempunyai pandangan yang lebih mirip kepada pembangkang serta kerapkali mengkritik kerajaan dalam tulisannya di twitter. Kenapa tidak dilantik daripada kalangan pemimpin persatuan artis atau daripada kalangan penggiat seni yang
lebih senior?

Selain Melayu dan UMNO diketepikan dalam usaha membentuk perpaduan, Najib yang juga Presiden UMNO nampaknya lebih menghargai dan memanding tinggi kewibawaan Ahli Parlimen dan AJK Pas Pusat berbanding parti di mana beliau sendiri menjadi ketuanya.

Barangkali ini merupakan satu lagi idea cemerlang daripada Pemandu, kalangan penasihat (punah-sihat?) atau perunding luar (dipanggil juga con-sultan atau con-setan) yang telah menelan belanja RM7.2 bilion sejak lima tahun lalu.

Dan tanpa sedar, Najib telah mengesahkan pandangan Mahathir terhadapnya. (SH 27/11/2013)

Isu Peguam Negara: Berdiam Diri Bukan Lagi Jawapan


Pendedahan terbaru yang dibuat oleh bekas pegawai kanan polis, Mat Zain Ibrahim bahawa Peguam Negara, Gani Patail menerima sejumlah wang yang besar dalam transaksi yang berlaku di Hong Kong dalam kes kehilangan Pulau Batu Puteh, bukanlah isu yang boleh dipandang ringan. Tuduhan ini jelas membawa maksud bahawa Gani telah menerima rasuah dan kemudian membuat pembelaan yang lemah supaya pulau yang begitu strategik itu jatuh ke tangan Singapura.

Lebih-lebih lagi, Mat Zain membuat dakwaan ini bukanlah di tepi jalan atau melalui surat layang yang mungkin boleh ditafsirkan sebagai tuduhan tanpa bukti dan melulu, tetapi melalui akaun bersumpah yang jelas kewibawaannya. Beliau tentunya tidak akan membuat dakwaan sedemikian dalam akaun bersumpah jika tidak mempunyai bukti mengenainya.

Sebagaimana dakwaan melalui ucapan atau kenyataan dalam sidang akhbar pun terdedah kepada tindakan saman, membuat dakwaan dalam akaun bersumpah pastinya lebih mengundang risiko undang-undang yang lebih besar kiranya dakwaan yang dibuat itu palsu dan tidak berasas.

Oleh itu, sikap berdiam diri Gani Patail dalam hal ini bukanlah tindakan yang boleh diterima. Setelah sekian banyak tuduhan dan dakwaan dikaitkan terhadap dirinya, dakwaan beliau menerima rasuah sehingga mendorong kehilangan Pulau Batu Puteh ini adalah tuduhan yang serius dan memerlukan jawapan. Setidak-tidaknya beliau mengambil tindakan undang-undang terhadap Mat Zain.

Gani tiada alasan lagi untuk berdiam diri dan berharap segala dakwaan terhadapnya akan dilupakan seiring dengan peredaran masa. Berdiam diri hanya membuktikan beliau bersalah dan dakwaan Mat Zain mempunyai asas serta kebenarannya.

Begitu juga dengan Perdana Menteri, Najib Razak turut tidak boleh sekadar berdiam diri dan membisu dalam hal ini. Jika Gani mempunyai tanggungjawab untuk membersihkan namanya jika dakwaan itu tidak benar, Najib pula sebagai Perdana Menteri mempunyai tanggungjawab moral kepada rakyat dalam isu ini.

Sudah sampai masanya beliau bersuara dan menjelaskan kepada rakyat berhubung dakwaan rasuah yang melibatkan Peguam Negara ini. Membiarkan rakyat tertanya-tanya dan mempunyai persepsi yang buruk terhadap Peguam Negara bukan saja akan menyebabkan kewibawaan dan ketelusannya sebagai Perdana Menteri turut dipertikai, bahkan juga akan meletakkan negara dalam keadaan tidak lagi diyakini oleh rakyat.

Kalau pun Najib tidak mahu sampai mengambil tindakan menggantung tugas atau merehatkan Gani Patail, beliau sekurang-kurangnya bersuara untuk menyiasat kebenaran dakwaan rasuah yang dibuat oleh Mat Zain. Tambahan pula, akaun bersumpah tersebut turut juga dihantar kepadanya.

Memang tiada alasan, baik untuk Najib atau Gani terus berdiam diri dan membisu dalam hal ini. Jika Najib boleh menggelarkan rakyat yang tidak membayar cukai sebagai pengkhianat kepada negara, jika benar dakwaan bahawa Gani Patail telah menerima sejumlah wang yang besar sehingga menyebabkan Pulau Batu Puteh berpindah tangan, ini merupakan pengkhianatan yang jauh lebih besar lagi.

Bukan sikap pemimpin yang bertanggungjawab jika terus-menerus tidak bersuara dalam isu Gani Patail ini. Membisu hanya meletakkan Najib turut dikaitkan bersekongkol untuk melindungi Peguam Negara itu dan mungkin pula dikaitkan ada kepentingan dengannya.

Menerima rasuah dalam kes sekecil apa pun tetap dipandang hina dan jijik serta merupakan kesalahan dari segi undang-undang, dakwaan menerima rasuah oleh mereka yang memegang kitab undang-undang dan melibatkan kedaulatan negara pula tentulah jauh lebih hina dan jijiknya. Tidak ada rakyat yang boleh menerima perbuatan seperti itu.

Inilah masanya Najib membuktikan slogannya "kami mendengar", "rakyat didahulukan" dan banyak lagi yang indah-indah sebelum ini tidak sekadar slogan semata-mata. Sudah sampai masanya ia dibuktikan. (SH 27/11/2013)

Monday, 25 November 2013

Bolehkah Kita Tersenyum Lagi?


Semalam Najib menyatakan bahawa mereka yang mengelak daripada membayar cukai adalah dianggap telah melakukan pengkhianatan kepada negara. Ini kerana, menurut tafsiran Perdana Menteri, membayar cukai adalah sebahagian daripada ciri semangat patriotisme kepada negara.

Dalam bahasa yang mudah ialah mereka yang tidak membayar cukai tidak ada semangat patriotisme dan adalah pengkhianat negara.

Hujah Perdana Menteri ini lantas menimbulkan perdebatan banyak pihak, tetapi lebih ramai yang tidak bersetuju berbanding menyetujui cakap Najib itu. Bahkan, ramai menyerang balas Najib dengan menyatakan bersikap boros dan membelanjakan wang pembayar cukai secara sesuka hati juga merupakan pengkhianatan kepada negara.

Ada pula yang berkata, gelaran pengkhianat kepada yang tidak membayar cukai itu sebagai keterlaluan dan agak melampau. Tidak wajar seorang Perdana Menteri mengucapkan perkataan demikian. Ia sama seperti tidak wajarnya Najib mengucapkan perkataan "haram jadah" kepada peneroka Felda suatu ketika dahulu.

Hari ini pula, Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan memberitahu Parlimen bahawa hutang negara sehingga Oktober 2013 adalah berjumlah RM529.6 bilion atau 53.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK. Had hutang yang dibenarkan ialah 55 peratus daripada KDNK.

Tetapi Ahmad Maslan juga memberitahu, keadaan sebenarnya masih lagi terkawal.

Sudah tentu ramai yang tidak bersetuju dengan Ahmad Maslan kerana setelah hampir tergelincir ke dalam lubang yang dalam pun, beliau masih lagi berkata, hutang negara dalam keadaan terkawal.

Dengan hutang yang kian meningkat ini, ramai yang berkata, "patutlah Najib begitu terdesak mahu rakyat membayar cukai sehingga melabelkan pengkhianat kepada yang cuba mengelaknya."

Semuanya saling kait-mengait sebenarnya. Jika usaha menakutkan rakyat supaya membayar cukai ini berjaya, maka bertambahlah pendapatan negara untuk tahun depan. Mungkin itu sebabnya Ahmad Maslan kata hutang negara masih boleh dikawal.

Namun demikian kebimbangan tentang hutang di zaman Najib memang ada asasnya. Rakyat wajar berasa bimbang dengan hutang yang sudah mencecah 53.6 peratus daripada KDNK sedangkan had yang dibenarkan cuma 55 peratus. Bagaimana pula kedudukan hutang negara pada tahun depan atau lima tahun akan datang?

Apa jadi jika hutang negara nanti melebihi had yang dibenarkan itu? Adakah negara akan bankrap? Adakah kita akan menuruti jejak negara Greece yang terbeban dengan kemelut hutang yang berpanjangan?

Bagaimana pula nasib rakyat? Bagaimana dengan kos hidup dan peluang pekerjaan? Sudah tentu deretan persoalan panjang akan bermain di fikiran setiap rakyat, ditambah dengan keceluparan Najib menggelarkan pengkhianat, resah dan bimbang juga turut bertambah jadinya.

Ketika Najib mengambil alih teraju pemerintahan negara pada 2009, hutang negara cuma RM362.4 bilion. Hanya dalam tempoh hampir lima tahun, hutang negara sudah mencanak hampir sekali ganda kepada RM529.6 biliion. Lagi banyak transformasi, lagi banyak hutang rupanya.

Dalam tempoh lima tahun juga, bayaran kepada konsultan saja berjumlah RM7.2 biliion. Bil letrik Seri Perdana pula berjumlah RM2.2 juta walaupun Najib mendakwa beliau hanya menumpang tinggal di kediaman milik rakyat itu. Apakah itu cara menumpang namanya?

Jika dikira kos lawatan Najib ke luar negara antara 2008 hingga 2013 yang berjumlah RM44 juta, kos jamuan rumah terbuka Aidil Fitri hampir RM3 juta serta lain-lain dan isterinya juga turut menggunakan wang pembayar cukai untuk perjalanan ke luar negara, jumlahnya tentulah lebih besar lagi.

Dalam tempoh setahun atau lima tahun akan datang, belum ternampak tanda-tanda Najib mahu berjimat cermat dalam perbelanjaannya. Begitu juga isterinya, selepas menyatakan beliau langsung tidak terganggu dengan pelbagai kritikan terhadapnya, jadual Rosmah ke luar negara dan tempahan jet eksekutif juga barangkali sudah siap menanti dengan lebih banyak lagi.

Dengan semua keadaan ini, rakyat sudah tidak mampu tersenyum lagi sebenarnya dalam memikirkan nasib masa depan negara ini. Kalau pun ada yang masih tersenyum, hanyalah senyum pahit dan terpaksa saja. (SH 25/11/2013)

Sunday, 24 November 2013

"Tak Perlulah Sampai Guna Lilin, Tapi Tunjuklah Keinginan Nak Berjimat"


Perdana Menteri, Najib Razak akhirnya bersuara juga mengenai kontroversi bil letrik di Seri Perdana yang mencecah lebih RM2.2 juta bagi tahun 2012 yang lalu sehingga bukan saja menjadi isu Parlimen tetapi juga menjadi perbualan di kalangan rakyat. Rata-rata berpendapat, bil sebanyak itu terlalu tinggi dan kurang sesuai dengan kedudukan ekonomi negara sekarang ini.

Dalam penjelasannya, Najib berkata, jumlah sebanyak itu adalah sesuatu yang wajar dan tidak dapat dielakkan kerana Seri Perdana adalah sebuah kompleks yang mempunyai pelbagai kemudahan dan digunakan juga untuk meraikan tetamu-tetamu kerajaan.

Lagi pula, kata Perdana Menteri lagi, Seri Perdana bukanlah miliknya, sebaliknya adalah milik rakyat. "Saya orang ketiga berpeluang tinggal di sana, sesiapa saja yang menjadi Perdana Menteri, termasuk jika PR yang memerintah selepas ini, Perdana Menteri mereka juga tinggal di situ.

"Jangan bangkit pasal bil letrik Seri Perdana tinggi, macam mana nak elak, itu bukan saya punya, tapi rakyat yang punya. Itu bukan kediaman saya, itu adalah kediaman Perdana Menteri dan saya hanya menumpang. Kalau ketua kerajaan lain datang, adakah kita kena raikan mereka dalam gelap?

"Bila Presiden China datang, takkan nak makan dengan cahaya lilin" jelas Najib dalam suatu program di Kuala Lumpur.

Sekali imbas, memang nampak logik dan meyakinkan jawapan Najib itu. Tetapi dua kali imbas, jawapan itu memperlihatkan sikapnya yang tidak mahu berubah dan mengurangkan langsung walau satu sen bil letrik di Seri Perdana itu. Tidak ada sesiapa menafikan bahawa Seri Perdana adalah kediaman Perdana Menteri dan sesiapa yang menjadi Perdana Menteri berhak tinggal di situ. Persoalan yang dibangkitkan ialah kenapa bil letriknya terlalu tinggi sedangkan di ketika yang sama hutang negara makin tinggi dan rakyat diminta berjimat cermat? Tidak bolehkah berjimat sedikit?

Ini kerana ramai yang tahu bahawa bil letrik di Seri Perdana tidaklah terlau tinggi ketika Mahathir dan Pak Lah tinggal di sana. Kenapa hanya sekarang bilnya tinggi? Adakah tiap-tiap malam tetamu luar diraikan di sana? Adakah kenaikan itu kerana banyaknya alat-alat letrik dan lampu-lampu kristal dipasang di Seri Perdana sejak Najib dan Rosmah tinggal di situ?

Jawapan Najib bahawa "kalau Presiden China datang, takkan nak makan dengan cahaya lilin" pula ternyata keluar daripada tajuk yang diperdebatkan rakyat. Kalau dalam peperiksaan, jawapan yang keluar tajuk ini tidak mendapat apa-apa markah. Persoalan rakyat ialah kenapa bilnya terlalu tinggi dan tak bolehkah dikurangkan jumlahnya itu?

Rakyat tidaklah mahu Perdana Menteri sampai menjamu tetamu negara luar dengan cahaya lilin atau tidur tanpa menggunakan penghawa dingin atau tanpa kipas angin. Kalau mahu juga makan makam dengan cahaya lilin, cukuplah ketika beliau makan dengan isterinya saja. Untuk kegunaan ketika meraikan tetamu luar negara, gunakanlah yang sewajarnya tetapi ketika tiada apa-apa kegunaan, berjimatlah.

Apa yang rakyat mahukan ialah sekurang-kurangnya tidaklah semua penghawa dingin atau lampu dipasang sepanjang masa. Pasangnya di mana yang perlu saja. Lampu-lampu hiasan dan kristal mewah tidaklah juga perlu dinyalakan seoanjang malam.

Apa yang rakyat mahukan juga ialah komitmen dan keinginan untuk berjimat cermat sebagaimana yang beliau selalu sarankan kepada rakyat. Tetapi kenapa Najib terlalu berat mulut untuk memberikan komitmennya untuk turut sama berjimat cermat seperti rakyat, sekurang-kurangnya berjanjilah bil letrik di Seri Perdana bagi tahun 2013 dan tahun-tahun seterusnya akan terus menurun berbanding bil RM2.2 juta bagi tahun 2012.

Namun jawapan Najib ini hanya memperlihatkan sikapnya yang mahu terus bermewah dan menggunakan apa saja semahunya wang pembayar cukai tanpa sekatan. Beliau langsung tidak memperlihatkan sikapnya mahu menjiwai kesusahan dan derita rakyat, bahkan tanpa peri kemanusiaan melabelkan pula rakyat yang mengelak daripada membayar cukai sebagai pengkhianat.

Semua orang tahu tentang tanggungjawab sebagai pembayar cukai, tetapi pembayar cukai kadang-kadang hendak juga tahu ke mana wang cukai mereka dibelanjakan dan tidak mahu ia disia-siakan dengan penggunaan yang tiada kena-mengena seperti pembaziran bil letrik, sewaan jet eksekutif, jamuan mewah dan sebagainya.

Adakah pengkhianat juga namanya jika mempersoalkan ke mana perginya wang cukai ini? (SH 24/11/2013)

Saturday, 23 November 2013

Kemenangan Yang Tidak Menggembirakan UMNO


Pemenang bagi jawatan Timbalan Presiden Pas sudah pun diketahui. Mat Sabu akhirnya berjaya mengekalkan jawatannya setelah menewaskan pencabarnya, Nik Amar Nik Abdullah dengan 588 undi berbalas 490. Setelah Haji Hadi Awang menang tanpa betanding bagi jawatan Presiden sebelum ini, bermakna gandingan ulama dan bukan ulama kekal menerajui kepimpinan Pas bagi tempoh dua tahun akan datang lagi.

Gandingan Haji Hadi dan Mat Sabu ini bakal memastikan Pas mampu terus memberi cabaran yang meyakinkan kepada UMNO menjelang pilihanraya umum akan datang. Hujah ini tidaklah bermakna Nik Amar bukan pemimpin yang baik untuk Pas tetapi dengan watak dan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan sekarang, barangkali beliau lebih sesuai untuk Pas Kelantan berbanding Pas Pusat.

Tetapi berbeza dengan Mat Sabu, watak dan kehebatannya dalam berpidato serta energinya yang agak luar biasa berceramah ke seluruh negara tanpa lelah, kekalnya beliau sebagai pemimpin nombor dua Pas ini menjadikan Pas terus segar di mata rakyat. Gandingannya dengan Haji Hadi pula bagaikan pelengkap kepada usaha parti itu meraih sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Bagaimanapun kemenangan Mat Sabu ini pastinya paling tidak menggembirakan UMNO. UMNO terlihat lebih suka Nik Amar menang jawatan nombor dua ini kerana jika beliau menang, beliau pasti tidak selincah Mat Sabu berceramah dan mengulas pelbagai isu yang berlaku dalan UMNO dan kerajaan.

Sebab itu, UMNO memang mengharapkan Mat Sabu kalah. Ramai pemimpin UMNO, sama ada secara terbuka atau dalam diam, sebenarnya lebih suka Nik Amar menang berbanding Mat Sabu. Bukanlah kerana mereka sayangkan Nik Amar atau pun cintakan golongan ulama, tetapi kerana ada keuntungan daripadanya.

Melalui Utusan Malaysia pula, usaha meracuni pemikiran perwakilan Pas sudah lama kedengaran bahawa Pas kononnya mesti kembali kepada kepimpinan ulama dan berpegang teguh dengan matlamat asal penubuhannnya. Pas juga cuba diyakinkan bahawa orang Melayu lebih menerimanya jika kepimpinannya diterajui oleh golongan ulama kembali.

Melalui bekas Pesuruhjaya Pas Selangor yang telah dipecat, Dr Hasan Ali, nada yang sama juga kedengaran. Beliau kerapkali bersuara mahukan golongan ulama memimpin Pas serta meminta perwakilan menolak golongan bukan ulama yang dikaitkannya Anwar Ibrahim yang kononnya mula menguasai Pas sekarang ini.

Tidak cukup dengan itu, bekas Menteri Penerangan dan bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Zainuddin Maidin, jarum untuk meracuni fikiran perwakikan Pas lebih dahsyat lagi. Beliau yang dikenali dengan Zam cuba menakutkan Pas bahawa Mat Sabu tidak mustahil akan menjadi presiden parti itu jika sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada Haji Hadi dalam tempoh terdekat ini.

Maknanya, UMNO melalui pelbagai saluran yang digunakannya hampir sepakat menolak Mat Sabu dan lebih mengharapkan Nik Amar memenangi jawatan itu.

Namun kekalnya Mat Sabu sebagai gandingan kepada Haji Hadi mengesahkan bahawa perwakilan Pas sama-sekali tidak termakan dengan cucukan jarum-jarum halus itu. Mereka terus mengekalkan Mat Sabu kerana yakin beliau adalah gandingan terbaik bersama Haji Hadi dalam memimpin Pas ketika ini.

Gandingan mereka berdua ini dipercayai bukan saja mampu mengekalkan sokongan pelbagai lapisan masyarakat terhadap parti itu tetapi juga akan menjadikan Pas terus segar dan ke depan dalam menangani pelbagai isu semasa yang silih berganti berlaku sekarang ini.

Dalam masa yang saja, kedudukan Pas dalam PR juga tidak banyak terjejas. Ini bukanlah bermakna Mat Sabu pro Anwar atau DAP tetapi beliau mempunyai pemikiran politik yang lebih serasi dengan Haji Hadi dan Nik Aziz dalam konteks kerjasama dengan DAP dan PKR ini serta lebih memahami realiti politik majmuk bahawa untuk memberi saingan kepada UMNO dan BN, Pas tidak seharusnya bersendirian. Sebagaimana UMNO bergabung dengan MCA, MIC dan berbagai parti lain, untuk menumbangkan UMNO, Pas juga sebenarnya perlu berkawan dengan parti-parti lain.

Ini tentunya berbeza dengan Nik Amar yang awal-awal sudah memberi bayangan perlunya dikaji kerjasama dengan PKR dan DAP, tanpa menilai bahawa kerana adanya kerjasama dengan parti-parti lainlah PAS mampu menang lebih kerusi di Selangor dan dapat menduduki kerusi Menteri Besar Perak pada 2008 dahulu.

Kemenangan Mat Sabu bersama sebahagian besar kumpulan bukan ulama bagi jawatan AJK Pusat juga menyaksikan bahawa perwakilan Pas masih rasional dalam mengejar cita-cita mengambil alih kuasa bersama PR dalam pilihanraya ke 14 akan datang. Jika ditambah dengan keputusan jawatan Naib Presiden esok di mana sekurang-kurangnya dua pemenangnya dari golongan bukan ulama, tidak diragui lagi bahawa Pas bakal memberi saingan yang tidak menggembirakan bagi UMNO untuk tahun-tahun seterusnya.

Dengan campuran ulama, profesional dan aktivis terus menerajui kepimpinan Pas serta struktur dalam PR juga tidak banyak berubah, gabungan pembangkang ini dilihat mampu memberi saingan yang seimbang dan akan terus berlawan dengan UMNO dan BN di tanah yang hampir sama rata dalam pilihanraya akan datang.

Akhirnya, apabila persaingan menjadi seimbang dan sama rata untuk memperolehi kuasa, yang untung dan mendapat banyak manfaatnya tidak lain ialah rakyat juga. (SH 23/11/2013)

Friday, 22 November 2013

Antara Isteri Tengku Adnan Dan Isteri Najib


Isu kenaikan cukai pintu yang dicadangkan oleh DBKL baru-baru ini telah menimbulkan keresahan kepada warga kota. Ramai yang terperanjat apabila menerima bil cukai pintu masing-masing. Kenaikan antara 100 peratus hinga 300 peratus yang dicadangkan itu dianggap terlalu tinggi dan membebankan. Setelah dibebankan dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup, kenaikan cukai pintu ini tentunya menambahkan lagi kadar darah tinggi sebahagian besar penduduk Kuala Lumpur.

Sebab itu, bantahan mengenainya kedengaran di mana-mana. Tidak ada yang bersetuju dengan kenaikan yang terlalu tinggi itu. Tidak saja Ahli-Ahli Parlimen PR yang menyuarakan bantahan dan meminta DBKL mengkaji semula kenaikan itu, dua Ahli Parlimen BN di Wilayah Persekutuan iaitu Ahmad Fauzi Zahari dari Setiawangsa dan Johari Abdul Ghani dari Titiwangsa turut juga bersuara.

Bagi Ahmad Fauzi, kenaikan itu tidak sesuai dengan keadaan kehidupan rakyat yang semakin terbeban dengan pelbagai kesan kenaikan yang dilakukan oleh kerajaan sendiri seperti penghapusan subsidi gula, kenaikan harga minyak dan sebagainya manakala Johari pula melihat kenaikan cukai pintu yang terlalu tinggi menyebabkan pemberian BR1M langsung tidak memberi makna kepada rakyat.

Sama seperti Ahli-Ahli Parlimen PR, kedua-dua Ahli Parlimen BN itu juga mahu DBKL mengkaji semula kenaikan yang dicadangkan itu dan lebih bertimbangrasa dengan rakyat. Bantahan yang diterima daripada penduduk Kuala Lumpur berhubung kenaikan cukai itu pula berjumlah 2,500 sehingga semalam.

Bagi Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor pula, pada peringkat awalnya beliau agak berkeras dengan kewajaran kenaikan cukai pintu yang dicadangkan oldeh DBKL itu dengan alasan hartanah di Kuala Lumpur sudah meningkat nilainya, selain hujah bahawa semakan kenaikan tidak dilakukan sejak 21 tahun lalu.

Bagaimanapun, selepas pertemuan dengan Ahli-Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan semalam, nada Tengku Adnan sedikit berbeza. Tidak lagi terlihat nadanya yang keras, wajahnya juga manis dengan senyuman dan beliau memberi jaminan kenaikan cukai pintu yang bakal diumumkan oleh DBKL nanti tidak akan membebankan rakyat.

Rupa-rupanya antara 2,500 yang membuat bantahan itu termasuk isterinya sendiri. Tengku Adnan sendiri memberitahu bahawa isterinya turut tidak setuju dengan kadar kenaikan yang dicadangkan itu, lalu beliau mencadangkan agar isterinya mengemukakan bantahan kepada DBKL.

Walaupun Tengku Adnan dikenali sebagai hartawan yang berjaya dan wang bukanlah masalah untuk membeli apa saja, jiwa rakyat dan memahami masalah rakyat yang dimiliki oleh isterinya itu adalah sesuatu yang disanjung. Jiwa, naluri dan keprihatinannya terhadap susahnya kehidupan rakyat dan keinsafan bahawa bukan semua rakyat memiliki poket yang sentiasa kembung, membuatkan beliau bukan saja bersama-sama dengan semua Ahli Parlimen di WP yang tidak bersetuju dengan kenaikan itu itu, bahkan meletakkan dirinya berbeza pendapat dengan suaminya sendiri.

Walaupun tidak semua penduduk Kuala Lumpur bersetuju dengan cara, stail dan gaya politik Tengku Adnan selama ini, tetapi pasti semua warga bandaraya ini bersetuju dengan isterinya yang turut mengemukakan bantahan dan menunjukkan keprihatinannya dalam isu kenaikan cukai pintu ini.

Beberapa hari sebelum ini pula, kontroversi yang ditimbulkan oleh isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor berhubung lawatannhya ke Qatar dengan menggunakan jet eksekutif dan perbelanjaan ditanggung oleh kerajaan, telah menimbulkan kecaman pelbagai pihak. Tidak saja Najib dan kabinet yang dipersalahkan dalam hal ini, tetapi keghairahan Rosmah yang ingin dilihat istimewa dan terpisah daripada kehidupan rakyat biasa dengan tidak mahu menaiki pesawat komersial, turut juga menjadi kecaman.

Rosmah pula, di sebalik menyedari pelbagai kecaman terhadapnya dalam isu ini, bahkan di Parlimen pula berhari-hari perkara ini dibangkitkan, menyatakan bahawa beliau langsung tidak terganggu dengan segala kecaman dan dan serangan yang dilemparkan terhadapnya itu.

Apabila ditanya pemberita pula, Rosmah hanya menjawab ringkas, "Saya tidak mahu bercakap tentang hal ini, saya tiada komen mengenainya dan saya tidak akan merendahkan diri saya seperti mereka."

Jawapan Rosmah yang mahu dirinya lebih dikenali sebagai First Lady berbanding isteri Perdana Menteri ini memperlihatkan bahawa beliau mahu dirinya dilihat dalam kelasnya yang tersendiri, terpisah daripada rakyat biasa dan sentiasa "berada dalam cermin kaca".

Berbeza dengan isteri Tengku Adnan yang bukan saja prihatin kepada rakyat tetapi juga sanggup bersama-sama mengemukakan bantahan dalam perkara yang membebankan kehidupan mereka, isteri Najib sebaliknya mengambil sikap tidak peduli dengan segala serangan dan kecaman rakyat terhadapnya, walaupun cukai rakyatlah yang menanggung kemewahan dan keistimewaannya itu.

Di dalam kehidupan biasa, Najib dan Tengku Adnan memang diketahui bersahabat baik sejak lama dahulu, manakala di dalam UMNO dan kerajaan pula, Setiausaha Agung UMNO itu dikenali sebagai penyokong dan pendokong setia Najib. Tetapi, jiwa dan naluri isteri mereka nampaknya berbeza sama-sekali.

Alangkah baiknya, jika Tengku Adnan dapat meminjamkan jiwa murni isterinya itu kepada isteri Perdana Menteri pula. (SH 22/11/2013)

Thursday, 21 November 2013

Siapa Lebih Lawak?


Dalam program Maharaja Lawak Mega 2013, kumpulan Jambu adalah adalah antara peserta yang sering mencuit hati penonton. Lawaknya bersahaja dan santai. Kumpulan ini dianggotai oleh Tauke dan Yus (pemuda berasal dari Perlis). Berikut adalah salah satu dialog dalam persembahan mereka.

Tauke: Apa kata kalau kita cuti bersama?

Yus: Pergi ke mana?

Tauke: Indonesia.

Yus: Hisss, Indonesia tak bestlah...

Tauke: Habis tu, kita nak pergi ke mana?

Yus: Surabaya.

Tauke: Surabaya tu kat mana?

Yus: Surabaya tu kat Indonesialah!!


Kah kah kah kah...lawak, lawak...


Di Parlimen sekarang ini, menteri yang menjaga hal ehwal Parlimen ialah Shahidan Kassim. Sama seperti Yus, Shahidan juga berasal dari Perlis. Berikut adalah sedutan beberapa kenyataannya dalam sehari dua ini.

Shahidan 1 - "Hasil lawatan Rosmah ke luar negara sangat positif. Kita mesti berbangga dan berterima kasih atas usaha dan kerja keras isteri Perdana Menteri ini."

Shahidan 2 - "Saya sedih kerana ramai yang melahirkan kebencian terhadap dirinya. Berapa banyak pelabur yang kamu boleh bawa ke Malaysia?", tanya beliau kepada wartawan.

Shahidan 3 - "Maafkan saya, awak tidak berlaku adil kepadanya. Jika kamu seorang yang baik, kamu akan bawa pelabur ke sini. Kamu telah mencipta banyak kebencian terhadap dirinya. Pelabur akan takut datang ke sini."


Kah kah kah kah kah kah kah...lagi lawak...

Siapa patut menang Maharaja Lawak Mega 2013 tahun ini? (SH 21/11/2013)

Isu Jet Rosmah: Muhyiddin Sedang Diperangkap?


Dalam perkembangan yang semakin membingungkan orangamai berhubung isu penggunaan jet eksekutif yang membawa isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor dalam lawatan ke Qatar baru-baru ini, Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said mendedahkan bahawa lawatan ke Qatar itu adalah atas jemputan peribadi dan bukannya urusan rasmi yang melibatkan kerajaan.

Pendedahan ini, jika benar, secara automatik menolak hujah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Shahidan Kassim sebelum ini yang mengatakan lawatan Rosmah ke Qatar itu adalah atas jemputan kerajaan negara Arab itu dan membawa banyak faedah kepada negara.

Sehubungan itu, Shahidan meminta rakyat berterima kasih atas susah payah dan sumbangan isteri Perdana Menteri itu.

Kalaulah benar juga, lawatan Rosmah ke Qatar itu atas jemputan peribadi, persoalan paling besar ialah mengapakah beliau memohon untuk menggunakan jet eksekutif dan tidak mengeluarkan perbelanjaan sendiri.

Dalam masa yang saja, Azalina yang merupakan bekas Menteri Pelancongan dan telah dilantik sebagai Pengerusi CCM Berhad baru-baru ini, dipercayai atas pengorbanannya menarik diri daripada bertanding menentang Shahrizat Jalil bagi jawatan Ketua Wanita UMNO turut mendedahkan pemergian Rosmah dengan menggunakan jet eksekutif itu telah diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang ketika itu mempengerusikan mesyuarat kabinet.

Dalam Parlimen sebelum ini, Shahidan hanya menjelaskan pemergian Rosmah dengan menggunakan jet eksekutif dan perbelanjaan kerajaan telah diluluskan oleh kabinet, tetapi beliau mengelak untuk menjelaskan sama ada Najib yang mempengerusikan mesyuarat ketika itu ataupun Najib telah keluar daripada bilik mesyuarat ketika perkara mengenai mengenai lawatan isterinya itu dibincangkan.

Sekali lagi, jika benarlah Muhyiddin yang memberi kelulusan ini, ternampak bahawa beliau telah cuai dan tidak berhati-hati dalam memberi kelulusan kerana adalah jelas suatu kesalahan meluluskan pemergian atas urusan peribadi tetapi menggunakan perbelanjaan kerajaan.

Agak kurang jelas bagaimana Azalina yang bukan anggota kabinet, boleh mengetahui bahawa kelulusan itu diberikan oleh Muhyiddin dan bukannya Najib. Mungkin beliau mengetahuinya kerana ada menteri yang memberitahuinya, atau mungkin juga Rosmah sendiri yang memberitahunya ketika mereka sama-sama berada di awan biru dalam jet eksekutif ketika penerbangan ke Qatar itu.

Bagaimanapun, perkembangan ini nampaknya bakal menjerat Muhyiddin. Apakah tujuan Azalina mendedahkan perkara ini kalau bukan untuk meletakkan semua kesalahan ke atas bahu Muhyiddin pula?

Sejak beberapa hari lalu, semua kecaman mengenai isu jet ini lebih tertumpu kepada Rosmah semata-mata. Selain kewajaran dan kelayakan beliau menggunakan jet eksekutif itu yang dipertikaikan, tindakan beliau mewakili kerajaan dalam kawatan ke luar negara sebagaimana yang dimaklumkan oleh Shahidan juga turut menjadi pertikaian.

Ramai yang mempersoalkan bagaimana isteri seorang Perdana Menteri boleh mewakili kerajaan sedangkan tanggungjawab mewakili kerajaan sepatutnya hanya terhad kepada anggota kabinet dan pegawai kerajaan sahaja.

Nampaknya, dalam isu jet eksekutif ini, semakin lama diperdebatkan, semakin banyak kepincangan yang terdedah. Rosmah yang sedap-sedap dan enjoy terbang dengannya, orang lain pula sedang cuba dikambinghitamkan untuk diletakkan beban kesalahan.

Apakah isu jet itu bakal memasuki episod baru berkaitan politik dan perebutan kuasa di peringkat tertinggi UMNO pula? Azalina nampaknya sudah menebas lalang untuk membuka laluan ke arah itu.

Apa yang berlaku selanjutnya banyak bergantung kepada sama ada Najib atau Muhyiddin sedia berterus-terang mengenai perkara ini. Jika Najib yang meluluskannya, beliau haruslah berterus-terang dan memberikan hujah-hujahnya. Begitu juga jika Muhyiddin yang meluluskannya, beliau juga hendaklah tidak cuba menyembunyikan apa-apa, termasuk sama ada beliau mengetahui lawatan Rosmah itu hanyalah atas jemputan peribadi.

Selain Najib dan Muhyiddin yang belum bersuara dan menjelaskan perkara sebenar kontroversi ini, menteri-menteri kabinet lain juga nampaknya mengambil sikap berdiam diri. Selain Shahidan, belum kedengaran lagi menteri kabinet lain yang bersuara sedangkan mereka inilah yang lebih mengetahui butir-butir perbincangan dalam mesyuarat kabinet.

Dalam mempertahankan pemergian Rosmah itu pula, yang mempertahankannya setakat ini hanyalah bekas-bekas menteri saja iaitu Jamaluddin Jarjis, Noh Omar dan Azalina. Ketiga-tiga mereka ini pula, walaupun tidak dilantik sebagai menteri tetapi diberikan habuan lain seperti Azalina sebagai Pengerusi CCM Berhad, Noh Omar sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Selangor dan Jamaluddin sebagai duta khas ke Amerika Syarikat dengan gaji bulanan sebanyak RM27 ribu.

Sebagaimana kapal terbang telah digunakan untuk memusnahkan Bangunan World Trade Centre di New York dan kemudian membuka jalan untuk Amerika Syarikat menyerang beberapa negara Arab, jet eksekutif yang dinaiki Rosmah yang kini sedang menjadi isu juga sebenarnya sedang mencari mangsanya yang tertentu.

Mungkin Muhyiddin yang sedang disasarkan tetapi mungkin juga Najib yang terkorban akhirnya. (SH 21/11/2013)

Wednesday, 20 November 2013

Putrajaya Lubuk Penyamun Pecah Rumah?


Kewujudan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan dengan rekabentuk bangunan yang indah-indah memang mengkagumkan sesiapa saja, tidak kira rakyat tempatan mahu pun pelancong luar negara. Ramai rakyat tempatan yang bangga dengan kewujudannya dan menjadikannya sebagai salah satu tempat yang sering dikunjungi untuk bersiar-siar bersama ahli keluarga.

Bagi pelancong luar pula, Putrajaya hampir menjadi destinasi wajib untuk dikunjungi. Bukan saja keindahan senibina dan rekabentuk bangunannya yang menjadi tarikan tetapi tasik-tasik buatan, jambatan yang unik dan berbagai bentuk, taman-taman dan sebagainya turut menjadi tarikan tambahan untuk sesiapa tidak melepaskan peluang berkunjung ke sana.

Bagaimanapun, di sebalik keindahan dan gahnya nama Putrajaya itu, pegawai-pegawai kerajaan yang tinggal di kawasan perumahan di situ sebenarnya tidaklah tenang jiwa dan kehidupan mereka sebagaimana tenangnya jiwa pelawat atau pelancong luar menikmati keindahannya. Mereka kini sentiasa diburu kebimbangan berikutan kes pecah rumah yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Kes pecah rumah bukan saja berkaku di kawasan kediaman yang menempatkan rumah-rumah teres tetapi juga di kawasan perumahan berbentuk apartment. Lebih membimbangkan ialah kejadian pecah rumah ini bukan saja berlaku pada waktu malam ketika penghuninya sedang tidur atau ketika rumah tidak berpenghuni tetapi juga berlaku di waktu siang ketika penghuninya sibuk bertugas di pejabat.

Kejadian pecah rumah di waktu siang ini dilaporkan banyak berlaku di kawasan perumahan berbentuk apartment. Beberapa kes dilaporkan sudah berlaku dan terdapat pengadu yang dimaklumkan oleh pihak polis bahawa di kawasan-kawasan tertentu, kes kejadian pecah rumah memang agak tinggi dan penghuni dinasihatkan mengambil langkah-langkah keselamatan yang lebih ketat.

Dilaporkan kawasan yang kerap menjadi sasaran ialah apartment kos sederhana yang agak terpencil di mana pegawai kerajaan yang tinggal di situ ialah mereka yang berjawatan pegawai dan keatas.

Walaupun apartment ini mempunyai pengawal keselamatan tetapi tahap kawalannya didapati agak mininum dan boleh dikatakan sesiapa saja boleh memasuki kawasan kediaman itu tanpa banyak soal. Di kawasan inilah kes pecah rumah di waktu siang hari itu kerap berlaku.

Ramai pegawai kerajaan yang ditemui mengharapkan agar Putrajaya Holding dapat menyediakan sistem kawalan keselamatan yang lebih ketat di semua kawasan di kediaman di Putrajaya ini. Bagi kawasan perumahan teres atau berkembar, sistem kawalan yang lebih ketat selama 24 jam amat diperlukan memandangkan semua rumah di situ berkonsep terbuka dan tidak berpagar.

Bagi kediaman jenis apartment pula, ramai mengharapkan agar sistem kawalan keselamatan yang lebih ketat atau menyamai seperti yang digunakan di kondo-kondo mewah dapat dilaksanakan bagi mengelakkan terus berlakunya kejadian pecah rumah terutama di waktu siang iaitu ketika penghuninya sibuk menjalankan tugas di pejabat untuk kepentingan negara.

Adalah penting bagi pihak berwajib, terutamanya Putrajaya Holding dan Kementerian Wilayah Persekutuan mengambil langkah-langkah segera mengatasi masalah ini bagi mengelakkan Putrajaya terus menjadi "lubuk emas" bagi penyamun-penyamun pecah rumah menjalankan aktiviti mereka.

Dipercayai kawasan Putrajaya menjadi tumpuan penyamun pecah rumah bukan saja kerana tanggapan mereka bahawa di kebanyakan kediaman itu mempunyai barangan berharga seperti komputer riba, barang kemas dan sebagainya tetapi juga kerana ia terletak berhampiran dengan Sepang di mana banyak pendatang asing bertumpu di sana.

Adalah amat merugikan sekiranya Putrajaya yang menjadi kebanggaan semua ini dicemari dengan kejadian-kejadian jenayah seperti ini dan dalam masa yang sama meletakkan kakitangan kerajaan sentiasa dalam kebimbangan dan ketakutan ketika berada di pejabat. (SH 20/11/2013)

Tuesday, 19 November 2013

Surat Terbuka Dari Rakyat Malaysia - Tahniah Dan Terima Kasih Rosmah, Kami Sangat Bangga Denganmu


Kepada
Yabhg Datuk Seri Datin Paduka Dr Rosmah Mansor
First Lady Of Malaysia
Seri Perdana, Putrajaya.


Yabhg Datuk Seri yang kami sayangi,

Setelah membaca kenyataan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Shahidan Kassim hari ini, kami rakyat Malaysia secara tiba-tiba berasa bersalah kerana telah tersalah anggap selama ini. Benar kata Shahidan, rakyat Malaysia sepatutnya berterima kasih dengan pengorbanan yang Datuk Seri curahkan untuk negara selama ini.

Isu terbaru yang timbul berkaitan lawatan Datuk Seri ke Qatar bersama rombongan dengan menaiki jet eksekutif dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan setelah diluluskan oleh Perdana Menteri dan kabinet sebenarnya hanyalah isu remeh jika dibandingkan dengan nilai dan impak daripada lawatan tersebut.

Sebagai isteri Perdana Menteri, kami rakyat Malaysia sedar pengorbanan Datuk Seri dalam hal ini. Jika Datuk Seri ingin bersenang-lenang sebagai isteri ketua kerajaan, Datuk Seri sebenarnya tidak perlu bersusah-payah melakukan lawatan ke sana sini, bertemu dengan ramai orang, menyampaikan ucapan dan sebagainya, sebaliknya Datuk Seri boleh saja duduk goyang kaki di Seri Perdana atau sesekali shopping sakan ke London, Milan atau Paris.

Tetapi Datuk Seri tidak mahu berbuat demikian, sebaliknya ingin turut serta menyingsing lengan menyumbang khidmat bakti untuk negara. Pengorbanan ini memang wajar dipuji. Kami sendiri tidak terbuat dengan apa yang Datuk Seri lakukan ini.  Datuk Seri tidak seperti isteri-isteri penoreh getah atau pesawah padi atau sesetengah kakitangan kerajaan  dan rakyat negara ini yang sanggup membiarkan suami seorang diri saja membanting tulang, sebaliknya Datuk Seri telah menunjukkan contoh teladan yang terpuji untuk kemajuan negara.

Barangkali ramai yang tidak sedar, lawatan ke Qatar baru-baru ini bukanlah makan angin saja tetapi menghadiri forum perniagaan dan berpeluang bertemu dengan pak-pak syeikh Arab yang kaya-raya. Sudah tentu hasil dari lawatan Datuk Seri ini, banyak pelaburan daripada negara-negara Arab akan mencurah-curah selepas ini. Dalam masa yang sama juga, kami percaya, kecantikan dan keangggunan wajah Datuk Seri ini akan menyebabkan lebih ramai pelancong-pelancong Qatar dan negara-negara Arab lainnya akan melawat Malaysia selepas ini.

Dalam hal ini ini, Datuk Seri bukan saja telah membantu menambahkan pelaburan untuk negara, bahkan telah menyumbang sesuatu yang besar sempena Tahun Melawat Malaysia pada 2014 nanti. Secara tidak langsung, Datuk Seri telah memudahkan lagi kerja-kerja Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz untuk menarik kedatangan pelancong ke negara ini.

Yabhg Datuk Seri, ibu kepada rakyat Malaysia,

Kami amat faham dengan tugas dan fungsi besar Datuk Seri kepada negara ini. Sebagai wanita yang cerdik, pintar dan "clever" yang telah menyumbang banyak kepada negara ini, kami faham keperluan Datuk Seri untuk ke sana sini dengan menaiki jet eksekutif. Hanya dengan menaiki jet eksekutif, barulah aura dan ketokohan Datuk Seri tambah menyerlah lagi, tambahan pula dengan menaiki jet eksekutif juga barulah pak-pak Arab yang berhidung tinggi itu memandang hormat kepada Datuk Seri dan juga negara ini.

Lagi pula, Datuk Seri, Malaysia bukanlah negara yang begitu dikenali di peringkat antarabangsa berbanding sesetengah negara Arab yang kaya dengan minyak itu. Hanya dengan menunjukkan sedikit kesombongan dan keangkuhan, barulah kehadiran Datuk Seri mewakili Malaysia dapat disedari. Pepatah Hindustan selalu menyebut, hanya dengan menunjuk-nunjuk kesombongan dan keangkuhan, kehadiran kita akan lebih disedari dan dihormati.

Kiranya Datuk Seri hanya menaiki pesawat komersil, walaupun lebih menjimatkan tetapi impak dan kesannya kepada negara pasti tidak sama. Hanya mereka yang tidak memahami perkara ini saja yang melalak dan melolong meminta Datuk Seri menaiki pesawat komersil  untuk lawatan ke luar negara.

Bagi kami rakyat Malaysia yang sentiasa berdiri teguh di belakang Datuk Seri, bukan saja lawatan ke luar negara perlu diperuntukkan jet eksekutif, bahkan untuk lawatan dalam negeri sekali pun, Datuk Seri sebenarnya patut diberikan jet eksekutif juga.

Datuk Seri yang kami doakan kesejahteraannya siang dan malam,

Dalam isu jet eksekutif yang menjadi percakapan ramai sekarang ini, kesalahan juga sebenarnya terletak di tangan Perdana Menteri sebelum ini, terutama Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang begitu kedekut untuk membenarkan isteri masing-masing menggunakan kemudahan mewah itu semasa pemerintahan mereka.

Jika Tun Mahathir yang sentiasa mendapat kemenangan dua pertiga dalam pilihanraya membenarkan Tun Siti Hasmah menggunakan jet eksekutif ketika pemerintahannya dulu, tentulah ia tidak menjadi isu sekarang ini. Begitu juga jika selepas pilihanraya 2004 di mana Tun Abdullah membawa kemenangan paling cemerlang dengan 198 kerusi, telah bertindak ketika itu memberi kebebasan kepada isterinya aruah Tun Endon dan Tun Jeanne menggunakan jet eksekutif untuk ke mana-mana, pastilah tiada isu bila Datuk Seri menggunakannya sekarang ini.

Malangnya, kedua-dua bekas Perdana Menteri itu bukan saja kedekut tetapi juga tiada wawasan untuk masa depan. Jika ketika BN menang cemerlang, amalan menggunakan jet eksekutif ini sudah dimulakan, tentulah ianya tidak berbangkit lagi di ketika BN hanya menang dengan kelebihan 23 kerusi saja sekarang ini.

Kami juga mengharapkan Datuk Seri teruslah melakukan lawatan ke luar negara dan teruslah juga menggunakan jet eksekutif kerajaan. Sumbangan dan hasil lawatan Datuk Seri ke seluruh dunia sebenarnya amat besar untuk negara. Benarlah kata Shahidan Kassim, rakyat Malaysia harus berbangga dan berterima kasih dengan Datuk Seri.

Kami rakyat marhaen dan miskin yang sudah mula kurang makan gula sekarang sebenarnya amat berbangga dengan kehadiran Datuk Seri, sama bangganya dengan rakyat Filipina terhadap Imelda Marcos, rakyat Mesir terhadap Suzanne dan rakyat Tunisia kepada Lalia Ali suatu ketika dahulu.

Akhirnya atas segala sumbangan dan pengorbanan Datuk Seri untuk negara, kami juga mencadangkan agar sempena hari keputeraan DYMM Yang Dipertuan Agong tahun depan, Perdana Menteri dapat mengurniakan pingat kebesaran yang nembawa gelaran Tan Sri pula kepada Datuk Seri.

Sekian, semoga Datuk Seri terus panjang umur dan menyumbang untuk negara ini.


Daripada kami
Rakyat Malaysia yang memahami. (SH 19/11/2013)

Rosmah Mansor Kembali 'Mengganas'


Setelah sekian lama agak menyepikan diri dari sorotan cerita-cerita sensasi, isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor secara tiba-tiba kembali menjadi bahan bualan rakyat. Puncanya hanyalah kerana beliau menghadiri Forum Ahli Perniagaan Wanita Antarabangsa ke 4 di Qatar, minggu lalu dengan menggunakan jet eksekutif.

Di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Shahidan Kassim telah disoal bertalu-talu oleh Ahli Parlimen PR berkenaan isu tersebut sehingga banyak soalan gagal dijelaskannya dengan meyakinan. Beliau hanya menjelaskan pemergian Rosmah ke Qatar dengan menggunakan jet eksekutif itu adalah dengan kelulusan kabinet dan untuk kepentingan negara tetapi gagal memberi jawapan yang memuaskan tentang boleh atau tidak isteri seorang Perdana Menteri mewakili kerajaan dalam lawatan ke luar negara dan bagaimana Najib sebagai ketua kabinet telah terlibat dalam urusan yang melibatkan konflik kepentingan.

Sehubungan itu, di media sosial, alam maya dan di alam nyata, isu Rosmah kembali menjadi perbualan dan rata-rata kecaman lebih banyak kedengaran berbanding kewajarannya mewakili negara dan menggunakan jet eksekutif itu. Dalam masa yang sama, Najib yang meluluskan penggunakan sejumlah wang rakyat untuk perbelanjaan isterinya itu turut dikecam manakala anggota kabinet yang menyokongnya pula dianggap tidak lebih umpama "kabinet dapur" saja peranannya.

Sebelum ini, terutamanya pada tahun-tahun pertama dan kedua Najib menjadi Perdana Menteri, isu berkaitan Rosmah begitu hangat menjadi perbualan dan kecaman rakyat. Beliau didapati sering berbelanja mewah, memakai pakaian yang mahal dan bling-bling, memiliki banyak koleksi beg tangan mewah dan kerap kali mengadakan lawatan ke luar negara menggunakan jet eksekutif kerajaan.

Beliau juga mahu dirinya dipanggil First Lady dengan mengadakan persidangan Wanita-wanita Pertama di Kuala Lumpur dan yang paling sensasi ialah cincin RM24 juta yang dikaitkan dengan dirinya. Dalam beberapa pilihanraya kecil pula, beliau turut berkempen untuk calon BN, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana isteri Perdana Menteri sebelum ini.

Bagaimanapun kira-kira setahun sebelum PRU 13 pada Mei lalu, Rosmah agak menyepikan diri dan jarang menonjol. Beliau seperti sudah menjadi isteri yang baik, tawaduk dan merendah diri. Program persendiriannya makin jarang dan beliau hanya menjadi peneman kepada Najib dalam lawatan di dalam dan luar negara saja. Perubahan ini mungkin dilakukan kerana Najib dan para punah-sihatnya menyedari bahawa penonjolan Rosmah yang keterlaluan boleh memberi kesan buruk dalam sokongan rakyat kepada UMNO dan BN.

Kini dengan kembalinya Rosmah kepada watak dan tabiat asalnya iaitu mengadakan lawatan ke luar negara dengan menggunakan jet eksekutif dan perbelanjaan kerajaan, apakah ini merupakan petanda beliau bakal kembali mengganas lagi? Dengan pilihanraya sudah berakhir dah kecaman di Parlimen serta suara bising rakyat tidak akan mengubah apa-apa sekurang-kurangnya sehingga tahun 2018, apakah juga selepas ini lebih banyak lagi cerita-cerita sensasi bakal keluar dan lebih banyak penggunaan jet eksekutif dibenarkan kepada isteri Perdana Menteri ini?

Melihat kecenderungan ini, rakyat nampaknya kena bersedia menyaksikan lebih banyak cerita-cerita sensasi mengenainya. Bermula dengan menggunakan jet eksekutif sebagai landasan untuk memunculkan dirinya, mungkin lebih banyak cerita mewah dan boros akan muncul selepas ini.

Walau apa pun kebimbangan rakyat mengenai isu Rosmah ini, tindakan Najib dan kabinet meluluskan lawatan dan membenarkan isterinya mewakili kerajaan adalah petunjuk jelas bahawa ungkapan kata-kata "berubah sebelum rebah" yang sering dilaungkan sebelum ini hanyalah umpan untuk mengekalkan kuasa dan memperolehi undi semata-mata. Setelah kuasa diperolehi, bukan saja perkataan "berubah" tidak lagi disebut, bahkan janji "rakyat didahulukan", "kami mendengar" dan banyak lagi sebenarnya hanyalah ungkapan-ungkapan manis yang penuh dengan racun saja.

Jika sekiranya ketika hampir pilihanraya, kelibat Rosmah diperlahankan sebagai suatu tanda "berubah", seharusnya perkara itu terus dilakukan kerana masing-masing sudah pun menyedari ada yang tidak kena dengannnya, terutamanya dalam penggunaan jet eksekutif dan perbelanjaan wang rakyat.

Lebih-lebih lagi Parlimen juga diberitahu sebelum ini bahawa kerajaan telah membelanjakan hampir RM15 juta untuk petrol jet kerajaan manakala penyelenggaraannya pula menelan belanja lebih RM160 juta. Untuk setiap penerbangan pula, kos petrol saja sebanyak RM470 ribu.

Tidak seperti Mahathir, walaupun beliau cukup berkuasa selama 22 tahun pemerintahannya tetapi tidak pernah sekali pun isterinya, Siti Hasmah dibenarkan menggunakan jet eksekutif secara bersendirian. Anak-anaknya pula langsung tidak berpeluang menumpang untuk ke mana-mana.

Malangnya di era Najib ini, jet eksekutif tidak ubah seperti bas Tong Fong layaknya. Isterinya kerapkali dibenarkan menggunakannya untuk ke mana-mana, manakala anak-anak dan bakal menantu pun turut sama bermewah menaikinya. Dilaporkan juga kenalan rapat keluarga Perdana Menteri turut ramai yang sudah menumpangnya.

Dalam hal ini, Najib seharusnya insaf bahawa sokongan rakyat kepada UMNO dan BN dalam pilihanraya lalu tidak sebenar mana. Sokongan itu pula sebenarnya sangat rapuh dan jika diambil kira beban derita rakyat dalam mengharungi kehidupan dengan kenaikan harga barang, penghapusan subsidi gula, pengenalan cukai GST dan kenaikan cukai pintu oleh DBKL, ditambah lagi dengan cadangan-cadangan pelik oleh kerajaan seperti mahu melarang motorsikal kecil berada di jalanraya dan melupuskan kereta berusia melebihi 12 tahun, sokongan itu bila-bila sahaja boleh berderai.

Karenah Rosmah yang menunjukkan beliau seolah-olah kembali "mengganas" dengan perangai lamanya, tentunya saja menambahkan lagi susah dan sengsaranya UMNO dalam menghadapi pilihanraya akan datang.

Oleh itu dalam mengurus kerajaan, haruslah ada kewajarannya. Kalau pun Najib tidak berasa malu dengan 51 peratus pengundi yang tidak mengundi BN dalam pilihanraya lalu, sekurang-kurangnya malulah kepada Tuhan yang sentiasa melihat dan menyaksikan begitu banyak kontradiksi antara yang dicakap dan dibuatnya dalam memimpin negara ini. (SH 19/11/2013)

Monday, 18 November 2013

MB Negeri Sembilan Diakui Pindahkan Wang RM10 Juta Tapi Tiada Kes Rasuah, Kata Menteri


Dalam jawapan di Parlimen hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hassan didapati tidak bersalah atas dakwaan memindahkan wang sebanyak RM10 juta ke luar negara.

Katanya, hasil siasan Jabatan Peguam Negara, sejumlah wang bernilai RM10 juta yang dipindahkan itu bukanlah hasil daripada perbuatan rasuah.

"Jabatan Peguam Negara telah meneliti hasil siasatan kes ini dan ia bukannya rasuah. Lebih wajar sekiranya tindakan diambil terhadap pengurup wang berkenaan," katanya lagi.

Nancy Shukri yang merupakan menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang berkata demikian bagi menjawab soalan Anthony Loke, Ahli Parlmen Seremban yang meminta penjelasan Perdana Menteri mengapa Peguam Negara belum mengambil tindakan pendakwaan terhadap MB Negeri Sembilan dalam kes memindahkan secara haram wang bernilai RM10 juta ke London melalui pengurup wang, Salamath Ali Money Changer Sdn. Bhd. walaupun SPRM telah menyerahkan kertas siasatan.

Pening, pening, pening! MB Negeri Sembilan itu diakui ada memindahkan wang sebanyak RM10 juta tetapi dibebaskan daripada sebarang pertuduhan rasuah. Tidak syak lagi bahawa ini merupakan satu lagi kes yang membingungkan rakyat. Memindahkan wang RM10 juta ke luar negara tetapi tiada apa-apa tindakan diambil. Belum diambil kira dari mana datangnya wang sebanyak itu dan tujuan dipindahkan ke London, persoalan juga timbul kenapa wang itu dipindahkan melalui pengurup wang.

Jika wang halal, kenapa tidak menggunakan bank atau institusi kewangan yang mempunyai rangkaian antarabangsa?

Kes yang melibatkan MB Negeri Sembilan ini, walaupun telah lama dibangkitkan, tetapi dengan jelas menunjukkan hasrat Najib untuk melindungi dan mempertahankan Mohamad Hassan. Sesiapa pun yang membaca mengenai kes pemindahan wang ini, pasti dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengannya.

Rakyat pasti akan bertanya dari mana datangnya wang sebanyak itu? Berapakah gaji dan pendapatannya sebagai Menteri Besar? Pemindahan melalui pengurup wang tentunya paling menjadi persoalan jika benar wang RM10 juta itu bukan hasil rasuah dan mungkin merupakan tabungan Menteri Besar itu sejak beliau kecil lagi.

Tiada kes dan tiada juga sebarang pendakwaan terhadap Mohamad Hassan ini merupakan satu lagi kecurangan Jabatan Peguam Negara dalam melakukan pendakwaan. Dan pendakwaan terpilih terus menjadi amalan.

Jika sebelum ini Peguam Negara dikecam kerana tidak membuat rayuan dalam kes bunuh melibatkan Abdul Razak Baginda dan kes Ling Liong Sik dituduh menipu kerajaan dalam projek PKFZ, kecuaian sehingga hilang Pulau Batu Puteh serta beberapa salah laku lain termasuk juga dakwaan adanya pengintip CIA diambil bekerja dengan jabatan itu, pembersihan nama yang dilakukan keatas MB Negeri Sembilan ini tentunya menambahkan lagi kecurigaaan dan kesangsian orangramai terhadap peranan jabatan itu dalam menegakkan keadilan tanpa memilih bulu.

Sebagaimana dalam kes-kes lain yang melibatkan Peguam Negara di mana Najib sentiasa mengelak untuk mengulasnya,kes yang melibatkan Mohamad Hassan ini juga pastinya akan membuatkan beliau berdiam diri dan mengunci mulutnya sekali lagi. Tetapi kesangsian orangramai ialah pasti ada campurtangan Najib dalam perkara ini.

Dalam kes Moahamad Hassan ini, Jabatan Peguam Negara telah membersihkan namanya sebelum pun kesnya dibawa ke mahkamah. (SH 18/11/2013)

Sunday, 17 November 2013

Belum Pun Apa-Apa, Pas Sudah Mahu DiHasan-Alikan


Tanpa angin, tanpa ribut, bahkan mungkin tidak ada sesiapa yang mempelawanya pun, secara tiba-tiba saja bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Hasan Ali membayangkan kemungkinan untuk kembali menyertai Pas, parti politik Islam yang telah memecatnya tidak lama dahulu.

Mungkin muktamar dan pemilihan Pas yang bakal berlangsung tidak lama lagi telah membangkitkan kembali ghairahnya terhadap parti itu.

Tetapi keinginannya itu bukan tidak bersyarat, bahkan syaratnya pula seolah-olah beliau lebih besar daripada Pas itu sendiri.

Dalam sidang medianya semalam, Dr Hasan berkata, beliau sedia menimbangkan untuk menyertai semula Pas jika parti itu betul-betul memperjuangkan Islam, memartabatkan Melayu, menjaga kesucian institusi diraja dan Perlembagaan Negara.

"Jika keadaan mengizinkan, ertinya jika perjuangan Pas di landasan betul dengan memperjuangkan Islam, keistimewaan Melayu, institusi Raja dan menghormati peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Negara, saya sedia mempertimbangkannya," tambah beliau lagi.

Mengenai muktamar Pas yang bakal berlangsung tidak lama lagi, beliau berkata, Pas perlu dipimpin oleh golongan ulama agar perjuangannya kembali kepada matlamat penubuhan asalnya yang kini goyah disebabkan wujud golongan Anwarinas yang didakwanya seperti anai-anai yang mahu merosakkan parti itu.

"Saya secara peribadi mahu golongan ulama kembali memimpin Pas - presiden, timbalan presiden, naib presiden daripada kalangan ulama yang mementingkan ilmu dunia dan akhirat dan saya dapati golongan sebegitu masih ada dalam Pas," katanya yang juga Presiden NGO Jati atau jalur tiga.

Dalam pada itu, bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor itu juga berpendapat supaya Pas mengkaji semula kedudukannya dalam Pakatan Rakyat kerana peranan Pas seakan-akan tidak menonjol, lebih-lebih lagi selepas PRU 13 yang lalu.

"Saya harap perkara ini dapat dicerminkan dalam muktamar kali ini dan keputusannya ialah Pas meninggalkan PR," jelasnya lagi.

Melihat kenyataan beliau ini, rasanya ramai yang geleng kepala dengannya. Beliau seperti gila talak dengan Pas dan dalam masa yang sama ingin mengajar Pas cara berpolitik secara Islam yang sebenarnya. Terlihat juga seperti beliau sedang memasukkan jarum agar golongan bukan ulama disingkirkan dalam pemilihan ini. Jika ingin kembali kepada Pas tetapi belum apa-apa sudah meletakkan pelbagai syarat dan kehendak, rasanya ini bukanlah cara yang betul.

Memang diketahui sejak dipecat daripada Pas, Dr Hasan mempunyai kecenderungan fitrah dengan UMNO dan BN. Beliau yang lebih dikenali sebagai pakar motivasi sebelum menceburkan diri dalam politik, bukan saja menentang golongan bukan ulama dalam Pas, bahkan berkali-kali meminta parti itu keluar dari PR, selain kerap juga menyerang PKR dan DAP yang merupakan rakan gabungan Pas dalam PR.

Setelah dipecat, beliau tidak menyertai UMNO walaupun banyak pandangannya lebih UMNO daripada pemimpin UMNO sendiri, sebaliknya menubuhkan Jati yang dilihat sebagai sebuah NGO yang mesra dan rapat dengan UMNO, kerajaan dan Perdana Menteri.

Dengan tidak menyertai mana-mana parti mungkin membuktikan jiwa tebalnya masih dengan Pas. Cinta dan kasihnya terhadap Pas barangkali tidak dapat diganti mana-mana parti lain. Tidak salah beliau ingin kembali menyertai Pas tetapi meletakkan pelbagai syarat dan mahukan itu dan ini sebagai syarat lainnya, barangkali agak keterlaluan.

Seorang pejuang tidak melakukan demikian. Mereka akan masuk dulu dan kemudian berusaha merubahnya berdasarkan keyakinan dan kekuatan yang dimiliki. Dr Hasan tidak sewajarnya mahu "menghasan-alikan" Pas sebelum pun beliau menyertai parti itu.

Jika benar beliau seorang hebat dan pejuang yang berpengaruh, masuklah kembali dalam Pas dan kemudian melalui kekuatan yang ada, ubahlah parti itu dan "hasan-alikanlah" Pas sebagaimana kehendaknya. Tetapi sebelum itu, beliau mestilah "memPaskan" dirinya terlebih dahulu.

Tindakan beliau mempersoalkan arah tuju perjuangan Pas dan mempertikaikan kedudukannya dalam PR hanya seolah-olah memperkecilkan kepimpinan Pas yang bukan saja ada presiden, timbalan presiden dan naib presiden tetapi juga mempunyai dewan ulama, majlis syura serta ramai golongan agawaman yang berpengetahuan tinggi. Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat pula begitu dihormati dan disanjung kerana ketinggian ilmu agamanya.

Tidak guna beliau meroyan di luar dan bercakap macam-macam tentang Pas kerana lagi banyak bercakap, lagi terserlah gila talaknya itu. Jika betul mahu memperbetulkan Pas yang dirasakannya sudah menyimpang daripada perjuangan asalnya, kembalilah dengan cara baik serta tanpa syarat dan ubahnya daripada dalam.

Jika tidak, jagalah Jati baik-baik sebagaimana "kembar siamnya" Ibrahim Ali menjaga Perkasa. (SH 17/11/2013)

Tiada Lagi Alasan Untuk Tidak Menyiasat Gani Patail


Meskipun sudah banyak orang bercakap mengenai isu dakwaan salah laku Peguam Negara, Gani Patail dan adanya pengintip CIA diambil bekerja dengannya, tetapi sehingga ini semuanya masih lagi kelabu. Najib yang sepatutnya bersuara menjelaskan keadaan itu, masih lagi berdiam diri. Gani Patail yang dituduh pula hilang entah ke mana, juga membisukan diri dan mungkin sedang menenangkan jiwa ke luar negara.

Pihak polis yang menurut peguam terkenal, Karpal Singh, boleh menjalankan siasatan berikutan isu yang diperkatakan sudah menjadi perbualan umum serta ada kepentingan umum didalamnya, walaupun bersuara tetapi mengelak untuk menjalankan siasatan terhadap Gani Patail dan Jabatan Peguam Negara.

Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar sebaliknya berkata, isu yang melibatkan Jabatan Peguam Negara ini dibawah bidang kuasa SPRM untuk menjalankan siasatan.

Malangnya SPRM juga jadi bisu dan hilang suara? Siapa sebenarnya yang patut mengambil tanggungjawab ini? Menjalankan siasatan sebenarnya bukan bermaksud Gani Patail bersalah, ia boleh juga bertujuan untuk membersihkan namanya. Tetapi jika siasatan tidak dijalankan, semua pihak berdiam diri dan mengelak untuk bertindak, di mata umum Gani sudah pun kelihatan bersalah.

Untuk itu, siasatan harus dan mesti dilakukan.

Semalam Solidariti Anak Muda Malaysia atau SAMM telah pun mengambil tanggungjawab membuat tidak kurang daripada 10 laporan polis di seluruh negara mendesak siasatan dilakukan keatas Peguam Negara, Gani Patail yang dikaitkan dengan agen perisik CIA, berdasarkan pengakuan Tun Mahathir dalam satu akuan bersumpah yang dilakukan oleh bekas pegawai kanan polis, Mat Zain Ibrahim.

Dalam laporannnya, SAMM juga berkata, "Pihak polis tidak boleh lepas tangan begitu sahaja dengan menyerahkan perkara ini kepada pihak lain. Ini isu serius dan harus diambil tindakan. Dunia sedang mentertawakan dan hilang hormat terhadap sistem perundangan negara. Pelabur akan lari, rakyat akan hilang kepercayaan terhadap sistem perundangan dan ini amat bahaya untuk negara.

"Peguam Negara harus diambil keterangan dan digantung tugas. Tun Mahathir juga harus ditampilkan bagi dirakam kenyataannya segera, termasuk semua yang terlibat yang dinamakan dalam akuan bersumpah tersebut. Isu ini adalah serius, lebih-lebih lagi selepas pendedahan bagaimana Amerika Syarikat menggunakan kedutaan asing di Malaysia sebagai pusat aktiviti operasi risikan mereka".

Apa yang negara mahukan ialah keadilan dan sistem yang bersih. Dengan adanya laporan polis oleh SAMM ini, tiada lagi pihak boleh berdalih untuk tidak menjalankan siasatan. Alasan klise yang selalu digunakan bahawa siasatan tidak boleh dijalankan kerana tiada laporan polis, kini sudah tidak terpakai lagi.

Dan kalau pula Najib sebagai Perdana Menteri tiada apa-apa kepentingan dengan Gani Patail dan tidak ada sebesar hama pun niat mahu melindungi Peguam Negara paling kontroversi dalam sejarah Malaysia ini, beliau juga seharusnya bersuara untuk membenarkan siasatan dijalankan. Mungkin selama ini pihak polis dan SPRM tidak berani memulakan siasatan kerana tiada petunjuk daripada Najib mengenainya.

Dalam banyak isu lain, Najib selalunya pasti akan bersuara. Malahan dalam isu Altantuya yang dikaitkan dengan dirinya pun, Najib tidak mengelak untuk bersuara tetapi dalam kes Gani ini, belum kedengaran lagi suara Najib mengenainya walaupun semua telah mengetahui dibawah kendaliannya, negara bukan saja hilang Pulau Batu Puteh yang bernilai tinggi dan strategik tetapi juga dengan tidak mengemukakan rayuan dalam kes Ling Liong Sik dan PKFZ bakal menyebabkan ribuan juta wang rakyat jadi lesap entah ke mana.

Jika semua pihak terus membisu dan tiada siasatan dijalankan, maka hampir benarlah pertanyaan Mat Zain Ibrahim, bekas pegawai kanan polis yang sudah banyak kali membuat surat terbuka mengenai salah laku Peguam Negara, " Apa yang kebalnya Gani Patail sedangkan Ketua Hakim Negara, Salleh Abbas dan menteri kabinet, Mokhtar Hashim pun pernah disiasat dan dibicarakan?

Sekarang menjadi tanggungjawab Najib dan kerajaan menepis persepsi kekebalan Gani Patail ini. (SH 17/11/2013)

Saturday, 16 November 2013

Sampai Bilakah Mahathir Mahu Berhenti Merungut?


Seperti yang dijangka, bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad bersuara lagi meluahkan sesuatu yang terbuku dihatinya. Setelah beberapa tegurannya mengenai UMNO dan kerajaan tidak berapa didengar sebelum ini, tindakannya terus bersuara seperti ingin memancing perhatian, bukan saja daripada pemimpin UMNO tetapi juga rakyat jelata.

Terbaru, beliau merayu supaya kerajaan mengembalikan semula pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris atau PPSMI dengan alasan ia mampu meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa ilmu itu dan semalam di satu program di Muzium Padi di Kedah, Mahathir melahirkan rasa sedihnya mengenai Wawasan 2020 yang diasaskannya tidak lagi menjadi perhatian pemimpin selepasnya.

Menurut Mahathir, selepas beliau meletak jawatan, Wawasan 2020 tidak banyak lagi disebut, sebaliknya telah digantikan dengan Islam Hadhari dan dalam kepimpinan sekarang digantikan pula dengan transformasi dan NKRA.

"Saya dah tak tahu apa jadi selepas zaman saya," rungutnya lagi.

Sebelum ini, selepas saja anaknya Mukhriz kalah dalam perebutan jawatan Naib Presiden UMNO, Mahathir telah melahirkan kekecewaannya dengan mendaka kekalahan anaknya adakah disebabkan tidak menjadi calon pilihan Najib, kemudian beliau juga menyatakan politik wang masih berlaku dalam UMNO dan turut menyifatkan kepimpinan Najib semakin lemah serta tidak mendapat sokongan rakyat kerana sering tunduk kepada tuntutan ekstrem daripada pihak pembangkang.

Sebaik calon BN kalah di Sungai Limau dan menambah kekecewaannya lagi, beliau membidas pula cara kempen BN memberi wang dan dan pelbagai pemberian sebagai tidak lagi berkesan untuk memenangi hati rakyat.

Beliau juga dilaporkan dalam usaha memberi tekanan secara tidak langsung kepada Najib dengan menjadikan Peguam Negara, Gani Patail sebagai sasarannya dengan mengaitkan terdapat pengintip CIA bertugas dibawahnya. Ini menjadi perbualan ramai dan banyak yang turut memberi respon walaupun kemudiannya Mahathir mendakwa beliau tidak mempunyai bukti atas perkara itu.

Saya hanya ada mendengar mengenai perkara itu, katanya.

Tindakannya terus bersuara, kali ini mengenai PPSMI dan Wawasan 2020 pula menunjukkan masih banyak lagi perkara yang tidak memuaskan dan terbuku dihatinya mengenai Najib, UMNO dan kerajaan. Selain semua perkara semakin tidak betul di matanya, rungutannya adalah mengenai isu-isu lama yang tidak mungkin dikembalikan dalam waktu terdekat ini.

Dalam konteks PPSMI, ia sebenarnya adalah isu lama dan pembatalannya pun sudah dibuat beberapa tahun lalu. Lebih dari itu, ketika mahu memansuhkan PPSMI juga, Menteri Pendidikan, Muhyiddin Yassin telah pun mengadakan pertemuan dengannya untuk menyembah maklum mengenai hasrat itu. Walaupun tidak berapa puas hati, beliau memahami tindakan kerajaan memansuhkan PPSMI itu.

Antaranya ialah program PPSMI itu merugikan pelajar-pelajar Melayu terutama yang tinggal di luar bandar dan ianya jelas dapat dilihat daripada keputusan peperiksaan sebaik program itu dilaksanakan. Selain itu, keupayaan guru-guru dalam penguasaan bahasa Inggeris juga masih terbatas yang menyebabkan program itu gagal dilaksanakan dengan berkesan.

Begitu juga dengan Wawasan 2020, Mahathir seharusnya menyedari bahawa setiap pemimpin ada cara dan stail pentadbiran sendiri untuk menjadikan mereka juga kelihatan innovatif dan ada idea baru. Mahathir sendiri ketika menjadi Perdana Menteri, banyak memperkenalkan perkara-perkara baru seperti mengutamakan perindustrian berbanding pertanian, pandang ke timur, memperkenalkan slogan bersih, cekap dan amanah serta banyak lagi.

Berbanding Najib dan Pak Lah yang masih lagi menjadikan Wawasan 2020 sebagai matlamat, Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri, langsung tidak mengambil atau meneruskan apa-apa idea daripada pendahulunya iaitu Tun Hussein Onn.

Bagi PPSMI, program baru sudah pun diperkenalkan dan tidak mungkin ia akan dikembalikan. Tetapi Mahathir seolah-olah sengaja membangkitkan isu PPSMI ini untuk mengetahui sejauh mana rakyat menyokong dan bersamanya. Walaupun ada segelintir yang menyokong agar PPSMI ini dikembalikan, majoriti rakyat, termasuk pejuang bahasa nampaknya telah menyatakan pendirian menyokong tindakan kerajaan memansuhkannya.

Mahathir jelas disokong dingin dalam isu PPSMI ini.

Begitu juga rungutannya mengenai Wawasan 2020, turut disambut dingin. Sehingga ini tidak ada mana-mana pihak yang bersuara menyokong atau membantah rungutannya itu. Sebenarnya tidak ada penyisihan mengenai Wawasan 2020 ini, ia masih lagi menjadi maltamat kerajaan, cumanya ia kelihatan agak tenggelam kerana Najib memperkenalkan pelbagai dasar dan perkara baru dalam pentadbirannya.

Mungkin ini yang menyebabkanya terasa hati dan bersungut seolah-olah Wawasan 2020 diketepikan. Tetapi jika Mukhriz menang Naib Presiden UMNO, semuanya akan nampak elok di mata bekas Perdana Menteri itu, kata ramai orang-orang lama dalam UMNO.

Sementara Mahathir dijangka akan terus bersuara dan merungut lagi dan lagi, sampai bilakah sebenarnya beliau akan berbuat demikian? (SH 16/11/2013)

Thursday, 14 November 2013

Najib PM Paling Boros?


PKR semalam mendedahkan bahawa kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM7.2 billion untuk bayaran kepada khidmat perunding sejak lima tahun lalu. Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen mendedahkan angka itu melalui jawatan bertulis yang diperolehinya daripada Parlimen, sekaligus memberi maksud bahawa jika diperhalusi, bayaran kerajaan kepada perunding adalah berjumlah RM125 sebulan atau juga RM4juta sehari.

Perbelanjaan yang amat besar ini tentunya menimbulkan persoalan siapakah sebenarnya yang sedang mengurus kerajaan sekarang, kakitangan kerajaan atau perunding luar ini?

Ia juga menimbulkan persoalan mengapakah perbelanjaan yang begitu besar diperuntukkan untuk membayar khidmat perunding ini sedangkan negara sudah pun mempunyai kakitangan kerajaan yang bukan saja besar, kira-kira 1.4 juta orang saiznya tetapi juga di dalam perkhidmatan kerajaan juga terdapat mereka yang berpengalaman, berilmu pengetahuan, berkelulusan tinggi dan sebagainya.

Oleh kerana wang RM7.2 bilion ini merupakan wang rakyat, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan menjelaskan bagaimana wang sebanyak itu boleh dibelanjakan dan pecahannnya. Apakah sebenarnya jenis perkhidmatan yang diberikan oleh perunding luar ini?

Lebih bertanggungjawab sekiranya Najib atau kerajaan dapat menjelaskan secara detail menyenai perkara ini di Parlimen supaya ianya dapat dibahas dan diperdebatkan kewajaran atau sebaliknya perbelanjaan sebesar itu telah diperuntukkan oleh kerajaan hanya untuk bayaran kepada perunding saja.

Dengan hutang negara yang kian meningkat, terbaru dilaporkan sudah pun mencecah lebih RM622 billion, subsidi gula ditarik dan rakyat diminta mengamalkan gaya hidup berjimat cermat, perbelanjaan sebanyak ini hanya untuk khidmat perunding luar saja, tentunya menunjukkan " kegilaan" melampau kerajaan yang ada sekarang dalam membelanjakan wang rakyat.

Selama ini kita hanya mendengar bayaran RM70 juta setahun untuk APCO yang memberikan khidmat perunding media kepada Perdana Menteri dan terbaru ini pula dilaporkan penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia oleh perunding luar McKinskey and Co bernilai RM20 juta, rupa-rupanya ketaksuban kerajaan kepada perunding luar ini jauh lebih besar lagi.

Khidmat perunding luar ini mungkin mencakupi beberapa perkhidmatan yang tidak terfikir oleh kita semua, tetapi dilakukan semata-mata kerana Najib mahukan kerajaan yang dipimpinnya benar-benar berbeza dengan Perdana Menteri sebelumnya.

Penggunaan khidmat perunding luar ini turut juga memperlekeh khidmat dan keupayaan kakitangan kerajaan sedia ada dan seolah-olah mereka tiada keupayaan langsung menjalankan tugas, terutamanya berkaitan penyelidikan, penyediaan kertas kerja dan mewujudkan program-program baru untuk kerajaan.

Apakah kakitangan kerajaan Malaysia dibawah pimpinan Najib ini hanya layak melakukan kerja-kerja fotostat dan diangkut ke sana ke mari untuk meramaikan program-program politik sahaja?

Dengan perbelanjaan sebanyak itu, sudah tentu juga kebanyakan syarikat yang dilantik untuk memberi khidmat perunding itu adalah daripada luar negara atau sekurang-kurangnya daripada Singapura, tentulah tidak mustahil juga unsur-unsur asing seperti CIA turut juga meresap dalam kerajaan.

Mungkinkah khabar angin yang didengar oleh Mahathir bahawa terdapat dua orang agen CIA dalam Jabatan Peguam Negara merupakan sebahagian daripadanya?

Tidak dinafikan bahawa angka RM7.2 bilion hanya untuk bayaran kepada khidmat perunding luar saja adalah suatu jumlah yang besar dan tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini. Ia jelas menunjukkan pemborosan yang luar biasa dan tiada taranya telah dilakukan oleh Najib sejak menjadi Perdana Menteri walaupun saban tahun hutang negara terus meningkat jumlahnya.

Jika dikira dengan pelbagai perbelanjaan lainnya yang juga luar biasa seperti bil ulititi Seri Perdana berjumlah RM2.5 juta, kos rumah terbuka RM2.88 juta, kos lawatan ke luar negara berpuluh juta, kos minyak dan penyelenggaran jet bernilai ratusan juta dan berbagai kos lainnya yang turut dalam lingkungan puluhan atau ratusan juta nilainya, Najib sebenarnya layak dinobatkan sebagai Perdana Menteri paling boros sekali dalam sejarah negara.

Dalam tempoh lima tahun yang sudah berlalu, pelbagai pendedahan mengenai kos dan perbelanjaan yang terpaksa dibayar oleh pembayar cukai hanya untuk memuaskan nafsu dan kehendak beliau sebagai Perdana Menteri, bayangkanlah berapa puluh billion lagi akan dibelanjakan untuk tempoh lima tahun akan datang? (SH 14/11/2013)

Wednesday, 13 November 2013

KJ Tak Perlu Mengalah Untuk Majukan Bolasepak, Walaupun Dikritik Siti Nurhaliza


Bolasepak adalah sukan yang paling diminati oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini. Tidak kira prestasi pasukan negara meningkat atau makin merosot, sokongan rakyat tidak banyak berubah. Liga tempatan, terutama pertandingan Piala Malaysia yang diadakan saban tahun, sentiasa menarik minat rakyat untuk memenuhi stadium, menonton di kedai-kedai mamak atau di depan tv di rumah masing-masing.

Sokongan rakyat kepada pasukan bolasepak kebangsaan juga sentiasa tinggi walaupun pasukan negara lebih kerap kalah daripada menang.

Sejak puluhan tahun lamanya, pretasi bolasepak negara tidak banyak berubah berbanding negara-negara lain yang menunjukkan peningkatan yang ketara. Jika di tahun 80an dulu, pasukan kita sebaris dengan Korea Selatan dan sering menewaskan mereka di pelbagai pertandingan, hari ini Korea Selatan sudah dikira wakil tetap Asia ke Piala Dunia sedangkan Malaysia masih lagi tercungap-cungap di peringkat kelayakan.

Kelemahan pasukan bolasepak disebabkan oleh pelbagai perkara, antaranya yang paling banyak disebut ialah kepimpinan FAM sebagai puncanya. Menteri Belia dan Sukan sudah silih berganti tetapi mutu bolasepak tetap ditakuk lama juga.

Hari ini, negara mungkin agak bertuah kerana menterinya bukan saja minat bolasepak tetapi juga boleh bermain bolasepak dengan baik. Berbanding penyandang jawatan itu sebelum ini, kebanyakannya hanyalah "kaki bangku" dan bercakap mengenai bolasepak berdasarkan teori sahaja tetapi KJ nampaknya lebih banyak tahu dan faham mengenai bolasepak.

Sebab itu, apabila Khairy Jamaluddin atau KJ menjadi Menteri Belia dan Sukan, bolasepak adalah sukan yang paling menjadi perhatian dan kerap ditegurnya. Bukan saja memajukan sukan bolasepak itu tugas dan tanggungjawabnya tetapi tentunya kerana beliau tidak mahu rakyat pelbagai kaum dan berbeza anutan politiknya, terus-menerus kecewa dengan mutu bolasepak negara ini.

Pelbagai teguran dan kritikan yang diluahkan oleh KJ, jika diimbas dari pelbagai kenyataannnya, dari soal mutu bolasepak, kemudahan padang, keselamatan, terjumpanya pistol di tandas stadium, pembangunan di peringkat akar umbi dan sebagainya, semuanya menjurus ke arah mahu melihat sukan bolasepak meningkat mutunya.

Beliau tidak menegur mana-mana individu secara peribadi. Tegurannya lebih bersifat umum kepada FAM itu sendiri. Sebagaimana biasa, oleh kerana FAM diterajui oleh individu berpengaruh dan Sultan sebuah negeri, teguran dan kritikan KJ mudah saja mengundang respon balas daripada pihak lain.

Daripada sekian banyak yang menegur KJ, teguran yang dilakukan oleh penyanyi popular kelahiran Pahang, Siti Nurhaliza paling menarik perhatian. Isteri Datuk K itu menegur KJ bahawa sebagai menteri muda yang menjadi perhatian, beliau perlu menggunakan pendekatan lebih berhemah dan tidak biadap dengan orang yang lebih tua.

Teguran Siti Nurhaliza itu mengundang perhatian umum dan banyak orang bercakap mengenainya. Ada yang berkata Siti sudah campur soal politik, ada pula yang berkata Siti pun nak sibuk hal bolasepak pula dan macam-macam komen lagi komen yang kedengaran.

Tetapi komen Siti itu bukan saja kerana teguran KJ kepada FAM yang dilihat sedikit kasar seperti "saya sudah bosan dengan FAM" tetapi juga berhubung komen balasnya terhadap bekas pemain bolasepak dari Pahang, Jamal Nasir yang juga dilihat agak kasar dan keras.

Apa pun tafsiran dan pandangan umum terhadap cara KJ itu, ramai yang memahami niat dan tujuan baiknya. Bukan saja rakyat yang dilihat menyokong usahanya untuk memajukan bolasepak negara, bahkan pemimpin politik juga ramai yang menyambut baik keberaniannya itu. Tengku Mahkota Johor yang kini memimpin Persatuan Bolasepak Johor juga menyokong KJ. Bekas mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin juga ada menulis di Twitter memberi sokongan kepada KJ.

Teguran Siti Nurhaliza kepada KJ mungkin didorong oleh semangat kenegerian kerana kebetulan FAM diterajui oleh Sultan Pahang dan Jamal Nasir yang disifatkan budak suruhan FAM oleh KJ juga berasal dari Pahang. Ini kerana begitu banyak isu yang berlaku sebelum ini, tidak pernah pula Siti Nurhaliza mahu memberi komen, tiba-tiba isu bolasepak dan FAM ini begitu menyentuh hatinya. Jika KJ dikatakan tidak berhemah dan biadap, rasanya aksi Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob yang menunjukkan punggongnya ketika kempen pilihanraya suatu ketika dahulu, jauh lebih biadap dan tidak berhemah.

Jika pula komen balas KJ kepada Jamal Nasir dianggap biadap dan keterlaluan, Siti Nurhaliza juga seharusnya tidak lupa bahawa Perdana Menteri, Najib Razak juga pernah melemparkan perkataan "haramjadah" kepada para peneroka Felda suatu ketika dahulu.

Tetapi di mana suara Siti Nurhaliza ketika itu?

Sehingga ini KJ belum lagi memberi respon terhadap teguran Siti Nurhaliza itu tetapi ada baiknya beliau tidak mengulas apa-apa kerana pelbagai komen di media sosial sebenarnya sudah cukup untuk membuktikan bahawa usahanya memulihkan sukan bolasepak mendapat sokongan pelbagai pihak. Sebagai menteri, beliau ada hak untuk menegur, mengkritik dan menambahbaik mutu sukan bolasepak negara ke arah yang lebih baik.

Mungkin Siti cuba menarik perhatian umum dengan menegur KJ dalam isu FAM dan bolasepak ini tetapi ada baiknya penyanyi itu fokus kepada bidangnya yang diketahuinya saja. Jika beliau ingin berjuang, perjuangkanlah nasib insan-insan seni dalam dunia hiburan yang masih banyak masalah itu.

Walaupun beliau ramai peminat, tetapi campurtangannya kali ini jelas tidak mendapat sokongan semua peminatnya. Ramai juga peminatnya yang keliru dengan niat tegurannya terhadap KJ itu serta tidak bersetuju dengannya. Komen-komen di media soaial sudah cukup rasanya untuk menunjukkan bahawa kritikan Tok Ti ini tidak mendapat sokongan yang bulat walaupun beliau penyanyi paling popular ketika ini.

Dalam masa yang sama, KJ juga dilihat tidak mundur atau "lemah lutut" dengan teguran Siti Nurhaliza. Hari ini beliau mengkritik lagi FAM dengan menyalahkan persatuan itu yang mengabaikan pembangunan bolasepak akar umbi sebagai punca kemerosotan sukan itu.

FAM, katanya, lebih memberi fokus kepada liga Malaysia dan pasukan senior semata-mata.

Kalau dengan FAM yang lebih gah pun KJ tidak lemah lutut,janganlah hendaklah beliau kalah dan tunduk pula dengan teguran Siti Nurhaliza ini. (SH 13/11/2013)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...