Saturday, 16 November 2013

Sampai Bilakah Mahathir Mahu Berhenti Merungut?


Seperti yang dijangka, bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad bersuara lagi meluahkan sesuatu yang terbuku dihatinya. Setelah beberapa tegurannya mengenai UMNO dan kerajaan tidak berapa didengar sebelum ini, tindakannya terus bersuara seperti ingin memancing perhatian, bukan saja daripada pemimpin UMNO tetapi juga rakyat jelata.

Terbaru, beliau merayu supaya kerajaan mengembalikan semula pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris atau PPSMI dengan alasan ia mampu meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa ilmu itu dan semalam di satu program di Muzium Padi di Kedah, Mahathir melahirkan rasa sedihnya mengenai Wawasan 2020 yang diasaskannya tidak lagi menjadi perhatian pemimpin selepasnya.

Menurut Mahathir, selepas beliau meletak jawatan, Wawasan 2020 tidak banyak lagi disebut, sebaliknya telah digantikan dengan Islam Hadhari dan dalam kepimpinan sekarang digantikan pula dengan transformasi dan NKRA.

"Saya dah tak tahu apa jadi selepas zaman saya," rungutnya lagi.

Sebelum ini, selepas saja anaknya Mukhriz kalah dalam perebutan jawatan Naib Presiden UMNO, Mahathir telah melahirkan kekecewaannya dengan mendaka kekalahan anaknya adakah disebabkan tidak menjadi calon pilihan Najib, kemudian beliau juga menyatakan politik wang masih berlaku dalam UMNO dan turut menyifatkan kepimpinan Najib semakin lemah serta tidak mendapat sokongan rakyat kerana sering tunduk kepada tuntutan ekstrem daripada pihak pembangkang.

Sebaik calon BN kalah di Sungai Limau dan menambah kekecewaannya lagi, beliau membidas pula cara kempen BN memberi wang dan dan pelbagai pemberian sebagai tidak lagi berkesan untuk memenangi hati rakyat.

Beliau juga dilaporkan dalam usaha memberi tekanan secara tidak langsung kepada Najib dengan menjadikan Peguam Negara, Gani Patail sebagai sasarannya dengan mengaitkan terdapat pengintip CIA bertugas dibawahnya. Ini menjadi perbualan ramai dan banyak yang turut memberi respon walaupun kemudiannya Mahathir mendakwa beliau tidak mempunyai bukti atas perkara itu.

Saya hanya ada mendengar mengenai perkara itu, katanya.

Tindakannya terus bersuara, kali ini mengenai PPSMI dan Wawasan 2020 pula menunjukkan masih banyak lagi perkara yang tidak memuaskan dan terbuku dihatinya mengenai Najib, UMNO dan kerajaan. Selain semua perkara semakin tidak betul di matanya, rungutannya adalah mengenai isu-isu lama yang tidak mungkin dikembalikan dalam waktu terdekat ini.

Dalam konteks PPSMI, ia sebenarnya adalah isu lama dan pembatalannya pun sudah dibuat beberapa tahun lalu. Lebih dari itu, ketika mahu memansuhkan PPSMI juga, Menteri Pendidikan, Muhyiddin Yassin telah pun mengadakan pertemuan dengannya untuk menyembah maklum mengenai hasrat itu. Walaupun tidak berapa puas hati, beliau memahami tindakan kerajaan memansuhkan PPSMI itu.

Antaranya ialah program PPSMI itu merugikan pelajar-pelajar Melayu terutama yang tinggal di luar bandar dan ianya jelas dapat dilihat daripada keputusan peperiksaan sebaik program itu dilaksanakan. Selain itu, keupayaan guru-guru dalam penguasaan bahasa Inggeris juga masih terbatas yang menyebabkan program itu gagal dilaksanakan dengan berkesan.

Begitu juga dengan Wawasan 2020, Mahathir seharusnya menyedari bahawa setiap pemimpin ada cara dan stail pentadbiran sendiri untuk menjadikan mereka juga kelihatan innovatif dan ada idea baru. Mahathir sendiri ketika menjadi Perdana Menteri, banyak memperkenalkan perkara-perkara baru seperti mengutamakan perindustrian berbanding pertanian, pandang ke timur, memperkenalkan slogan bersih, cekap dan amanah serta banyak lagi.

Berbanding Najib dan Pak Lah yang masih lagi menjadikan Wawasan 2020 sebagai matlamat, Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri, langsung tidak mengambil atau meneruskan apa-apa idea daripada pendahulunya iaitu Tun Hussein Onn.

Bagi PPSMI, program baru sudah pun diperkenalkan dan tidak mungkin ia akan dikembalikan. Tetapi Mahathir seolah-olah sengaja membangkitkan isu PPSMI ini untuk mengetahui sejauh mana rakyat menyokong dan bersamanya. Walaupun ada segelintir yang menyokong agar PPSMI ini dikembalikan, majoriti rakyat, termasuk pejuang bahasa nampaknya telah menyatakan pendirian menyokong tindakan kerajaan memansuhkannya.

Mahathir jelas disokong dingin dalam isu PPSMI ini.

Begitu juga rungutannya mengenai Wawasan 2020, turut disambut dingin. Sehingga ini tidak ada mana-mana pihak yang bersuara menyokong atau membantah rungutannya itu. Sebenarnya tidak ada penyisihan mengenai Wawasan 2020 ini, ia masih lagi menjadi maltamat kerajaan, cumanya ia kelihatan agak tenggelam kerana Najib memperkenalkan pelbagai dasar dan perkara baru dalam pentadbirannya.

Mungkin ini yang menyebabkanya terasa hati dan bersungut seolah-olah Wawasan 2020 diketepikan. Tetapi jika Mukhriz menang Naib Presiden UMNO, semuanya akan nampak elok di mata bekas Perdana Menteri itu, kata ramai orang-orang lama dalam UMNO.

Sementara Mahathir dijangka akan terus bersuara dan merungut lagi dan lagi, sampai bilakah sebenarnya beliau akan berbuat demikian? (SH 16/11/2013)

9 comments:

  1. Mahathir wajar terus merungut atas kapasiti mantan perdana menteri, rakyat, pengundi, blogger...salah ke?

    Apakah rungutannya merugikan ugama, bangsa Dan negara?

    ReplyDelete
  2. Merungut sesuatu isu atas kepentingan peribadi dan semata-mata nak jaga keuntungan syarikat kroni memang tak salah. Cuma rakyat tidak akan menyokong sesuatu cadangan yang menyusah dan merugikan mereka.

    Ahli UMNO Baru yang dikatakan hampir 3juta orang sepatut bangkit memberi sokongan seperti mana mereka sokong Najib menaikan harga petrol, gula dan mengenakan cukai GST.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bagi saya tak apalah jika kenaikan harga petrol dibuat 2 atau 3 kali setahun tetapi kenaikan harga petrol haruslah diselaraskan dengan pendapatan pengguna....setiap kali ada kenaikan maka pendapatan atau gaji juga harus dinaikkan jadi rakyat tak merungut

      Delete
  3. Kureng tepat bahasa ko ni Budin oii. Yang betulnya camni haaa:
    (1) "Sampai Bilakah Mahathir Mahu Merungut?", atau
    (2) "Bilakah Mahathir Mahu Berhenti Merungut?"
    Sorry laa, off topic sikit...

    ReplyDelete
    Replies
    1. boleh merungut tapi rakyat nak bukti...siapa agen cia di agc..? mahathir dah kantoi

      Delete
  4. Sampai tak dibenarkan bercakap atau tak boleh bercakap.Ini negara demokrasi

    ReplyDelete
    Replies
    1. bukan tak boleh bercakap...tpp siapa tak kenal mahathir...kalu dia bercakap mcm dia tu baiklah sgt......sedangkan dia adalah bapa segala haru-biru yg terjadi sekarang nie.......bila dia berlagak baik.....org boleh pertikaikan..." baik ada makna tuuuuu"......

      Delete
  5. Knapa mahathir merungut?Sbb dia blum mati lagi.
    Cuba korang lihat nanti sesudah matinya dia tak kan ada lagi suara rungutannya..

    ReplyDelete
  6. mahathir ni merungut sbb dah banyak mukris kalah...cuba mng diamlah...tak masuk akal bila internet nak disekat..apa hak dia nak bagi idea sekat hak orang..? kenapa dia tak merungut harga barang naik..? inilah mahathir..auta dan putar belit..mahathir hanya membebankan...dah pencen tu sudahlah...kalau tak puas hati bertandinglah jawatan naib presiden selepas ni...dah tak laku...cukup cukuplah menyusahkan orang melayu

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...