Sunday, 17 November 2013

Tiada Lagi Alasan Untuk Tidak Menyiasat Gani Patail


Meskipun sudah banyak orang bercakap mengenai isu dakwaan salah laku Peguam Negara, Gani Patail dan adanya pengintip CIA diambil bekerja dengannya, tetapi sehingga ini semuanya masih lagi kelabu. Najib yang sepatutnya bersuara menjelaskan keadaan itu, masih lagi berdiam diri. Gani Patail yang dituduh pula hilang entah ke mana, juga membisukan diri dan mungkin sedang menenangkan jiwa ke luar negara.

Pihak polis yang menurut peguam terkenal, Karpal Singh, boleh menjalankan siasatan berikutan isu yang diperkatakan sudah menjadi perbualan umum serta ada kepentingan umum didalamnya, walaupun bersuara tetapi mengelak untuk menjalankan siasatan terhadap Gani Patail dan Jabatan Peguam Negara.

Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar sebaliknya berkata, isu yang melibatkan Jabatan Peguam Negara ini dibawah bidang kuasa SPRM untuk menjalankan siasatan.

Malangnya SPRM juga jadi bisu dan hilang suara? Siapa sebenarnya yang patut mengambil tanggungjawab ini? Menjalankan siasatan sebenarnya bukan bermaksud Gani Patail bersalah, ia boleh juga bertujuan untuk membersihkan namanya. Tetapi jika siasatan tidak dijalankan, semua pihak berdiam diri dan mengelak untuk bertindak, di mata umum Gani sudah pun kelihatan bersalah.

Untuk itu, siasatan harus dan mesti dilakukan.

Semalam Solidariti Anak Muda Malaysia atau SAMM telah pun mengambil tanggungjawab membuat tidak kurang daripada 10 laporan polis di seluruh negara mendesak siasatan dilakukan keatas Peguam Negara, Gani Patail yang dikaitkan dengan agen perisik CIA, berdasarkan pengakuan Tun Mahathir dalam satu akuan bersumpah yang dilakukan oleh bekas pegawai kanan polis, Mat Zain Ibrahim.

Dalam laporannnya, SAMM juga berkata, "Pihak polis tidak boleh lepas tangan begitu sahaja dengan menyerahkan perkara ini kepada pihak lain. Ini isu serius dan harus diambil tindakan. Dunia sedang mentertawakan dan hilang hormat terhadap sistem perundangan negara. Pelabur akan lari, rakyat akan hilang kepercayaan terhadap sistem perundangan dan ini amat bahaya untuk negara.

"Peguam Negara harus diambil keterangan dan digantung tugas. Tun Mahathir juga harus ditampilkan bagi dirakam kenyataannya segera, termasuk semua yang terlibat yang dinamakan dalam akuan bersumpah tersebut. Isu ini adalah serius, lebih-lebih lagi selepas pendedahan bagaimana Amerika Syarikat menggunakan kedutaan asing di Malaysia sebagai pusat aktiviti operasi risikan mereka".

Apa yang negara mahukan ialah keadilan dan sistem yang bersih. Dengan adanya laporan polis oleh SAMM ini, tiada lagi pihak boleh berdalih untuk tidak menjalankan siasatan. Alasan klise yang selalu digunakan bahawa siasatan tidak boleh dijalankan kerana tiada laporan polis, kini sudah tidak terpakai lagi.

Dan kalau pula Najib sebagai Perdana Menteri tiada apa-apa kepentingan dengan Gani Patail dan tidak ada sebesar hama pun niat mahu melindungi Peguam Negara paling kontroversi dalam sejarah Malaysia ini, beliau juga seharusnya bersuara untuk membenarkan siasatan dijalankan. Mungkin selama ini pihak polis dan SPRM tidak berani memulakan siasatan kerana tiada petunjuk daripada Najib mengenainya.

Dalam banyak isu lain, Najib selalunya pasti akan bersuara. Malahan dalam isu Altantuya yang dikaitkan dengan dirinya pun, Najib tidak mengelak untuk bersuara tetapi dalam kes Gani ini, belum kedengaran lagi suara Najib mengenainya walaupun semua telah mengetahui dibawah kendaliannya, negara bukan saja hilang Pulau Batu Puteh yang bernilai tinggi dan strategik tetapi juga dengan tidak mengemukakan rayuan dalam kes Ling Liong Sik dan PKFZ bakal menyebabkan ribuan juta wang rakyat jadi lesap entah ke mana.

Jika semua pihak terus membisu dan tiada siasatan dijalankan, maka hampir benarlah pertanyaan Mat Zain Ibrahim, bekas pegawai kanan polis yang sudah banyak kali membuat surat terbuka mengenai salah laku Peguam Negara, " Apa yang kebalnya Gani Patail sedangkan Ketua Hakim Negara, Salleh Abbas dan menteri kabinet, Mokhtar Hashim pun pernah disiasat dan dibicarakan?

Sekarang menjadi tanggungjawab Najib dan kerajaan menepis persepsi kekebalan Gani Patail ini. (SH 17/11/2013)

5 comments:

  1. macamana mahu siasat semuanya 2x5

    ReplyDelete
  2. Agen CIA dikatakan wujud dalam pejabat peguam negara sebenarnya amat mengelirukan tapi jika dikatakan ada diantara kakitangan disitu menjual maklumat sulit kepada agen CIA mungkin boleh disiasat.

    Cuma siapa yang akan menyiasat peguam negara dan isi pejabatnya sedangkan semua nyawa ketua pemimpin negara dalam genggaman Ghani ?

    Apa yang kita lihat cuma Tun Mahathir saja yang berani, tapi dihujung keberaniannya dia kata cuma dengar cerita.... Tidak ada bukti. Maknanya apa ?

    Jika Ghani disingkirkan dari jawatan yang amat berpengaruh itu dan dilantik pula orang baru dariketurunan eee maka Najib boleh dihalau keluar dari putrajaya hanya dengan sekeping surat.

    ReplyDelete
  3. Mungkin PDRM boleh minta pertolongan dari FBI untuk mulakan siasatan.

    ReplyDelete
  4. Mngapa pihak yg sptutnya mngmbil tindakan msh brdiam diri?
    Kita tak mahu kumpulan jerong yg mrosak ngara ini d lpas atau tiada tindakan d ambil.
    Tapi bila bilis berbuat sesuatu yg mnyalahi undang2 mreka pntas mlakukan siasatan dan tangkapan.
    Kecewanya aku dgn sistem yg d amalkan d ngara ini.

    ReplyDelete
  5. mahathir dan kroninya yg memulakan isu ini harus disiasat...mahathir tak boleh lepas tangan dgn hanya berkata hanya mendengar dan tiada bukti...dengar dari siapa tu...?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...