Monday, 30 April 2018

DAPATAN TERBARU - UNDI MELAYU SOKONG BN HANYA 18 PERATUS

DAPATAN KAJISELIDIK PENGUNDI SETAKAT APRIL 2018: UNDI MELAYU BN MERUDUM KEPADA 18 PERATUS SAHAJA

MAKLUMAT AM

 Kajiselidik dijalankan melalui telefon oleh penemuramah (“call agents”) yang bercakap dengan pengundi yang dipilih secara rawak oleh sistem computer.

 Kajiselidik disertai oleh 1,961 pengundi berdaftar yang maklumat mereka telah disahkan sama dengan daftar Pengundi.

 Kajiselidik berjalan di antara 12 April 2018 hingga 23 April 2018.

 Dapatan kajiselidik melalui proses “weightage” untuk memastikan ia mewakili strata pengundi (“stratified”) iaitu mewakili setiap kumpulan pengundi mengikut kaum, umur dan latar belakang.

 Margin of error adalah 2.21%

POLA SOKONGAN PENGUNDI MELAYU

 Undi Melayu BN jatuh merudum dari 41.1% (Disember) kepada hanya 18.1% (April) membayangkan peralihan besar pengundi Melayu.

 Undi Melayu di kalangan pengundi yang telah membuat keputusan di antara BN, PH dan PAS hampir sama.

 50.7% responden memberi jawapan “Tidak pasti” atau “Undi rahsia” yang membayangkan mereka pengundi atas pagar.

POLA SOKONGAN PENGUNDI CINA

 Undi Cina BN jatuh merudum ke paras 9.3% dalam bulan April 2018.

 66.3% pengundi Cina menyatakan mereka “atas pagar” walaupun besar kemungkinan mereka penyokong PH.

 Pola sokongan yang sama ditunjukkan oleh pengundi Cina: tahap sokongan kepada BN jatuh merudum sebanyak 50% dalam tempoh 5 bulan.

POLA SOKONGAN PENGUNDI INDIA

 Sokongan pengundi India kepada BN merudum ke paras 18.7% berbanding sokongan kepada PH (32.9%).

 Ini kali pertama sejak INVOKE menjejaki tahap sokongan pengundi bermula Januari 2017 yang menyaksikan sokongan pengundi India kepada PH lebih tinggi berbanding sokongan kepada BN.

 Angka menunjukkan peralihan undi yang besar kepada PH di kalangan pengundi India berbanding sokongan kepada BN di saat-saat akhir, yang akan membawa kesan besar kepada banyak kerusi-kerusi marginal.

PROFAIL PENGUNDI ATAS PAGAR

 Jumlah pengundi atas pagar meningkat mendadak dua minggu sebelum pilihanraya, membayangkan peralihan pengundi setiap kaum lari dari BN.

 Pecahan pengundi atas pagar mengikut kaum: Melayu (50.7%), Cina (66.3%) dan India (46.9%)

PROFAIL PENGUNDI PAS

 Hanya 32.6% dari pengundi PAS adalah penyokong tegar PAS. Selebihnya, sebanyak 32.1% ada potensi akan mengundi PH dalam senyap.

KESIMPULAN

 Perbezaan sokongan antara BN, PH dan PAS di kalangan pengundi Melayu yang telah buat keputusan adalah tidak besar (sekitar 1% ke 3% sahaja).

 Undi Melayu BN telah jatuh merudum berbanding 6 bulan lalu dan kini berada dalam lingkungan undi Melayu PH.

 Di kalangan pengundi semua kaum, pilihan Perdana Menteri yang paling atas adalah Tun Mahathir/PH (29.9%) mengatasi Dato’ Seri Najib/BN (23.8%).

 Majoriti pengundi (40.5%) yakin kerajaan persekutuan akan bertukar tangan, berbanding hanya 27.6% yang percaya BN akan kembali berkuasa.


Bagi Pihak Invoke
RAFIZI RAMLI

APA NAK JADI DENGAN SPR SEJAK DI BAWAH TERAJU HASHIM INI?


Satu demi satu kelemahan dan sikap berat sebelah SPR terdedah dalam pilihanraya kali ini.


Di sebalik ia menguatkuasakan peraturan tambahan yang tidak membenarkan gambar Tun Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim diletakkan sebagai bahan kempen dengan menggunakan alasan hanya gambar presiden dan timbalan presiden parti yang bertanding saja dibenarkan, sebuah komponen BN iaitu MCA telah memasang beberapa poster yang memaparkan gambar Presiden Negara China, Xi Jinping di beberapa tempat.

Poster yang menunjukkan Presiden MCA, Liow Tiong Lai bersalaman dengan Presiden China itu didapati banyak dipasang di kawasan-kawasan di mana MCA bertanding, khususnya di sekitar Johor, Negeri Sembilan dan Pahang.


Poster itu dilihat sebagai pendekatan MCA untuk menarik hati pengundi Cina dengan memberi gambaran kerjasama BN dengan China akan memberi rahmat dan limpahan ekonomi kepada mereka.


Tetapi, bukankah meletakkan gambar Xi Jinping itu bertentangan dengan peraturan SPR sendiri?


Kenapa SPR masih berdiam diri dan tidak mengambil tindakan terhadap MCA dan BN?


Bilakah SPR mahu menurunkan gambar-gambar tersebut?


Adakah SPR sedang mencari hujah dan alasan agar penggunaan gambar itu dihalalkan demi memberi kelebihan kepada BN?


Yang nyata, SPR dalam PRU 14 dan di bawah kepimpinan Hashim Abdullah ini terlalu banyak kelemahan dan berat sebelahnya yang jelas memihak kepada BN.

 beberapa tindakan yang banyak dipertikaikan sebelum ini dan apa yang berlaku pada Sabtu lalu ketika hari penamaan calon, pemasangan gambar Xi Jinping sebagai bahan kempen untuk BN yang tidak diambil tindakan oleh SPR ini adalah satu lagi bukti paling ketara gagalnya SPR dalam menjalankan peranannya dengan baik serta tidak memihak.


Demi menjaga nama baik SPR, jika tidak upaya menjadikan badan pengendali pilihanraya itu benar-benar bebas dan telus, adalah lebih terpuji jika Hashim dapat berundur dan meletakkan jawatannya dengan seberapa segera.


Tiada apa yang dapat dibanggakan langsung sejak beliau memimpin SPR ini. (ShahbudinHusin 30/04/2018)

Sunday, 29 April 2018

MAHKAMAH SEHARUSNYA BUAT KEPUTUSAN SEGERA DALAM KES BATU DAN RANTAU, BUKAN SELEPAS 9 MEI


Difahamkan kedua-dua calon PKR, Tian Chua dan Dr. S Streram yang tidak dapat atau lebih tepat dihalang daripada menyertai pilihanraya pada 9 Mei depan akan membawa kes mereka ke mahkamah pada esok, 30 April 2018.


Tian Chua ditolak kertas pencalonan semalam kerana didakwa ada sabitan kes mahkamah yang menghukumnya dengan denda sebanyak RM2000, meskipun pada pilihanraya 2013 beliau dibenarkan bertanding oleh SPR atas kesalahan lain dengan hukuman yang sama.


Atas asas yang nyata meragukan itu kerana syarat gugurnya kedudukan sebagai wakil rakyat atau tidak boleh bertanding ialah apabila seseorang dihukum dengan denda tidak kurang RM2000 atau penjara tidak kurang 1 tahun, SPR sebaliknya bertegas menolak kertas pencalonan Tian Chua.


Dr. S Streram pula dihalang daripada memasuki dewan untuk  menyerahkan kertas pencalonan atas alasan tidak memiliki pas masuk yang dikeluarkan SPR, walaupun umum mengetahui perkara itu bukanlah suatu syarat wajib.


Berdasarkan kes duluan yang mana SPR pernah membenarkan Tian Chua bertanding pada 2013 sedangkan ketika itu juga ada sabitan hukuman denda RM2000 melibatkan dirinya serta kedudukannya sebagai Ahli Parlimen yang tidak pernah dilucutkan sepanjang dua kali didenda sebanyak RM2000, secara logiknya beliau mempunyai asas yang kuat untuk memenangi kesnya di mahkamah.


Lebih daripada itu, keputusan mahkamah dalam kes Tian Chua sebelum ini juga jelas menyebut kedudukannya sebagai Ahli Parlimen tidak gugur dengan denda RM2000 tersebut.


Begitu juga dengan Dr. S Streram, selain pas masuk SPR bukanlah suatu perkara wajib, beliau sudah pun berada di luar dewan untuk menyerahkan kertas pencalonan sejak pukul 8.00 pagi lagi beserta borang pencalonan, watikah, wang deposit, pencadang serta penyokong.


Dengan itu, hakikatnya, pasukan keselamatan tiada asas kukuh untuk menafikan haknya daripada menyerahkan kertas pencalonan, seterusnya bertanding dalam pilihanraya kerana ini adalah proses demokrasi yang tidak boleh dinafikan terhadap sesiapa pun jua.


Selain itu, Tian Chua dan Dr. S Streram juga turut membuat laporan polis berhubung apa yang mereka alami itu.


Cuma yang menjadi persoalan, apabila Tian Chua dan Dr. S Streram membawa kes mereka ke mahkamah esok, bilakah hakim akan membenarkan pendengaran dan membuat keputusan?


Berdasarkan kes ini amat penting dan mendesak kerana pengundian akan diadakan pada 9 Mei depan, mahkamah sepatutnya membenarkan pendengaran serta membuat keputusan dengan kadar yang segera.


Sama ada kes Tian Chia dan Dr. S Streram ditolak atau mereka dibenarkan menyertai semula pilihanraya di Parlimen Batu dan DUN Rantau, ia mesti diputuskan dengan segera sebelum 9 Mei.


Dengan itu, jika kes mereka ada asas dan berjaya memenanginya kerana  SPR terbukti melakukan kesilapan dan halangan memasuki dewan semata-mata kerana tiada pas adalah tidak sah, kedua-dua calon berkenaan masih mempunyai masa untuk berkempen dan menyertai pilihanraya.


Jika kes mereka ditolak pula, maka biarlah rakyat akhirnya menghukum keputusan itu melalui penolakan di seluruh negara terhadap BN.


Setidak-tidaknya, sama ada mereka dibenarkan bertanding atau sebaliknya, ia dapat diketahui oleh seluruh rakyat sebelum tarikh pengundian diadakan.


Tiada guna jika kes mereka ini yang dibawa ke mahkamah esok, tetapi akhirnya hanya diputuskan selepas 9 Mei nanti.


Walaupun kiranya Tian Chia dan Dr. S Streram berjaya memenangi kes masing-masing dan pilihanraya kecil perlu diadakan semula atas arahan mahkamah, namun pilihanraya yang diadakan selepas 9 Mei sudah berbeza keadaannya, malah mungkin tidak berguna apa-apa lagi.


Ketika itu, kerajaan baru - sama ada BN atau Pakatan Harapan - sudah pun terbentuk dan sebarang pilihanraya kecil sudah tidak memberi sebarang kesan kepada kedua-dua belah pihak.


Suatu perkara yang harus diingatkan ialah keadilan yang ditangguhkan adalah keadilan yang dinafikan. (ShahbudinHusin 29/04/2018)

SUDAH 14 KALI PILIHANRAYA, MENGAPA PASUKAN KESELAMATAN MASIH TAK FAHAM PERATURAN SPR?


Ini adalah arahan yang dikeluarkan oleh SPR yang terdapat di mana-mana pusat penamaan calon di seluruh negara.

Adakah terdapat keperluan mengenai pas masuk SPR?

Ini pula arahan yang lebih spesifik daripada SPR di mana jelas disebut, seseorang yang berhasrat menjadi calon yang datang bersama pencadang dan penyokong, walaupun tanpa pas masuk, Pegawai Pengurus Pilihanraya boleh membenarkan mereka masuk.

Maknanya, pas masuk SPR bukanlah syarat wajib.

Tetapi, mengapakah calon Pakatan Harapan di Rantau, Dr. S Streram yang sudah berada di pusat penamaan calon sejak pukul 8.00 pagi lagi tidak dibenarkan memasuki dewan untuk mengemukakan borang pencalonannya atas alasan tiada pas masuk?

Atas alasan apa petugas keselamatan tidak memberi kebenaran?

Apakah mereka tidak faham peraturan dan arahan yang sedia ada yang dikeluarkan oleh SPR?

Adakah pasukan keselamatan tidak diberi taklimat oleh SPR berhubung perkara tersebut?

Adil, sahih dan bersihkah kemenangan tanpa bertanding yang dianugerahkan kepada Mohamad Hasan, Menteri Besar sementara Negeri Sembilan semalam? (ShahbudinHusin 29/04/2018)

Saturday, 28 April 2018

TERIMA KASIH SPR....


Sebaik tamat proses penamaan calon, SPR sekali lagi mengundang kecaman yang tidak sedikit daripada orangramai berikutan beberapa tindakan badan pengendali pilihanraya itu yang dilihat kurang adil, berat sebelah dan seperti tanggapan biasa - mahu memberi kelebihan kepada UMNO dan BN.

Kes pertama - calon PKR di DUN Rantau ditolak pencalonannya kerana tidak membawa pas masuk yang dikeluarkan oleh SPR sehingga beliau tidak dibenarkan memasuki dewan untuk menyerahkan borang pencalonan.

Akibatnya, Mohamad Hassan, Menteri Besar sementara Negeri Sembilan, telah diisytiharkan menang tanpa bertanding.

Apakah pas masuk itu suatu syarat yang sangat wajib untuk memasuki dewan bagi menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding dalam pilihanraya?

Apakah tiada budi bicara langsung, walaupun borang pencalonan berserta resit wang deposit dan  pencadang serta penyokong sudah ditunjukkan kepada pegawai keselamatan?

Dalam waktu yang sama, bagaimana pula seperti yang didedahkan oleh Rafizi Ramli tentang calon Pakatan Harapan di Parlimen Tampin dan DUN Bukit Naning, Johor yang tiada masalah untuk memasuki dewan bagi menyerahkan borang pencalonan, meskipun tidak membawa pas masuk SPR?

Kenapa ada perbezaan peraturan di Rantau dengan dengan di Tampin dan Bukit Naning?

Kes kedua - tiga calon Pakatan Harapan iaitu di Penaga, Bukit Pasir dan dan Kuala Balah ditolak kertas pencalonan mereka kerana didapati telah muflis.

Tetapi, apa yang menghairankan, dua daripadanya iaitu Yaakob Osman, calon di Penaga dan Pizi Jihat, calon di Bukit Pasir, telah mengemukakan dokumen yang diperolehi daripada Jabatan Insolvensi sendiri yang bertarikh sehari sebelum 28 April 2018 yang mengesahkan kedua-duanya bebas daripada sebarang masalah bankrapsi.

Namun, dalam pemeriksaan terkini oleh SPR selepas mengemukakan borang pencalonan, tiba-tiba nama mereka disenaraikan sebagai seorang yang muflis dan dengan itu, pencalonan mereka telah ditolak.

Soalnya, bagaimanakah pemeriksaan di Jabatan Insolvensi  yang dilakukan sehari sebelum 28 April mendapati mereka tidak muflis, boleh bertukar menjadi muflis pada tarikh 28 April?

Siapakah punyai angkara semua ini?

Apakah memang proses biasa bagi SPR melakukan pemeriksaan sekali lagi, termasuk juga kepada calon-calon BN, meskipun dokumen daripada Jabatan Insolvensi yang mengesahkan tidak muflis, telah disertakan?

Tetapi, tindakan keadaan  yang paling ketara dan tidak boleh diterima ialah dalam kes ketiga apabila SPR menolak pencalonan Tian Chua bagi kerusi Parlimen Batu.

Tindakan SPR itu adalah berdasarkan keputusan mahkamah pada Mac lalu yang mengekalkan sabitan bersalahnya atas tuduhan menghina kehormatan seorang anggota polis dan mengurangkan dendanya kepada RM2000.

Peraturan yang menggugurkan kelayakan seseorang wakil rakyat ialah apabila mereka dihukum penjara tidak kurang 1 tahun atau denda tidak kurang RM2000.

Penolakan kertas pencalonan Tian Chua agak pelik kerana pada pilihanraya 2013, beliau juga pernah disabitkan dengan denda sebanyak RM2000, namun ketika itu SPR tidak pula menolak kertas pencalonannya.

Apakah SPR pada 2013 berbeza dengan SPR pada 2018?

Lebih daripada itu, ketika Tian Chua dijatuhi hukuman denda sebanyak RM2000 pada 2011 itu, Speaker Parlimen, Pandikar Amin Haji Mulia pada waktu itu menegaskan, hukuman tersebut tidak menjejaskan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Batu.

Bagaimanakah Tian Chua yang dihukum denda sebanyak RM2000 pada 2011 dan tidak dilucutkan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen, malah dibenarkan bertanding pada 2013, tetapi atas denda dengan jumlah yang sama pada Mac 2018, tiba-tiba tidak dibenarkan bertanding pada April 2018?

Selain itu, jika benar beliau tidak layak untuk bertanding, tidakkah SPR sedar tentang kedudukan Tian Chua yang tidak digugurkan kedudukan sebagai Ahli Parlimen Batu apabila dikekalkan sabitan denda RM2000 oleh mahkamah pada Mac yang lalu?

Dalam bahasa yang mudah, apabila disebut seseorang itu hilang kelayakan apabila hukum denda tidak kurang RM2000, ia bermakna seseorang itu hanya hilang kelayakannya apabila didenda melebihi RM2000. Tepat-tepat RM2000 belumlah lagi hilang kelayakan.

Dalam hal ini, SPR sendiri nampaknya keliru tentang tindakan yang dilakukannya terhadap Tian Chua apabila Pengerusi SPR, Hashim Abdullah sendiri mencadangkan agar kes itu dibawa ke mahkamah, sambil menyatakan penolakan itu bukan penamat baginya.

Kenapakah SPR sendiri seolah-olah keliru, ragu-ragu dan tidak pasti dengan tindakannya?

Mengapa Hashim tidak bertegas dengan keputusan yang diambil oeh pegawainya terhadap Tian Chua?

Bagaimanapun, harus juga disedari bahawa PRU14 ini adalah detik penting sama ada perubahan dalam politik negara dapat dilakukan atau sebaliknya.

Jika tindakan terbaru ini, dengan sebelumnya SPR melaksanakan lakaran kawasan pilihanraya, tidak membenarkan penggunaan gambar Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim dalam bahan kempen serta tidak memberi kebenaran kepada Suhakam untuk memantau perjalanan proses pilihanraya, adalah antara langkah yang bertujuan memberi kelebihan kepada BN, ia juga sebenarnya boleh menjadi asas untuk  menaikkan lagi semangat rakyat ke arah cita-cita perubahan.

Ini kerana dengan apa yang dilakukan SPR  kali ini, khususnya dalam kes Tian Chua, rakyat secara majoritinya akan lebih membenci Najib, UMNO dan BN yang ditanggapi telah mempergunakan badan itu untuk kepentingannya memenangi pilihanraya.

Ia lantas dengan sendirinya menjadikan rakyat tidak ada pilihan lain lagi selain harus menolak BN di kotak-kotak undi secara lebih menyeluruh demi menghentikan amalan memperguna SPR itu.

Jika itu apa yang bakal terhasil pada 9 Mei nanti, ucapan berbanyak-banyak terima kasih harus diberikan kepada SPR. (ShahbudinHusin 28/04/2018)

HARI PENAMAAN CALON - LANGKAH PERTAMA KE ARAH PERUBAHAN, MALAYSIA AKAN BERTAMBAH KOTOR JIKA BN TIDAK DIKALAHKAN


Hari ini adalah hari penamaan calon  bagi pilihanraya ke-14 dan merupakan langkah pertama ke arah perubahan yang diidam-idamkan oleh majoriti rakyat Malaysia.


Selepas ini dan ruang masa kempen selama 11 hari sebelum hari pengundian pada 9 Mei depan, ia adalah detik penting bagi merubah wajah negara yang telah dikotorkan oleh kepimpinan Najib Razak sehingga Malaysia yang berasaskan pemerintahan demokrasi sudah dilihat oleh banyak dunia telah bertukar menjadi kleptokrasi.


Berbanding beberapa pilihanraya sebelumnya, PRU 14 kali ini amat mencabar buat UMNO dan BN kerana rakyat tergambar lebih benci, meluat serta menyampah kepada parti tersebut.


Lebih membuatkan mereka benci, meluat dan menyampah ialah disebabkan adanya Najib sebagai Perdana Menteri dan Rosmah Mansor yang mengaku dirinya sebagai First Lady.


Di mana-mana, dalam 10 orang yang kita temui, sekurang-kurangnya 7 atau 8 orang akan menyalahkan Najib  atas banyak kecelaruan dan kesengsaraan yang dihadapi rakyat sejak tahun-tahun kebelakangan ini.


Sehubungan itu, mereka  merasakan UMNO dan BN tidak harus diberi lanjutan kuasa lagi kerana mengekalkannya bermakna memberi masa tambahan kepada Najib untuk terus melakukan kerosakan kepada negara ini.


Makanya, dapat disaksikan bagaimana program-program  Pakatan Harapan selama ini begitu mendapat sambutan ramai di mana saja ia diadakan, tidak kira di bandar, desa, pedalaman mahupun kawasan Felda.


Secara realiti dan tersuratnya, rakyat begitu dahagakan perubahan dan tidak mahu lagi berketuakan Najib, UMNO dan BN.


Disebabkan Najib telah memadam segala rekod baik BN selama 60 tahun ini, maka terlalu sukar untuk mencari mereka yang betul-betul mahu menyokong atau mempertahankannya, kecuali mereka itu telah diberikan dedak tertentu terlebih dahulu.


Selain mereka yang vokal dan terbuka menyatakan penolakan terhadap Najib, UMNO dan BN, yang lain-lain yang agak berdiam diri pula sebenarnya sudah pun ada keputusan atau pilihan sendiri dalam hati mereka.


Mereka ini hanya menunggu tarikh pengundian saja untuk membuktikan kebencian yang bersarang dalam hati dapat diterjemahkan dalam bentuk undi.


Di pihak Najib, beliau bukan tidak sedar hakikat itu. Najib tahu rakyat sudah lama menolaknya dan mereka hanya menunggu pangkahan di kertas undi saja untuk membuktikannya.


Sebab itu, wajah dan kata-kata ketakutan Najib terus terpampang setiap hari. Semakin dekat tarikh pengundian, gambaran ketakutan  Najib dan lain-lain pemimpin UMNO semakin sukar disembunyikan.


Di waktu yang sama, selain ROS yang pada tanggapan ramai telah dipergunakan untuk terus menekan dan akhirnya membubarkan Bersatu, SPR yang peranannya untuk mengendalikan pilihanraya juga seakan tidak henti-henti mencari idea dan formula untuk memberi kelebihan kepada Najib untuk mengekalkan kuasanya.


Langkah terbaru SPR menghalang penggunaan gambar Tun Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim, menguatkuasakan peraturan 10 hari sebagai tempoh untuk memohon sebelum mengadakan sesuatu program kempen, tidak memberi kebenaran kepada Suhakam memantau perjalanan pilihanraya,  selain sebelumnya mengadakan lakaran baru kawasan-kawasan, ia adalah antara langkah yang dilihat sengaja diadakan untuk menekan Pakatan Harapan daripada meneruskan agenda perubahan dalam negara ini.


Namun demikian, baik apa pun halangan serta kelebihan yang cuba ditampilkan untuk membantu Najib, UMNO dan BN, malah oleh siapa pun jua, kekuatan suara rakyat adalah melebihi segala-galanya.


Sebagaimana rakyat memberi sokongan yang baik kepada program-program Pakatan Harapan, sambutan yang sama, malah dengan lebih memberangsangkan lagi, haruslah diteruskan sehingga ke hari pengundian nanti.


Hanya dengan keberanian rakyat tampil menyatakan sokongan terbuka serta berterusan, maka segala cabaran, kekangan, hambatan atau cubaan menawarkan wang untuk membeli sokongan, dapat dipatahkan.


Untuk pilihanraya kali ini, rakyat dan pengundi tiada pilihan selain menumbangkan UMNO dan BN serta menyingkirkan Najib daripada puncak kuasa Perdana Menteri.


Sebagaimana sudah banyak kekotoran, deretan skandal, bebanan kepada rakyat dari segi hutang, cukai, pengangguran, ekonomi tidak berkembang dan segala hal lainnya, kekalnya lagi UMNO dan BN mentadbir negara ini hanyalah menjanjikan semua itu bertambah parah keadaannya.


Oleh itu, marilah kita sama-sama bertekad menjadikan perubahan sebagai keutamaan dan memulakannya dengan hari penamaan calon pada hari ini.


Selagi BN kekal berkuasa, segala kekotoran dalam negara tidak mungkin akan dibersihkan, bahkan akan bertambah hitam lagi jadinya.


Terus dan terus menunjukkan sokongan kepada Pakatan Harapan dengan penuh keberanian - bermula hari ini sehingga 9 Mei depan - bukan saja memungkinkan perubahan lebih mudah dijadikan kenyataan, bahkan tidak mustahil mampu memberikan isyarat kekalahan yang lebih awal daripada sepatutnya kepada Najib. (ShahbudinHusin 28/04/2018)

Friday, 27 April 2018

TIADA MENTERI UMNO DIGUGURKAN, BERMAKNA KABINET LAMA NAJIB AKAN KEKAL JIKA BN MENANG LAGI


Berdasarkan senarai calon-calon BN yang diumumkan setakat ini, kecuali jika ada perubahan di saat akhir sebelum hari penamaan calon esok, ia menunjukkan semua menteri-menteri daripada UMNO dipilih semula untuk bertanding pada pilihanraya 9 Mei depan.

Begitu juga menteri besar dan ketua menteri daripada UMNO, semuanya juga dicalonkan semula untuk bertanding di peringkat DUN.

Ini dengan sendirinya memberi gambaran bahawa Najib Razak berkemungkinan akan melantik kembali semua menteri-menteri yang ada sekarang jika beliau berjaya membawa BN mengekalkan kuasanya semula.

Kecuali hanya sekiranya ada menteri-menteri berkenaan kalah sajalah yang memungkinkan mereka tidak dilantik semula menganggotai kabinet selepas ini.

Hakikat ini dengan jelas memperlihatkan bahawa mengekalkan Najib tidak membawa apa-apa perubahan kepada kepimpinan negara untuk tempoh lima tahun akan datang dan fasa-fasa yang seterusnya.

Mengundi BN dan mengekalkan lagi Najib hanya bermakna mengekalkan lagi menteri-menteri yang membosankan rakyat terus berada di kedudukannya.

Dengan kekalnya BN, selain Najib dan Zahid Hamidi terus mengetuai kepimpinan negara, pasti juga akan dikekalkan lagi ialah Nazri Aziz, Noh Omar, Tengku Adnan Tengku Mansor, Salleh Said Keruak, Rahman Dahlan serta semua yang ada dalam kabinet sekarang.

Tidakkah mereka ini sudah lama membosankan kita?

Apakah kita sanggup melihat wajah-wajah mereka lagi selepas ini?

Begitu dengan barisan menteri besar dan ketua menteri, semua penyandang yang ada sekarang dikekalkan lagi untuk bertanding semula.

Bahkan Zambry Abdul Kadir dan Khaled Nordin, selain bertanding di peringkat DUN, kedua-duanya juga turut bertanding di kerusi Parlimen yang memberi gambaran jika Perak dan Johor gagal dipertahankan, tetapi Putrajaya kekal dalam kawalan BN, mereka akan dilantik sebagai menteri pula.

Ini juga memberi gambaran, kecuali jika ada yang kalah dan gagal mempertahankan negeri masing-masing, maknanya semua penyandang sedia ada akan terus menjadi menteri besar dan ketua menteri lagi selepas ini.

Ahmad Bashah di Kedah, Idris Haron di Melaka dan Musa Aman di Sabah misalnya, semua mereka ini akan terus kekal mengetuai negeri masing-masing jika UMNO dan BN terus diberikan sokongan.

Sekali lagi, tidakkah mereka ini juga membosankan kita semua?

Berdasarkan hakikat ini, di mana sebenarnya janji pembaharuan yang kerap dilaung-laungkan oleh Najib?

Bukankah waktu pilihanraya adalah masa yang sesuai untuk melakukan perubahan dan pembaharuan?

Jika bukan sewaktu pilihanraya, bila lagi perubahan dan pembaharuan mahu dilakukan?

Di mana juga janji untuk memberi peluang dan ruang yang lebih luas kepada golongan muda sebagai calon pilihanraya?

Berapa peratus calon Pemuda diketengahkan BN kali ini?

Mana TN50?

Lantaran itu, mahu tidak mahu, pengundi pada 9 Mei depan harus berani serta cekal hati untuk melakukan perubahan dalam pilihanraya kali ini.

Jika tidak, selain Najib pasti akan terus membebankan kehidupan kita, menteri, menteri besar dan ketua menteri yang membosankan kita selama ini akan terus membuatkan kehidupan kita dilingkari kebosanan yang berterusan dan tanpa hadnya.

Sanggupkah kita? (ShahbudinHusin 27/04/2018)

BAHAYA MENGUNDI BN, KENAIKAN BERGANDA HARGA MINYAK BAKAL MENANTI SELEPAS 9 MEI NANTI?


Berikutan harga minyak kekal tidak berubah sejak 5 minggu lalu, Menteri Kewangan Kedua, Johari Ghani menyatakan ia adalah kerana kenaikannya ditangguhkan buat sementara waktu.


Kata beliau, penangguhan kenaikan dilakukan oleh Najib Razak walaupun berdepan tekanan peningkatan ketara harganya di peringkat global.


Walaupun Johari tidak menyebut sebab-sebab kenaikan itu ditangguhkan buat sementara, tetapi tidaklah sukar menjangka bahawa ia tentulah dilakukan kerana pilihanraya akan diadakan pada 9 Mei depan.


Jika bukan kerana adanya pilihanraya - berani potong jari - mustahil Najib sanggup menangguhkan kenaikan harga petrol itu.


Apakah makna di sebalik tindakan Najib menangguhkan kenaikan petrol ini?


Pertama, tindakan Najib ini dengan sendirinya menolak dakwaan kerajaan sebelum ini bahawa harga pasaran  petrol dan diesel tempatan adalah ditentukan oleh harganya di peringkat antarabangsa kerana negara kita dikatakan mengamalkan sistem apungan harga.


Kata pemimpin-pemimpin kerajaan sebelum ini, harga minyak tempatan akan naik jika harganya menaik di pasaran dunia dan sebaliknya akan turun kalau harganya menurun di peringkat antarabangsa.

Jika betul harga minyak ditentukan oleh pasaran dunia, bagaimanakah Najib ada kuasa menangguhkan kenaikannya?


Bukankah ini bermakna rakyat selama ini seolah-olah ditipu hidup-hidup dan diperbodohkan demi untuk kerajaan menghalalkan kenaikan harga minyak sedangkan sebenarnya mereka ada kuasa untuk menangguh atau tidak menaikkan harganya jika ia terlalu tinggi atau membebankan rakyat?


Kedua, sehingga ini kenaikan harga minyak sudah ditangguhkan sejak 5 minggu yang lalu dan jika penangguhan kenaikan itu dilakukan sehingga 9 Mei iaitu hari pengundian, bermakna kenaikan harga minyak ditangguhkan selama 7 minggu.


Dalam kenyataannya, Johari ada menyebut penangguhan itu dilakukan Najib meskipun berdepan tekanan kenaikan ketara harga minyak di peringkat global.


Dalam erti kata lain, sekurang-kurangnya sepanjang 5 minggu yang lalu dan mungkin berterusan sehingga minggu ke 7, penangguhan sementara itu adalah dilakukan di sebalik harga pasaran minyak dunia sedang meningkat naik.


Ini bermakna, ada kemungkinan kenaikan harga minyak sejak 7 minggu adalah dikumpulkan dan dinaikkan sekaligus selepas 9 Mei nanti.


Sekarang ini, harga pasaran tempatan petrol Ron95 ialah RM2.20 dan jika dicampurkan dengan kenaikan yang dikumpulkan tetapi ditangguhkan itu, apabila penangguhannya ditarik balik selepas 9 Mei, tidak mustahil harga petrol ketika itu bakal mencecah RM2.50 atau RM2.70 seliter.


Tidakkah ini bermakna jika Najib, UMNO dan BN terus berkuasa selepas 9 Mei, suatu robekan ganas lagi bahaya sedang menanti poket semua rakyat yang memiliki kenderaan?


Jika Najib terus diberi mandat baru selepas 9 Mei nanti dan beliau menaikkan harga minyak kepada RM2.50 atau RM2.70 seliter, waima sehingga RM3.00 seliter sekalipun dengan alasan kenaikan sebelum ini telah ditangguhkan dan sekarang ia sudah berakhir, apakah lagi yang mampu rakyat lakukan untuk membantahnya?


Maka itu, sebelum kita keluar mengundi pada 9 Mei nanti, fikirkan baik-baik kesan penangguhan sementara yang diberikan Najib sekarang ini serta akibat buruk daripadanya selepas tempoh penangguhan itu berakhir sekiranya BN terus kekal berkuasa.


Sekarang mungkin kita diseronokkan dengan harga minyak yang tidak naik-naik, tetapi harganya pasti akan meningkat dengan mendadak sebaik saja penangguhan itu ditarik balik oleh Najib.


Masihkah  kita mahu mengundi BN lagi pada 9 Mei nanti atau memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan yang  menjanjikan kestabilan harga minyak dengan mengembalikan subsidi bersasar adalah suatu kewajaran yang tidak harus diabaikan? (ShahbudinHusin 27/04/2018)

Thursday, 26 April 2018

APA SUDAH JADI DENGAN SPR?

Nampaknya tidak habis-habis SPR mencari jalan untuk memberi kelebihan kepada Najib Razak, UMNO dan BN memenangi pilihanraya pada 9 Mei depan.


Berbanding memastikan seluruh proses pilihanraya berjalan dengan adil dan telus, SPR seolah-olah dalam waktu yang sama hanya mahu memberi tekanan kepada parti-parti lawan.


Selepas membuat lakaran baru kawasan-kawasan pilihanraya yang dilihat mahu menguntungkan UMNO serta BN serta semalam mengeluarkan  peraturan tambahan yang bertujuan melarang gambar Tun Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim dipamerkan semasa kempen pilihanraya dijalankan, SPR kali ini tidak memberi kebenaran pula kepada Suhakam untuk memantau proses perjalanan pilihanraya.


Apa masalah SPR ini dengan Suhakam?


Bukankah Suhakam merupakan sebuah badan hak asasi manusia yang ditubuhkan oleh Parlimen dan ia bukanlah sebuah NGO persendirian yang tidak jelas pendirian serta hala tujunya?


Jika bukan Suhakam yang sepatutnya diberi kebenaran untuk memantau pilihanraya negara ini, siapa lagi yang layak dan sesuai?


Dalam masa yang sama, di sebalik tidak memberi kebenaran kepada Suhakam untuk memantau pilihanraya ke-14 ini, SPR  difahamkan mengundang pemerhati antarabangsa daripada sekurang-kurangnya tujuh negara untuk meninjau ketelusan pilihanraya kali ini iaitu daripada Indonesia, Thailand, Kemboja, Timor Leste, Maladewa, Kyrgystan dan Azerbaijan.


Kenapa SPR mengundang pemantau daripada negara-negara yang sama taraf atau lebih mundur daripada Malaysia untuk tujuan itu?


Mengapa tidak diundang pemantau pilihanraya daripada negara maju di Eropah atau Asia seperti Korea, Jepun dan seumpamanya?


Apakah yang boleh kita harapkan dengan pemantau pilihanraya daripada Timor Leste, Kyrgystan, Azerbaijan dan Maladewa untuk memantau pilihanraya Malaysia?


Selain itu, SPR juga dikatakan turut mengundang Malaysian Commonwealth Studies Centre atau MCSC yang kurang dikenali untuk memantau pilihanraya ke-14 ini.


Berbanding Suhakam, apakah MCSC ini lebih berwibawa serta berintergriti di mata SPR?


Apa sudah jadi sebenarnya dengan SPR dibawah teraju Hashim Abdullah sekarang ini?


Selepas ini dan menjelang detik pengundian 9 Mei depan, apa lagi agaknya kelebihan yang mahu SPR "hadiahkan"  kepada Najib, UMNO dan BN? (ShahbudinHusin 26/04/2018)

LETAK JAWATAN SAJA TIDAK MEMADAI, PUAD ZARKASHI WAJIB JADI CALON BEBAS LAWAN NAJIB DI PEKAN


Dr. Puad Zarkashi yang kecewa kerana namanya tidak dipilih sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Batu Pahat akhirnya mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai Ketua Pengarah JASA, berkuatkuasa semalam.


Sambil mendakwa sistem pemilihan calon dalam BN sudah rosak, Dr. Puad juga mengatakan tidak berbaloi lagi baginya untuk terus mempertahankan kerajaan melalui JASA.


Dengan itu, tambah beliau, meletakkan jawatan adalah langkah terbaik baginya.


Tetapi apa tindakan Dr. Puad seterusnya?


Apakah beliau masih mahu kekal dalam UMNO sebagai Ahli MT dan Ketua Bahagian Batu Pahat?


Apakah beliau masih mahu duduk dalam UMNO yang diketuai Najib Razak yang telah mengenepikan namanya sebagai calon BN?

Untuk makluman Dr. Puad, bukan saja sistem pemilihan calon dalam parti itu yang telah rosak, bahkan UMNO dan BN itu sendiri sebenarnya telah lama rosak.


Ia rosak kerana dipimpin oleh pemimpin yang rosak iaitu Najib. Titik.


Selagi Najib tidak disingkirkan dan UMNO serta BN tidak ditanggalkan kuasa pemerintahannya, selagi itulah ia akan terus rosak dan merosakkan negara ini.


Sebagai Ketua Pengarah JASA yang kerjanya mempertahankan kerajaan, memang ternampak tidak masuk akal apabila Dr. Puad yang dalam waktu sama merupakan Ahli Majlis Tertinggi dan Ketua Bahagian UMNO, tetapi tidak disenaraikan sebagai calon pilihnaraya.


Jika bukan untuk dipilih sebagai calon, untuk apa beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah JASA sebelum ini?


Bukankah lebih baik sejak awal lagi diserahkan saja jawatan itu kepada mana-mana orang pencen lain yang tiada jawatan dalam parti serta tidak berminat lagi untuk menjadi calon?


Apabila diserahkan jawatan Ketua Pengarah JASA kepada Dr. Puad yang ada jawatan penting dalam parti, sudah tentu beliau ada keinginan dan keghairahan untuk dipilih sebagai calon dalam pilihanraya.


Atau sepatutnya diberitahu awal-awal lagi kepada Dr. Puad ketika menerima tawaran sebagai Ketua Pengarah JASA dahulu bahawa jawatan itu semata-mata untuk mempertahankan kerajaan dan tiada ruang sama sekali untuk dipilih sebagai calon dalam pilihanraya.


Gambaran umum sekarang ialah jika ketua sebuah agensi yang mempertahankan kerajaan pun tidak layak dipertimbangkan sebagai calon, bagaimanakah JASA itu sendiri mahu dipercayai dan diyakini oleh rakyat?


Lebih daripada itu, sementara Dr. Puad tidak terpilih dan namanya digantikan dengan Ketua Wanita UMNO Batu Pahat, Haliza Abdullah yang didakwa ada kontroversi tertentu, banyak calon lain yang dipilih di seluruh negara juga jelas memperlihatkan bahawa UMNO dan BN memang sudah rosak.


Antaranya ialah tiga bekas menteri yang pernah digugurkan dan merajuk hati sebagaimana ditulis dalam artikel sebelum ini iaitu Zulhasnan Rafique, Hasan Malek dan Husni Hanadzlah,  namun mereka dipilih semula sebagai calon.


Ahmad Said, bekas Menteri Besar Terengganu yang ada rekod mengusulkan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman, juga dicalonkan semula untuk bertanding di DUN Kijal.


Tidakkah semua ini menandakan, bukan saja sistem pemilihan, tetapi UMNO dan BN itu sendiri sudah rosak?


Untuk itu, Dr. Puad tiada pilihan lain lagi sekarang ini melainkan perlu meletakkan semua jawatannya dalam UMNO dan meninggalkan terus parti yang sudah rosak itu.


Dr. Puad wajib melangkah lagi dengan lebih berani dengan turut menyertai pilihanraya 9 Mei depan sebagai calon Bebas menentang Najib sendiri di Parlimen Pekan.


Meskipun tidak mungkin menang di Pekan, malah jika bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Batu Pahat atau DUN Senggarang juga mustahil untuk menang, tetapi dengan keberanian beliau  melawan Najib itu, ia  mampu menghantar mesej ke seluruh negara tentang kerosakan yang didakwanya itu.


Kemudian, sepanjang kempen pula,  Dr. Puad harus mendedahkan segala keburukan dan kedurjanaan Najib selama ini yang bukan saja menyebabkan sistem pemilihan parti telah rosak, tetapi juga UMNO, BN dan seluruh negara turut menjadi rosak oleh perlakuannya.


UNTIL I WIN - demikian ayat terakhir dalam surat terbuka Dr. Puad ketika mengumumkan perletakan jawatannya semalam dan perkara itu secara rasionalnya hanya terlaksana jika semua pihak, termasuk Dr. Puad, berani melakukan pelbagai cara dan usaha mengikut kemampuan masing-masing sehingga akhirnya Pakatan Harapan dapat mengambil alih pentadbiran negara ini.


UNTIL I WIN  tidak akan bermakna apa-apa jika Najib lagi menduduki Seri Perdana.   (ShahbudinHusin 26/04/2018)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...