Saturday, 30 May 2015

Jho Low Ada Di Malaysia, Siapakah Bakal Ditemuinya?

Mengikut laporan sebuah portal berita iaitu The Ant Daily atau Semut Harian, jutawan kontroversi yang dikaitkan dengan 1MDB, Jho Low ketika ini sedang berada di Malaysia.

Berdasarkan apa yang dilaporkan, Jho Low  dikatakan tiba dengan menaiki penerbangan Cathay Pacific dari Hong Kong yang memulakan perjalanan dari Jepun dan tiba di KLIA lewat petang Khamis lalu.

Beliau yang dikesan memakai baju batik hitam putih menaiki pesawat itu bersama seorang lelaki berpakaian biasa dan kemudian bertemu dengan seorang lelaki India tinggi lampai di penghubung terminal KLIA pada kira-kira jam 7.43, sebelum tergesa-gesa berlalu pergi.

Ketika isu 1MDB sedang hangat dan menjadi bara dalam hati majoriti rakyat negara ini dan namanya dikaitkan secara langsung dengan kemelut yang berlaku dalam syarikat pelaburan anak emas Najib Razak itu, kepulangan Jho Low tentu saja menimbulkan banyak persoalan serta tanda tanya.

Apakah urusannya datang ke Malaysia dan siapakah yang bakal ditemuinya di sini? 

Dalam kemelut yang yang melanda 1MDB sehingga ia dianggap skandal kewangan terbesar di era Najib menjadi Perdana Menteri, nama Jho Low telah disebut oleh banyak pihak termasuk oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang mempersoalkan apakah peranan dan bagaimanakah beliau begitu dipercayai untuk menguruskan pelaburan dana berbilion ringgit milik syarikat tersebut.

Tun Mahathir juga mengaitkan hubungan rapat Jho Low dengan anak tiri Najib, Riza Aziz yang didapati memiliki kekayaan luar biasa dengan kemampuan menerbitkan filem  dengan kos kira-kira RM300 juta di Hollywood serta membeli kondominium mewah di kota metropolitan  New York.

Dalam misteri ke mana perginya RM27 bilion daripada keseluruhan hutang 1MDB berjumlah RM42 bilion, nama Jho Low paling banyak dikaitkan dan beliau dilihat kunci utama untuk merungkai banyak kekusutan yang bermain di fikiran rakyat.

Blog ini dalam postingnya pada 15 April  2015 bertajuk "Tangkap Jho Low, Buka Semula Kes Altantuya...Habis Cerita!!" juga menyarankan agar Jho Low disiasat bagi memperolehi lebih banyak maklumat penting mengenai 1MDB.

Di kalangan pemimpin UMNO, antara yang mahu jutawan playboy itu turut disiasat ialah Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mengatakan, spekulasi awam mengenai penglibatannya dalam skandal 1MDB terlalu besar untuk diabaikan.

KJ juga mengukuhkan lagi hujahnya dengan berkata, "apa saja cara anda melihat isu ini, cap jari Jho Low berada pada seluruh tempat dalam 1MDB."

Pendirian KJ itu adalah berikutan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC, Nur Jazlan Mohamed yang belum melihat keperluan untuk memanggil Jho Low dalam siasatannya bagi mencungkil rahsia pelbagai kekalutan yang timbul dalam 1MDB.

Sehingga hari ini pun, Nur Jazlan dilaporkan masih berpendirian sama  dan tidak menyenaraikan Jho Low untuk mengadap jawatankuasa itu.

Lantaran itu, adalah tidak mungkin kepulangan Jho Low ini untuk memberikan keterangan kepada PAC.

Jadi, apakah tujuan Jho Low kembali ke Malaysia di saat ini? Apakah beliau mempunyai jadual bertemu dengan Najib Razak atau Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy untuk sesuatu urusan yang juga berkaitan syarikat itu?

Mungkinkah beliau akan bertemu dengan wanita yang sangat dihormatinya dan dipanggilnya "mummy" iaitu Rosmah Mansor?

Atau beliau pulang kerana urusan keluarga dan sekadar ingin melepaskan rindu kepada ibu bapanya di Pulau Pinang saja?

Daripada segi yang lain, munculnya Jho Low di Malaysia diketika isu 1MDB semakin hangat diperbualkan dan namanya sentiasa disebut, ia seolah-olah beliau ingin menunjukkan sikap "jantannya", sedia berdepan dan tidak takut sama sekali dengan sebarang kesalahan yang mungkin dikaitkan terhadap dirinya.

Mungkin terlalu awal untuk mengaitkannya dengan sebarang proses undang-undang, tetapi apakah peluang keemasan untuk menyoal siasat atau mendapatkan maklumat daripada Jho Low yang bagaikan sudah "menyerah diri" dan ada di depan mata ini akan dibiarkan berlalu begitu saja? (SH 30/05/2015)

Friday, 29 May 2015

Berapa Banyak Bohong Daa...


Kemelut 1MDB terus menghantui rakyat dengan jalan keluar yang masih kabur dan berliku-liku. Sama ada syarikat pelaburan itu mampu dipulihkan atau sebaliknya, yang nyata beban hutang RM42 bilion tetap menjadi tanggungan rakyat.

Selain hutang yang tinggi dan wang RM27 bilion tidak dapat dijelaskan ke mana perginya, setelah penyiasatan mencari kebenaran memasuki fasa audit oleh Ketua Audit Negara dan pendengaran di depan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC, isu pembohongan nampaknya mula mengambil tempat ketika ini seolah-olah untuk melindungi cacat-cela 1MDB.

Bermula dengan jawapan berbeza Najib Razak di Parlimen mengenai kedudukan wang USD1.103 bilion yang dibawa balik daripada Pulau Cayman ke Singapura, Najib selaku Menteri Kewangan ditaktif ramai telah melakukan perbuatan bohong dan memberi kenyataan tidak benar mengenainya.

Ramai yang garu kepala dengan jawapan berbeza Najib yang memiliki paling ramai pegawai dan penasihat sehingga keliru sama ada wang tunai, aset atau unit yang dipindahka dan disimpan di Singapura itu. Yang lain pula bimbang jika sebenarnya tidak ada apa-apa yang dibawa balik daripada Pulau Cayman.

Lebih mengelirukan sebelum itu CEO 1MDB bersungguh-sungguh mengesahkan kedudukan wang di Singapura dengan menyatakan beliau telah melihat penyatanya.

Tidak saja rakyat yang menilai jawapan berbeza Najib sebagai suatu pembohongan, malah bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menganggap perbuatan itu sebagai jenayah di bawah Seksyen 218, Kanun Acara Jenayah yang boleh dipenjara sehingga tiga tahun.

Mengenai misteri ke mana perginya RM27 bilion milik 1MDB di sebaliknya hutangnya berjumlah RM42 bilion, kenyataan Najib menyatakan ianya tidak hilang tetapi tersimpan sebahagiannya dalam nilai tanah TRX dan Bandar Malaysia, juga boleh ditakrif sebagai berbohong kerana ianya dinilai berdasarkan harga semasanya ketika ini sedangkan ia dibeli daripada kerajaan dengan harga yang amat-amat rendah.

Bermakna, sehingga ini ke mana menyelinapnya wang RM27 bilion itu masih lagi tidak diberikan jawapan yang sebenarnya.

Apabila terdedah kemudian mengenai fasal 117 dalam M&A 1MDB iaitu satu peruntukan khas yang memerlukan kebenaran bertulis daripada Perdana Menteri bagi sebarang urusniaga syarikat pelaburan itu, sekali lagi Najib didapati telah berbohong dan tidak bercakap benar.

Ini berikutan kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri sebelum ini yang mengatakan Najib tidak terlibat dalam urusan harian 1MDB, sebaliknya memberitahu syarikat itu diurus oleh satu pasukan profesional dan berpengalaman.

Tetapi dengan adanya peruntukan khas dalam fasal 117 itu, bagaimanakan untuk mengelakkan daripada tanggapan Najib tidak tahu apa-apa mengenai perjalanan harian1MDB?

Tidakkah Najib juga berbohong dalam hal ini?

Ketika Arul Kanda Kandasamy, CEO 1MDB dijadual mengadap PAC pada 26 Mei lalu dan beliau tidak dapat menghadirinya, sekali lagi unsur-unsur pembohongan terdedah.

Arul membeli alasan tidak dapat hadir kerana notis yang diterimanya adalah pada 21 Mei dan beliau sudah pun mempunyai jadual di luar negara pada 26 Mei itu.

Bagaimanapun, dengan penjelasan Nur Jazlan, Pengerusi PAC bahawa mereka menghantar surat kepada Kementerian Kewangan mengenai pemakluman jadual pendengaran itu seawal 6 Mei lagi, jelas ada permainan "membeli masa" dalam hal ini.

Mengapa surat PAC bertarikh 6 Mei kepada Kementerian Kewangan tetapi hanya disampaikan kepada 1MDB pada 21 Mei? 

Persoalan lebih penting berdasarkan konsep pertanggungjawaban ialah siapa Menteri Kewangan dan adakah kelewatan itu dalam pengetahuan Najib dan para pegawainya?

Lebih memeningkan kepala sejak semalam ialah apabila Arul Kanda juga dikesan telah bertemu Pengerusi BNBBC, Shahrir Samad yang dikenali sebagai penyokong kuat Najib di Kuala Lumpur pada 27 Mei, iaitu hanya sehari selepas jadual asal bertemu PAC yang tidak dapat dihadirinya.

Gambar-gambar curi pertemuan itu telah terdebar luas dan akhirnya Arul Kanda mengakui pertemuannya dengan Shahrir itu.

Negara mana Arul pergi sebenarnya pada 26 Mei itu jika pada 27 Mei beliau sudah ada di dalam negara? Dan sebagaimana pertanyaan Tony Pua, salah seorang anggota PAC, bila sebenarnya Arul pergi  ke luar negara dan bilakah pula tempahan tiketnya itu dibuat?

Pertanyaan yang tidak dapat dielakkan ialah apakah di sini juga terdapat unsur-unsur pembohongan lagi?

Dalam pada itu, ramai juga yang tertanya-tanya mengapa bekas CEO 1MDB, Shahrul Halmi meminta tempoh terlalu lama iaitu sebulan untuk memberi penjelasan kepada 1MDB.

Adakah sesuatu berunsur pembohongan sedang diusahakan disebalik meminta tempoh terlalu lama itu? Jika hanya yang benar perlu diberitahu kepada PAC, kenapa tempoh sampai sebulan yang diminta?

Apa yang menarik, di sebalik kecaman ramai mengenai dolak dalik Arul dan Shahrul daripada mengadap PAC yang disifatkan amat penting untuk mengetahui kebenaran jalan cerita 1MDB, Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah tampil sebagai jurucakap memberi jaminan kedua-dua mereka akan tetap memberi keterangan.

Di bursa politik kedai kopi dan lobi hotel,  bertebaran cakap-cakap mengatakan betapa besarnya pangkat kedua-dua individu terbabit sehingga Najib seolah-olah hanya "PRO" saja kepada mereka.

Dengan terus bermain dengan masa dan satu demi satu pembohongan terbongkar dalam usaha yang bagaikan terpaksa untuk merungkai kekusutan 1MDB ini, rata-rata mula bertanya, apakah selepas ini lebih banyak lagi pembohongan akan terus terdedah?

Bohong, bohong dan terus bohong.

Berapa banyak bohong daa...mungkin ini yang terpacul daripada mulut Allahyarham P Ramlee jika beliau masih hidup dan menyaksikan kemelut 1MDB ini. (SH 29/05/2015)

Thursday, 28 May 2015

Daripada "Berperang" Melalui Blog, Bukankah Lebih Baik Berdebat?


Selepas menjawab 13 soalan lazim berkaitan kepimpinannya sebelum ini, Najib Razak semalam mengambil masa menjawab dua lagi perkara iaitu mengenai dakwaan Tun Mahathir Mohamad dan GST.

Menulis di blognya NajibRazak.com, berkaitan dakwaan Tun Mahathir, Perdana Menteri berkata, banyak tuduhan yang dilemparkan terhadanya sebagai tidak adil dan mengelirukan.

Beliau antaranya membangkitkan isu pembelian cincin berharga RM24 juta melibatkan isterinya, Rosmah Mansor yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir sebagai "khabar angin jahat" serta turut dinyatakan tidak benar oleh syarikat pengeluarnya.

Lantaran itu,  beliau kesal kerana orang seperti Tun Mahathir turut menabur fitnah kepada orangramai.

Najib juga mengulangi ikrar untuk terus bertahan sehingga tempoh penggalnya berakhir dan tidak sesekali akan berundur atas alasan mempunyai mandat yang sah daripada parti dan juga rakyat.

Mengenai GST pula, selain mempertahankan cukai tersebut mampu membina ekonomi yang lebih kuat, Najib juga mengulangi hujah di mana 160 negara di dunia telah melaksanakannya sebelum ini.

Katanya, "Tun Mahathir menentang perlaksanaan GST walaupun semua pakar ekonomi berwibawa percaya asas cukai kita adalah betul untuk dilaksanakan. Perolehan ini akan digunakan untuk kebajikan rakyat, malah cadangan cukai ini mula diutarakan semasa pentadbiran beliau."

Dalam erti kata lain, melalui hujah ini Najib cuba menunjukkan seolah-olah tidak mungkin bekas Perdana Menteri itu yang hanya seorang doktor perubatan "lebih pandai" berbanding pakar ekonomi.

Sebagaimana Najib mula menggunakan blog untuk menjawab dan menyerang balas segala serangan dan kritikan terhadapnya, Tun Mahathir juga menggunakan banyak ruang melalui blog Chedet.cc miliknya untuk melakukan serangan dan menjawab isu-isu yang dibangkitkan terhadap dirinya.

Sejak menarik balik sokongan dan menggesa Perdana Menteri berundur untuk menyelamatkan masa depan UMNO dan BN, Tun Mahathir sudah beberapa kali menggunakan blognya untuk melancarkan serangan kepada Najib.

Najib pula, walaupun dikelilingi oleh media arus perdana untuk publisiti dirinya, sejak akhir-akhir ini mula memilih medium yang sama yang berhujah dengan Tun Mahathir.

Dengan kecenderungan ini, Najib dan Tun Mahathir kini seperti sedang "berperang" dan berbalas jawapan melalui blog masing-masing.

Sebagaimana jawapan dalam 13 perkara oleh Najib sebelum ini yang disifatkan oleh Tun Mahathir "tidak menjawab apa-apa", penjelasan terbaru yang bercampur serangan dan sindiran kali ini pastinya mengundang libasan lagi daripada bekas Perdana Menteri selama 22 tahun ini.

Akhirnya sesi jawab menjawab antara Najib dengan Tun Mahathir ini akan berterusan dan menjadi lebih meriah lagi dari masa ke semasa.

Bilakah akan berakhir semuanya? Apakah "perang" melalui blog ini akan berterusan sehingga PRU 14 akan datang?

Sementara Tun Mahathir sudah menyatakan kesediaan untuk berdebat secara terbuka, bukankah lebih baik jika Najib bersedia menyahutnya?

Menulis dan menjawab di blog, tidak memberi nilai tambah untuk meningkatkan sokongan rakyat kepada Najib kerana selagi tidak berani berdebat dengan Tun Mahathir, beliau tetap dianggap sebagai "penakut" dan tidak mampu mempertahankan hujahnya secara berdepan.

Berbeza dengan Tun Mahathir, oleh kerana beliau diketepikan oleh media arus perdana, menulis atau menjawab di blog memberi kelebihan yang dinanti-nanti rakyat untuk mendapatkan penjelasan daripadanya.

Berdebat dengan Tun Mahathir - mungkin ini nasihat wajib yang perlu dibisikkan oleh Lim Kok Wing kepada Najib. ( SH 28/05/2015 )

Wednesday, 27 May 2015

1MDB - Tumpuan Kini Beralih Kepada Muhyiddin

Setelah berbulan-bulan Najib Razak menjadi bahan asakan mengenai 1MDB dan semua persoalan hanya ditujukan kepadanya untuk memberikan jawapan, kini nampaknya giliran Muhyiddin Yassin sebagai orang nombor dua dalam parti dan kerajaan pula harus menjawab mengenai pendiriannya.

Atas kedudukannya sebagai salah seorang anggota kabinet yang memikul konsep tanggungjawab bersama, semua persoalan yang berlaku dalam negara tidak membenarkan mereka memilih untuk berdiam diri atau memberitahu tidak tahu mengenainya.

Jika sebagai Timbalan Presiden UMNO, sebagaimana ucapannya dalam video yang sudah tersebar luas, Muhyiddin mahukan Lembaga Pengarah 1MDB dipecat dan disusuli dengan tindakan polis melakukan penyiasatan, begitu juga ketika menyatakan sokongan kepada Najib dalam mesyuarat MT UMNO, pendirian beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri sebenarnya lebih ditunggu-tunggu memandangkan kemelut dalam syarikat pelaburan itu telah menimbulkan kebimbangan kepada seluruh rakyat.

Ini kerana berbanding pendiriannya dalam UMNO yang hanya mewakili kepentingan 3.6 juta ahli, kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah mewakili lebih 30 juta rakyat keseluruhannya.

Dua hari lalu, Tengku Razaleigh Hamzah telah menyatakan bahawa persoalan 1MDB tidak seharusnya menjadi beban kepada Najib seorang, tetapi keseluruhan anggota kabinet mesti memikulnya bersama.

Katanya, dengan kedudukan kabinet yang memikul tanggungjawab bersama mewakili kepentingan rakyat, tidak harus ada mana-mana anggotanya mengatakan mereka tidak tahu atau tidak terlibat dalam kemelut 1MDB ini.

Sebagai anggota veteran UMNO yang pernah meletakkan jawatan dalam kabinet kerana tidak bersetuju dengan kepimpinan dan beberapa dasar Tun Mahathir pada 1986, pandangan Tengku Razaleigh ternyata ada benarnya, lebih-lebih lagi beliau telah menunjukkan teladan dalam hal itu.

Pengerusi BNBBC, Shahrir Samad turut bersetuju dengan pandangan Tengku Razaleigh itu, malah menambah jika mereka tidak tahu atau tidak faham mengenai sesuatu itu, mereka patut bertanya lagi dan lagi sehingga benar-benar memahaminya.

Merujuk kepada keputusan kabinet sebelum ini yang bersetuju persoalan 1MDB diserahkan kepada Ketua Audit Negara dan PAC untuk penilaian akaun dan menentukan kecelaruannya, Shahrir menambah, menteri seharusnya meletakkan jawatan jika tidak bersetuju dengan keputusan kolektif yang telah dibuat.

Dalam masa yang sama, Shahrir yang dikenali sebagai penyokong Najib dan tidak sehaluan dengan Muhyiddin sejak dulu lagi, juga mahukan Timbalan Perdana Menteri menyatakan pendiriannya sebenarnya mengenai 1MDB ini.

Tidak diragui lagi, gesaan Shahrir ini adalah berkaitan dengan ucapan Muhyiddin dalam majlis tertutup UMNO di Janda Baik sebagaimana videonya telah tersebar luas dan juga kenyataannya di Milan, Italy yang menyatakan beliau menghadapi kesukaran menjawab mengenai 1MDB kerana tidak mengetahui banyak perkara mengenainya.

Apa yang terpampang selama ini lebih merupakan kenyataan Muhyiddin sebagai pemimpin UMNO berbanding kedudukannya sebagai anggota kabinet. Dan pendiriannya sebagai pemimpin UMNO itu jelas menggambarkan kebimbangan dan ketegasannya terhadap kemelut 1MDB itu.

Jika benar juga beberapa dakwaan bahawa banyak persoalan mengenai 1MDB selama ini tidak dibawa atau dimaklumkan kepada kabinet, menteri seharusnya bersikap lebih sensitif dan bertanyakan kepada Perdana Menteri berkaitannya.

Dengan pandangan Ku Li dan Shahrir bahawa anggota kabinet tidak boleh lepas tangan dalam isu 1MDB ini atau bercakap dengan nada berbeza sebagai pemimpin UMNO dan anggota kabinet, yang paling utama perlu tampil menyatakan pendiriannya ialah Muhyiddin sendiri.

Ini lantaran beliau terlihat paling lantang dan berbeza pendirian dengan Najib dalam isu 1MDB ini. Pendiriannya pula membawa nada harapan kepada rakyat.

Begitu juga dengan cadangannya agar Lembaga Pengarah 1MDB dipecat dan polis dibenarkan masuk menjalankan siasatan, Muhyiddin juga harus bertegas apakah beliau boleh berdiam diri saja walaupun tidak ternampak tanda-tanda Najib mahu mengambil kira pandangannya itu, meskipun berkedudukan nombor dua dalam parti.

Jika benar sebagai pejuang yang hanya takut kepada Allah saja, sebenarnya tiada ruang lagi untuk Muhyiddin terus berlengah dan "bermain selamat" dalam isu 1MDB ini. Setuju atau tidak setuju mesti dinyatakan dengan jelas dan tidak seharusnya keberanian bersuara hanya dalam parti tetapi dilihat berbeza sebagai anggota kabinet.

Selepas itu, rakyat akan menilai sama ada beliau sebenarnya takutkan Allah atau sayangkan jawatannya. (SH 27/05/2015)

Sunday, 24 May 2015

Alamak...Penjara Tiga Tahun Tuu!!


Jawapan mengelirukan mengenai sama ada "wang tunai", "aset" atau "unit" milik 1MDB yang disimpan di sebuah bank di Singapura ketika ini terus menjadi "duri dalam daging" kepada Najib Razak dalam mempertahankan kedudukannya.

Setelah sekian ramai yang mempertikaikan jawapan yang diberikan Najib di Parlimen mengenainya, kini bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad pula tampil dengan mendakwa perbuatan Perdana Menteri itu adalah suatu perbuatan berbohong yang boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah.

Beliau mendakwa perbuatan Najib itu sebagai menyembunyi kesalahan dalam urusan kerajaan dan ia adalah salah di bawah Seksyen 218 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Alamak, mungkinkah Perdana Menteri dengan segala kegemilangannya menghuni penjara pula selepas ini?

Dalam jawapannya di Parlimen pada 10 Mac lalu, Najib mengatakan wang milik 1MDB dari Pulau Cayman berjumlah US1.103 bilion kini disimpan di BSI Bank di Singapura bagi memudahkan pengeluarannya kerana wujud peraturan ketat Bank Negara jika ingin mengeluarkan wang melebihi RM50 juta.

Bagaimanapun, dalam jawapan bertulisnya di Parlimen Khamis lalu, Najib memberitahu bukan wang tunai yang disimpan di Singapura itu tetapi ianya dalam bentuk aset.

Menteri Kewangan Kedua, Husni Hanadzlah memberitahu kemudian, ia sebenarnya adalah dalam bentuk unit tetapi enggan menjelaskan lebih lanjut mengenainya.

Menulis di blognya, bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu menjelaskan, pembohongan pertama Najib ialah tidak ada wang tunai milik 1MDB yang dibawa balik, manakala pembohongan kedua pula  ialah tidak ada wang tunai yang dimasukkan ke dalam akaun BSI di Singapura.

Sehubungan itu, beliau mahukan pihak polis melakukan siasatan dan proses undang-undang hendaklah diambil kerana ada unsur jenayah berkenaan kes ini.

Dengan menyerang, mengkritik, mendesak meletakkan jawatan dan kini mengaitkan pula Najib dengan perbuatan berunsur jenayah yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, ia tidak lain adalah isyarat betapa Tun Mahathir akan terus mengasak dan tidak berganjak sedikit pun daripada pendiriannya.

Meskipun Najib sudah bermadah Bugis dan mengungkit-ungkit sokongannya kepada Tun Mahathir, terutama dalam pemilihan 1987, beliau nampaknya tidak goyah dengan semua itu.

Adalah jelas pendirian Tun Mahathir masih sekukuh Menara KLCC iaitu mahukan Najib berundur bagi menyelamatkan masa depan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang sebagaimana yang sudah ditegaskannya beberapa kali sebelum ini.

Mungkin Tun Mahathir sedar agar sukar bagi pihak polis atau Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri untuk mengarahkan siasatan terhadap Najib dalam kes jenayah yang didakwanya ini, tetapi yang pastinya bekas Perdana Menteri itu sedang menghimpun kekuatan persepsi rakyat untuk terus memihak kepadanya.

Membangkitkan kemungkinan melakukan kesalahan jenayah dan boleh dipenjara sehingga tiga tahun, walaupun realitinya teramat sukar menjadi kenyataan berikutan pemusatan kuasa terlalu kukuh melindungi seseorang yang bergelar Perdana Menteri, apa yang Tun Mahathir mahukan ialah pemenjaraan sokongan rakyat terus menghantui Najib.

Sama ada dihadapkan ke muka pengadilan atau sebaliknya, Najib tetap dilihat telah melakukan kesalahan moral yang besar iaitu memberi jawapan bersifat bohong di Parlimen dan ini mudah disedari oleh sesiapa saja yang melihat dua penjelasan berbeza telah diberikannya.

Dengan itu, bukan saja keyakinan kepada Najib dalam UMNO terus berbelah bagi, bahkan lebih mungkin menerima kesan buruk daripada penolakan rakyat yang sukar dinafikan dalam pilihanraya akan datang.

Selagi tidak berundur, walaupun cuba mencari kekuatan di sebalik madah Bugis atau dengan bantuan pemulihan imej oleh Lim Kok Wing, Tun Mahathir pastinya akan terus mengikis dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap Najib yang mahu disingkirkannya itu.

Lagi Najib berdegil, lagi banyak langkah bakal ditunjukkan Tun Mahathir selepas ini. (SH 24/05/2015)

Saturday, 23 May 2015

Mampukah Lim Kok Wing Pulihkan Imej Najib?

Menyedari kepimpinannya semakin dipertikai dan namanya tidak lagi seharum dulu, Najib Razak akhirnya melantik perunding pengiklanan terkenal, Lim Kok Wing sebagai penyelaras program khas untuk memulihkan imejnya di mata rakyat.

Difahamkan tugas utamanya ialah mengembalikan semula sokongan rakyat terhadap Najib dengan antaranya melakukan program jelajah ke seluruh negara dan mendengar sendiri aduan rakyat terhadap kerajaan dan kepimpinannya.

Dengan perlantikan ini juga secara langsung mengesahkan Najib masih cuba bertahan dengan jawatannya dan tidak sesekali mahu mengalah di sebalik desakan makin kuat mahukannya berundur demi menyelamatkan negara dan memberi harapan lebih baik kepada BN mengekalkan kuasanya dalam pilihanraya akan datang.

Walaupun tugas mempromosi bukan baru bagi Lim Kok Wing di mana sebelum ini juga pernah terlibat membantu kerajaan dalam kempen anti merokok "Tak Nak", Rakan Muda serta kempen pilihanraya bagi Nelson Mandela, tetapi barangkali usaha memulihkan semula imej Najib ini merupakan tugas yang paling sukar baginya.

Ini kerana Najib bukan saja berdepan penolakan daripada rakyat yang semakin membengkak, bahkan keyakinan ahli dan pimpinan UMNO sendiri mulai terhakis terhadapnya. Berdasarkan dapatan di peringkat akar umbi UMNO dan dilihat daripada reaksi pemimpin UMNO dalam video melibatkan Muhyiddin Yassin yang tersebar luas, terbukti kemahuan Najib berundur dan keperluan kepada perubahan bukan lagi perkara asing.

Lebih dari itu, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad yang masih berpengaruh dan disukai rakyat adalah "hujung tombak paling tajam" yang mahu menyingkirkannya ketika ini.

Semua penolakan terhadap Najib pula secara umumnya berkisar kepada beberapa isu pokok yang menjdi bualan rakyat seperti 1MDB, pembunuhan Altantuya, hal berkaitan Rosmah, GST, beban hutang negara, perbelanjaan mewah keluarganya dan beberapa aspek yang lain.

Isu-isu tersebut jugalah yang membuatkan Tun Mahathir menarik balik sokongannya terhadap Najib dan kini turut menjelajah ke seluruh bagi memaksanya berundur.

Dengan tugas berat yang perlu dilakukan oleh Lim Kok Wing untuk memerah idea memulihkan imej Najib  yang remuk teruk itu, sudah tentu ganjaran yang perlu dibayar daripada wang rakyat juga  lumayan jumlahnya.

Najib ketika ini dilihat umpama kereta yang sudah rosak teruk dan hampir "total loss" keadaannya serta tidak diyakini lagi mampu untuk bergerak jauh. Memulih dan mencantikkannya tidak dapat dielakkan daripada keperluan biaya yang besar. Membaiki dan memulihkannya juga mungkin tidak berbaloi berbanding membeli kereta baru.

Soalnya, mampukah imej Najib dipulihkan dan sokongan rakyat dikembalikan dengan bantuan Lim Kok Wing ini? Bagaimanakah agaknya pendekatan dan "silap mata" yang bakal diperkenalkan oleh perunding pengiklanan terkenal itu untuk menutup wajah dan imej Najib daripada bayangan hitam 1MDB, Altantuya, pemborosan Rosmah, GST dan lain-lainnya yang selalu bermain-main di fikiran rakyat?

Mampukah selepas dipulihkan dan dicantikkan, Najib berubah menjadi kereta baru yang lebih selesa digunakan untuk perjalanan yang jauh? 

Terpesonakah orang kampung dan makcik Felda untuk menerima semula Najib nanti setelah mereka juga mulai menolak sebagaimana yang ditunjukkan dalam keputusan pilihanraya Rompin baru-baru ini?

Yang penting juga untuk ditunggu ialah bagaimanakah cara dan kaedah yang mahu diterapkan oleh Lim Kok Wing kepada Najib selepas ini dalam menghadapi cabaran dan tentangan daripada Tun Mahathir?

Di sana sini, persoalan yang kedengaran ialah mampu dan bolehkah imej Najib dipulihkan semula dengan bantuan Lim Kok Wing  ini? Berupayakah beliau membina benteng menahan Najib daripada ombak dan gelombang penolakan?

Atau mungkinkan kempen memulihkan imej Najib ini bakal berakhir seperti kempen anti merokok "Tak Nak" yang bukan saja tidak memberi apa-apa kesan kepada penagih tegarnya, bahkan jumlah perokok muda juga kian bertambah setiap masa? (SH 23/05/2015)

Sekadar untuk tersenyum - kreativiti pengguna laman sosial menggambarkan wajah baru Najib selepas mendapat bantuan memulihkan imej daripada Lim Kok Wing...

Friday, 22 May 2015

Mencari Perdana Menteri Baru

Di mana-mana ketika ini isu pertukaran Perdana Menteri sudah menjadi percakapan umum yang jarang terlepas daripada bibir perbualan rakyat.

Orang kampung, orang bandar, ahli parti, mereka yang berkecuali, pegawai kerajaan, swasta, pencari kerja, anak muda dan sesiapa saja, malah boleh dikata  hampir semua rakyat bercakap isu yang sama.

Bertemu di kedai kopi, berbincang soal bisnes ketika makan tengahari, terserempak rakan lama di kaki lima jalan, berbual di telefon atau bermesej melalui Whatsapp, topik masa depan Najib dan siapa bakal Perdana Menteri baru sentiasa menjadi tajuk yang boleh dianggap "kurang patriotik"  jika tidak diperkatakan.

Najib Razak bagi majoriti rakyat, dengan pelbagai isu yang sudah diketahui umum dan bebannya kepada negara, dilihat semakin tidak layak serta tidak diperlukan lagi sebagai peneraju negara ini.

Untuk keluar dari segala kemelut dan kegelapan yang ada sekarang, sekurang-kurangnya buat sementara waktu, kata putusnya ialah negara memerlukan seorang Perdana Menteri baru dengan segera.

Sama ada Perdana Menteri baru itu hanya sementara sehingga PRU 14 akan datang atau mampu meneruskannya selepas itu, semuanya bergantung kepada siapa yang bakal dipilih dan kemampuannya mendepani segala cabaran itu nanti.

Lantaran itu, pertanyaan paling popular ialah bila Najib nak berhenti? Yang lebih berani pula akan berkata, "cepatlah Najib berhenti, menyusahkan rakyat saja jika semakin lama jadi Perdana Menteri."

Susulannya, tentu saja ada yang bertanya, siapa bakal Perdana Menteri baru yang sesuai?

Muhyiddin Yassin? Tengku Razaleigh Hamzah? Atau siapa?

Untuk mengupas persoalan tersebut, sebuah forum akan diadakan pada Sabtu ini, 23 Mei di Dewan Sivik, Petaling Jaya, Selangor.

Forum bertajuk "Mencari Pemimpin Baru Malaysia" itu akan menampilkan ahli panel iaitu Zaid Ibrahim, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Affifudin Omar, bekas Timbalan Menteri Kewangan dan Muhammad Mohd Taib, bekas Menteri Besar Selangor.

Moderator forum pula ialah Prof. Dr Azmi Shahrom daripada Universiti Malaya.

Yang menariknya, ketiga-tiga ahli panel ini adalah bekas pemimpin UMNO yang sudah berbeza wadah - Zaid Ibrahim, selepas menyertai PKR dan memimpin KITA, mungkin tidak menganggotai mana-mana parti ketika ini, Affifudin masih bersama UMNO manakala Muhammad pula menyertai Pas sebelum PRU 13 lalu.

Berdasarkan pengalaman dan sudut pandangan yang berbeza ini, tentu saja banyak yang menarik apabila mereka memperkatakan tajuk yang sama iaitu siapa bakal Perdana Menteri baru untuk Malaysia?

Siapakah pilihan mereka? Untuk mengetahuinya sambil meluaskan daya pengetahuan dan sebagai tanda sayang dan cintakan negara ini, tanpa mengira anutan dan kiblat politik, ayuhhh...ramai-ramai kita ke sana!! (SH 22/05/2015)

Thursday, 21 May 2015

1MDB - Menanti Wibawa Ketua Audit Negara Dan Berani Atau Tidaknya PAC Menyiasat Najib


Di ketika Najib Razak meminta semua pengkritik 1MDB bersabar menunggu hasil siasatan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap syarikat pelaburan bermasalah itu, jawapannya selaku Menteri Kewangan di Parlimen mengenai kedudukan sebenr simpanan di Singapura tentu saja membuatkan ramai hilang sabar dengannya.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam, pengakuannya bahawa tiada wang tunai disimpan di Singapura ketika ini jelas bercanggah dengan kenyataannya pada Mac lalu bahawa tebus tunai dari Pulau Cayman sudah pun dilakukan.

Ketika itu, Najib juga menjelaskan wang tunai itu disimpan di Singapura dan tidak di dalam negara adalah untuk memudahkan proses pengeluarannya memandangkan peraturan Bank Negara yang meletakka syarat ketat bagi pengeluaran melebihi RM50 juta.

Namun, jawapannya semalam mengatakan yang ada di Singapura hanyalah aset dalam bentuk kertas saja, bukannya wang tunai.

Walaupun menyebut bahawa penjelasan terbaru ini merupakan pindaan kepada jawapan di Parlimen pada 10 Mac lalu, Najib seolah-olah mempermain-mainkan institusi penggubal undang-undang tersebut dengan sesuka hati memberikan jawapan yang berbeza seolah-olah Kementerian Kewangan yang diterajuinya hanyalah umpama kedai runcit yang tiada sistem dan maklumat aliran tunai yang lengkap.

Persoalan sama ada wang tunai itu benar-benar wujud atau sebaliknya kini lebih menghantui ramai orang di sebalik jawapan terbaru Najib ini.

Sehari sebelum itu, Najib juga mengeluarkan kenyataan bahawa Kementerian Kewangan sedang berusaha membantu dan menyelamat 1MDB yang sarat dengan hutang tersebut.

Selepas mengakui 1MDB bermasalah dan usaha-usaha menyelamat sedang dilakukan sedangkan sebelum ini bermati-matian menafikannya, jawapan bertulis di Parlimen semalam nyata lebih mengeliru dan membimbangkan.

Apa pun tujuannya, jawapan Najib ini bukan saja mengesahkan dakwaan pelbagai pihak, terutamanya Tun Mahathir Mohamad bahawa syarikat itu bukan saja  sedang kronik masalahnya tetapi juga kemungkinan banyak "hanky panky" telah beraja di dalamnya selama ini.

Ia dengan sendiri mengesahkan kaitan dengan pertanyaan berulang kali yang disuarakan oleh bekas Perdana Menteri sebelum ini iaitu mengenai peranan Jho Low, ke mana lesapnya RM27 daripada hutangnya yang berjumlah RM42 bilion dan bagaimana Riza Aziz memiliki begitu banyak wang di ketika wang 1MDB didapati hilang tanpa dapat dikesan.

Dengan jawapan terbaru Najib yang jelas mengeliru dan membuatkan rakyat semakin hilang sabar dan naik angin ini, beban lebih berat sedang menunggu Ketua Audit Negara dan PAC yang sedang menjalankan tugasnya sekarang.

Mengenai aspek perpindahan misteri dari Pulau Cayman ke Singapura itu, apakah dalam pengaditannya nanti, akan dijelaskan bagaimana tunai telah bertukar menjadi kertas atau ia akan dikesampingkan begitu saja?

Walapun Tun Mahathir meragui laporan audit akan menemui nama Jho Low dan Riza Aziz dalam pemeriksaan akaun 1MDB, persoalan juga adakah Ketua Audit Negara mampu menemui "lubang tikus" ke mana menghilangnya RM27 bilion itu?

Bak kata Tun Daim Zainudin sebelum ini bahawa konflik kepercayaan terhadap Ketua Audit Negara dalam mengaudit akaun 1MDB memang tidak dapat dielakkan kerana ia sendiri terletak di bawah Kementerian Kewangan, namun inilah cabaran sebenarnya kepada jabatan itu dalam menjalankan tugasnya.

Adakah wang rakyat yang ingin dijaga atau pemimpin yang kerap menjual nama rakyat yang ingin dipertahankan?

Kepada PAC pula, wibawa dan cabaran besarnya ialah tentang siapa yang akan dipanggil untuk disiasatnya mengenai 1MDB ini?

Memanggil sekadar ikan-ikan kecil seperti Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi atau EPU  dan lain-lain yang setaraf dengannya untuk siasatan tidak mungkin banyak membantu dan menemui jawapan yang sebenarnya.

Individu yang harus dipanggil untuk disiasat ialah Jho Low dan Najib sendiri kerana inilah kunci sebenar kepada permasalahan dalam 1MDB itu.

Oleh kerana Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sendiri sudah mengeluarkan gesaan agar Jho Low tidak dipinggirkan dalam siasatan PAC kerana katanya, cap jari playboy itu ada di mana dalam isu 1MDB, Nur Jazlan selaku Pengerusi PAC haruslah lebih ke depan meyakinkan rakyat dengan keberaniannya untuk memanggil Najib juga untuk dilakukan siasatan.

Jika sebelum ini Nur Jazlan begitu kritikal terhadap Najib dan kerajaan yang tidak dipersetujuinya dalam beberapa kenyaaan medianya, inilah masanya beliau membuktikan "tiada dua wajah" dalam dirinya.

Tanpa memanggil Najib dan Jho Low, PAC bukan saja dilihat tidak berwibawa, bahkan akan dituduh hanya melakukan kerja-kerja memulih dan menyelamat juga. (SH 21/05/2015)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...