Apabila bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad meminta agar beliau diberi peluang untuk bertemu akar umbi UMNO untuk menjelaskan sebab-sebab beliau menyerang kepimpinan Najib Razak, ia seharusnya disambut sebagai peluang keemasan yang tidak boleh sama-sekali dilepaskan.
Dalam tulisan di blognya hari ini, Tun Mahathir meminta agar beliau diberi peluang bertemu ahli akar umbi UMNO bagi menjelaskan sebab sebenar tindakan yang dilakukannya terhadap Najib sekarang ini.
Katanya, walaupun percaya tindakan yang dilakukannya untuk menyelamatkan UMNO, tetapi tindakannya itu mungkin tidak menyenangkan Najib dan sebahagian ahlinya yang lain.
Tetapi, tambah beliau, untuk membuat keputusan secara adil dan menghukum secara bijak, mendengar penjelasan daripada kedua-dua belah pihak adalah perlu terlebih dahulu.
"Selepas mendengar daripada kedua-dua belah pihak, adililah serangan saya sama ada ianya bertujuan merosakkan parti atau menyelamatkannya," jelas Tun Mahathir lagi.
Selepas beberapa serangan dan kritikan oleh Tun Mahathir terhadap Najib, termasuk desakan agar meletakkan jawatan, penerimaan ahli UMNO kini berbelah bagi mengenainya. Ada yang setuju dan ada yang tidak setuju. Ada juga yang mengatakannya tidak wajar dan seolah-olah memberi kelebihan kepada pembangkang.
Tun Mahathir bagaimanapun bertegas mengatakan tindakannya adalah untuk menyelamatkan UMNO kerana kepimpinan Najib yang banyak skandal tidak lagi diterima oleh pelbagai kaum di negara ini dan lebih mungkin menyebabkan BN kalah dalam pilihanraya akan datang.
Najib pula, di sebalik banyak berdiam diri dan tidak mahu menjawab banyak persoalan yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir, dalam masa yang sama berkeras tidak mahu menyerah kalah kepada semua serangan itu.
Namun, dengan Tun Mahathir kini bersikap lebih terbuka untuk bertemu ahli akar umbi bagi menjelaskan pendiriannya, UMNO Bahagian dan cawangan di seluruh negara seharusnya berebut-rebut tampil menjemput Tun Mahathir bagi mendengar secara langsung penjelasan beliau itu.
Ia sepatutnya adalah peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan oleh mana-mana Bahagian dan cawangan UMNO. Setelah sebahagian Ketua Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri bertemu dengan Najib dan kemudian menyatakan sokongan, kini mereka sepatutnya mendengar penjelasan daripada Tun Mahathir pula.
Selain itu, mana-mana pihak yang selama ini tidak puas hati dengan kritikan dan serangan Tun Mahathir, boleh juga menggunakan peluang yang terbuka ini untuk berhujah dan mempersoalkannya.
Terutamanya Ketua UMNO Bahagian yang selama ini lantang mengkritik Tun Mahathir melalui media tradisional atau media baru, inilah peluang terbaik untuk mereka berhujah dengan bekas Perdana Menteri itu.
Tidak ada apa-apa lagi yang perlu ditakutkan untuk berhujah secara berdepan dengan Tun Mahathir kerana beliau sekarang tidak mempunyai sebarang kuasa sepertimana dahulu.
Begitu juga, khabarnya ada cawangan UMNO yang mengusulkan agar tindakan disiplin diambil terhadap Tun Mahathir kerana kelantangannya mengkritk Najib, seharusnya juga berjiwa berani untuk menjemput bekas Perdana Menteri itu hadir ke cawangannya.
Jika lebih banyak cawangan atau bahagian UMNO dapat bertindak berani menjemput Tun Mahathir dan kemudian mengatakan apa yang dilakukannya sekarang sesuatu yang tidak wajar dan boleh melemahkan parti, ia mungkin akhirnya membuatkan bekas Perdana Menteri itu akur dengannya.
Tetapi jika Tun Mahathir berjaya meyakinkan tindakannya adalah betul dan untuk kebaikan UMNO, menjadi kewajipan pula ianya disokong kerana akhirnya yang penting ialah parti, bukannya pemimpin.
Tun Mahathir sudah menghulurkan salam, lalu sambutlah salamnya ini. (SH 30/04/2015)