Bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang sudah menarik balik sokongannya kepada Najib, telah beberapa kali mengkritik mengenai hutang 1MDB yang terlalu tinggi dan membebankan negara. Isu yang sama juga menjadi bahan bagi beberapa pemimpin pembangkang di Parlimen untuk menyerang lagi kerajaan.
Seorang pemimpin UMNO Sabah, Salleh Tun Said Keruak secara terbuka mengingatkan bahawa isu hutang 1MDB ini jika tidak diuruskan dengan baik, boleh menjadi punca kejatuhan Najib daripada tampuk kuasanya.
Mahathir dalam komen terbarunya pula mengatakan, "Malaysia jika tiada 1MDB pun tidak mengapa" sebagai suatu lagi kecaman bahawa badan pelaburan yang ditubuhkan oleh Najib pada 2009 itu langsung tidak memberi kebaikan, selain semata-mata menambah lagi beban hutang negara.
Mengiringi Mahathir, bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin dan bekas Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin juga turut melancarkan "peluru berpandu" masing-masing. Daim mengkritik hasrat Najib untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dengah mengatakan ia tidak berguna jika masih ramai rakyat yang tidak mampu memiliki rumah sendiri.
Zainuddin Maidin atau Zam pula melancarkan serangan bak "pukul anak sindir menantu" apabila mengatakan adik Najib, Nazir Razak yang mengetuai Kumpulan CIMB lebih banyak menyalurkan peruntukan iklannya untuk akhbar bukan bahasa Melayu berbanding Utusan Melayu yang dimiliki oleh UMNO dan dipimpin oleh abangnya sendiri.
Kritikan yang mahukan Najib melepaskan jawatan Menteri Kewangan juga bergema kembali berikutan banyak kekalutan dalam dasar kewangan serta ekonomi negara ketika ini. Najib disarankan hanya menumpukan kepada jawatan Perdana Menterinya saja.
Dua pemimpin pembangkang, Liew Chin Tong dan Mahfuz Omar telah pun mengeluarkan gesaan itu semalam demi untuk kebaikan negara. Sebelum ini, Daim Zainuddin dan bekas Menteri Pelancongan, Sabbaruddin Chik turut membuat desakan yang sama.
Di dalam UMNO pula, isu pemansuhan Akta Hasutan yang pernah dijanjikan Najib untuk menunjukkan keterbukaannya, mulai mendapat tentangan yang makin meluas. Selain Muhyiddin Yassin dan kumpulan konservatif yang sudah beberapa kali berikrar untuk mempertahankan akta itu, kini Shahrizat Jalil yang suaminya bakal dikenakan tindakan saman oleh kerajaan untuk bayaran balik projek lembu NFC, turut menyatakan sokongan dengan ikrar untuk mengumpul sejuta tandatangan agar akta penjajah itu terus dikekalkan.
Isu cukai GST turut menjadi hambatan kepada Najib. Selain makin banyak perkara berkaitan kenaikan harga barang mula didedahkan apabila cukai itu dikenakan pada April tahun depan, pihak pembangkang pula giat mengadakan ciri ceramah di seluruh negara menentang perlaksanaan cukai itu.
Atas nama prihatin kepada nasib rakyat, pemimpin berpengalaman UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah juga menulis surat kepada semua Ahli Parlimen untuk mencadangkan agar cukai itu ditangguhkan perlaksanaannya serta kadar 6 peratus yang telah diterapkan dicongak semula supaya tidak membebankan.
Malangnya, cadangan Ku Li itu hanya mendapat reaksi positif daripada kalangan pemimpin pembangkang, sementara Ahli Parlimen UMNO dan BN membisu seribu bahasa.
Rakyat pula, rata-rata mulai terbuka meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan, terutama berikutan kenaikan harga petrol dan diesel baru-baru ini. Ahli UMNO sendiri sudah ramai yang tidak segan-silu lagi mengkritik, malah mencerca dan memaki hamun Najib berikutan beban kos hidup yang makin meningkat ini.
Di persada antarabangsa pula, selain mereka mengecam mengenai Akta Hasutan, kes perbicaraan Anwar Ibrahim yang sedang menunggu keputusan rayuannya diumumkan juga menarik perhatian banyak negara. Banyak negara Barat yang melihat pelbagai kecelaruan dalam kes itu tentunya akan memperhebatkan lagi kecaman mereka jika akhirnya Anwar didapati bersalah dan menghuni penjara sekali lagi.
Tetapi atas semua kecaman dan asakan itu, Najib tetap selesa dan relaks, bukan saja seolah-olah tiada apa yang mengancam kedudukannya, malah sentiasa terbang daripada satu negara kepada satu negara. Walaupun rakyat makin tidak bersamanya, Mahathir dan Daim yang banyak membantu kempen PRU 13 sudah mengasingkan diri, pembangkang kian agresif dan dunia antarabangsa pula memerhati, Najib sedar kedudukannya sama-sekali tidak terancam sehinggalah PRU 14 akan datang lantaran majoriti pimpinan UMNO sudah berda dalam "jagaan" dan "genggamannya".
UMNO pula, barangkali kerana memahami Najib lebih suka disanjung, dipuji dan dipuja, sudah pun memulakan projek ke arah itu menjelang dua minggu lagi berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO. Sepupu Najib, Hishammuddin Hussein yang mengetuai tapisan usul dan jurucakap negeri-negeri, hari ini mengadakan persidangan meja bulat ke arah menyelaraskan semua suara dalam perhimpunan itu nanti.
Dengan Hishammuddin membangkitkan kepada wakil setiap negeri mengenai pelbagai kejayaan - daripada menduduki kerusi tetap PBB dengan undi terbanyak, mengurus kehilangan MH370 walau belum ditemui, kejayaan berunding dengan militan dalam kes MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine sehinggalah kemampuan berhadapan dengan media antarabangsa mengenainya.
Semua yang dicapai itu, menurut Hishammuddin, tidak mungkin dapat dilakukan jika UMNO begitu teruk dipandang oleh dunia serta jika bukan kerana Najib yang melakukannya. Diulang sekali lagi, tidak mungkin dapat dilakukan jika UMNO begitu teruk dipandang oleh dunia serta jika bukan kerana Najib yang melakukannya.
Maka, dapatlah dijangka Perhimpunan Agung UMNO kali ini akan terus gegak-gempita dengan amalan puji, puja, bodek dan sanjungan terhadap Najib semata-mata. Akan bergemalah Dewan Merdeka bahawa tiadalah yang sehebat Najib memimpin negara ini. Najib akan dikompang semahu-mahunya dan Hishammuddin nampaknya sudah menyampaikan mesej itu kepada pemimpin UMNO setiap negeri untuk dijadikan garis panduan kepada setiap jurucakap nanti.
Rungutan dan keluhan pelbagai peringkat masyarakat, waima teguran bekas pemimpin sekali pun bukannya mahu diambil iktibar sebagai asas untuk memperbetulkan kesilapan, sebaliknya cuba ditutup dan dilindungi dengan lebih kuat suara pujian dan sanjungan yang diatur rapi.
Isu GST, kos hidup rakyat, kenaikan harga barang, harga rumah yang kian meningkat dan semakin jauh daripada jangkauan rakyat, pembaziran, kemewahan pemimpin dan seumpamanya, apatah lagi hutang 1MDB, akan terus disembunyikan daripada disuarakan. (SH 12/11/2014)
sedarlah muslimin...jangalah termasuk dalam golongan yg mengiakan tanda kiamat
ReplyDeleteNajib hanya dilihat serba bagus serba baik jika...
ReplyDelete1) melepaskan Anwar
2) ikut cakap Mahathir
3) Berundur
Melepas Anwar berarti tidak ikut cakap Mahathir. Kalau Najib berundur itu betul ikut cakap Mahathir. Mahathir akan pastikan pengganti Najib hanya mereka yang bersedia untuk memenjarakan Anwar kerana jiwa MAhathir tidak mungkin tenteram selagi Anwar bebas dan aktif berpolitik. Kebencian Mahathir kepada Pak Lah banyak didorong oleh tindakan Pak Lah membebaskan Anwar. Hakikatnya Pak Lah bertindak betul dalam soal ini tetapi kerana dendam kesumat Mahathir yang masih membara terhadap Anwar, tidak hanya Anwar dimusuhinya malah Pak Lah juga ikut dimusuhi serta diperlekehkannya.
ReplyDeleteNamun rakyat yang berfikiran cerdik serta rasional tahu, punca masalah adalah kerana ketakutan Mahathir kepada Anwar yang tegas dan kekal berprinsip. Orang UMNO termasuk Mahathir akan susah cari makan cara haram kalau Anwar berkuasa di Malaysia. Itu yang mati mati mereka musuhi Anwar kerana kepentingan peribadi mengatasi kepentingan umum atau rakyat jelata.
Artikel Tuan Shahbudin ini seeloknya dibuat ribuan salinan dan diedarkan semasa perhimpunan aggong UMNO sedikit hari lagi supaya semua skrip yang ditulis oleh Hishamuddin Hussin sudah tidak relevan lagi dengan adanya artikel ini. Untuk menjatuhkan Najib dengan kuasa rakyat dan melalui pengundian (SPR) memang sukar kerana Najib membelanjakan semua wang rakyat bagi merasuah menteri, ketua-ketua jabatan dan Ketua Bahagian UMNO bagi menyokong beliau. Mungkin yang tidak termakan dengan rasuah beliau kelak adalah Malaikat Izrael dan Malaikat Mungkar dan Nangkir?
ReplyDeleteTuan Shah, Anon 00.37, tak cukup dengan edaran kertas. Yang perlu kita cari mamat2 sperti the late Azman Atar type yang berani cakap asalkan ada habuan duit. !!!
ReplyDelete