Monday, 10 June 2013

Najib Beri Tan Sri Kepada Orang Cina, Setpolnya Pula Nak Pecat Ketua MCA


Lagi mengenai pemimpin yang suka hantar memorandum. Rupa-rupanya bekas Setiausaha Politik Najib, Shafie Abdullah yang kalah bertanding di Wangsa Maju tidak saja menghantar memorandum kepada pucuk pimpinan agar dirinya dilantik sebagai Senator tetapi juga turut menghantar memorandum kedua yang meminta agar Ketua MCA Wangsa Maju, Yew Teong Look dipecat daripada parti itu.

Alasan yang digunakan ialah kerana Yew yang lebih dikenali sebagi YTL didakwa tidak berkempen semasa pilihanraya lalu, tidak membuka Bilik Gerakan MCA, bahkan menghilangkan diri dengan bercuti ke luar negara sepanjang kempen berjalan.

Usaha mengumpul tandatangan daripada Ketua UMNO Cawangan, Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri bagi kedua-dua memorandum itu masih diteruskan dengan sebahagian besar pemimpin akar umbi UMNO Wangsa Maju sudah menandatanganinya, manakala beberapa orang yang belum berbuat demikian sedang diusahakan agar akhirnya turut menurunkan tandatangan masing-masing.

Jika memorandum pertama hanya dihantar kepada Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO tetapi memorandum kedua yang mahu YTL dipecat turut ditujukan kepada Muhyiddin selaku Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan dan Chua Soi Lek selaku Presiden MCA.

Jika sebelum ini tindakan Shafie yang cuba menyeret pemimpin akar UMNO dalam usahanya menuntut jawatan Senator daripada Perdana Menteri telah dianggap agak ganjil, menunjukkan sifat tak tahu malunya dan membuat kerja yang tidak pernah dibuat orang tetapi tindakannya mencadangkan pemecatan seorang Ketua MCA dianggap lebih ganjil lagi.

Ramai yang berpendapat bahawa tindakan Shafie itu semata-mata untuk melepaskan dendamnya terhadap YTL dan MCA yang membuatkan beliau kecundang dalam pilihanraya lalu dengan kekurangan 5511 undi ditangan calon PKR. Dr Tan Kee Kwong.

Lagi pula, ada juga yang berhujah lakukah suara UMNO di dalam MCA? Mungkin juga ini merupakan yang pertama kali berlaku di mana pemimpin UMNO mencadangkan seorang pemimpin MCA dipecat.

Tindakan Shafie dan UMNO Wangsa Maju ini juga berbeza dengan pendekatan yang dilakukan oleh Najib. Walaupun beliau tahu pengundi Cina majoritinya tidak menyokong BN tetapi beliau masih cuba bersikap lunak dan lembut terhadap komuniti itu.

Dua tokoh masyarakat Cina, Lim Kok Wing dan pelakun Michelle Yeoh yang diketahui ada memainkan peranan masing-masing dalam kempen pilihanraya lalu telah diberikan gelaran Tan Sri baru-baru ini atas rekomen Najib berikutan sumbangan yang mereka berikan walaupun hasilnya boleh dikatakan gagal.

Najib jelas dapat menerima sikap pengundi Cina yang tidak memihak kepada BN, malah memberikan penghargaan kepada individu tertentu daripada kalangan masyarakat itu yang telah membantunya, walaupun tindakan itu menyebabkan beliau dikecam.

Tetapi sikap yang berbeza telah ditunjukkan oleh orang yang pernah bekerja dengannya. Shafie dikatakan amat berdendam dengan YTL atas kekalahannya dengan mencadangkan agar Ketua MCA Wangsa Maju itu dipecat keahliannya daripada MCA pula.

Sementara Shafie seharusnya menerima kekalahan itu dengan hati yang terbuka, beliau juga sepatutnya menjalin hubungan yang lebih mesra dengan MCA sejak dulu lagi, lebih-lebih lagi sebaik menyimpan hasrat untuk menjadi calon pilihanraya kerana Wangsa Maju dihuni oleh kira-kira 36 peratus pengundi Cina.

Tetapi beliau bukan saja enggan berbaik dan menunjukkan sikapnya sebagai seorang ketua, malah sehingga ke hari pengundian pun tidak mahu menunjukkan kesediaan berlembut dan merendah diri serta cuba menggunakan cara lain untuk mendapatkan sokongan daripada masyarakat Cina.

Ramai kalangan pemimpin di Wilayah Persekutuan berpendapat, Shafie wajar mengubah sikapnya dan cuba menjalin hubungan yang lebih baik dengan parti-parti komponen lain, terutama jika berhasrat untuk bertanding lagi dalam pilihanraya yang akan datang.

Menunjukkan sikap bermusuh yang berterusan, lebih-lebih lagi mencadangkan pemecatan seseorang daripada parti komponen lain hanya merugikannya dalam jangka masa panjang.

Beliau, kata mereka, harus belajar memperbanyakkan kawan dan mengurangkan musuh. (SH 10/06/2013)


2 comments:

  1. Salam
    Kemelut dan pergeseran Dato Shafei dan YTL akan merugikan semua pihak kerana sama ada UMNO atau MCA , kedua-duanya parti komponen ini perlu bersatu. Pada realitinya UMNO/MCA khususnya di Wangsa Maju tidak mampu untuk terpisah hanya disebabkan kepentingan pemimpin politik melebihi tuntutan Dato Seri Najib yang berikrar untuk membentuk NATIONAL RECONCILIATION.

    Ke mana halatuju rakyat wangsa maju sekarang ini? Terheret dengan permusuhan dua individu ini yang nampak makin hari semakin kronik. Menjelang pemilihan UMNO yang akan datang ini , akan menjadi lebih sengit kerana kini sudah ada cerita dan bahang mengatakan bahawa ada tokoh politik yang barangkali dapat mengambil kesempatan di atas pergaduhan Dato Shafei dan YTL ini.

    Sekiranya BAKAL CALON ini dapat menyakinkan pihak pemimpin atasan dan juga menyakinkan orang UMNO bahawa dia ada formula untuk berbaik-baik dengan MCA dan sekaligus mampu membentuk kerjasama parti komponen seperti dahulu..Maka BAKAL CALON ini akan mudah mendapat tempat di hati orang UMNO Wangsa Maju. Tambahan pula YTL sememangnya mesra dan baik dengan BAKAL CALON ini sekiranya cerita kedai kopi ini menjadi kenyataan.

    Adalah sesuatu yang malang bagi Dato Shafei yang sentiasa bekerja keras untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat wangsa maju dan hanya kerana persengketaan beliau dengan YTL ini akan menjadikannya LIabiliti bagi BN dan UMNO.

    ReplyDelete
  2. Bak kata pepatah PULANG PAKU BUAH KERAS pada jentera2 yang telah melalui pilihanraya 2004 & 2008 telah melihat dengan mata kepala sendiri siapakah Dato Shafei.Pernahkah beliau menolong semasa pilihanraya di kedua-dua penggal tersebut?TIDAK dimanakah beliau diketika semua orang bertungkus lumus diketika itu? Dewan IBUKOTA duduk dengan goyang kaki.Memang itu hakikatnya.Sekira ditanya di kawasan wangsa melawati siapakah Dato Shafei dengan penuh persoalan penduduk setempat tetapi sekiranya YTL siapa tak kenal.Segala ceruk dia pergi untuk mengambil tahu hal penduduk.Ini yang harus kita puji.Jangan pilih bulu walaupun kita diperingkat atasan.Sekiranya saya menjadi pengundi dikawasan Wangsa Maju dengan terus terang saya tidak akan mengundi Dato Shafei.Sebab saya lebih suka melihat dengan mata kepala sendiri dari mendengar cerita-cerita yang tanpa kebenarannya.Rakyat sekarang semuanya sudah lebih pandai menilai.Apa pun terimalah hakikatnya Dato Shafei.Dulu kita kenakan orang, ari ini kita terkena batang hidung tersendiri atasa sikap kita sendiri.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...