Ramai orang nampaknya amat teruja dengan soalan-soalan yang ditanyakan oleh bekas Menteri Kewangan Kedua, Husni Hanadzlah berkaitan 1MDB ketika membahaskan Bajet 2017 di Parlimen semalam, meskipun sebahagian pertanyaan itu sebenarnya adalah biasa-biasa saja.
Misalnya, soalan mengapa 1MDB ditubuhkan, pakcik saya yang hanya seorang guru pencen sudah menanyakan soalan itu kepada saya kira-kira lebih setahun yang lalu kerana menurutnya, bukankah kerajaan sudah ada badan pelaburannya sendiri iaitu Khazanah Nasional untuk menjalankan aktiviti pelaburan?
Sebab itu, bila baru sekarang Husni bertanyakan soalan itu, kita juga mahu bertanya kepadanya, kenapa sejak dulu ketika sama-sama berada dalam kabinet, beliau tidak menyoal sendiri kepada Najib?
Dalam pada itu, barangkali sebahagian soalan-soalan itu Husni sendiri tahu jawapannya, manakala sebahagian yang lain mungkin tujuannya kerana mahu Najib Razak sendiri menjawabnya di Parlimen. Hanya Tuhan yang tahu tujuan dan nawaitu Husni itu.
Tidak perlu juga rasanya didetailkan apa soalan-soalan yang dibangkitkan oleh Husni itu kerana video ucapan beliau dan transkrip mengenainya sudah bersepah-sepah di media sosial dan whatsapp grup sekarang ini.
Bagi mereka yang sudah mengikuti isu 1MDB ini sejak dulu, masalah dan kepincangan mengenai syarikat pelaburan yang ditubuhkan Najib itu sebagaimana yang dibangkitkan oleh Husni memang sudah lama dalam perhatian ramai.
Hal-hal berkaitan wang pencen RM4 bilion yang kononnya dipinjam untuk perlombongan, terbitan bon, Aabar PJS Ltd, IPIC, Bandar Malaysia, mengapa tiada tindakan terhadap pengurusan 1MDB, kes di mahkamah timbangtara sehinggalah kepada tindakan-tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa Singapura, Switzerland dan Amerika, semuanya adalah kebimbangan yang ada di hati rakyat mengenai tingkahlaku Najib yang dianggap membahayakan masa depan negara serta diperbualkan di mana-mana.
Tidak ada sesiapa yang bersetuju dengan segala kemelut 1MDB, lebih-lebih lagi apabila kemudiannya dalam akuan Najib ada wang RM2,600 juta, Riza Aziz, anak tirnya tiba-tiba jadi tauke filem di Hollywood sambil mampu membeli banyak hartawan mewah di luar negara, percutian di kapal mewah bersama Jho Low dan pelbagai kecurigaan yang lain yang berlaku silih berganti.
Tetapi ketika segala kemelut itu berlaku, Husni adalah Menteri Kewangan Kedua dan beliau pernah ditugaskan oleh kabinet untuk menjadi jurucakap mengenai sebarang isu berkaitan 1MDB.
Soalnya, adakah waktu itu beliau pernah bertanya apa-apa soalan yang tidak difahaminya sekarang, sama ada kepada Najib sendiri mahupun kepada pengurusan 1MDB?
Jika dulu tidak pernah bertanyakan sebarang soalan, kenapa hanya baru sekarang mahu bertanya?
Kenapa juga waktu itu beliau tidak berusaha mencari jawapan atas kapasitinya sebagai menteri dan jika maklumat didapati disembunyikan atau jawapan yang diperolehi tidak memuaskan hatinya atau jelas ada "kong kali kong" dalam 1MDB, atas dasar apa beliau sanggup kekal bersekongkol duduk dalam kabinet bertahun-tahun lamanya?
Perlu diingat bahawa Husni meletakkan jawatan bukan disebabkan tidak setuju dengan 1MDB atau enggan bersama dengan ketidakjujuran Najib berkaitan syarikat pelaburan itu, tetapi hanya kerana tidak mahu dipindahkan ke kementerian lain yang dianggapnya bertentangan dengan hasrat hatinya mahu kekal di Kementerian Kewangan sehingga pencen.
Husni tidaklah seperti Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal atau Mukhriz Mahathir yang berani bersuara mengenai 1MDB ketika masih berjawatan dan akhirnya sanggup hilang kedudukan serta jawatan kerananya.
Beliau berundur hanya kerana tidak setuju dipindahkan dari lubuk Kementerian Kewangan. Husni jauh sekali sedia meletakkan jawatan kerana isu 1MDB, sebaliknya hanya pertukaran kedudukan dan jawatan yang membuatkannya berundur, satu tindakan yang terlalu kecil dari segi harga perjuangan.
Bayangkan, apa jadi jika dalam rombakan tempohari, Najib tiada perancangan untuk menukarkan Husni atau bersetuju untuk terus mengekalkannya lagi sebagai Menteri Kewangan Kedua?
Di mana dan mirip ke mana suaranya sekarang ini?
Mungkin mustahil soalan-soalannya semalam masih dapat dengari di Parlimen, tetapi adakah Husni masih mahu bertanyakannya secara bisik-bisik atau ketika pertemuan empat matanya dengan Najib?
Ada kawan-kawan berkata, soalan-soalan Husni di Parlimen semalam adalah gambaran ingin menebus rasa bersalah dan tekanan perasaan yang ada dalam dirinya selama ini. Beliau mungkin mahu menebus dosa dan kesalahan silamnya.
Namun, ia adalah tindakan yang terlewat, tambahan lagi jika disedari bahawa pengunduran dirinya daripada kabinet bukan ada apa-apa kaitan dengan 1MDB. Cuma tidak mahu dipindah keluar daripada Kementerian Kewangan saja.
Malah, jika sejak 2009 atau tahun-tahun kemudiannya, beliau sedar ada kesalahan dan kepincangan dalam 1MDB yang ditubuhkan oleh Najib yang dipapancaturkan oleh Jho Low, sebaliknya Husni hanya mampu mendiamkan diri, tidak bertanyakan soalan, jauh sekali untuk menjadi seberani Muhyiddin, Shafie dan Mukhriz, beliau tetap bersalah dari segi amanah kepada seluruh rakyat Malaysia ini.
Mudah-mudahan Tuhan memberi keampunan dan memberkati hari-hari mendatang di baki usianya nanti. (SH 25/10/2016).