Tuesday, 7 August 2012
Mungkinkah Rakyat Kelantan Ditipu Oleh Najib?
Beberapa hari selepas Tengku Razaleigh Hamzah menyuarakan pandangan agar kerajaan Pusat menyelesaikan isu royalti minyak untuk Kelantan sebelum pilihanraya umum akan datang ini, secara tiba-tiba Najib mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji isu bayaran hasil royalti minyak kepada negeri-negeri di pantai timur Semenanjung.
Jawatankuasa yang diumumkan Najib itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan turut dianggotai pakar undang-undang dalam dan luar negara serta wakil dari negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan yang diperkenankan oleh Sultan negeri masing-masing.
Najib juga mengumumkan bahawa jawatankuasa itu akan menjalankan kerjanya dalam tenpoh enam bulan sebelum membuat syor yang sesuai kepada kerajaan Pusat.
Dilihat sekali imbas, ternampak bahawa Najib cuba untuk memenuhi tuntutan royalti minyak yang menjadi isu antara kerajaan pusat dengan kerajaan Kelantan selama ini sehingga dibawa ke mahkamah. Najib juga dilihat cuba menjadi baik di mata rakyat Kelantan dan tentunya dengan harapan kebaikan itu akan dibalas dalam bentuk undi dan sokongan kepada UMNO dalam pilihanraya akan datang ini.
Tetapi jika diteliti secara lebih dalam, penubuhan jawatankuasa ini mungkin juga menjadi permainan politik Najib untuk mendapatkan undi dan memastikan UMNO berjaya merampas semula negeri itu. Terdapat beberapa fakta yang meragukan disebalik penubuhan jawatankuasa itu.
Sebenarnya jika Najib ikhlas mahu memberi royalti minyak kepada Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak sebagaimana kehendak bapanya Tun Razak, tidak perlu sama-sekali ditubuhkan apa-apa jawatankuasa mengenainya. Apa yang perlu dilakukan hanyalah kembali kepada perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang sudah jelas memperuntukkan setiap negeri terbabit berhak mendapat 5 peratus daripada hasil minyak yang dikeluarkan.
Tidak lama dulu apabila Terengganu jatuh ke tangan Pas, royalti minyak yang selama ini diterima telah digantikan dengan wang ihsan. Di Kelantan juga, perjanjian yang termaktub melalui Akta Kemajuan Petroleum turut tidak dipatuhi dan royalti minyak yant sepatutnya mereka terima turut ditukar dengan wang ihsan.
UMNO yang masih menguasai Kerajaan Pusat seolah-olah tidak mengiktiraf sesebuah kerajaan negeri jika ianya ditadbir oleh parti lain selain UMNO. Apabila kedua negeri itu jatuh ke tangan Pas, royalti ditukar kepada wang ihsan tetapi penerimanya bukan kerajaan negeri tetapi UMNO Kelantan dan Terengganu.
Tidak dinafikan bahawa kerana faktor politik, bayaran royalti telah ditukar kepada wang ihsan. Oleh itu jika Najib benar-benar ikhlas mahu menunaikan amanat ayahandanya dari segi pemberian royalti ini, kembali sahaja ke pangkal jalan dengan melihat semula kandungan perjanjian yang sudah ditandatangani itu.
Tak perlu ditubuhkan jawatankuasa lagi.
Lebih meragukan ialah tempoh masa enam bulan yang perlu diambil oleh jawatankuasa itu sebelum mengemukakan syor kepada kerajaan pusat. Ini bermakna penubuhan jawatankuasa itu boleh menjadi mainan politik bagi Najib dan UMNO Kelantan untuk menggula-gulakan hati rakyat Kelantan dalam pilihanraya umum akan datang ini. Dalam tempoh enam bulan ini tentunya pilihanraya akan diadakan kerana tempoh edah pilihanraya ialah April 2013.
Pastinya ada rakyat Kelantan yang akan terpedaya dengan mainan ini dan menganggap Najib benar-benar ikhlas mahu memberi royalti minyak sedangkan selepas enam bulan dari sekarang mungkin keputusan pilihanraya sudah diketahui dan syor jawatankuasa ini juga mungkin boleh berubah mengikut keputusan pilihanraya nanti.
Sementara Najib meminta isu royalti minyak tidak dijadikan bahan politik disebalik kesedian menubuhkan jawatankuasa itu, ia sebenarnya sudah pun menjadi mainan politik yang mungkin menguntungkan UMNO Kelantan dalam pilihanraya akan datang ini.
Yang agak menarik juga dalam penubuhan jawatankuasa ini apabila Najib mengumumkan setiap negeri dibenarkan menghantar wakil yang dipersetujui oleh Sultan negeri-negeri berkenaan. Sebenarnya jika ingin ketelusan dan keadilan dalam isu royalti minyak ini, bukan saja bagi negeri Kelantan tetapi juga bagi lain-lain negeri, sepatutnya Tengku Razaleigh Hamzah dimasukkan sekali dalam jawatankuasa itu kerana ketika perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974 itu ditandatangani, beliau adalah Pengerusi Petronas ketika itu.
Tengku Razaleigh bukan saja terlibat dalam menandatangi perjanjian itu dengan membawa mandat Tun Razak yang mahu negeri-negeri pengeluar minyak itu mendapat habuan yang setimpal tetapi sebagai Pengerusi Petronas dan "orang harapan" Tun Razak ketika itu, hanya beliaulah yang lebih memahami isu kandungan serta semangat dalam perjanjian tersebut.
Tetapi dengan Najib menyandarkan alasan bahawa wakil negeri-negeri mesti mendapat perkenan Sultan negeri masing-masing, beliau sebenarnya secara halus tidak mahu keterlibatan Ku Li dalam jawatankuasa itu kerana semua maklum bahawa Sultan Kelantan sekarang tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Ku Li.
Sekali lagi keikhlasan Najib agak diragui.
Jika diberi kebebasan, Pas Kelantan juga tidak mustahil memilih Ku Li menjadi wakilnya dalam jawatankuasa itu. Ia bukan sahaja bersandarkan kepada pengetahuan Ku Li yang mendalam mengenai isu royalti minyak ini tetapi Ku Li sendiri berulangkali memperjuangkan isu ini untuk kepentingan rakyat Kelantan.
Tidak dapat dinafikan, dalam isu royalti minyak ini, Ku Li adalah tokoh yang paling tidak sesuai jika diketepikan melainkan jika Najib tidak mahu memenuhi sepenuhnya perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974 itu dan menjadikan penubuhan jawatankuasa ini sekadar "talian hayat" dalam percubaan mendapat sokongan politik dan merampas semula Kelantan daripada Pas. (SH 07/08/2012)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
kalau menipu pun apa yang hendak di hairankan kerana mereka ni adalah dari parti yang telah di haramkan oleh makamah.orang umno telah pun pupus sebaik saja makamah mengharamkan umno.yang ada kini adalah ahli umno dari melayu baru yang di ciptakan oleh dr m.oleh kerana mereka ni dari parti haram jadi usah hairan le kalu mereka ni tidak tahu membezakan yang mana haram dan yang mana halal....
ReplyDelete