Sunday, 30 September 2018

SIAPA MENCATUR PERLANTIKAN PENGERUSI2 AGENSI KERAJAAN?


Satu semi satu perlantikan pengerusi agensi kerajaan diumumkan dalam minggu-minggu kebelakangan ini.


Bermula minggu lalu dengan perlantikan pengerusi MARA, Perbadanan Stadium Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia atau SKMM, perlantikan  pengerusi baru diteruskan lagi minggu ini di Perkeso, Suruhanjaya Sekuriti dan PRIMA atau Syarikat Perumahan Rakyat 1Malaysia.


Dr. Hasnita Hashim daripada Maybank dilantik sebagai Pengerusi MARA, pemilik syarikat penerbangan Air Asia, Tony Fernandes sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia dan bekas CEO Kumpulan Pos Malaysia, Al-Ishsal Ishak dilantik sebagai Pengerusi SKMM.


Semalam diumumkan pula perlantikan CEO Allianz Insurance, Zakri Khir sebagai Pengerusi baru Perkeso menggantikan Aseh Che Mat.


Hari ini dua perlantikan baru lagi menyusul iaitu Syed Zaid Albar, seorang peguam dan adik kepada bekas menteri, Syed Hamid Albar sebagai Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti dan Eddy Chen, bekas Pengerusi Rehda atau Persatuan Pemaju-Pemaju Perumahan sebagai Pengerusi baru PRIMA.


Semua pengerusi yang dilantik setakat ini adalah daripada kalangan orang-orang profesional belaka.


Pengumuman semua perlantikan itu pula bukan dibuat oleh menteri-menteri yang bertanggungjawab terhadap agensi berkaitan,  tetapi oleh Pejabat Perdana Menteri.


Namun demikian, sejak dua minggu lalu Tun Mahathir Mohamad diketahui umum sedang berada di London - New York - London dan hanya akan pulang ke tanahair pada 2 Oktober nanti.


Lalu, siapakah yang mencatur semua perlantikan pengerusi-pengerusi itu?


Apakah ini menunjukkan satu lagi "kehebatan"  Tun Mahathir yang sudah berusia 93 tahun di mana walaupun beliau berada di luar negara dan sibuk dengan pelbagai acara, tetapi masih mampu mengatur semua perlantikan tersebut?


Tetapi, mengapa beliau tidak melakukan semua perlantikan itu semasa berada di dalam negara sebelum ini?


Atau mengapa tidak dilakukan selepas kembalinya daripada luar negara pada 2 Oktober nanti?


Mengapa semua perlantikan mesti diumumkan ketika Tun Mahathir berada di luar negara?


Selain itu, terdengar juga desas-desus konon adanya sesetengah perlantikan itu adalah di luar pengetahuan menteri-menteri yang terbabit.


Beberapa menteri dikhabarkan pernah meminta latarbelakang kelulusan atau CV daripada beberapa individu yang terlibat dalam politik untuk dicadangkan bagi dilantik mengetuai agensi-agensi kerajaan yang tertentu, tetapi bukan saja ada yang nampaknya tidak diberi peluang sama sekali, meskipun mereka berkelayakan dan mempunyai kelulusan, malah sesetengah yang lain masih tidak ada khabar berita mengenainya sehingga kini. 


Apabila  mereka iaitu orang politik berkenaan merujuknya semula kepada menteri yang meminta CV tadi, jawapan yang diterima ialah - "tunggu nanti PM umumkan".


Dengan trend yang ada sekarang, persoalan yang mula kedengaran ialah masih ada harapankah nasib orang-orang politik di bawah Pakatan Harapan? (ShahbudinHusin 30/09/2018)

PELIK UMNO INI, BUAT APA LAGI NAJIB MAHU DISAMBUT MERIAH?


Perhimpunan UMNO tahun ini kali pertama diadakan dalam keadaan parti itu tidak lagi mempunyai kuasa di peringkat pusat, malah negeri yang masih dikuasainya iaitu Pahang dan Perlis tergolong sebagai negeri yang miskin, tidak mempunyai pendapatan yang tinggi dan banyak hutang.


Dalam erti kata lain, meskipun masih ada yang berbangga kononnya UMNO menang 54 kerusi dalam PRU14 lalu, realitinya parti itu tidak bernilai apa-apa lagi.


Sepertimana yang semua orang sedia maklum, punca utama kalahnya UMNO dalam PRU14 lalu sehingga kuasa dalam genggaman terlepas ke tangan orang lain ialah Najib Razak.


Najib dengan skandal 1MDB, hubungannya dengan Jho Low, gaya hidup mewah keluarga, boros, membazir dan pendedahan media tentang barangan kemas isterinya, Rosmah Mansor adalah penyebab utama rakyat jadi meluat dan benci kepada UMNO serta BN, lalu mereka bersatu menolak parti itu melalui peti-peti undi.


Jika bukan Najib menjadi Perdana Menteri  atau kalau beliau sedia berundur sebelum pilihanraya lalu, keputusan PRU14 tentu saja berbeza daripada apa yang sudah berlaku.

Pendeknya kalau ada 10 sebab punca kekalahan UMNO dan BN dalam pilihanraya lalu, tanpa ragu-ragu lagi senarainya ialah Najib, Najib, Najib, Najib, Najib, Najib, Najib, Najib, Najib dan Najib.


Meskpun beliau ketika ini bukan lagi sebagai Presiden UMNO, tetapi kehadiran beliau dalam majlis pembukaan Perhimpunan Agung UMNO malam tadi dilaporkan masih lagi disambut dengan meriah oleh para perwakilan.


Apa perlunya Najib disambut dengan meriah sedangkan dirinyalah punca utama kuasa UMNO hilang kuasa sebagai kerajaan yang dipegang sejak 61 tahun lalu?


Apakah perwakilan UMNO masih tak sedar tentang perkara itu?


Menyambut kehadiran Najib ke Perhimpunan Agung UMNO dengan meriah hakikatnya adalah satu tindakan yang salah, pelik serta tidak sepatutnya dilakukan oleh perwakilan UMNO pada tahun ini.


Perbuatan itu hanya menunjukkan UMNO masih tidak berubah, tak sedar antara betul dan salah serta tidak mahu belajar daripada beban kehilangan kuasa yang diakibatkan oleh Najib.


Yang lebih buruk, dengan masih menyambut Najib dengan meriah ketika hadir ke Perhimpunan Agung UMNO, bekas Perdana Menteri itu juga tidak dapat disedarkan tentang segala kesalahan yang pernah dilakukannya yang menyebabkan parti itu ditolak rakyat dalam pilihanraya.


Untuk menyedarkan Najib tentang segala kesalahannya dan agar pemimpin UMNO lain juga mengambil iktibar daripadanya, kehadiran beliau sepatutnya tidak diraikan sama sekali, jauh sekali mahu dimeriahkan.


Najib tidak harus dilayan sebagai bekas pemimpin atau sebagai bekas Perdana Menteri seperti lain-lain bekas pemimpin. Mungkin beliau ada jasa-jasanya tertentu, tetapi kepada UMNO yang sudah hilang kuasa yang diakibatkan olehnya dan entah bila dapat mengembalikannya semula, "dosanya"  dikira lebih besar lagi berbanding jasanya.


Meminggirkan atau kalau boleh memencilkannya adalah sebaik-baik tindakan yang seharusnya dilakukan sebagai pengajaran kepadanya.


Di kelompok mana dalam dunia ini seseorang yang diketahui banyak "berdosa", tetapi masih diraikan sebegitu rupa?


Jawabnya hanya di dalam UMNO saja ianya berlaku!


Tak pelik ke? (ShahbudinHusin 30/09/2018)

Saturday, 29 September 2018

UMNO DAN PAS MULA BERBALAH?


Barangkali ramai yang keliru dan terpinga-pinga apabila Presiden Pas, Hadi Awang secara  tiba-tiba mahukan Tun Mahathir Mohamad terus kekal sebagai sebagai Perdana Menteri selama sepenggal dan bukannya dua tahun seperti yang diura-urakan bagi memenuhi janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim.

Bukankah Hadi juga yang sebelum ini tidak setuju dengan Tun Mahathir kembali sebagai Perdana Menteri, malah pernah menasihatkan agar beliau menghabiskan lebih banyak masa di sisa-sisa usianya dengan ibadah dan tikar sembahyang?


Apa sudah jadi sekarang?


Apakah perubahan sikap ini kerana royalti minyak untuk Kelantan dan Terengganu sudah diperolehi?

Atau kerana Pas tidak setuju dengan kecenderungan UMNO yang semakin ketara dan nyata untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan PKR dan Anwar Ibrahim?


Mungkinkah Pas dan UMNO akhirnya akan berbalah serta putus hubungan berikutan isu kerajaan perpaduan ini? (ShahbudinHusin 29/09/2018)

ANWAR TAK TERGUGAT DI PORT DICKSON....


Berbanding beberapa pilihanraya sebelum ini, pilihanraya kecil Port Dickson yang akan berlangsung pada 13 Oktober depan boleh dianggap satu pilihanraya yang paling banyak memberi kejutan kepada orang ramai.


Sebelum ini ramai yang terkejut apabila Anwar Ibrahim memilih Port Dickson sebagai kawasan untuk ditandingi bagi membolehkannya kembali menjadi Ahli Parlimen dan sebagai persediaan mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir Mohamad.


Ramai yang bertanya dan tertanya-tanya, mengapa Port Dickson jadi pilihan  dan apa istimewanya Port Dickson kepada Anwar?


Seketika, di sebalik keputusan itu, orang Port Dickson kemudiannya secara perlahan-lahan jadi teruja  dengan adanya pilihanraya kecil ini kerana Port Dickson akan melahirkan seorang Perdana Menteri yang tidak pernah terbayangkan oleh sesiapa sebelumnya.


Dengannya ramai yang membayangkan kawasan Port Dickson akan lebih melimpah dengan pembangunan, kedatangan pelabur, pembinaan kilang-kilang, pelbagai kemudahan, keselesaan dan peluang-peluang pekerjaan untuk anak tempatan.


Selepas BN tidak sedia meletakkan calon dan hanya Pas merupakan pencabar yang dilihat sedikit "menggigit" untuk memberi cabaran kepada Anwar dengan meletakkan bekas tentera sebagai calon, Port Dickson seterusnya memberi satu lagi kejutan apabila Isa Samad tiba-tiba mengumumkan akan bertanding sebagai calon Bebas.


Dengan kedudukannya sebagai bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 23 tahun dan bekas Ketua UMNO Teluk Kemang (sekarang ditukar nama kepada Port Dickson) lebih 30 tahun, kehadiran Isa dilihat sesetengah pihak mampu memberi cabaran yang hebat kepada Anwar.


Apatah lagi dengan BN tidak bertanding, undi UMNO dan Melayu dijangka akan berpindah kepada Isa sebagai anak tempatan berbanding Anwar yang merupakan orang luar.


Tergugatkah Anwar dengan kehadiran Isa?


Malam tadi pula, satu lagi kejutan muncul di Port Dickson di mana daripada lapan calon yang didapati sudah membayar wang deposit untuk bertanding, salah seorang daripadanya ialah Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu Anwar yang terkait dengan kes liwat 2 yang menyebabkan Presiden PKR itu dihukum penjara buat kali kedua.


Kehadiran Saiful tidak lain lantas memunculkan pertanyaan spontan - siapakah yang menajanya bertanding di Port Dickson ini?


Menjelang hari penamaan calon hari ini, kehadiran Isa dan Saiful dalam pilihanraya ini adalah paling banyak sekali diperkatakan orangramai di Port Dickson ini. Kehadiran kedua-duanya hampir menenggelamkan wujudnya Pas yang turut sama meletakkan calon.


Meskipun Isa anak tempatan dan dikenali ramai, tetapi kehadirannya mungkin tidak banyak menggugat Anwar kerana beliau hanyalah calon Bebas yang tidak mampu memberi apa-apa peruntukan kepada rakyat, selain zamannya juga dianggap sudah pun berlalu sekarang ini.


Memang tidak dinafikan akan ada undi Melayu beralih memihak kepadanya, namun ia tidak mungkin mampu menghasilkan kemenangan kepadanya berbanding penampilan Anwar yang dilihat sebagai bakal Perdana Menteri.


Undi Melayu akan berpecah kepada tiga - Anwar, Isa serta Pas dan disertai dengan banyak faktor lain, kelebihan tetap memihak kepada Anwar.


Kalau ada pun kelebihan Isa di Port Dickson ini, mungkin hanya undinya lebih tinggi berbanding Pas.


Begitu juga dengan Saiful, beliau sama ada akan mendapat undi dalam jumlah ratusan saja atau bakal kehilangan wang depositnya. Bertandingnya beliau sekadar gangguan kepada Anwar semata-mata.


Tetapi, kehadiran Saiful menggangu pilihanraya Port Dickson langsung tidak relevan kerana Anwar sudah pun diberi pengampunan penuh oleh Yang Dipertuan Agong, malah jika cerita-cerita liwatnya dijadikan bahan kempen, ia boleh dianggap suatu penghinaan kepada pengampunan yang diberikan itu.


Selainnya, kehadiran Saiful hanya menjanjikan kotornya pilihanraya kecil Port Dickson ini dengan ulangan cerita liwat yang tak berkesudahan dan bagaimana mereka yang bermusuh dan berdendam dengan Anwar nampaknya sanggup berbuat apa saja untuk memastikan beliau kalah dan tidak berjaya menjadi Perdana Menteri.


Baik sama ada dengan kehadiran Isa atau kemunculan Saiful, aura Anwar sebagai bakal Perdana Menteri tidak tergugat dan adalah melebihi penampilan kedua-dua calon tersebut.


Apakah yang mampu disumbangkan oleh wakil Bebas berbanding bakal Perdana Menteri?


Begitu juga dengan keputusan Pas meletakkan bekas tentera sebagai calon, ia dijangka tidak akan mendatangkan kesan yang maksima untuk mengalahkan Anwar. Ia mungkin sekadar menyebabkan undi askar berpecah saja.


Lebih-lebih lagi daripada lapan calon dijangka bertanding dan hanya  Pakatan Harapan sebagai kerajaan satu-satunya yang ada kewibawaan di mata pengundi, tambahan lagi Anwar merupakan Perdana Menteri masa depan, adalah kerugian yang berpanjangan dan "rezeki"  yang tidak datang dua kali jika pengundi Port Dickson tidak memberi undi kepadanya pada 13 Oktober nanti.


Kecuali, jika pengundi dan penduduk Port Dickson tergolong mereka yang menolak untung dan hanya mahu rugi!! (ShahbudinHusin 29/09/2018)

Friday, 28 September 2018

NAH...INI BALASANNYA!!


Oleh kerana tiada lagi bantuan diberikan sebagaimana di Seri Setia sebelum ini..


Ini balasannya...

Kesian Zahid Hamidi, kunjungannya ke Muktamar Pas di Kuala Terengganu bersama rombongan pemimpin kanan UMNO dua minggu lalu nampaknya tidak membawa apa-apa erti. (ShahbudinHusin 28/09/2018)

IDEA KERAJAAN PERPADUAN HANYA HELAH ZAHID UNTUK ELAK DIHENTAM DALAM PAU2018


Hujung minggu ini, 29 dan 30 September, UMNO akan mengadakan Perhimpunan Agungnya di PWTC, Kuala Lumpur.


Sesuai sebagai parti yang sudah kalah dan hilang kuasa, PAU2018 kali ini hanya diadakan selama dua hari saja berbanding lima hari ketika masih berkuasa dahulu.


Selepas lebih 4 bulan sejak kehilangan kuasa, UMNO yang diterajui oleh Zahid Hamidi ketika ini sedang berdepan kritikan di sana sini berikutan tiada program, aktiviti dan hala tuju yang jelas mampu digerakkannya dalam usaha untuk memulihkan parti.


Zahid Hamidi dilihat seolah-olah tiada upaya dan longlai dalam menggerakkan UMNO, meskipun negara dan kerajaan baru Pakatan Harapan sedang berdepan dengan banyak isu yang perlu ditangani serta boleh diambil peluang untuk menarik sokongan rakyat kembali kepada parti itu.

Lantaran itu, sudah kedengaran ada suara-suara perwakilan yang mahu mengkritik, menghentam malah memintanya meletakkan jawatan dalam PAU2018 ini jika beliau terus tidak mampu dan gagal memacu hala tuju ke arah pemulihan UMNO.


Dan secara tiba-tiba, beberapa hari menjelang PAU2018, Zahid Hamidi bersuara mengenai keterbukaan UMNO untuk bekerjasama dengan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan perpaduan.


Katanya, UMNO terbuka ke arah pembentukan kerajaan perpaduan itu sama ada sebelum atau setelah Anwar mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir Mohamad.


Kenapa setelah lebih 4 bulan tak berbuat apa-apa, Zahid Hamidi tiba-tiba muncul bersuara dan cakapnya pula tentang kemungkinan UMNO kembali sebagai kerajaan?


Meskipun semua pemimpin parti dalam Pakatan Harapan seperti PKR, DAP dan Bersatu telah menolak idea kerajaan perpaduan itu, tujuan Zahid Hamidi menimbulkannya tidak lain ialah untuk memberi harapan palsu kepada perwakilan PAU2018 agar terus bersabar dan beristiqamah bersama kepimpinannya.


Setidak-tidaknya dengan membayangkan UMNO boleh kembali menjadi kerajaan, malah turut memberitahu pertemuannya bersama beberapa pemimpin UMNO menemui Tun Mahathir baru-baru ini juga adalah bertujuan meneroka ruang kerjasama ke arah itu, Zahid Hamidi berharap dapatlah beliau menyejukkan hati perwakilan yang mula bising dengan kelemahan dan kelembapannya sebagai Presiden UMNO.


Realitinya Zahid Hamidi sedar pembentukan kerajaan perpaduan tidak lebih sekadar janji palsu dan angan-angannya saja kerana Pakatan Harapan sudah ada lebih daripada cukup majoriti dalam mentadbir negara dengan stabil.


Lagi pun, menjemput UMNO yang sudah ditolak rakyat, seperti kata Muhyiddin Yassin, adalah suatu perkiraan yang tidak munasabah bagi Pakatan Harapan kerana ia mungkin mendatangkan kemudaratan yang lebih buruk kepada kerajaan sedia ada. (ShahbudinHusin 28/09/2018)

Thursday, 27 September 2018

KENAPA MASIH ADA YANG SUKAR MENERIMA ANWAR SEBAGAI BAKAL PENGGANTI TUN MAHATHIR?


Entah sudah berapa kali, Tun Mahathir Mohamad nampaknya sekali lagi terpaksa mengulangi janjinya untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim.


“Rakyat mahu Perdana Menteri baru, bukan Perdana Menteri lama ini, tetapi pada masa itu (sebelum pilihan raya umum ke-14) mereka tiada pilihan kerana pemimpin lain berada dalam penjara dan beliau (Anwar) pun tak boleh menerajui parti.


“Justeru, saya bersetuju bahawa saya akan berada di sana mungkin untuk dua tahun dan pemimpin baru akan mengambil alih kepimpinan.


“Itu janji saya,” kata Tun Mahathir ketika menjawab satu soalan di Forum Tahunan Kedua Perniagaan Global Bloomberg di New York.


Sebelum ini di dalam negara juga sudah banyak kali Tun Mahathir ditanya dan menjawab dengan nada yang sama.


Kenapa perlu Tun Mahathir bercakap banyak kali mengenai peralihan kuasa kepada Anwar dan mengapa orang ramai masih bertanyakan soalan yang sama kepada beliau?


Adakah kerana janji Tun Mahathir tidak boleh dipercayai atau kerana sesetengah orang tidak mahu Anwar jadi Perdana Menteri?

Hubungan Tun Mahathir dan Anwar ketika mereka masih dalam UMNO mungkin sudah jadi sejarah yang tidak perlu diungkit lagi. Di situ tersimpan banyak pengajaran yang baik dan buruk untuk dijadikan pedoman bersama.


Tetapi, hubungan mereka berdua ketika bersama Pakatan Harapan dan kini menjadi kerajaan tentunya tidak sama dengan yang dulu itu.


Oleh itu, sesuai dengan Tun Mahathir sendiri sudah mengulangi janjinya itu, semua kita dan tidak kita siapa kita, menjadi kewajipan sebenarnya untuk menjadikan janji peralihan kuasa itu suatu kenyataan.


Janji peralihan kuasa kepada Anwar adalah salah satu manifesto Pakatan Harapan yang membuahkan kejayaan kepada gabungan itu sehingga mampu menumbangkan UMNO dan BN.


Jika janji itu gagal terlaksana, bermakna satu lagi manifesto PRU14 gagal ditunaikan janjinya, selain ia juga mungkin memberi kesan tidak elok kepada nama baik Tun Mahathir sebagai seorang negawaran kepada generasi akan datang.


Sudah tentu ramai akan berkata - sampai hati Tun Mahathir sehingga dua kali mengecewakan Anwar untuk jadi Perdana Menteri!!


Bermula dengan Tun Mahathir berkunjung ke mahkamah untuk berjumpa dengan Anwar untuk memulakan hubungan yang lama sudah terputus, pertalian kedua-duanya terus berkembang sehingga Tun Mahathir kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan, calon Perdana Menteri dan akhirnya bersetuju untuk melakukan peralihan kuasa kepada Anwar.


Dalam hal ini, jika kita boleh menerima dengan baik semua yang berlaku antara Tun Mahathir dan Anwar sebelum ini, mengapa setelah berjaya menjadi kerajaan, soal peralihan kuasa mula dipertikai dan tidak dipersetujui?


Kenapa tiba-tiba ada yang tidak mahu Anwar jadi Perdana Menteri?


Mengapa sebelum Tun Mahathir berbaik-baik dengan Anwar, persoalan mengenai Presiden PKR itu tidak pernah berbangkit sama sekali?


Malah, kalau kita boleh menerima Tun Mahathir, kenapa pula Anwar tidak boleh diterima, sedangkan gandingan dan muafakat kedua-dua pemimpin itulah yang berjaya melonjakkan sokongan kepada Pakatan Harapan sehingga BN dapat ditumbangkan?


Selain itu, kalau bukan Anwar, siapakah pemimpin lain yang boleh dipersetujui oleh Pakatan Harapan secara konsensus untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir?


Jika tidak ada, tidak bolehkah kita bersama-sama  memastikan Tun Mahathir menunaikan janjinya itu dengan lancar dan kemudian beliau dapat bersara dengan tenang dan aman tanpa terbeban dengan sebarang kecaman yang tidak sepatutnya setelah ketiadaannya? (ShahbudinHusin 27/09/2018).

UMNO SOKONG SIAPA?


Memenuhi janjinya untuk memberi tentangan kepada Anwar Ibrahim jika UMNO tidak sedia meletakkan, Pas akhirnya membuat keputusan bertanding dalam pilihanraya kecil Port Dickson pada 13 Oktober depan.


Keputusan bertanding itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Pas di Kuala Terengganu malam tadi.


Keputusan itu diumumkan melalui twitter rasmi Presiden Pas, Hadi Awang sambil memaklumkan siapa calon yang dipilih untuk bertanding di Port Dickson akan diumumkan hari ini.


Secara tidak langsungnya, keputusan Pas bertanding ini dapat juga menjaga air muka UMNO yang dianggap banyak pihak sebagai "tiada teloq" berikutan keengganannya bertanding di Port Dickson  di ketika beberapa pemimpin lain bersuara sebaliknya.


Dengan UMNO dan Pas sudah bekerjasama dalam dua pilihanraya kecil sebelum ini iaitu di Sungai Kandis dan Seri Setia, kesediaan Pas bertanding ini dengan sendirinya menunjukkan parti itu masih ada perasaan mahu melindungi air muka UMNO, meskipun Port Dickson bukanlah kawasan selamat bagi mereka.


Tetapi, di sebalik keputusan Pas ini dan dalam masa yang sama Presiden UMNO, Zahid Hamidi diketahui mempunyai hubungan baik dengan Anwar, siapa yang akan disokong oleh UMNO di Port Dickson akan terus menjadi persoalan utama.


Apakah UMNO akan memberi sokongan kepada Pas sebagaimana di Seri Setia sebelum ini?


Mungkinkan pula UMNO akan bersikap berkecuali demi untuk menjaga hati Anwar yang bakal menjadi Perdana Menteri di mana UMNO ketika ini sedang bergantung harap kepada PKR untuk kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan?


Apakah jika UMNO bersikap berkecuali di Port Dickson nanti, ia bermakna hubungan mesra dan kerjasamanya dengan Pas bakal berakhir?


Bagaimana pula dengan beberapa pemimpin UMNO seperti Nazri Aziz, Shahidan Kassim dan Jamal Md Yunus yang sebelum ini berikrar untuk membantu kempen Anwar di Port Dickson?


Adakah mereka akan dibenarkan berbuat demikian?


Atau mungkinkah di Port Dickson ini akan menyaksikan pemimpin UMNO berpecah kepada dua - satu kumpulan menyokong Anwar dan satu kumpulan lagi meneruskan kerjasama dengan Pas?


Adakah pemimpin Pas akan hadir ke Perhimpunan Agung UMNO hujung minggu ini jika UMNO bersikap berkecuali atau tidak melarang pemimpinnya seperti Nazri, Shahidan dan Jamal berkempen untuk Anwar di Port Dickson? (ShahbudinHusin 27/09/2018)

Wednesday, 26 September 2018

INGATAN KEPADA TUN MAHATHIR - JANGAN KETEPIKAN TERUS ORANG POLITIK


Selepas beberapa lantikan daripada kalangan profesional untuk mengetuai agensi kerajaan dan GLC sebelum ini, hari ini tiga lagi perlantikan diumumkan iaitu di MARA, Perbadanan Stadium Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.


Bagi jawatan Pengerusi  MARA, nama yang diumumkan ialah Dr.Hasnita Hashim daripada Maybank, manakala Tony Fernandes, tuan punya syarikat penerbangan Air Asia dilantik mengetuai Perbadanan Stadium Malaysia dan Al-Ishsal Ishak daripada Pos Malaysia dilantik sebagai Pengerusi SKMM.


Sebagai memenuhi janji manifesto PRU14, meskipun masih ada lagi janji 100 hari yang belum ditunaikan, tidak mustahil selepas ini semua agensi kerajaan dan GLC akan turut diketuai oleh golongan profesional belaka.


Lalu, apa jadi kepada pejuang-pejuang politik yang bertungkus-lumus memenangkan Pakatan Harapan dalam pilihanraya yang lalu?


Wajarkah mereka diketepikan begitu saja, manakala yang tidak menyumbang apa-apa, jauh sekali pernah berpanas dan berhujan,  terus diberikan jawatan serta habuan?

Lebih sadis barangkali, Tony Fernandes yang kita semua tahu telah berkempen secara terang-terangan untuk Najib Razak dan BN, turut juga diberikan jawatan dalam kerajaan?


Apa sudah jadi?


Bolehkah dalam kesibukan beliau menguruskan AirAsia dan perlu terbang ke banyak negara, dalam masa yang sama memberi tumpuan sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia?


Tidak cukup dengan itu, Tony Fernandes juga dilaporkan masih mempunyai hutang tertunggak berjumlah ratusan juta dengan Malaysia Airport Berhad atau MAB sekarang ini.


Lihat betapa untungnya beliau, orang lain lain kalau ada hutang tertunggak dengan kerajaan, bukan saja jangan harap hendak dapat apa-apa jawatan, bahkan nama juga akan disenaraihitamkan oleh Jabatan Imigresen.


Bersama lantikan Dr. Hasnita itu, turut diumumkan ialah perlantikan enam ahli majlis MARA yang kononnya semua daripada kalangan profesional juga.


Tetapi, daripada enam nama itu tersenarai pula nama Dr. Nungsari Ahmad Radzi, bekas Ahli Parlimen BN Balik Pulau, Pulau Pinang daripada tahun 1995 hingga 1999.


Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan telah pun mengumumkan perlantikan Dr. Nungsari sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia atau Mavcom.


Kalau kerajaan PH tak mahu beri jawatan kepada orang politik dalam agensi dan GLC, kenapa bekas Ahli Parlimen dan orang politik BN senang-senang diberikan jawatan?


Apakah Dr.Nungsari terlalu istimewa di mata kerajaan PH sampai dua jawatan  diperolehi dalam tempoh tidak sampai 4 bulan?


Apakah di dalam PH sendiri tidak ada bekas menteri atau bekas Ahli Parlimen yang layak untuk mengetuai mana-mana agensi dan GLC?


Sampai bila sebenarnya kerajaan PH mahu mengenepikan orang-orang politik?

Terlanjur Tun Mahathir Mohamad pernah mengatakan bahawa manifesto bukannya kitab suci, perkara pertama yang mesti beliau lakukan ialah mengingkari ketetapan bahawa tiada lantikan politik sebagaimana yang terkandung dalam manifesto itu.


Kandungan manifesto itu bukan saja tidak adil kepada mereka yang pernah mengeluarkan peluh, airmata dan darah demi perjuangan, bahkan antaranya sanggup bermalam di penjara untuk menumbangkan BN, malah merbahaya kepada masa depan PH sendiri.


Jika orang politik tidak diberikan apa-apa, siapakah yang mahu meneruskan perjuangan selepas ini?


Mahu dan mampukah kalangan profesional ini mempertahankan kerajaan PH dalam pilihanraya akan datang?


Lebih daripada itu, jika alasan kononnya lantikan politik itu akan mendedahkan mereka kepada campurtangan dan mungkin mengambil kesempatan dengan jawatan yang disandang, maka ada baiknya kerajaan PH meminda saja perlembagaan agar menteri dan timbalan menteri juga hendaklah dilantik bukan daripada kalangan ahli politik seperti yang diamalkan di Amerika Syarikat misalnya.


Bukankah, jika campurtangan dan mengambil kesempatan dengan jawatan dalam kerajaan mahu dijadikan ukuran, mereka yang menjadi menteri dan timbalan menterilah paling terdedah sekali untuk berbuat demikian?


Untuk itu, sebelum perkara ini menjadi rungutan yang kian membarah sehingga ke bawah, Tun Mahathir perlu segera mengkajinya dan memberi peluang sewajarnya kepada orang-orang politik dalam PH sendiri untuk memegang jawatan-jawatan tertentu dalam agensi kerajaan dan juga GLC.


Jangan diketepikan terus orang politik, merekalah yang berjuang dan memenangkan Pakatan Harapan. Untuk mengekalkan kemenangan PH di masa akan datang, merekalah juga orangnya. 


Sebaliknya, orang profesional ini, baik sama ada PH atau BN yang memerintah, mereka biasanya pandai membawa diri, malah ramai yang sanggup bermuka-muka dan mencium tangan pemimpin yang sedang menguasai kerajaan.


Dalam hal ini, bukanlah bermakna semua orang politik PH perlu diberikan jawatan. Tetapi, tidakkah dalam PH sendiri ramai kalangan yang berkelayakan, berkelulusan, bertaraf profesional sebelum mereka menceburi politik, bekas Ahli Parlimen dan bekas menteri?


Kenapa tidak diberikan jawatan kepada mereka itu?


Pokoknya, jika ingin kerajaan PH kekal lama dan terus kuat, mengabaikan perlantikan daripada kalangan orang politik adalah keputusan yang silap, silap dan silap.


Ia perlu diperbetulkan dengan segera sebelum terlambat. Orang politik dan profesional mesti seimbang kedudukannya dalam kerajaan agar kepentingan semua pihak dapat dipelihara.


Seruan dan ingatan ini memang ditujukan kepada Tun Mahathir, tetapi jika beliau terlalu sibuk, diharap Tun Daim Zainuddin selaku Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan dapat sama menelitinya dan kemudian menyampaikannya kepada Perdana Menteri demi kebaikan PH seluruhnya. (ShahbudinHusin 26/09/2018)

UMNO PENAKUT?



Ini kata Hishammuddin....


KJ pula dah bersuara lama sebelum ini...


Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi bukan saja dah bersuara lama, malah khabarnya dalam mesyuarat juga...


Seorang lagi yang turut bersuara ialah Senator Khairul Azwan Harun atau Azwanbro, bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia...


Panas....panas...panas......


Jika ditinjau di peringkat bawahan pula, sebenarnya ramai lagi yang kecewa dengan keputusan UMNO tidak bertanding di Port Dickson.


Kata orang Kedah, UMNO sekarang dah takde teloq!!


Buat perhimpunan Melayu Bangkit sudah, buat kursus untuk jadi pembangkang berkesan sudah dan buat latihan demostrasi juga sudah, tapi alih-alih takut nak bertanding dalam pilihanraya.


Teloq mana...teloq mana...teloq mana??? (ShahbudinHusin 26/09/2018).

Tuesday, 25 September 2018

ADAKAH LEBIH RAMAI AKAN KELUAR UMNO SELEPAS INI?


Semalam, Ketua UMNO Bahagian Cheras di Wilayah Persekutuan, Syed Ali Al-Habshee mengumumkan keluar daripada UMNO.


Beliau memberi alasan tindakannya keluar UMNO adalah demi survival Melayu.


Hairan juga alasan itu dan apakah bermakna UMNO selama ini bukan berjuang untuk orang-orang Melayu?


Atau perjuangan Melayu oleh UMNO itu telah hilang bersama hilangnya kuasa parti itu selepas PRU14 yang lalu?


Meskipun Syed Ali tidak menyebut parti mana yang akan disertainya selepas ini, tetapi pada Ahad lalu beliau bersama bekas menteri, Syed Hamid Albar telah hadir dalam majlis ulang tahun ketiga parti Amanah di Temerloh, Pahang.


Dengan itu ada kebarangkalian dan kemungkinan besar bahawa Syed Ali akan memilih Amanah sebagai wadah baru perjuangannya.


Apa pun pilihannya, selamat meneruskan perjuangan buat Syed Ali, meskipun kawasan Cheras sejak azali lagi sentiasa dikuasai oleh DAP, salah satu parti komponen dalam Pakatan Harapan.


Menjelang petang semalam, tidak lama selepas Syed Ali mengumumkan keluar UMNO, tersebar satu surat panggilan daripada pihak polis kepada UMNO Bahagian Batu, Wilayah Persekutuan untuk hadir memberi keterangan berhubung siasatan berkaitan penggubahan wang haram.

Surat itu memerintahkan untuk hadir tanpa gagal memberi keterangan kepada pihak polis pada esok, Rabu bersamaan 26 September 2018.


Ketua UMNO Bahagian Batu ketika ini ialah Senator Yahya Md Ghani atau Abas.


Siasatan pihak polis berkaitan penggubahan wang haram itu dipercayai berkemungkinan ada kaitan dengan dakwaan ramai Ketua UMNO Bahagian di seluruh negara pernah menerima wang tunai daripada Najib Razak yang dipercayai berasal daripada dana 1MDB yang dilencongkan.


Tidak dapat dipastikan siapa lagi Ketua UMNO Bahagian yang turut menerima surat daripada pihak polis itu.


Juga tidak diketahui sama ada Syed Ali ada menerima surat yang sama sebelum beliau membuat keputusan keluar daripada UMNO.


Kiranya ada, apakah kerana surat itu Syed Ali bertindak keluar meninggalkan UMNO?


Bagaimana dengan Ketua UMNO Bahagian Batu selepas ini?


Persoalan lain, adakah lebih ramai lagi Ketua UMNO Bahagian akan turut keluar UMNO di hari-hari mendatang nanti? (ShahbudinHusin 25/09/2018)