Saturday, 27 April 2013

Zahid Hamidi Dan Hishamuddin, Dua Menteri Yang Wajib Ditumbangkan!


Jika sekarang ini rakyat hanya memikirkan untuk menumbangkan BN dan mengakhiri era pemerintahannya yang sudah menjangkau usia 56 tahun, sebenarnya terdapat juga beberapa menteri yang seharusnya ditunjukkan jalan keluar yang keluar yang sama seperti yang mahu dilakukan kepada BN itu.

Sehingga ini sekurang-kurangnya dua menteri yang tidak bertanggungjawab yang  hanya memikirkan manfaat politik di sebalik keselamatan dan kedaulatan negara serta kehilangan nyawa orang lain iaitu, Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan dan Hishammuddin Hussein, Menteri Dalam Negeri, dilihat wajar diberi pengajaran oleh pengundi di kawasan masing-masing dalam pilihanraya ini.

Sebagai rakyat dan pembayar cukai, ramai yang kecewa dengan kenyataan mereka sehari dua ini yang seolah-olah tidak dapat membezakan tugas antara pemimpin politik dengan menteri yang bertanggungjawab terhadap kedaulatan serta keselamatan negara serta rakyat seluruhnya.

Dan cara terbaik untuk mengelakkan mereka ini tiada lagi di persada politik negara ialah dengan pengundi Bagan Datoh dan Semberong menolak mereka dalam pilihanraya ini.

Zahid bukan saja mengeluarkan kenyataan mengenai kematian 35 penceroboh Sulu yang kononnya ditembak mati oleh tentera Filipina tetapi juga mengeluarkan kenyataan mengenai 3 pemimpin pembangkang Malaysia yang didakwanya menjadi dalang dalam kejadian pencerobohan di Lahad Datu.

Mengenai kematian 35 penceroboh itu, ia bukan saja tidak dapat disahkan oleh tentera Filipina tetapi jika benar pun kejadian itu betul sebagaimana yang didakwa Zahid diperolehinya melalui maklumat risikan, biarlah pihak Filipina atau Menteri Pertahanan Filipina yang mengeluarkan kenyataan mengenainya, bukannya beliau.

Zahid juga mendakwa 35 yang ditembak mati itu kerana mahu menimbulkan kekacauan dalam pilihanraya di negara ini. Soalnya, sejauh mana tepatnya maklumat ini dan bolehkah dipercayai dengan jumlah 35 orang itu mampu menimbulkan kekacauan dalam pilihanraya Malaysia?

Ternampak bahawa Zahid cuba menjadikan isu keselamatan dan kedaulatan negara sebagai modal politik untuk kepentingan UMNO dan BN. Sebagai menteri pertahanan, tindakan ini amat tidak matang dan diluar  perilaku yang berwibawa sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab mengenai pertahanan dan kedaulatan negara.

Zahid juga kemudiannya mendedahkan tiga orang pemimpin pembangkang negara ini yang didakwanya terlibat sebagai dalang dalam isu pencerobohan di Lahad Datu tetapi berkata hanya akan mendedahkan dan mengambil tindakan selepas pilihanraya untuk mengelakkan dituduh sebagai bermain politik.

Hello! Menteri Pertahanan, sekali lagi soal keselamatan dan kedaulatan negara tidak harus dikaitkan dengan politik dan pilihanraya dan jika benar cukup bukti mereka yang terlibat, tindakan harus diambil tidak kira sebelum atau selepas pilihanraya.

Dengan membuat tuduhan 3 pemimpin pembangkang menjadi dalang dan membayang tindakan hanya akan diambil selepas pilihanraya, jelas Zahid cuba bermain politik dan mahu rakyat menolak pembangkang dalam pilihanraya 5 Mei depan ini.

Sambil berkata tidak mahu dituduh bermain politik, Zahidlah yang sedang bermain politik sebenarnya.

Hishammuddin pula, ketika mengulas pelbagai kejadian jenayah yang sedang berlaku sekarang dan yang terbaru melibatkan kejadian seorang timbalan pengarah kastam ditembak mati, berkata  lebih banyak usaha akan dilakukan oleh kerajaan untuk memerangi jenayah jika BN terus diberi mandat dalam pilihanraya ini.

Nampaknya sama seperti Zahid,  Hishamuddin juga cuba bermain dan mengaut keuntungan politik disebalik isu keselamatan dan  kehilangan nyawa orang lain. Soal keselamatan dan membanteras jenayah tiada kena-mengenai dengan pilihanraya dan mandat baru kerana ia sepatutnya merupakan usaha berterusan yang harus dilakukan oleh belkau sebagai menteri yang bertanggungjawab mengenai perkara itu.

Lagi pula, bukankah rakyat sudah memberi mandat selama 56 tahun kepada BN dan apakah relevannya kaitan mandat baru dengan peningkatan kadar jenayah. Apakah hanya setelah menang pilihanraya, baru usaha mencegah jenayah mahu dilakukan?

Sebagai Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin juga nampaknya keliru antara tugasnya sebagai menteri dan pemimpin UMNO. Jawatan menteri inginkan diUMNOkannya dan  UMNO pula ingin dimenterikannya.

Hishamuddin juga dipertikaikan banyak pihak dalam beberapa isu keselamatan sebelum ini dan dilihat sebagai menteri yang kurang berwibawa serta lebih gemar memberi amaran saja. Beliau tidak saja dipertikaikan rakyat, malah pemimpin UMNO sendiri tidak segan-segan melabelnya dengan pelbagai gelaran yang tidak baik.

Kedua-dua menteri ini terlihat tidak cukup wibawa menguruskan soal keselamatan, pertahanan dan kedaulatan negara, sebaliknya hanya ingin mempolitikkan semua perkara.

Jika sebelum ini ramai yang gembira bila Rais Yatim digugurkan sebagai calon dan bakal mengakhiri tugas menterinya tidak lama lagi, rakyat juga pastinya gembira jika tidak lagi mempunyai menteri seperti Zahid Hamidi dan Hishamuddin selepas ini. Kedua mereka ini sering memperlekeh jawatan menteri yang disandang yang seharusnya untuk manfaat seluruh rakyat, sebaliknya lebih ghairah mencari laba politik disebaliknya.

Sebagaimana era BN harus diakhiri untuk digantikan dengan kerajaan baru yang lebih diyakini, kedua-dua menteri ini juga tidak seharusnya dipanjangkan lagi nyawa politiknya. Seperti BN yang perlu diakhiri dengan menewaskannya di peti undi pada 5 Mei ini, kedua mereka ini juga perlu ditumbangkan di kawasan masing-masing iaitu Bagan Datoh dan Semberong..

Zahid dengan kemenangan hanya 2000 lebih undi dalam pilihanraya lalu, manakala Hishamuddin pula lebih 11,000 undi tetapi dalam suasana penolakan rakyat sekarang, menumbangkan mereka bukanlah sesuatu yang mustahil. Jika BN pun diusahakan untuk ditumbangkan, apalah sangat dua pemimpin itu. Tambahan pula dengan kegagalan sebagai menteri yang sedangkan disandang sekarang, menewaskan mereka ini merupakan sumbangan yang tidak ternilai kepada negara. Dan mudah-mudahan juga ada pahala. (SH27/04/2013)

4 comments:

  1. bukan dua orang ni jer.. tapi semua menteri umno

    ReplyDelete
  2. ada juga menteri umno yang bagus...

    ReplyDelete
  3. Satu aje Safauiddin Timbalan menteri.

    ReplyDelete
  4. setuju sangat... saifuddin tu mmg bagus dan aziz putra umno tu pun bagus budaknya. sembrong dgn bagan datoh tu mmg useless.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...