Tuesday, 9 April 2013

Jika Mahathir Diam, Peluang BN Menang Mungkin Lebih Cerah


Semakin hampir detik pilihanraya, semakin aktif Mahathir bersuara. Siapa saja menjemputnya, pasti diterimanya dengan hati yang terbuka. Pintu pejabatnya juga lebih terbuka luas. Sesiapa pun boleh menemuinya, termasuk Dr Sidek Baba dan seorang penyokong Pas yang mahu meminta maaf kerana kononnya pernah suatu ketika dahulu menyeru supaya membunuh bekas Perdana Menteri itu kerana kononnya juga disebabkan terpengaruh dengan amanat Haji Hadi.

Malah beberapa pengikut Anwar yang dulunya memaki hamun Mahathir juga, ada yang kerap bertemu dan bertukar-tukar fikiran dengan Mahathir. Topiknya tidak lain ialah bagaimana mahu menumbangkan Anwar Ibrahim.

Menjelang pilihanraya akan datang, keaktifan Mahathir disedari oleh semua orang. UMNO peringkat cawangan pun menjemputnya, beliau akan hadir. Yang penting dia dapat bercakap dan menyerang orang yang tidak disukainya. Bahkan menurut Lim Kit Siang, keaktifan Mahathir kini melebihi semasa beliau menjadi Perdana Menteri dulu.

Mahathir gemar bercakap mengenai apa saja, tetapi kegemarannya adalah politik. Kalau mengenai pembangkang dan Anwar Ibrahim, aliran darahnya bergerak lebih laju lagi. Walaupun secara umum orang melihat Mahathir ingin mempertahankan kuasa UMNO dan BN tetapi sebenarnya mempertahankan kepentingan anak-anaknya adalah lebih utama. Anaknya Mirzan dan Mokhzani terlibat dalam perniagaan yang melibatkan banyak kontrak dengan kerajaan manakala Mukhriz pula baru dua tiga tapak mengukuh dalam UMNO dan kerajaan dan perlu dipastikan lebih melonjak lagi.

Ketika bercakap mengenai politik, Mahathir kerapkali menyusahkan UMNO dan Najib. Kritikan dan pandangan yang dilontarkan kadangkala menyebabkan Najib susah membuat keputusan. Seruannya agar Presiden Perkasa, Ibrahim Ali dipilih sebagai calon BN dalam pilihanraya akan datang ini tentunya menimbulkan banyak persoalan dan kerumitan dalam UMNO sendiri.

Ini kerana Ibrahim bukanlah ahli UMNO lagi, beliau pernah menentang UMNO dengan bertanding atas tiket Bebas dan Pas. Lebih dari itu NGO yang diterajuinya pula menimbulkan banyak masalah dengan pengundi bukan Melayu. Jika Najib memiih Ibrahim, ia mungkin merupakan kesilapan Najib yang paling besar dalam pilihanraya akan datang ini kerana ia tentunya akan menyebabkan pengundi bukan Melayu lebih menjauhi BN, selain menyebabkan ramai ahli UMNO yang selama ini setia akan berkecil hati.

Tetapi kerana Mahathir baik dengan Ibrahim Ali, maka beliau sanggup berkempen bagi Ibrahim Ali. Mahathir juga jelas merapu apabila memberi hujah bahawa Malaysia akan lebih selamat jika ada ramai orang seperti Ibrahim Ali. Tidak tahu di mana selamatnya negara ini dengan kehadiran Ibrahim Ali tetapi yang jelas sejak berpuluh tahun lalu, banyak caca marba dan huru-hara dalam politik adalah disebabkan gaya politiknya yang tidak setia dan suka melompat-lompat.

Mahathir juga mendendami Pak Lah yang tidak mahu mengikut telunjuknya. Dendamnya masih membara dan sindirannya terhadap Pak Lah yang lemah masih kedengaran hingga kini. Kedudukan Mahathir yang makin menghimpit Najib juga bakal menyusahkan Najib memilih mereka yang pernah dikenali sebagai orang Pak Lah sebagai calon pilihanraya kali ini.

Tidak hairan jika KJ selaku Ketua Pemuda UMNO pun bagai sudah angkat "bendera putih" dan dapat merasakan namanya tidak terpilih lagi. Sebagai Ketua Pemuda UMNO yang pangkatnya bertaraf Naib Presiden, Najib mungkin masih mahu mengekalkan KJ atas kedudukannya itu tetapi terus memilihnya boleh pula mengundang masalah beliau dengan Mahathir terutama selepas keputusan pilihanraya nanti.

Najib akan serba-salah dalam hal ini, tetapi bagi Mahathir menggugurkan KJ dan orang-orang Pak Lah bukan saja untuk memuaskan hatinya tetapi juga bagi menyediakan laluan yang lebih mudah untuk Mukhriz, anaknya.

Mahathir juga cuba menyerang Lim Kit Siang yang berpindah bertanding di Gelang Patah, Johor dengan menyarankan pemimpin DAP itu sepatutnya sudah bersara seperti beliau. Sebelum itu beliau juga pernah meminta Nik Aziz supaya segera bersara semata-mata kerana Menteri Besar itu sudah memimpin Kelantan lebih lama daripadanya. Ternampak bahawa Mahathir ada perasaan cemburu terhadap orang-orang lama dalam politik Malaysia yang masih boleh bertanding, bersifat "winnable" dan diterima rakyat berbanding dirinya yang ditolak oleh UMNO Kubang Pasu sendiri untuk menjadi perwakilan G7 tidak lama selepas tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Hakikatnya, Mahathir hanya kuat kerana bersandarkan kuasa.

Selepas pengumuman calon BN nanti dan jika Najib terus mengekalkan beberapa tokoh lama yang masih "winnable" seperti Tengku Razaleigh dan beberapa pemimpin lainnya, besar kemungkinan Mahathir juga akan bersuara lagi. Beliau mungkin bersuara bahawa orang-orang ini sepatutnya sudah bersara sebagaimana dirinya. Jika keputusan BN tidak baik dalam pilihanraya nanti, perkara ini mungkin salah satu asasnya untuk menyerang Najib pula.

Walaupun proses peremajaan dan memberi peluang kepada orang muda merupakan hakikat yang ideal dalam politik masakini tetapi sebahagian orang lama wajar juga dikekalkan selagi mereka diterima rakyat dan masih bersifat "winnable".

Dalam tempoh kempen yang makin rancak beberapa hari lagi, suara Mahathir mungkin lebih kerap kedengaran. Selain menyokong BN dan menyerang Anwar serta pembangkang, beliau juga pastinya akan bercakap mengenai Ibrahim Ali lagi. Sama ada Najib memilih Ibrahim Ali atau melupakannya, Mahathir pasti akan bersuara.

Jika beliau berkempen dan menyokong Ibrahim Ali sebagai calon BN, akan banyak hati yang terguris dan terasa. Jika beliau menyokong Ibrahim Ali sebagai calon Bebas pula, keadaannya mungkin lebih rumit dan menyusahkan BN.

Dalam hal ini, sepatutnya Mahathir sudah lama berehat dan menjadi negarawan sejati. Beliau tidak perlu masuk campur lagi dan membiarkan saja masa depan negara ini ditentukan oleh pemimpin-pemimpin lain berdasarkan kebolehan dan keupayaan masing-masing. Lagi banyak beliau bercakap dan campurtangan, tidak semuanya membantu BN, kadangkala juga lebih menyusahkan Najib dan BN. Mungkin dalam UMNO pengaruhnya masih bersisa tetapi majoriti rakyat biasa dan pengundi atas pagar tidak lagi mengendahkannya. Hujah dan pandangannya lebih banyak mengundang kritikan dan sanggahan berbanding anggukan.

UMNO dan BN tanpa cengkaman Mahathir lebih diterima dan keputusan pilihanraya 2004 adalah buktinya. (SH 09/04/2013)


1 comment:

  1. Patut suruh Nik Ajis tu diam, lagi kurang dia ckp bole minimizekan kekalahan besar PAS. Shahbudin ni najis poilitik yg dibuang UMNO...kata2 dari seorang yg sudah hilang integriti...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...