Monday, 29 April 2013

Najib Lebih Percaya Kajian Ahmad Maslan Berbanding Kajian Universiti


Najib dilaporkan begitu tersinggung dengan kajian yang dilakukan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihanraya Universiti Malaya atau UMCEDEL yang mendapati Anwar lebih popular dan dikehendaki pengundi untuk menjadi Perdana Menteri berbanding dirinya. Kajian UMCEDEL itu mendapati Anwar mendapat keyakinan 43 peratus berbanding Najib  hanya 39 peratus.

Sambil menolak kajian itu dan menyifatkannya sebagai karut, Najib juga berkata, pihaknya juga melakukan kajian sendiri dan mendapati beliau lebih mendahului berbanding Anwar.

Najib sebenarnya memang wajar tidak bersetuju dengan kajian itu kerana jika beliau bersetuju, sebaiknya beliau meletak jawatan saja dengan segera. Namun dalam pada tidak bersetuju itu, Najib sepatutnya memperlihatkan jiwa besarnya sebagai Perdana Menteri dengan tidak menyifatkannya sebagai karut dan sebagainya.

Ini kerana pihak UMCEDEL melakukan kajian itu tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan tanpa sebarang kepentingan untuk diri mereka. Ia hanyalah kajian ilmiah untuk melihat kecenderungan pengundi, sesuai dengan kehangatan bahang kempen pilihanraya yang sedang berjalan sekarang.

Kajian pihak universiti itu seharusnya disambut baik dan lapang dada oleh Najib dan beliau harus menjadikannya sebagai rangsangan untuk memperbaiki lagi kelemahan diri dan kerajaan BN yang sedang dipimpinnya. Dengan mengetahui ramai yang menolaknya, sekurang-kurangnya Najib boleh memperkuat jentera kempen dan memperbaiki apa-apa yang kurang sebelum tarikh pengundian 5 Mei depan.

Namun sebaliknya Najib menolak peluang untuk menunjukkan sifat terpujinya dengan menolak bulat-bulat hasil kajian itu. Bagi Najib beliau tetap lebih popular berbanding Anwar. Memanglah jika Najib sekadar hanya membaca Utusan dan menonton TV3 dan mendapat laporan atau hasil kajian daripada Ketua Penerangan Ahmad Maslan saja, semuanya baik-baik dan indah belaka.

Walaupun kebangkitan rakyat kini dapat dilihat di mana-mana dan mood rakyat dalam perbualan seharian dengan pelbagai kelompok  juga memperlihatkan mereka semakin ghairah ke arah perubahan, tetapi Ahmad Maslan tetap mendendangkan lagu-lagu kemenangan buat Najib. Beliau juga  sentiasa meyakinkan bahawa Najib akan terus kekal sebagai Perdana Menteri dengan menyifatkan semua orang lain tidak layak, bahkan  memberitahu kemenangan yang boleh dicapai ialah sekurang-kurangnya 160 kerusi Parlimen. Pendek kata, dua pertiga sudah dalam tangan.

Beliau dilaporkan memberitahu media, tentunya perkara yang sama juga diberitahunya kepada Najib, walaupun BN boleh merampas lebih banyak lagi kerusi terutama yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat dalam pilihanraya lalu tetapi cuma berhasrat menambah 20 saja lagi berbanding 140 yang dimenangi pada 2008. Hebat sungguh Ahmad Maslan ini!

Tidak itu saja, Ahmad Maslan turut melaporkan beberapa kerusi yang dilaporkan kritikal seperti Gelang Patah, Pulai dan beberapa kerusi lainnya pun akan dapat dimenangi oleh BN kali ini. Tidak mustahil juga beliau menggelikan lagi  telinga Najib dengan menyatakan Permatang Pauh, Marang dan Bukit Bintang pun akan berjaya dimenangi kali ini.

Dalam keghairahan mahu mengekalkan jawatan dan dibisikkan pula dengan lagu-lagu indah oleh Ahmad Maslan, ditambah lagi dengan laporan yang disiarkan oleh Utusan dan TV3, memanglah boleh terpesona Najib dibuatnya.

Tanpa menilai bahawa yang melapor dan membuat kajian itu mempunyai kepentingan atau sebaliknya, sudah tentulah laporan yang menggembirakan itu lebih diterimanya berbanding kajian UMCEDEL itu, walaupun ia  dibuat dengan ikhlas dan akademik.

Meskipun setelah disifatkan karut oleh Najib, UMCEDEL tetap mempertahankan kajiannya itu. Jika ditanya sesiapa pun, antara kajian universiti dengan kajian orang politik, lebih-lebih lagi yang sarat dengan kepentingan peribadi, tentunya majoriti mengatakan kajian universiti lebih dipercayai.

Tetapi adalah hak Najib untuk tidak mempercayai dan menolaknya. Biarlah sehingga malam 5 Mei nanti, kajian Ahmad Maslan itu lebih diyakini dan dipercayainya manakala semua kajian atau laporan lain sebagai karut dan palsu belaka.

Setelah keputusan diketahui nanti, kita akan mengetahui juga siapa yang ikhlas dan siapa yang mengampu, siapa yang karut dan siapa yang benar. (SH 29/04/2013)

4 comments:

  1. Denial mode!!

    ReplyDelete
  2. Salam Tuan! kalau Najib tak percaya kajian itu, bolehlah di suruh UUM buat kajian. Memang sah Najib akan kehadapan. Itulah nasib Universiti yang dicemari oleh unsur-unsur politik umno yang tak sihat. Najib hanya akan percaya kajian UMCEDEL pada malam 5 Mac dan keesokannya beliau sudah dibawa kePenjara Sungai Buloh!

    ReplyDelete
  3. Kajian UDM - Universiti Donut Malaysia akan lebih di percayai.

    ReplyDelete
  4. Saya pernah berurusan beberapa kali dgn Prof Dato' Dr. Redhuan yang mengetuai UMCEDEL dan terlibat dalam beberapa kerja penerbitan. saya tahu sangat dengan stail kerja beliau. seorang yang begitu teliti, berpegang teguh kepada etika dan seorang yg profesional dan yg penting mempunyai keperibadian yg baik. Tidak ada sebab untuk mempertikai kajian UMCEDEL kecuali mereka yg buta hati dan enggan menerima hakikat serta takut kepada kebenaran.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...