Tuesday, 30 April 2013
Musa Hassan Menambah Lagi Semangat Rakyat Untuk Berubah
Perkataan ubah yang kini semakin kuat gemanya, ternyata semakin ditakuti oleh Najib dan BN. Najib berkata, perkataan ubah hanyalah sekadar gimik politik semata-mata dan beliau tidak mahu rakyat terpedaya dengannya. Malah Najib berkata, perubahan juga boleh dilakukan melalui BN dan kerajaan yang ada sekarang.
Muhyiddin, Ahmad Maslan dan lain-lain pemimpin UMNO juga menolak perubahan. Perkataan ubah juga ditakuti mereka. Mereka bukan saja menempelak semangat rakyat yang mahukan perubahan, bahkan cuba meyakinkan dengan pelbagai teori kemenangan kini sedang berpihak kepada BN.
Malah Rais Yatim yang tidak lagi diperlukan Najib juga cuba berhujah bahawa perubahan tidak mungkin menjadi kenyataan kerana kononnya parti-parti dalam Pakatan Rakyat sentiasa berbalah dan berlainan ideologi.
Semakin dekat hari mengundi, perkataan ubah atau hijrah semakin diperkatakan di mana-mana. Di kelompok Melayu, Cina dan India, terlihat bahawa semangat ke arah itu makin membara. Di kalangan kakitangan kerajaan, swasta dan golongan profesional juga tergambar mood yang sama.
Sementara ceramah dan program-program anjuran Pakatan Rakyat terus mendapat sambutan, walaupun diakui ia tidak semestinya menterjemahkan undi, hakikat yang jelas ialah kebimbangan sudah mulai dirasai oleh BN sendiri.
Tidak saja Najib dan Muhyiddin yang semakin sibuk memenuhi pelbagai jadual kempen, Mahathir yang dikesan sebagai orang paling takut jika BN kalah, turut mempunyai jadual yang makin padat setiap hari. Daim yang kononnya berpengaruh dan mempunyai banyak wang juga mulai ditampilkan sejak beberapa hari lalu untuk membantu BN.
Di dalam UMNO dan BN, bukan saja yang sedang berkuasa takut dengan kehilangan kuasa, malah yang bakal pencen serta yang sudah lama pencen juga mempunyai ketakutan yang hampir serupa.
Semua ini menggambarkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap perubahan yang cuba dibawa oleh Pakatan Rakyat dan telah dimula disambut serta difahami kebaikan serta manfaatnya.
Dalam usaha untuk mengajak rakyat berubah dan menubuhkan kerajaan baru, PR juga telah menubuhkan Majlis Keselamatan yang berperanan untuk mempermudah peralihan kuasa serta bagi memastikan proses pilihanraya berjalan dengan aman dan tanpa sebarang kekacauan. Majlis ini dianggotai oleh beberapa bekas pemimpin tertinggi polis dan tentera yang kini menyertai pelbagai parti dalam Pakatan Rakyat.
Majlis ini juga menunjukkan keseriusan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan dan menubuhkan kerajaan baru selepas 5 Mei ini. Dengan penubuhan majlis ini dan dianggotai oleh tokoh-tokoh yang ternama dan pakar mengenai keselamatan, tidak dapat tidak ia menambahkan lagi keyakinan rakyat tentang matlamat perubahan yang mahu dicapai itu.
Terbaru, dengan kesediaan bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan menjadi penasihat majlis itu, tentunya menambahkan lagi keyakinan rakyat terhadap perubahan itu. Jika UMNO, BN dan semua pemimpinnya cuba mengelakkan perubahan, penyertaan Musa Hassan ini sudah tentu memberi implikasi yang sebaliknya.
Tambahan lagi, Musa Hassan juga adalah bekas pegawai penyiasat ketika Anwar dibicarakan pada tahun 1998 dahulu sebaik saja dipecat dari UMNO dan kerajaan oleh Mahathir. Dengan penyertaan beliau menjadi penasihat majlis itu, tentunya juga membentuk persepsi bahawa beliau kini sudah turut bersama dengan perjuangan Anwar sekarang ini.
Walaupun kes itu sudah lama berlalu dan Anwar juga sudah pun menjalani hukuman tetapi sejak dulu sehinggalah sekarang Anwar tetap konsisten mengatakan ianya adalah konspirasi UMNO dan Mahathir untuk menyingkirkannya. Apabila kini Musa bersama pula dengan Pakatan Rakyat, walaupun atas alasan kebimbangan mengenai keganasan politik yang semakin menjadi-jadi, gambarannya ialah seolah-olah Anwar kini bukan saja mendapat simpati rakyat tetapi juga simpati daripada Musa Hassan sendiri.
Dan konspirasi yang diperkatakan oleh Anwar sengaja ditujukan kepadanya itu semakin menampakkan
hakikat yang sebenarnya. Walaupun ada beberapa pihak yang sejak dulu meragui keikhlasan Musa Hassan ini tetapi jika menjelang hari pengundian nanti, Anwar dan Musa Hassan dapat tampil bersama atau duduk semeja dalam suatu majlis yang memperkatakan tentang keselamatan atau apa saja, pembentukan persepsi ke arah perubahan pastinya menjadi bertambah kukuh lagi.
Setelah pelbagai tokoh kerajan menyeberang menyertai Anwar dan Pakatan Rakyat, Musa Hassan nyata memperkukuh lagi semangat rakyat ke arah itu. Tentunya juga perkataan ubah akan terus menghantui hari-hari yang makin kelam buat Najib dan BN. (SH 30/04/2013)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Salam Tuan!
ReplyDeleteSebenarnya BN tak faham siapakah yang memberi kuasa kepada mereka selama ini. Mereka sebenarnya berperang dengan rakyat masa kini. Jadi kuasa yang diberi kepada mereka mahu diambil semula oleh rakyat. Sama seperti nyawa manusia, bila sampai masanya nyawa manusia akan ditarik keluar oleh sakratul maut dengan kesakitan yang tak dapat digambarkan sakitnya.
Begitu juga dengan nyawa BN, bila rakyat kata cukup sampai disini BN akan meraung kesakitan bila kuasanya ditarik keluar oleh rakyat.
Selepas ini orang-orang yang melakukan kesalahan pada rakyat akan merima balasan hukuman setimpal dengan kejahatan mereka.