Wednesday, 19 February 2014

Asyik-Asyik KJ Yang Ke Depan Pertahan Najib, Mana Menteri Lain?


Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin atau KJ sekali lagi tampil paling pantas mempertahankan Najib apabila pemimpin Hindraf, P Waytha Moorthy mengkritik Perdana Menteri sebagai seorang yang khianat dan mungkir janji untuk membantu golongan miskin India serta memintanya meletakkan jawatan.

Tidak lama selepas kenyataan Waytha itu dikeluarkan, KJ terus menulis bertalu-talu di twitternya untuk membela Najib sambil mengkritik pemimpin Hindraf itu sebagai tidak memahami bagaimana kerajaan beroperasi serta mendakwanya membuat tuntutan yang keterlaluan seperti sebuah unit khas dengan kuasa sepenuhnya mengawal perbelanjaan.

Kecuali pemimpin MIC dan IPF yang agak lewat bersuara dan turut mengkritik Waytha, agak menakjubkan pemimpin UMNO yang lain masih berdiam diri dan tidak terpanggil untuk mempertahankan Najib dan kerajaan yang sedang dikritik itu.

Sama seperti isu kangkung yang timbul beberapa minggu lalu, KJ juga merupakan pemimpin UMNO yang paling awal menulis di twitter dan mempertahankan Najib.

Dalam isu Waytha dan Hindraf ini, hanya KJ pemimpin UMNO yang bersuara sehingga ini.

Soalnya, di mana pemimpin UMNO yang lain? Di mana Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri? Di mana Naib-Naib Presiden UMNO yang ketiga-tiganya sedang berlumba-lumba untuk menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti? Di mana juga Ketua Penerangan UMNO yang seharusnya bertindak pantas dalam memberi penerangan?

Di mana pula menteri dan pemimpin UMNO yang lain, terutamanya Menteri Komunikasi dan Multimedia yang lazimnya akan segera memanggil jurukamera RTM jika sesuatu kritikan berlaku terhadap Perdana Menteri dan kerajaan?

Jika alasan semua mereka ini sedang sibuk dengan urusan pejabat dan menghadiri pelbagai mesyuarat, bukankah kebanyakan mereka ini mempunyai akuan Facebook dan Twitter yang hanya mengambil masa beberapa minit saja untuk menulis dan menyatakan pendirian?

Mungkinkah bagi kebanyakan pemimpin ini, mempertahankan Perdana Menteri bukan lagi tugas mereka? Tetapi kalau bukan tugas dan peranan pemimpin yang diberi jawatan dan keistimewaan ini untuk mempertahan dan membela Perdana Menteri, tugas siapa lagi?

Perkembangan yang berlaku kebelakangan ini jelas memperlihatkan Najib seperti keseorangan dalam mempertahankan dirinya. Lrbih ramai yang sanggup mencium tangannya berbanding mempertahannya. Apakah semua ini berlaku kerana kedudukan Najib tidak begitu kukuh dan boleh tumbang bila-bila masa, lalu semua pemimpin hanya mengambil jalan selamat dan menjaga diri masing-masing saja?

Sementara itu, dalam masa yang sama, walaupun Mahathir kelihatan agresif sejak Anwar memutuskan untuk bertanding di DUN Kajang dan mahu menjadi MB Selangor, bekas Perdana Menteri itu hanya menumpukan serangannya terhadap Anwar dan tidak langsung keluar perkataan yang membela Najib.

Dengan Mahathir diketahui tidak berpuas hati dengan prestasi Nsjib sejak berakhirnya PRU 13 lalu, ditambah dengan kekalahan Mukhriz sebagai Naib Presiden UMNO yang antara lainnya disebabkan campurtangan Najib mahu mengekalkan status quo, bekas Perdana Menteri itu dipercayai akan kembali lantang terhadap Najib dan kerajaan sebaik saja berakhirnya pilihanraya kecil Kajang nanti.

Dalam konteks KJ, sikapnya mempertahankan Najib bukan saja sebagai Ketua Pemuda UMNO tetapi juga sebagai anggota kabinet. Walaupun wujud pelbagai tafsiran di sebalik peranan yang dimainkannya itu, KJ sebenarnya telah memainkan peranannya yang sewajarnya sebagai pemimpin UMNO dan juga menteri.

Walaupun pernah dianggap sebagai "budak nakal" dalam UMNO terutama ketika era kepimpinan bapa mertuanya, Pak Lah dan masih tidak disenangi oleh Mahathir sehingga kini, KJ telah berjaya memintas pemimpin yang lebih senior daripadanya dari segi memahami konsep pertanggungjawaban bersama, baik sebagai pemimpin UMNO mahupun sebagai anggota pentadbiran kerajaan.

Beliau pernah disisihkan daripada dilantik menganggotai kabinet selama empat tahun kerana Najib lebih ingin menjaga hati dan takut kepada Mahathir. Hanya selepas keputusan PRU 13, barulah Najib ada keberanian untuk memberikan jawatan menteri kepada KJ sedangkan Mukhriz yang kalah dalam pertandingan Ketua Pemuda dan Razali Ibrahim yang pernah menjadi naibnya, sudah pun diberikan jawatan dalam kerajaan oleh Najib sejak 2009 lagi.

Mujurlah Najib mulai ada keberanian memberikan jawatan kepada KJ sejak 2013 lalu, jika tidak, sekarang ini beliau kelihatan lebih keseorangan dan tidak ada sesiapa yang mempertahankannya. (SH 19/02/2014)

7 comments:

  1. Anak bungsu memang manja

    ReplyDelete
  2. KJ tu tgh idam gelaran dato tu

    ReplyDelete
    Replies
    1. taraf pendidikan dan upbringing KJ tak memungkinkan dia gilakan title dato tu. he's his own man, tak sama class dgn kebanyakan politician2 lain...

      Delete
  3. Yang lain takut kena belasah....patutlah senyap je.

    ReplyDelete
  4. Persis dgn tindakan Anwar mempertahankan bossnya, dlm keadaan pemimpin yg lain ketandusan idea untuk berpencak ke depan. Dari segi moralnya, ia wajar dipuji. Barang perlu diingat, dikalangan pemimpin lebih senior dlm UMNO tentu ada menyimpan perasaan dengki, salah satu ciri jati diri melayu. Dgn wujudnya perasaan dengki itulah Anwar menerima akibat seperti semua maklum. Ingatkah lagi kisah Hang Tuah di Melaka dan Hang Nadim dlm sejarah Singapura dilanggar todak? Melayu islam yg tidak dipagari iman, akan melayan hasutan syaitan mengipas perasaan dengki menjadi dendam kesumat. KJ mungkin sedang menempah jalan bahaya buat dirinya.

    ReplyDelete
  5. KJ has nothing to loose.......dia kena jadi hero....kalau tidak terlungkuplah cita2 dia....dia pernah buat macam2 hal masa dulu dan buat orang menyampah......jadi sekarang mesti tunjuk dia perihatin dan bersungguh untuk bantu rakyat.... Maaf laaa KJ......tembelang dah pecah.....nak percaya lagi minta maaf.....serupa pekung dah jadi parut di badan....parut nak hilang lom tentu bila......

    ReplyDelete
  6. Najib bukan berani......dia play safe........kem mahadir kena jaga.....kem pak lah kena jaga....jadi nak minta simpati senang......kalau tak bergegar lah tiang seri rumah umno........padah....

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...