Thursday 22 January 2015

Setelah Terkait Dengan 'Raja Judi', Bersinar Lagikah Bintang Zahid?


Dua kali berturut-turut meraih undi tertinggi bagi jawatan Naib Presiden UMNO bagaikan tidak memberi banyak makna kepada masa depan Ahmad Zahid Hamidi sekarang ini. Hanya kerana suratnya kepada FBI berkaitan raja judi, Paul Phua, beliau kini diselubungi pelbagai persepsi yang mungkin merencatkan cita-cita politiknya.

Selain kewajarannya menulis surat kepada FBI itu dipertikai, hubungannya dengan Paul Phua juga mulai diperkatakan. Adakah beliau mengenali secara peribadi atau tidak raja judi itu? Apakah pula perlunya sebagai menteri, beliau menulis surat hanya kepada seseorang yang berjawatan timbalan pengarah dalam FBI? Kenapa tidak pihak polis saja menulis surat itu?

Kalau mahu dititip satu persatu tanda tanya masyarakat terhadap Ahmad Zahid berhubung suratnya kepada FBI itu, ia sebenarnya cukup berserakan serta amat melemaskan. Pelbagai aspek dan sudut pertanyaan bermain-main tanpa jawapan.

Penjelasan beliau baru-baru ini bahawa surat itu hanya bertujuan menjelaskan ketidakwujudan kumpulan 14K Triad di negara ini serta Paul Phua bukan salah seorang daripada anggotanya, tidak mampu  menutup banyak kesangsian orangramai mengenai wibawanya sebagai salah seorang pemimpin.

Selain bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor turut menyatakan tidak wajar Ahmad Zahid menulis surat kepada FBI kerana yang memintanya hanyalah peguam Paul Phua, penjelasan Menteri Dalam Negeri itu mengenai adanya projek-projek keselamatan negara yang dibantu raja judi itu, menimbulkan persepsi lain pula.

Sementara ada yang mendesak beliau mendedahkan apakah projek-projek keselamatan itu, ramai pula bertanya, selamatkah kita sebagai rakyat apabila sebahagian faktor keselamatan negara bergantung kepada maklumat seorang raja judi?

Apabila semalam Hishammuddin Hussein tampil menafikan beliau pernah menulis surat kepada FBI semasa menjadi Menteri Dalam Negeri sebelum ini sebagai menangkis satu lagi kenyataan Ahmad Zahid bahawa menteri sebelumnya juga pernah menulis surat kepada FBI, sekali lagi Ahli Parlimen Bagan Datoh itu menjadi sasaran persepsi negatif.

Ramai yang menyoal, benarkah pengakuannya sebelum ini ada menteri terdahulu turut menulis surat kepada FBI atau beliau tidak bercakap benar mengenainya? Sementara Hishammuddin berjaya membersihkan namanya dengan penafian itu, nama Ahmad Zahid pula bertambah kelabu kerananya.

Secara umumnya, sejak isu Paul Phua muncul, Ahmad Zahid yang selama ini diyakini dan disenangi sebagai bakal pemimpin masa depan mula terselubung dengan pelbagai persepsi yang secara perlahan-lahan menggugat keyakinan ramai terhadap wibawa, intergriti dan imejnya.

Beliau kini mulai diragui dan tidak diyakini lagi sebagai salah seorang pemimpin masa depan yang boleh diletakkan harapan untuk menjaga negara ini dengan lebih baik lagi. Kalangan dalam UMNO pula mulai sangsi, apakah dengan isu Paul Phua ini Ahmad Zahid wajar terus diberikan undi dan sokongan?

Ahmad Zahid sebelum ini diletakkan harapan tinggi dalam UMNO dan kerajaan. Ramai yang yakin, jika Najib berundur atau diundurkan dan Muhyiddin bergandingan dengan Ahmad Zahid, harapan BN untuk menang dalam pilihanraya akan datang jauh lebih cerah lagi.

Yang lain berpendapat, selepas menggungguli dua kali berturut-turut undi tertinggi bagi jawatan Naib Presiden UMNO, sudah sewajarnya beliau merebut kerusi Timbalan Presiden UMNO pula dalam pemilihan parti akan datang.

Tetapi dengan terdedahnya surat beliau kepada FBI berkaitan Paul Phua yang dikenali sebagai raja judi baru-baru ini, namanya jadi tidak seharum dulu lagi. Imejnya sudah tercalar kerana dipersoal apa pentingnya surat itu dihantar kepada FBI, apakah hubungannya yang sebenar dengan Paul  Phu serta adakah beliau bercakap benar bila mengatakan menteri terdahulu daripadanya juga pernah mengutus surat kepada FBI?

Kecuali semua perkara itu dapat dijelaskan dengan penuh meyakinkan manakala siapa menteri yang pernah menulis surat kepada FBI juga diberitahu kepada umum, laluan Ahmad Zahid pasti lebih sukar selepas ini.

Malah seorang pemimpin UMNO berkata, sekiranya pemilihan UMNO diadakan dua atau tiga bulan daripada sekarang, sudah pasti Ahmad Zahid akan kecundang kali ini.

Dalam persaingan UMNO pula, isu yang timbul melibatkan Ahmad Zahid ini secara tidak langsung memberi kelebihan kepada Hishammuddin merampas semula keyakinan perwakilan terhadap dirinya setelah hampir-hampir tercicir dalam pemilihan yang lalu.

Meskipun Hishammuddin juga terdedah kepada pelbagai aspek kelemahan dan kewibawaannya turut banyak diperkatakan sebelum ini, namun persepsi yang terbentuk dalam pemikiran orangramai berkaitan hubungan antara Ahmad Zahid dengan Paul Phua, seorang raja judi,  lebih parah dan sukar dipulihkan.

Ini sekaligus menjadikan, selain Najib Razak, Ahmad Zahid kini merupakan pemimpin UMNO dan kerajaan yang paling terancam kedudukannya.  Dalam UMNO, beliau diragui dan dipertikai manakala dalam kerajaan pula, imejnya sudah terhakis dan calar-balar.

Di ketika yang sama, semua ini menjadikan Hishammuddin mungkin lebih lebar senyumannya. (SH 22/01/2015)

4 comments:

  1. Dalam kerajaan yang ada sekarang amat nyata hampir kesemua menterinya bercakap bohong, sebab itulah majoriti rakyat Malaysia kena tipu................

    ReplyDelete
  2. Jika poltik Malaysia setaraf negara-negara maju, bukannya setaraf Zimbabwe atau Bangladesh....sosok Zagid ini sudah tentu terpelanting dari tampuk kuasa.
    Akan tetapi HAMNO ni lain sikit....menjelang pilihan parti kelak sosok ini cuma perlu jerit sekuat-kuatnya slogan membela Melayu....siap dengan ugutan ke atas China Hindu....nescaya perwakilan akan melupakan segala kebejatan dan salah laku....kerna apa tuan-tuan...kerana yang masih tinggal dalam hamno sekarang adalah orang-orang ba***ng....(kata Tun M)

    ReplyDelete
  3. Saya sudah cakap.... jangan lagi percaya cakap orang UMNO/BN masa pilihanraya nanti.

    Kak Mah Mansor tidak peduli sesiapa, asal dia syokkkkk. Saya tak salah kan kak Mah. Yang bangang otak kering ialah penyokong UMNO totok bahlul, macam suka dicucuk hidung bagai lembu. Dahlah keadaan mereka sendiri kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Kena bayar ini, kena bayar itu. Kalau Kak Mah semuanya free of charge!!!!

    ReplyDelete
  4. Saya setuju dgn tulisan Sakmongkol yg bagi amaran kpd Anwar untuk lebih berhati-hati bersekongkol dgn Najib dlm menghadapi TDM dan Tun Daim. Saya rasa JJ (Johan Jaafar) dan Zahid Hamidi ada saham mem- pengaruhi Najib untuk tindakan itu. Siapa JJ & Zahid dizaman Anwar TPM dulu. Benefit ada pada mereka. Wallahhuaklam.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...