Friday, 23 January 2015

Jika Benar Mahu UMNO Berubah, Najib Mesti Berani Adakan Pemilihan Sebelum Pilihanraya


Antara intipati  ucapan Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden UMNO ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2014 yang lalu ialah:-

"Kita tidak ada banyak masa untuk menunggu perubahan berlaku. Kita perlu merekayasa perubahan. If change does not happen, we have to engineer the change.  Justeru pada hemat saya, wajar untuk kita pertimbangkan pemilihan parti dilaksanakan mengikut kehendak Perlembagaan UMNO dan tidak ditangguhkan sehingga selepas pilihanraya umum seperti yang pernah dibuat sebelum ini".

Malangnya isi yang amat penting dalam ucapan Muhyiddin itu, bahkan selaras dengan seruan perubahan atau dalam slogan lengkapnya "rebah jika tidak berubah" sebagaimana yang kerap diucapkan oleh Najib Razak, tidak disiarkan secara meluas di media-media arus perdana. Ia bahkan seperti cuba diselindungkan.

Dalam ucapan dan perbahasan para perwakilan pula, tidak ada sesiapa yang menyambut seruan Muhyiddin itu. Lalu, ia berakhir begitu saja dan kemudian terus dilupakan.

Tetapi berdasarkan perkembangan semasa dalam UMNO dan kerajaan ketika ini di mana suara yang menegur, mengkritik dan mendesak Najib Razak agar berundur dan meletakkan jawatan kian membesar, saranan Muhyiddin yang mahukan pemilihan diadakan mengikut Perlembagaan UMNO dan tidak lagi ditangguhkan sehingga selepas pilihanraya umum, wajar direnung semula.

Kebimbangan ramai dalam UMNO ialah Najib yang diselubungi dengan pelbagai masalah, pekung dan kudis, lebih mungkin membawa UMNO dan BN ke lembah kekalahan berbanding menjejak mercu kejayaan dalam pilihanraya akan datang.

Asas utama kenapa Najib semakin tidak diyakini ialah beliau sendiri tidak mahu berubah sebagaimana kerapnya perkataan itu terpacul dari mulutnya. Kata-kata perubahan hanyalah retorik semata-mata tetapi tiada satu pun yang berubah, sama ada melibatkan pengurusan UMNO, kerajaan, hubungan kaum, agama, menangani krisis, masalah berkaitan isteri, pegawai dan penasihat serta pelbagai lagi.

Sebaliknya,  hutang kian bertambah, ekonomi merosot, pasaran saham dan nilai ringgit merudum, kehidupan rakyat terutama di luar bandar terjejas dan negara seolah-olah terperangkap dengan seribu satu masalah yang tidak berkesudahan.

Bagaimanapun, di sebalik semua itu, Najib tidak mahu berundur atau meletakkan jawatannya. Beliau sebolehnya ingin terus kekal menghuni Seri Perdana serta percaya rakyat parti dan rakyat masih mahukannya.

Oleh itu, satu-satunya jalan merungkai perdebatan ini ialah dengan mengadakan pemilihan UMNO sebelum pilihanraya umum dilangsungkan.

Ditambah dengan konflik yang sedang berlaku antara Najib dengan Mahathir dan Daim serta cakap-cakap yang makin meluas bahawa Perdana Menteri lebih mungkin bersatu dan "cium mulut" dengan Anwar Ibrahim bagi menyelamatkan masa depan politiknya, menjadikan saranan Muhyiddin selaku Timbalan Presiden UMNO itu lebih kukuh untuk dijadikan realiti.

Sejak Pak Lah memimpin UMNO pada 2003, beliau telah memperkenalkan pendekatan menangguhkan pemilihan UMNO sehingga pilihanraya umum diadakan. Lantaran itu, perlembagaan UMNO turut dipinda dengan membenarkan pemilihan ditangguhkan sehingga 18 bulan. Ia menjadikan pemilihan UMNO yang sepatutnya diadakan setiap tiga tahun terpaksa mengikut tempoh pilihanraya selama lima tahun.

Alasan penangguhan itu ialah supaya UMNO terus bersatu dalam menghadapi pilihanraya. Tradisi itu kemudian diikuti oleh Najib. Tetapi di zaman Mahathir, ia tidak dilakukan dan menjadi perkara biasa pemilihan UMNO diadakan sebelum pilihanraya umum.

Isu utama yang menjadi persoalan UMNO ketika ini ialah memenangi pilihanraya. Sementara Najib ingin terus kekal, sebahagian besar ahli dan pimpinan UMNO, walaupun tidak semuanya berani berkata benar, lebih yakin harapan menang itu amat tipis jika beliau terus menjadi ketuanya.

Dua bekas pemimpin UMNO yang paling berpengaruh, Mahathir, Daim serta beberapa yang lain juga berpandangan sama, lantas tampil memberi teguran agar Najib segera meningkatkaan prestasi dan memperbaiki segala kelemahannya.

Namun, Najib bukan saja enggan melayan teguran ke arah kebaikan UMNO itu, malah cuba mempertahankan apa yang dilakukannya. Di suatu ketika Najib juga bangga mengatakan beliau adalah "brand" kepada UMNO.

Dalam menangkis serangan Mahathir serta Daim dan percubaan mempertahankan kuasa, menjadi perbualan dan keyakinan ramai juga bahawa Najib mungkin akhirnya memilih bersatu dengan Anwar kerana kedua-dua bekas pemimpin itu sudah menjadi musuh bersama mereka.

Ia terpancar daripada kesungguhan media arus perdana yang dibawah kawalan Najib mulai memberi ruang yang amat luar biasa kepada Anwar dan PKR untuk menyerang Daim.

Sementara "cium mulut"  Najib dengan Anwar tidak dianggap mustahil dan episod lawan bertukar jadi kawan adalah perkara biasa dalam politik dan percaturan kuasa, tetapi yang mungkin menimbulkan masalah ialah penyokong kedua-dua pemimpin berkenaan.

Sebagaimana penyokong Anwar masih keberatan menerima Najib, ramai ahli dan penyokong UMNO juga menolak Anwar sebagai regu Najib untuk berlawan dengan Mahathir dan Daim. Setelah memaki-hamun, mencaci dan menggelar  Anwar selama bertahun-tahun dengan pelbagai gelaran, ramai yang masih "geli" untuk menerimanya sebagai pemimpin yang disanjung dan dipuja pula.

Lantaran itu, adalah penting untuk Najib bersetuju dengan saranan Muhyiddin agar pemilihan UMNO diadakan mengikut perlembagaannya dan tidak lagi ditangguhkan. Mengikut perlembagaan, pemilihan UMNO sebelum ini ialah pada 2013 dan yang seterusnya mesti diadakan pada 2016.

Hanya dengan mengadakan pemilihan UMNO mengikut jadualnya, Najib dapat menguji dirinya. Hanya dengan  membenarkan pemilihan diadakan juga,  UMNO dapat menentukan sama ada Najib terus layak memimpin parti untuk pilihanraya seterusnya pada 2018 nanti atau sebaliknya.

Jika mahukan Najib, teruslah memilihnya sebagai Presiden UMNO dan kalau dirasakan beliau lebih mungkin membawa kekalahan, inilah masanya melakukan perubahan dan memilih pemimpin lain yang lebih diyakini. Pilihlah antara Muhyiddin, Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein, Shafie Apdal atau sesiapa saja yang dirasakan lebih layak.

Begitu juga dengan ura-ura Najib untuk bersatu dengan Anwar, inilah juga masanya UMNO membuat penentuan sama ada mahu menerima atau menolaknya.

Bagi Mahathir, Daim, Sanusi Junid dan lain-lain pemimpin yang mahu perubahan kepimpinan dalam UMNO untuk memastikan kuasa tidak terlepas ke tangan parti lain, inilah waktu paling tepat merealisasikan perubahan itu.

Dalam masa yang sama, ia juga adalah ujian kepada seluruh ahli dan kepimpinan UMNO sama ada benar-benar mahukan perubahan dan apakah keinginan menang dalam pilihanraya masih menjadi keutamaan? 

Apa yang lebih bagusnya, jika setelah diadakan pemilihan dan ditakdirkan kalah dalam pilihanraya, tiada mana-mana pemimpin lagi yang boleh dipersalahkan mengenainya. Kiranya menang pula, ia adalah kemenangan UMNO secara mutlaknya. ( SH 23/01/2015)

5 comments:

  1. Salam,

    Wak ima apapun ...selagi nama "UMNO (baru) " ni, harap pihak PR lagi-lagi saudara Anwar Ibrahim, mestilah berhati-hati dalam perkembangan senario politik terbaru ini.

    Dah berbelas tahun, penyokong kuat Anwar berjuang demi RAKYAT, janganlah terbuai dengan drama poltik UMNO yang akan menghancurkan impian RAKYAT untuk membuang ke laut semua "perompak, penyamun" hak RAKYAT.

    Ini bukan kerana Anwar, tapi kerana RAKYAT. Jangan terpengaruh dengan aksi pihak "RTM dan TV3" dan akhbar yang sekarang seolah-olah memberi ruang kepada pihak PR. Selama ini apa media ini buat kepada Anwar?

    Harap AI jangan terima "cium mulut" dari Najib, takut-takut, keluar lendir busuk dari mulut dan masuk ke perut AI, lalu AI akan jadi "zombi" hidup yang sangat merbahaya nanti.

    ..... RAKYAT akan sengsara nanti...


    ReplyDelete
  2. Nak harapkan UMNO berbuat baik.. samalah mcm meminta kebaikan daripada ular tedung selar dan buaya..

    Anwar ini bukannya cerdik sangat. Dgn UMNO kalo kena gaya pujuk.. boleh rebah siot.

    Lebih baik sokong Najib. Untung2 sblm rebah, dpt gak projek 100 juta. Boleh trus bersara dari politik. Rakyat tetap bodoh tak boleh berbuat apa2. Hanya retorik satu undi bodoh bodoh, hak mereka akan terjaga. Ale uto la.. haha..

    ReplyDelete
  3. Sesiapa saja boleh memberi pandangan yang ber bagai tentang Anwar Ibrahim menyerang Daim yang dilihat seperti bersekongkol dengan Najib.

    Sama ada yang menyokong Anwar atau mengutuk kononnya ramai yang masih "geli" untuk menerimanya sebagai pemimpin yang disanjung dan dipuja pula, tidak akan mengubah kebencian rakyat pada Mahathir, Daim atau pun Najib.

    Ketika ini Najib sedang berusaha mempertahankan kedudukannya dari serangan Mahathir dan Daim. Tiada apa yang peliknya jika Anwar membantu musuh tradisinya menyerang balas musuh yang sama.

    Jika Najib ikut apa yang disarankan oleh Mahathir dan Daim ianya tak ubah seperri meletakkan muncung pistol berpeluru dikepalanya nya sendiri. Tanpa kuasa Najib dan Rosmah akan jadi kain buruk.

    Cium mulut atau main buntut tidak akan memberi apa-apa makna jika leher masing-masing sudah dijerut oleh tali permasaalahan. Perkara utama adalah melepaskan diri yang bukan lari dari mulut harimau masuk mulut buaya.

    Apa yang boleh dilakukan oleh pengganti Najib dalam keadaan hutang kian bertambah, ekonomi merosot, pasaran saham dan nilai ringgit merudum, kehidupan rakyat terutama di luar bandar terjejas dan negara seolah-olah terperangkap dengan seribu satu masalah yang tidak berkesudahan..... Akan meneruskan pembohongan bagi mewarisi bercakap benar adalah berdosa besar dalam UMNO Baru ?

    Sebenarnya sistem yang ada dalam parti UMNO Baru itu perlu diperbetulkan dulu sebelum berhasrat menerajang Najib dan Rosmah dari kedudukannya.....

    Kita perlu tanya pada Mahathir... Kenapa semua orang yang disokong jadi perdana menteri bermasaalah ?



    ReplyDelete
  4. Kalau diadakan pemilihan sebelum pilihanraya sudah pasti najib juga yg akn menang. Mmg budaya umno org yg berkuasa akn menang walaupun ramai yg membangkang atau marah

    ReplyDelete
  5. Melayu dan kuasa mmg susah nak berpisah. Biar terburai perut sekalipun, Najib tak akan berundur punya. Kalo nak mati katak, undur la. Mcm Sirul balik Malaysia.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...