Saturday, 24 January 2015

Apakah Godaman Media Sosial Ini Kerana Najib Makin Kepanasan?


Minggu ini menimbulkan banyak suasana yang berbeza kepada para blogger dan pengamal media sosial di negara kita. Sementara sebahagian daripada mereka yang menjadi penyokong dan pendokong Najib sedang "dihadiahkan" dengan "program jalan-jalan" di kota London, sebahagian yang lain pula ditinggalkan dalam negara tanpa memperolehi apa-apa.

Bagi yang menjadi pengkritik dan penegur Najib pula, ada yang terus menjalankan tugas mereka tanpa sebarang gangguan, tetapi ramai yang  sedang "menderita" kerana telah digodam akaun mereka. Pengamal media sosial pro Najib tidak pula kedengaran mengalami masalah yang sama.

Beberapa pemilik akaun FB yang tegar mengkritik Najib dan dilihat menjadi penyokong Mahathir dan Daim seperti Blue Ocean misalnya, paling teruk diserang dan akaun FBnya tiba-tiba hilang begitu saja.

Apabila dibuka akaun baru, ia digodam lagi dan membuatkan beliau telah membuka empat akaun dalam tempoh tiga hari ini kerana diserang tidak henti-henti setiap kali akaun baru dibuka.

Syed Rosli Jamalulail yang pernah mendesak Najib agar berundur demi menyelamatkan UMNO juga mengalam nasib yang sama. Akaun FBnya yang sudah berusia tujuh tahun turut lenyap begitu saja. Bagaimanapun beliau sudah membuka akaun baru dan mengambil sikap lebih berhati-hati menerima rakan selepas ini.

Zaharin Mohd Yasin, seorang aktivis UMNO yang dikenali ramai tetapi kerap mengkritik Najib dan kepimpinan UMNO yang lain turut tidak terkecuali menjadi sasaran penggodam. Akaun FBnya yang mempunyai ribuan kenalan turut hilang tanpa dikesan. Walaupun akaun baru sudah dibuka, tetapi mungkin memakan masa untuk mengumpul semula rakan-rakan lamanya.

Beberapa akaun FB lain yang dikenali kerap menegur Najib dan menyokong Mahathir serta Daim juga sedang mengalami nasib yang sama. Ada yang hilang dan dan ada yang gagal dimasuki oleh pemiliknya sendiri. Mereka digodam dan seolah-olah cuba dihalang daripada terus mengkritik, menegur serta memberi sokongan kepada Mahathir dan Daim.

Siapakan melakukan semua ini? Apakah ini merupakan taktik kem pro Najib untuk menyekat suara-suara pengkritik ini dari terus bersuara dan menghalang lebih banyak maklumat sampai ke telinga rakyat?

Jika itu kaedahnya, bermakna kem Najib sekarang ini sedang "kepanasan" akibat dek serangan yang makin bertalu-talu di media-media sosial berikutan semakin ramai kian berani, bukan saja menegur dan mengkritik, malah meminta Perdana Menteri segera berundur daripada tampuk kuasanya.

Apakah ini juga menandakan, oleh kerana penggerak media sosial pro Najib tidak mampu berhujah dan kurang petah menangkis serangan, maka kaedah godam pula diamalkan?

Sudah tentu pelbagai andaian timbul dan tiada sesiapa mahu mengaku melakukah kerja-kerja pengecut ini. Tidak dipastikan juga sama ada perkara in memang arahan "kepala-kepala perang"  di Putrajaya atau ia hanya kerja-kerja tepi jalan segelintir pengampu dan pembodek untuk mendapatkan sedikit upahan.

Walau apa pun alasannya, taktik godam dengan tujuan menyekat saluran maklumat daripada tersebar lebih meluas ini hanya akan memburukkan imej Najib sendiri. Sama ada beliau mengetahui, merestui atau sebaliknya apa yang sedang berlaku ini, natijah akhir yang memikul bebannya tidak lain ialah Najib dan kerajaan juga.

Sementara Najib berulangkali menyatakan beliau bersikap terbuka dalam banyak perkara, menghargai kepentingan media sosial sebagai saluran maklumat kontemporari, terutama untuk generasi muda dan mengingatkan bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhir, hakikat yang dilakukan oleh mereka yang dekat dengannya jelas bercanggah sama-sekali.

Semua ini menyebabkan beliau akan dinilai sebagai pemimpin yang "cakap tak serupa bikin" dan cuba menutup kebebasan yang selalu dilaung-laungkannya.

Berbanding hujah dilawan dengan hujah, mematikan serangan lawan dengan taktik godam, sebenarnya langsung tidak berkesan. Mereka yang digodam bukan saja lebih bersemangat, bahkan mungkin melebarkan rangkaiannya dengan membuka lebih banyak akaun lagi. 

Akhirnya, tukang godam juga lebih letih dengan kerja-kerja godaman mereka. (SH 24/01/2015)

2 comments:

  1. godam mengodam adalah perkara biasa dlm perang d alam siber.ini sedang berlaku d antara Negara2 [tidak kira musuh atau lawan]. yg penting nya adalah utk memperolihi kepintaran utk melindungi kubu d serang serta mendapat maklumat2 lawan tanpa mengguna aparat kerajaan/public bagi faedah individu atau parti. semua pendedahan yg d kongsi bersama dgn umum akan menjadi penghalang yg efektif bagi mereka2 ini utk membuat perkara2 yg mungkar.

    ReplyDelete
  2. Tuan Shah,
    Saya pernah juga di godam akaun fb saya dan menyebabkan saya tak boleh akses. Penggodam tak pernah letih buat kerja menggodam, kalau mereka tak mampu menggodam itu bermakna sekuriti laman web atau akaun seseorang itu telah dipertingkatkan dan mungkin pengetahuan mereka dalam teknologi semasa telah outdated.
    Penggodam2 ini sesetengahnya dibayar oleh syarikat pembuat antivirus supaya menggodam antivirus ciptaan syarikat lain atau kepunyaan mereka sendiri utk strategi pemasaran syarikat.
    Penggodam yang mampu menembusi laman-laman web bersekuriti tinggi seperti laman web kerajaan AS atau laman web ketenteraan akan dibayar dengan harga yang tinggi oleh pembeli maklumat ketenteraan atau perisikan. Ada juga yang di tangkap dan di paksa bekerja dengan negara tsbt sebagai hukuman kerana menggodam laman web negara.
    Penggodam politik atau perang saraf ataupun cybertroopers akan menggodam akaun-akaun musuh politik mereka dengan spin cerita melalui laman web musuh dan menyebarkan melalui akaun musuh mereka dan membuatkan musuh bercakaran sesama sendiri.
    Seperti kata ZAM, mereka yang menyerang melalui media maya adalah orang yang tak beretika. Penembak curi yang menembak dan melarikan diri melalui jaringan maya, menyorok dan serang merupakan strategi taktikal penggodam,mereka lakukan dengan imbuhan. Sekiranya mereka ini beretika dan berani, mereka akan berperang secara berdepan. Kita tahu dalang-dalang mereka ini yang sememangnya bukan seorang yang berani, mengedarkan risalah atau video porno melalui internet. Tetapi mereka-mereka ini belajar dari "sifu" yang terdahulu dengan menyerang menggunakan surat layang dan buku-buku tanpa pengarang dan pencetak seperti 50 dalil.
    Apa yang kita nampak, protege dah menyerang mentornya setelah mentornya bersusah payanh menaikkan beliau dengan segala kudrat dan akhirnya setelah mendapat kuasa, mentornya digigit dan mungkin di "kasi" supaya jangan melalak.
    Senjata makan tuan. Itulah akibatnya mendidik pelapik bukan pelapis, pemimpin yang tidak takut akan "JANJI JANJI ALLAH SWT". Matlamat menghalalkan cara dan akhirnya beliau juga akan disingkirkan dengan kaedah yang sama. Kita akan tunggu kisah telemovie yang agak panjang ini. Apakah kesudahannya...? wallahualam..

    Mangsa banjir

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...