Monday, 23 June 2014
Janganlah Berlebih-Lebih Meraikan Keputusan Mahkamah Mengenai Kalimah Allah
NGO Perkasa nampaknya paling gembira dengan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Gereja Katolik Malaysia mengenai rayuan mereka terhadap larangan penggunaan kalimah Allah dalam majalah terbitannya, The Herald. Dengan keputussn 4-3 oleh tujuh hakim itu, bermakna berakhirlah sudah perjuangan mereka untuk mendapatkan kebenaran menggunakan nama Allah dalam majalah tersebut.
Dengan ertikata lain juga, selepas ini majalah The Herald itu tidak boleh lagi menggunakan nama Allah dalam sebarang penerbitannya. Ruang untuk merayu juga sudah tertutup rapat.
Namun demikian, oleh kerana keputusan itu hanya melibatkan larangan dalam The Herald saja, tiada sesiapa yang boleh melarang pihak Kristian daripada menggunakan nama Allah, sama ada dalam gereja, doa harian, ketika membaca Bible bahasa Melayu, dalam penerbitan lain atau sebagainya.
Malah keputusan ini juga tidak menjejaskan apa-apa berhubung penggunaan nama Allah di Sabah dan Sarawak sepertimana yang telah diberikan kebenaran khas oleh kerajaan Pusat sendiri sebelum pilihanraya umum lalu. Mereka masih boleh menggunakannya seperti biasa.
Memang keputusan ini melegakan ramai umat Islam, tetapi malangnya Perkasa seperti berlebih-lebihan atau barangkali tidak memahami secara mendalam keputusan Mahkamah Pesekutuan itu sendiri. Berpada-padalah kerana ia hanya secebis kecil kejayaan saja.
Ahli-ahli Perkasa yang telah berhimpun di Istana Kehakiman, Putrajaya untuk mendengar keputusan itu sejak awal pagi memang terlihat amat gembira dan meraikannya seolah-olah memperolehi kejayaan besar. Daripada Putrajaya, mereka kemudian berhimpun pula di Istana Kayangan Shah Alam bagi memberi sokongan dan mendesak Sultan Selangor agar bertegas jangan memulangkan kitab Bible bahasa Melayu yang dirampas oleh Jais sebelum ini, walaupun diarahkan berbuat demikian oleh Peguam Negara.
Dalam perhimpunan tersebut, Perkasa bukan saja menuntut Peguam Negara meletakkan jawatan kerana dianggap tidak sensitif terhadap Islam dan seolah-olah menyebelahi Persatuan Bible Malaysia, malah ada seorang pemimpin Perkasa iaitu Ruslan Kassim yang pernah menjadi pemimpin PKR sebelum ini, memberi amaran mahu memancung kepala mana-mana pihak yang masih enggan menghormati kedaulatan Islam serta mengkhianati kedudukan Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri.
Seorang lagi bekas pemimpin Perkasa yang juga bekas Ahli Parlimen PKR, Zulkifli Noordin pula berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu memperkuatkan lagi pendapat bahawa Jais dan Mais berhak menyita kitab Bible bahasa Melayu yang dirampas sebelum ini.
Ada pula pihak tertentu di laman-laman sosial yang mengatakan bahawa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu bermakna kitab Bible bahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah sudah boleh dibakar dan dihapuskan.
Apa ni? Kenapa berlebih-lebihan sangat menyambut dan mentafsirkan keputusan Mahkamah Persekutuan itu?
Bukankah sudah jelas bahawa kes yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan itu hanya mengenai penerbitan The Herald saja dan bukannyaa meliputi semua perkara yang lain.
Apa perlunya keputusan itu dikaitkan dengan rampasan Bible oleh Jais? Bukankah dalam kes itu Sultan Selangor sudah menitahkan agar Jais merujuk kepada pendakwaraya untuk memutuskan sama ada kitab yang dirampas itu mahu dipulangkan atau dilupuskan.
Baginda juga mahu keputusan mengenai perkara itu diputuskan mengikut saluran undang-undang.
Perdana Menteri, Najib Razak juga sudah mengeluarkan kenyataan yang hampir serupa iaitu menghormati keputusan berdasarkan undang-undang, Perlembagaan serta kebebasan beragama dalam menyelesaikan kemelut yang sudah berlarutan sekian lama itu.
Tidak perlulah sebenarnya ada kenyataan-kenyataan melampau seperti mahu memancung kepala, membakar Bible dan mendahului atau mengajar Sultan Selangor dalam membuat keputusan mengenai Jais dan Mais. Semua ini hanya memburukkan lagi wajah Islam.
Terimalah hakikat bahawa keputusan mahkamah ini hanya melibatkan The Herald saja. Hal-hal lain tidak berkait sama sekali. Kalau mahu orang Sabah dan Sarawak jangan menggunakan kalimah Allah dalam gereja atau dalam Bible bahasa Melayu mereka, marahlah dengan Najib yang memberikan kebenaran mengenainya dan minta beliau menguatkuasakan larangannya.
Bukankah ternampak bertindih di mana sementara kalimah Allah begitu dipertahankan di Semenanjung dan kemenangan terhadap The Herald begitu diraikan, kenapa tidak berkeras dengan kebebasan penggunaannya di Borneo? Bukankah Allah itu satu di mana-mana saja dan Allah di Semenanjung adalah juga sama dengan Allah di Sabah dan Sarawak?
Dalam pada pejuang-pejuang Islam seperti Perkasa agar jangan jangan berlebih-lebihan sangat menyambut keputusan mahkamah itu, adalah juga lebih baik semua umat Islam termasuk Perkasa dan lain-lain NGO memperkuatkan amalan Islam masing-masing dan mentaati segala perintah Allah itu sendiri. Mempertahankan kalimah Allah hanyalah satu aspek iaitu bimbang ia disalahgunakan, tetapi mentaati segala suruhan Allah dan menjauhi semua larangannya itulah segala-galanya dalam kehidupan ini.
Lakukan perkara itu dalam diri, keluarga, anak-anak, masyarakat dan negara agar Islam itu akhirnya kekal mengharum dan menjadi mercu penghormatan semua. (SH 23/06/2014)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Zul Nordin ran under the ticket of BN the last GE. Why pick on PKR?
ReplyDeleteni lah kemimpinan najib....everything double standard....apa yg berlaku kat semenanjung beza dgn yg berlaku kat sabah serawak....najib nak bagi senang guna kalimat allah kat sabah serawaknhanya nak ambik hati pengundi mase pilihan raye....atau mungkin bagi najib allah kat sabah serawak beza ngan semenanjung....perkasa pulak nak tunjuk hebattt tapi tak bertempat....nampak sangat kebodohan dan cara berfikir yg cetek....mahkamah putuskan ape...perkasa fikirkan apa....inilah didikan lembu...kurang akal...dan tidak cerdik..tapi bisinggg
ReplyDelete