Saturday, 10 May 2014
Tidak Bertanding Di Bukit Gelugor, BN Juga Tak Perlu Tanding Di Teluk Intan
Kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gelugor akibat kematian Karpal Singh dalam kemalangan jalanraya 17 April lalu, bakal dimenangi secara percuma oleh DAP berikutan MCA yang sepatutnya meletakkan calonnya, mengambil keputusan tidak mahu bertanding di kerusi tersebut.
Dengan ini, anak Karpal Singh, Ramkarpal yang telah diumumkan sebagai calon DAP oleh Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng sudah boleh menarik nafas lega dan meraikannya kejayaannya lebih awal daripada yang sepatutnya, meskipun penamaan calon hanya akan diadakan pada 12 Mei ini.
Ini kerana jika ada pun calon Bebas yang turut bertanding untuk bersaing dengan Ramkarpal, mereka hanyalah ikan bilis dan bukannya pesaing yang sebenar kepada DAP.
MCA memutuskan tidak mahu meletakkan calonnya di Bukit Gelugor sebagaimana yang diumumkan oleh Setiausaha Agungnya, Ong Ka Chuan, adalah untuk memberi tumpuan kepada isu hudud dan melindungi Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Ong lagi, jika MCA bertanding mungkin akan menyebabkan beberapa isu lain timbul dan seterusnya memesongkan tumpuan parti itu dalam menghalang isu hudud daripada dibentangkan oleh Pas melalui usul persendirian di Parlimen.
MCA sebelum ini bukan saja menentang usul hudud yang mahu dibawa oleh Pas dengan menyediakan 100 peguam bagi tujuan itu, bahkan juga mengancam untuk mengkaji semula kedudukannya dalam BN jika UMNO mengambil sikap menyokongnya.
Dalam masa yang sama, MCA juga sedang berunding dengan Perdana Menteri mengenai jawatan dalam kabinet yang bakal diperuntukkan kepadanya berikutan keputusan parti itu mahu kembali semula memegang jawatan dalam kerajaan.
Meskipun hudud dijadikan alasan tidak mahu bertanding di Bukit Gelugor, kemenangan Karpal dalam pilihanraya umum lalu dengan majoriti 42,778 undi juga turut menjadi pertimbangan MCA sebenarnya. Dengan majoriti sebesar itu bukan saja mustahil MCA untuk menang, bahkan jika undi yang diperolehinya lebih buruk atau lebih kurang sama, tentulah ia memalukannya untuk kembali semula menganggotai kabinet.
MCA akan dianggap sebuah parti yang tidak sedar diri kerana setelah ditolak oleh pengundi, tetapi masih juga mahukan jawatan dalam kerajaan. Maka, jalan paling selamat ialah tidak meletakkan calon dan pemimpin MCA boleh kembali memegang jawatan sebagai menteri dan timbalan menteri yang sudah sekian lama diidam-idamkan tanpa banyak pertikaian.
Selain Bukit Gelugor, satu lagi pilihanraya kecil akan diadakan pada 31 Mei nanti ialah di Teluk Intan berikutan kematian wakilnya, Seah Long Peng. Dalam pilihanraya lalu, wakil DAP itu menewaskan calon Gerakan, Mah Siew Keong dan seorang calon Bebas dengan majoriti 7,313 undi.
Dalam pilihanraya kecil, Mah yang kini sudah menjadi Presiden Gerakan dikhabarkan akan dicalonkan sekali lagi. Tetapi memandangkan penamaan calonnya hanya pada 19 Mei, belum ada sebarang keputusan lagi dibuat ketika ini.
Namun demikian, jika hujah hudud digunakan oleh MCA untuk tidak meletakkan calonnya, Gerakan juga wajar berpendirian yang sama kerana kedua-dua parti itu sama-sama menolak hudud. Malah Gerakan turut membuat komen yang lebih menyinggung umat Islam mengenai hudud dengan mengatakan wanita dan kanak-kanak lebih menjadi sasaran jika hukum itu dilaksanakan.
Walaupun Gerakan tiada kerusi menteri atau timbalan menteri yang boleh diharapkan berikutan calonnya kalah dalam pilihanraya lalu, mereka wajar bersama dan bersatu hati dengan MCA dengan sama-sama melupakan kepentingan pilihanraya kecil Bukit Gelugor dan Teluk Intan demi perjuangan menentang hudud yang sedang dilalui.
Oleh kerana MCA dan Gerakan memikirkan menentang hudud itu lebih penting, maka biarkanlah DAP menang percuma di kedua-dua kerusi itu. Lagi pula, sama seperti MCA di Bukit Gelugor, peluang Gerakan juga agak tipis di Teluk Intan. (SH 10/05/2014)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment