Monday, 4 February 2013

Mahathir dan Rosmah Liabiliti Najib Dalam PRU 13


Ramai yang tertanya-tanya kenapakah Najib masih tidak berani mengumumkan tarikh pilihanraya walaupun sering mendakwa sokongan rakyat kepada BN makin bertambah dan yakin untuk mencapai kemenangan. Beberapa pemimpin lain, terutama Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO, bukan sekadar yakin BN akan terus menggenggam kuasa malah merasakan kuasa majoriti dua pertiga pun mampu dicapai kali ini.

Apakah sebenarnya halangan utama Najib sehingga beliau menjadi satu-satunya Perdana Menteri yang paling takut mengumumkan pembubaran Parlimen? Inilah pertama kali dalam sejarah, tarikh pilihanraya masih tidak diumumkan walaupun sudah berada di penghujung tempoh lima tahun selepas pilihanraya lalu diadakan pada Mac 2008.

Ada kemungkinan Najib akan membiarkab Parlimen terbubar dengan sendirinya selepas 28 April ini ataupun mungkin beliau akan memohon perkenan Yang Dipertuan Agong untuk melanjutkan lagi tempoh pembubaran itu.

Apa pun keadaannya, ketakutan Najib untuk mengumumkan pembubaran Parlimen menggambarkan ketidakyakinan beliau terhadap kemenangan yang mampu dicapai kali ini. Walaupun sering mendakwa sokongan rakyat makon bertambah, tambahan pula dengan pelbagai janji dan pemberian gula-gula politik terutamanya BR1M 2.0 yang sedang dilaksanakan sekarang, hakikatnya sokongan yang diharapkan masih tidak memadai untuk menciptakan kemenangan yang selesa buat BN.

Sering bermain di fikiran rakyat, apakah sebenarnya halangan atau beban utama Najib dalam pilihanraya kali ini sehingga beliau seperti tidak henti-henti menagih sokongan daripada rakyat?

Selain UMNO dan BN bukan lagi menjadi produk yang baik di mata rakyat kerana pelbagai masalah dan skandal yang berlaku sejak bertahun-tahun lamanya, beban utama yang memberatkan bahu Najib sebenarnya ialah Mahathir dan Rosmah.

Walaupun Mahathir sering tampil dengan hasrat memberi sokongan kepada Najib dan BN serta kerap pula mengingakan rakyat tentang bahaya melakukan pertukaran kerajaan, tetapi seringkali kemunculan beliau menjadikan keadaan menjadi kalut buat BN. Dalam isu pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing di Sabah, kenyataan-kenyataan yang diberikan oleh Mahathir lebih banyak memburukkan lagi keadaaan.

Tindakan mengaitkan nama Tunku Abdul Rahman dalam isu itu bukan saja mengguris hati banyak pihak malah turut menyebabkan masyarakat Cina dan India turut tersentak dengannya.

Dalam pada itu, banyak kenyataannya sebelum ini juga tidak memberi impak yang maksima kepada UMNO dan BN kerana kebanyakan rakyat dapat memahami muslihat dan kepentingan yang ingin dipertahankan oleh bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu. Apa pun komen dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mahathir, baik yang menyokong Najib atau mengkritik Najib, ia sebenarnya tidak lari daripada nawaitu menjaga kepentingan anak-anaknya dalam politik dan perniagaan dah juga melindungi dirinya sendiri selepas pilihanraya nanti.

Keikhlasan Mahathir serng diragui. Baik di dalam UMNO mahupun di luar UMNO, semua orang tahu kepentingan yang ingin dipertahankan oleh Mahathir. Bila dia menyokong Najib, nawaitunya ialah untuk kepentingan diri dan anak-anaknya, sebaliknya jika dia mengkritik Najib, nawaitunya juga adalah untuk menjamin kepentingan diri dan anak-anaknya.

Semasa berkuasa, beliau mungkin ditakuti kerana bijak menggunakan kuasa. Tetapi setelah bersara dan masih ingin menjadi broker kuasa dalam UMNO, taring Mahathir sebenarnya tidaklah setajam dulu lagi. Mungkin masih ada golongan tua dan lama yang masih terpesona dengannya, tetapi rata-rata generasi muda sudah menolaknya.

Bagi mereka, lebih baik Mahathir berehat dan tidak terlalu mencampuri lagi politik negara. Zamannya sudah berlalu dan kini adalah zaman anak-anak muda mengorak dunia.

Walaupun antara sebab keputusan buruk pilihanraya 2008 adalah kerana hasutan Mahathir supaya rakyat dan ahli UMNO sendiri menolak kerajaan yang dipimpin oleh Pak Lah tetapi kali ini suasananya sudah jauh berbeza. Rakyat yang menolak UMNO dan BN jauh lebih ramai berbanding ahli UMNO yang dulunya tidak mengundi BN tetapi akan mengundi BN dalam piliharaya akan datang ini.

Kekerapan Mahathir bersuara mengenai politik hanya menambah kebencian rakyat kepada BN. Ini kerana setiap kali beliau bersuara, sudah difahami maksud dan nawaitunya itu. Setelah 22 tahun UMNO dan kerajaan dibelenggu dengan kepimpinan Mahathir, tidak mungkin ramai yang mahu beliau terus memainkan peranannya dalam negara ini.

Jika Mahathir berdiam diri dan menjadi seorang pesara yang baik, ia mungkin jauh lebih baik bagi Najib, UMNO dan BN. Sokongan rakyat kepada Najib dan BN dalam piliharaya akan datang mungkin bertambah baik tanpa campurtangan daripada Mahathir.

Beban kedua Najib menjelang pilihanraya akan datang ialah Rosmah Mansor, isteri Najib sendiri. Dalam bentuk apa Rosmah mendatangkan beban kepada Najib, UMNO dan BN tidak perlu dihuraikan lagi kerana semua orang sudah mengetahui dan memahaminya.

Gaya, penampilan yang mewah, kegemaran mengumpul perhiasan yang mahal dan gemerlapan serta campurtangan dalam pelbagai urusan perniagaan yang melibatkan kuasa suaminya sebagai Perdana Menteri adalah antara karenah Rosmah yang tidak disenangi dan menjadi percakapan rakyat pelbagai peringkat.

Rakyat hampir tidak dapat menerima watak yang dipamerkan Rosmah yang bukan saja berbeza dengan isteri-isteri Perdana Menteri sebelum ini tetapi juga sebenarnya amat bertentangan dengan watak mana-mana isteri pemimpin yang ingin disanjung rakyat.

Berbeza dengan Mahathir yang suara dan kenyataannya yang boleh menyusahkan Najib dan BN, Rosmah pula cukup sekadar penampilannya saja sudah memadai untuk mendatangkan malapetaka buat Najib, UMNO dan BN. Selagi ada Mahathir dan Rosmah dalam pentadbiran Najib, tidak mungkin rakyat mahu memberikan sokongan yang gemilang kepada BN.

Najib pun barangkali menyedari kewujudan kedua-dua watak itu yang menjadi beban kepadanya, sebab itu beliau tidak henti-henti turun padang menagih sokongan rakyat kerana menyedari sokongan yang ada masih belum mampu memastikannya kekal lagi sebagai Perdana Menteri.

Jika Mahathir berdiam diri dan Rosmah pula tidak kerap muncul, ia mungkin lebih baik bagi Najib dan BN. Tetapi dengan piliharaya makin hampir dan majoriti rakyat pula sudah membuat keputusan, tidak banyak lagi yang mampu dilakukan oleh Najib untuk mempertahankan kerajaan yang ada sekarang. (SH 04/02/2013)



2 comments:

  1. Sdr,
    Satu analisis yang tepat dan objektif.Soalnya beranikah PM Najib menolak Tun M & Rosmah? Sudah tentunya tidak. Jadi bagaimana BN akan mendapat 2/3 majoriti sptmana yang diwarwarkan oleh Ahmad Mazlan? Ramai percaya operasi Sabah % Terengganu sedang giat dijalankan.

    ReplyDelete
  2. Apapun Tuan, INI KALILAH, ABU!

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...