Sunday 19 July 2015

Rahman Dahlan "Si Hujung Tombak"...


Dalam risik-risik di kalangan pimpinan UMNO dan kerajaan, ramai yang yang masih tidak jelas bilakah Abdul Rahman Dahlan yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, mula dilantik sebagai Pengarah Komunikasi Strategik BN dan apakah fungsi sebenar jawatan tersebut?

Apakah ia bermakna selepas ini semua perkara mengenai BN, hanya beliau saja yang lebih layak bercakap kepada pihak media?

Ramai yang mengatakan mereka hanya mengetahui perlantikan dan kewujudan jawatan tersebut apabila Abdul Rahman sendiri menyebut beliau memegang jawatan itu dalam kenyataan akhbarnya mengenai Sarawak Report, baru-baru ini.

Susulannya, kebelakangan ini Abdul Rahman turut lebih banyak bercakap mengenai 1MDB dan mempertahankan Perdana Menteri, Najib Razak daripada pelbagai serangan mengenai syarikat pelaburan kerajaan yang bermasalah dan sarat dengan hutang itu.

Sehari dua ini, beliaulah yang kelihatan lebih ke depan bercakap mengenai 1MDB, terutama dalam isu berkaitan Sarawak Report dan kes Xavier Justo, bekas Pengarah Petro Saudi International yang didakwa bertemu dengan beberapa tokoh politik Malaysia dan taikun media di Singapura untuk menjual maklumat yang ada dalam tangannya.

Apakah peranan Abdul Rahman dengan jawatan barunya ini sekadar untuk mempertahankan Najib dan kerajaan atau beliau sebetulnya ada peranan yang lebih luas daripada itu?

Dalam kerajaan, beliau hanyalah menteri junior yang baru dilantik menganggotai kabinet selepas pilihanraya 2013 lalu. Sebelum ini, beliau pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Musa Aman dan Penolong Setiausaha Pemuda UMNO ketika pergerakan itu dipimpin oleh sepupu Najib, Hishammuddin Hussein.

Abdul Rahman diketahui tidak sealiran dengan Naib Presiden UMNO, Shafie Apdal yang sejak kebelakangan ini agak kritikal dan berbeza pendapat dengan Najib berkaitan 1MDB. Dalam masa yang sama diketahui umum juga, Shafie tidak sealiran dengan Musa Aman yang pernah menjadi "boss" Abdul Rahman suatu ketika dahulu.

Apabila Shafie menyatakan anggota kabinet tidak jelas mengenai banyak perkara tentang 1MDB kerana tidak pernah dimaklumkan mengenainya, Abdul Rahman lantas menyanggahnya dengan menunjukkan buku laporan "1MDB Fact Sheet" yang diedarkan kepada setiap anggota kabinet.

Beliau juga cuba "memalukan"  Shafie bahawa anggota kabinet akan lebih memahami tentang 1MDB jika membaca buku tersebut, selain mengatakan Menteri Kewangan Kedua, Husni Hanadzlah turut kerap memberi taklimat mengenainya.

Dengan berjawatan menteri dan dilantik pula sebagai Pengarah Komunikasi Strategik BN, tidak dinafikan bahawa Abdul Rahman ada peranannya yang tersendiri. Oleh kerana Shafie Apdal adalah penyokong lama Najib yang sudah beralih angin ketika ini, Abdul Rahman adalah "hujung tombak" baru untuk mengikis pengaruh dan seterusnya "membunuh" Naib Presiden UMNO itu daripada terus berada dalam hireaki parti.

Pengaruh Shafie juga mungkin dikurangkan melalui peranan langsung daripada Najib sendiri dengan menukarkannya ke kementerian lain yang kurang penting dalam rombakan kabinet yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Walaupun masih terlalu awal dan belum layak sebenarnya untuk Abdul Rahman masuk gelanggang pertandingan Naib Presiden UMNO dan sejauh mana beliau mampu memainkan peranan itu juga boleh diragui, tetapi tindakan Najib memberikannya lebih peranan dan tanggungjawab, tentu saja boleh menyusahkan Shafie untuk mengekalkan jawatannya dalam pemilihan  UMNO akan datang.

Melalui peranan yang sedang dimainkan oleh Abdul Rahman sebagai "hujung tombak"  itu, "hulu tombaknya" bukan saja dipegang oleh Najib, tetapi juga dikongsi bersama oleh Hishammuddin dan Musa Aman.

Selain bertujuan mempertahankan Najib, yang jauh lebih penting melalui peranan menyingkirkan Shafie itu ialah memberi laluan lebih mudah kepada Hishammudin dalam pemilihan UMNO akan datang serta membolehkan Musa Aman untuk terus berkuasa di Sabah bagi tempoh beberapa lama lagi. (SH 19/07/2015)

9 comments:

  1. Melopong mulut Keruak bila mendengar berita perlantikan Rahman Dahalan sebagai pengarah strategik dan komunikasi BN.

    ReplyDelete
    Replies
    1. This comment has been removed by a blog administrator.

      Delete
  2. Setakat diketahui rahman dilantik sebagai jetua penerangan umno menggantikan ahmad maslan.
    Secara positifnya dia lebih setengan inci bijak dari ahmad maslan.
    Jika dilantik pengarah strategi dan komunikasi BN secara langsung boleh menggantikan muhyiddin sebagai pengarah pilihanraya.
    Dengan bantuan zahid dan hishamuddin..untuk duduk sebagai naib presiden bukan sesuatu yang sukar sekaligus menenggelamkan Kj dan Mukhriz...yang dilihat kurang stabil menyokong Najib.

    ReplyDelete
  3. Kita tahu semasa dlm pergerakan pemuda,beliau org kepercayaan dato hishamuddin dan d lantik sebagai setiausaha pergerakan..beliau jg turut terlibat dlm menonjolkan Khairy sebagai naib ketua..ketika pemilihan sengit ketua pemuda pd 2009 antara Khairy vs Mukhriz,beliau d pihak Khairy..

    ReplyDelete
  4. Akhirnya lembing Awang pulang ke Dayang

    ReplyDelete
  5. Akhirnya SARAWAK REPORT kena block. Kerajaan najib semakin takut dgn kebenaran tentang mana pergi duit rakyat & sikap pm yg xde prinsip good governance secara telus. Rakyat diperbodohkan..

    ReplyDelete
  6. Akhirnya SARAWAK REPORT kena block. Kerajaan najib semakin takut dgn kebenaran tentang mana pergi duit rakyat & sikap pm yg xde prinsip good governance secara telus. Rakyat diperbodohkan..

    ReplyDelete
  7. Jawatan Abdul Rahman Dahlan Sepatutnys di Panggil "Disinformation Minister" yaitu perpengkalan di "Disinformation Ministry". Watak ini mungkin berpunca dari Nasihat dari Penasihat penasihat "Mat Salleh" di OPM. Ministry yang sebegini bermula di masa Perang Dunia kedua yaitu untuk melemahkan musuh dengan rekaan rekaan berita berita supaya musuh dilihat lemah dan akan kalah. Tetapi rekaan mesti memberi kepercayaan rakyat sebab jika tidak, ianya akan membawa kesan negatif.

    ReplyDelete
  8. Jadilah dia salah seorg dr punahsihat

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...