Sunday, 2 March 2014
Politik Air Di Selangor, Siapa Bakal Kuyup?
Sejak Menteri Besar Selangor menandatangani memorandum persefahaman atau MOU secara tergesa-gesa dengan kerajaan Pusat yang menyaksikan pertelingkahan yang berlarutan sejak lebih lima tahun lalu menemui titik penyelesaiannya, gelora politik di negeri paling kaya dan menjadi rebutan antara BN dan PR seolah-olah memasuki gerbang baru yang makin sukar diramalkan.
Ia bukan saja kerana MOU itu ditandatangani secara terburu-buru dan diluar pengetahuan pimpinan PR terutamanya Anwar Ibrahim yang merupakan Penasihat Ekonomi negeri itu, malahan ia kemudian disusuli dengan tindakan Khalid Ibrahim mengumumkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR menentang penyandangnya sedia ada, Azmin Ali.
Dengan pengumuman bertanding itu bukan saja mengesahkan krisis antara Khalid dengan Azmin selama ini tetapi persoalan juga timbul juga ialah apakah Khalid bersedia berundur daripada jawatannya untuk diserahkan kepada Anwar Ibrahim sebagaimana yang diuar-uarkan sebelum ini?
Bagaimana jika Khalid selepas ini berkeras mahu kekal sebagai Menteri Besar dan tidak lagi mempedulikan Anwar? Bagaimana dengan masa depan Anwar dan PR jika akhirnya Anwar gagal menjadi Menteri Besar, sedangkan ura-ura itu merupakan langkah yang paling ditakuti oleh BN dalam menghadapi PRU 14?
Dari segi Khalid pula, dengan mengumumkan bertanding jawatan nombor dua itu, ia secara langsung menggambarkan beliau mahu terus kekal sebagai Menteri Besar. Ini kerana jika beliau sudah mahu menyerahkan jawatannya kepada Anwar, buat apa lagi mahu bertanding Timbalan Presiden?
Bagaimanapun di pihak BN, ketakutan terhadap KajangMove yang klimaksnya bertujuan menjadikan Anwar sebagai Menteri Besar yang dilihat langkah paling praktikal mengekalkan negeri itu di tangan PR dan mencerahkan lagi harapan menawan Putrajaya, tetap tidak berubah. Rata-rata pemimpin BN, melalui komen yang diluahkan lebih memperlihatkan kebimbangan mengenai peluang BN mempertahankan kuasanya dengan gerakan terbaru PR ini.
Dalam hal ini, sementara pimpinan PR berusaha sedaya mungkin untuk mencapai kemenangan dengan majoriti yang lebih besar berbanding keputusan PRU 13 lalu, pimpinan BN pula tidak henti-henti menakutkan rakyat Selangor mengenainya.
Terbaru, Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor yang pernah bergayut dibawah dagu Anwar ketika beliau menjadi Menteri Kewangan, menasihatkan agar Selangor diselamatkan daripada Ketua Pembangkang itu selepas usahanya untuk menawan Putrajaya sebelum ini menemui kegagalan.
Tanpa menyebut apa sebenarnya yang perlu diselamatkan jika Anwar berjaya menjadi Menteri Besar, yang tersirat daripada kenyataan itu ialah BN akan menjadi semakin tidak selamat kerananya.
Sebelum ini bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad juga berkata, dengan menjadi Menteri Besar Selangor, ia akan menjadi tangga untuk Anwar melangkah ke Putrajaya. Beberapa serangannya terhadap Anwar selepas itu jelas memperlihatkan kebimbangannya, lebih-lebih lagi melihatkan watak Najib yang semakin lemah, tidak bermaya dan semakin dijauhi rakyat.
Secara umumnya, langkah Anwar bertanding di Kajang dan menjadi Menteri Besar selepas itu adalah langkah untuk maju ke hadapan mencapai cita-cita menguasai Putrajaya bersama janji-janji untuk memberi erti kehidupan yang lebih bermakna kepada rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Namun, isu air di Selangor nampaknya telah menggugat sedikit kelancaran menuju matlamat yang mahu dituju itu. Bermula dengan MOU, pengumuman bertanding jawatan Timbalan Presiden, ketidakpastian jawatan Menteri Besar Selangor dan perpecahan dalam PKR yang mulai kelihatan sekarang, semuanya menimbulkan lebih banyak tanda-tanya berbanding kepastian.
Khalid yang sekarang juga juga bukan lagi seperti Khalid yang dulu.
Dalam masa yang sama, UMNO dan BN pula mulai membuat pujian melambung terhadap kepimpinan Khalid. Jika selama ini beliau dikutuk dan dihina dengan pelbagai label, kini Khalid adalah "primadona" bagi UMNO dan BN. Bukan saja beliau dipuji kerana kesediaannya menandatangani MOU air yang dilihat mengutamakan kepentingan rakyat negeri itu, malah ramai yang mahukan beliau terus kekal sebagai Menteri Besar.
Jika Khalid terpedaya dan puji-pujian itu juga menyebabkan beliau perlu memakai songkok yang lebih besar, tidak mustahil beliau akan berkeras untuk kekal sebagai Menteri Besar dan enggan menyerah kalah kepada kemahuan Anwar. Walaupun akhirnya jawatan itu perlu diputuskan oleh Majlis Pimpinan PR tetapi sekiranya Khalid tetap berkeras, ia akan menyebabkan berlakunya krisis kepimpinan di Selangor.
Krisis ini bukan saja boleh menyebabkan negeri Selangor jatuh ke tangan BN akhirnya tetapi juga meleburkan sama-sekali harapan untuk menawan Putrajaya. Jika ingin menuju ke Putrajaya, Selangor adalah penggeraknya. Gagalnya Anwar menjadi Menteri Besar melalui apa yang dinamakan KajangMove ini, bukan saja gerbang Selangor akan roboh, malah tiada harapan lagi menguasai Putrajaya.
Tetapi jika KajangMove ini berjaya sepertimana yang dirancangkan, bukan saja hayat politik Najib bakal disingkatkan lebih awal tetapi juga akan menyebabkan BN semakin lemah menuju PRU 14 nanti.
Segala-galanya kini tergantung kepada penyelesaian yang bermula dengan isu air di Selangor. Sama ada BN atau PR, Najib atau Anwar, Khalid atau Azmin - salah satunya akan basah dan mungkin kuyup kerana isu air ini. (SH 02/03/2014)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
As salam admin ..
ReplyDeleteapa yang menarik hari ini:
Apabila Kassim Ahmad masuk hospital ~ pen buruk online ™
TOP 30 ranking alexa blog PR vs Blog BN : 1 MAC 2014 ~ pen buruk online ™
semoga bermanfaat
Kalau diungkit siapa yang akan kuyup dalam isu air Selangor, sudah pasti orang itu adalah mereka yang hebat melobi dengan memperjudikan sejumlah wang yang besar tapi gagal menguasai projek itu secara menyeluruh seperti yang dirancangkan dizaman Khir Toyo dulu.
ReplyDeleteKita percaya bahawa Najib tidak ada kepentingan dalam Loji Langat 2 kerana itu kita lihat MoU yang ditandatangani oleh Menteri Besar bersama wakil kerajaan pusat secara terburu-buru itu saja. Tindakan itu juga dipercayai telah menyekat kebebasan pelobi untuk mendesak pihak tertentu mengikut telunjuk mereka.
Walaupun MoU itu berjaya dilakukan tapi Khalid belum boleh diangkat sebagai berjaya selagi semua perjanjian diketahui oleh pemimpin Pakatan Rakyat dan rakyat Selangor kerana berurusan dengan kerajaan pusat bukan pekara mudah.
Rakyat Malaysia amat faham bahawa kerajaan BN akan mati tanpa rasuah. Untuk merealisasikan rasuah itu akan ada saja masaalah yang mereka timbulkan sebagai gangguan dan menyekat urusan perjanjian tersebut.
Untuk mendapat kejayaan padu, semua warga Selangor perlu kekal menyokong Pakatan Rakyat.....