Wednesday 23 October 2013

Undi Saudara-Mara Ustaz Azizan Jadi Rebutan Di Sungai Limau


Pilihanraya kecil DUN Sungai Limau pada 4 November depan sah bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara UMNO dengan Pas. UMNO kali ini mempertaruhkan bekas pensyarah kanan UPSI, Ahmad Suhaimi Lazim manakala Pas pula meletakkan Mohd Azam Samat, Ketua Pemuda Pas Jerai yang juga pengikut setia Allahyarham Uztaz Azizan.

Dari segi mata kasar, peluang UMNO dan BN untuk memenangi pilihanraya kecil ini nampak sukar kerana ia bukan saja dianggap sebagai kubu kuat Pas sejak 1995 lagi tetapi juga kerana kemenangan Ustaz Azizan dalam pilihanraya 5 Mei lalu diraih dengan majoriti yang agak besar iaitu 2774 undi.

Dengan itu, tidaklah mudah sebenarnya untuk UMNO dan BN untuk cuba merampas kawasan itu daripada Pas, tambahan pula Pas juga tentunya akan berjuang habis-habisan untuk mempertahankan kawasan itu. Setelah kerajaan negerinya terlepas dalam pilihanraya lalu, Pas pastinya tidak rela berputih mata untuk kali keduanya lagi.

Sementara bagi UMNO, pilihanraya kecil ini merupakan ujian kepada Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir untuk membuktikan kepimpinannya benar-benar diterima rakyat, apatah lagi setelah beliau ditolak untuk menduduki kerusi Naib Presiden pada pemilihan 19 Oktober lalu, pilihanraya ini juga sebenarnya merupakan ujian kepada kepimpinan Mahfuz Omar yang baru dilantik sebagai Pesuruhjaya Pas Kedah menggantikan Ustaz Azizan.

Jika UMNO menang pilihanraya ini, imej Mukhriz yang tewas tipis kepada Hishammuddin dalam perebutan Naib Presiden mungkin dapat dipulihkan dan beliau dapat membuktikan dirinya benar-benar pemimpin yang diterima rakyat, walaupun ditolak oleh perwakilan UMNO dan tidak diterima sebagai pilihan Najib dalam pemilihan lalu.

Kemenangan BN di Sungai Limau, bukan saja mampu memberi harapan bahawa beliau mampu untuk terus mengekalkan kuasa BN di negeri itu, malah turut juga membawa sinar bahawa masa depannya dalam UMNO tidak semudah "makan kacang" untuk digelapkan oleh sesiapa juga dalam pemilihan akan datang.

Bak nyanyian yang dilagukan oleh Ketua Wanita UMNO, Shahrizat Jalil bahawa walaupun kalah kali ini, kemenangan pasti akan datang kepada Mukhriz suatu hari nanti, meskipun hakikatnya antara punca kekalahan Mukhriz ialah kerana kurangnya sokongan daripada Wanita UMNO berikutan Wanita UMNO lebih "jatuh cinta dan tertarik hati" kepada Hishammuddin sehingga sanggup mengadakan pertemuan tertutup antara pergerakan yang dipimpinnya dengan Menteri Pertahanan itu di saat-saat akhir sebelum pemilihan dan kemudian menyatakan ikrar untuk mengekalkan status quo Naib Presiden yang ada.

Bagi Pas pula, kemampuan mengekalkan penguasaan di Sungai Limau bukan saja membuktikan kubu kuat mereka tidak mudah ditembusi tetapi turut juga memberi sedikit harapan kepada Mahfuz untuk merampas kembali negeri itu daripada BN dalam pilihanraya akan datang.

Untuk itu, Sungai Limau sebenarnya sama-sama penting kepada UMNO dan Pas, juga kepada Mukhriz dan Mahfuz dan masing-masing akan berusaha untuk memenanginya.

Tetapi bagi seorang bekas menteri dari Kedah ketika era pemerintahan Mahathir Mohamad, pilihanraya kecil Sungai Limau ini adalah ujian berat kepada UMNO dan BN. Ini kerana, menurutnya, sejak 1995 lagi kawasan itu adalah sinonim dengan Pas dan Uztaz Azizan.

Katanya, ramai pengundi di kawasan itu adalah terdiri daripada saudara-mara dan kaum kerabat Ustaz Azizan yang mana ketika Allahyarham menjadi ADUNnya, UMNO tidak pernah berjaya menembusinya berikutan hubungan rapat Ustaz Azizan dengan semua saudara-mara dan kaum keluarganya itu.

Oleh sebab yang demikian, bagi bekas menteri yang pernah berpengaruh itu, selagi undi saudara-mara dan kaum kerabat Ustaz Azizan masih memihak kepada Pas, harapan UMNO untuk merampas kawasan itu tetap sukar. Lantaran menyedari pengaruh undi keluarganya yang agak besar itulah menyebabkan dalam pilihanraya umum lalu, UMNO turut mempertaruhkan sepupu Ustaz Azizan sendiri sebagai calonnya.

Namun oleh kerana ketika itu Ustaz Azisan masih hidup dan berkedudukan sebagai MB Kedah pula, cubaan itu tidak berjaya dan Pas berjaya memenangi kawasan itu dengan kelebihan 2774 undi.

Soalnya, mampukah UMNO kali ini melalui calonnya, Ahmad Suhaimi merebut undi daripada kaum keluarga dan saudara-mara Ustaz Azizan itu berbanding Mohd Azam Samat yang juga merupakan pengikut setia Ustaz Azizan?

Terlihat daripada kesungguhan semua pemimpin UMNO menunjuk sikap baik bermula ketika Ustaz Azizan terlantar di hospital, di hari pengkebumian dan mengadakan pelbagai majlis tahlil mendoakan kesejahteraan rohnya, UMNO nampaknya sangat menyedari hakikat itu.

Bahkan, sehingga sekarang juga, dalam pelbagai ucapan, kenyataan dan tulisan yang dibuat oleh beberapa pemimpin UMNO mengenai kepimpinan Ustaz Azizan, semuanya melahirkan pujian dan sanjungan dan hampir tidak kedengaran perkara-perkara yang tidak baik mengenai kepimpinannya yang diperkatakan.

Walaupun kebaikan mengenai Ustaz Azizan itu adalah sesuatu yang benar, malah sikap Ustaz Azizan yang tidak memilih bulu dalam berkawan dan keterbukaannya kepada sesiapa saja dalam menjalankan pentadbiran negeri sering menjadi bualan di kalangan pemimpin UMNO sendiri, kadangkala pujian itu seperti berlebih-lebihan dan ada maksud yang tersembunyi.

Ini nyata berbeza dengan beberapa pemimpin Pas yang meninggal dunia sebelum ini, di samping kebaikan yang diperkatakan, beberapa kesilapan dan kelemahan kepimpinan mereka juga turut didedahkan.

Hanys masa yang akan menentukan sama ada pujian dan sanjungan kepada Ustaz Azizan itu akan berkekalan atau ia akan turut berakhir apabila berakhirnya juga pilihanraya kecil Sungai Limau ini.

Walau apa pun keadaan dan cabarannya, pilihanraya kecil DUN Sungai Limau ini tetap merupakan laluan yang sukar bagi UMNO dan Mukhriz Mahathir. Bagi Mukhriz juga, ini adalah cabaran kedua kepada kepimpinannya selepas pilihanraya umum lalu di mana dalam cabaran pertama pada pemilihan UMNO 19 Oktober lalu, nasib nyata tidak memihak kepadanya.

Apakah kali ini nasib juga tidak menyebelahinya? Sama-sama kita tunggu pengundi Sungai Limau memberikan jawapannya pada 4 November nanti.(SH 23/10/2013)

1 comment:

  1. UMNO Baru ada senjata ampoh, tiada siapa yang mampu melawan dengan senjata yang ejen UMNO Baru selalu gunakan...... beri BR1M RM200 setiap pengundi, beri kain batek, kain pelikat, beras, kopi, dan segelen petrol jenis PETRON..... pasti menang.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...