Thursday, 24 October 2013

Kemenangan Khairul Azwan Sebagai Naib Ketua Pemuda Hanyalah "Menang Betina"


Sebagaimana yang diduga, Ketua Pemuda Perak, Khairul Azwan Harun akhirnya diumumkan memenangi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia menewaskan Jamawi Jaafar setelah dua bahagian yang mengadakan pemilihan semulanya hari ini iaitu Gelang Patah dan Sabak Bernam memberikan undinya kepada pegawai khas Menteri Besar Perak itu.

Dengan kedudukan undi sekarang Khairul Azwan mendapat 75 berbanding Jamawi kekal 73 undi, setelah kedudukan seri 73-73 berlarutan lebih seminggu, pemilihan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bachok pada Jumaat ini sudah tidak mempunyai apa-apa makna lagi.

Bahkan tidak mustahil, undi daripada Pemuda Bachok juga tertumpah kepada Khairul Azwan yang baru kalah ssbagai Timbalan Ketua Bahagian Pasir Salak kerana tiada gunanya mereka mengambil risiko cuba-cuba menunjuk berani dengan memberikan undi kepada Jamawi.

Dengan kemenangan Khairul Azwan yang lebih popular dengan panggilan Azwanbro, bermakna Khairy Jamaluddin telah berjaya memastikan calon pujaan kalbunya itu menjadi orang nombor duanya dalam Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Ini sekaligus menjadikan beliau menyamai kedudukan Najib yang turut berjaya memastikan calon pilihannya iaitu Zahid, Shafie dan Hishammuddin memenangi jawatan Naib Presiden UMNO baru-baru ini.

Sebelum ini apabila jumlah undi yang diperolehi Azwanbro dengan Jamawi seri 73-73, Jawatankuasa Pemilihan telah membuat keputusan bahawa penentuan pemenangnya akan ditentukan melalui pengiraan undi popular. Bagaimanapun KJ menyatakan ketidaksetujuannya dengan kaedah itu, sebaliknya mahukan undi daripada Pemuda Gelang Patah yang belum mengadakan pemilihan ketika itu dijadikan penentuan.

Entah bagaimana kemudian secara tiba-tiba Jawatankuaasa Pemilihan bersetuju dengan cadangan KJ itu, bahkan selain Gelang Patah yang belum mengadakan pemilihan, dua bahagian lain iaitu Sabak Bernam dan Bachok juga turut dikehendaki mengadakan pemilihan semula, lalu menjadikan tiga bahagian yang menjadi penentu siapa pemenang Naib Ketua Pemuda yang sebenarnya.

Tindakan KJ yang menolak cadangan undi popular dan mahukan undi Gelang Patah dijadikan penentuan tidak diragui lagi adalah isyarat yang jelas bahawa beliau mahukan Khairul Azwan memenangi jawatan itu berbanding Jamawi, meskipun sebelum itu menyatakan bersikap terbuka dan sedia menerima sesiapa saja sebagai naibnya.

Dengan KJ yang sudah sah memenangi jawatan Ketua Pemuda dan mendapat 189 undi, sikapnya yang menolak undi popular yang sudah diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan, tentulah dilihat sebagai kecondongan sokongannya kepada Khairul Azwan. Lantaran itu, pemilihan yang diadakan kemudian selepas beliau sudah sah menang Ketua Pemuda, tentulah tidak lagi bebas dan adil.

Blog ini sudah dua kali menulis mengenai penolakan KJ terhadap kaedah undi popular adalah petanda beliau cuba campurtangan dan lebih mahukan Khairul Azwan memenangi jawatan itu berbanding Jamawi. Sikap KJ itu seperti tidak adil dan merosakkan kewibawaan Pemuda UMNO itu sendiri.

Dan hari ini tebukti, undi Pemuda Gelang Patah dan Sabak Bernam akhirnya mengecewakan Jamawi kerana kedua-dua Pemuda bahagian itu sudah memahami siapa calon yang dikehendaki oleh KJ dan mereka tidak mahu mengambil risiko melawan arus. Mereka akhirnya memberikan undi kepada Azwanbro yang sudah pun tersenyum lebar sebelum ini ketika Jawatankuasa Pemilihan membuat u-turn menolak kaedah popular yang sudah pun diumumkannya sebelum itu.

Dalam kaedah pemilihan berasaskan electoral college, keadilan dan ketelusan sebenarnya hanya terpancar jika pengundian dijalankan secara serentak di semua bahagian. Sekiranya seri, undi popular seharusnya dijadikan penentuan. Pengundian dari bahagian yang terkemudian tidak boleh lagi diambil kira kerana ia dianggap sudah tersemar dan boleh dipengaruhi.

Tambah tidak adil bilamana KJ yang sudah menang besar cuba campurtangan kerja Jawatankuasa pemilihan dan menunjukkan kecondongannya kepada calon tertentu dan ini tentunya mempengaruhi bahagian yang belum mengadakan pemilihan itu.

Jamawi sendiri walaupun akur dengan kekalahannya, tetapi nada kesedihannya jelas tergambar apabila meluahkan perasaannya di laman Facebook dengan menulis, "Saya akur dan menerima kekalahan ini kerana saya umpama Matador yang dipaksa berdepan dengan 10 ekor lembu ganas."

Selain itu, menurutnya, beliau juga bersendirian kerana semua Exco Pemuda UMNO tidak memihak kepadanya, selain turut meluahkan kekecewaannya bahawa kenyataan KJ yang tidak mahukan kaedah undi popular adalah gambaran jelas bahawa Menteri Belia dan Sukan itu memang mahukan Khairul Azwan berganding dirinya.

Bagaimanapun, kekalahan Jamawi sebenarnya tidaklah memalukan dan kemenangan Azwanbro pula tidaklah membanggakan. Jamawi kalah secara jantan tetapi Khairul sebenarnya menang secara betina. Kemenangannya tidak menjadikan dirinya dihormati dan tidak juga menjadikan Pemuda UMNO bertambah wibawa serta auranya.

Barangkali lebih ramai yang memandang sinis kepada Azwanbro selepas ini kerana kemenangannya bukan diperolehi melalui undi yang benar-benar bebas. Jika Azwanbro turun berkempen ke Sungai Limau sekarang, barangkali juga tiada impak yang boleh disumbangkannya dalam memastikan kemenangan calon BN di sana. Ini kerana kemenangannya tidak dihormati ssbagaimana selayaknya.

Sekarang ini KJ mungkin gembira kerana calon pilihannya telah menang sebagai orang nombor dua dalam Pergerakan Pemuda UMNO dan Azwanbro tentulah terlebih lagi gembiranya kerana jawatan idamannya sudah berada dalam dakapannya tetapi adakah hanya sekecil itu matlamat perjuangan mereka?

Tepuk dada dan tanyalah iman, sampai ke manakah kemenangan secara betina itu boleh memberi manfaat? (SH 24/10/2013)

3 comments:

  1. tunggulah bila tiba masanya yg 'naib' nak 'naik' lebih tinggi pulak...

    ReplyDelete
  2. bila kepala parti pun tak lurus maka ekor parti lagi lah mengular-bala...makin lama, makin tak bermaruah pemimpin umno asalkan menang pemilihan dapat kuasa, manakala ahli umno di akar serabut cukup murah harga prinsip mereka juga sama serabut, kalau hulur je sampul mesti mereka sambut, beginilah disiplin di umbi, Dato Ali Rustam telah dapat penghargaan drp 5 bhgian di negeri melaka yg pernah beliau jadi KM selama 13 tahun, dgn nada sedih kata Ali "Susu ku beri tapi dibalas tuba" Inilah hakikat dan didikan umno pd ahlinya... Yang buruk kembali kepada yang buruk...Allah itu hebat

    ReplyDelete
  3. Jawatankuasa pemilihan pun dah rope pondan tu yg jadi pemenangnya pun betina sebabnya jawatankuasa pemilih tak ada kuasa kalau ada kuasa merekalah yg menentukan cara penentuan keputusan akhir yg di buat.lepas ni cadangkan saja jawatankuasa tu di bubarkan terus dan semua pemilihan di kendalikan oleh pemuda sendiri dan ketua pemuda boleh tentukan kesukaannya dlm menentukan apa saja mengikut kenafsuanbnya.
    Lepas ni boleh lah bolehlah Azwanbro memilih untuk berpindah keahlian ke gelang patah atau sabak bernam sebabnya bhg pasir salak telah menolak beliau dari saf kepimpinan,rasanya tak ada masalah kot.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...