Wednesday, 18 April 2012

Peribahasa Dulu: Menang Sorak Kampung Tergadai, Peribahasa Kini: Menang Piihanraya Negara Tergadai

Isu kebanjiran warganegara asing sebagai pengundi kini menjadi antara perkara penting menjelang PRU 13. Pendedahan demi pendedahan yang dilakukan melalui media membuktikan perkara itu memang wujud meskipun SPR seperti cuba berdolak-dalik dan tidak mahu bertindak sewajarnya.

Di beberapa negeri seperti Selangor dan Pahang, ramai pendatang asing yang diberikan kad pengenalan dan dijadikan pengundi. Mereka juga dikatakan diberikan tanah untuk mengusahakan pertanian serta disediakan rumah kediaman. Di Pahang, ada rakan yang memberitahu wujud perkampungan khas yang didiami oleh pendatang asing dari Thailand dan Kemboja yang mengusahakan tanaman nanas dan sayur-sayuran.

Pelbagai kemudahan asas disediakan di perkampungan itu. Mereka adalah warganegara asing yang diberikan kerakyatan dan dijadikan pengundi. Sebagai imbalan kepada pelbagai kemudahan dan kerakyatan yang diterima, tugas mereka ialah memberikan undi kepada UMNO dan BN.

Di Selangor pula, ada rakan yang memberitahu beberapa kenalannya dari Indonesia turut diberikan kerakyatan dan dijadikan pengundi. Mereka bebas bekerja, meniaga dan mencari rezeki. Tugas yang diberikan kepada mereka juga adalah sama, iaitu mengundi UMNO dan BN bila tiba pilihanraya.

Adalah dipercayai warga asing yang diberikan kerakyatan dan menjadi pengundi ini sentiasa dipantau dan dijaga oleh pihak tertentu untuk memastikan undi mereka tidak lari.

Selain rakyat Indonesia, Thailand dan Kemboja yang diberikan kerakyatan dan dijadikan pengundi, terdapat juga laporan yang mengatakan rakyat Myanmar dan Bangladesh turut diberikan keistimewaan yang sama.

Dalam hal ini, SPR sendiri mengakui kewujudan kira-kira seramai 42,051 pengundi yang diragui dalam daftar pemilih terbaru. Sebahagiannya adalah mereka yang dikatakan memiliki kad pengenalan dan didaftarkan sebagai pengundi tetapi tidak didaftarkan dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Mungkin sebahagian warga asing yang diberi hak mengundi itu termasuk dalam jumlah 42,051 ini dan jika tidak termasuk, bermakna jumlah warga asing yang boleh mengundi tentulah lebih ramai jumlahnya.

Namun jawapan SPR yang bertegas tidak mahu menyelesaikan kedudukan pengundi yang meragukan itu dan hujah bahawa jumlah 42,051 itu hanya mewakili 0.3 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan pengundi dan dianggap peratusan yang kecil menggambarkan ketidakseriusan untuk bertindak sewajarnya. Memanglah dari segi peratusan ianya kecil tetapi jumlah lebih 42 ribu pengundi itu mungkin boleh menumbangkan sesebuah kerajaan negeri dan mengubah keputusan di banyak kawasan Parlimen atau DUN.

Jika isu warga asing menjadi pengundi ini dikaitkan dengan pendedahan Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar tentang wujudnya sebuah Task Force untuk mendaftarkan warga asing sebagai pengundi dan seterusnya berperanan memenangkan BN dalam PRU 13 ini, ia tentulah lebih membimbangkan kita.

Task Force yang didedahkan itu dikatakan diketuai oleh Datuk Osman Razak, penasihat khas Najib serta dianggotai oleh Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Thajuddeen Abd Wahab, Datuk Jariah, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara serta tiga staff JPN iaitu Nik Norashikin Nik Mansur, Rashid Basiron dan Shahrul Anwar Ahmad Zuhdi.

Sehingga ini tidak ada penafian daripada mana-mana pihak tentang kewujudan Task Force ini sejak ia didedahkan oleh Mahfuz. Najib sendiri masih berdiam diri. Jika ianya tidak benar dan fitnah yang dibuat Mahfuz, kenapa tiada penafian dibuat?

Selain isu warga asing menjadi pengundi, soal pengundi hantu turut mebimbangkan kita. Kita tidak tahu hantu mana yang dijadikan pengundi ini tetapi mereka ini akan muncul dengan berpuluh malah mungkin beratus buah bas di hari pengundi nanti. Mungkin juga sebahagian pengundi hantu ini adalah warga asing yang diberikan kerakyatan itu.

Selain di Selangor yang dikesan mempunyai pertambahan mendadak jumlah pengundi, sesuai dengan mimpi dan igauan Najib yang bercita-cita mahu menawan kembali negeri itu ke pangkuan BN, pertambahan undi mendadak sebanyak 18 ribu orang juga berlaku di Pekan, kawasan Parlimen yang diwakili oleh Najib sendiri.

Tidakkah kita hairan bagaimana sebuah kawasan Parlimen menerima pertambahan jumlah undi sebanyak 18 ribu dalam tempoh yang begitu singkat dan tentulah ianya agak mustahil kalau terdiri daripada penduduk asal Pekan semata-mata.

Sebenarnya bukanlah rahsia umum lagi bahawa sejak Najib hanya menang tipis sebanyak 241 undi pada pilihanraya 1999, begitu ramai warga asing dari Thailand dan Kemboja telah diberikan kerakyatan dan dijadikan pengundi di Pekan. Hasilnya daripada hanya menang 241 undi pada 1999, Najib tekah menang bergaya dengan majoriti berbelas ribu undi pada pilihanraya 2004.

Dikhabarkan sebahagian besar sumber kemenangan itu ialah kerana adanya undi daripada warga asing itu.

Menjelang PRU 13 ini dan melihat hasil yang telah berjaya dilakukan di Pekan itu, ramai yang mengandaikan bahawa Najib kini ingin mengulangi taktik yang sama, kali ini bukan saja di Pekan tetapi juga di seluruh negara, bagi mengekalkan kuasanya sebagai Perdana Menteri.

Dengan kuasa yang dimilik oleh BN, perkara ini memang tidak mustahil boleh dilakukan. Tetapi ia tentunya meletakkan kedaulatan negara dalam bahaya. Dengan meletakkan pergantungan untuk memenangi pilihanraya kepada warga asing, ia akan menyebabkan kedudukan warganegara sendiri akan tersisih. Kerajaan mungkin secara perlahan-lahan tidak mempedulikan rakyatnya sendiri, terutama di kawasan-kawasan hitam yang dikenalpasti sebagai hardcore pembangkang.

Lagi kuat cabaran yang diterima BN, lagi banyak warga asing akan diberikan kerakyatan dan dijadikan pengundi. Akhirnya bukan sahaja semakin ramai penduduk asal yang dianaktirikan bahkan juga secara perlahan-lahan akan mengancam kedaulatan negara. Kemenangan dalam pilihanraya yang disebabkan oleh undi warga asing bukan saja menyebabkan berlakunya seperti kata pepatah "menang sorak kampung tergadai" tetapi lebih sadis dari itu ia akan menjadi "menang pilihanraya negara tergadai".

Dalam masa yang sama, kedudukan UMNO sebagai wadah perjuangan Melayu juga akan luntur. Kemenangan UMNO bukan lagi disumbangkan oleh bangsanya sendiri tetapi oleh warga asing daripada Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Kemboja, Thailand dan lain-lain negara. Sudah terdengar ejekan sekarang ini bahawa UMNO yang merupakan singkatan daripada "United Malay National Organisation" sudah bertukar menjadi "United Myanmar Nepal Organisation".

Jika ada yang masih tercari-cari jawapan tentang kewajaran menyokong Himpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini di Dataran Merdeka dan tuntutan supaya pilihanraya diadakan secara bersih, hujah-hujah mengenai kewujudan warga asing sebagai pengundi dan hantu menjadi pengundi mungkin adalah jawapan yang diperlukan oleh kita semua untuk turut serta bersama rakyat jelata pada hari tersebut. (SH 18/04/2012).

3 comments:

  1. Tuan,

    Tuan telah mengulas perkara diatas dengan begitu tepat dan jitu sekali. Perbuatan memberi kerakyataan segera kepada pendatang asing semata-mata untuk memenangi pilihanraya adalah ' TREASON of THE HIGHEST ORDER". SURELY PERLEMBAGAAN DAN UNDANG-UNDANG NEGARA MEMPUNYAI HUKUMAN YANG SETIMPAL DENGAN TREASON INI.

    Hakikatnya treason ini adalah lebih besar dari treason yang dilakukan oleh Kumpulan al maunah dulu. Sekali lagi - UNTUk APA? UNTUK MENANG PRU 13? PRU 14 macamana pulak?....

    2. Jika kita melihat kepanikan dan betapa desperadonya pihak tertentu menghadapi PRU 13, kewujudan TASK FORCE untuk memberi kerakyatan segera kepada pendatang asing untuk memenangkan satu pihak dalam PRU 13 tidaklah memeranjatkan. Apatah lagi stake jika kehilangan kuasa adalah terlalu tinggi, bukan sekadar bertukar kedudukan kerusi didalam parlimen sahaja, if u got my drift.

    kedua, anggota-angota task force tersebut telah dinamakan dan dikenalpasti dengan jelas. The deaftening silence dari pihak berkaitan hanya memberi lebih kredibiliti kepada tuduhan itu. Apatah lagi Kecelaruan kepada daftar pemilih yang dibongkar dengan begitu kerap juga tidak membantu mematikan (silence) dakwaan ini.

    3. On the other note, takan bodoh dan bangang sangat penyokong tegar UMNO Baru ( tentunya dikalangan orang melayu) tidak dapat melihat bahawa masa depan mereka dan anak cucu mereka terancam dengan tindakan memberi kerakyatan segera kepada pendatang asing oleh pemimpin mereka yang tak boleh kalah dalam PRU 13 ini!

    Tak boleh fikirkah bahawa mereka ini terpaksa BERKONGSI,BERSAING dengan pendatang-pendatang* ini perkara 153 Perlembagaan negara ( hak-hak keistimewaan orang-orang melayu) sampai bila-bila? Sudah lah dari segi realitinya keistimewaan ini sudah menjadi ciput, kena pula berkongsi dan bersaing dengan pendatang-pendatang ini pula!.... Aku memang tak paham bangsa melayu jenis UMNO Baru ni!( Darah aku tengah menyirap ni...)

    Tak nampakkah bagaimana mamak-mamak penang dok hijack keistimewaan ini sehingga melayu asli macam aku dan tuan ini terpinggir kat penang.

    bat8

    * Aku kira pendatang-pendatang dari indon, bangladesh,pakistan,myammar yang diberi kerakyatan segera ini tentunya akan menjadi melayu/bumiputra. Tahu-tahu sajalah mentaliti puak-puak desperado ni, semua perkara mungkin dgn diaorang ni

    ReplyDelete
  2. ini baru namanya pengkhianat negara..

    ReplyDelete
  3. bagaimana pula jika pendatang itu dari china dan india??? boleh ke dikesan? ic simati diguna semula....

    pastikah pendatang spt daripada indonesia, bangladesh dan lain2 negara mengundi BN???

    sepanjang saya mengundi di gombak, belum pernah ternampak muka2 pendatang pergi mengundi....macamana nak percaya dgn kata2 penulis....mungkin lebih sudu dari kuah...atau secara kasarnya, penipu fakta...saya telah mengundi 3 kali sepanjang hidup ini. dan pernah gagal keluar mengundi....yang menulis dan pengikut lain nie barapa kali? atau tidak layak lagi....

    satu soalan saya, apa maksud hak saksama rakyat dlm Manifesto PR????

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...