Friday, 20 April 2012
Bila Perdana Menteri Borek, Dapatkan Kita Menteri-Menteri Yang Rintik!
Selepas kita dikejutkan dengan skandal lembu NFC yang melibatkan seorang menteri, Shahrizat Jalil, kini negara terkejut lagi dengan pendedahan mengenai hubungan intim seorang menteri UMNO, Shafie Afdal yang juga Naib Presiden UMNO dengan seorang artis wanita, Zahida Rafik. Selain hubungan sulit antara menteri dengan artis yang menjadi tajuk perbualan,ia bertambah hangat lagi dengan pendedahan bagaimana menteri itu didakwa memberi antara RM100 ribu hingga RM200 ribu setiap kali bertemu. Dalam tempoh 4 bulan, jumlah yang dikatakan diberi oleh Shafie kepada Zahida mencecah RM1.5 juta.
Pendedahan mengenai skandal Shafie-Zahida ini didedahkan dalam laporan polis yang dibuat oleh bekas pemandu Zahida, Nor Azman yang mana salinan laporan polis itu didedahkan kepada umum oleh Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.
Selain skandal Shahrizat dan Shafie ini yang hangat diperbualkan, beberapa skandal lain juga berlaku dalam pentadbiran Najib sekarang ini. Ia termasuk kelakuan anak Nazri Aziz yang bergaya mewah dan mengasari seorang pengawal keselamatan, dakwaan Awang Adek Hussain menerima wang tunai, projek 6P yang dikaitkan dengan anak Tan Sri Muhyiddin, penyelewengan AP kepada Ketua-ketua UMNO Bahagian Kelantan serta pelbagai skandal dan penyelewengan lain yang melibatkan pemberian kontrak perniagaan dan mengaut keuntungan peribadi.
Dalam keadaan UMNO begitu tertekan menghadapi pilihanraya umum akan datang, skandal terbaru yang melibatkan Shafie Afdal ini tentunya meletakkan UMNO tambah tertekan dan Najib sendiri tambah kebingungan. Di dalam hatinya mungkin tertanya-tanya, kenapakah begitu banyak skandal yang terdedah sekarang ini?
Hakikatnya di ketika Najib melaungkan transformasi di sana sini dan teriakan "rebah jika tidak berubah", nampaknya tidak ramai yang menyahut seruang itu. Menteri-menteri seolah-olah tidak takut dan segan kepada Najib untuk melakukan skandal dan merompak wang rakyat.
Kenapakah ini berlaku? Sebenarnya semua ini berpunca daripada Najib sendiri. Para menteri tidak ada rasa takut dan segan untuk melakukan perkara-perkara yang keji adalah kerana Najib sendiri pada pandangan mereka turut tidak bersih dan disaluti pelbagai skandal.
Selain skandal kapal selam Scorpene yang kini sudah mula dibicarakan di Perancis, pelbagai skandal lain juga telah didedahkan sama ada yang melibatkan Najib, isteri, anak, adik-beradik serta kroninya. Terlalu banyaknya skandal yang melibatkan keluarga Najib ini menyebabkan menteri-menteri tidak tidak segan untuk melakukan perkara yang sama.
Lebih dari itu, Najib juga dalam hal ini sudah kehiangan kredibiliti untuk menegur anggota kabinetnya supaya menjaga moral dan berkelakuan baik. Keadaan sudah menjadi seperti kata pepatah "bapa borek, anak rintik" atau "guru kencing berdiri, murid kencing berlari".
Skandal Shafie Afdal dengan Zahida tidak dapat tidak mempunyai kaitan dengan rasuah dan rompakan wang rakyat. Tentunya menjadi persoalan bagaimana seorang menteri boleh memberi wang sebanyak RM1.5 juta kepada seorang wanita dalam tempoh 4 bulan. Berapakah pula wang yang dirompak untuk diri sendiri dan keluarganya?
Keyakinan rakyat tentunya berkurangan akibat terdedahnya skandal ini. UMNO dan BN akan terus dipandang hodoh dan memunyai calitan hitam yang sukar dipadamkan.
Selain kes Shahrizat dan Shafie Afdal yang sudah terdedah, beberapa kes lain yang melibatkan menteri-menteri yang dikatakan mempunyai kes mirip seperti Shafie turut menjadi bualan ramai dan mungkin juga akan terdedah tidak lama lagi.
Walaupun sebelum ini, baik di zaman Mahathir mahupun Pak Lah, skandal yang melibatkan menteri ada berlaku tetapi di zaman pentadbiran Najib ini, ia bagaikan begitu berleluasa dan menjadi percakapan di mana-mana. Dalam kes Shafie, meskipun Zahida dalam komen twitternya menafikan segala dakwaan skandal itu dan mengatakan beliau selama ini bekerja keras untuk memperolehi apa yang dimilikinya sekarang, tanggapan rakyat terhadap pemimpin UMNO begitu terjejas sekali.
Persoalannya, kalau tidak skandal, mungkinkah Shafie dengan Zahida sudah berkahwin secara sentap-senyap? Bagi sesiapa yang mengenali Zahida, ungkapannya bahawa beliau bekerja keras untuk memiliki apa yang dimilikinya sekarang turut menimbulan persoalan. Apakah kerja keras yang dimaksudkan itu termasuk dalam konteks berdandan, menghias diri dan menggoda Shafie Afdal?
Zahida yang ayahnya hanya seorang pemandu teksi serta berasal dari keluarga sederhana dan kemunculannya di kaca tv atau layar perak pula agak jarang-jarang, bukan setakat didakwa diberi RM1.5 juta tetapi juga dikatakan memiliki beberapa kereta mewah dan banglo bernilai lebih RM2 juta. Kalau setakat kerja keras berlakon semata-mata, memanglah mustahil untuk memiliki kekayaan seperti itu.
Seorang bekas menteri pernah memberitahu bahawa beliau dimaklumkan oleh pekerja sebuah hotel bahawa kelibat Shafie dan Zahida ini begitu lumrah keluar masuk di sebuah hotel terkemuka di ibukota dan ia sudah menjadi percakapan sesama mereka. Dalam keadaan UMNO dan BN tiada majoriti dua pertiga pun kelakuan mereka begitu sumbang, sukar untuk menggambarkan bagaimanakah keadaannya jika UMNO dalam keadaan majoriti yang lebih selesa.
Melihat kepada bertali arusnya skandal dan penyelewengan yang melibatkan pemimpin UMNO terdedah kepada khalayak umum, sukar untuk melihat ia akan berakhir dalam waktu yang singkat ini. Ketiadaan rasa takut, segan dan hormat kepada Perdana Menteri adalah sebab terbesar berlakunya semua ini. Malahan mereka melakukan semua skandal dan penyelewengan itu kerana melihat orang ditas mereka juga melakukan perkara yang sama.
Selagi Najib kekal seorang yang borek, bermakna rakyat akan terus dibebankan dengan perangai menteri-menteri yang rintik ini. (SH 20/04/2012).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Tuan,
ReplyDeleteBiarlah mereka terus leka dengan kuasa yang mereka ada, selagi ada. Kita sedang melihat tayangan perdana gelagat-gelagat pemimpin-pemimpin yang terlupa pada Padang masyar, pengadilan Allah, titi sirat dan adanya syurga dan neraka.
Ini adalah tayangan perdana didepan mata kita untuk kita ambil iktibar. Selama ini kita baca sahaja dari lipatan sejarah perangai-perangai pemimpin seperti ini. hari ini, setiap hari kita melihat gelagat angkuh mereka. Tindak tanduk yang tidak masuk akal, kenyataan-kenyataan bodoh manusia-manusia takabur. kita bertuah kerana dapat melihat dengan mata kepala kita sendiri.