Monday, 26 March 2012

Menunggu Rasuah Pusingan Kedua Daripada Najib

Ketika melawat Negeri Sembilan Sabtu lalu, Najib memberitahu bahawa beliau akan mengumumkan lebih banyak bantuan kepada rakyat dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Menurut beliau, bantuan itu adalah antara idea baru yang difikirkan oleh kerajaan sebagai menunjukkan keprihatinan terhadap aspek kebajikan rakyat.

Melihat kepada pengumuman itu di ketika negara sedang menunggu detik pilihanraya, hakikat yang jelas tergambar di pandangan umum ialah Najib kini sedang merangka untuk memberikan rasuah politik pusingan kedua kepada rakyat. Ini juga menandakan tarikh pilihanraya umum sudah terlalu hampir.

Rasuah politik pusingan pertama sudah pun berjalan sejak akhir tahun lalu iaitu BR1M berjumlah RM500 yang diberikan kepada mereka yang berpendapatan RM3000 ke bawah, bantuan RM100 untuk murid-murid sekolah dan RM200 dalam bentuk baucer buku kepada pelajar-pelajar universiti.

Rasuah politik pusingan kedua sebagaimana yang diumumkan Najib itu mungkin lebih besar jumlahnya dan mencakupi pelbagai perkara lagi. Ia tentulah sesuai dengan hasrat untuk memenangi pilihanraya dengan cemerlang sebagaimana yang diidam-idamkan oleh Najib sendiri.

Pemberian saguhati kepada rakyat dalam bentuk wang tunai adalah sesuatu yang baru dalam politik Malaysia. Tidak pernah mana-mana Perdana Menteri sebelum ini yang mengamalkan cara itu tetapi Najib telah memulakannya. Pemberian itu pula tidak diberi di tahun-tahun sebelum ini tetapi hanya diberi pada tahun ini kerana pilihanraya sudah hampir tiba. Selain itu, pemberian semua bantuan ini juga tidak dijadikan dasar tahunan kepada rakyat. Ia hanya diberi tahun ini, tahun depan belum pasti lagi. Maka, tidak hairanlah segala pemberian itu dianggap sebagai rasuah politik yang dilakukan Najib semata-mata untuk memenangi pilihanraya.

Najib sebenarnya tidak boleh marah atau berkecil hati kalau ada yang menuduh segala pemberian itu hanya rasuah politik sahaja. Ini kerana ia sangat jelas dan tidak dapat dinafikan hanya diberikan untuk kepentingan politik UMNO dan BN sahaja.

Dalam hal ini, benarlah kata Datuk Ariff Sabri, bekas ADUN Pulau Manis, Pekan, Pahang yang kini sudah menyertai DAP, bahawa semua pemberian wang saguhati yang diperkenalkan Najib itu suatu rasuah politik untuk kepentingan UNNO dan BN. Ini kerana semua wang yang digunakan itu adalah wang rakyat tetapi Najib memberinya seolah-olah ianya milik UMNO dan BN.

Kata Ariff Sabri lagi dalam blognya Sakmongkol AK47, jika benar Najib ikhlas ingin menolong rakyat yang kini terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang meningkat melalui saguhati RM500, pemberian itu sepatutnya diuruskan melalui Pejabat Daerah seluruh negara dan bukannya melalui wakil-wakil rakyat BN sahaja.

Begitu juga dalam kes pemberian bantuan RM100 dan RM200 kepada murid sekolah dan pelajar universiti, ia sepatutnya hanya diuruskan oleh pihak sekolah atau universiti sahaja. Tetapi dalam bantuan itu, bukan sahaja ibu bapa turut di panggil menerimanya tetapi juga wakil-wakil rakyat BN telah mengambil kesempatan menyampaikannya kepada ibu bapa dan murid-murid sekolah. Di banyak kawasan, wakil rakyat BN diberi peluang berucap dan berkempen sebelum majlis penyerahan dilakukan.

Terdapat seorang Ahli Perlimen di Perak yang meminta semua sekolah di kawasannya menyusun jadual pemberian bantuan itu mengikut kesesuaian masanya kerana beliau beliau mahu hadir sendiri menyampaikan kepada kesemua sekolah di dalam kawasan Parlimennya itu.

Kalau sudah begitu, bukankah bantuan itu rasuah politik namanya?

Pengumuman Najib untuk memberikan lebih banyak bantuan kepada rakyat tentulah berdasarkan keyakinannya bahawa rasuah yang diberikannya sebelum ini telah berjaya menggembirakan hati rakyat dan menyebabkan mereka mula kembali menyokong UMNO dan BN. Maka, sudah tentu pemberian di pusingan kedua ini lebih besar jumlahnya dan meliputi pelbagai kelompok dalam masyarakat kerana yang dihajati ialah sokongan yang lebih besar daripada rakyat.

Rakyat sebelum ini agak kecewa dengan Najib kerana memotong banyak sudsidi untuk rakyat miskin seperti subsidi minyak dan gula sehingga menyebabkan banyak barang-barang keperluan meningkat harganya. Dalam dua tahun pertama pentadbirannya juga Najib enggan memberi bonus kepada kakitangan kerajaan. Di ketika yang sama, Najib, Rosmah dan keluarganya terus bergaya mewah dan mempamerkan gaya hidup menjolok mata yang bertentangan sama sekali dengan rakyat yang sedang derita kesusahan.

Lantaran itu, di tahun pertama dan kedua beliau menjadi Perdana Menteri, sokongan rakyat terus menurun kepada UMNO dan kerajaan. Hanya di tahun ketiga dan menjelang pilihanraya, Najib bertidak mengekalkan subsidi, memberi banyak saguhati kepada rakyat dan bonus kakitangan awam juga dikembalikan.

Ternampak jelas bahawa tujuannya tidak lain hanyalah untuk memenangi pilihanraya. Setelah rasuah politik pusingan pertama diyakini mula menampakkan hasil dan mengembalikan kepercayaan rakyat kepadanya, Najib kini mahu memberi lagi rasuah politiknya.

Dalam hal ini, Najib sebagai anak seorang bekas Perdana Menteri yang tidak pernah merasakan kesusahan dan derita rakyat hanya tahu bahawa sokongan rakyat boleh diperolehi dengan memberi mereka wang, terutamanya golongan miskin. Inilah yang sedang diamalkan Najib melalui pemberian RM500,RM200 dan RM100 sebelum ini.

Najib nampaknya tidak mampu memerah idea lebih daripada itu untuk membuatkan rakyat gembira dan kembali menyokong UMNO dan BN. Memetik kata-kata Ariff Sabri yang pernah menjadi Ketua Penerangan UMNO Pekan, Najib sebenarnya hanya tahu membayar wang untuk mendapatkan sokongan.

Menurut beliau, dalam sejarah politik Najib, semua sokongan yang diperolehinya adalah melalui pemberian wang sama ada dalam pendakian memenangi jawatan dalam UMNO mahupun untuk memenangi pilihanraya kerusi Parlimen Pekan.

Oleh kerana sudah terbiasa memberi wang dan memperolehi sokongan melalui pembayaran wang tunai, kepada rakyat biasa pun Najib mahu menggunakan pendekatan yang sama. Ini kerana Najib tentunya beranggapan bahawa semua orang boleh ditundukkan dengan wang.

Pendekatan politik Najib yang gemar memberi wang tunai untuk mendapatkan sokongan sebenarnya adalah perbuatan yang tidak baik dari segi pembinaan sahsiah bangsa yang bermaruah. Dengan memberi wang kepada murid sekolah dan pelajar universiti, Najib seperti sudah mahu menerapkan budaya rasuah kepada rakyat sejak mereka kecil lagi sedangkan kanak-kanak sudah pun diajar untuk menjauhi amalan itu sama ada oleh ibu bapa di rumah atau guru-guru sejak di sekolah rendah lagi.

Seharusnya Najib memperkenalkan dasar yang lebih bermaruah seperti menghapuskan beberapa bayaran kepada rakyat, murid sekolah dan pelajar universiti jika ingin membuat kebajikan kepada rakyat. Memberi rakyat RM500 tetapi memotong subsidi, mengenakan pelbagai bentuk cukai, menaikkan tarif letrik dan sebagainya sebenarnya tidak membawa apa-apa perubahan hidup kepada rakyat. Lebih-lebih lagi jika selepas diberi RM500, rakyat juga turut dikenakan cukai pendapatan oleh LHDN.

Begitu juga daripada memberi RM200 dan RM100 kepada pelajar universiti dan murid sekolah, adalah lebih baik wang tersebut terus disalurkan kepada sekolah dan universiti dan kemudian terus ditolak pelbagai bayaran atau yuran untuk pelajar yang dikenakan sekolah dan universiti. Jika ada berlebih, wang yang sama boleh digunakan untuk pelbagai program lainnya seperti kelas tambahan, keceriaan sekolah dan sebagainya.

Dengan mengamalkan pendekatan rasuah politik ini, Najib bukan saja menyerlahkan dirinya yang sebenar yang suka menyogok untuk mendapatkan sokongan tetapi juga menggambarkan kelemahan dirinya sebagai pemimpin untuk masa depan bangsa dan negara.

Rakyat dan negara tentunya lebih memerlukan pemimpin yang berani merangka dasar jangka panjang untuk kepentingan rakyat seperti keberanian untuk menurunkan harga minyak, mengekalkan subsidi untuk rakyat miskin, memberikan pendidikan percuma dan menghapuskan pinjaman PTPTN yang tentunya lebih bermanfaat dalam jangka panjang berbanding pemimpin yang hanya tahu memberi wang tunai RM500, RM200 dan RM100 yang boleh dihabiskan dalam waktu yang yang singkat. (SH 26/03/2012).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...