Thursday, 8 March 2012

Jika Ku Li Disingkir, Lebih Mudah BN Tersingkir

Menjelang piihanraya ini, sekali lagi kedudukan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Ahli Parlimen Gua Musang menjadi bualan dan diperkatakan oleh ramai orang. Ku Li yang dikenali agak kritis terhadap kepimpinan Najib terutama dalam isu royalti minyak untuk Kelantan dan penyenaraian Felda ke Bursa Malaysia ditelah oleh banyak pihak akan digugurkan dalam PRU 13 ini sebagai jalan mudah untuk Najib menghindari sebarang gangguan terhadap masa depan politiknya.

Ku Li yang pernah tewas kepada Mahathir dengan 43 undi pada 1987 dan kemudian mencuba beberapa kali untuk bertanding jawatan Presiden UMNO dipercayai akan terus mencuba lagi dalam pemilihan kali ini, sementelah pula kedudukan Najib yang dianggap terlalu lemah dan dipertikaikan oleh banyak pihak.

Ku Li kemudian menubuhkan Amanah, sebuah NGO pelbagai kaum yang antara perjuangannya untuk menentang rasuah, kronisme dan nepotisme yang dianggap berleluasa dalam pentadbiran sekarang.

Najib yang dilihat kian rapuh dalam menghadapi piliharaya umum kali ini tentunya tidak mahu Ku Li menentangnya untuk jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan yang dijangka tidak lama selepas pilihanraya umum atau bergabung tenaga dengan Muhyiddin Yassin misalnya, untuk menjatuhkannya kiranya BN mencapai keputusan buruk dalam pilihanraya nanti.

Dengan tidak ada kedudukan sebagai Ahli Parlimen, Najib beranggapan Ku Li tiada taring lagi dalam UMNO.

Namun belum pun ada sebarang kepastian mengenai kedudukannya, Ku Li tiba-tiba membuat pengumuman bahawa beliau tetap akan bertanding di Gua Musang dalam pilihanraya akan datang ini. Ia lantas memberi gambaran bahawa sama ada dicalonkan semula mewakili BN atau tidak, Ku Li tetap akan bertanding. Mungkinkah mewakili Pakatan Rakyat? Atau mungkin juga sebagai calon Bebas?

Pelbagai andaian timbul apabila kemudiannya, Pas melalui Naib Presidennya, Sallahuddin Ayub menyatakan Pakatan Rakyat sedia menawarkan Ku Li bertanding mewakili Pakatan Rakyat kiranya beliau ditolak oleh UMNO. Dalam masa yang sama, Amanah iaitu sebuah NGO yang diterajui oleh Ku Li melalui Timbalan Presidennya, Kadir Sheikh Fadzir juga sedang menjalin hubungan yang akrab dengan Anwar Ibrahim.

Ini menjadikan kedudukan Ku Li dalam pelbagai kemungkinan dan dilihat mempunyai banyak pilihan kiranya tidak lagi dikehendaki oleh Najib.

Sekiranya dicalonkan semula, Ku Li tetap tidak ada masalah untuk membawa kemenangan buat UMNO dan BN dan kiranya selepas pilihanraya umum ini BN mencapai prestasi buruk, kebarangkalian untuk Ku Li diminta bertanding jawatan tertinggi UMNO tidak boleh ditolak begitu sahaja kerana beliau tetap mempunyai pengaruhnya yang tersendiri dalam UMNO. Jasa dan rekod perkhidmatannya yang cemerlang dalam pelbagai kedudukan sejak sekian lama menjadikan Ku Li tokoh yang "tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas".

Meskipun Ku Li agak veteran tetapi beliau tetap mempunyai pengaruhnya tidak boleh ditolak begitu sahaja dalam UMNO berikutan sumbangan dan jasanya yang banyak ketika berada dalam kerajaan dulu. Walaupun mungkin ramai pimpinan UMNO bahagian-bahagian sekarang terdiri daripada generasi baru tetapi mereka yang seangkatan dengannya, mereka yang masih menghargai jasanya dan golongan yang pernah menerima budi Ku Li, dilihat masih ramai dan menduduki pelbagai jawatan lainnya dalam UMNO bahagian di seluruh negara.

Kiranya Ku Li diketepikan dan beliau memilih untuk bergabung dengan Pakatan Rakyat, tentunya bahana lebih besar sedang menunggu Najib. Dengan menggerakkan rangkaiannya di seluruh negara, UMNO pasti akan menerima kekalahan di banyak kerusi. BN yang masih berada dalam kedudukan 50-50 dengan Pakatan Rakyat, pasti lebih mudah ditewaskan dengan adanya bantuan Ku Li serta para penyokongnya yang turut akan berbuat demikian.

Untuk mempertahankan kerusi Gua Musang, Ku Li memang tidak ada masalah walau bertanding atas tiket apa sekali pun. Sejarah politknya telah membuktikan bahawa Ku Li adaah calon "winnable" sepanjang zaman untuk Gua Musang. Atas tiket BN pun beliau boleh menang dan jika beliau diketepikan oleh UMNO dan bertanding atas tiket lain, Gua Musang tetap miliknya berikutan jasa dan sumbangannya yang besar di kawasan itu.

Dalam sejarah politik Melayu, hanya Ku Li, Anwar Ibrahim dan Shahrir Samad saja yang pernah mencipta kejayaan mampu mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing atas tiket parti yang berbeza. Ku Li pernah menang atas tiket UMNO dan Semangat 46 di Gua Musang, Anwar atas tiket UMNO dan PKR di Permatang Pauh manakala Shahrir atas tiket UMNO dan Bebas di Johor Bahru.

Mahathir yang dikagumi kerana berjaya mempertahankan kerusi Perdana Menteri selama 22 tahun pun tidak dapat menandingi mereka ini. Apabila tidak lagi menjadi Perdana Menteri, untuk menjadi salah seorang daripada tujuh perwakilan UMNO Kubang Pasu ke Perhimpunan UMNO pun Mahathir telah gagal.

Najib sendiri yang pernah menang tipis 241 undi di Pekan pada pilihanraya 1999, dilihat tidak mungkin mampu mempertahankan kerusi Parlimennya sekarang jika bukan atas tiket UMNO dan BN.

Bukan itu saja, sebelum Mahathir bertindak memecat Anwar pada 1998, beliau terpaksa memujuk Ku Li supaya membubarkan Semangat 46 dahulu. Hanya setelah Semangat 46 dibubarkan barulah Mahathir memecat Anwar. Secara halusnya, Mahathir sendiri mengakui pengaruh dan kekuatan Ku Li.

Oleh itu, kiranya Najib bertindak mengetepikan Ku Li untuk bertanding di Gua Musang dan kemudian beliau memilih untuk bekerjasama dengan Anwar dan Pakatan Rakyat, nasib lebih buruk sudah boleh dijangka lebih awal akan menimpa Najib, UMNO dan BN.

Meskipun ketika ini Ku Li turut cuba digegar oleh sebilangan kecil kumpulan serpihan dalam UMNO Gua Musang sendiri yang seakan-akan bertindak mahu memastikan Ku Li diketepikan dalam PRU 13 ini, hakikatnya pengaruh dan kedudukan beliau tidak banyak terjejas.

Ini kerana kumpulan serpihan ini didapati tidak begitu berpengaruh meskipun mereka mungkin didalangi oleh pihak-pihak tertentu yang turut berhasrat mengambil alih tempat Ku Li di Parlimen Gua Musang. Tetapi soalnya apakah mereka yang berhajat itu memenuhi ciri-ciri "winnable" seperti yang sering dilaungkan oeh Najib sendiri?

Segala keputusan adalah ditangan Najib sama ada mahu mengekalkan Ku Li atau menggantikannya dengan calon pilihannya di Gua Musang. Tetapi apa pun kemungkinannya, bola tetap di kaki Ku Li dan beliau hanya menunggu masa untuk menentukan pilihannya. (SH 08/03/2012).

2 comments:

  1. Tuan,

    1. tepat sekali analisa tuan tentang kedudukan Kuli di parlimen gua Musang. dia jadi MP Gua Musang sejak tahun 1969. tahun yang sama dengan TG Nik Aziz yang memenangi PRK Kota bahru hilir kalau saya tak salah.

    2. ketokohan Kuli adalah rekod terbuka yang boleh dinilai oleh sesiapa. Sekoleng-koleng, ada satu kumpulan ahli UMNO Baru gua Musang dok naik sheh berkempen minta Kuli tak bertanding...minta Kuli tak dicalonkan? Senang cerita...mereka ini nak bandingkan dengan tahi kuku Kuli pun tak layak! Kalau tanya mereka sapa yang beri tanah dimana ibupejabat UMNO baru berdiri megah sekarang? Mereka gerenti jawab MAHATHIR!.....tidak pun mereka kata tak tahu!. Itulah kelas mereka.

    3. Sebenarnya Kuli tidak perlu buat apa-apa jika beliau tidak dicalonkan oleh najib. yang pasti Kuli tak rugi apa-apa tetapi UMNO Baru rugi satu kerusi parlimen!

    Jasa dan ketokohan Kuli serta pengorbanannya kepada UMNO lama begitu besar untuk bersikap reactive geng-geng kelas tadika kemas ni. Orang kata buat kotor tangan je melayan budak-budak tak cukup akai.


    bat8

    ReplyDelete
  2. Najib mana berani tidak mecalonkan Ku Li di Gua Musang, beliau seorang pemimpin yang lemah dan tiada pendirian.Ini bolih berlaku sekiranya mendapat mandat daripada Mamak Kutty.Beliau akan memastikan mana2 orang yang berpengaroh dalam umno dicantas,supaya impian beliau untuk meletakkan anak beliau sebagai Timb.President umno tercapai.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...