Wednesday, 7 March 2012

Mahathir Makin Tak Relevan, Lebih Baik Duduk Diam-Diam Di Rumah

Semakin hampir pilihanraya, nampaknya semakin kerap Mahathir bersuara. Kekerapannya menghadiri pelbagai majlis yang bersifat politik juga makin ketara. Dan ini menampakkan bahawa Mahathir tetap mahu berperanan dalam PRU 13 ini.

Jika dalam pilihanraya 2008, beliau berkempen untuk menjatuhkan Pak Lah dan menyatakan bahawa kedudukan kerajaan yang terlalu kuat berikutan kemenangan cemerlang Pak Lah dalam pilihanraya 2004 adalah tidak baik untuk rakyat, menjelang pilihanraya umum akan datang ini nada suaranya berlainan pula.

Beliau kini menentang pertukaran kerajaan dan selalu membandingkannya dengan apa yang berlaku di Asia Barat. Lebih dari itu, Mahathir juga menuduh Amerika dan Israel turut terlibat dalam usaha menukar kerajaan di Malaysia dengan menyatakan Anwar Ibrahim adalah tajaan dan boneka kuasa besar itu.

Tujuannya tidak lain ialah untuk menakut-nakutkan rakyat dengan harapan Anwar Ibrahim, bekas anak didiknya yang kini bertukar menjadi musuh nombor satunya itu tidak berjaya dalam usaha menumbangkan BN dan menjadi Perdana Menteri.

Walaupun hujahnya berkenaan pertukaran kerajaan agak janggal dan terkeluar daripada pemikiran yang relevan kerana pertukaran kerajaan bukan saja berlaku di Asia Barat tetapi juga di Indonesia, Thailand dan beberapa negara lain. Hakikatnya tidak semua pertukaran kerajaan membawa keburukan dan tidak semua didalangi oleh Amerika dan Israel.

Thailand misalnya, walaupun kerap berlaku pertukaran kerajaan tetapi pertumbuhan ekonominya lebih baik daripada Malaysia.

Yang nyatanya pertukaran kerajaan membawa kebaikan kepada rakyat kerana mereka akan mendapat lebih pembelaan sementara mereka yang menawarkan diri menjadi pemimpin pula akan menjadi lebih bertanggungjawab memikul amanah yang diberi.

Namun demikian, secara umumnya hujah-hujah Mahathir mengenai pertukaran kerajaan dapat difahami adalah kerana dendamnya yang masih membara dan kebimbangan yang terlalu tinggi andainya Anwar berjaya menjadi Perdana Menteri meskipun logiknya kadangkala jauh dari nyata.

Mahathir juga bersuara dalam isu gaji minimum yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan. Bekas Perdana Menteri itu mahukan kerajaan menimbang semula hasrat melaksanakan gaji minimum dengan alasan ia akan menyebabkan negara muflis akhirnya.

Ketika menjadi Perdana Menteri, Mahathir menentang idea menetapkan gaji minimum dan kini beliau mahu membuktikan pengaruhnya masih ada dan suaranya didengari. Malangnya era dulu dengan sekarang sudah jauh berbeza dan ini yang mungkin kurang disedari oleh Mahathir.

Penentangan beliau terhadap gaji minimun ini membuatkan generasi muda membenci Mahathir kerana dilihat tidak peka dengan realiti kehidupan anak-anak muda yang baru memasuki dunia pekerjaan. Di ruang-ruang internet dan laman sosial, kecaman terhadap Mahathir dalam isu gaji minimum ini begitu ketara dan nyata, malahan sesetengahnya mengeluarkan perkataan yang berbentuk maki-hamun sebagai tanda protes.

Dalam soal gaji minimun ini, Dr S Subramanaim, Menteri Sumber Manusia sendiri turut tidak bersetuju dengan Mahathir. Katanya, ekonomi negara tidak akan lingkup dan negara juga tidak muflis dengan polisi gaji minimum kerana ia sudah dilaksanakan di banyak negara di dunia.

Beliau juga mempertahankan bahawa polisi gaji minimum ini diperkenalkan kerana gred gaji pekerja negara ini masih rendah jika dibandingkan dengan Singapura, Taiwan, Jepun atau pun Korea Selatan.

"Janganlah bandingkan ekonomi kita dengan Laos atau Vietnam," ujar Subramaniam menyindir Mahathir.

Dalam isu hudud yang tiba-tiba muncul kembali, Mahathir juga bersuara kembali. Kalau dulu beliau menentang hudud atas alasan tidak sesuai dengan komposisi rakyat negara ini yang berbilang kaum dan hanya bimbangkan dari segi perlaksanaan keadilan tetapi kali ini beliau menentang kerana kononnya hudud tidak ada dalam Al Quran, sebaliknya hanya ciptaan ahli Feqah semata-mata.

Komen Mahathir yang agak keterlaluan dan jauh menyimpang ini bukan saja diperkatakan rakyat sambil mereka mempertikaikan keimanan serta akidahnya, malahan ulama dalam UMNO sendiri turut bersuara mengecam beliau.

Fathul Bari Mat Jahaya, seorang ulama muda yang mirip kepada UMNO dan selama ini kerap menyerang Pas, tidak dapat meyembunyikan kemarahan dan kekesalannya terhadap komen Mahathir itu. Beliau tanpa ragu-ragu menyatakan bahawa pandangan seperti itu boleh membawa kepada kekufuran kerana amat jelas dan nyata bahawa hudud adalah suatu hukum ciptaan Allah dan memang terdapat atau disebut dalam Al Quran.

Bekas mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin juga turut menegur dan menyanggah komen Mahathir itu kerana katanya, memang jelas hukum ini terdapat dalam Al Quran dan tidak ada sesiapa wajar mempertikaikannya.

Mahatahir seharusnya memahami bahawa hudud adalah hukum Allah yang tidak boleh disanggah dengan logik akal semata-mata atau hujah pramatang dan ia juga merentasi sempadan kepartian dari segi penerimaan serta kepatuhan terhadap kewujudan hukum itu.

Sesuatu yang jelas terhadap beberapa pandangan dan komen Mahathir kebelakangan ini ialah ternampak beliau semakin tidak relevan, bahkan kadang-kadang agak merapu. Beliau sewajarnya insaf bahawa zamannya berkuasa sudah berlalu dan rakyat sekarang sudah semakin bijak berbanding dahulu.

Generasi baru yang berpendidikan serta anak-anak muda tidak akan semudahnya lagi akur dan bersetuju dengan pandangan salah yang dilontarkan bekas Perdana Menteri itu berbanding generasi lama yang terlalu mengkagumi dan mengiayakan apa saja yang keluar dari mulutnya.

Dalam soal Amerika dan kaitannya dengan pertukaran kerajaan, ramai yang tidak setuju dengan Mahathir. Beliau dilihat terlalu berdendam dan hanya ingin mempertahankan legasinya. Dalam konteks gaji minimum pula, Mahathir dilihat masih berfikiran lama dan tidak dapat menyelami kehidupan anak-anak muda yang masih bergelut untuk menikmati keselesaan hidup. Mungkin kerana anak-anak dan cucunya sudah terjamin kehidupan untuk beberapa keturunan menyebabkan beliau gagal melihat kesusahan orang lain.

Begitu juga dalam isu hudud, komennya yang jelas terkeluar daripada pandangan normal seorang muslim biasa amat menyinggung hati dan perasaan umat Islam seluruhnya. Ahli dan penyokong UMNO sendiri ramai yang tersinggung dan malu dengan komen Mahathir itu kerana dilihat mempersenda Islam dan memburukkan wajah UMNO itu sendiri.

Melihatkan bahawa semakin banyak pandangan dan komen Mahathir yang tidak relevan dan ditolak oleh rakyat, malahan disanggah oleh pendokong UMNO dan BN sendiri sejak akhir-akhir ini, kini mungkin sudah tiba masanya untuk Mahathir duduk diam-diam di rumah menghabiskan hari tuanya bersama cucu sambil menjaga dengan baik status negarawan yang dipegangnya itu.

Lebih buruk kiranya nanti beliau dipersalahkan kerana menjadi salah satu punca UMNO dan BN ditolak rakyat dalam pilihanraya akan datang ini.(SH 07/03/2012).

2 comments:

  1. Tuan,

    1. Kita seharusnya tidak heran dengan tindakan TDM mutakhir ini walaupun langkahnya sumbang. Sumbang kerana dia masih terperangkap dengan stail lama sedangkan persekitarannya semuanya sudah berubah.

    Kita tidak heran dan dengan mudah dapat memahami tindakan TDM sejak dulu sampai sekarang jika memahami bahawa " UMNO Baru = MAHATHIR & MAHATHIR= UMNO Baru". Saya sering merujuk bahawa UMNO Baru adalah SPV TDM untuk mengekalkan kuasa. Jika kita memahami hakikat ini kita akan hanya tersenyum dengan tindakan TDM dulu dan sekarang.

    Bat8

    ReplyDelete
  2. Mahathir ni elok pencen dan diam saja...lagi banyak buka mulut, lagi pecah tembelang dia.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...