Wednesday 15 May 2013

Yang Mengecewakan Dan Yang Menggembirakan Dalam Kabinet Najib


Sepertimana yang diduga, tidak ada lantikan yang begitu memeranjatkan dalam susunan kabinet baru yang diumumkan Najib hari ini. Selain masih mengekalkan orang-orang lama dalam kabinetnya, perlantikan baru yang dibuatnya seperti Shahidan Kassim, Tengku Adnan Tengku Mansor, Idris Jusoh dan Wahid Omar juga tidaklah begitu mengejutkan banyak pihak.

Namun terdapat beberapa perkara yang mengecewakan dan menggembirakan dalam perlantikan yant diumumkan Najib kali ini.

Sebelum ini ramai yang mengharapkan, lebih-lagi dengan keputusan piliharaya yang tidak begitu memberangsangkan, Najib hanya menumpukan kepada jawatan Perdana Menteri saja dan tidak memegang jawatan menteri dalam masa yang sama. Dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, Najib diharapkan memberi tumpuan memantau keberkesanan menteri-menterinya saja. Daim Zainuddin juga turut pernah memberi pandangan yang sama, atas alasan tugas sebagai Perdana Menteri sudah cukup berat buat Najib.

Malangnya Najib nampaknya tidak menghiraukan semua pandangan tersebut dengan terus mengekalkan dirinya sebagai Menteri Kewangan.

Sebelum ini juga, ramai yang kecewa dengan prestasi Hishammuddin sebagai Menteri Dalam Negeri dan Zahid Hamidi sebagai Menteri Pertahanan yang dianggap tidak menunjukkan pretasi membanggakan dalam mengendalikan kementerian masing-masing, terutama apabila berdepan dengan aspek keselamatan dan pertahanan negara. Ramai yang mengharapkan kedua-dua menteri itu ditukarkan ke kementerian lain yang sesuai dengan watak keduanya yang suka tersenyum dan kuat ketawa itu.

Malangnya, Najib hanya menukarkan kerusi antara kedua menteri itu. Zahid bertukar ke Kementerian Dalam Negeri manakala Hishammuddin ke Kementerian Pertahanan. Ini benar-benar mengecewakan ramai orang.

Sebagai sebuah negara berbilang kaum yang mana keharmonian dan perpaduan sentiasa menjadi teras penting, kabinet Najib kali ini agak mengecewakan kerana tidak terdapatnya wakil MCA dan Gerakan, sesuai dengan permintaan kedua-dua parti itu yang malu untuk menerima jawatan kabinet sedangkan tidak disokong oleh kaum Cina. Keputusan ini seakan menghukum masyarakat Cina berikutan sokongan hampir 90 peratus pengundinya kepada calon-calon Pakatan Rakyat dalam pilihanraya lalu.

Sampai bila keadaan ini akan berlarutan, tentunya menarik untuk terus diperhatian dan apakah ketiadaan wakil Cina dalam kabinet ini akan menjadikan MCA dan Gerakan mendapat sokongan semula daripada pengundi Cina atau sebaliknya akan menjadikan MCA dan Gerakan terus lumpuh dalam PRU 14 nanti?

Rakyat dan UMNO Selangor juga tentunya kecewa kerana tiada wakil mereka dalam kabinet kali ini. Satu-satunya menterinya, Noh Omar turut digugurkan sebagai Menteri Pertanian dan Asas Tani. Terlihat di sini bahawa Najib begitu kecewa dengan prestasi UMNO Selangor, bukan saja gagal menawan semula negeri itu bahkan juga menambah kerusi Parlimennya, lalu Najib seakan menghukum UMNO Selangor dan Noh Omar kali ini.

Yang agak menggembirakan, Najib nampaknya memberi pengiktirafan kepada golongan muda. Selain KJ dijadikan Menteri Belia dan Sukan dan Naibnya, Razali Ibrahim dikekalkan sebagai timbalan menteri, Ketua Puteri, Rosnah Abdul Sirin juga turut dikekalkan sebagai timbalan menteri.

Perlantikan paling disambut baik oleh semua golongan, bukan saja atas kapasitinya sebagai Ketua Pemuda UMNO tetapi juga kerana wibawa, ketokohan dan keberaniannya sebagai pemimpin. Ramai orang bercakap mengenai perlantikannya dan begitu juga yang mengucapkan tahniah kepadanya.

Dalam masa yang sama, seorang lagi tokoh muda, Abdul Rahman Dahlan turut dilantik sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang turut dilihat sebagai usaha untuk menyelesaikan banyak masalah yang melibatkan orang-orang muda, terutamanya generasi muda di bandar.

Orang Sabah dan Sarawak juga tentunya gembira dengan kabinet kali ini kerana banyak wakil daripada kedua negeri itu berbanding sebelumnya. Ini bukan saja sesuai dengan Sabah dan Sarawak yang menyumbang 47 kerusi daripada 133 kerusi yang dimenangi BN tetapi penambahan ini tentunya bermaksud untuk mengelakkan kemungkinan berlakunya episod 16 September dan kejadian lompat parti.

Dengan ramai menteri dan timbalan menteri dari Borneo ini, harapan untuk melihat kemungkinan wakilnya yang kecewa lalu melompat parti bagi menyokong Pakatan Rakyat menggulingkan BN, hampir pasti tidak akan berlaku.

Bagi Kedah,pagi tadi ramai yang kecewa apabila mendapati nama Ahmad Bashah tidak tersenarai sebagai EXCO negeri itu dan merasakan seolah-olah perjuangannya menawan kembali negeri itu tidak dihargai tetapi dengan perlantikannya sebagai timbalan menteri mewakili Kedah bersama Mahathir Khalid, sekurang-kurangnya ia merupakan berita yang menggembirakan juga. Kekecewaan tidak dapat jadi Menteri Besar Kedah juga sudah terubat rasanya.

Apa pun, di sebalik semua perlantikan ini, baik sebagai menteri atau timbalan menteri, harapan rakyat berikutan keputusan PRU 13, tetap tinggi agar semua mereka ini lebih mengutamakan kepentingan negara berbanding keutamaan-keutamaan lain. (SH 15/05/2013)

2 comments:

  1. Pak shahbudin,

    perhatikan senarai menteri di Jabatan Perdana Menteri... Mengapa perlu ada 8 Menteri di Jabatan PM ini ??? Apa kerja mereka buat???? Jumlah menteri semua dekat 30 orang... Inilah standard negara Dunia Ke3... Kalau di negara Maju, ada 18 Cabinet secretary sahaja dan tiada Deputy atau Timbalan, contohnya macam di USA....

    Tak cukup 8 menteri, tambah lagi 2 timbalan menteri termasuk waytha hindraf, seorang pelarian dari London kembali ke KL baru beberapa bulan lepas... Ish Ish... standard pemikiran BN betul2 auta...

    ReplyDelete
  2. ngabis duit rakyat. kerja tak tahu yang hebat Najib terus main politik bodohkan rakyat Malaysia.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...