Thursday 30 May 2013

Mungkinkah Daim, Zam Memulakan Perubahan Dalam UMNO?


Selepas bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin mengkritik kegagalan Najib mencapai keputusan yang lebih baik dalam pilihanraya lalu dan menyarankan supaya penasihat-penasihat Perdana Menteri dipecat ekoran kegagalan itu, seorang lagi bekas menteri iaitu Zainuddin Maidin atau Zam juga mula mengkritik cara kempen Najib sepanjang pilihanraya lalu. Beliau menyifatkan kempen Najib penuh pura-pura dan palsu.

Jika diimbas kembali sejak pilihanraya 5 Mei lalu, walaupun BN masih mengekalkan kuasa, hampir tidak ada pujian yang diterima Najib. Mahathir secara terbuka tidak menyangka keputusan yang lebih buruk daripada pencapaian Pak Lah yang mampu dicapai oleh Najib tetapi menyalahkan sikap pengundi Cina yang tidak memihak kepada kerajaan sebagai puncanya.

Pemimpin UMNO yang lain pula, walaupun mungkin gembira dengan pengekalan kuasa oleh BN tetapi masih terasa malu untuk menghamburkan pujian kerana menyedari kemenangan 133 kerusi yang dicapai oleh BN sebenarnya masih tidak berbaloi dengan kos dan belanja yang dikeluarkan untuk memenangi pilihanraya kali ini. Semua orang tahu bahawa kos besar BN bukan saja untuk pelbagai kelancaran jentera semasa kempen tetapi juga meliputi kos iklan, banner, billboard, iklan radio, tv, intenet dan pelbagai propaganda lainnya yang dianggarkan menelan belanja yang sangat besar jumlahnya.

Di sepanjang lebuhraya dan jalan-jalan utama seluruh negara pula, hampir setiap setengah kilometer kita akan terjumpa gambar Najib dalam pelbagai rupa kempen pilihanraya, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Sebab itu, ramai yang terasa malu untuk memberi pujian kepada Najib sedangkan Pak Lah yang dikata banyak tidur pun masih mampu mencapai kemenangan 140 kerusi Parlimen. Lantaran itu, hanya yang tidak terasa malu dan mungkin kerana kepentingan yang terlalu besar saja yang sanggup memuji Najib dengan pencapaian 133 kerusi itu.

Dengan Daim dan Zam mula mengkritik Najib, apakah ini mempunyai kaitan dengan pemilihan UMNO yang bakal berlangsung hujung tahun ini. Sebelum pilihanraya lalu, Mahathir dan Daim pernah membayangkan bahawa kedudukan Najib sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri mungkin berada dalam bahaya jika gagal mencapai keputusan yang lebih baik daripada 2008.

Kini dengan ternyata pencapaian yang lebih baik gagal dicapai oleh Najib, semua orang tertunggu-tunggu bilakah angin perubahan itu mula bertiup. Walaupun di kalangan rakyat biasa dan dalam UMNO sendiri, persoalan mengenai angin perubahan ini menjadi perbualan yang kerap, tetapi semua orang masih menunggu siapakah yang mahu memulakannya dulu.

Semua orang nampaknya masih takut-takut dan ada perasaan was-was kerana bimbang jika mereka yang memulakan dulu, takut pula angin perubahan itu akan memakan diri sendiri. Kerana itu, di kalangan pemimpin yang masih berjawatan tidak ada yang berani mengkritik Najib atau memintanya berundur.

Mahathir pula, yang baru-baru ini merasakan Najib akan terus kekal kerana tiada pemimpin lain yang berwibawa disifatkan oleh banyak pihak pihak sebagai tikus yang sudah jatuh ke tong beras kerana anaknya Mukhriz sudah pun menjadi Menteri Besar Kedah manakala dengan terus kekalnya BN pula menjadikan kepentingan anak-anaknya yang lain dalam perniagaan akan juga kekal terpelihara.

Apakah Daim dan Zam yang sudah tidak berjawatan ini sedang cuba meniupkan angin perubahan dalam UMNO? Kritikan terbuka terhadap Najib sudah tentu akan membuka ruang kepada pelbagai andaian dan spekulasi dan mungkin akhirnya akan mencetuskan gelombang perubahan yang lebih besar lagi. ( SH 30/05/2103)

4 comments:

  1. salam bro ,

    selagi 'warlord-warlord' yg menyusun semua lantikan dlm umno & kerajaan ..apa lagi yg boleh diharapkan pada bn@umno ini?

    ReplyDelete
  2. SALAM.
    Teori dan sumbangan analisa Daim dan Zam sebenarnya tidak sesuai dan relevan pada saat dan ketika ini kerana mereka dah out of date. Hanya sekarang bila semua dah menjadi bubur , sibok-sibok memberi hujah dan nasihat.

    Ulasan sebenar-benarnya ialah Rakyat sudah bosan dan mual dengan BN / UMNO. Sebab itulah berbagai-bagai cara , dakwaan ke atas anwar Ibrahim walaupun pada masa sejenak dan terfikir barangkali memang anwar ini bermasalah atau hidup dalam 2 alam..tetapi itu hanyalah dakwaan dan yang palis manis sekali , anwar tidak perlu bersusah payah untuk menidakkannya.. kerana apa?. Kerana Rakyat yang sudah benci dengan pemerintah sekarang akan dengan sukarela menghabiskan masa di dalam media social untuk mencari hujah-hujah untuk mempertahankannya..Kerana kebencian teramat sangat pada BN / UMNO hinggakan pada hati kecil mereka , anwar ni bermasalah..tetapi mereka menjawab untuk menyedapkan hati dengan berkata..so what if anwar is a gay..sebab anwar adalah satu-satunya hero kami untuk memusnahkan BN/UMNO.

    Tun Daim , Zam serta barisan yang kaya-raya semasa era Mahathir dan sekarang kini adalah penyumbang besar kepada kebencian Rakyat..Hingga di saat ini masih ada lagi pemimpin-pemimpin umno tengah sibok berkempen untuk pemilihan tertinggi yang dijangkakan hujung tahun ini atau mungkin di tangguh lagi..Kerana Apa?..kerana nafsu sarakah menghimpun harta karun masih menebal di kalangan orang umno samada yang menang mahupun yang sudah kalah pada PRU13 tempoh hari.

    Rakyat sudah benci dan tidak percaya kepada UMNO / MCA /MIC / GERAKAN lagi walaupun calon-calon BN tempoh hari telah memberi perkhidmatan yang tinggi pada mereka.Tetapi kali ini mereka tidak kisah dan tidak berterima kasih kepada perkhidmatan yang diberi kepada mereka..kerana apa?
    Mereka teramat benci dengan sikap angkuh , sombong dan kepura-puraan dan perangai keji menuduh orang sana sini dan suka mencarut semasa berkempen…itulah hakikatnya dan kita tak perlu orang macam Daim dan Zam mencuri tumpuan dengan analisa yang karut-marut ini.


    ReplyDelete
    Replies
    1. Perangai keji ,menudoh orang sana sini dan suka mencarut semasa berkempin ,macam pelik je bunyinya , betul ke?.

      Delete
  3. tuan shahbuddin,

    dalam beberapa tulisan blog, tulis ttg beberapa personaliti penasihat pm seperti Alies nor, omar ong dan othman razak. siapa mereka ni, dan sejauhmana peranan dan kebenaran cerita2 dalam blog. mohon pencerahan dari tuan?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...