Saturday 25 May 2013

BN Sebagai Parti Tunggal Jauh Lebih Baik, Syabas Muhyiddin!


Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dilaporkan menyambut baik syor mahu menjadikan BN sebagai parti tunggal pelbagai kaum, tidak lagi seperti sekarang di mana BN hanyalah merupakan gabungan parti-parti yang kebanyakannya berasaskan kaum seperti UMNO dengan Melayunya, MCA dengan Cinanya, MIC dengan Indianya manakala lain-lain parti pula dengan kepentingan perjuangan masing-masing.

Menurut Muhyiddin, syor itu walaupun baik tetapi perlu kajian mendalam dan sikap berlapang dada semua parti-parti dalam komponen BN. Maknanya, walaupun ia disedari baiknya tetapi tidak mudah diterima oleh semua orang.

Sekali imbas, sikap Muhyiddin ini menggambarkan kesedaran beliau bahawa parti politik berasaskan kaum semakin tidak diterima rakyat dan mungkin pupus akhirnya. Sikap masyarakat yang semakin terbuka dan berpendidikan menyebabkan semakin ramai yang merasakan perjuangan berasaskan kaum adalah perjuangan yang sempit dan tidak membantu keharmonian negara yang berbilang kaum seperti Malaysia ini.

Selain itu, dengan masing-masing parti berjuang hanya untuk kaum masing-masing lebih mudah menyebabkan timbulnya ketegangan kaum.

Untuk masa depan Malaysia yang lebih baik, kewujudan BN sebagai parti tunggal berbilang kaum seharusnya diterima baik. Ia lebih membantu ke arah pembinaan negara yang stabil dan harmoni. Tetapi sebagai negara yang majoritinya Melayu dan Bumiputera, keutamaan dan hak dan keistimewaan orang-orang Melayu seharusnyalah dikekalkan, sejajar dengan peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Negara sendiri.

Barangkali inilah yang dimaksudkan oleh Muhyiddin apabila beliau meminta semua parti berlapang dada menerima syor ini. Janganlah nanti, masing-masing menuntut hak sama rata pula tetapi yang pentingnya dengan menjadikan BN sebagai parti tunggal ini akan menjadikan segala perbincangan dan tuntutan mengenai kaum dapat dilakukan secara terbuka dan telus, tidak lagi seperti sekarang di mana dalam mesyuarat UMNO, banyak serangan seperti nak berperang ditujukan terhadap kaum Cina, India dan sebagainya dan begitulah juga sebaliknya.

Dalam isu parti pelbagai kaum ini, saya telah menulis dalam buku Najib Perdana Menteri Terakhir, kira-kira dua tahun lalu bahawa parti berasaskan kaum akan ditolak lama-kelamaannya oleh rakyat. Sikap rakyat yang lebih terbuka sekarang menyebabkan mereka lebih menerima Pas yang berjuang atas nama Islam, PKR atas keadilan rakyat, DAP berasaskan amalan demokratik dan sebagainya.

Lagi pula rakyat semakin luas percampurannya. Mereka bukan saja mencari rezeki bersama, duduk semeja sewaktu makan dan berhibur, malah sudah semakin ramai Melayu, Cina dan India yang tinggal serumah. Yang jatuh cinta dan kahwin campur pun semakin meningkat jumlahnya. Ini bermakna batasan kaum semakin dipinggirkan.

PAS, walaupun berasaskan Islam tetapi ia juga menerima kaum-kaum lain menyertainya. Begitu juga PKR, walaupun lebih condong ke Melayu, ia juga terbuka kepada pelbagai kaum. Begitu juga DAP, walaupun diketuai Cina tetapi realitinya ia adalah pelbagai kaum dan boleh disertai oleh sesiapa saja.

Tuntutan menghapuskan parti berasaskan kaum dan bangsa ini juga sesuai dengan tuntutan zaman. Hampir tidak ada negara du dunia ini lagi yang masih mengamalkan perjuangan berasaskan kaum sepertimana di Malaysia. Ia tidak ada di Amerika, tidak ada di China dan India, tidak ada di Indonesia dan tidak ada juga di pelbagai tempat lainnya.

Semua parti-parti politik di negara berkenaan biasanya berteraskan prinsip dan halatuju yang ingin dicapai dalam perjuangan yang boleh diterima oleh semua kaum dan bangsa. Tidak ada hanya untuk kaum-kaum tertentu sahaja.

Muhyiddin nampaknya sedang mengorak langkah mambawa BN jauh ke hadapan. Berdasarkan keputusan PRU 13, tidak diragukan lagi jika perjuangan berasaskan kaum ini diteruskan, kalau pun tidak dalam PRU 14, lama-kelamaan ia pasti menemui titik nokhtahnya juga. Rakyat telah menunjukkan penolakan kepada perjuangan berasaskan kaum ini.

Lagi pula, sementara kita senantiasa diajak bersatu padu dan menjalin hubungan dengan kaum-kaum lagi, dalam masa yang sama kita juga melakukan kontradiksi dengan mengagung serta mengutamakan kaum masing-masing apabila berpolitik. Memang tiada salahnya mengutamakan kaum sendiri tetapi dengan kewujudan UMNO, MCA dan MIC, perjuangan dan tuntutan mengenai kaum itu lebih mudah menjadi sesuatu yang melampau dan menyinggung hati kaum lain.

Akhirnya ketegangan kaum juga lebih mudah meletus.

Cadangan Muhyiddin ini walaupun mungkin bakal menghadapi tentangan daripada kelompok tertentu yang oppurtunis dan ekstrem tetapi ia mesti diteruskan jika BN ingin terus kekal berkuasa. Ia adalah hakikat yang perlu diterima oleh semua pihak.

Syabas Muhyiddin...nampaknya macam dah dekat nak jadi Pengerusi BN dan Perdana Menteri! (SH 25/05/2013

2 comments:

  1. Bagus la Presdiennya boleh dipilih dari orang Cina ke ,India ke atau Iban ke dll. Selamat BN

    ReplyDelete
  2. Apakah benar menjadikan BN sebagai parti tunggal pelbagai kaum boleh membantu ke arah pembinaan negara yang stabil dan harmoni...?

    Kalau direnung secara teliti kewujudan parti seperti UMNO Baru, MIC, MCA dan bergabong dalam parti teras sebagai Barisan Nasional sememangnya ia sudah terjadi sebagai parti tunggal yang mewakili pelbagai kaum, agama dan budaya.

    Dalam pilihanraya pun telah membuktikan bahawa mereka parti tunggal menggunakan gambar dacing sebagai satu lambang parti dalam kertas undi.

    Apakah ia mengikut jejak langkah UMNO Haram yang diubah menjadi UMNO Baru, dan Barisan Nasional juga diubah menjadi Barisan Nasional tunggal tapi perangai menipu, mencuri merompak dan membunuh tetap sama ?

    Cadangan menjadikan BN sebagai parti tunggal kononnya untuk kesinambungan sokongan rakyat pada masa depan adalah helah untuk menutup malu bahawa orang melayu tidak lagi memberi sokongan pada pemimpin melayu UMNO Baru yang mengamalkan rasuah.

    Cadangan itu juga menunjukkan penambahan ahli baru dalam parti UMNO Baru amat berkurangan tambahan pula ahli yang sedia ada tidak aktif untuk menggerakkan agenda parti. Konsep yang diamalkan "ada kerja mesti bagi gaji, ada kerja tak ada gaji, lu bikin sendiri".

    Jika dibiarkan pekara itu berlarutan pasti yang tinggal dalam parti itu hanyalah Tun Mahathir, Najib Rosmah, dan Muhyiddin saja.

    Kita sokong... 'Barisan Nasional di ubah jadi Barisan Nasional Tunggal'.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...