Tuesday, 12 June 2012

Mahathir Ingin Berkongsi Kejayaan, Najib Pula Ingin Berkongsi Kegagalan


Sejak kebelakangan ini Mahathir dilihat begitu kerap bersuara dan memberi pandangan tentang politik negara. Daripada mencadangkan tentang tarikh yang sesuai untuk diadakan pilihanraya, mengupas tentang demokrasi, kebangkitan rakyat dan demonstrasi jalanan sehinggalah kepada kemungkinan Anwar dan Pakatan Rakyat akan mencetuskan huru-hara selepas pilihanraya umum akan datang ini.

Selain itu, hampir semua isu semasa yang panas akan mendapat reaksi daripada bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu. Seperti biasa komen Mahathir tetap mempunyai nada sindiran dan kritikan yang tajam.

Ternampak bahawa menjelang pilihanraya ini, Mahathir mahu memainkan peranannya sebagai mentor kepada Najib. Oleh kerana musuh yang bakal dihadapi oleh Najib ialah Anwar Ibrahim yang juga merupakan musuh yang hampir menyingkirkannya jika tidak dipecat pada 1998, Mahathir seolah-olah terpanggil untuk sama-sama menyingsing lengan.

Tujuannya hanya satu - menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri.

Mahathir adalah satu-satunya rakyat Malaysia yang paling tidak sanggup melihat Malaysia ini berperdana-menterikan individu yang bernama Anwar Ibrahim. Bagi Mahathir, dunia ini akan menjadi gelap segelap-gelapnya jika Anwar jadi Perdana Menteri.

Bukan saja kepentingan keluarga dan legasi yang dibina bertahun-tahun bakal musnah, malah ego dan maruah Mahathir juga akan turut ranap kerana Anwar yang sebelum ini dikaitkan dengan pelbagai salah laku seks sehingga akhirnya dipecat daripada UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, tiba-tiba menjadi pilihan rakyat untuk menerajui negara pula.

Atas sebab itu, Mahathir sedaya upayanya akan menghalang kemaraan Anwar. Bersama dengan Najib yang dilihat masih bergelut untuk meraih sokongan secukupnya bagi menubuhkan kerajaan selepas PRU 13 ini, Mahathir tentunya merasakan beliau masih mempunyai pengaruh serta kekuatan untuk membantu UMNO dan BN.

Memang tidak dinafikan, di kalangan ahli dan penyokong UMNO serta sebilangan rakyat, Mahathir masih mempunyai pengaruhnya yang tersendiri. Dengan kelebihan menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan pelbagai rekod menyingkirkan musuh politiknya, Mahathir seakan mahu menggunakan pengalamannya itu untuk mengetepikan Anwar sekali lagi setelah berjaya menyingkirkannya kali pertama pada 1998 lalu.

Kiranya dalam pilihanraya umum nanti, Mahathir berjaya membantu Najib mencipta kemenangan, walaupun mungkin dengan cuma kemenangan tipis, Mahathir sebenarnya mahukan kejayaan itu dikongsi bersamanya. Ia bukan saja bagi memelihara maruah dan egonya tetapi juga bagi memastikan legasinya terus kekal. Dalam masa yang sama, pastinya satu-satunya kepentingan Mahathir yang masih tinggal iaitu masa depan anaknya, Mukhriz akan terus terpelihara.

Jika Najib sedia memberi laluan kepada peranan Mahathir dalam pilihanraya ini, sudah barang tentu juga Mukhriz akan diberikan laluan yang lebih selesa untuk terus mendaki tangga kejayaan dalam UMNO. Jika tidak dijadikan Menteri Besar Kedah, Mukhriz juga mungkin bakal menjadi menteri penuh selepas pilihanraya ini.

Soal apa yang bakal berlaku kepada masa depan UMNO adalah perkara kedua. Jika Mahathir sudah memainkan peranan penting dalam pilihanraya ini, tentunya sukar juga untuk memastikan Mahathir daripada tidak campurtangan dalam pemilihan UMNO selepas itu. Jika UMNO dan BN menang tipis, masa depan Najib bukan lagi perkiraan utama Mahathir. Beliau mungkin menonjolkan Muhyiddin dan seterusnya menyediakan laluan "smart tag" untuk Mukhriz sebagai pelapis seterusnya.

Tetapi bagi Najib pula, kebergantungannya kepada bantuan Mahathir bukan saja untuk menciptakan kemenangan malahan juga untuk berkongsi kegagalan. Dengan prestasi Najib yang sentiasa merosot di mata rakyat serta ratingnya yang menurun daripada 69 peratus kepada 65 peratus dan keyakinan untuk menang masih goyah, Najib juga sebenarnya memerlukan Mahathir untuk disandarkan kesalahan jika berlaku kekalahan.

Jika Najib benar-benar cukup kuat untuk menjelmakan kemenangan bagi UMNO dan BN, beliau tentunya mahukan kemenangan itu miliknya seorang supaya lebih mudah mencatur perjalanan politik UMNO dan negara selepas itu tanpa campurtangan sesiapa. Tindakan Najib menangguh beberapa kali untuk mengadakan pilihanraya adalah dipercayai kerana beliau masih diberi laporan yang tidak memihak kepadanya.

Dengan keyakinan Pakatan Rakyat untuk menang sekurang-kurangnya 105 kerusi, ditambah dengan suara kebangkitan rakyat terutama generasi muda sentiasa meningkat, harapan Najib untuk membawa UMNO dan BN mencapai kemenangan memang dilihat masih sukar. Kadangkala insting kepada kekalahan lebih dekat berbanding kemenangan.

Dengan membiarkan Mahathir banyak berperanan, Najib sedang mempertaruhkan dirinya. Mungkin menang dan mungkin kalah. Tetapi jika kalah, kelebihan Najib ialah beliau ada Mahathir untuk dikongsi kekalahan itu. (SH 12/06/2012)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...