Sunday, 3 June 2012

Ketua UMNO Bahagian Bakal Jadi Kuasa Ketiga?


Walaupun kedua-dua pihak iaitu BN dan PR masing-masing menaruh keyakinan untuk mencapai kemenangan dalam pilihanraya umum akan datang ini, hakikatnya kemenangan yang mungkin dicapai adalah kemenangan yang tipis sahaja. Dengan pelbagai isu dan pergolakan yang berlaku dalam kedua-dua gabungan itu menyebabkan kedudukan sokongan rakyat juga sering berubah-ubah. Sekejap UMNO dan BN dilihat berada diatas tetapi di masa yang lain mereka pula ke bawah dan PR pula berada diatas.

Rating Najib dan Anwar, pengemudi BN dan PR juga sering turun naik serta tidak menentu dan ini pastinya membawa pengaruh juga kepada sokongan rakyat.

Kajian terbaru yang dibuat memperlihatkan PR hanya mampu memenangi sejumlah 104 kerusi Parlimen sahaja. Sebelum itu, terdapat juga kajian bahawa kerusi Parlimen yang mungkin selamat bagi BN ialah antara 90 hingga 105 kerusi. Tetapi ramalan banyak pihak ialah kerusi yang selesa untuk dimenangi sama ada oleh BN atau PR ialah sekitar 100 kerusi sahaja.

Dengan mengambil kira jumlah kerusi Parlimen ialah sebanyak 222 kerusi dan kemenangan mudah untuk membentuk kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya kemenangan 112 kerusi, ini bermakna dengan BN dan PR secara puratanya hanya mampu memperolehi sekitar 100 hingga 105 kerusi, kemunculan kuasa ketiga adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan.

Kiranya masing-masing BN dan PR hanya mampu memenangi sejumlah kerusi sebagaimana yang disebutkan itu dan terdapat pihak lain yang menang kerusi selebihnya, kedudukan Parlimen tergantung akan berlaku di mana tiada mana-mana pihak yang boleh menubuhkan kerajaan kecuali setelah memperolehi sokongan daripada pihak ketiga terlebih dahulu dan menjadikan jumlah kerusi terkumpul menjadi sekurang-kurangnya 112 atau lebih.

Soalnya siapakah pihak ketiga yang akan muncul dalam politik Malaysia buat kali pertama ini?

Para peringkat awal dulu, Perkasa pernah diramalkan akan muncul sebagai kuasa ketiga berikutan keaktifannya memperjuangkan isu-isu Melayu sementara UMNO yang dipimpin Najib lebih suka berlembut dan bertoleransi dengan isu-isu melibatkan kepentingan Melayu. Harapan yang tinggi juga diletakkan kepada Perkasa kerana kesediaannya menyingsing lengan menentang kumpulan yang mempertikaikan hak istimewa Melayu termasuk MCA dan MIC. Namun semakin lama kedudukan Perkasa sebagai kuasa ketiga semakin tenggelam berikutan NGO itu dilihat lebih gemar mengampu Najib dan UMNO semata-mata. Perkasa lebih terghairah dengan kuasa yang ada pada Najib dan UMNO.

Malahan Presidennnya, Ibrahim Ali sendiri dikhabarkan akan bertanding sebagai calon Bebas yang disokong oleh UMNO di Pasir Mas.

Kemudian apabila Dr Hassan Ali dipecat daripada Pas dan menubuhkan NGO Jati, beliau juga diramalkan mampu muncul sebagai kuasa ketiga jika meletakkan calon-calon Melayu bertanding di kerusi Parlimen yang majoritinya Melayu tetapi calon BN terdiri daripada bukan Melayu.

Namun Jati juga akhirnya terkulai daripada peranan yang diharapkan itu. Ini kerana Jati dilihat lebih gemar menyerang Pas dan dalam masa yang sama membela UMNO. Malah laporan terbaru hampir mengesahkan bahawa Dr Hassan Ali lebih diperlukan oleh UMNO dan mungkin diletakkan sebagai calonnya di Parlimen Gombak, Selangor untuk berhadapan dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Dalam masa yang sama, pergolakan politik yang berlaku di Sabah dan Sarawak dengan kemunculan beberapa parti kecil serta tindakan beberapa pihak menanggalkan sokongan kepada kerajaan negeri yang sedang memerintah kedua-dua negeri itu, kebarangkalian kuasa ketiga ini adalah daripada Sabah dan Sarawak nampaknya lebih mudah diterima logik akal.

Politik di Sabah memang diketahui sejak dulu sering berubah-ubah dan tindakan mengalih sokongan adalah perkara biasa. Rakyatnya lebih mudah terpengaruh dengan isu serta kemunculan parti baru sebagaimana yang pernah tergambar melalui sejarah tumbangnya Usno, Berjaya dan PBS sebelum ini.

Di Sarawak pula angin perubahan sudah melanda sejak pilihanraya umum negeri tahun 2010 dulu di samping pengundi kawasan bandar yang memang memperlihatkan sokongan kepada pembangkang. Jika angin perubahan ini kekal sehingga hari ini di samping wujudnya pelbagai isu berkaitan Ketua Menterinya Taib Mahmud, adalah dijangkakan jumlah kerusi yang mampu direbut oleh pembangkang dan lain-lain parti mungkin melebihi jangkaan.

Sejak sekian lama juga, politik Sarawak telah menyaksikan beberapa calon Bebas mampu mencapai kemenangan bersandarkan kekuatan peribadi dan hubungan yang mesra dengan masyarakat.

Jika ini terus berlaku, piliharaya kali ini akan menyaksikan beberapa kerusi di Sawarak akan dimenangi sama ada oleh calon Bebas ataupun calon daripada parti yang tidak terikat dengan BN atau PR.

Bagi UMNO dan BN pula, masalah yang akan timbul ialah apabila berlaku pertembungan di antara keinginan Ketua-Ketua UMNO Bahagian untuk terus bertanding dan bertakhta di singgahsana kuasa dengan transformasi politik yang cuba diterapkan oleh Najib iaitu meletakkan calon-calon baru yang dianggap "winnable" untuk menang di sesuatu kawasan itu. Calon-calon "winnable" ini terdiri daripada pemimpin muda dan profesional yang tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti tetapi boleh diterima oleh pengundi.

Masalahnya tidak semua calon baru ini dapat diterima dengan baik oleh UMNO dan pimpinan bahagian.

Halangan Najib untuk melaksanakan transformasi politik kali ini ialah sebahagiannya daripada Ketua-ketua UMNO Bahagian dan pimpinan UMNO bahagian yang mungkin tidak bersedia digugurkan sebagai calon. Di Sabah misalnya, sudah kedengaran beberapa Ketua UMNO Bahagian yang popular dan dianggap sebagai "raja" di sesebuah kawasan tetapi sudah menduduki kerusi Parlimen selama beberapa penggal, akan bertanding sebagai calon Bebas jika tidak dipilih sebagai calon kali ini.

Sama ada mereka bertanding sebagai calon Bebas atau dilamar oleh parti-parti lain, berdasarkan populartiti yang dimiliki, harapan mereka untuk menang adalah cerah. Jika bilangan mereka yang digugurkan ini ramai jumlahnya, tidak mustahil mereka mampu mencetuskan gelombang baru yang boleh menggugat kedudukan UMNO dan BN.

Seperti di Sabah, di Semenanjung juga sudah kedengaran kemungkinan beberapa Ketua UMNO Bahagian dan lain-lain pimpinan kanan UMNO yang akan bertanding sebagai calon Bebas jika kali ini nama mereka digugurkan atau tidak dipilih sebagai calon.

Di Johor, Selangor dan beberapa negeri di utara di mana dikhabarkan Najib akan meletakkan ramai calon-calon baru yang dianggap "winnable" dan meminggirkan pimpinan UMNO Bahagian, perkhabaran bahawa mereka akan muncul sebagai calon Bebas semakin kuat kedengaran sejak akhir-akhir ini. Bagi mereka dalam suasana politik yang bergolak dan kedudukan adalah 50-50 antara BN dan PR, percubaan mempertaruhkan nasib sebagai calon Bebas tidaklah terlalu merugikan, malah mungkin mendatangkan laba yang berpanjangan.

Oleh itu, beberapa kemungkinan boleh berlaku dalam pilihanraya umum kali ini. Sementara kuasa ketiga diramal banyak pihak datangnya dari Sabah dan Sarawak yang akan menentukan pihak mana mampu membentuk kerajaan selepas pilihanraya nanti, kemungkinan lain ialah munculnya Ketua dan pimpinan UMNO Bahagian yang bertanding calon Bebas, juga sebagai kuasa ketiga.

Berdasarkan realiti di atas kertas, jika benar kuasa ketiga ini mampu muncul sebagai kuasa penentu, harapan Najib untuk memujuk mereka menyokong BN pastinya melalui jalan yang sukar atau setidak-tidaknya melibatkan kos yang mahal. (SH 03/06/2012).











3 comments:

  1. Hang jereeerrr... kata cam tuuuu... tiada realiti.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Anonymous,

      Tak paham politik, duk diam je le. Ada logik Shahbudin ni tulis. Ramai Ketua Bhg yg akan merajuk jika tidak dipilih kerana Najib pikir mereka tidak "winnable". Taulah Melayu UMNO ni, tak kena pilih mula le dengki. Main sabotaj. Kau tak percaya? Lantak kau lah Anonymous. Shahbudin ni intim dgn org UMNO. Kau dgn Mat Rempit. Mana sama.

      Delete
  2. Tecumseh Troy...hang bagitau kat anon 17:29 tu omputeh ckp "politic is an arts of possible".Kalau dia tak paham omputih hang tlg translate kat dia sat...Dan apa yang Shahbudin ni cakap ada asas dia...akhir2 ni apa yang berlaku di Sabah dan Sarawak pun kita dah boleh baca...Anwar dan Najib silih berganti berkunjung ke sana...Pasai pa...hang pikiaq la seket...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...