Tuesday, 8 May 2012

Jika Benar Bersih Mahu Guling Kerajaan, Menteri KDN Wajib Dipecat!


Himpunan aman Bersih 3.0 terus menjadi bualan di mana-mana. Ia bukan saja berkaitan pelbagai insiden yang berlaku sepanjang petang Sabtu itu, sama ada yang melibatkan polis dan orang awam tetapi menjadi bertambah hangat diperbualkan apabila Najib sendiri mengatakan perhimpunan itu sebenarnya ingin menggulingkan kerajaan.

Agak menghairankan Najib yang selama ini berdiam diri dan tidak memberi apa-apa komen sebelum perhimpunan itu berlangsung, tiba-tiba mengatakan ia mahu menggulingkan kerajaan pula. Daripada mana Najib memperolehi maklumatnya?

Jika pun benar perhimpunan itu mahu menggulingkan kerajaan, kegagalan polis mengetahuinya lebih awal amatlah memalukan. Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Tun Hussein yang pada awalnya mengatakan perhimpunan Bersih bukanlah ancaman kepada keselamatan negara sepatutnya dipersalahkan jika maklumat yang diperolehi Najib adalah betul. Walaupun sebagai sepupu Najib, beliau sepatutnya dipecat dari jawatan itu dan jika di negara lain, menteri berkenaan sudah pasti dengan rela hati meletakkan jawatan.

Hishammuddin yang sepanjang masa peranannya dipertikaikan oleh kebanyakan rakyat dan ahli UMNO sendiri, ternyata tidak layak memegang jawatan berkaitan keselamatan negara berikutan perkara ini. Dan kenyataan terbaru beliau bahawa Anwar sebenarnya mahu menawan Dataran Merdeka tetapi gagal mendapat sambutan, tidak boleh dipakai sama-sekali.

Bagaimana juga beliau boleh bercakap perhimpunan itu gagal sedangkan ia dihadiri oleh hampir 300 ribu orang. Lagi pula bercakap selepas kejadian dan setelah berlaku berbagai kejadian, sudah tidak memberi erti apa-apa lagi sedangkan sebelum perhimpunan itu beliau tidak berbuat apa-apa yang meyakinkan rakyat.

Bagaimanapun, memahami langkah politik Najib yang kini bagaikan kelemasan untuk mempertahankan kuasa UMNO dan BN, kenyataan bahawa perhimpunan Bersih bertujuan menggulingkan kerajaan adalah semata-mata propanya untuk mendapatkan simpati daripada rakyat. Beliau kini mengetahui kebangkitan rakyat amat menyeluruh dan mereka jelas mahukan perubahan.

Najib mengharapkan dengan mengaitkan perhimpunan itu dengan keganasan dan bertujuan menggulingkan kerajaan, simpati rakyat akan dapat digamit. Ini kerana secara umumnya rakyat memang menolak perlakuan ganas untuk menggulingkan kerajaan secara kekerasan dan tidak sah.

Itulah sekurang-kurangnya harapan Najib. Tetapi beliau sepatutnya mengucapkan perkara ini sebelum perhimpunan itu berlangsung, bukan selepasnya.

Sama seperti Hishammuddin, Najib juga hanya berani berkokok selepas perhimpunan Bersih sedangkan sebelum itu bungkam seribu bahasa seolah-olah memandang lekeh terhadap kebangkitan rakyat.

Dengan mengutarakan teori perhimpunan itu bertujuan menggulingkan kerajaan sedangkan sedari awal lagi sudah diberitahu dan disedari oleh dunia bahawa perhimpunan itu hanyalah untuk menuntut pilihanraya yang adil dan bersih, kelewatan Najib bersuara memperlihatkan ketidakcekapannya sebagai Perdana Menteri.

Orangramai juga akan mempersenda Najib dengan teorinya itu kerana peserta perhimpunan hanya membawa bekalan air dan garam sahaja ketika perhimpunan itu untuk menyembuhkan kepedihan mata akibat semburan gas. Lagi pula permit perhimpunan juga dipohon sebelum itu. Kalau mahu menggulingkan kerajaan, tak mungkin Bersih begitu bersopan memohon permit dan kelulusan sebelum mahu berhimpun.

Walaupun Najib nampaknya cuba mendapatkan simpati rakyat daripada perhimpunan Bersih itu, yang jelas luka di hati rakyat lebih pedih kesan daripada perhimpunan itu. Ia bukan saja memperlihatkan sikap kerajaan yang tidak bijaksana dalam mengendali permintaan Bersih, ia bertambah parah dengan beberapa kejadian yang melibatkan pihak polis dengan orang awam yang begitu jelas dapat dilihat melalui media internet dan Youtube.

Rakyat selama-lamanya akan menilai kerajaan sebagai tidak peka terhadap tuntutan rakyat, malahan cuba melayannya dengan cara yang tidak sewajarnya. Sebagai anggota pasukan keselamatan, pihak polis tidak sewajarnya termakan dengan provokasi ketika perhimpunan itu, lebih-lebih lagi mereka juga mempunyai senjata berbanding orang awam yang hanya berbekalkan suara.

Kejadian pihak polis memukul orang awam dan wartawan, merampas kamera dan bertindak ganas selepas jam 6 petang iaitu ketika perhimpunan sudah pun berakhir, benar-benar menjatuhkan imej polis dan kerajaan. Sekali lagi Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin dilihat tidak berwibawa sebagai peneraju dan pembuat keputusan berkaitan keselamatan rakyat dan negara.

Secara umumnya, perhimpunan Bersih 3.0 bukan saja mempamerkan kebangkitan rakyat menuntut sesuatu yang menjadi hak mereka iaitu sebuah pilihanraya yang adil dan bersih, tetapi kesan daripada perhimpunan itu juga memperlihatkan kebangkitan kepada perlunya perubahan yang total dalam kepimpinan negara.

Kerajaan yang ada dilihat semakin jauh di hati rakyat dan tidak lagi memihak kepada kehendak rakyat.

Jika Najib mengandaikan bahawa perhimpunan Bersih 3.0 mahu menggulingkan kerajaan, ia mungkin ada betulnya tetapi rakyat sebenarnya mahu melakukannya melalu peti undi dalam pilihanraya dan bukannya melalui keganasan di jalanraya. (SH 08/05/2012)






2 comments:

  1. Tuan,

    Memang rakyat nak gulingkan kerajaan. Tapi bersih 3.0 nak guling kerajaan? nak guling pakai apa? betul kata Mahfuz takkan Bersih 3.0 nak guling kerajaan guna baju t-kuning, air dan garam...hahaha.

    Memamg dah bangkrap betoi dah UMNO BARU parti bumiputra yang menyamar jadi UMNO lama nih. dah haru biri betoi...Kat Kedah, masyarakat siam pun dah tubuh cawangan UMNO Baru kat kampong mereka....adoih...adoih....

    bat8

    ReplyDelete
  2. Nampak sangat pemimpin2 UMNO ni merapu dan gelabah meraban. Terang benar yang mereka ni kaki auta dan belit..munafik dan hipokrit.

    BERSIH 2.0 dulu Hisyamuddin Auw Auw dan Polis cakap haram. Bila BERSIH 3.0 diambang perhimpunan, Hisyamuddin Auw Auw ni juga kata tak haram pula sedangkan matlamat BERSIH, BERSIH 2.0 dan BERSIH 3.0 masih benda yang sama, sampai hakim yang bicarakan kes BERSIH 2.0 naik pening dengan si Auw Auw ni.

    Lepas saja perhimpunan 3.0 lain pula cerita timbul dari orang yang sama ni. Sepupu dia si Najib ni pula tambahkan keadan lebih haru biru, bercanggah benar cakap2 mereka ni. Kalau dah bersalah dan cuba nak menutup kesalahan dan kesilapan, itulah jadinya.

    Ingat lagi tak dalam BERSIH 2.0 dulu, satu Malaysia tersebar kes jumpa bom botol dan baju kuning BERSIH oleh polis. Kecoh kat TV dan media utama pasal puak BERSIH 2.o nak merusuh. Cekap sungguh polis sampai tak seorang pun ditangkap terbabit dengan bom botol tu..sepi semacam jer.

    Itu belum termasuk kecekapan polis dalam kes letupan bom kat mahkamah semasa keputusan kes liwat II Anwar. Riuh rendah kat tv dan surat kabar pasal benda tu, siap polis tawar duit bagi siapa yang dapat bekalkan maklumat. Sampai sekarang apa cerita dengan kes tu? Penuh lokap dan penjara agaknya di isi dengan ahli ahli geng bom berkenaan?.

    Kalau nak kira auta geng UMNO dengan kerjasama jentera bodek mereka memang tak terkira. Kes penggunaan dakwal kekal dalam GE 12 dulu pun dibatalkan oleh peranan puak2 yang sama juga. Penjara Kajang dah tak muat diisi dengan kumpulan yang membeli dakwat kekal kat luar negara tu untuk sabotaj GE 12.

    Nampak tak...sampai begitu sekali puak2 ini nak perbodohkan rakyat dan nak putar keadaan sebenar sebab nak tutup keburukan pemimpin UMNO BN. Dalam keadaan gelabah dan takut kerana kebangkitan rakyat, pemimpin UMNO dah tak boleh fikir waras lagi. Nak membohong pun biar berpada...ingat rakyat semua ni mentaliti jenis kebanyakan ahli UMNO yang bodoh macam Mamak Kutty dakwa tu. Maka tak heranlah dengan cerita dongeng dan hikayat penglipur lara yang dibuat Najib, Hisyamudin dan institusi pak angguk dalam kes kes tersebut..penyokong penyokong bengap UMNO saja yan terus percaya.

    Betullah cakap Pandit Kutty tu...sah ahli2 UMNO kebanyakan bodoh kerana terus mempercayai cerita bodoh Najib dan Hisyamuddin yang jadi bodoh kerana gelabah oleh kebangkitan rakyat. Tapi bijak juga Najib, Hisyamuddin dan UMNO terus memperbodohkan penyokong mereka. Sesuai benar orang sebut mereka ni pencacai UMNO.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...